Tuesday 30 September 2014

Tak Perlu Keluar PR, Pas Hanya Perlu Tukar Pemimpinnya Saja


Kedudukan Pas dalam gabungan Pakatan Rakyat atau PR boleh dikira paling genting ketika ini. Selain ada suara daripada luar parti itu yang mahu Pas keluar daripada PR, dalam masa yang sama wujud pula suara daripada dalam Pas sendiri yang mahu parti itu berbuat tindakan yang sama.

Suara daripada luar ini berbagai bentuk nadanya. Ada yang merasakan adalah merugikan Pas berada dalam PR kerana kedudukannya yang dikatakan tidak dominan dan sentiasa ditenggelamkan oleh PKR dan DAP.

Ada pula yang merasakan Pas perlu mengubah sikap dan berpendirian lebih kukuh kepada semangat kerjasama serta berpegang pada janji jika mahu terus bersama dengan PR. Sebaliknya jika tidak sedia berubah, Pas disarankan keluar saja daripada PR dan bergerak sendirian dalam politik negara ini.

Pihak yang lain seperti Perkasa misalnya, menyarankan agar Pas mengetuai PR jika benar-benar mahu mewujudkan sistem dua parti kerana Pas adalah parti yang mirip seperti UMNO yang kini mengetuai BN. Maknanya, jika hanya berada di belakang PKR dan DAP, dianggap tidak berguna sama-sekali.

Sementara dalam Pas pula seperti terbelah dua dalam isu sama ada parti itu perlu terus kekal bersama PKR dan DAP dalam PR atau bergerak sendirian selepas ini. Walaupun Presiden Pas, Haji Hadi Awang dalam muktamar baru-baru ini menekankan bahawa parti itu akan terus bertahaluf siyasi dalam PR tetapi suara-suara yang mahukan sebaliknya juga turut lantang kebelakangan ini.

Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Nasharuddin Tantawi dan Dr Zuhdi Marzuki adalah antara pemimpin dalam Pas yang terus-menerus "mencari pasal", mengungkit, mahu berbalah dan seolah-olah lebih emosi dengan pemimpin daripada PKR dan DAP berbanding pemimpin daripada UMNO.

Setiap hari ada saja kenyataan berbentuk luahan perasaan, dakwaan dibuli dan berbagai lagi daripada mereka ini seolah-olah PKR dan DAP itu lebih dianggap musuh berbanding UMNO yang secara realitinya adalah musuh sebenar dalam perjuangan parti itu sebagai parti politik.

Dalam masa yang sama, golongan "nasi tambah" pula seperi Dr Hasan Ali, ahli akademik dan beberapa NGO sentiasa muncul dengan saranan agar Pas segera keluar daripada PR untuk menyelamatkan pejuangan Islam yang dibawanya dan untuk mengelakkan daripada hanya menjadi alat PKR dan DAP semata-mata. Nampak suci benar hati nurani mereka ini!

Soalnya, apakah lebih untung Pas bersama PR atau keluar daripada gabungan itu?

Untungnya Pas berada dalam PR sudah pun dapat dilihat daripada kejayaannya memenangi banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor, WP, Pahang dan sebagainya dalam beberapa pilihanraya kebelakangan ini. Berbanding ketika bersendirian Pas hanya dominan di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Kedah saja, harapan untuk menang di negeri lain bagaikan jauh daripada jangkauannya..

Ini kerana tanpa kerjasama dengan PKR dan DAP, calon Pas tidak mungkin mendapat undi daripada bukan Melayu. Di situlah pula letaknya kelebihan calon UMNO berbanding Pas dalam banyak pilihanraya sebelum ini kerana mereka mempunyai kerjasama dengan MCA dan MIC.

Tetapi sejak wujudnya PR yang dicetuskan melalui kesungguhan Anwar Ibrahim mengikat kerjasama antara Pas, PKR dan DAP untuk menyaingi BN yang mempunyai UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lainnya, dominasi UMNO di banyak kawasan sudah dapat dipecahkan.

Ia menjadikan selain Pas makin kukuh di Kelantan, Terengganu dan Kedah, ia juga sudah dapat melebarkan sayapnya dengan lebih selesa ke negeri-negeri lain. Sokongan daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti profesional, guru, kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya juga turut bertambah.

Jika Pas tidak bersama PR dan bergerak sendirian pula, gambarannya ialah parti itu perlu menyelak kembali sejarahnya di tahun-tahun 80-an dan 90-an dahulu. Sekadar menang di beberapa kawasan dan hanya gah di pentas ceramah saja.

Dengan emosi, marah, terkilan, kecil hati dan seumpamanya, memanglah sesiapa pun boleh berhujah dengan pelbagai dalil dan nas untuk mewajarkan perlunya Pas keluar dan berpisah daripada PR. Tetapi apakah untungnya dan tidakkah keluarnya Pas daripada PR akan menjadikan cita-cita mewujudkan pembangkang yang kuat atau kerajaan alternatif hanya tinggal angan-angah saja?

