Saturday 31 December 2016

TAHUN BARU, AZAM BARU, KERAJAAN BARU


Hari ini adalah hari terakhir tahun 2016 dan esok akan bermulalah lembaran baru tahun 2017. Selamat tinggal 2016, selamat datang 2017.

Sebagaimana biasa, apabila tiba saja tahun baru, ramai orang mula memasang azam dan impian baru. Dalam semua azam dan impian baru itu, keseluruhannya adalah inginkan keadaan yang lebih baik bagi diri mereka bersama hadirnya tahun baru.

Begitulah lumrahnya manusia kerana setiap orang inginkan sesuatu yang lebih baik bagi diri sendiri, kerjaya, keluarga, anak-anak dan sebagainya.

Dalam konteks kita sebagai rakyat Malaysia, kita juga sebenarnya perlu memasang azam dan impian baru bersama kedatangan tahun 2017. Ini kerana tahun 2016 lalu telah meninggalkan luka dan sengsara yang bukan sedikit kepada rakyat yang cintakan kebenaran serta keadilan.

Kemelut 1MDB masih lagi tidak menampakkan sebarang cahaya, meskipun di Singapura sudah tiga orang dihukum penjara dan dua buah bank turut ditutup kerananya.

Di Amerika, bukan saja harta-harta yang terkait dengan dana 1MDB yang didakwa dilencongkan sudah mula memasuki kamar mahkamah untuk proses penyitaan, bahkan "Malaysia Official 1" juga disebut secara nyata menerima AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta daripadanya.

Duit RM2,600 juta yang kononnya derma dan RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadi Najib, meskipun diakui oleh empunya badan sendiri, sebaliknya yang dipecat dan diganti ialah Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Felda yang terus rugi beribu-ribu juta dan peneroka yang semakin sengsara langsung tidak diambil kira dengan membeli pula ladang di Eagle High di Indonesia dengan harga RM1.43 bilion lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.

Ringgit terus merudum, hutang meningkat dan harga barang-barang kian melonjak yang sekaligus memberi makna tidur malam rakyat tidak lagi senyenyak tahun-tahun sebelumnya.

Dalam masa yang sama, hutang negara ditambah lagi dengan penganugerahan projek-projek kerajaan kepada syarikat negara China, tidak saja melalui konsep "buat dulu bayar kemudian", malah juga diperkatakan oleh pakar-pakar dengan harga yang berlipat kali ganda tingginya.

Terbaru, lemahnya ekonomi negara turut dizahirkan melalui dividen ASB yang paling rendah dalam sejarah sejak ia diwujudkan.

Jika mahu disenaraikan, banyak sekali luka dan parut 2016 yang membuatkan rakyat berasa sedih, sengsara dan menangis. Negara kita pada hakikatnya tidak mungkin menjadi lebih baik jika terus dipimpin oleh Najib dan barisan menteri yang sedia ada kerana mereka sendiri bergantung kepada kuasa UMNO untuk menentukan masa depan mereka.

Oleh kerana mereka sendiri pun berharap kepada kekalnya kuasa UMNO untuk menyelamatkan kedudukan dan masa depan daripada segala onar yang telah dilakukan, tentulah mustahil untuk mereka mampu memberi yang lebih baik buat rakyat.

Dengan yang demikian, apakah azam dan impian yang paling baik bagi rakyat Malaysia?

Jawapannya tidak lain ialah perlunya sebuah kerajaan baru untuk melindungi kita semua dan menyelesaikan semua masalah-masalah yang disenaraikan di atas tadi. 

Tanpa kerajaan baru, bukan saja masalah lama tidak akan diselesaikan, bahkan ia akan ditutup dengan mencipta masalah baru yang lebih besar lagi bebannya untuk ditanggung oleh rakyat.

Bermula esok, sempena tahun baru 2017, selain kita memasang azam dan impian baru untuk diri sendiri, kerjaya, keluarga dan anak-anak, menjadi kewajipan juga untuk disematkan sama azam serta impian kepada kelahiran sebuah kerajaan baru bagi Malaysia.

Azam dan impian kepada kerajaan baru itu perlu sentiasa diperkukuhkan dalam hati setiap rakyat kerana PRU 14 paling mungkin akan diadakan pada tahun 2017.

Azam dan impian untuk diri sendiri, kerjaya, keluarga serta anak-anak kadangkala akan menjadi lebih mudah untuk dicapai dengan adanya sebuah kerajaan baru.

Selamat tahun baru kepada semua pembaca dan penjenguk blog ini, selain berazam baru, jangan lupa juga perlunya kepada sebuah kerajaan baru. (SH 31/12/2016).

DI MANA MUFTI PERAK?


Dakwaan oleh "seorang tua" bernama Tunku Aziz Tunku Ibrahim kononnya sudah ada kesepatakan antara Tun Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang yang bersetuju menamakan Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU 14, adalah jelas mengarut dan fitnah.

Hakikatnya, perkara itu masih dalam perbincangan dan belum lagi ada kata putus mengenainya.

Tak malukah "dah tua-tua"  pun masih bergentayangan dengan fitnah di sana sini?
Malangnya, tidak pula Harussani Zakaria mahu menasihatkan "orang tua" itu agar segera berehat dan lebih menumpukan kepada amal ibadah?

Bukankah "orang tua" sebegini yang lebih afdal agar dinasihatkan berehat, memperbanyakkan amal ibadah dan bermain dengan cucu-cucu berbanding Tun Mahathir yang sedang cuba memperbaiki dan memulihkan pelbagai kerosakan dalam negara?

Lebih dari itu, Tunku Aziz ini juga dikatakan sudah dinyatakan oleh "orang besar TV3" dalam laporannya kepada Perdana Menteri  sebagai antara punca kemerosotan penonton terhadap saluran televisyen itu?

