Wednesday 31 May 2017

BENARKAH FLORENCE GOH HANYA "BAYANGAN" KEPADA SUAMINYA?


Akhirnya seseorang yang bernama Florence Goh muncul mendedahkan dirinya yang sebenar. Beliau yang nama penuhnya Florence Goh Siew Boy menafikan dirinya ada kaitan dengan Godfrey Group Limited yang didakwa membayar lebih RM1 kepada pelobi di Amerika Syarikat bagi pihak kerajaan Malaysia.

Berikutan itu dan setelah menyedari kesilapannya, Rafizi Ramli turut memohon maaf atas kesilapan mengaitkan wanita tersebut dengan Godfrey.

Namun demikian, Rafizi tetap meminta Florence Goh yang sebenar yang merupakan pemilik Godfrey agar segera tampil kepada khalayak menjelaskan mengenai isu yang timbul sekarang ini. 

Beliau seterusnya turut menghargai sekiranya Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong dapat mengaturkan sidang akhbar untuk kemunculan Florence Goh yang sebenar itu, sebagaimana beliau mengadakan sidang akhbar bersama Florence Goh Siew Boy, padi tadi.

Dalam erti kata lain, sebenarnya terdapat dua atau lebih daripada seorang yang bernama Florence Goh yang beralamat di Jalan Molek, Johor Bahru. Kesilapan Rafizi bukan bermakna Florence Goh itu tidak wujud atau butiran dakwaannya tidak benar.

Rafizi hanya tersilap mengaitkan orang yang salah dengan Godfrey, tetapi hakikatnya wanita yang bernama Florence Goh yang namanya diletakkan dalam borang Jabatan Kehakiman AS itu memang benar-benar wujud.

Siapakah dia Florence Goh sebenar yang ada kaitan dengan Godfrey itu?

Dua Ahli Parlimen di Johor, Shahrir Samad dan Nur Jazlan secara terbuka mengakui mengenali Florenca Goh yang banyak terlibat dalam aktiviti amal, cuma mereka tidak mengetahui kaitannya dengan Godfrey yang didakwa membayar kepada pelobi di Amerika Syarikat itu.

Malah, Nur Jazlan sebagaimana dipetik dalam sebuah portal mengatakan beliau sudah terlibat dengan aktiviti amal bersama Florenco Goh sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.

Dalam hubungan ini, saya ada menerima email daripada seorang kenalan yang pernah aktif di peringkat Pemuda UMNO Malaysia serta diketahui mempunyai ramai kawan-kawan yang berjawatan dalam UMNO dan juga kerajaan.

Sekiranya kandungan email itu benar,  ia bukan saja mengesahkan lagi kewujudan Florence Goh yang  dikaitkan dengan Godfrey, tetapi juga menyebut bahawa wanita tersebut hanyalah "penama"  atau "bayangan" dalam syarikat itu di mana yang sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan orang atasan ialah suaminya yang dipercayai bernama Jaya Sudhir.

Jaya Sudhir dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Pengerusi Boustead sekarang dan terlibat dalam banyak urusniaga dengan syarikat tersebut.

Sebelum ini, Tan Sri Lodin juga pernah dilantik menjadi Pengerusi 1MDB oleh Najib, tetapi sudah melepaskan jawatan itu.

Dalam email itu juga diberitahu bahawa Jaya Sudhir mempunyai hubungan rapat dengan Tun Abdullah Badawi ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan didakwa memperolehi banyak projek kerajaan waktu itu.

(Jika rajin google, lebih banyak lagi maklumat mengenai Jaya Sudhir boleh diperolehi, termasuk beberapa blog dan portal juga pernah menulis mengenainya suatu ketika dahulu)

Selain didakwa masih mengekalkan hubungan baiknya dengan Tun Abdullah, Jaya Sudhir juga dikatakan mempunyai hubungan agak rapat dengan Najib.

Apakah kemunculan Florence Goh dan Godfrey ini sebagai sebahagian usaha Jaya Sudhir untuk meletakkan dirinya mendapat lebih kepercayaan dan seterusnya bagi tujuan menjalin hubungan lebih kukuh dengan kepimpinan Najib?

Apa pun, Florence Goh yang sebenar tidak harus terus mendiamkan diri atau menyembunyikan dirinya lagi. Dengan "Florence Goh palsu" telah mendedahkan dirinya, Florence Goh yang sebenar semakin kesempitan ruang untuk mengelakkan dirinya daripada terus menyembunyikan diri. (ShahbudinHusin 31/05/2017).

FLORENCE GOH PERLU TAMPIL DEDAH SIAPA DIRINYA YANG SEBENAR


Siapa sebenarnya Florence Goh yang syarikat miliknya, Godfrey Group Limited didedahkan menandatangai dan membayar lebih RM1 juta kepada bekas pegawai kempen Donald Trump untuk melobi bagi pihak Malaysia dengan negara kuasa besar itu?

Meskipun Pejabat Perdana Menteri ada menafikan sebarang penglibatan beliau dan kaitanya dengan apa yang didedahkan itu, tetapi bukti-bukti yang ditampilkan berkaitan bayaran dan salinan borang yang dikemukakan kepada Jabatan Kehakiman AS memperlihatkan bahawa penafian semata-mata tidak lagi memadai.

Malah, pendedahan terbaru oleh Rafizi Ramli bahawa dua Ahli Parlimen, Shahrir Samad dan Nur Jazlan Mohamed didapati pernah hadir dalam program NGO yang diterajui oleh Florence Goh dan berada bersama-sama dengannya, tentu saja menimbulkan lebih banyak persoalan lagi.

Ia bukan saja membuktikan Florence Goh itu benar-benar wujud, tetapi juga menunjukkan beliau memang selalu bergaul dengan orang-orang atasan dan agak dikenali ramai.

Shahrir dan Nur Jazlan turut mengakui mereka memang mengenali Florence Goh sebagai individu yang banyak terlibat dengan aktiviti amal, namun tidak menyedari atau mengetahui kaitannya dengan Godfrey.

Jadi, siapa Florence Goh ini?

Adakah beliau kenalan rapat Najib Razak dan mempunyai hubungan tertentu dengan Perdana Menteri?
Bagaimana Florenca Goh dan Godfrey boleh membayar bagi pihak kerajaan Malaysia kepada pelobi di AS jika beliau tidak mengenali Najib?

