Wednesday, 26 July 2017

APA LAGI ZAHID HAMIDI MAHU?

Biar betul?

Kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, kadar jenayah telah mengalami penurunan sejak Najib Razak mengambil alih kepimpinan negara bermula pada 2009 lalu.

Beliau seterusnya menegaskan, penurunan kadar jenayah itu adalah kerana beberapa transformasi yang diperkenalkan oleh "bossnya" itu.

Ini cakap betul atau bodek sebenarnya?

Tetapi, mengapa masih banyak kejadian jenayah dilaporkan dalam media?

Tidak saja di akhbar dan televisyen, malah di media sosial juga boleh dikatakan sarat dengan berita dan video mengenai kejadian jenayah yang berlaku di sana sini.

Selain itu, bukan saja jenayah di peringkat "pencacai" kelihatan makin banyak, malah jenayah di peringkat atasan juga nampaknya kian bertambah di tahun-tahun kebelakangan jika berdasarkan apa yang dilaporkan di media-media itu.

Jadi, benarkah kadarnya telah mengalami penurunan?

Lebih dari itu, benarkah dasar transformasi Najib menyumbang kepada penurunan kadar jenayah itu?

Tidak cukup dengan itu, Zahid Hamidi seterusnya menambah, kadar jenayah juga menurun dengan ketara antara 2013 hingga 2017 iaitu sejak beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dan Khalid Abu Bakar memegang jawatan Ketua Polis Negara.

Paling drastik indeks jenayah antara 2013 hingga 2017 telah turun lebih 53 peratus menyebabkan puratanya menjadi 47 peratus saja lagi, kata Zahid.

Alamak...mula-mula bodek "boss" dengan mengatakan kadar jenayah turun sejak 2009, lepas itu "masuk bakul angkat sendiri" pula dengan menyatakan penurunannya lebih ketara sejak beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Nampak pelik kenyataan seperti ini!! 

Kenapa tiba-tiba "masuk bakul angkat sendiri" begini?

Tidak cukupkah dengan memuji dan membodek Najib saja?

Perlukah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid  puji "boss" dan kemudian "masuk bakul angkat sendiri" mengenai dirinya pula?

Apa agaknya mesej yang Zahid Hamidi mahu sampaikan kepada Najib?

Apa pun, Hishammuddin Hussein tentu tersenyum simpul dibuatnya dengan gelagat Zahid yang memuji Najib sambil "membodek" dirinya sendiri kali ini. (ShahbudinHusin 26/07/2017)

NAJIB MAKIN PELIK DAN TERDESAK, PENYAKIT SALLEH SAID KERUAK SUDAH MENJANGKITINYA


Pelik dan terdesak, itulah gambaran paling tepat mengenai kedudukan Najib Razak kebelakangan dan ketika ini.

Semalam, ketika berucap di sebuah program pelaburan antarabangsa, Invest Malaysia,  Najib seolah-olah berdiri dalam program politik tempatan dengan tampil menyerang dan memperlekehkan Pakatan Harapan serta Tun Mahathir Mohamad.

Apa perlunya menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir di depan mereka, selain menunjukkan kelemahan dan jiwa kacau yang sedang melanda dirinya?

Dengan berbuat demikian, beliau secara tidak langsung telah mempamerkan wajah ketakutannya kepada golongan pelabur terhadap goyangnya kedudukan kuasa yang sedang dipegangnya.

Berbanding keutamaan menarik pelabur dan meyakinkan mereka mengenai prospek ekonomi negara, Najib terlihat sangat bimbang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang dan ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Malah, tindakannya itu meletakkan jiwa kacaunya sudah sama kronik dengan Salleh Said Keruak, salah seorang menteri lantikannya yang paling kerap mengeluarkan kenyataan.

Sejak struktur kepimpinan Pakatan Harapan berjaya dibentuk dan logonya dipersetujui dua minggu lalu, kelam-kabut dalam jiwa Salleh begitu terserlah sekali.

Mula-mula beliau menyoal dan melahirkan rasa sedih kerana tiada pemimpin DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam Pakatan Harapan dan ia, tegas beliau, adalah gambaran parti itu dipinggirkan sedangkan DAP memiliki jumlah Ahli Parlimen teramai sekali berbanding PKR, Amanah dan Bersatu.

Sehari kemudian, Salleh berkata, yang berkuasa sebenarnya dan merupakan penentu kuasa dalam Pakatan Harapan ialah DAP. Semua pihak lain, tambahnya, terpaksa akur kepada kuasa DAP.

Ia seterusnya ditambah dengan kenyataan Setiausaha Akhbar Najib bahawa Tun Mahathir hanyalah boneka kepada DAP.

Tetapi semalam, Salleh kacau lagi jiwanya apabila berkata, DAP tidak mungkin membenarkan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan berjaya merebut kuasa.

Pokoknya, yang mana satu kenyataan Salleh itu boleh dipegang - DAP dipinggirkan atau DAP paling berkuasa?

Esok, lusa dan seterusnya, entah apa-apa lagi tulisan atau kenyataan yang bakal direka-rekanya.

Kini, Najib nampaknya sudah menjangkiti penyakit Salleh itu. Tidak cukup dengan ucapan di program UMNO, program kerajaan, bercakap di televisyen, menulis di media sosial, melalui pegawai, menteri-menteri pengampu dan saluran media arus perdana untuk menyerang Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, di depan pelabur antarabangsa pun dilakukan perkara yang sama juga.

Jika Salleh berubah-ubah dan sukar difahami, Najib pula sudah jadi tidak menentu dari segi fokus dan apa yang patut diperkatakannya dalam sesebuah majlis yang dihadirinya.

Tidakkah ia pelik dan apa lagi kalau bukan Najib sedang terdesak keadaannya? (ShahbudinHusin 26/07/2017)

Tuesday, 25 July 2017

BERBANDING TUN M YANG KONON BONEKA DAP, NAJIB JAUH LEBIH BAHAYA UNTUK DIKEKALKAN KUASANYA


Tidak sampai sepuluh tahun menjadi Perdana Menteri, majoriti rakyat Malaysia secara umumnya sudah mula sedar dan terasa betapa paling tidak bergunanya Najib Razak sebagai Perdana Menteri kepada kehidupan mereka.


