Tuesday, 21 November 2017

ANTARA BERKECUALI DAN SEDAR DIRI, ADAKAH DUA AHLI PARLIMEN PAS TAK PEDULI DERITA PENGUNDI SENDIRI?


Jika tidak kerana sikap berkecuali dua Ahli Parlimen Pas dalam pengundian peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Dewan Rakyat malam tadi, Bajet 2018 pasti akan menyaksikan ia ditolak buat pertama kalinya.

Dalam pengundian belah bahagi yang dijalankan, itu pun setelah dilengah-lengahkan oleh Timbalan Speaker untuk membolehkan beberapa Ahli Parlimen BN memasuki Dewan, kerajaan mendapat 52 undi manakala pembangkang beroleh 51 undi.

Dua Ahli Parlimen Pas yang berkecuali sehingga menyebabkan BN mendapat kelebihan satu undi itu ialah Idris Ahmad (Bukit Gantang) dan Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang).
Meskipun demikian, oleh kerana pengundian berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu melibatkan beban kos sara hidup rakyat, enam Ahli Parlimen Pas telah menunjukkan keprihatinan mereka dengan turut mengundi menolak bajet tersebut.

Enam Ahli Parlimen Pas yang berbuat demikian ialah Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Marzuki Shaary (Bachok), Wan Hassan Wan Ramli (Dungun), Nik Mazlan Nik Mohamad (Pasir Puteh), Izani Hussin (Pengkalan Chepa) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Memetik kenyataan Mahfuz, pendirian mereka menolak pengundian bajet peringkat jawatankuasa kali ini, sebagaimana yang diberitahu kepadanya, adalah kerana ia melibatkan soal kos kehidupan rakyat.

Sekurang-kurangnya, meskipun berkecuali dalam pengundian Bajet 2018 untuk bacaan kali kedua sebelum ini, enam Ahli Parlimen Pas tersebut ada keprihatinan tersendiri dan sedar diri terhadap tanggungjawab serta amanah sebenar di bahu mereka.
Apakah sikap Idris Ahmad dan Sifi Zailah yang berkecuali itu menunjukkan mereka tidak peduli langsung berhubung kenaikan kos sara hidup yang turut dideritai oleh pengundi pengundi Bukit Gantang dan Rantau Panjang?

Apa pun, pendirian dua Ahli Parlimen Pas itu tersebut secara nyata memperlihatkan kecondongan  yang memihak kepada UMNO, BN dan kerajaan berbanding kepedulian terhadap rakyat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat.

Itukah sebahagian politik matang dan sejahtera? (ShahbudinHusin 21/11/2017)

Monday, 20 November 2017

KENAPA ZAHID HAMIDI TAK MAHU JUMPA TUN MAHATHIR?


Bolehkah kita percaya dengan kenyataan Zahid Hamidi seperti di atas?

Tetapi, mengapa beliau tidak berani bersemuka dan memberi penjelasan sendiri kepada Tun Mahathir Mohamad dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan yang datang ke Kementerian Dalam Negeri?

Kenapa hanya diwakilkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim untuk menyambut dan memberi penjelasan kepada rombongan Pakatan Harapan itu?

Juga, di mana Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed?

Takkan kedua-duanya sekali tiada?

Adakah kedua-duanya, Zahid Hamidi dan Nur Jazlan tidak berani bersemuka dan bertentang mata dengan Tun Mahathir?

Atau sebenarnya mereka takut kalau-kalau Tun Mahathir minta ditunjukkan bukti salinan kad pengenalan lamanya yang sebelum ini didakwa Zahid Hamidi tertulis "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty"? (ShahbudinHusin 20/11/2017)

ADAKAH HARAPAN KEPADA PAKATAN HARAPAN?

Hari ini, Isnin jam 11 pagi, pimpinan utama Pakatan Harapan dilaporkan akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi di Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya.

Pertemuan itu ialah berhubung status kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan yang sejak dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan atau RoS pada 24 Julai lalu, namun masih tiada khabar berita mengenainya sehingga kini.

Adalah dijangkakan, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad akan mengetuai rombongan pemimpin-pemimpin pembangkang dalam pertemuan dengan Zahid Hamidi itu.

Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim minggu lalu hanya berkata, "tiada kemas kini" dan "tiada komen" apabila ditanya berhubung perkara tersebut.

Secara tidak langsung, ini bermakna Surayati belum mendapat apa-apa "wahyu" daripada pimpinan atasannya berkenaan sama ada Pakatan Harapan mahu diberi kelulusan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, kesediaan Zahid Hamidi menerima kunjungan Tun Mahathir dan pimpinan utama Pakatan Harapan sekurang-kurangnya merupakan suatu perkembangan yang sihat dan positif ke arah sistem politik yang lebih baik untuk negara dan generasi akan datang.

Adakah harapan kepada Pakatan Pakatan dengan pertemuan itu nanti?
Beranikah beliau selaku Menteri Dalam Negeri dan pemimpin nombor dua dalam kerajaan memberi jaminan bahawa Pakatan Harapan akan diberikan kelulusan sebelum PRU 14 akan datang?