PR yang hanya diangggotai oleh PKR dan DAP tidak menjadikannya sekukuh BN kerana wujudnya kelompongan untuk menarik sejumlah pengundi Melayu yang sepatutnya dilakukan oleh Pas tadi. Dalam masa yang sama pula, Pas secara sendirian juga turut lompong kerana tiada sokongan bukan Melayu dan pengundi bandar atau separa bandar yang lebih kukuh. Akhirnya kedua-duanya rugi.

Hakikatnya Pas, PKR dan DAP saling memerlukan antara satu sama lain. Ia sama seperti UMNO yang tidak mampu berdiri sendiri tanpa MCA, MIC, Gerakan dan lain-lainnya

Pas tidak perlu keluar PR sebenarnya. Apa yang perlu dilakukan ialah memperbaik tekad dan azamnya untuk terus kekal bersama PR sambil menyedari cita-cita menawan Putrajaya tidak mungkin tercapai jika bergerak sendirian. Sesuai dengan semangat majoriti ahli dan pimpinan Pas sendiri yang mahu terus berlawan dengan UMNO, pendirian itu perlu terus diperkemaskan dan jangan digoyahkan dengan unsur-unsur yang lain.

Kalau perlu dan enggan patuh, Pas juga harus berani mengenepikan mana-mana pemimpinnya, termasuk Presiden sekali pun jika didapati lebih condong mahu membawa parti itu keluar daripada PR kerana ia nyata bertentangan dengan matlamat sebenarnya. Slogan "Pas For All" atau "Pas Ganti UMNO" tentunya bermaksud menggantikan tempat UMNO dan bukan bekerjasama dengannya.

Keluarnya Pas daripada PR tidak lain hanyalah khabar gembira buat UMNO dan BN. UMNO akan bergembira dengan tindakan itu. Harus juga disedari, sekiranya UMNO dan BN menang lagi dalam PRU 14 nanti, ia mampu menjadikan dominasi itu kekal untuk sekurang-kurangnya selama 50 tahun lagi. Sanggupkah Pas menerima realiti itu?

Jika ketika bersama PR, diperbesarkan dakwaan kononya parti itu akan menjadi lebih condong kepada Anwar, PKR dan DAP tetapi tidakkah dengan membawa keluar Pas daripada PR pula menunjukkan kecondongan kepada Najib dan UMNO?

Apakah UMNO yang dimusuhi sejak sekian lama sebelum ini lebih Islamik sekarang untuk didampingi dan Najib pula sudah menjadi putih bersih bagi sesetengah kelompok dalam Pas?

Inilah pertimbangan yang perlu difikirkan dengan sewaras-warasnya oleh sesetengah pihak dalam Pas sekarang ini. (SH 30/09/2014)

Monday 29 September 2014

Apa Kesudahannya Kritikan Bertali-Arus Mahathir Terhadap Najib?


Sejak akhir-akhir ini kemunculan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad di pelbagai program lebih kerap berbanding biasa. Hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya selang dua atau tiga hari, ada saja program yang dihadirinya yang tentunya turut menjadi tumpuan media.

Berbanding beberapa bulan sebelum ini di mana beliau kerap dimasukkan ke IJN untuk mendapatkan rawata, penampilan Mahathir kebelakangan ini juga menunjukkan beliau semakin sihat dan segar. Ramai yang mendoakan beliau terus diberikan kesihatan yang baik di ketika suasana politik negara semakin tidak baik dan kedudukan UMNO pula tidak sihat-sihat berbanding dulu.

Sejak mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap kepimpinan Najib Razak lebih sebulan yang lalu, pantang ada kesempatan, sasaran kritikan Mahathir tidak lain ialah Perdana Menteri.

Selain dasar dan polisi Najib dalam mengurus kerajaan yang berkaitan hubungan kaum, ekonomi dan kewangan yang dipertikaikannya, perkara lain yang kerap disentuh oleh Mahathir ialah mengenai 1MDB yang diragui pelaburannya serta sikap ahli UMNO yang kini tidak lagi berani menegur pemimpin.

Dalam teguran terbarunya hari ini, beliau berkata, ahli UMNO perlu melakukan pembaharuan dengan lebih berani mengkritik pemimpin mereka.

Beliau kesal kerana budaya dalam UMNO sekarang ialah hanya menyokong pemimpin secara membuta-tuli tanpa menyoal sebarang perkara sedangkan seseorang pemimpin perlu diberitahu mengenai pandangan lain juga dan tidak semestinya boleh melakukan apa saja yang disukainya.

Walaupun menafikan teguran dan penarikan balik sokongannya bertujuan memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan, tetapi dengan kekerapannya menegur dan meluahkan perasaan tidak puas hati, jelas menunjukkan ada sesuatu yang terbuku dalam hati bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi seperti mana kata A. Kadir Jasin dalam blognya, dilema Mahathir ialah meskipun UMNO lemah di mata rakyat tetapi Najib mempunyai kedudukan yang kukuh sebagai peneraju parti itu.

Ini bermakna jika Mahathir bermaksud mahu menjatuhkan Najib, ia bukanlah semudah seperti yang pernah dilakukannya terhadap Abdullah Badawu dahulu.