Gemar dengan pendekatan populis tapi menyusahkan rakyat dengan penarikan subsidi dan jerutan tanpa henti melalui GST, beliau sebaliknya membayangi semua tindakan itu dengan menyandarkannya kepada konon untuk masa depan negara dan menukar istilah sebutannya agar lebih sedap didengar dan seolah-olah berniat baik.


Menarik subsidi misalnya ditukar kepada rasionalisasi subsidi, manakala GST kononnya diperkenalkan untuk kebaikan dan masa depan negara, bukan menambahkan beban dalam kehidupan.


Hakikat bahawa semua itu menjadikan barangan semakin mahal dan lebih banyak wang diberikan kepada kerajaan tidak pernah dikisahkan.


Malah, di sebalik wajah ceria dan menjual aura arwah bapanya, Tun Razak, Najib melakukan banyak kontradiksi lain seperti suka bermewah, banyak membazir, membiarkan isterinya berbelanja mewah dan kerapkali cerita keluarga lebih menjadi bahan berita berbanding membantu negara.


Ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan dan kos sara hidup berikutan ketiadaan subsidi dan perlu membayar GST, Najib lebih menjadi bahan cecehan berikutan skandal 1MDB, hubungan dengan Jho Low dan penemuan wang beribu-ribu juta dalam akaun peribadinya.


Tidak cukup dengan itu, untuk menutup hutang dan skandal, beliau kemudian berjinak-jinak dengan China yang menyebabkan banyak tanah, projek dan kontrak diberikan kepada kuasa ekonomi baru dunia itu.


Terpalit dengan skandal dan kuasa Peguam Negara adalah penyelamatnya, berdepan PRU 14 yang tentu paling getir baginya, tidak sukar menjangka apa jadi kepada rakyat dan negara jika Najib terus berkuasa lagi.


Juga tidak sukar menjangka betapa Jho Low mungkin bertambah-tambah lagi tahap "bilionairenya" atau barangkali berapa banyak lagi penguasaan China ke atas pelbagai projek dan aset negara sekiranya Najib terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya akan datang ini.


Selain rakyat biasa dan penyokong perubahan, kalangan dalam UMNO juga ramai yang sedar bahawa liabiliti sebenar ialah Najib sendiri. Sukarnya UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasa tidak lain ialah berpunca daripada Najib dan perkara-perkara lain yang terkait dengannya.


Tetapi, untuk menutup semua ketakutan rakyat terhadap Najib itu, yang cuba ditakut-takutkan ialah wajah Tun Mahathir Mohamad yang kini menjadi Pengerusi Pakatan Harapan. Tidak cukup dengan sejarah silam beliau diungkit dan dibongkar semula, pengaruh DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan turut sama didendangkan.


Tun Mahathir  digambarkan hanya sekadar boneka DAP semata-mata kerana parti itu mempunyai lebih bilangan Ahli Parlimen dan dikatakan akan menguasai gabungan pembangkang tersebut. Seolah-olahnya bila Pakatan Harapan berkuasa nanti, DAP dan Cinalah yang akan menguasai negara ini.


Lihatlah betapa takut dan gentarnya mereka dengan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan sekarang ini. Memang benar sekarang DAP ada 37 bilangan Ahli Parlimen dan Bersatu cuma satu, tetapi kedudukan itu mungkin akan berubah dalam pilihanraya akan datang.


DAP sebagaimana pilihanraya 2013 lalu, hanya akan bertanding 52 kerusi Parlimen saja dalam pilihanraya akan datang. Itupun lawan mereka adalah calon bukan Melayu juga daripada MCA, MIC atau Gerakan. Bermakna, siapa pun menang, kerusi itu tetap milik bukan Melayu.


Bersatu pula akan bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO. Ada 88 kerusi milik UMNO seluruhnya, termasuk di Sabah dan di Semenanjung saja ada 73 jumlahnya. Di Sabah, kerusi milik UMNO itu mungkin akan ditandingi oleh Warisan bersama lain-lain parti di negeri tersebut.


Makanya, untuk 73 kerusi di Semenanjung, ia akan dibahagikan antara Bersatu, PKR dan Amanah. Kerusi-kerusi sedia ada milik PKR akan terus ditandingi oleh mereka.


Dalam hal ini, berikutan MCA, MIC dan Gerakan sudah mati dalam hati masyarakat bukan Melayu, jika pun DAP menang kesemua 52 kerusi Parlimen yang ditandinginya, jumlah kerusi yang dimiliki parti itu tidak mungkin dapat mengatasi jumlah kerusi Melayu yang bakal dimenangi oleh Bersatu, PKR dan Amanah.


Kedudukan itu sesuai dengan komposisi kerusi dan kedudukan rakyat Malaysia sendiri.


Yang penting, tsunami Melayu dan bukan Melayu mesti digerakkan seiring untuk menjadi tsunami rakyat Malaysia agar perubahan menjadi seimbang dan merata.


Siapakah yang mampu menggerakkannya?


Di sinilah gandingan Tun Mahathir dan Anwar bersama DAP yang sebenarnya amat menakutkan Najib, UMNO dan BN.


Alasan mereka menakut-nakutkan tentang pengaruh dan penguasaan DAP atau orang Cina hanyalah kerana ketakutan itu. Bagi mereka yang mahu berfikir, jika Cina yang ditakuti, mengekalkan Najib juga sama seperti mengekalkan penguasaan Cina.


Malah, bahayanya jauh lebih berganda kerana Cina yang akan lebih melebarkan sayapnya adalah seorang yang bernama Jho Low serta negara China itu sendiri. 


Adakah Lim Kit Siang pernah terbukti selama ini lebih menyusahkan negara berbanding Jho Low?


Adakah selama 22 tahun berkuasa, Tun Mahathir lebih menakutkan dan merbahaya berbanding Najib yang belum sampai 10 tahun berkuasa?


Jika Tun Mahathir dan Kit Siang selama ini terbukti tidak lebih bahaya berbanding Najib yang ada Jho Low dan kemungkinan hadir sama penguasaan negara China bersamanya, tidakkah bergabung tenaganya Tun Mahathir dengan Kit Siang mungkin memberi lebih kebaikan dan kesejahteraan buat kita semua? (ShahbudinHusin 25/07/2017)

SIAPA "HANTU-HANTU RAYA" DI PEKAN?