Maka, meminta "orang tua" itu agar berehat dan memperbanyakkan amal ibadah turut merupakan pertolongan tidak langsung dalam memulihkan imej kerajaan dan dapat pula " membodek" Najib kerana menyelamatkannya daripada terus disokong oleh seseorang yang sudah dianggap "tidak berguna" oleh TV3?

Oleh itu, cepat-cepatlah bersuara wahai Tuan Mufti Perak? (SH 31/12/2016).

Friday 30 December 2016

PENGIKUT PALSU NAJIB....


Semalam Najib Razak melahirkan rasa bangga kerana pengikutnya di laman Twitter sudah mencecah seramai 3.2 juta orang.

"Alhamdulillah, jumlah follower Twitter saya kini 3.2 juta. Terima kasih semua yang bersama saya di sini, Insya Allah kita akan terus berhubung," kata Najib dalam tulisannya itu.
Bagaimanapun, jika diperiksa melalui laman Twitteraudit.com, didapati hampir 2 juta pengikut Najib itu adalah terdiri daripada akaun-akaun palsu.

Hanya sejuta lebih sikit saja pengikutnya terdiri daripada pemilik akaun tulen.

Maka, kenapa Najib perlu bangga?

Bagaimana pula di dunia nyata? 

Di kalangan pimpinan dan ahli UMNO, kakitangan kerajaan atau di antara 31 juta rakyat Malaysia, berapa ramai pula sebenarnya yang sedang menampakkan diri mereka sebagai pengikut palsu kepada Najib?

Jeng jeng jeng.....(SH 30/12/2016).

SAMAN ATAU TIDAK?


Menarik sekali untuk menunggu perkembangan seterusya berkenaan saman Pas terhadap Sarawak Report berkaitan artikel yang mendakwa kepimpinan kanan parti itu menerima RM90 juta daripada Najib Razak.

Pada 13 Disember, Pas sudah menghantar notis tuntutan tujuh hari yang mengandungi tiga permintaan kepada Sarawak Report:-

- menarik balik artitel berkaitan dakwaan RM90 juta yang disiarkan pada 6 Ogos 2016.

-  membuat permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui oleh parti.

- membuat akujanji untuk tidak menyiarkan tuduhan palsu di masa depan.
Tempoh tuntutan itu telah berakhir pada 20 Disember lalu di mana Claire Brown dan Sarawak Report tidak mengendahkan langsung tuntutan yang diminta Pas itu, sekaligus memberi makna beliau bersedia untuk berdepan dengan Pas dan Hadi Awang di mahkamah.

Hari ini pula sudah 30 Disember, sepuluh hari telah berlalu daripada tarikh tuntutan itu berakhir.

Namun,  masih tidak kedengaran khabar berita sama ada Pas mahu meneruskan saman atau sebaliknya.

Claire Brown, ketika ditanya mengesahkan masih tidak menerima sebarang writ saman atau apa-apa dokumen yang menunjukkan beliau dan Pas akan bertemu di mahkamah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dalam blognya minggu lalu ada menasihatkan Pas agar tidak cuba-cuba mahu membawa kes itu ke mahkamah.

Kata Zaid, kos guaman bagi saman fitnah di London adalah terlalu mahal iaitu £250 ribu atau bersamaan RM1.5 juta dan wang itu sebaiknya digunakan oleh Pas untuk kegunaan PRU 14 akan datang.

Selain itu, tambah beliau, jika kes dibawa ke mahkamah, Claire sudah tentu akan memanggil Najib untuk memberi keterangan di mana keadaan itu boleh meruntuhkan hubungan kemesraannya dengan Hadi Awang dan Pas yang terjalin selama ini.

Sediakah Najib hadir ke mahkamah?

Apakah notis tuntutan Pas itu akhirnya sama seperti tuntutan penjelasan Najib kepada WSJ berkaitan dakwaan kemasukan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya sebelum ini, tetapi tidak berani pun diteruskan sehingga ke mahkamah?

Akhirnya, saman atau tidak? (SH 30/12/2016).

Thursday 29 December 2016

MUHYIDDIN, MUKHRIZ PERLU LEBIH "LAJU" URUS PPBM, JANGAN HANYA BERHARAP AURA TUN M


PPBM secara dasarnya ditubuhkan untuk menyaingi serta mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Ia adalah wadah baru bagi orang-orang Melayu setelah UMNO sekarang ini lebih dipergunakan kedudukannya untuk membela dan mempertahankan Najib Razak semata-mata.

PPBM amat beruntung kerana ada Tun Mahathir Mohamad di dalam parti itu selaku pengerusinya. Tun Mahathir harus diakui mempunyai aura besar kepada masyarakat kerana kepintaran, jasa dan sumbangannya selama 22 tahun mentadbir negara. Tanpa Tun Mahathir, PPBM tidak mungkin mampu ke mana-mana.

Di pihak pengurusan parti, PPBM ada Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir selaku gandingan peneraju yang turut dibantu oleh Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua-ketua sayap dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Untuk tujuan menyaingi dan mengalahkan UMNO serta menjadikan parti itu dan Najib akhirnya hilang kuasa melalui pilihanraya, pengaruh Tun Mahathir adalah senjata utamanya. Ditambah dengan Tun Mahathir sudah berbaik dengan Anwar Ibrahim dan diikuti dengan PPBM telah menjalin kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan, UMNO yang sudah di hujung tanduk kedudukannya sejak menanggung beban Najib, Rosmah dan keluarganya, sebenarnya semakin menghampiri tanah perkuburan situasinya.

Tidak saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti, orang bandar, separa bandar, profesional dan golongan muda yang semakin meluat dengan UMNO di bawah kepimpinan Najib, malah ramai ahli parti itu sendiri akan melakukan penderhakaan dengan sama ada tidak keluar mengundi atau memberi kemenangan kepada parti alternatif dalam pilihanraya akan datang.

Orang kampung dan orang Felda pun sudah ramai yang beralih angin dan enggan memberikan undi mereka kepada UMNO dan BN.