Tambahan pula, tiada pemimpin UMNO yang kelihatan berani ke depan menyanggah Najib ketika ini. Muhyiddin yang diharapkan berbuat demikian juga sudah hilang keberaniannya ketika ini.

Sejak Mahathir mengumumkan sikapnya tidak lagi menyokong Najib, dalam masa yang sama telah wujud beberapa kumpulan dalam UMNO yang bertujuan mahu membawa sikap dan pendirian bekas Perdana Menteri itu ke arah yang lebih jauh lagi iaitu mahukannya berundur sebagai Perdana Menteri. Hujahnya ialah selagi Najib memimpin parti dan kerajaan, peluang UMNO dan BN ditumbangkan dalam pilihanraya lebih mudah lagi kerana beliau dianggap terlalu lemah dan banyak isu peribadi yang boleh dimanipulasi oleh pembangkang.

Mahathir sendiri dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO baru-baru ini turut membangkitkan kebimbangan mengenai kehilangan kuasa itu jika Najib terus berkuasa lagi.

Ini secara umumnya memberi gambaran bahawa teguran dan kritikan itu adalah bertujuan memastikan UMNO dan BN terus berkuasa melalui sama ada Najib dipaksa berubah atau diubah kedudukannya.

Beberapa perjumpaan dan mesyuarat difahamkan telah pun diadakan, namun sehingga ini tiada kata putus mengenai kaedah bagaimana untuk memaksa Najib berundur. Najib bukan saja dilihat kebal kerana sokongan pemimpin UMNO masih kukuh terhadapnya, banyak juga kesimpulan yang mengatakan sebahagian kekuatan Najib adalah terletak pada Rosmah Mansor.

Sejauh mana peranan dan bagaimana Rosmah memainkan peranannya di sisi Najib tidak pula begitu dijelaskan tetapi daripada suara-suara yang kedengaran adalah jelas beliau begitu berpengaruh dalam memastikan Najib terus kekal dan tidak mengalah dengan sebarang asakan, termasuk daripada Mahathir.

Kumpulan tertentu yang menemui Muhyiddin pula mendapati Timbalan Perdana Menteri itu langsung tidak menunjukkan keberanianya sepertimana yang pernah dilakukannya kepada Abdullah Badawi dahulu, walaupun pengharapan sebahagian ahli UMNO terhadap beliau tidak boleh dinafikan.

Apakah Muhyiddin akan terus tidak berani sehingga ke penghujung kariernya atau beliau boleh dijadikan berani melalui sokongan yang beransur-ansur ditonjolkan terhadapnya?

Semua ini akan menjadi kebarangkalian selagi Mahathir terus bersuara dan mengkritik Najib dan tidak mustahil sesuatu yang di luar jangkaan dan tak terduga turut berlaku. (SH 29/09/2014)

Sunday 28 September 2014

Memecat Shaari Dan Hasnul Akan Menjadikan Pas Makin Terpinggir


Dua Adun Pas Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin dilaporkan akan dipanggil mengadap Lembaga Disiplin parti esok ekoran tindakan mereka yang didakwa mendahului parti dengan memberikan sokongan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor.

Sehingga ini apa yang bermain di fikiran orangramai ialah apakah hukuman yang bakal diterima oleh kedua-dua Adun itu terima. Adakah mereka akan dipecat, digantung, diberi amaran atau dilepaskan begitu saja?

Sementara Presiden Pas, Haji Hadi kelihatan amat berang dengan tindakan Shaari dan Hasnul ini dengan melabelkan di pentas terbuka penggulungan Muktamar Pas di Batu Pahat dengan cop pengkhianat, barua, broker dan sudah dibeli, sebaliknya DAP pula meraikan kedua-dua Adun itu semalam dalam sebuah majlis jamuan dan menganggap mereka adalah "wira" yang mempertahankan kerajaan PR Selangor.

Berdepan dengan apa yang berlaku kepada Iszurie Ibrahim, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang juga Bendahari Pas negeri yang dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap dan dibekukan peruntukannya ekoran kritikan terbuka terhadap dasar perumahan kerajaan negeri dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini, sanjungan DAP terhadap Shaari dan Hasnul bagaikan sengaja merenjis minyak kepada api yang sedang membara dalam Pas ketika ini.

Shaari dan Hasnul sebelum ini mempertahankan tindakan mereka adalah bertujuan menafikan dakwaan sokongan majoriti yang didakwa dimiliki oleh Khalid Ibrahim serta atas semangat untuk mempertahankan kerajaan negeri PR.

Kiranya esok Shaari dan Hasnul akan dipecat oleh Pas, tanggapan umum tentunya tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan ucapan Haji Hadi di muktamar baru-baru ini. Akan wujud persepsi bahawa Lembaga Disiplin Pas hanyalah "rubber stamp" kepada Haji Hadi saja.

Malah mungkin juga wujud tanggapan bahawa hukuman pecat itu sebagai luahan rasa kekecewaan Pas bukan saja kerana gagal untuk terus mencatur penentuan politik di Selangor, bahkan juga kerana kehilangan satu kerusi Exco di negeri itu.