Menjawab cabaran terhadapnya agar kekal berani bertanding di Pekan, Tun Mahathir Mohamad menyifatkan kawasan Parlimen yang diwakili Najib Razak itu sebagai kawasan "hantu raya".

Ini kerana, ujar beliau, jumlah pengundi kawasan itu berubah dengan jumlah yang agak banyak pada setiap kali pilihanraya diadakan.

Itu bukan kawasan pilihanraya, itu kawasan "hantu raya", tambah beliau.

Sebelum ini, Tun Mahathir ada melontarkan ura-ura kemungkinan akan bertanding di Pekan dan susulan daripada itu, sepupu Najib, Hishammudin Hussein mencabar Pengerusi Pakatan Harapan itu agar menunjukkan keberaniannya dengan kekal dengan pendirian tersebut.

Kalau beliau berani, saya sendiri bersama dengan Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan UMNO yang lain akan turun untuk mempertahankan Najib, tegas Hishammuddin.
Untuk melihat sama ada benar atau tidak kata-kata Tun Mahathir itu, mari kita lihat jumlah pengundi bagi Pekan sejak 1995 hingga 2013.

Pada pilihanraya 1995, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 24,565 iaitu mewakili 71.6 peratus daripada keseluruhan pengundi. Najib ketika itu menang dengan majoriti 10,793 undi.

Pada pilihanraya 1999, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 26,797 yang mewakili 74.78 peratus daripada jumlah pengundi. Najib ketika itu menang tipis hanya 241 undi saja.

Pada pilihanraya 2004, jumlah kertas undi yang dikeluarkan ialah 41,046 yang mewakili 77.9 peratus daripada seluruh jumlah pengundi. Pertambahan yang mendadak itu menyebabkan Najib menang dengan majoriti 22,922 undi, satu peningkatan yang cukup luar biasa.

Pada pilihanraya 2008, jumlah pengundi berdaftar yang direkodkan di Pekan ialah 58,217 dan kertas undi yang dikeluarkan sebanyak 47,870. Peratusan keluar mengundi ketika itu ialah 82.2 peratus. Majoriti kemenangan Najib menaik lagi kepada 26,464 undi.

Pada pilihanraya 2013 yang lalu, jumlah pengundi Pekan terus meningkat kepada 80,260 undi dan Najib menang menewaskan calon PKR, Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi.

Daripada statistik itu, jelas bahawa sejak pilihanraya 1999 di mana beliau hampir tewas ketika itu, jumlah pengundi di Pekan telah meningkat dengan mendadak.

Berapakah pula bertambahnya jumlah pengundi Pekan untuk pilihanraya akan datang?

Jawapan paling mudah - sudah tentu jumlahnya bertambahnya lagi. Berapa? Adakah ia sudah mencecah 100 ribu pengundi?

Siapakah mereka itu? 

Apakah kawasan perumahan bertambah dengan banyaknya di Pekan tahun demi tahun?

Apakah setiap tahun begitu ramai orang daripada luar Pahang memilih untuk berhijrah, bermastautin dan memulakan kehidupan baru di Pekan?

Apakah juga bermakna sejak awal tahun 80-an, orang-orang Pekan begitu produktif menambah bilangan ahli keluarga sehingga mampu menambah jumlah pengundi bermula pada pilihanraya 2004?

Ataukah mereka itu adalah  "hantu-hantu raya" yang didatangkan dari mana-mana yang peranannya semata-mata hanya untuk mengundi setiap lima tahun sekali saja? (ShahbudinHusin 25/07/2017)

Monday, 24 July 2017

PENEROKA PERLU BIJAK, MEREKA JUGA AKHIRNYA PERLU TANGGUNG GULA-GULA YANG DIUMUMKAN NAJIB


Seperti yang dijangka, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan “gula-gula” kepada peneroka-peneroka Felda, yang antara lainnya termasuk:
 
1. Wang tunai RM5,000 bagi setiap peneroka yang layak melibatkan peruntukan RM475 juta.

2. Sumbangan untuk mengurangkan pinjaman pembelian saham FGV yang ditanggung peneroka melibatkan peruntukan RM128 juta.

3. Pengurangan hutang penanaman semula peneroka sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka melibatkan peruntukan RM519 juta.

4. Dana RM300 juta sebagai tabung pinjaman untuk membantu penanaman semula.
 
Empat “gula-gula” utama ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.422 bilion pada masa Kerajaan Persekutuan dan Felda tidak mempunyai sumber kewangan.
 
Dato’ Seri Najib perlu memperincikan dari mana pentadbiran beliau akan memperolehi dana RM1.422 bilion ini supaya peneroka-peneroka tidak menjadi mangsa gula-gula Barisan Nasional buat kali kedua.
 
Perkara ini telah pun berlaku menjelang PRU13 apabila peneroka-peneroka Felda dibayar sagu hati sebanyak RM15,000 setiap keluarga kononnya sebagai “durian runtuh” akibat penyenaraian FGV. Perkara ini dilaporkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2013 seperti yang saya sertakan di sini – “durian runtuh” sebanyak RM1,687,922,299 (2012) dan RM4,917,440 (2013); serta bayaran “one-off” kepada kerajaan negeri sebanyak RM550,000,000.
 
Jumlah yang dibayar sebagai “gula-gula” menjelang PRU13 ialah RM2.243 bilion dan ini dimasukkan menjadi belanja yang ditanggung Felda untuk menyenaraikan FGV.
 
Wang untuk membayar “gula-gula” menjelang PRU13 ini diambil dari dana Felda termasuklah sebahagian besarnya pinjaman yang dibuat oleh Felda dari KWSP, yang banyaknya disalurkan kepada FGV (seperti nota dari penyata kewangan Felda yang saya lampirkan).
 
Sebab itu saya menyeru peneroka-peneroka Felda dan rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib pernah menggunakan duit rakyat dan peneroka untuk menyogok peneroka dengan “gula-gula” sebelum PRU13 dahulu. Selepas PRU13, peneroka Felda dan rakyat dibebankan dengan hutang yang diambil Felda untuk menyogok peneroka Felda sehinggalah Felda berada dalam keadaan yang parah sekarang.
 