Rata-rata rakyat sudah sedar bahawa memberi lanjutan kuasa kepada UMNO dan BN tidak lagi bererti apa-apa kepada mereka, sebaliknya hanya bertujuan menyelamatkan kedudukan Najib semata-mata. Setelah menang, silap-silap lagi banyak subsidi akan ditarik dan GST pula dinaikkan lagi untuk membayar hutang yang semakin menimbun.

Tetapi untuk memastikan PPBM dapat memainkan peranan yang berkesan dalam usaha mengalahkan UMNO bersama Pakatan Harapan, parti itu mestilah diurus dengan baik, cekap dan laju. PPBM tidak boleh bergerak terlalu perlahan macam kura-kura seperti sekarang dan hanya bergantung semata-mata kepada aura serta pengaruh Tun Mahathir.

Ia mesti pantas bergerak dan cepat menyelesaikan sama ada urusan pentadbiran, gerak kerja, mahu pun masalah-masalah yang timbul.

Team pengurusan PPBM yang diketuai oleh Muhyiddin dan Mukhriz seharusnya tidak berlengah-lengah lagi memastikan parti itu berjalan lancar, sementara aura Tun Mahathir ditumpukan semaksima mungkin peranannya untuk menarik sokongan rakyat.

Apa yang terlihat selama ini hanya peranan Tun Mahathir yang berjalan dengan baik dalam menarik sokongan rakyat. Beliau hampir sepanjang masa bergerak, berceramah, bertemu dengan pelbagai pihak, berfikir, meluahkan pandangan, menghadiri forum, menulis di blog dan macam-macam lagi.

Dalam usianya mencecah 91 tahun, kesungguhannya untuk memulihkan negara ini amat mengkagumkan dan amat menyentuh hati. Di sinilah kekuatan Tun Mahathir dalam menggenggam bara perjuangannya.

Namun, bagaimana dengan pengurusan parti yang sepatutnya digerakkan dengan cekap dan pantas oleh Muhyiddin, Mukhriz serta pasukannya?

Adakah ia telah dan sedang berjalan dengan baik? Apa yang rakyat dapat lihat mengenai PPBM setakat ini?

Selain hanya menubuhkan barisan kepimpinan di peringkat pusat, mengapa kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di seluruh negara masih belum dibentuk lagi sehingga ke hari ini?

Bila lagi mahu diumumkan dan dibentuk? Sudahkah digerakkan pasukan untuk meninjau ke negeri, bahagian dan cawangan bagi tujuan itu?

Bukankah tarikh pilihanraya sudah semakin dekat? Bagaimana jika tiba-tiba Najib mengumumkan tarikh pilihanraya ialah pada Mac atau April nanti?

Sudahkah ditubuhkan jentera pilihanraya di pusat-pusat daerah mengundi?

Sempatkah digerakkan semuanya sekaligus menjelang pilihanraya nanti?

Mana program-program besar PPBM di seluruh negara yang mampu menyerlahkan ia sebagai parti yang mahu menggantikan UMNO?

Sokongan rakyat kepada PPBM dan agenda perubahan, khususnya untuk menyingkirkan Najib memang tengah "cantik" ketika ini, tetapi aura dan pengaruh Tun Mahathir saja tidak mencukupi untuk tujuan itu.

Ia mesti dibantu oleh pengurusan dan pentadbiran PPBM yang cekap, berkesan dan tersusun.  Malah, aura dan pengaruh Tun Mahathir boleh tenggelam dan tewas disebabkan pengurusan parti yang perlahan dan tidak cekap.

Muhyiddin dan Mukhriz perlu bingkas segera. Jangan terlalu perlahan dan lambat. Gerakkanlah parti dengan segera dan sebaik-baiknya. Janganlah juga bercuti lama-lama ke luar negara. Menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya.

Lagi pula, semasa berkuasa dulu, bukankah sudah tiap-tiap tahun pergi bercuti dengan keluarga?

Dalam mengurus PPBM dan memastikan ia mampu berjaya mengalahkan UMNO serta menyingkirkan Najib yang bergelar bilionwan, jangankan pergi bercuti, Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya  juga "tidak boleh tidur pun" bermula sejak tertubuhnya parti itu sehinggalah tarikh PRU 14 akan datang. (SH 29/12/2016).

WOWW...SAMPAI KE LONDON MENTERI CARI TEH TARIK!!

Sebagaimana yang tersebar dalam grup whatsapp dan media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom dilaporkan hadir dalam satu program "sessi teh tarik Akta 355" di Malaysia Hall, London pada 27 Disember, baru-baru ini.

Turut  diajak "ngeteh"  bersama dingin salji di kota London itu ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat dan Ahli Jawatankuasa  Majlis Syura parti Islam itu.

Mengapa sampai ke London membawa perbincangan Akta 355? 

Apa kaitannya orang-orang Melayu di London dengan akta 355?
Malangnya, bersama gambar-gambar yang turut tersebar, khabarnya "sessi teh tarik" di kota London itu hanya mencatat jumlah kehadiran yang kecil saja.

Kenapa tidak pernah diadakan "sessi teh tarik" membincangkan akta yang sama di dalam negara atau di Jerai yang merupakan kawasan Parlimen Jamil Khir sendiri?

Adakah semua orang dalam negara sudah faham mengenai Akta 355, lalu tidak perlu diadakan sessi dialog atau kerana teh tarik mamak di sini tidak sesedap teh tarik di kota London?
Bila pula Jamil Khir mahu mengadakan "sessi teh tarik" dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak yang masih menentang Akta 355 itu?

Apakah mungkin selepas London ini, "sessi teh tarik"  bersama Jamil Khir dan pemimpin Pas juga bakal diadakan di Paris, Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain kota percutian kerana di semua tempat itu juga terdapat orang-orang Melayu Malaysia yang ditakrif "sangat-sangat"  perlu diberikan penerangan berkaitan akta 355? (SH 29/12/2016).