Tambahan pula, isu politik di Selangor secara umumnya sudah pun selesai apabila Azmin Ali diangkat sebagai Menteri Besar dan tidak seharusnya lagi Pas memanjangkan isu dengan suatu tindakan yang seolah-olah ada unsur balas dendam.

Lebih dari itu, tindakan pemecatan juga akan meretakkan lagi hubungan Pas dalam PR di sebalik parti itu berulangkali menyatakan mahu terus kekal dalam gabungan itu bersama PKR dan DAP. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Shaari dan Hasnul adalah atas semangat untuk mempertahankan kerajaan PR yang didokong oleh Pas juga.

Malangnya dalam krisis Menteri Besar ketika itu, bukan Shaari dan Hasnul yang cuba lari dari semangat dan janji bersama PR, tetapi pihak lain dalam Pas. Lagi pula bukannya kedua-dua mereka ini menyokong calon daripada parti musuh, malah daripada parti yang diakui oleh Pas sendiri berhak terhadap kerusi Menteri Besar itu.

Sudah tentu, jika pemecatan juga yang dibuat esok, ia bukan saja keterlaluan, tetapi akan menjadikan Pas semakin terpinggir di mata pengundi pelbagai kaum yang menyokong PR selama ini. Pas tidak akan dipercayai lagi selepas ini. Ia adalah sesuatu yang merbahaya kepada masa depan Pas, khususnya di Selangor dalam pilihanraya akan datang.

Tindakan gantung juga tidak sesuai diambil jika Pas benar-benar ingin bersama PR bergerak ke hadapan menentang UMNO dan BN. Pas haruslah mengakui tindakan Shaari dan Hasnul memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah adalah kerana salah Pas sendiri yang lambat menyatakan pendirian dan menangguh-nangguhkan tarikh mesyuaratnya.

Jika Pas lebih agresif dan progresif dalam tindakannya, termasuk mempercepatkan tarikh mesyuarat berhubung isu Menteri Besar dahulu, semua ini tidak mungkin berlaku.

Berdepan dengan kemungkinan hilang sokongan pengundi bandar dan separa bandar serta mesej yang diterima Pas dalam keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Kubor, hukuman yang wajar diterima oleh Shaari dan Hasnul hanyalah diberikan amaran saja.

Lebih berjiwa besar jika Pas tidak menyabitkan dengan sebarang hukuman, lebih-lebih lagi dakwaan kononnya mereka dibeli atau bukti lain yang bersifat salahlaku juga tidak pernah dibuktikan sehingga kini.

Walaupun dilihat tidak seiringan dengan pendirian Haji Hadi tetapi adalah nyata bahawa Shaari dan Hasnul melalui tindakan yang dilakukannya bertujuan ingin membawa Pas bergerak di landasan yang betul bersama-sama dengan PR. Bukan salah mereka kerana bertindak cepat mendahului Pas dalam memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah tetapi salah Pas kerana selalu lambat dan perlahan. ( SH 28/09/2014)

Saturday 27 September 2014

Benarkah Langkah Kajang Telah Gagal?


Apabila Azmin Ali akhirnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, ramai yang mengatakan Langkah Kajang telah gagal. Setelah usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid disekat melalui keputusan Mahkamah Rayuan yang bersidang secara tergesa-gesa, kemudian percubaan meletakkan Dr Wan Azizah Wan Ismail juga gagal dan penyudahnya Azmin yang mendapat perkenan Istana, Langkah Kajang dianggap sebagai sia-sia saja.

Daripada kaki lima sehinggalah balairong istana, isu mengenai Langkah Kajang telah menarik perhatian banyak pihak untuk memperkatakannya dan hampir semuanya mengatakan ianya bukan saja gagal dan sia-sia, malah telah memecah-belahlan hubungan sesama rakan dalam PR.

Ada pula yang tidak faham mengatakan jika benar Langkah Kajang itu masih berfungsi, kenapakah Dr Wan Azizah tidak dilantik oleh Azmin sebagai salah seorang Exco Kerajaan Negeri?

Yang lebih tidak faham pula mengatakan, bukankah lebih baik jika sejak awal lagi PKR mencalonkan Azmin sebagai pengganti Khalid dan tidak perlu susah-susah mengadakan pilihanraya kecil di Kajang?

Secara umumnya, Langkah Kajang diwujudkan untuk menggantikan Khalid dengan Anwar dan seterusnya memudahkan lagi perjalanan PR menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang. Ia mirip seperti yang pernah dilakukan oleh Erdogan di Turki dan Jokowi di Indonesia.

Sebelum berjaya menawan Turki dalam pilihanraya, Erdogan adalah Datuk Bandar Istanbul manakala Jokowi pula adalah Gabenor Jakarta. Kejayaan memimpin dan melakulan pembaharuan di kedua-dua bandar itulah yang akhirnya menjadi salah satu penyebab pengundi memilih Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki (kini Presiden) dan Jokowi sebagai Presiden Indonesia. Rakyat mahukan kejayaan di Istanbul dan Jakarta itu diaplikasi sebagai model contoh ke seluruh negara pula.