Atau adakah orang-orang tertentu di Pejabat Perdana Menteri yang mempunyai hubungan rapat dengan wanita misteri itu?

Mengharapkan Najib atau Pejabat Perdana Menteri bersikap telus, jujur dan berterus-terang mengenai Florence Goh dan Godfrey barangkali terlalu sukar melihatkan kecenderungan beliau kebelakangan ini yang lebih gemar mendiamkan diri atau tidak menjawab banyak isu yang timbul dalam negara.

Lihat saja rentetan isu yang timbul kebelakangan ini berkaitan 1MDB dan SRC International serta bayaran-bayaran tertentu yang didedahkan dibayar menggunakan akaun bank peribadinya, Najib hanya menunjukkan "muka sardin", membisu dan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kadang-kadang ia membuatkan kita terfikir, jenis Perdana Menteri apa yang kita ada sekarang ini?

Dalam soal ini, sebelum lebih banyak perkara didedahkan mengenai Florence Goh atau Godfrey, sama ada oleh media di AS atau Rafizi, wanita tersebut perlu segera tampil menjelaskan siapa dirinya yang sebenar kepada rakyat.

Rakyat berhak tahu mengenai urusniaga dan bayarannya yang telah dibuatnya kepada pelobi AS itu dan untuk tujuan apa kerja-kerja lobi itu dilakukan.

Adakah lobi itu turut melibatkan kes 1MDB atau merancang suatu pertemuan di mana Najib akhirnya dapat berselfie dengan Trump?

Florence Goh tidak harus terus berdiam diri atau menyembunyikan dirinya di ketika rakyat semakin ramai bercakap mengenai dirinya, tambahan lagi gambarnya pun sudah mula tersebar luas sekarang ini.

Selagi beliau tidak memunculkan diri dan enggan berterus-terang mengenai urusniaganya bagi pihak Malaysia dengan pelobi di AS itu, ia hanya menambahkan lagi minat pelbagai pihak untuk terus mengorek mengenai siapa dirinya yang sebenar. (ShahbudinHusin 31/05/2017).

Tuesday 30 May 2017

MEMANG PATUT TUAN IBRAHIM MENEGUR


Bukan merupakan kebiasaan bagi pimpinan utama Pas menegur pemimpin bawahan mereka yang didapati mengeluarkan ucapan dan kata-kata yang melampau atau menyinggung pihak lawan.

Selalunya, perbuatan itu didiamkan begitu saja.

Tetapi, Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini memangku jawatan Presiden Pas berikutan Hadi Awang sedang menerima rawatan pemulihan kerana pembedahan injap jantung, telah melakukan sebaliknya dan bertindak terpuji susulan tulisan YDP Pas Gombak, Salehuddin Nasir yang dilihat tidak wajar sama-sekali berkaitan majlis berbuka puasa melibatkan pemimpin DAP.

Pemimpin Pas kawasan itu bukan saja menulis secara tidak wajar, melulu dan emosi, malah juga melakukan fitnah dengan mengaitkan DAP dengan pesta arak dan majlis onani yang sebenarnya bukan anjuran parti itu.
Membaca tulisannya itu pasti ramai yang geleng kepala kerana imej beliau sebagai pemimpin Islam yang selalu tampil berkopiah dan nampak sopan, sedangkan budak-budak rock atau orang biasa yang pakai topi pun tidak menulis seburuk itu bahasa dan tuduhannya kepada pihak lain.

Ketika pemimpin-pemimpin Pas lain masih berdiam diri dan "berat mulut"  untuk menegur, Tuan Ibrahim dengan berani tampil menegur serta menasihati pimpinan bawahan atau sesiapa dalam parti itu agar menjaga tulisan mereka.

Malah, beliau juga menjarakkan diri dengan mengatakan tulisan sebegitu rupa tidak menepati dasar parti atau mewakili pendirian parti.

Jika diselak sejarah yang tidak terlalu lama, tindakan pemimpin Pas peringkat bawahan yang bertindak keterlaluan, emosi dan tidak menjaga adab,  bukanlah sesuatu yang asing sebenarnya.

Sebelum ini, ada di antara mereka yang mengatakan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, jika tidak menyokong usul Akta 355, kiranya meninggal dunia nanti,  sudah layak dikebumi di jirat Cina.

Minggu lalu, seorang bekas pemimpin Pas yang mengetuai sebuah NGO telah mengadakan demonstrasi melarang Ketua Menteri Pulau Pinang menghadiri majlis berbuka puasa, kecuali jika memeluk Islam terlebih dahulu.

Dalam demonstrasi yang sama juga telah berlaku kejadian tampar yang melibatkan seorang pegawai kepada Lim Guan Eng.
Namun, jika diselak sejarah bertahun-tahun sejak kewujudan Pas, tindakan keterlaluan, tidak wajad dan emosi bukanlah sesuatu yang asing sebenarnya. 

Melabel, menuduh dan memfatwa dengan hukum sembrono terhadap pihak yang dimusuhinya, boleh dikatakan sudah menjadi amalan biasa.

Carilah akhbar lama, kaset atau cakera padat ucapan pemimpin-pemimpin mereka, pasti ditemui "macam-macam ada" di situ.

Sebagaimana biasa, perbuatan itu tidak pernah ditegur dan hanya dibiarkan saja. Tidak kedengaran perbuatan itu pernah ditegur.

Namun, permulaan memberi teguran dan peringatan sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan Ibrahim ini, bukan saja wajar, malah terpuji sekali, meskipun pemimpin Pas yang lain nampaknya masih kekal suka mendiamkan diri.

Tuan Ibrahim, selain satu-satunya yang masih mahu bercakap tentang skandal dan penyelewengan 1MDB, juga adalah pemimpin Pas yang nampkanya kekal terserlah hati dan jiwa yang suci.

Mulai sekarang, beliau mesti terus konsisten menegur dan membetulkan apa-apa yang tidak sihat, tetapi berleluasa dalam parti itu. 

Pas akan kembali berwibawa dan dihormati jika mutlak berada di bawah pimpinannya. (ShahbudinHusin 30/05/2017).

HAMIDAH OSMAN MASUK PARTI EZAM?