Atau Zahid Hamidi juga sebenarnya menunggu "wahyu" kerana kuasa mutlak mengenai perkara itu ada di tangan Perdana Menteri, Najib Razak yang akan menentukannya?

Jika demikian, "cukup jantankah" Najib untuk memberi lampu hijau kepada kelulusan Pakatan Harapan yang akhirnya akan membolehkan calon-calon PKR, DAP, Amanah dan Bersatu menggunakan logo yang satu untuk berdepan BN dalam pilihanraya akan datang? (ShahbudinHusin 20/11/2017)

Sunday, 19 November 2017

UMNO WP TAK PERCAYA KETUA2 BAHAGIAN?


Selama dua hari, semalam dan hari ini, UMNO Wilayah Persekutuan telah mengadakan majlis perjumpaan untuk seluruh pemimpin peringkat cawangannya.

Majlis yang diadakan di PWTC itu melibatkan semua Ketua UMNO Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri.

Untuk hari ini yang melibatkan Ketua UMNO Cawangan seluruh Wilayah Persekutuan, perjumpaan itu dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungannya, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Adalah dipercayai majlis perjumpaan ini diadakan sebagai persiapan untuk menghadapi PRU 14 yang dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Dalam perjumpaan tersebut, semua Ketua Cawangan telah diberikan wang tunai RM1000 setiap seorang, manakala Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cawangan dan Ketua Puteri Cawangan masing-masing sebanyak RM500.

Tidak seperti selalunya di mana peruntukan itu biasanya diberikan melalui Ketua-Ketua Bahagian dan diperturunkan kepada semua ketua sayap, kali ini nampaknya agak berbeza kerana ia disampaikan secara terus ke tangan pemimpin-pemimpin peringkat cawangan tersebut.

Kenapa keadaan ini berlaku?

Apakah UMNO Wilayah Persekutuan dan Tengku Adnan sudah tidak percaya kepada Ketua-Ketua Bahagian?

Apakah ada rekod sebelum ini yang menunjukkan peruntukan yang diberi kepada Ketua Bahagian tidak sampai kepada pemimpin-pemimpin UMNO cawangan dan sayap-sayapnya?

Jika tiada bukti wang pernah diselewengkan, apakah asas yang menyebabkan kali ini ia disalurkan terus kepada pemimpin cawangan tanpa melalui Ketua-Ketua Bahagian?

Di mana air muka Ketua-Ketua Bahagian bila Tengku Adnan sendiri yang memberi wang kepada pemimpin-pemimpin UMNO peringkat cawangan seluruh Wilayah Persekutuan?

Apakah kaedah ini mampu menghasilkan kejayaan cemerlang dalam pilihanraya akan datang?

Bagaimana dengan peruntukan lain apabila Parlimen dibubarkan nanti?

Apakah sekali lagi Ketua Bahagian akan diketepikan juga di mana wang akan terus diberikan kepada Ketua Cawangan atau Ketua Pusat Daerah Mengundi?  (ShahbudinHusin 19/11/2017)

ZAHID HAMIDI AKHIRNYA SAHKAN ANWAR YANG BERJIWA BESAR, BUKANNYA NAJIB


Pujian beberapa pemimpin UMNO dan laskar maya pro kerajaan yang mendakwa Najib Razak sebagai pemimpin berjiwa besar kerana sanggup melawat Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dengan sendirinya terbatal apabila ia disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.


Dalam ulasannya selepas beliau dan Najib serta isteri masing-masing melawat Anwar, Zahid Hamidi berkata, Ketua Umum Pakatan Harapan dan PKR itu adalah seorang yang berjiwa besar.

“Beliau (Anwar) berjiwa besar menerima kunjungan PM dan Rosmah dan hari ini (lawatan) saya dan isteri saya dengan hati yang besar.


“Saya tahu dari bahasa badannya, Anwar menerima kami dengan baik,” kata beliau.


Memang tidak dapat dinafikan, Anwarlah yang benar-benar berjiwa besar dalam hal ini, bukannya Najib.


Dia yang dipenjara, dicemuh dengan segala kata nista serta disakiti, tetapi dengan lapang dada dapat menerima kunjungan orang yang pernah menyakitinya, minta bergambar seolah-olah  tak bersalah dan kemudian memasukkan dalam media sosial untuk menunjuk-nunjuk kesucian hati dan menziarah kononnya kerana simpati.


Jika Anwar berjiwa kecil, beliau boleh saja tidak menerima kunjungan sesiapa untuk melawatnya, terutama mereka yang pernah mencemuh, menyakiti dan menghambur keaiban kepadanya, kecuali ahli-ahli keluarganya saja.


Atau beliau boleh juga meletakkan syarat agar mereka yang melawatnya tidak dibenarkan mengambil gambar, apalagi berkongsi gambar tersenyum itu di mana-mana medium media sosial.


Agak-agaknya jika itu syarat yang diletakkan oleh Anwar atau ahli keluarganya kepada Najib dan Zahid Hamidi, adakah kedua-dua pemimpin itu masih sudi pergi ke HKL?