Ketika Langkah Kajang ini dimulakan, Mahathir sendiri mengakui ia sebagai landasan untuk Anwar membuktikan kemampuannya mentadbir sebuah negeri untuk memudahkan rakyat menilainya sebagai bakal Perdana Menteri.

Menyedari bahayanya Langkah Kajang itu, tarikh pilihanraya DUN Kajang dilewatkan penetapan tarikhnya sehingga 54 hari daripada tarikh perisytiharan kekosongannya dan dalam tempoh itulah Mahkamah Rayuan bersidang secara tergesa-gesa dan sehingga jam 7.00 malam untuk memutuskan Anwar bersalah dan terhalang untuk menjadi calon pilihanraya.

Lantaran itu, Dr Wan Azizah dipilih sebagai penggantinya. Tetapi Khalid kemudiannya enggan berundur sehingga akhirnya menimbulkan pelbagai masalah dan kekacauan. Tambah haru-biru apabila Pas sebagai rakan gabungan tidak menunjukkan kata sepakat dan muafakat bersama PKR dan DAP walaupun mengakui kerusi Menteri Besar itu adalah milik PKR.

Azmin tidak dicalonkan oleh mana-mana parti. PKR dan DAP sehingga akhirnya konsisten dengan pencalonan tunggal Dr Wan Azizah. Pas pula berubah-ubah dan nama akhir yang dicalonkan ialah Dr Idris Ahmad, Yaakob Sapari dan Iskandar Abdul Samad.

Azmin dipilih oleh Istana bukan saja atas keyakinan kerusi Menteri Besar itu milik PKR tetapi juga kerana kepercayaan memperolehi sokongan majoriti. Tetapi sokongan majoriti itu hanya diperolehi daripada setelah adanya sikap tolak ansur dan saling menghormati bagi mengakhiri kemelut yang sudah lama berpanjangan. Azmin kini bukan saja memperolehi sokongan daripada 30 Adun yang sebelumnya bersama Dr Wan Azizah, malah juga daripada baki 13 Adun Pas.

Setelah Azmin dilantik, adakah Langkah Kajang sebenarnya telah gagal? Dari segi menjadikan Anwar dan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar, ia mungkinlah boleh dikira gagal tetapi dari segi matlamat menyingkirkan Khalid dan menggantikannya dengan pemimpin lain yang boleh melancarkan lagi usaha menawan Putrajaya, ia tidaklah begitu jauh tersasar. Begitu juga untuk menjadikan kepimpinan di Selangor sebagai contoh tentang kemampuan mentadbir Putrajaya masih lagi relevan ditampilkan melalui Azmin yang merupakan anak didik dan orang kepercayaan Anwar.

Setelah sokongan diberikan kepada Azmin juga, Dr Wan Azizah tidak perlu menjadi Exco Kerajaan Negeri berikutan kedudukannya dalam PKR yang lebih tinggi. Dr Wan Azizah hanya perlu menjadi pemantau dan rujukan bagi menentukan perjalanan kerajaan negeri seiring dengan kehendak parti.

Adanya Langkah Kajang juga telah menjadikan UMNO dan BN kucar-kacir sehingga mereka menggerakkan pelbagai usaha menghalang kemaraan Anwar dan Dr Wan Azizah. Jika Langkah Kajang itu tidak dibimbangi, tentulah Anwar tidak dihalang sejak awal lagi. Apa yang tidak disangka oleh UMNO dan BN ialah Azmin akhirnya menjadi pilihan Sultan.

Yang menjadi harapan serta doa UMNO dan BN ialah agar pilihan Sultan menggantikan Khalid itu biarlah Adun PKR yang lain atau lebih molek lagi jika daripada kalangan Adun Pas. Tetapi dengan Azmin yang dipilih oleh Sultan, bukan saja perpaduan dalam PKR tidak pecah tetapi juga persefahaman sesama rakan dalam PR lebih mudah untuk dipulihkan.

Andaian bahawa Langkah Kajang menyebabkan perpecahan dan suasana tidak baik dalam masyarakat, ia adalah perkara normal dilakukan mana-mana parti politik. UMNO ketika dipimpin oleh Mahathir telah memecat dan menyingkirkan paling ramai pemimpinnya dan menyebabkan perpecahan dan fitnah paling banyak berlegar tetapi tindakan itu bukan saja menyebabkan beliau mampu bertahan selama 22 tahun tapi juga memunculkan UMNO dan BN menang setiap kali pilihanraya umum diadakan.

Dengan kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR yang sudah mengharungi gerakan reformasi sejak hari pertama lagi, beliau tentulah lebih faham bagaimana menggerakkan usahanya ke arah melawan UMNO dan BN. Di Selangor, melalui pemilihan Azmin dan disertai dengan barisan Exco daripada majoritinya golongan muda yang aktif dan berbakat, kerajaan negeri selepas ini lebih mudah bergerak ke hadapan mengumpulkan kekuatannya.