Naib Presiden Bersatu, Hamidah Osman dipercayai akan meninggalkan parti itu dalam waktu terdekat ini untuk menyertai Parti Bebas Rasuah pimpinan Ezam Mohd Nor.

Hamidah yang kini bermasalah dengan Bersatu dan semalam didesak oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar meletakkan jawatan kerana didakwa menjadi dalang dalam isu perpecahan parti itu di peringkat negeri Perak, dikatakan tiada pilihan lain selain menyertai Parti Bebas Rasuah untuk meneruskan perjuangan politiknya.

Walaupun Hamidah didakwa sudah sekian lama memendam rasa dengan Bersatu atas beberapa perkara, cabaran Syed Saddiq semalam dikatakan menjadi antara punca beliau mempercepatkan tindakannya itu.

Sebelum ini, sudah terdapat rakan-rakannya yang mencadangkan beliau berbuat demikian, tetapi mereka mahu Hamidah meninggalkan Bersatu setelah Parti Bebas Rasuah diterima sebagai anggota baru Pakatan Harapan.
Namun, kini hasrat itu terpaksa dipercepatkan kerana terus kekal dalam Bersatu pun tidak bermakna apa-apa lagi baginya.

Hamidah dikatakan tidak akan akan memilih untuk kembali kepada UMNO kerana masih ingin bersama-sama dengan Tun Mahathir Mohamad dalam perjuangan menyingkirkan Najib Razak, UMNO dan BN.

Hamidah dipercayai hanya bermasalah dengan Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu dan dengan menyertai Parti Bebas Rasuah, wadah saja yang berbeza baginya tetapi matlamatnya tetap sama sebagaimana sebelum ini.

Selepas menyertai Parti Bebas Rasuah, Hamidah dipercayai akan diberikan satu jawatan penting dalam parti itu.

Parti Bebas Rasuah, sebelumnya adalah Parti Generasi Baru dan kini sedang dalam proses pertukaran nama dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Ia ditukar nama sebaik Ezam mengambil alih parti tersebut.

Sekiranya penyertaan Hamidah itu menjadi kenyataan, bermakna ketiga-tiga pemimpin utama Parti Bebas Rasuah selepas ini adalah merupakan bekas ahli Bersatu.

Sebelum ini, Presidennya, Ezam Mohd Nor dan timbalannya, Khairuddin Abu Hasan, turut pernah menyertai Bersatu tetapi kemudian keluar secara tiba-tiba dengan alasan masing-masing sebelum mereka kemudian bergabung untuk menerajui Parti Bebas Rasuah.

Apakah masa depan Parti Bebas Rasuah makin menyerlah dengan penyertaan Hamidah? (ShahbudinHusin 30/05/2017).

Monday 29 May 2017

ALAHAI IDRIS AHMAD.....


Naib Presiden Pas, Idris Ahmad nampaknya mengeluh mengenai apa yang didakwanya sebagai pilih kasih tentang hubungan parti itu dengan UMNO berbanding pemimpin DAP berbuat perkara yang sama.

Kata beliau, jika ada pemimpin Pas bergambar atau minum teh bersama pemimpin UMNO, ia segera dituduh mereka mahu masuk UMNO. 

Tetapi, tambahnya,  jika pemimpin DAP berpegang tangan dengan pemimpin UMNO, tidak pula timbul tuduhan mereka itu bersekongkol dengan UMNO.

"Pantang lihat gambar pemimpin kerajaan Kelantan bersama dengan kerajaan pusat terus mengatakan PAS sudah bersama dengan UMNO. Jika ada pemimpin DAP, bukan sekadar minum malahan berlaga perut dan berpegang tangan pun tidak ada masalah," kata Idris lagi.

Alahai Idris...mengeluh atau buat-buat tak faham?
Perbezaan penilaian itu bukan bermakna adanya pilih kasih, tetapi beza antara kedua-duanya memang nyata.

Memang ada pemimpin DAP hadir bersama pemimpin UMNO dalam program atau majlis tertentu, tetapi ia lebih melibatkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan atau program berkaitan kerajaan saja.

Selalunya pula, selepas berakhir majlis itu, ia habis di situ saja. Bermakna, baik pemimpin DAP atau pemimpin UMNO yang hadir bersama itu, mereka sedar keberadaan mereka adalah semata-mata kerana tugas sebagai pemimpin kerajaan semata-mata.

Perkara yang sama juga pernah berlaku ketika Pas Kelantan dipimpin oleh Nik Aziz Nik Mat dahulu. Ketika itu, atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau memang beberapa kali hadir bersama Perdana Menteri dalam program-program kerajaan.

Namun, sama seperti seperti kehadiran pemimpin DAP bersama pemimpin UMNO tadi, kehadiran Nik Aziz itu tidak pernah sekali pun dispekulasi macam-macam oleh orang ramai.

Kenapa?

Sebabnya, sebagaimana yang terzahir oleh tindakan pemimpin DAP itu, Nik Aziz juga tahu batas dan peranannya sebagai pemimpin kerajaan bila berurusan dengan pemimpin UMNO.

Kenapa pula kehadiran pemimpin Pas sekarang bersama pemimpin UMNO ditafsir berbeza?

Jawabnya, lihatlah gelagat pemimpin-pemimpin Pas hari ini.

Pemimpin Pas sekarang, sebaik saja dapat bergambar bersama, minum teh bersama, berbaju merah jambu bersama, berjubah putih bersama atau ke London mencari teh tarik bersama, mereka nampaknya jadi tunduk, layu dan terkulai atas segala kemungkaran, salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan atau melibatkan pemimpin utama UMNO.

Kemudian menyusul pula kenyataan-kenyataan seperti ingin menjadi penasihat kerajaan, tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO, jangan bermusuh dengan UMNO sampai ke akhirat, tidak pernah menganggap UMNO musuh sesama Islam, tidak lagi mahu berkasar dan "bom" UMNO serta sebagainya lagi.

Sudahlah tidak lagi menegur, sebaik saja dapat bergambar atau minum teh bersama, nada suara juga jadi berubah seolah-olah UMNO yang pernah dikafirkan dulu, tiba-tiba sudah jadi lebih mulia meskipun diketahui mereka itu dilingkari skandal kewangan yang bertahap mega.