Wednesday 28 December 2016

BR1M RASUAH, BAGAIMANA MENGELAKKANNYA?


Menurut jawapan Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani di Parlimen pada 18 Oktober 2016 lalu, jumlah penerima BR1M bagi tahun ini ialah seramai 7,280,340 orang.

Katanya, jumlah permohonan keseluruhan yang diterima pula ialah sebanyak 8,362,666. Ini bermakna sebanyak 1,082,326 permohonan telah ditolak.

Apakah tafsiran mudah apabila melihat angka 7,280,340 orang yang layak menerima BR1M itu?

Dengan sejarah mentadbir negara melebihi 60 tahun, tetapi lebih 7 juta daripada 31 juta rakyatnya masih bergantung kepada BR1M, angka itu dengan sendirinya membuktikan kegagalan UMNO dan BN dalam mentadbir negara ini.

Apa yang menjadi teras perjuangan UMNO dan BN selama ini?

Bukankah yang selalu dilaungkan bahawa perjuangan UMNO dan BN tidak lain ialah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kerap juga ditempikkan slogan "BN menang, rakyat senang"?

Di mana senangnya rakyat melalui BN jika setelah lebih 60 tahun berkuasa, tetapi hampir 1/4 rakyatnya  masih susah dan miskin?

Dalam pada itu, daripada  7,280,340 penerima BR1M, berapa ramaikah di antaranya adalah ahli-ahli UMNO?

UMNO direkodkan mempunyai keahlian seramai 3.5 juta, jadi berapa ramaikah yang masih menerima BR1M?

Mungkinkah 3 juta atau 2.5 juta penerima BR1M merupakan ahli UMNO?

Jika demikian, apa yang boleh dibanggakan mengenai keberhasilan perjuangan UMNO, bukan saja untuk rakyat, tetapi juga kepada mereka yang menjadi ahli parti tersebut?

Mahu tidak tahu, BR1M akhirnya hanya membuktikan kegagalan UMNO dan BN memerintah negara ini.

Kini pemberian BR1M dikaitkan pula dengan unsur rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Ia beirkutan Najib sendiri dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu mengatakan pengagihannya akan dilakukan melalui pejabat UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara.

Duit BR1M adalah duit rakyat yang diperolehi melalui cukai, termasuk GST. Ia bukan duit UMNO atau wang derma yang diperolehi oleh Najib. Bermakna, bukan saja semua rakyat yang layak berhak menerimanya, bahkan ia tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan UMNO, BN atau mana-mana parti politik.

Apabila diberikan melalui pejabat UMNO, ia sudah mengarah kepada unsur rasuah. Sudah tentu ia diberikan dengan harapan dibalas dengan undi. Ketua-Ketua UMNO bahagian yang menyampaikan sumbangan pasti akan mengambil kesempatan bercakap atau memberikan sepatah dua kata kepada penerima BR1M dalam bentuk merayu serta meminta undi daripada mereka.

Kepada penerima BR1M yang dikenalpasti tidak menyokong UMNO dan BN, ia akhirnya turut terdedah kepada unsur ugutan atau kata-kata yang kasar agar wang yang diterima dibalas dengan sokongan.

Dengan yang demikian, BR1M adalah merupakan pemberian yang diminta balasannya, bukan lagi untuk semata-mata membantu rakyat yang kesusahan. Jadi,  unsur rasuah tidak lagi dapat dielakkan.

Tidak seperti bantuan tunai kepada warga emas atau bekalan air percuma yang diberikan di Pulau Pinang dan Selangor, ia disalurkan secara terus atau melalui pejabat kerajaan yang berkaitan tanpa melibatkan sama sekali sama ada DAP dan PKR.

Untuk mengelakkan BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah atau penerimanya mungkin berasa was-was kerana bimbang menerima wang haram, jalan mudahnya ialah mereka mesti tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Mereka mesti membuktikan bahawa sekali pun diberikan BR1M, undi tetap tidak diberikan kepada BN. Ia dengan sendirinya menyebabkan wang BR1M itu terkeluar daripada definisi rasuah.

Sebaliknya, selagi BN menang dalam pilihanraya akan datang, selagi itulah BR1M akan tetap terkait dengan rasuah.

Akhirnya terpulang kepada 7,280,340 penerima BR1M membuat keputusan. Dengan tidak mengundi BN, bukan saja dapat membersihkan wang yang diterima daripada unsur rasuah, yang lebih penting lagi ialah dapat sama menyelamatkan negara ini.

Lebih 60 tahun berkuasa, tetapi ada hampir 1/4 rakyat Malaysia masih menerima BR1M yang bermakna mereka masih miskin, termasuk sebahagiannya adalah ahli UMNO, apakah kita mahu memberi kerajaan yang ada terus berkuasa lagi? (SH 28/12/2016).

DI MANA LEBIH BANYAK PAHALA, BERIBADAH ATAU MELAWAN RASUAH?


Mufti Perak, Harussani Zakaria dilaporkan meminta Tun Mahathir Mohamad supaya berhenti daripada terus mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib Razak, sebaliknya menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki serta meningkatkan amalan seharian.

Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan yang bukan-bukan untuk menjatuhkan orang lain, lebih baik beramal di hujung usia yang masih ada, kata beliau.
Seperti biasa, inilah selalunya wajah sebenar para mufti, kecuali seorang dua iaitu diam atau tidak berani menegur segala kebejatan pemerintah, tetapi pantas membuka mulut kepada orang lain yang berani mengkritik kerajaan?

Apakah saranan agar memperbaiki amalan sendiri itu suatu perkara yang betul dan perlu diutamakan pada pandangan ulama dan agamawan apabila berdepan kekalutan yang kronik dalam negara?