Dengan contoh kejayaan di Selangor dan Pulau Pinang selepas ini serta Kelantan pula segera memperbaiki banyak kelemahannya sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat dalam muktamar baru-baru ini, peluang PR dalam pilihanraya umum akan datang masih terbuka luas lagi.

Selain UMNO dan BN tidak banyak berubah, kebencian rakyat kepada pemimpinnya juga sentiasa bertambah. Di mana-mana suara kebencian itu didengari sekarang ini. Ditambah dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad tidak lagi menyokong kepimpinan Najib yang dianggapnya gagal dan lemah, sandaran harapan rakyat tidak lain hanyalah PR.

Berakhirnya kemelut di Selangor ini adalah peluang semua pihak dalam PR untuk sama-sama bergerak ke hadapan mencapai matlamat sebenar Langkah Kajang itu. Anwar dan Dr Wan Azizah hanyalah alat untuk mencapai matlamat yang dituju dan terkorbannya mereka berdua itu, tidak sama-sekali menjadikan matlamat dan tujuan sebenar Langkah Kajang turut hancur berderai.

Apatah lagi aura awal menunjukkan dengan perlantikan Azmin bersama barisan Exconya yang muda-muda ini, peluang UMNO untuk bangkit dan menawan semula negeri itu jadi berjerebu semula. (SH 27/09/2014)

Friday 26 September 2014

Kesian Pas..Sudah Jatuh Ditimpa Tangga Pula


Belum pun kering airmata Pas kerana kesedihan tidak dapat menawan kerusi DUN Pengkalan Kubor yang keputusannya diketahui semalam, parti itu menerima nasib malang lagi hari ini apabila kerusi Exconya di Selangor pula dikurangkan daripada empat kepada tiga.

Dalam pilihanraya Pengkalan Kubor, Pas bukan saja gagal dalam percubaannya mahu merampas kawasan DUN itu daripada UMNO, malah undi majoriti BN juga turut bertambah. Jika dalam pilihanraya umum 2013 lalu, calon PKR tewas dengan undi 1,736 undi, kali ini jumlahnya bertambah kepada 2,635 undi.

Yang menarik lagi, walaupun kerusi Pengkalan Kubor ini milik PKR tetapi dalam kehangatan isu Menteri Besar Selangor tengah membara dan merasakan dirinya begitu kuat, Pas telah menuntut untuk mengambil alih bertanding menggantikan PKR dengan hujah peluangnya untuk menang lebih terbuka. Sayangnya, bukan saja impian menang tidak menjelma, kekalahan dengan jumlah undi lebih besar pastinya juga membuatkan PKR puas hati menyerahkan kerusi itu.

Kekalahan dengan jumlah undi yang makin bertambah itu, meskipun mungkin disebabkan oleh banyak faktor yang sudah banyak diperkatakan sejak semalam, tetapi adalah jelas antara mesejnya ialah penolakan pengundi terhadap sikap Pas yang tidak konsisten dalam berpakat dan bergabung bersama PR, selain juga menunjukkan parti itu tidak mampu berdiri sendirian dalam menghadapi UMNO dan BN.

Dengan mesej itu, adalah perlu Pas segera bermuhasabah dan "melihat dirinya semula dalam cermin" ke manakah haluan sebenar yang mahu ditujunya selepas ini. Jika mahu kekal bersama PR, tunjukkanlah kesepakatan dan sehati sejiwa dan jika lebih mahu ke arah kerajaan perpaduan, ambillah sikap yang jelas mengenainya.

Hari ini pula, Pas menerima satu lagi berita sedih yang mungkin menyebabkan ia perlu mencari tuala tambahan untuk mengesat airmatanya berikutan keputusan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengurangkan kerusi Exco parti itu daripada empat kepada tiga.

Nampaknya ketegasan Pas untuk mempertahankan empat kerusi Exconya tidak mendapat perhatian daripada Azmin Ali. Paluan gendang hulubalang Pas kononnya parti itulah yang mencalon dan menyebabkan Azmin terpilih sebagai Menteri Besar, ternyata juga tidak berhasil.

PKR pula yang sebelum ini hanya mempunyai tiga kerusi Exco, kini menjadi empat pula. Termasuk kerusi Menteri Besar, PKR nyata menunjukkan kuasa dan dominannya kali ini. DAP pula, walaupun kekal dengan tiga, tetapi turut mempunyai kelebihan dengan kerusi Speaker masih dalam genggamannya.

Pas yang dikurangkan kerusi Exconya mungkin bakal diberikan jawatan Timbalan Speaker berikutan penyandangnya sekarang, Nik Nazmi sudah pun dilantik sebagai Exco. Namun, jika benar ia bakal berlaku, Pas tetap dikira rugi kerana kehilangan kerusi Exco hanya diganti jawatan yang lebih rendah iaitu Timbalan Speaker saja.

Nasib Pas dalam dua insiden ini tidak ubah seperti lebai malang yang sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Setelah gagal di Pengkalan Kubor, kini kouta Exconya pula berkurangan. Kesian Pas!!