Saya yakin Dato’ Seri Najib kini menggunakan muslihat yang sama – menggunakan wang rakyat yang akan ditanggung oleh rakyat untuk memberi sogokan kepada peneroka. Akhirnya, wang RM5,000 yang diberikan kepada peneroka akan menjadi hutang Felda yang sama-sama ditanggung oleh peneroka kemudiannya, seperti mana telah berlaku sebelum PRU13.
 
Hakikatnya, Felda sudah tidak ada wang untuk diagihkan seperti ini. Selepas penyenaraian FGV yang mengundang malang, Felda menanggung hutang sekurang-kurangnya sebanyak RM8 bilion.
 
Dalam keadaan keberhutangan itu, dalam tahun ini Felda membeli pula pegangan dalam syarikat perladangan di Indonesia milik sahabat Dato’ Seri Najib pada harga yang berkali ganda lebih tinggi melibatkan wang sebanyak RM2.2 bilion. Jumlah RM2.2 bilion itu sudah tentu dibayar dengan hutang sekali lagi.
 
Maka anggaran saya Felda kini berhutang sekitar RM10 bilion dengan bayaran faedah sekurang-kurangnya RM400 juta setahun. Kedudukan kewangan Felda hanya dapat dianggarkan kerana sehingga kini, Felda belum mengedarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016 walaupun kita sudah memasuki suku ketiga 2017.
 
Dalam keadaan ini, mustahil Felda mempunyai dana sendiri untuk membayar “gula-gula” pilihanraya sebanyak RM1.422 bilion ini.
 
Dana ini sama ada dipinjam lagi oleh Felda (yang akan diwariskan kepada peneroka kerana hutang Felda adalah hutang peneroka) atau diperuntukkan kerajaan dari kutipan GST atau wang PETRONAS – kedua-duanya bermakna lebih banyak potongan peruntukan kepada rakyat keseluruhannya kerana terpaksa dibelanjakan sebagai sogokan politik.
 
Yang saya paling kesali ialah pengumuman sogokan ini berpunca dari kegagalan, ketirisan, penyelewengan dan kebodohan pentadbiran Dato’ Seri Najib sendiri yang telah menyebabkan beban kepada peneroka Felda:
 
1. Penyenaraian FGV yang gagal telah menyebabkan peneroka Felda menanggung hutang pembiayaan pembelian saham-saham FGV sedangkan nilai saham mereka jatuh teruk. Jika Dato’ Seri Najib tidak menyenaraikan FGV seperti yang didesak oleh kami, maka masalah ini tidak akan timbul.

2. Hutang penanaman semula peneroka yang mencecah lebih seratus ribu ringgit setiap peneroka berpunca dari ketirisan dan penyelewengan dalam pelantikan kontraktor serta pengurusan penanaman semula yang lemah. Jika proses ini diuruskan dengan baik oleh Felda tanpa terdedah kepada harga tender yang tinggi kepada kontraktor yang dilantik, sudah tentu peneroka tidak perlu untuk menanggung hutang-hutang ini.
 
Dato’ Seri Najib mungkin merasakan sogokan yang diumumkan itu akan dapat mengembalikan sokongan peneroka Felda kepada Umno/BN. Beliau sepatutnya lebih bimbang bahawa rakyat keseluruhannya semakin memahami kos yang ditanggung rakyat akibat keputusan-keputusan bodoh dan penyelewengan pentadbiran beliau.
 
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.


Ulasan Blog - Tidaklah sukar sebenarnya untuk memahami bahawa gula-gula yang ditawarkan Najib Razak kepada para peneroka ini adalah umpan politik untuk menang piliharaya semata-mata. Ia boleh dikatakan sebagai ulangan kepada umpan RM15,000 yang diberikan pada pilihanraya 2013 lalu.

Oleh kerana ia umpan, tujuannya bukan untuk menyelesaikan masalah sebenar para peneroka Felda. Ia hanya untuk menghalalkan ganjaran demi ganjaran diberikan setiap kali pilihanraya tiba, walaupun hakikatnya Felda tidak ada duit dan terpaksa berhutang untuk membayar semua yang dijanjikan itu.

Jika ada pilihanraya lagi, ia akan diulang sekali lagi dalam bentuk yang lain pula. Itulah putarannya.

Sebab itu, Suara Generasi Kedua Felda sendiri tidak gembira dengan apa yang diumumkan Najib itu. Bagi mereka, masalah sebenar peneroka Felda ialah pengurusan ladang yang tidak cekap serta penyata hutang tidak diberikan kepada peneroka.

Kali ini,  entah di mana lagi Felda akan berhutang untuk membayar semua yang dijanjikan. Semua orang tahu Felda tidak banyak. FGV sendiri rugi banyak dan wangnya yang pernah ada suatu ketika dalulu sudah pun dibelanjakan macam-macam, antaranya beli hotel dengan harga mahal di London dan sebagainya.

Apabila perlu berhutang, bermakna peneroka sendiri yang akan menanggungnya untuk jangka masa panjang.

Diberikan sedikit wang saku, tapi akhirnya peneroka terpaksa menanggung hutang yang bukan saja banyak, malah berpanjangan. Sudahnya, peneroka juga rugi.

Yang untung, hanyalah UMNO dan BN yang sepanjang masa mempergunakan peneroka Felda. Sebab itu, peneroka perlu bijak dalam membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang.

Pakatan Harapan difahamkan turut menyediakan pelan keselesaan dan penyelesaian secara menyeluruh mengenai kedudukan para peneroka. Tunggu pengumuman mereka, jika ia adalah pilihan yang lebih baik, inilah masanya untuk berubah dan berhijrah. (ShahbudinHusin 24/07/2017)

JIKA MAHU DIKOREK, SEJARAH TUN M ATAU SEJARAH KJ YANG LEBIH HITAM?


Dengan garang, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan mahu merebut salah satu jawatan Naib Presiden dalam pemilihan akan datang berkata, UMNO akan menggali semula sejarah Tun Mahathir Mohamad ketika pemerintahannya dari 1981 hingga 2003 dahulu.

Kata beliau, tindakan itu bukan saja sebagai suatu serangan balas, tetapi juga untuk menjadikan bekas Perdana Menteri dan sekutunya dalam Pakatan Harapan tidak lagi selesa.