Apakah Harussani faham mengenai skandal 1MDB, SRC International, pemecatan Peguam Negara, perlambakan kontrak-kontrak kerajaan pada harga tinggi kepada China, pembelian Eagle High oleh Felda yang lebih RM1.43 bilion berbanding harga pasaran serta  seribu satu kemungkaran yang lain yang berlaku silih berganti?

Bila Harussani mahu menegur Najib berkaitan semua perkara di atas, termasuk berkaitan pembaziran serta kemewahan melampau yang menjadi budaya keluarga Perdana Menteri  sejak menduduki Seri Perdana?

Tidakkah apabila Tun Mahathir bersuara, beliau sebenarnya telah melakukan amalan fardu kifayah yang turut mendatangkan pahala, bukan saja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain?

Selain itu, mana Harussani tahu Tun Mahathir tidak memperbaiki dan meningkatkan amalan peribadinya di hujung usia?

Apakah pahala dan bekalan ke akhirat hanya ada di atas sejadah sahaja?

Antara meningkat dan memperbaiki amalan peribadi dengan berjuang dalam konteks yang lebih besar untuk menyelamatkan negara, yang manakah memberi pahala lebih besar?

Apabila Harussani menegur Tun Mahathir, sebenarnya rakyat negara ini lebih banyak lagi pertanyaan untuk ditujukan kepadanya sehingga ada yang bertanya, sudah cukupkah amalan peribadi mufti itu sendiri untuk menampung dosa atas sikapnya yang lebih condong kepada kerajaan kleptokrasi sekarang ini?

Apakah menegur Tun Mahathir yang sedang berjuang menyelamatkan negara memberi pahala lebih besar bagi Harussani berbanding bersekongkol dan mengampu kerajaan dan pemimpinnya yang terang-terang kesalahannya diperkatakan di seluruh dunia? (SH 28/12/2016).

Tuesday 27 December 2016

BR1M - ANTARA RASUAH DAN AUTA MURAH HATI


Tersentak dan tergelujat beberapa menteri UMNO apabila Tun Mahathir Mohamad tampil dengan serangan terbarunya bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan perbuatan yang salah.

Berlumba-lumba mereka tampil mempertahankannya kerana BR1M, selain pertandingan tiga penjuru, adalah dua senjata yang masih tinggal buat UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Nak harapkan imej dan wibawa Najib....hancur.

Nak bergantung personaliti menteri-menteri....pun hancur.

Nak harapkan 1MDB....juga hancur.

Nak bergantung kepada Felda dan FGV...pun mula hancur.

Tiada apa yang tinggal untuk UMNO dan BN memenangi pilihanraya akan datang, selain mengharapkan perpecahan pembangkang akan berterusan dan berlakunya pertandingan tiga penjuru serta ditambah dengan gula-gula BR1M yang seolah-olah menggambarkan Najib seorang pemimpin yang pemurah lagi baik hati.

Jika pembangkang mula bersatu hati dan BR1M juga ditolak, makin dekatlah Najib, UMNO dan BN menemui titik penamatnya di hati rakyat.

Untuk menilai dakwaan Tun Mahathir bahawa BR1M adalah rasuah, mari kita teliti serta amati ulasan Mohamad Ezam Mohd Nor yang pernah bertugas sebagai Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan:-


1. Dakwaan Tun M unsur rasuah dalam BR1M bukan tanpa asas. Hisbah berpandangan ianya  mempunyai asas dan perlu diteliti.

2. Kita maklum rencana asal BR1M datang dari Bank Negara dan pada hemat Hisbah ianya mempunyai merit dari sudut ekonomi dan juga sosial.

3. Semasa di Kementerian Kewangan saya sendiri pernah menyatakan dari sudut Islam pemberian cara ini amat dekat dengan prinsip pemberian zakat dalam islam kerana ada tumpuan kumpulan sasar seperti konsep asnaf.

4. Persoalan rasuah timbul apabila pemimpin politik yang desperado dan terdesak ambil kesempatan dari konsep dan rencana yang baik ini untuk tujuan dan kepentingan politik.

5. Buktinya didalam ucapan penggulungan perhimpunan UMNO baru2 ini Presiden UMNO  umum bahawa pemberian BR1M 3 fasa dan fasa akhir di berikan melalui UMNO bahagian.

6. Di sini wujud elemen rasuah kerana UMNO berkepentingan sbg parti yang mahu meraih undi. Memberi wang secara langsung kepada pengundi oleh sebuah parti yang akan sertai pilihanraya boleh menjadikan perbuatan memberi itu kepada perbuatan merasuah.

7. Kalau tiada niat mempengaruhi dan merasuah mengapa pemberian melalui UMNO? Dari sudut pentadbiran kewangan negara juga salah kerana UMNO adalah sebuah parti bukan sebahagian jentera kerajaan. Sumber dana BR1M adalah dari hasil cukai rakyat kepada kerajaan. Cukai dan hasil kerajaan bukan bersumber dari ahli umno sahaja. Mengapa UMNO mendapat hak eksklusif membuat pemberian? Mengapa parti lain tidak mendapat hak ini?

8. inilah satu lagi bukti bagaimana dasar baik disalahguna bila pemimpin sudah terdesak dan mahu terus bergayut pada kuasa dengan apa cara sekalipun (at all cost).

9. Kesimpulannya dakwaan Tun Mahathir ada unsur rasuah didalam BR1M bukan tidak berasas sama sekali. Dakwaan itu ada asasnya pada hemat Hisbah.
 
Mohamad Ezam Mohd Nor
Pengerusi Hisbah
27 Disember 2016.


Dalam pada itu, BR1M juga adalah auta licik Najib, UMNO dan BN untuk melakukan silap mata kepada rakyat. BR1M menampakkan seolah-olah sikap pemurah dan memberi, tetapi sebenarnya wang rakyat diambil semula melalui GST dalam jumlah yang lebih daripada yang diberi.