Kecuali Tuan Ibrahim Tuan Man yang kekal lantang bersuara, menegur dan mengkritik, pemimpin-pemimpin Pas yang lain, termasuk Idris sendiri pun, hampir tidak lagi bercakap mengenai salah laku, pembaziran, penyelewengan dalam  kerajaan pusat, UMNO dan yang berkaitan Najib Razak.

Hadi Awang sendiri, sebagaimana yang pernah didedahkan oleh Rafizi Ramli, hanya sekali pernah menyebut mengenai 1MDB di Parlimen dan setelah tampil sedondon, terus tidak bersuara lagi mengenai skandal kewangan yang diperkatakan di seluruh dunia itu.

Ia berbeza dengan pemimpin DAP, meskipun ada pemimpinnya bergambar, berpegang tangan atau berlaga perut dengan pemimpin UMNO, namun mereka kekal konsisten dan tidak berubah dari segi menegur, mengkritik atau membongkar penyelewengan dalam kerajaan dan demi kepentingan rakyat.

Jadi, sebelum Idris terus mengeluh, belilah dulu sebuah "cermin besar"  untuk melihat perubahan pemimpin-pemimpin Pas sejak mereka dapat peluang berbaik-baik dengan Najib dan UMNO ini serta membandingkannya dengan pemimpin DAP dalam konteks yang sama.

Di situ pasti Idris dengan mudah dapat jawapannya. (ShahbudinHusin 29/05/2017).

Sunday 28 May 2017

KJ KELIRU

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jabatan agama Islam tidak perlu mengawasi dan menangkap mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan.

Menulis di Twitternya, kata beliau lagi, walaupun umat Islam diminta mematuhi lima rukun Islam termasuk berpuasa pada Ramadan, tidak ada peruntukan bagi pihak berkuasa untuk mengawasi mereka yang tidak berpuasa.

"Wajib anda patuhi rukun yang lima, tidak wajib untuk orang tangkap kamu kerana tidak melakukannya,” kata Khairy sambil  menambah sumber penguatkuasaan sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan.

Tambah KJ lagi, daripada jabatan agama membelanjakan wang terhadap pegawai penguatkuasaan mencari mereka yang ponteng puasa, gunakanlah untuk membantu golongan asnaf dan membuat perkara yang baik.
Sekali baca nampak macam betul apa yang diluahkan KJ ini, tetapi jelas bahawa beliau keliru sebenarnya.

Jabatan agama memang tidak mengabaikan peranannya membantu golongan asnaf atau membuat perkara-perkara yang baik, bahkan ia boleh dikatakan berterusan dilakukan.

Dalam soal menangkap mereka yang ponteng puasa, ia dijalankan kerana mereka yang terbabit didapati makan di khalayak ramai atau di tempat yang terbuka, bukannya dengan cara melakukan serbuan ke pejabat, rumah, bilik hotel atau sebagainya.

Malah tidak pernah lagi kita mendengar pegawai penguatkuasa menyerbu rumah persendirian, pejabat kerajaan atau swasta, bilik hotel atau tempat-tempat persendirian yang lain untuk mencari mereka yang ponteng puasa.

Tangkapan hanya dilakukan kerana mereka makan di tempat yang terbuka.
Dalam soal ini, tangkapan kepada mereka yang terbabit lebih untuk menjaga kemuliaan bulan Ramadan dan menunjukkan indahnya Islam itu sendiri.

Maknanya, kalau tidak puasa, janganlah makan di khalayak ramai dan menunjuk-nunjuk "kehebatan"  tidak menjalankan rukun Islam ketiga itu.

Bayangkan jika tidak dilakukan tangkapan atau penguatkuasa tidak dijalankan dan orang yang tak puasa dengan bebas makan, minum atau menghisap rokok di khalayak ramai di khalayak ramai, apakah rupa Islam itu sendiri akhirnya?

Sudah tentu Islam bukan saja tidak lagi dihormati, malah keindahan Islam dan kemurnian bulan Ramadan yang datang setahun sekali juga dengan mudah dicemar secara terbuka.

Janganlah keliru bro!!

Dalam hal-hal berkaitan agama ini, ada baiknya, kalau pun KJ mungkin agak keberatan untuk mendapat nasihat daripada tokoh agama atau mufti berkaitan perkara-perkara kurang difahaminya, setidak-tidaknya beliau bolehlah bertanya kepada bapa mertuanya sendiri, Tun Abdullah Badawi yang tentunya lebih mengetahui daripadanya. (ShahbudinHusin 28/05/2017).

KENAPA GUAN ENG SAJA MAHU DILARANG BERBUKA PUASA?


Sudah menjadi amalan dan kebiasaan di seluruh dunia, orang bukan Islam akan turut sama meraikan setiap kali hadirnya Ramadan. 

Ia tidak saja melibatkan pemimpin-pemimpin dunia, malah juga orang-orang biasa.

Mereka tidak sekadar menghargai ketibaan Ramadan dengan memberi ucapan kepada rakan-rakan yang beragama Islam, malah turut mengambil peluang untuk merasai nikmat berbuka puasa bersama umat Islam.
Perdana Menteri Kanada dan Perdana Menteri Singapura adalah antara pemimpin dunia yang biasa hadir dalam majlis-majlis berbuka puasa.

Terdapat juga, pemimpin dunia, Barack Obama misalnya, pernah menganjurkan majlis berbuka puasa di Rumah Putih yang menjadi tumpuan dunia itu.
Malangnya, di Malaysia ada pula percubaan untuk menghalang pemimpin bukan Islam yang bernama Lim Guan Eng yang menjadi ketua kerajaan Pulau Pinang daripada menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Kata mereka yang ekstrem itu sambil berdemo, kalau Guan Eng nak hadir berbuka puasa, masuklah Islam dulu.

Islam apa mereka itu?
Di mana letaknya keindahan Islam dan Islam sebagai "rahmatan lil alamin" jika orang bukan Islam mahu turut serta merasai nikmat berbuka puasa pun tidak dibenarkan?

Golongan ekstrem ini, jika dibiarkan dan tidak segera dibendung, tidak mustahil suatu hari nanti orang bukan Islam mahu membeli juadah di bazar Ramadan juga mahu disekatnya sama.

Peliknya, tak kedengaran pula mereka ini melarang Presiden MCA, Presiden MIC atau Presiden Gerakan agar jangan hadir majlis berbuka puasa?
Kenapa hanya Guan Eng saja yang mahu dilarang?