"Orang kata kami siasat skandal lama dalam kerugian forex, tetapi tak kisahlah berapa lama ia berlaku, kita perlu siasat salah laku.

"Saya tidak suka bercakap buruk, tetapi orang ini asyik menyalahkan pentadbiran sekarang sedangkan dia ada rekod lebih teruk. Jika tidak mahu sejarah dibuka kembali, duduk diam-diam saja.

"Tetapi dia cabar kami, cakap tentang semua benda...kleptokrasi dan macam-macam lagi. Jadi, sejarah akan dibuka. Kami akan gali dan bongkar, biar rakyat buat keputusan," kata KJ lagi di perasmian Meyuarat Perwakilan UMNO Kepala Batas, bahagian UMNO yang pernah dipiimpin oleh bapa mertuanya, Tun Abdullah Badawi.
Adakah Tun Mahathir gentar dengan tindakan itu?

Atau, adakah ia akan melemahkan beliau?

Tun Mahathir tentunya tiada masalah jika tindakan menggali dan mengorek sejarah kepimpinannya mahu dilakukan oleh kepimpinan Najib sekarang ini.

Beliau tidak saja dipercayai mampu menanganinya, malah tindakan itu secara tidak langsung merupakan serangan kepada UMNO sendiri yang akan menguntungkan Pakatan Harapan.

Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ia bukan saja bermakna semuanya adalah tentang UMNO dan BN, tetapi juga ketika itu Najib dan Tun Abdullah sendiri berada dalam kerajaan sebagai menteri.

Apa mereka buat ketika itu? 

Adakah terbukti mereka pernah bersuara atau hanya angguk membabi buta?

Jika semua kesalahan itu diungkit dan dikorek, manifestasinya ialah kerajaan UMNO dan BN memang tidak berguna di mata rakyat dan ia akan lebih memudahkan mereka menghumbannya daripada puncak kuasa dalam pilihanraya umum akan datang nanti.

Setidak-tidaknya, dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir sekarang, beliau bukan saja  menentang perlakuan Najib yang lebih membawa kerosakan kepada negara, malah juga untuk menebus kembali salah silapnya di masa lalu.

Tidakkah tindakan Tun Mahathir sekarang ini  patut dipuji dan disokong berbanding jika beliau hanya diam dan terus bersekongkol dengan kebatilan serta kemungkaran?

Selain itu, jika sejarah silam mahu dikorek dan diungkit, KJ juga harus ingat bahawa beliau sendiri banyak sejarah silam yang kelam dan hitam ketika era pemerintahan Tun Abdullah Badawi dahulu.

Apakah beliau lupa semua itu?

Seorang rakan, apabila terbaca berita mengenai KJ mengatakan mahu mengorek sejarah silam Tun Mahathir, lantas kegembiraan kerana memberinya idea spontan untuk menerbitkan sebuah buku mengenai kisah silam KJ bermula daripada kerja awalnya sebagai pegawai khas di pejabat Tun Abdullah (ketika itu masih menjadi Timbalan Perdana Menter), dilantik Exco Pemuda oleh Hishammudin, menjadi menantu Tun Abdullah, bertanding Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda yang penuh kontroversi, menguasai pentadbiran kerajaan melalui apa yang dikata budak-budak tingkat 4, didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Singapura sehingga banyak saham-saham kerajaan dijual kepada Temasek Holding dan 1001 macam yang lain lagi.

Kata kawan tersebut, beliau akan cuba menyiapkan buku itu untuk pengetahuan generasi akan datang, kalau pun tidak diedar dan dijual menjelang PRU 14 akan datang, ia mungkin akan dilakukan sebelum pemilihan UMNO nanti.

Adakah sejarah silam Tun Mahathir menyebabkan wujudnya tanggapan campurtangan asing dalam kerajaan, harta-harta negara dijual sesuka hati dan kerajaan jadi lemah serta kucar-kacir?

Antara sejarah silam KJ dengan Tun Mahathir, sejarah siapakah sebenarnya yang lebih kelam, hitam dan memalukan UMNO serta negara? (ShahbudinHusin 24/07/2017).

Sunday, 23 July 2017

YANG MANA BENAR, 99 PERATUS ATAU 1 PERATUS?


Benarkah 99 peratus tuduhan-tuduhan mengenai Rosmah Mansor selama ini adalah tidak benar?


Jika 99 peratus tuduhan itu tidak benar, sudah tentu bermakna hanya 1 peratus saja yang benar.


Kalau 99 peratus tidak benar, kenapa hanya satu perkara iaitu pejabat Rosmah di Seri Perdana saja yang ditampilkan sebagai contoh tuduhan tidak benar tersebut?


Soalnya, adakah tuduhan mengenai pejabat itu begitu berleluasa diperkatakan atau hanya pernah sekali sekala saja diperkatakan suatu ketika dahulu?

Bagaimana tentang banyak tuduhan serta dakwaan yang lain yang lebih kerap diperkatakan?


Apakah dakwaan mengenai hobi membeli-belah tidak benar?


Apakah dakwaan mengenai koleksi beg tangan tidak benar?


Apakah dakwaan mengenai barang kemas, cincin, gelang, dan rantai leher tidak benar?


Apakah dakwaan mengenai penggunaan jet tidak benar?


Apakah dakwaan mengenai kemewahan, pembaziran dan pembelian barangan mahal tidak benar?


Apakah berita dan gambar  tentang aktiviti membeli-belah yang pernah tersiar di pelbagai media, portal antarabangsa dan portal dalam negara semuanya tidak benar?


Oleh kerana Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib, adakah dakwaan DOJ bahawa isteri MO1 ada menerima pelbagai hadiah barang kemas bernilai RM128 juta daripada Jho Low juga tidak benar?


Apakah pelbagai kemewahan majlis perkahwinan anak perempuan Rosmah sebagaimana yang kerap diceritakan oleh Tun Mahathir dalam ceramahnya sebelum ini tidak benar?


Ohhh....apa lagi?


Jika mahu dikutip satu persatu dakwaan mengenai Rosmah sejak 2009 lagi yang pernah didedahkan di pebagai media, senarainya mungkin terlalu panjang dan apakah 99 peratus daripadanya benar-benar tidak benar?