Kenapa Najib dan Zahid Hamidi sendiri yang dengan pantas berkongsi gambar lawatan mereka di media sosial, tetapi tidak oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau anak-anak Anwar yang turut berada di HKL ketika itu?


Jadi, apa sebenarnya tujuan mereka melawat Anwar itu?

Dengan terbukti Anwar yang berjiwa besar menerima kunjungan musuh politiknya,  apakah isi yang ada dalam jiwa Najib dan Zahid Hamidi ketika pergi ke HKL dan kemudian cepat-cepat menyebarkan gambar lawatan masing-masing supaya diketahui oleh seluruh rakyat negara ini?


Benarkah ia disebabkan simpati dan rasa kemanusiaan?


Jika begitu, bolehkah pada minggu depan Anwar segera dibebaskan? (ShahbudinHusin 19/11/2017)

Saturday, 18 November 2017

SELEPAS NAJIB DAN ZAHID, ELOKLAH MT UMNO BUAT ROMBONGAN KHAS MELAWAT ANWAR DI HKL PULA...


Semalam Najib Razak dan Rosmah Mansor meluangkan masa melawat Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur.

Susulan kedatangan Najib itu, blog ini turut melontarkan pertanyaan bila agaknya Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mahu melawat bekas bossnya yang baru selesai menjalani pembedahan bahu itu.
Hari ini, Zahid Hamidi bersama isterinya, Hamidah Khamis akhirnya muncul di HKL untuk melawat Anwar.

Anwar nampaknya benar-benar menjadi rebutan dan kekal berjiwa besar menerima kunjungan musuh-musuh politiknya.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, dua pemimpin utama kerajaan sanggup meluangkan masa menziarahi beliau.

Ehem..ehem...

Selepas ini, siapa lagi agaknya pemimpin UMNO yang akan melawat Ketua Umum Pakatan Harapan dan PKR itu?
Hishammuddin Hussein? Tengku Adnan Tengku Mansor? Shahrizat Jalil? Annuar Musa?

Atau siapa?

Mungkinkah Majlis Tertinggi UMNO, menteri-menteri atau Ahli Parlimen BN akan melakukan satu rombongan khas ke HKL untuk melawat Anwar pula dalam sehari dua ini?

Kahkahkah....(ShahbudinHusin 18/11/2017)

NAJIB TERDESAK DAN TERCARI-CARI TALIAN HAYAT, HANYA 60 KERUSI BN BOLEH MENANG


Perkara pokok yang harus kita fahami ialah apakah Najib Razak sedia melawat Anwar Ibrahim di hospital jika beliau benar-benar kuat untuk menghadapi PRU 14 akan datang?

Masih ingatkah kita bagaimana Najib begitu takut dengan Langkah Kajang yang mahu meletakkan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor, lalu proses rayuan kes liwatnya dipercepatkan sehingga perbicaraan berlarutan sampai ke malam?

Lupakah kita, walaupun kes liwat Anwar dikatakan hanya kes peribadi antara Ketua Umum PKR itu dengan Saiful Bukhari Azlan, tetapi kerajaan kemudian melantik Shafee Abdullah, seorang peguam kanan yang mesra UMNO untuk mengetuai pendakwaan yang seterusnya di didedahkan oleh Sarawak Report menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada Najib?

Meskipun Shafee menyatakan tidak masuk akal untuknya menerima wang tersebut, tetapi penafiannya hanya dilakukan beberapa bulan selepas itu, sedangkan sebelumnya beliau sentiasa mengelak untuk memberikan jawapan.

Najib pula, sehingga ke hari ini tidak pernah mengia atau menidakkannya, meskipun wang tersebut turut didakwa bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Jika tidak terdesak dan mencari-cari talian hayat, apakah Najib mungkin sudi meluangkan masa menziarahi Anwar setelah didapati bertungkus-lumus mahu "mematikan" semua langkah politik pencabarnya yang hampir menjatuhkannya dalam PRU 2013 lalu?
Hakikatnya, stail politik Najib untuk merapatkan diri dengan lawannya memang selalu bermula dengan ziarah di hospital. Pas dapat dilembutkan hatinya kerana beliau sebelum itu beberapa kali melawat Dr. Haron Din (kini allahyarham) dan Hadi Awang di hospital ketika kedua-duanya menerima rawatan.

Najib ternyata sekali lagi menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelamatkan dirinya daripada asakan Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan yang semakin melemaskan dirinya.

Bagaimana Najib begitu terganggu dan dihantui oleh bayangan Tun Mahathir kebelakangan ini dengan kerap membandingkan dirinya dengan bekas Perdana Menteri adalah bukti yang menunjukkan harapan kemenangan semakin jauh daripada UMNO dan BN.

Selain laporan pelbagai agensi yang membuat kajian mengenai kecenderungan rakyat masih lagi memperlihatkan hasil negatif, seseorang yang rapat dengan puncak kuasa di Putrajaya memberitahu, jumlah kerusi Parlimen yang selamat bagi UMNO ketika ini hanyalah  sekitar 50 hingga 60 kerusi saja.