Kenapa juga ketika Pas berpeluk dengan DAP dulu, semua ini tidak kedengaran, bahkan mereka sebaliknya begitu gembira dapat berbuka puasa bersama-sama Guan Eng? (ShahbudinHusin 28/05/2027).

Saturday 27 May 2017

SATU LAGI CABARAN BUAT NAJIB

Berbeza dengan banyak pendedahan lain yang saya buat kebelakangan ini, saya agak terkejut apabila Setiausaha Media Perdana Menteri, Dato’ Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat.

Saya memetik satu perenggan kenyataan rasmi tersebut yang diterjemahkan seperti di bawah:

“.. Walau bagaimana pun, bertentangan dengan laporan media dan pengisytiharan yang difailkan, Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan, melantik atau memberi kontrak baik kepada Godfrey Group Ltd, firma 45 Group atau (bekas pembantu Presiden Trump) Healy Baumgardner-Nardone..”

Maksud kenyataan media rasmi Pejabat Perdana Menteri ialah sementara Pejabat Perdana Menteri tidak menafikan kesahihan pengisytiharan kerja-kerja melobi yang difailkan oleh bekas pembantu Presiden Trump itu, Pejabat Perdana Menteri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan atau melantik firma-firma yang dinamakan di dalam pengisytiharan yang difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu.

Ini bukanlah kali pertama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menggunakan alasan sebegini untuk menafikan sesuatu. Dalam kes dana awam dari SRC International Limited, beliau dilaporkan menyatakan di dalam kes saman yang sedang berjalan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dana yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau. 

Saya mengesyaki semasa kenyataan media rasmi ini dikeluarkan, Pejabat Perdana Menteri tidak sedar bahawa satu lagi pengisytiharan tambahan telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump, Healy Baumgardner-Nardone.

Pengisytiharan tambahan itu memberi maklumat yang lebih jelas mengenai siapa yang terlibat, siapa di belakang syarikat misteri Godfrey Group Limited yang menjadi pengantara di antara Pejabat Perdana Menteri dan pelobi di Washington serta perjanjian yang ditandatangani.

Saya sertakan keseluruhan dokumen pengiystiharan iaitu Exhibit A dan Exhibit B (yang melampirkan perjanjian lantikan untuk kerja-kerja melobi di antara Godfrey Group Limited dan 45 Group).

Daripada dokumen-dokumen pengisytiharan ini, kita dapat mengesahkan perkara-perkara berikut:

1) Dato’ Seri Najib disahkan sebagai pegawai kerajaan yang berurusan dengan pelobi di Amerika Syarikat (lihat Perkara 6 dalam Exhibit A).

2) Walaupun kontrak lantikan melobi ini tidak dibayar oleh Kerajaan Malaysia, pelobi di Washington tetap berurusan dengan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan kenyataan media Pejabat Perdana Malaysia semalam kononnya Pejabat Perdana Malaysia atau Kerajaan Malaysia “tidak tahu menahu” adalah tidak tepat.

3) Kontrak melobi ini turut melibatkan usaha mengatur pertemuan di antara Kerajaan Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia.

4) Perjanjian ini dibuat oleh Godfrey Group Limited yang didaftarkan sebagai syarikat pesisir pantai (offshore company) di British Virgin Island (BVI) yang bermaksud syarikat ini dilindungi dengan kerahsiaan dan tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu siapa yang memiliki syarikat ini.
 
5) Bekas pembantu Trump, Healy Baumgardner-Nardone dibayar USD25,000 (bersamaan RM100,000) setiap bulan pada awal bulan untuk menyediakan perkhidmatan melobi ini
 
6) Syarikat Godfrey Group Limited (walaupun didaftarkan dalam penuh kerahsiaan di British Virgin Island) menggunakan alamat surat menyurat di Taman Molek, Johor Bahru.
 
7) Perjanjian lantikan kontrak melobi ini ditandatangani oleh seorang yang bernama Florence Goh mewakili Godfrey Group Limited.
 
Dokumen-dokumen ini secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Malah Dato’ Seri Najib sendiri dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma melobi ini.

Saya dengan segera cuba menyemak latar belakang Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Limited.

Alamat 42, Jalan Molek 2/3 membawa kepada sebuah syarikat yang benar-benar wujud iaitu CRT Insights Technologies Sdn Bhd yang disenaraikan sebagai sebuah pembekal khidmat latihan yang berdaftar dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Kementerian Sumber Manusia, seperti di bawah:

https://www.hrdf.com.my/DigiGov/digigovportal.htm?actionFlag=SC_getSearchCompoPage&isPopup=0&isAnonymous=true&tableid=row&d-16544-p=5&hideActionBtns=Y&screenMode=edit&elementId=1100889&applicationMstId=1100011&defaultSearchCrt=1100100~1~N~N&changeLang=en_US

Dari situ, saya membuat carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mengesahkan bahawa CRT Insights Technologies Sdn Bhd benar-benar wujud dan dimiliki oleh seorang bernama Goh Siew Boey yang maklumatnya nampak sama dengan Florence Goh seperti di dalam perjanjian kontrak melobi yang diisytiharkan di Amerika Syarikat.

Saya sertakan carian SSM yang menamakan Goh Siew Boey sebagai pemegang saham dan pengarah CRT Insights Technologies Sdn Bhd. Alamat perniagaan CRT Insights Technologies Sdn Bhd adalah sama dengan alamat Godfrey Group Limited di 42, Jalan Molek 2/3.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya menyeru supaya:

i. Dato’ Seri Najib berterus terang dan menyatakan sama ada 45 Group (yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump) telah berbohong apabila menamakan Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan dengan beliau (Healy Baumgardner-Nardone);

ii. Jika Healy Baumgardner-Nardone telah berbohong di dalam pengisytiharan kerja melobi yang difailkan sehingga mengheret nama Dato’ Seri Najib, maka Kerajaan Malaysia perlulah dengan serta merta mengambil tindakan undang-undang terhadap Healy Baumgardner-Nardone dan memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat bahawa pengisytiharan yang difailkan adalah tidak benar;

iii. Florence Goh memberi keterangan terbuka secepat mungkin siapa yang menyuruh beliau (melalui Godfrey Group Limited) melantik bekas pembantu Presiden Trump melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Pejabat Perdana Menteri;

iv. Florence Goh dengan segera menyatakan dari mana dana RM1.125 juta (atau USD250,000) diperolehi untuk membayar syarikat lobi 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan Malaysia; dan

v. Jika benar kenyataan media Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa Kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai perkara ini, maka Dato’ Seri Najib perlu membuat laporan polis serta merta kepada Florence Goh kerana telah melakukan jenayah menggunakan nama Kerajaan Malaysia tanpa kebenaran dan menyamar mewakili Kerajaan Malaysia.