Apakah tuduhan 99 peratus tidak benar dan apakah pula 1 peratus yang benar itu?


Kiranya begitu banyak dakwaan tidak benar, mengapa tidak ada satu pun tindakan saman diambil?


Malah, kenapa cabaran Tun Mahathir agar beliau disaman pun sehingga sekarang tidak disahut?


Atau, mungkinkah 99 peratus  tuduhan adalah benar dan hanya 1 peratus tidak benar?


Manalah tahu kan..kan...kan!! (ShahbudinHusin 23/07/2017)

ENAM LAWAN ENAM


Rasanya semua orang sudah tahu mengenai enam inisiatif kepada para peneroka Felda sebagaimana yang diumumkan oleh Najib Razak, pagi tadi.

Pengumuman itu secara langsung dan tidak langsung memperlihatkan Najib tidak boleh lari daripada amalan serta budaya "cash is king" yang memang sudah sebati dengan jiwanya.

Semua yang berkaitan Najib ialah duit, duit dan duit. Semuanya mesti hulur, hulur dan hulur. Kalau tidak pun, pasti bayar, bayar dan bayar.
Yang dihulur dan dibayar dengan duit, yang masuk ke akaun sendiri pun duit.

Tetapi, sementara para peneroka Felda mungkin gembira serta teruja dengan enam inisiatif tersebut, pengundi dan rakyat Malaysia keseluruhannya tidak harus lupa kepada sekurang-kurangnya 'enam inisiatif' sedia ada untuk terus disematkan dalam hati dan jiwa mereka"

Apa dia 'enam inisiatif' sedia ada tersebut?

1. 1MDB dan duit RM2,600 juta.
2. KWAP dan SRC International.
3. Jho Low, Rosmah Mansor, Riza Aziz.
4. GST yang merobek poket setiap hari.
5. Scorpene, Altantuya dan komisen RM500 juta.
6. FGV, NFC dan Tabung Haji.

Jika mahu disenaraikan semuanya, memang panjang tetapi dengan sentiasa mengingati 'enam inisiatif' di atas pun sudah memadai sebagai pedoman untuk menyelamatkan negara dan tidak menjadikan kita terus menjadi mangsa kerakusan sang penguasa. (ShahbudinHusin 23/07/2017).

Saturday, 22 July 2017

ZAHID HAMIDI 'MENGHASUT' DI SABAH?

Dalam usaha memastikan UMNO dan BN kekal berkuasa lagi di Sabah, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumpamakan tindakan atau percubaan memisahkan rakyat negeri itu daripada pemerintahan yang ada sekarang seperti langkah Brexit yang telah berlaku di Britain, baru-baru ini.

Kata beliau, tindakan pihak luar termasuk bekas pemimpin UMNO di peringkat nasional dan negeri cuba "membrexitkan"  rakyat Sabah daripada UMNO dan BN adalah suatu langkah yang silap dan bakal merugikan rakyat serta negeri itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan percubaan tersebut.

Wajarkah perbandingan Zahid Hamidi itu?

Pertama, tindakan Zahid Hamidi mengumpamakan Brexit dengan pilihan atau selera rakyat dalam pilihanraya adalah suatu perbandingan yang sama-sekali salah dan tidak betul.

Brexit adalah langkah Britain mengadakan pungutan suara untuk rakyat membuat pilihan sama ada mahu kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah. Kedudukan Britan dalam Kesatuan Eropah terikat dengan perjanjian sebagai sebuah negara dan sebab itu apabila ada rakyatnya merasakan lebih baik keluar, suatu pungutan suara telah diadakan.

Dalam pungutan suara itu, kira-kira 60 peratus rakyatnya memilih untuk Britain keluar daripada Kesatuan Eropah. Maka, kini  Britain tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kesatuan Eropah.

Soal baik atau tidak keputusan itu bagi rakyat dan negara Britain, ia adalah pilihan mereka. Mungkin hanya kita yang merasakan tindakan Britain itu tidak baik, tetapi tidak bagi rakyatnya.

Di Sabah, dalam pilihanraya akan datang, rakyat negeri itu tidak minta keluar daripada Malaysia. Mereka hanya mahu menukar parti pemerintah daripada UMNO dan BN kepada parti lain yang mereka rasakan dapat memberi pembelaan dan perkhidmatan lebih baik.

Menukar parti pemerintah adalah sesuatu yang dibolehkan dalam sistem demokrasi, malah tidak ada perjanjian yang mengatakan UMNO dan BN mesti jadi parti pemerintah di Sabah sampai kiamat.

Pilihanraya diadakan setiap lima tahun ialah untuk memberi pilihan kepada rakyat menukar kerajaan.

Sebelum UMNO dan BN memerintah Sabah, negeri itu bahkan sudah beberapa berukar parti. USNO, Berjaya dan PBS adalah parti yang pernah memerintah Sabah sebelum kedatangan UMNO dan BN.

Jika bertukar parti sudah menjadi perkara biasa Sabah dan perkara itu tidak terikat dengan perjanjian apa-apa serta tidak membawa keluarnya negeri itu daripada Malaysia, kenapa Zahid cuba menyamakannya dengan Brexit di Britain?

Adakah Zahid cuba menakut-nakutkan pengundi Sabah dengan suatu perbandingan yang hakikatnya jauh melencong?

Tidakkah perbuatan menakut-nakutkan itu suatu bentuk hasutan?

Atau ia merupakan petanda sahih bahawa UMNO dan BN sudah begitu terdesak untuk mengekalkan kuasanya di Sabah sehingga terpaksa menggunakan sentimen menakut-nakutkan seperti itu? (ShahbudinHusin 22/07/2017)

APA JAMINAN ZAHID HAMIDI KALI INI?

Ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia mahu didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan pada Julai 2016 dahulu, Zahid Hamidi dengan pantas memberi jaminan pihaknya tidak ada masalah untuk meluluskan pendaftaran parti baru itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, jika semua syarat-syaratnya sudah dipatuhi, beliau akan menyegerakan kelulusannya.

Katanya lagi, sebarang keputusan akan diketahui dalam tempoh 30 hari selepas ia dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Jabatan Pendaftar Pertubuhan adalah di bawah tanggungjawab saya, kalau syarat-syaratnya dipenuhi, kelulusannya Insya Allah,  akan disegerakan, demikian Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata.