Dalam masa yang sama, seorang pemimpin veteran UMNO pula menyebut, parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan bukan saja "lingkup" dalam pilihanraya akan datang ini, bahkan mungkin membuatkan buat kali pertamanya semua presidennya akan kalah di kawasan masing-masing.

Dengan jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung ada 165 dan UMNO hanya menang sekitar 60 kerusi, manakala MCA, MIC dan Gerakan tidak mampu menyumbang apa-apa, inilah ketakutan sebenar Najib dalam pilihanraya akan datang ini.

Selain itu, parti Warisan Sabah pimpinan Shafie Apdal dikatakan mampu menyumbang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen lagi berdasarkan sambutan ramai terhadap parti itu.

Di Sarawak, sikap kritikal kerajaan negeri dalam beberapa isu dengan kerajaan pusat kebelakangan ini adalah gambaran fleksibel mereka, meskipun masih bersama dalam BN.

Dengan ini, keyakinan Tun Mahathir sebelum ini bahawa Pakatan Harapan mampu mencapai kemenangan dan menumbangkan Najib,  UMNO dan BN, biar pun dalam pertandingan tiga penjuru kerana Pas memilih untuk bertanding secara sendirian, bukanlah omong kosong atau cakap-cakap tepi jalan.

Gambaran itu sebenarnya sudah sampai ke Seri Perdana dan  ke bilik tidur Najib sendiri. Sebab itu, melangkah saja dari kediamannya, apa yang menghantui Najib tiada lain selain bayangan gagah perkasa Tun Mahathir.

Hanya jika Najib dapat melembutkan hati Anwar dan  PKR untuk memihak kepadanya serta mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan, barulah mungkin kelabu kemenangan itu mampu bertukar menjadi putih.

Tetapi pantun Anwar selepas beberapa jam dikunjungi Najib, barangkali adalah jawapan yang menyenangkan hati-hati yang tidak sabar menunggu perubahan.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Ziarah kami antara nampak
Esok pilihanraya Lawan Tetap Lawan

Perubahan dan lahirnya sebuah kerajaan baru sepertinya tidak dapat dielakkan lagi  kerana nampaknya Anwar tetap mahu bersama Tun Mahathir dan Pakatan Harapan. (ShahbudinHusin 18/11/2017)

Friday, 17 November 2017

NAJIB LAWAT ANWAR, APA JADI SETERUSNYA KEPADA PKR DAN PAS? BILA PULA ZAHID HAMIDI NAK PERGI KE HKL?


Pelbagai spekulasi segera berlegar di ruang atmosfera politik negara berikutan kunjungan tak diduga Najib Razak terhadap Anwar Ibrahim yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pembedahan bahu, Ahad lalu.

Turut bersama dalam lawatan Najib itu ialah isterinya, Rosmah Mansor serta isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Dikatakan bahawa pemenjaraan Anwar sekarang ini adalah atas konspirasi yang didalangi Najib sendiri kerana Saiful Bukhari Azlan diketahui ada bertemu beliau (ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri) sebelum membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat dan kemudian dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, Najib turut mempersenda nama isteri Anwar itu, sedangkan yang dirujuknya ialah seorang pengusaha ayam, kedatangan Perdana Menteri melawat bekas Timbalan Perdana Menteri itu memang agak mengejutkan banyak pihak.

Apakah tujuannya?
Apakah Najib kini sedang cuba menagih simpati rakyat berikutan asakan Tun Mahathir kian membuatkannya semakin lemas menghadapi PRU 14 akan datang?

Mungkinkah dengan kunjungan Najib ini, Anwar akan terus dibenarkan berada di HKL menjalani rawatan sehingga keadaan bahunya benar-benar pulih?

Atau tidak mustahilkah Anwar akan dibebaskan lebih awal dari Penjara Sungai Buloh?

Jika sebelum ini, Tun Mahathir sedia berdamai dengan Anwar untuk menambahkan kekuatan bagi menjatuhkan Najib, apakah kini Najib juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu mencari Anwar untuk tujuan mengekalkan kuasanya?

Kalau begitu, adakah kunjungan Najib ini merupakan permulaan kepada babak-babak lain yang lebih menarik untuk mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan yang nampaknya macam mustahil akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan?

Adakah dengan mengunjungi Anwar yang mungkin adalah petunjuk untuk berbaik-baik dengan PKR menunjukkan sokongan Pas kepada UMNO dan BN selama ini masih belum cukup untuk Najib mencipta kemenangan dalam PRU 14 akan datang?

Apakah nasib Pas selepas ini?

Namun demikian, apakah tidak keterlaluan kiranya kunjungan Najib kepada Anwar ini sekadar ziarah kepada bekas rakan lama di mana mereka adalah gandingan yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO suatu ketika dahulu?

Cuma, bila lagi agaknya Zahid Hamidi yang dulunya merupakan pengikut setia Anwar mahu menziarahi bekas bossnya itu di HKL pula?