Tetapi tentulah tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Pas dalam kouta baru Exco ini kerana ianya sudah pun mendapat perkenan Sultan Selangor. Jika sebelum ini Pas begitu bersungguh mempertahankan pendiriannya yang berdolak-dalik dalam isu pertukaran Menteri Besar dengan meminta semua pihak menerima apa saja keputusan Istana, kini giliran parti itu pula yang harus menunjukkan sikap terpuji dan tidak bersungut terhadap apa yang berlaku ini.

Memang sebelum ini, melihat sikap dolak-dalik Pas dan setelah Azmin dilantik sebagai Menteri Besar, ramai yang merasakan kouta Exco 4-3-3 yang wujud sebelum ini tidak wajar dikekalkan lagi. Ada yang merasakan Pas hanya wajar mendapat tiga atau dua kerusi Exco saja. Walaupun formula 4-3-3 masih dikekalkan, Azmin seperti memahami suara ramai yang mahu jumlah Exco Pas dikurangkan.

Apa pun, dengan keputusan berani Azmin mengurangkan kerusi Exco Pas kepada kepada tiga, beliau sebenarnya sedang mengajar Pas tentang erti dan nilai berpakat serta sepakat dalam sebuah gabungan.

Jika sejak dulu Pas tidak berdolak-dalik dan sentiasa konsisten atas nama kesepakatan sebagai rakan gabungan dalam PR, tentulah empat kerusi Exco itu tidak terjejas sama-sekali. Lihat saja DAP, kerana konsisten dan kekal dengan janji, mereka tidak hilang apa-apa.

Dalam dunia ini, orang yang setia dan berpegang pada janji sentiasa menerima ganjarannya, manakala yang tidak setia dan dicurigai pula memang harus menerima hukuman. (SH 26/09/2014)

Thursday 25 September 2014

Dulu Berubah-Ubah, Kini Tahu Pula Bertegas!!


Orang tua-tua selalu berpesan - hidup ini macam roda. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Jika hari ini kita ketawa, esok lusa mungkin menangis pua. Begitu juga, jika hari ini kita buat orang, esok lusa kita pula menerima padah yang sama.

Dalam kemelut perlantikan Exco Selangor yang kini merupakan cabaran pertama Azmin Ali sebagai Menteri Besar, isu yang paling menjadi perbualan ialah sama ada kouta lama 4-3-3 perlu dikekalkan atau dirombak menjadi 3-3-2-2, 3-3-3-1 atau sebagainya.

Kouta untuk PKR dan DAP mungkin tiada masalah untuk dipertahankan tetapi yang menjadi isu ialah kouta untuk Pas. Selepas melihat banyak U turn dan berubah pendirian sebelum ini, ramai yang melihat Pas tidak wajar lagi diberikan empat kerusi Exco seperti dulu.

Tetapi Pas melalui kenyataan Iskandar Samad, Pesuruhjaya Pas Selangor, mengatakan parti itu bertegas mempertahankan empat kerusi itu. Ada pula pemimpin lain mengatakan Exco yang sama akan dilantik semula.

Selain DAP yang mengatakan empat Exco Pas Selangor itu sebagai pengkhianat kerana tidak bersatu hati sejak awal, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin pula mengatakan, Pas hanya patut diberikan kerusi saguhati saja berikutan sikapnya itu. Maknanya, bukan lagi empat kerusi, mungkin dua atau satu saja.

Adalah jelas bahawa suara yang mahukan kerusi Exco Pas dikurangkan semakin kuat kedengaran. Ia bukan saja berlegar di dalam fikiran orangramai dan pemerhati yang berfikiran waras, malah daripada dalam PKR dan DAP juga. Di dalam Pas pula, suara-suara yang sederhana mulai malu dengan ketegasan menuntut empat kerusi Exco berikutan sikap dan pendirian parti itu sebelum ini.

Ramai yang berpendapat ia patut dikurangkan manakala yang lain pula merasakan tidak wajar Pas terlalu meminta-minta, sebaliknya hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar baru membuat pertimbangan dan keputusan.

Kenyataan Iskandar yang mahu bertegas mempertahkankan empat kerusi Exco benar-benar membuktikan dunia ini bagaikan roda. Jika dulu PKR dan DAP bertegas dengan pendirian mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar, kini giliran Pas pula bersikap yang sama.

Tetapi pendirian PKR dan DAP atas ketegasan mereka, walaupun tidak mendapat perhatian, perkenan dan persetujuan daripada Istana Selangor, sekurang-kurangnya telah mendapat pujian dan sanjungan kerana apa yang dipertahan dan dipertegaskan itu memang mempunyai asas yang kukuh iaitu Dr Wan Azizah mempunyai sokongan majoriti yang telah dibuktikan secara bertulis.

Soal sama ada ianya diterima atau ditolak adalah soal lain, namun berjaya membuka mata rakyat negara ini, bukan saja tentang keberanian mereka tetapi juga mengenai tafsiran undang-undang dan perlembagaan berkaitan perlantikan seseorang ketua kerajaan negeri.