Dan sebagaimana yang terbukti kemudian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad akhirnya menerima kelulusan pada 9 Ogos 2016, iaitu tidak lari daripada tempoh sebulan sebagaimana yang dijanjikan oleh Zahid Hamid.

Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM sendiri ketika itu berkata, "Kita nak ucapkan terima kasih kepada Pendaftar Pertubuhan dan Menteri Dalam Negeri kerana memberi kelulusan ini dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang pernah dijanjikan."

Kini, setelah PPBM didaftarkan, Tun Mahathir akan memasuki fasa kedua dengan mendaftarkan pula Pakatan Harapan, sebuah gabungan rasmi untuk menentang BN.

Sama seperti PPBM, Tun Mahathir juga adalah Pengerusi Pakatan Harapan.

Dengan struktur kepimpinan dan logo HAR🔺PAN sudah dipersetujui dan diumumkan minggu lalu, yang terpenting sekali ialah pendaftaran Pakatan Harapan itu akan membolehkan penggunaan satu logo untuk berlawan dengan dacing yang mewakili BN.

Permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan dijangka akan dikemukakan pada minggu depan.

Soalnya, apa jaminan Zahid Hamidi kali ini?

Akan disegerakan? 30 hari akan diluluskan? Atau bagaimana?

Masihkah ada jaminan daripada Zahid Hamidi sama seperti kepada PPBM dahulu atau layanan kepada Pakatan Harapan kali ini akan jadi berbeza? (ShahbudinHusin 22/07/2017)

Friday, 21 July 2017

TUN M DIPILIH KERANA PENGARUH DAN KEYAKINAN, PAKATAN HARAPAN DI LANDASAN BETUL MENUJU KEMENANGAN


Dilihat daripada cara pemimpin UMNO menyerang Tun Mahathir Mohamad dan dalam masa yang sama terus mempropagandakan bahawa DAP yang sebenarnya paling berkuasa dalam Pakatan Harapan berikutan memiliki lebih kerusi Parlimen, ia tidak lain memberi gambaran mereka sedang terancam dan kelemasan.

Jika dulu mereka mempersoalkan kenapa DAP tidak menerajui Pakatan Harapan serta seolah-olah bersimpati kerana tiada pemimpin DAP disenaraikan dalam tiga kedudukan teratas gabungan pembangkang itu, kini mereka sendiri yang menjaja cerita bahawa Tun Mahathir hanyalah boneka semata-mata.

Bolehkah dipercayai Tun Mahathir sedia menjadi boneka kepada sesiapa?

Adakah mereka fikir Tun Mahathir sama seperti Najib yang mudah diperkuda dan dikuasai oleh Jho Low?

Tambah mereka, oleh kerana DAP memiliki 37 kerusi Parlimen berbanding Bersatu hanya satu, sebenarnya parti itulah yang paling berkuasa, menentukan haluan dan pembuat keputusan dalam Pakatan Harapan.

Dengan terus menjadikan DAP sebagai belasahan untuk menyerang Tun Mahathir, ia dengan sendirinya mengesahkan UMNO dalam keadaan kebimbangan dengan penguasaan mereka terhadap kerajaan yang bakal hilang.

Hakikatnya, mereka tahu bahawa struktur kepimpinan Pakatan Harapan dengan Tun Mahathir menjadi pengerusinya,  ia adalah ancaman sebenar kepada hayat politik Najib, UMNO dan BN.

Tun Mahathir dengan kedudukan tersebut kini berada dalam keadaan cukup selesa untuk mencetuskan bukan saja tsunami Melayu, bahkan juga tsunami rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Siapakah lagi yang paling dipercayai untuk memulihkan negara, menstabilkan ekonomi dan memberi harapan baru kepada rakyat melainkan sosok Tun Mahathir yang terpacak banyak mercu tanda sepanjang 22 tahun pemerintahannya untuk dikenang dan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia?

Apakah Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB, memperkenalkan GST, menarik subsidi dan dan membuatkan rakyat terbanyak sakit hati, mampu menandingi rekod cemerlangnya?

Adakah Najib yang dibantu oleh Zahid Hamidi mampu menahan arus perubahan di sebaliknya sudah berbaiknya Tun Mahathir dengan Anwar Ibrahim dan masing-masing sedia melupakan cerita silam demi memulihkan negara yang hampir rosak binasa?

Semua persoalan ini ada jawapannya di sebalik semua serangan yang ditujukan oleh UMNO kepada Tun Mahathir dan kebergantungan mereka untuk terus mengaitkannya dengan DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan.

Dalam hal ini, mereka sebenarnya lupa bahawa Pakatan Harapan tidak sama seperti BN. Dalam BN, semua jawatan utamanya dimonopoli oleh pemimpin UMNO. Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan beberapa jawatan lagi,  semuanya diisi oleh pemimpin UMNO.

Ia tiada kestabilan dan tiada hak sama rata, meskipun hakikatnya tanpa sokongan kerusi di Sabah dan Sarawak, BN sudah pun lama berlayar malam kuasa digenggaman.

Ia berbeza dalam Pakatan Harapan. Semua parti ada hak dan kedudukan seimbang serta sama rata. Pemilihan dan pembahagian jawatan tidak disandarkan kepada berapa jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki, tetapi bersandarkan keyakinan, keperluan dan pengaruh untuk mencetuskan perubahan.

Tun Mahathir dipersetujui sebagai pengerusi atas keyakinan bahawa beliau mampu dan berkedudukan lebih baik untuk menyingkirkan Najib memandangkan Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2013 lalu, kini sedang berada di penjara. 

Jika Najib berprestasi lebih buruk dalam pilihanraya 2013 berbanding pencapaian Tun Abdullah Badawi pada 2008 sedangkan dikata lemah dan banyak masalah, apakah beliau mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang sepanjang lima kali pilihanraya diterajuinya semua dengan keputusan cemerlang dua pertiga?

Najib, pimpinan UMNO dan semua penasihat Seri Perdana pasti sedar mengenainya dan inilah yang sedang membuatkan mereka pening kepala. Bersama segala masalah yang melingkari Najib, peluang untuk beliau bertahan cukup tipis sebenarnya.