Kalau hanya tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi boleh mengunjungi Tun Mahathir, adakah tidak boleh beliau meluangkan masa menziarahi Anwar yang banyak berbudi kepadanya? (ShahbudinHusin 17/11/2017)

22 TAHUN JADI PM, MEMANG TUN MAHATHIR TERBUKTI PALING LEKEH DAN TAK GUNA SAMA-SEKALI...

Kata Perdana Menteri yang berdarah pahlawan Bugis, Najib Razak, walaupun Tun Mahathir Mohamad berpeluang menerajui negara selama 22 tahun, tetapi tidak pernah sekali pun dia melawat Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

"Saya amat gembira dapat melawat Hospital Tung Shin yang ditubuhkan 136 tahun lalu dan Chinese Maternity Hospital yang sudah berusia 104 tahun.

"Saya difahamkan saya adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama melawat dua hospital ini. Ada seseorang yang jadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tapi tidak pernah melawat hospital ini," kata Najib lagi.

Dalam erti kata lain, oleh kerana tidak pernah menjejakkan kaki melawat Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina tersebut, Tun Mahathir adalah pemimpin paling lekeh dan tak guna sama-sekali.

Ya...memang Tun Mahathir paling lekeh dan tak guna walaupun berkuasa selama 22 tahun. 

Bukan saja dua hospital tersebut tidak pernah dilawatinya, bahkan banyak lagi perkara lain tak mampu atau tak terbuat oleh beliau.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu menjadikan akaun bank peribadinya ada wang sebanyak RM2,600 juta.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu mencari seorang Pak Arab yang pemurah dan sanggup menderma banyak wang kepadanya.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu meningkatkan hutang negara sehingga mencecah hampir RM700 bilion seperti yang ada sekarang.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu menubuhkan sebuah syarikat pelaburan yang dapat menjana hutang sehingga lebih RM50 bilion.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu membina MRT yang tujuannya hanya dapat dibanggai kerana dapat meningkatkan jualan sate Kajang.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu menurunkan harga barang, waima harga sayur kangkung sekali pun untuk membuatkan rakyat berbangga dengan peranan kerajaan membantu meringankan beban hidup seharian.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu melahirkan walau seorang anak muda seperti Jho Low yang tiba-tiba menjadi bilionaire sekelip mata dan dapat berhibur sakan dengan artis-artis Hollywood.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu menjadikan anak tirinya seorang penerbit separa porno Hollywood, sambil mampu membeli beberapa kondo mewah di London dan Amerika Syarikat.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu membahagiakan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dengan kerlipan emas berlian berupa rantai, cincin, gelang dan perhiasan barang kemas lainnya yang mencecah ratusan juta ringgit nilainya.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu membenarkan isterinya bebas menggunakan jet eksekutif kerajaan ke mana-mana secara sendirian.

Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tak mampu menaikkan harga minyak setiap minggu sehingga hari Rabu adalah hari yang sentiasa menjadi penantian bagi setiap rakyat Malaysia.

Ahhh....kalau mahu dihitung, memang banyak sekali ketidakmampuan Tun Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi Perdana yang membuktikan beliau adalah pemimpin paling lekeh dan tak guna sekali di Malaysia ini.

Dan untuk makluman seluruh rakyat Malaysia, kemampuan Najib dapat melakukan lawatan ke Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina adalah suatu pencapaian yang jauh lebih tinggi berbanding melahirkan idea membina Menara Kembar KLCC.

Maka, memang lekeh dan tak guna sekali Tun Mahathir ini. (ShahbudinHusin 17/11/2017)

Thursday, 16 November 2017

TIDAK PERNAH MENCABAR SESIAPA TAK BERERTI NAJIB TIDAK BOLEH DILAWAN ATAU DIJATUHKAN


Najib Razak nampaknya merepek lagi.


Jika semalam beliau merepek mengenai jualan sate dan kaitannya dengan MRT, kali ini beliau meneruskan lagi  tabiat itu dengan mengungkit sejarah perjalanan politiknya yang tidak pernah mencabar sesiapa.


Kata Najib, beliau hanya menunggu peluang dan tidak pernah mencabar sesiapa untuk mendapatkan kedudukan di sepanjang karier politiknya.


"Saya hanya menapak dari satu tangga ke satu tangga, saya tidak pernah mencabar sesiapa di sepanjang karier politik saya.


"Saya akan tawarkan diri bila ada kekosongan.


"Alhamdulillah, resepi itu berjaya dan sekarang saya menjadi pemimpin Malaysia yang tekanannya sangat, sangat tinggi, kata Najib ketika berucap merasmikan Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau Smidex 2017 di ibukota.


Untuk apa dan perlu apa Najib menceritakan kisah perjalanan politiknya kepada golongan peniaga kecil dan sederhana?

Apakah mesej yang mahu disampaikannya?


Adakah oleh kerana beliau kini sedang terumbang-ambing dan disebabkan sejarah politiknya tidak pernah mencabar sesiapa selama ini, maka beliau merasakan dirinya tidak harus dijatuhkan oleh sesiapa, baik dalam pilihanraya atau melalui UMNO?