Jika seseorang membelanjakan RM70 sehari atau RM2000 sebulan untuk perbelanjaan keluarga, bayaran bil dan lain-lainnya misalnya, bermakna GST 6 peratus yang perlu dibayar ialah RM120 setiap bulan.

Dalam setahun, ia menjadi RM2000 x 12 bulan  = RM24,000.

Bermakna GST 6 peratus yang dibayar bagi perbelanjaan RM24,000 setahun ialah RM1,440.00.

Jika perbelanjaan harian meningkat kepada RM100 sehari atau RM3000 sebulan, maka GST yang perlu dibayar ialah RM180 setiap bulan.

Jika setahun, ia menjadi RM3000 x 12 bulan = RM36,000. Daripada jumlah itu, cukai GST 6 peratus yang perlu dibayar ialah RM2,160.

Kiranya seseorang itu menerima BR1M sebanyak RM1200 setahun, tanpa sedar sebenarnya apa yang kerajaan beri itu amat kurang berbanding  cukai GST yang penerima BR1M bayar kepada kerajaan.

Lihat, nampak BR1M seperti memberi dan murah hati, namun sebenarnya wang kita diambil kemblai dengan jumlah yang lebih daripada itu melalui GST. Licik dan auta kan!!

Tanpa BR1M dan GST, rakyat Malaysia jauh lebih bahagia kehidupan mereka. (SH 27/12/2016).

BUDI BAHASA SEORANG YB?


Sesiapa yang menjadi pengikut Twitter Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin, barangkali selalu terjumpa bahasa-bahasa tidak enak dan kurang sopan yang digunakannya ketika berkomunikasi melalui medium tersebut.

Walaupun beliau hanya bertindak balas terhadap kata-kata yang ditujukan kepadanya, tetapi sebagai pemimpin dan Ahli Parlimen, wajarkah bahasa tidak enak dan kurang sopan digunakan?

Tidakkah bahasa itu melambangkan keperibadian seseorang?

Kenapa beliau tidak "block" saja pengikutnya yang suka melakukan provokasi dan gangguan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang lain?

Mengapa Bung Mokhtar suka sangat melayan mereka dengan mempamerkan keperibadian yang tidak sesuai sebagai seorang pemimpin? (SH 27/12/2016).

Monday 26 December 2016

DUA PILIHAN BUAT ANINA


Sejak semalam lagi isu pengguguran Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandi PPBM menjadi bualan di mana-mana apabila bekas ahli UMNO Langkawi itu sendiri mendedahkan kedudukan dirinya yang sebenar.

Amatlah malang sebenarnya, sementara sebelum ini isu berkaitan beliau itu hanya menjadi bualan senyap di media-media sosial, sebaliknya kini Anina sendiri membuka mulut dan seolah-olah mahu semua orang menumpu kepadanya.

Lebih menarik dalam jawapan mengenai perasaannya apabila dilucutkan jawatannya itu, Anina sinis menjawab, "Tanya dulu perasaan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir apabila dilucutkan jawatan oleh UMNO.

"Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas itu, saya jawab apa perasaan saya. Dulu saya bela mereka, saya lupa nak tanya apa perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang."

Wajarkah seseorang yang berpendidikan tinggi dan pernah bergelar pensyarah sebelum ini, memberi jawapan sebegitu rupa dalam konteks berparti dan berpersatuan?

Terlihat bahawa jawapan Anina terpercik nada ego dan sedikit kurang ajar terhadap pemimpinnya sendiri. Anina harus sedar, beliau hanya dilucutkan jawatan Ketua Srikandi, tetapi masih lagi berjawatan Ahli Pimpinan Tertinggi PPBM.

Walaupun Anina mendakwa perlucutan jawatannya kerana tersebarnya "perbualan seks bodoh" mengenai dirinya, Anina juga harus sedar beliau barangkali turut dilingkari masalah-masalah lain yang tidak disedarinya mungkin telah menyebabkan pimpinan tertinggi PPBM merasakan beliau lebih sesuai sebagai Ahli MPT saja berbanding Ketua Srikandi.

Jawatan Ahli MPT itu sebenarnya sudah cukup tinggi bagi Anina yang semasa dalam UMNO, tidak pernah pun menjadi Ketua Wanita Bahagian, apatah lagi menjawat jawatan lain di peringkat negeri dan pusat. Maka, bersyukur dan berpada-padalah dalam mengangkat diri sendiri.

Apabila Anina memilih untuk berucap dengan mengatakan Najib Razak "kencing ahli UMNO" dan memintanya "segera berubat", beliau seharusnya sedar sama ada mahu konsisten dan tahan cabaran dengan jalan yang dipilih atau sebaliknya.

Sikit-sikit dugaan, cabaran dan halangan adalah perkara biasa selagi dalam hatinya masih tersemat iltizam dan kekuatan untuk bersama-sama dengan majoriti rakyat yang mahu menolak Najib.

Di bawah ini pula adalah kenyataan rasmi PPBM mengenai kedudukan Anina:-

*KENYATAAN RASMI PPBM BERHUBUNG KEDUDUKAN KETUA SRIKANDI*

26 Disember 2016                       

1. Berhubung isu kedudukan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ingin saya menjelaskan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM masih belum menubuhkan sayap Srikandi. Menurut Perkara 21 Perlembagaan PPBM, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidangkuasa MPT.

2. Justeru, kedudukan Puan Anina Saadudin yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul. Beliau kekal sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras kegiatan Srikandi sehingga sayap parti ditubuhkan secara rasmi.

3. MPT akan menubuhkan Sayap Srikandi dalam masa terdekat setelah segala proses dan prosedur dalaman parti dipatuhi. Srikandi adalah sayap parti yang penting dan oleh yang demikian pemilihan Ketua Srikandi hendaklah dibuat secara teliti setelah pandangan semua pihak diperolehi.