Sementara Najib dan semua pimpinan UMNO sedang cuba membelasah dan melemahkan Tun Mahathir, sambil berharap dengan berterusan mengaitkan Pakatan Harapan tetap dikuasai DAP akan sedikit sebanyak membantu, perbualan di banyak peringkat dalam UMNO sendiri sudah pun beralih kepada pertanyaan lain - adakah Najib bakal melarikan diri ke luar negara sebelum tiba tarikh piliharaya?

Pertanyaan yang semakin merebak di mana-mana itu dengan jelas memperlihatkan keyakinan UMNO dan BN sendiri untuk menang sudah kian menipis dan berkurangan.

Tun Mahathir di sebalik keyakinan Pakatan Harapan akan mengambil alih kerajaan, turut melahirkan kebimbangan jika Najib akan melakukan penipuan untuk terus mengekalkan kuasanya.

Namun, bagaimana jika penipuan tidak berjaya atau tidak upaya menahan kemenangan yang dijulang oleh semangat perubahan membuak-buak daripada rakyat?

Adakah melarikan diri tetap suatu pilihan atau adakah Najib sekuat Anwar yang sedia berhadapan dengan perbicaraan, hukuman dan pemenjaraan apabila tidak lagi berkuasa? (ShahbudinHusin 21/07/2017)

PENJAWAT AWAM LEBIH UNTUNG BILA KERAJAAN MUDAH BERTUKAR TANGAN


Selain undi orang kampung dan peneroka Felda, satu lagi faktor yang banyak membantu kemenangan UMNO dan BN selama ini ialah sokongan kakitangan awam.

Dengan jumlah seramai 1.6 juta orang atau seorang bagi setiap 19 rakyat Malaysia, sokongan kakitangan awam tidak dinafikan adalah kelebihan yang nyata bagi UMNO dan BN dalam mengekalkan kuasa.

Walaupun Najib Razak baru-baru ini dilaporkan memberitahu pimpinan UMNO bahagian-bahagian bahawa sokongan kakitangan awam masih berpihak kepada kerajaan pimpinannya, tetapi sepertimana yang disedari oleh sebahagian besar daripada kita, perkara itu adalah subjektif sebenarnya.

Mungkin Najib hanya mendapat jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau sekadar untuk menyedapkan hatinya saja.
Hakikatnya, di mana-mana kita boleh berjumpa dengan kakitangan awam yang tidak puas hati, kecewa dan marah kepada kerajaan atas pelbagai faktor. Di peringkat atas, mungkin ramai yang masih berpihak kepada UMNO dan BN, tetapi di peringkat pertengahan dan bawah, sokongan itu sudah jadi bercampur-campur sebenarnya.

Perlukah kakitangan awam sentiasa menyokong UMNO, BN dan pimpinan kerajaan sedia ada atau lebih menguntungkan jika mereka mengintai-intai kepada sebuah kerajaan baru?

Sebagai kakitangan awam, tugas,  khidmat dan sokongan memang perlu diberikan kepada kerajaan yang sedang berkuasa. Tetapi, ketika pilihanraya, mereka tetap berhak memberi undi kepada sesiapa saja yang disukai.

Tidak ada ketetapan atau kewajipan bahawa kakitangan awam mesti mengundi UMNO dan BN. Ketika mengundi, yang diundi bukan kerajaan, tetapi parti politik.

Sinonimnya UMNO dengan kerajaan selama ini ialah kerana pertukaran kerajaan tidak pernah berlaku sejak merdeka lagi. Ia sudah jadi seolah-olah UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO.

Dalam memastikan undi tidak beralih arah, malah selalu kedengaran pimpinan UMNO mengingatkan kakitangan awam agar tidak menggigit jari pihak yang memberi mereka makan. Kakitangan awam seolah-olah diugur untuk terus menyokong UMNO dan BN serta jangan sesekali memberi undi kepada pembangkang.

Keadaan itu bukan saja salah, bahkan jauh menyimpang. Berkhidmat dengan kerajaan tidak bererti bekerja dengan UMNO dan BN. UMNO dan BN menguasai kerajaan hanya kerana kebetulan mereka terus mendapat sokongan, namun ia adalah perkara yang boleh berunah setiap kali pilihanraya diadakan.

Apa pun perubahan dalam kerajaan atau bertukar parti yang membentuk kerajaan, penjawat awam tetap kekal berkhidmat dengan kerajaan. Mereka tidak boleh sesukat hati diberhentikan atau dibuang hanya kerana parti lain yang memerintah.

Dalam hal ini, kakitangaan awam sebenarnya punya kelebihan. Jika mereka tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi, gaji tidak meningkat, beban kerja bertambah sedangkan dalam masa yang sama pemimpin parti yang sedang menguasai kerajaan bebas bersukaria berbelanja, membazir, mengamalkan rasuah dan sebagainya, berubah dan mengalihkan sokongan adalah pilihan yang paling wajar.

Kakitangan awam harus berani memberi pengajaran kepada orang-orang politik yang ada jawatan dalam kerajaan dengan menolak mereka dan seterusnya memberi keutamaan kepada pemimpin parti lain pula untuk mentadbir kerajaan. Dalam masa yang sama, kedudukan mereka terus juga kekal sebagai penjawat awam.

Jika dilihat dalam konteks Selangor dan Pulau Pinang misalnya, perubahan kepimpinan kerajaan akhirnya memberi keuntungan kepada penjawat awam itu sendiri. Hanya kerana bertukar kerajaan, mereka dapat bonus dua dan dua bulan setengah gaji, manakala di Pusat dan di negeri-negeri lain yang masih ditadbir UMNO, imbuhannya masih lagi dalam lingkungan RM500 saja.

Mungkin juga pertukaran kerajaan turut membawa beberapa manfaat lain lagi kepada penjawat awam. Pertukaran kerajaan tidak sesekali merugikan penjawat awam kerana yang hilang jawatan dengannya hanyalah anggota pentadbiran atau pemimpin politik yang menempek di tampuk kerajaan saja.

Lantaran itu, kenyataan Cuepacs bahawa tiada jaminan penjawat awam akan terus mengundi BN adalah kenyataan yang tepat dan bijak. Lagi mudah kerajaan bertukar tangan, lagi banyak keuntungan menunggu masa depan mereka. (ShahbudinHusin 21/07/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...