Saya berharap Dato’ Seri Najib sedar bahawa perkara ini akan terus mendapat perhatian di Amerika Syarikat dan di Malaysia; seterusnya mencemarkan lagi reputasi beliau yang sudah pun tercemar. 

Beliau tidak boleh beranggapan dengan memberi kenyataan mudah seolah-olah syarikat Godfrey Group dan Florence Goh telah “menderma” (sekali lagi) demi kebaikan Kerajaan Malaysia tanpa pengetahuan beliau, perkara ini akan hilang begitu sahaja.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
27 MEI 2017.

Ulasan Blog - Ini adalah satu lagi cabaran terbuka untuk Perdana Menteri, Najib Razak. Sekiranya beliau ada kejujuran dan tiada apa-apa yang hendak dilindungkan, tidaklah sukar sebenarnya untuk menyahut apa yang dituntut Rafizi ini.

Seluruh rakyat tentunya ingin benar tahu juga kebenaran mengenai perlantikan serta bayaran lumayan kepada pelobi di Amerika Syarikat itu. Meskipun semalam Pejabat Perdana Menteri telah membuat penafian, tetapi nampaknya dengan bukti-bukti baru yang ditunjukkan,  menafi kosong saja tidak lagi memadai.

Penjelasan yang lebih konkrit dan meyakinkan adalah diperlukan, atau setidak-tidaknya sebagaimana yang disebut oleh Rafizi, buat saja laporan polis mengenainya.

Sebaiknya juga Najib sendiri harus berani tampil dengan jawapannya. Jika kita masih ingat, Tun Mahathir Mohamad turut pernah dikaitkan dengan membayar sejumlah wang kepada pelobi Amerika Syarikat ketika era pentadbiran George Bush dahulu, tetapi beliau tidak pernah takut untuk tampil menjelaskannya.

Maka, dalam kes ini, Najib juga tidak seharusnya takut untuk tampil dengan kata-kata daripada mulutnya sendiri, bukan lagi melalui pegawainya semata-mata. (ShahbudinHusin 27/05/2017)

MATI DALAM UMNO

Salah satu impian Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa dalam  meniti usianya yang semakin lewat ini ialah agar kematiannya nanti ketika beliau masih kekal bersama UMNO.


Ini kerana katanya, beliau benar-benar yakin bahawa UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara.


Annuar juga menceritakan bagaimana beliau sekarang ini kerap ditanya mengapa  hampir setiap hari memakai baju sama ada yang berlogo UMNO atau BN.


"Saya kata itu yang hanya nampak pada baju tapi kalaulah anda boleh belah dalam hati saya,  darah yang mengalir dan jantung yang berdenyut ini dalamnya penuh dengan semangat Umno," katanya lagi.


Wahhh....hebat betul gaya "ampu dan bodek" beliau kali ini!!


Sewaktu jadi menteri dulu pun tak pernah begini nada kata-katanya.


Apa lagi yang beliau harapkan agaknya dengan mengatakan ingin meninggal dunia dalam UMNO ini?


Apakah juga yang beliau bangga sangat dapat meninggal dunia dalam UMNO sedangkan tiga bekas Presiden UMNO, termasuk pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Alhal dan Tun Hussein Onn pun tidak mati ketika bersama UMNO?


Apakah tiga bekas Presiden UMNO itu tidak sedar parti yang pernah mereka terajui berjuang untuk agama, bangsa dan negara?


Dan sekarang, Tun Mahathir Mohamad, seorang lagi bekas Presiden UMNO juga sudah "berpatah arang, berkerat rotan" serta "membakar jambatan untuk selama-lamanya"  dengan parti itu dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi juga untuk meninggal dunia di luar UMNO.


Bermakna, kemungkinannya dalam sejarah tujuh Presiden UMNO, empat daripadanya meninggal dunia di luar UMNO.


Jadi, apa hebatnya meninggal dunia di dalam UMNO seperti impian Annuar itu, lebih-lebih lagi jika di dalam UMNO itu sendiri penuh dengan segala macam perkara yang tidak baik dan jijik di hati rakyat?


Lagi pun, bukankah  kerana terlalu banyak perkara jijik dan tidak baik itulah juga menyebabkan UMNO sendiri dalam keadaan tenat dan bakal "meninggal dunia" atau hilang kuasanya  tidak berapa lama lagi?


Sebelum Annuar menghembuskan nafas terakhirnya dan beliau berharap untuk meninggal dunia ketika bersama UMNO, sebaliknya majoriti rakyat lebih mengharapkan UMNO itu sendiri "meninggal dunia"  terlebih dahulu.


Jika UMNO "meninggal dunia"  lebih dulu, masihkah Annuar mahu meninggal dunia bersama UMNO? (ShahbudinHusin 27/05/2017).

Friday 26 May 2017

KESEDIHAN TUN MAHATHIR DAN MALAYSIA JUAL SATU, CHINA DAPAT DUA


Tidak sukar memahami kesedihan Tun Mahathir Mohamad berikutan penjualan saham Proton sebanyak 49.9 peratus kepada sebuah syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd kerana syarikat kereta nasional itu adalah ibarat 'anaknya'  yang selama ini diasuh dan dibesarkan, tetapi kini sudah pun berpindah milik ke tangan asing.

Bekas Perdana Menteri itu turut membayangkan, dengan Proton pun boleh dijual kepada China, ia adalah permulaan kepada penjualan lebih besar aset-aset yang lain semata-mata untuk menyelamatkan negara daripada hutang yang bertimbun.

"Tiada cara lain bagi kita untuk mendapatkan berbilion ringgit untuk membayar hutang. Satu-satunya cara adalah dengan menjual aset-aset yang ada.

"Dan akhirnya kita akan kehilangan negara kita, sebuah negara hebat, tetapi dimiliki orang lain," kata Tun Mahathir dalam tulisan di blognya semalam.