Najib seharusnya sedar, sejarah politiknya hanyalah terpakai untuk kenang-kenangan dirinya saja, tetapi bukan untuk orang lain menurutinya.


Jika beliau tidak pernah mencabar sesiapa dan berjaya menjadi Perdana Menteri, itu barangkali adalah kerana nasib memihak kepadanya.


Namun, ia tidak bermakna, setelah beliau berada di kedudukan Perdana Menteri, tiada sesiapa boleh mencabar atau menjatuhkannya.


Beliau kini boleh saja dijatuhkan sama ada oleh Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan melalui PRU 14 atau ketika pemilihan UMNO selepas itu seandainya keputusan dalam pilihanraya akan datang ini lebih buruk berbanding pilihanraya 2013 lalu.


Dalam pilihanraya 2013, meskipun kalah dari segi undi popular, BN sebaliknya hanya menang 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang meraih 89 kerusi.


Meskipun ketika itu, pencapaian Najib lebih buruk berbanding 140 kerusi yang dicapai oleh Tun Abdullah Badawi pada 2008, beliau terus dikekalkan lagi menerajui UMNO dan negara kerana tiada sesiapa sedia untuk mencabarnya, selain disebabkan baru tidak sampai sepenggal menduduki kerusi Perdana Menteri.


Situasi itu mungkin berbeza kali ini.  PRU 14 adalah penentuan hidup dan mati baginya kerana akan dicabar oleh Tun Mahathir dan Pakatan Harapan dalam pilihanraya dan kemudian Zahid Hamidi pula  adalah "cencaru yang bakal menanti hidangan lumayan di waktu petang".


Jika  BN tumbang, tamatlah riwayat Najib dan Zahid secara serentak. Tetapi kalau BN masih menang, cuma pencapaian dalam PRU 14 lebih buruk lagi berbanding 2013, Zahid Hamidi tidak mungkin akan berdiam diri lagi.


Dengan rangkaiannya yang agak kuat dan menyeluruh dalam UMNO serta penyokong-penyokongnya yang tidak sabar, mereka pasti akan mendesak pengunduran Najib dengan segera bagi memberi laluan kepada Zahid Hamidi pula mengambil alih kepimpinan parti dan negara.


Kiranya Najib tidak sedia mengalah kepada desakan itu, pertembungan beliau dengan Zahid Hamidi tentu tidak dapat dielakkan lagi. 


Jika setelah dua kali pilihanraya, 2013 dan 2018, tetapi keputusan tetap makin buruk yang dicapainya, mustahil nasib menyebelahi Najib lagi, meskipun kiranya beliau berbekalkan wang yang banyak untuk mempertahankan kedudukannya.


Bermakna, cabaran yang ada di depan Najib ialah Tun Mahathir melalui peti undi pilihanraya dan Zahid Hamidi yang hanya menunggu apa keputusan PRU 14 nanti.


Ini adalah realiti yang harus Najib hadapi. Jika berani melibatkan diri dengan skandal, mestilah berani juga menghadapi cabaran yang ada di depan.


Menggunakan senjata tidak pernah mencabar sesiapa tidak mungkin mampu menyelamatkan dirinya daripada dicabar untuk dijatuhkan oleh lawannya atau orang yang lain yang mengidam kerusi empuknya itu.


Satu-satunya cara jika Najib benar-benar tidak mahu dicabar atau dijatuhkan oleh sesiapa ialah dengan segera meletakkan jawatannya sebelum PRU 14. Itu saja pilihannya. (ShahbudinHusin 16/11/2017).

JUALAN SATE MELAMBUNG KERANA MRT, NAJIB SAH SYOK SENDIRI!!


Apa merepek ni Najib!!

Barangkali itu ayat paling sesuai ditujukan kepada Perdana Menteri, Najib Razak apabila beliau mengatakan jualan sate Kajang telah melambung sejak adanya MRT.

Adakah orangramai menggunakan perkhidmatan MRT hanya untuk makan sate di Kajang dan bukannya sebagai kemudahan pergi bekerja atau sebagainya?

Adakah juga MRT laluan Sungai Buloh - Kajang yang menelan kos RM23 bilion itu dibina semata-mata untuk meningkatkan jualan sate?

Apakah sate Kajang sebelum adanya MRT tidak begitu baik jualannya?

Apakah kerana tidak begitu dilayan oleh Donald Trump ketika di Vietnam dan Filipina baru-baru ini sehingga dalam video yang tular menunjukkan berpusing badannya kerana tiba-tiba Presiden Amerika itu lalu di belakangnya, sedangkan beliau sedia menunggu untuk bersalam dengannya, maka Najib jadi merepek begini teruk sekali?
Sebagai makluman kepada Najib yang mungkin masih tidak tahu, untuk menikmati sate Kajang, orangramai tidak perlu lagi ke sana kerana di  sekitar Lembah Kelang saja sudah bersepah-sepah cawangan makanan itu dibuka di merata-mata tempat.