4. Adalah diharapkan ahli-ahli PPBM terutamanya Srikandi dapat bertenang, merapatkan barisan dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan parti demi perjuangan menyelamatkan Malaysia.

*BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH*

DATUK DR SHAHRUDDIN MD SALLEH
Setiausaha Agung PPBM.

Oleh kerana Anina sendiri sudah mendedahkan masalah dirinya kepada umum untuk diperbualkan, orangramai tidak akan berhenti bercakap mengenainya. Barangkali juga ada yang bertepuk tangan sekarang ini.

Untuk itu, Anina hanya ada dua pilihan sekarang ini.

Pertama, segera menutup mulutnya daripada bercakap secara terbuka mengenai kedudukannya. Beliau harus menyelesaikan masalah itu secara tertutup dengan kepimpinan tertinggi PPBM.

Jika masih ingin kekal dengan perjuangan menyingkirkan Najib, istiqamahlah bersama PPBM dan akurlah dengan keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan terhadapnya.

Sebagai Ahli MPT, beliau masih boleh bersuara dan bergerak ke seluruh negara untuk berceramah dan berkempen atas nama PPBM. Jawatan Ketua Srikandi bukanlah segala-galanya dalam perjuangan jika dalam hati masih terselit perasaan simpati dan ingin sama-sama berjuang membetulkan negara ini bersama-sama Tun Mahathir.

Kedua, segera meninggalkan PPBM jika ingin terus "celupar" mendedahkan masalah dalam parti dan berkaitan dirinya kepada umum. Beliau tidaklah terlalu penting berbanding perjuangan PPBM itu sendiri. 

Kiranya Anina merasakan dirinya popular dan sangat penting, ramai orang lain yang lebih penting dan banyak berkorban berbanding dirinya.

Anina kemudian boleh memilih sama ada meneruskan perjuangan bersama wadah lain, bersara dan berehat atau kembali kepada menyokong Najib yang didakwanya "kaki kencing" sebelum ini. Najib tentu menadah tangan untuk menerimanya kembali kerana dalam keadaan kelemasan ini, siapa pun mudah diterimanya.

Pilihlah yang mana satu, Anina...tapi di mana pun kamu berada, perjuangan untuk menyingkirkan Najib tetap menjadi matlamat utama bagi rakyat Malaysia. (SH 26/12/2016).

Sunday 25 December 2016

BENARKAH PAS PARTI MAKAN KELILING?

Apa? Pas parti makan keliling?

Siapa yang membuat dakwaan tersebut?

Jika PPBM yang membuat dakwaan seperti itu, mungkin ada logiknya juga kerana parti itu sedang dalam proses rundingan dengan Pas dan tarikh pertengahan Januari adalah tempoh yang ditetapkan untuk memuktamadkan kata putus mengenainya.

Begitu juga jika UMNO yang membuat dakwaan yang sama, ia barangkali boleh lagi diterima kerana setelah Najib Razak dan Hadi Awang saling sedondon berbaju merah jambu, kemudian berpimpin tangan pula atas nama Rohingya, tetapi dalam masa yang sama Pas nampaknya masih tetap membuka pintu hatinya untuk dipikat oleh PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Malah, jika PKR yang memberi tempat, kedudukan serta jawatan kepada Pas dalam kerajaan negeri Selangor melabelkan makan keliling itu, ia juga tidaklah sukar untuk difahami.

Namun, dakwaan Pas makan keliling itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pas, Mahfuz Omar sendiri.

Menjawab kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki yang menyatakan parti itu terbuka untuk menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU 14, sama ada dengan Pakatan Harapan atau BN, Mahfuz menyifatkan ia suatu kenyataan yang menggambarkan Pas adalah oportunis, tidak berprinsip serta tidak boleh dipercayai dan mahu makan keliling tujuannya.

Berat sangat tanggapan itu kerana sebagai parti yang berjuang atas nama Islam, makan keliling bukanlah sikap yang seharusnya dijadikan pendekatan. Pas mesti ada prinsip, pegangan dan pendirian.

Tidak mahukah Pas memberi amaran keras, menghantar surat tunjuk sebab atau memecat terus Ahli Parlimen Pas itu?

Atau Pas memang dalam hatinya betul-betul mahu makan keliling? (SH 25/12/2016).

MUJURLAH HANYA ADA SATU JAMAL....


Pada mulanya saya agak malas untuk menulis mengenai Jamal Mohd Yunus yang sekali lagi menjadi percakapan ramai berikutan aksinya yang hanya bertuala kerana mahu menumpang mandi di pejabat Menteri Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Hati kecil saya merasakan, Jamal sengaja berbuat sesuatu untuk menarik perhatian bagi tujuan yang dia saja yang tahu.

Tetapi, ramai rakan-rakan bertanyakan kenapa saya tidak mencuit walau sepatah pun tentang aksi terbaru Jamal itu. Dalam blog ini pun, ada juga yang meminta saya menulis mengenainya.

Untuk tidak menghampakan mereka, walaupun mungkin agak  terlewat dan isu berkaitan Jamal juga sudah mulai sejuk, saya akur akhirnya.

Sesiapa pun yang waras pasti akan mengatakan bahawa pemimpin politik, lebih-lebih lagi jika berjawatan Ketua UMNO Bahagian, bertitle Datuk Seri dan sedang melobi-lobi untuk bertanding dalam pilihanraya, tidak wajar sama-sekali berkelakuan sebegitu rupa. 

Perbuatan Jamal bertuala adalah kelakuan yang memalukan UMNO sebagai parti yang sudah lama berkuasa. Perlakuan Jamal hanya sesuai dilakukan oleh watak-watak jalanan yang tidak ketentuan kedudukan serta tarafnya.

Bagi pemimpin politik, akal dan fikiran haruslah mengatasi pertimbangan emosi dan perasaan. Membantah sesuatu isu, tidak menjadi kesalahan apa-apa, tetapi sampai sanggup bertuala, adalah keterlaluan dan seolah-olah sudah hilang pertimbangan akal fikiran.