Beliau seterusnya tidak menafikan Proton mampu terbang lebih tinggi menyaingi Rolls Royce atau Bentley serta dijual ke seluruh dunia selepas pemilikan Geely ini, tetapi ia tidak lebih umpama kita berbangga dengan Singapura yang pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia suatu ketika dahulu, tetapi sekarang bukan lagi menjadi milik kita.

Bagi Tun Mahathir, penjualan banyak aset dan pemberian tanah dan kontrak kepada syarikat-syarikat China adalah kerana negara yang dipimpin Najib Razak sekarang terbelenggu dengan hutang meninggi yang tidak mampu lagi untuk dilangsaikan.

Selagi Najib terus dengan gayanya yang boros dan suka berhutang itu, Malaysia mungkin sukar mengelakkan daripada terus menjual, menjual dan menjual.

Hari ini Proton yang hilang, esok lusa entah apa lagi atau mungkin sudah ada senarai harta-harta yang sedang menunggu masa saja untuk bertukar hak miliknya.

Sebab itu, diakhir tulisan di blognya, Tun Mahathir terlihat amat sedih dan seperti merintih pilu, "Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. 'Anak'  saya hilang. Dan tidak lama lagi negara saya. Sila maafkan saya."

Itulah kesedihan Tun Mahathir yang sebenarnya bukan sekadar tentang Proton semata-mata, tetapi juga mengenai masa depan negara.

Di atas kertas memang pemilihan saham Geely masih kurang 0.2 peratus untuk menjadi majoriti dan selebihnya 50.1 peratus kekal dipegang oleh syarikat Malaysia, tetapi dalam masa yang sama syarikat China itu juga berjaya  memiliki 51 peratus saham dalam Lotus, sebuah pengeluar kereta sport yang berpangkalan di England.

Bermakna, dengan pembeli Proton, Geely dapat menguasai dua syarikat kereta sekaligus. Meskipun di Proton, Geely hanya bersifat minoriti, tetapi memandangkan ia mempunyai kelebihan dari segi kepakaran, pemasaran dan inovasi automotif serta kebergantungan Proton kepadanya untuk kembali melonjak, secara naturalnya syarikat itulah yang akan menjadi "kepala" dalam segala-galanya.

Berkaitan Lotus pula, jika selama ini kita berbangga memiliki serta berkongsi teknologinya, ia kini sudah pun menjadi milik China.

Proton tidak lagi boleh dianggap sebagai kereta nasional setelah ia dimiliki oleh Geely ini, malah hanyalah syarikat perniagaan biasa saja. Dengan peredaran masa, ditambah dengan kita begitu mudah tertarik dengan "wang besar" daripada China, tidak mustahil Geely akan terus menambah pemilikan sahamnya dan akhirnya mereka akan menguasai terus syarikat itu.

Soalnya, di manakah kita dalam kesedihan Tun Mahathir ini?

Apakah kita ingin bersama-sama dalam melakukan perubahan kepada negara ini atau rela mengekalkan status quo yang akhirnya di zaman anak  cucu kita nanti, tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka? (ShahbudinHusin 26/05/2017)

JAWAPAN KEPADA NAJIB BAGAIMANA PAKATAN HARAPAN BOLEH TADBIR MALAYSIA TANPA GST

Dua hari lalu ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016, Najib Razak memperkecilkan keupayaan Pakatan Harapan mentadbir negara ini sekiranya mereka meneruskan rancangan menghapuskan cukai GST sebanyak 6 peratus.


Beliau seterusnya mempersoalkan daripada mana Pakatan Harapan akan memperolehi pendapatan sekiranya sifar GST dilaksanakan kerana ia akan menyebabkan kekurangan sebanyak RM42 bilion dalam pendapatan kerajaan.


"Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan RM42 bilion itu?


"Kata orang 'talk is cheap'. Semua orang boleh bercakap itu dan ini," katanya lagi.


Kata beliau, tanpa GST, tidak mungkin tujuh juta rakyat dapat menerima BR1M dan pelbagai bantuan lain termasuk perubatan dan pendidikan yang mungkin terpaksa ditarik balik.


Sebab itu, tambah Najib, perancangan pembangkang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata, malah lebih bertujuan memesongkan pemikiran rakyat.


Itu kata-kata daripada Najib dua hari lalu. Mahu kita percaya kata-katanya itu?


Sebagai menyahut persoalan Najib yang pernah dianugerahi Menteri Kewangan Terburuk Asia 2016 itu, di bawah ini adalah jawapan yang disediakan oleh Rafizi Ramli tentang bagaimana Pakatan Harapan sebenarnya masih mampu mentadbir negara ini, malah dengan lebih baik lagi, meskipun setelah menjadikan cukai GST sebagai sifar kadarnya.


Penjelasan beliau ini hakikatnya bukan untuk menonjolkan Pakatan Harapan semata-mata, tetapi juga adalah pedoman  untuk kita semua rakyat jelata - tak kira miskin kaya, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa, orang cacat, orang buta, orang kurang upaya dan segala-galanya yang selama ini tak terkecuali daripada kerakusan cengkaman cukai GST yang bersifat pukat harimau itu.


Termasuk Najib dan para penyokongnya, baca dan hadamkan baik-baik apa yang dihuraikan oleh Rafizi ini.


Bacalah yerrrr....(ShahbudinHusin 26/05/2017).

 

Saya ingin menyekolahkan Dato’ Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomok janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST dengan alasan tanpa GST Perbendaharaan akan hilang RM42 bilion setahun.

 

Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini. Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk “Mengurus Perbendaharaan Negara”.

 

Punca yang menyebabkan Kerajaan Perseketuan kesempitan sumber kewangan ialah kerana kerajaan terus berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dekad lalu dan dekad ini sehingga mewujudkan hutang yang besar (yang digunakan untuk menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun).

 

Sebab itu pengurusan perbendaharaan negara tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan, tetapi yang sama penting ialah mengawal perbelanjaan untuk mengurangkan keperluan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan tersebut.