Malah di beberapa hentian R&R lebuhraya juga turut terdapat kedai sate Kajang yang sentiasa mendapat sambutan ramai.

Di Putrajaya sendiri, tidak jauh dari Seri Perdana  iaitu di Taman Warisan Pertanian di Presint 16 pun ada kedai sate Kajang yang membolehkan Najib memesannya bila-bila masa.

Itu belum termasuk lagi sate Kajang yang dijual ala gerai di banyak medan selera dan tempat-tempat makan pada waktu malam di sekitar Kuala Lumpur.

Dengan pertumbuhan dan meluasnya kedai sate Kajang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, orangramai sebenarnya tidak perlu lagi ke Kajang atau menaiki MRT untuk menikmati makanan tradisi Malaysia itu.

Sate kini boleh didapati di mana-mana saja, kecuali bagi sesetengah orang yang mahu berjalan-jalan sambil makan angin ke Kajang.

Ada atau tidak ada MRT, sate Kajang sebenarnya tetap laku dan peningkatan jualannya lebih mungkin disebabkan pengusahanya kini membuka banyak cawangan di pelbagai tempat serta kawasan dan bukanlah sangat kerana adanya MRT.

Jadi, janganlah Najib merepek dan perasan sangat dalam hal ini!!

Kalau mahu dibuat perbandingan, selain terkenal kerana sate, Kajang juga lebih dikenali kerana Anwar Ibrahim pernah berhasrat bertanding di situ untuk menjadi Menteri Besar Selangor bagi mengambil alih tempat Khalid Ibrahim, sebelum ia kemudian ditandingi oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

MRT tidak menjadikan Kajang lebih terkenal seperti sebelumnya.

Selain itu, dengan tak habis-habis berbangga kerana MRT juga menunjukkan Najib hanyalah syok sendiri dan seolah-olah hidup dalam dunianya saja.

MRT bukanlah sesuatu yang baru kerana ia hanyalah kesinambungan kepada LRT yang telah dibina ketika era pentadbiran Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.

Najib barangkali boleh berbangga dengan MRT jika negara sebelum ini tiada LRT, Komuter, Monorel, ETS dan sebagainya atau sekiranya MRT yang dibinanya tidak menggunakan tiang dan hanya terawang-awang di atas awan.

Dari segi idea, mewujudkan rangkaian LRT, Monorel dan ETS oleh Tun Mahathir jauh lebih wajar dibanggai kerana ia dimulakan dengan tiada apa-apa berbanding MRT yang hanya merupakan kesinambungan dan tokok tambah semata-mata.

Ibarat kata, apa yang Najib lakukan dengan membina MRT ini hanyalah umpama menambah sayur atau daging kepada sekawah kari yang sudah disiapkan rencah dan kawahnya oleh Tun Mahathir.

Malulah sikit kalau ia pun nak syok sendiri!! (ShahbudinHusin 16/11/2017)

Wednesday, 15 November 2017

YANG INI PULA PETANDA APA, 'USTAZ ZAHID HAMIDI'?

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, selepas Pulau Pinang dilanda banjir besar baru-baru ini, fenomena gelombang kedua yang turut mengakibatkan hujan lebat dan kenaikan air dijangka akan melanda negeri-negeri di Pantai Timur pula selepas ini.

Gelombang kedua yang terjadi kerana pertukaran monsun itu diramalkan berlaku antara awal November sehingga ke penghujung bulan tersebut.

Berikutan jangkaan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat kini sedang bersiap sedia dan memberi tumpuan untuk menghadapi kemungkinan yang akan berlaku Pantai Timur itu.

Sehubungan itu, 12,000 anggota jabatan itu kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga serta sedia digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa.
Jika banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini dianggap oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai petanda yang dihantar Tuhan untuk BN dapat menawan kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan, kiranya benar ramalan Jabatan Meteorologi bahawa banjir besar juga bakal melanda negeri-negeri Pantai Timur, apakah pula isyaratnya?

Apakah ia petanda Pas di Kelantan dan BN di Terengganu serta Pahang akan tumbang, sekaligus diambil-alih oleh parti lain?

"Ustaz Zahid Hamidi", tolonglah berikan jawapan? (ShahbudinHusin 15/11/2017)

PILIHAN BERJUANG HANYA DUA - MENYOKONG ATAU MENENTANG? BERKECUALI MEMBUATKAN PAS TERLEPAS PELUANG MEMBERSIH NAMANYA


Tindakan Pas berkecuali dalam pengundian Bajet 2018 Isnin lalu hanya menyerlahkan lagi kedudukan sebenar parti yang dipimpin oleh Hadi Awang itu.


Pertama, sikap berkecuali itu adalah tanda sokongan secara tidak langsung Pas kepada UMNO dan BN. 


Meski berkedudukan sebagai pembangkang dan mendakwa mampu memerintah negara secara sendirian melalui Gagasan Sejahtera, Pas sebaliknya mempunyai kecenderungan ingin menjaga hati Najib Razak, UMNO dan BN.