Sebab itu, aksi Jamal tidak mendapar respon yang baik daripada UMNO dan para pemimpinnya. Saya cuba bercakap dengan beberapa kawan yang berjawatan dalam parti itu, semuanya terasa malu dan diaibkan dengan perlakuan Jamal itu.

Kata mereka, dalam kedudukan UMNO dan Najib Razak yang makin ditolak dan dipersoalkan, munculnya watak "badut"  seperti Jamal lebih menyukarkan lagi parti itu untuk mewajarkan perlunya ia terus disokong dan dikekalkan kuasanya.

Akan ada yang mempersoalkan, begitukah rupa wajah parti yang ingin diberikan kuasa?

Mujur hanya ada satu Jamal, kata mereka lagi.

Isu mengenai ketiadaan air baru-baru ini tidak seharusnya diprotes secara keterlaluan. Ia adalah berkaitan TNB yang perlu melakukan penyelenggaraan dan Syabas tidak dapat beroperasi dalam tempoh tidak lebih empat hari hanyalah kerana kerja-kerja itu terpaksa dijalankan dan tidak dapat ditangguhkan lagi.

Notis awal sudah pun diberitahu beberapa minggu sebelum itu, malah penghantaran air juga turut dilakukan. Apa yang perlu bagi setiap orang ialah melakukan penyediaan tong-tong dan simpanan air yang secukupnya sebagai bekalan. 

Lagi pun hanya Jamal saja yang kecoh-kecoh kerana tiada air dan kononnya tidak mandi sampai empat hari, rakyat yang lain, termasuk menteri-menteri, malah Najib dan Rosmah pun tidak mengomel walau sepatah pun tentang ketiadaan air itu.

Jamal juga terlihat tidak matang dan kebudak-budakan apabila beliau menyimbah air longkang kepada seorang perempuan yang datang ke rumahnya untuk tujuan menghantar air.

Jika beliau boleh beraksi "tak semenggah" dengan hanya bertuala ke pejabat rasmi kerajaan negeri, di mana kematangannya sehingga bertindak seperti samseng dengan orang-orangnya menyimbah air kotor kepada orang lain yang sekadar melakukan  reaksi kepada perlakuannya?

Kemudian apabila beberapa artis, termasuk Siti Nurhaliza dengan budi bahasa yang cukup tinggi menegur ketidakwajaran perlakuannya itu, Jamal sekali lagi memperihatkan watak tidak matangnya sebagai seorang pemimpin.

Komennya  berkaitan Siti Nurhaliza yang masih tidak mempunyai anak, bukan saja saja tersasar daripada perdebatan hujah lawan hujah, bahkan juga tentunya menyinggung perasaan ramai pasangan lain di negara ini yang tidak mempunyai zuriat.

Soal zuriat adalah soal rezeki, bukan soal tak cukup air atau tidak subur. Ada orang yang disahkan subur, tapi tetap tidak mempunyai anak dan ada juga orang yang tidak subur, tetapi akhirnya dapat memperolehi anak setelah melakukan pelbagai usaha, termasuk berdoa sehingga ke depan Kaabah.

Dengan komen Jamal itu, bukan saja peminat Siti Nurhaliza, bahkan ramai pasangan yang tersinggung dan terasa hati, mungkin mula menjarakkan diri daripada UMNO dan kerajaan.

Jamal juga sebenarnya tahu beliau ada masalah lesen berkaitan hotelnya di Sungai Besar. Mungkin juga beliau turut berdepan dengan perkara-perkara lain yang kita tidak tahu.

Biasanya, orang yang ada masalah hanya akan duduk diam-diam kerana apabila mereka mula membaling batu ke rumah orang lain, rumah kacanya juga akan dibalas dengan balingan batu yang sama.

Jamal tentu sedar perkara itu, tetapi mungkin dalam waktu yang sama beliau juga belajar daripada Annuar Musa yang tiba-tiba meletakkan jawatan dalam KAFA dan seterusnya disusuli persatuan bolasepak negeri itu mahu menarik diri daripada Liga Malaysia, tetapi kemudian sepantasnya datang "wahyu" daripada Najib yang seolah-olah mahu menawarkan bantuan segera.

Sama seperti Annuar Musa, Jamal juga adalah pemimpin UMNO yang sepertinya sudah bertekad "sanggup sehidup semati" untuk mempertahankan Najib.

Mana tahu, bantuan segera juga akan hadir buat Jamal tidak lama lagi. (SH 25/12/2016).

Saturday 24 December 2016

ASB YANG MENGECEWAKAN....


Ramai yang nampaknya kecewa dengan pulangan pelaburan ASB bagi tahun ini yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Malah, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum itu, pulangan 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit  adalah paling rendah sekali.

Tahun depan bagaimana agaknya?
Dalam kenyataan media kemudian, Pengerusi PNB, Abdul Wahid Omar, walaupun cuba mewajarkan penurunan pulangan itu sebagai masih kompetitif dan mengaitkannya dengan kedudukan ekonomi semasa, kekecewaan jelas terselit di sebalik kata-katanya.

Ia memaksa beliau untuk berjanji akan memberi pulangan yang lebih memuaskan bagi tahun-tahun mendatang melalui perlaksanaan pelan strategik 2017-2022, selain akan memanfaatkan pengalamannya selama 28 tahun dalam sektor korporat dan pentadbiran bagi mencapai matlamat tersebut.

Jika semuanya memuaskan hati, sudah tentu Abdul Wahid tidak melontarkan janji seperti itu?

Sama-sama kita tunggu pulangannya bagi tahun depan pula.
Carta pulangan ASB secara keseluruhannya yang dipetik daripada FB Kelab Che Det seperti di atas, adalah realiti semakin berkurangnya keuntungan yang diperolehi oleh pelabur atau rakyat sejak kebelakangan ini. (SH 24/12/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...