 

Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu adalah lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

 

Oleh itu, untuk pengetahuan Dato’ Seri Najib, tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan dihuraikan seperti berikut:


Kaedah 1: Membanteras Rasuah, Mengurangkan Ketirisan

 

Saya sedar akan ada orang yang memperlekehkan hujah ini dengan alasan pembangkang hanya tahu menyebut kes-kes rasuah sebagai bukti ketirisan, tetapi tidak tentu wang dari kes-kes rasuah itu boleh dikembalikan. Akhirnya, jika GST dihapuskan (kata mereka), kerajaan tetap akan kekurangan dana yang akan menjejaskan operasi kerajaan.

 

Sebenarnya saya dan rakan-rakan di National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah membuat satu kajian akademik yang menggunakan kaedah statistik dan matematik untuk menganggarkan berapa penjimatan yang realistik setiap tahun sekiranya pembaziran dan ketirisan dapat dikawal.

 

Untuk mengetahui berapa kuantum penjimatan yang realistik, kami perlu menganggarkan terlebih dahulu tahap pembaziran dan ketirisan kerajaan.

 

Kaedah yang kami bangunkan diterbitkan di dalam satu buku terbitan NOW yang bertajuk “Indeks Pembaziran Kerajaan” yang diterbitkan tahun lalu.

 

Indeks Pembaziran Kerajaan (IPK) adalah satu peratusan yang memberi anggaran peratusan perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya adalah ketirisan dan pembaziran, berdasarkan data-data rasmi kerajaan.

 

IPK dibangunkan dengan kaedah berikut:

 

i. Segala maklumat pembaziran, ketirisan dan kerugian yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dikatalogkan mengikut jenis dan jumlah

 

ii. Setiap kes pembaziran itu disemak dengan membandingkan jumlah kerugian yang dikenalpasti dengan jumlah peruntukan yang dikendalikan oleh jabatan/kementerian tersebut

 

iii. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan saiz peruntukan yang terdedah kepada ketirisan dan penyelewengan mengikut jabatan/kementerian

 

iv. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan peratusan ketirisan dan kerugian mengikut kementerian dan dijumlahkan bagi keseluruhan kerajaan

 

Berdasarkan data-data yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit, keputusan IPK menunjukkan anggaran pembaziran purata bagi tahun 2014 ialah 15.5% dari perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap yang seumpama dengannya. 

 

Bila IPK pada paras 15.5% ini dipadankan dengan anggaran jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan (yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap) bagi 2017 yang dianggarkan berjumlah RM136 bilion, ada potensi jumlah penjimatan sebanyak RM21 bilion.

 

 

Kaedah 2: Pentadbiran Kewangan Yang Telus Mengurangkan Bayaran Faedah Tahunan

 

Satu lagi potensi penjimatan perbelanjaan yang boleh dicapai dengan mudah ialah belanja tahunan membayar faedah di atas hutang-hutang yang dipinjam oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Setakat April 2017, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion. Dari jumlah itu, bentuk hutang terbesar ialah kertas hutang Kerajaan Malaysia (“Malaysian Government Securities” atau MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang Terbitan Pelaburan Kerajaan (“Government Investment Issues” atau GIIs) sebanyak RM235 bilion.

 

Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai “coupon rate”) mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang.

 

Seperti juga saham yang dijual beli, kertas-kertas hutang yang diterbitkan kerajaan juga boleh dijual beli. Bagi jual beli saham, lebih baik saham itu, maka lebih tinggi harga yang ditawarkan untuk membeli saham tersebut.

 

Keadaannya terbalik bagi kertas hutang.

 

Lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut. Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi.

 

Oleh sebab itulah, reputasi antarabangsa Kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

 

Skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

Sebab itulah belanja membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM29 billion, iaitu lebih dari separuh wang hasil GST yang dikutip terpaksa digunakan untuk membayar faedah.

 

Saya yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru boleh meyakinkan pasaran dan pelabur. Keyakinan pelabur itu akan diterjemahkan ke dalam kadar faedah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan yang lebih rendah. Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun.

 

Hasil dari dua langkah segera yang boleh diambil ini dijangka akan menterjemahkan penjimatan segera sebanyak RM27.5 bilion seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut. 


Kaedah 3: Rasionalisasi Cukai melalui Pengenalan Cukai Ke Atas Keuntungan Jual Beli Saham dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan

 

Ada beberapa inisiatif percukaian lain yang walaupun hasilnya tidak sebesar kaedah 1 dan 2, ia tetap akan menambah hasil kepada kerajaan untuk menampung pengurangan hasil akibat pemansuhan GST.

 

Saya pernah menyuarakan bahawa kerangka sistem percukaian yang ada didasarkan kepada keadaan ekonomi 1970an yang kini tidak lagi sesuai dengan bentuk ekonomi negara mutakhir. Contohnya, orang kaya yang berjual beli saham sehingga untung beratus juta ringgit dalam tempoh yang singkat tidak dikenakan cukai, sedangkan negara-negara lain mengenakan Cukai Keuntungan Modal (“Capital Gains Tax”) ke atas pendapatan sebegini.

 

Pakatan Harapan telah menyatakan sebelum ini bahawa Cukai Keuntungan Modal akan diperkenalkan untuk menggantikan GST agar orang kaya yang membuat untung dari jual beli saham membayar cukai (dan bukannya orang miskin tidak berpendapatan yang dicukai GST).

 

Pemansuhan GST juga bermakna konsep cukai tidak langsung (“indirect tax”) akan kembali ke konsep asal iaitu dicukai di kilang sahaja bagi barang-barang tertentu atau perkhidmatan tertentu di tempat-tempat tertentu. Rasionalisasi percukaian yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan boleh menilai kembali pelaksanaan cukai tidak langsung melalui kaedah cukai jualan dan perkhidmatan yang dihadkan kepada barang tertentu di tempat pengilangan dan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan mewah yang tertentu sahaja.

 

Sebelum pengenalan GST, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan memang pun sudah mencecah sekitar RM12 bilion setahun. Dengan rasionalisasi yang lebih baik (maknanya jenis barang dan perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah lebih sedikit tetapi kutipan lebih cekap agar tidak tiris akibat rasuah), saya yakin kerajaan Pakatan Harapan boleh menjana RM12 bilion dari kutipan cukai tidak langsung, seperti sebelum pengenalan GST.

 

Cukup Sumber Kewangan Bila GST Dimansuhkan

 

Dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, saya tidak nampak ada masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan.


Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak.


RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...