Jika mereka mendakwa sebagai pembangkang yang berwibawa, apa salahnya mengundi menolak Bajet 2018?


Bukankah Pas ada entiti sendiri sebagai pembangkang iaitu Gagasan Sejahtera dan menolak Bajet 2018 sudah tentu tidak bermakna mereka menyokong atau bersama dengan Pakatan Harapan?


Kenapa itu tidak berani dilakukan oleh Pas?


Hujah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang menyatakan mereka berkecuali kerana ada perkara dalam Bajet 2018 yang mereka sokong dan ada juga yang ditentang, tidak masuk akal sama-sekali.


Jika Pas ada hujah-hujahnya sendiri, khususnya yang berlandaskan Islam, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai parti pembangkang juga, mengundi menolak Bajet 2018 lebih mampu memperlihatkan wibawa parti itu di mata rakyat.


Ia adalah simbolik paling mudah difahami, secara langsung dan tidak langsung bahawa Pas tetap menentang UMNO dan BN.


Kedua, menanti kebenaran dan perjalanan bicara di London berhubung dakwaan Pas menerima wang daripada Najib Razak, termasuk pengakuan Husam Musa bahawa beliau melihat sendiri bukti berkenaan dengannya dan Nasharuddin Mat Isa tidak berani menyaman mereka yang menuduhnya sebagai perantara, mengundi menolak Bajet 2018 akan sedikit-sebanyak membantu Pas membersihkan namanya.


Keputusan itu jika dilakukan, setidak-tidaknya menjelang PRU 14, adalah tindakan politik paling berkesan untuk menepis segala dakwaan yang timbul sama ada berkaitan RM200 juta atau RM90 juta.


Pas tentunya boleh berhujah, jika benar mereka ada menerima wang daripada Najib sebagaimana yang didakwa, mana mungkin tindakan menolak undian Bajet 2018 mampu dilakukan.


Sayangnya, Pas telah terlepas segala peluang terbaik itu.


Ketiga, sikap berkecuali hanya menunjukkan Pas tiada lagi nilai perjuangan yang boleh dipegang atau diikuti oleh sesiapa.


Ini kerana dalam politik hanya ada dua pilihan wang wajar saja - menyokong atau menentang.


Berkecuali bukanlah suatu pilihan, tetapi menunjukkan mahu main dua kolam, tiada pendirian dan tidak yakin kepada diri sendiri.


Oleh kerana Pas adalah parti politik yang mutlak dan tunjang pencariannya ialah kuasa, sama seperti parti itu pernah bersama DAP sebelum ini, tiada salahnya jika mereka membuat pilihan untuk bersama UMNO dan BN.


Kalau ketika bersama DAP dulu pun Pas mampu meyakinkan penyokongnya agar terus wala', apakah jika bersama UMNO dan BN, Pas tidak mampu meyakinkan mereka?


Lagi pula, Pas memang lahir daripada perut UMNO dan pernah juga berada dalam BN sebelum ini.


Jadi, jika makin tua makin merindui antara satu sama lain, apa salahnya untuk rujuk kembali?


Berkecuali, tetapi hati saling merindui, bukankah hanya akan memudaratkan diri sendiri akhirnya? (ShahbudinHusin 15/11/2017)

Tuesday, 14 November 2017

INI BARU BETUL...PARTI LAIN ADA TAWARKAN APA?

Di sebalik pelbagai dakwaan kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersikap anti Islam, beliau satu-satunya ketua kerajaan negeri yang ada ketegasan tersendiri dalam isu pekerja hotel memakai tudung.


Beliau bukan saja mengatakan larangan pekerja hotel wanita daripada memakai tudung sebagai suatu bentuk diskriminasi, malah memberi jaminan mereka tidak akan dihalang daripada terus mengamalkan pemakaian tersebut di Pulau Pinang.


Susulan itu pula, Biro Undang-Undang DAP lantas menawarkan khidmat guaman percuma kepada pekerja-pekerja hotel yang mungkin terjejas berkaitan polisi larangan bertudung tersebut.


Ketua biro berkenaan, Gobind Singh Deo menegaskan, larangan tersebut adalah jelas sebagai diskriminasi, tidak sensitif kepada kepercayaan agama wanita-wanita Islam serta tidak berperlembagaan.


Jika ada keperluan untuk mendapatkan perintah mahkamah mengenainya, saya bagi pihak DAP sedia menawarkan bantuan guaman percuma kepada mereka yang terjejas itu untuk mencabar kesahihan larangan itu dari segi undang-undang, katanya yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Ini baru betul berjuang untuk rakyat namanya, tidak cukup dengan kata-kata dan menggunakan kuasa yang ada, bahkan juga tidak kededut menawarkan bantuan serta khidmat percuma.


Parti lain buat apa, lebih-lebih lagi yang mengaku sebagai parti Islam dan memperjuangkan agama?


Apa yang telah mereka tawarkan?


Cukupkah sekadar mengeluarkan kenyataan media  dan membebel berjela dalam FB saja? (ShahbudinHusin 14/11/2017)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...