Hari ini isu tafsiran undang-undang itu bukan saja telah menjadi bualan orangramai tetapi turut menjadi tajuk forum dan seminar yang natijahnya telah membuka mata mengenai kuasa Sultan dan hak parti yang mendapat majoriti. Malah sudah timbul juga permintaan agar reformasi segera dilakukan kepada undang-undang negeri agar isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang berlarutan agak lama ini tidak berulang lagi di masa depan.

Ini menunjukkan impak daripada ketegasan PKR dan DAP itu bukanlah sesuatu yang tidak bernilai. Namun, lain pula jadinya dengan ketegasan Pas mahu mempertahankan empat kerusi Exconya ini.

Ada yang bertanya, kenapa baru sekarang Pas mahu bersikap tegas dan tidak dalam isu Menteri Besar dulu? Yang sinis pula berkata, tahu rupanya Pas bersikap tegas? Kenapa daripada menolak Dr Wan Azizah, kemudian bersetuju dengan Dr Wan Azizah dan Azmin, lepas itu menyerahkan kepada kebijaksaan Sultan dan akhirnya secara rasmi mencalonkan Dr Idris Ahmad, Yaakob Sapari dan Iskandar Samad sebagai calon Menteri Besar?

Walaupun ada yang berkata, Pas memang layak mendapat haknya semula empat kerusi Exco itu kerana mencalonkan Azmin sebelum ini, sebenarnya pencalonan itu hanya dalam mesyuarat AJK Pas saja sedangkan senarai rasmi yang dihantar kepada Istana Selangor menolak sama-sekali nama Azmin.

Kalau dulu pendirian Pas boleh berubah-ubah, bukankah molek jika dalam dalam soal Exco ini, pendirian Pas juga berubah sama. Barulah betul!!

Putaran kehidupan yang ditunjukkan Tuhan benar-benar bagaikan roda. Dulu PKR dan DAP bertegas, kini giliran Pas pula mahu bersikap sama. Tetapi jika sejak dulu Pas bersikap tegas, tentulah hari ini ia tidak perlu nak bersusah-payah mahu bertegas lagi. Sah-sah empat kerusi Exco itu miliknya.

Kini semuanya jadi tidak menentu. Mungkin dapat empat, mungkin juga dikurangkan menjadi tiga atau dua. Kalau masih dapat empat, bersyukurlah dan kalau dapat tiga atau dua, bersyukurlah juga.

Namun, setelah banyak berubah pendirian, melakulan U turn dan tidak tegas sebelum ini, pendirian Pas mahu bertegas kali ini lebih banyak mengundang ketawa kecil dan senyum sinis orangramai akhirnya. (SH 25/09/2014)

Wednesday 24 September 2014

Wajarkah Pas Terus Diberi 4 Kerusi Exco?


Setelah berakhirnya isu perlantikan Menteri Besar Selangor dengan Azmin Ali akhirnya mengangkat sumpah jawatannya semalam, perkara yang ditunggu-tunggu selepas ini tentunya ialah berkenaan perlantikan Exco Kerajaan Negeri pula.

Azmin sendiri, sebaik dilantik memberitahu, majlis mengangkat sumpah jawatan Exco akan diadakan pada Jumaat ini kerana Sultan Selangor sendiri mahu ia disegerakan bagi memastikan pentadbiran dan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan lagi.

Dalam perkembangan terbaru pula, Azmin berkata, senarai Exco akan diputuskan petang ini serta akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor pada hari Khamis untuk persetujuan.

Bukan saja siapa yang bakal dilantik sebagai Exco menjadi tanda-tanya, turut menjadi persoalan ialah apakah kouta 4-3-3 sejak 2013 lalu akan terus dikekalkan oleh Azmin?

Selepas pilihanraya lalu, Pas yang memenangi 15 kerusi diberikan empat kerusi Exco, DAP yang juga menang 15 kerusi diberikan tiga kerusi Exco dengan tambahan kerusi Speaker manakala PKR yang mempunyai 14 kerusi juga mempunyai tiga kerusi Exco.

Sebaik Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan mematuhi arahan partinya yang mahunya berundur, beliau kemudian telah memecat enam Exco daripada PKR dan DAP kerana enggan bekerjasama dengannya. Empat Exco daripada Pas terus dikekalkan berikutan arahan parti itu yang mahu mereke terus bersama Khalid.

Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pula memperuntukkan pentadbiran kerajaan negeri dan kewujudan seorang Menteri Besar boleh terus dikekalkan jika mempunyai sekurang-kurangnya empat orang Exco.

Walaupun tindakan empat Exco Pas itu dianggap pengkhianat terhadap solidariti dan semangat bekerjasama dalam PR, Pas tetap mempertahankan tindakan terus kekal itu ialah untuk menyelamatkan kerajaan negeri daripada runtuh. Kononnya kerana adanya merekalah kerajaan PR terus wujud.

Semalam Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sekali lagi melahirkan rasa kesal dengan sikap empat Exco Pas itu, namun seperti biasa, Pas tetap mempertahankannya. Bagi Pas, empat Exco itu adalah penyelamat dan bukannya pengkhianat.

Sekali imbas, memanglah ada logiknya mereka itu penyelamat tetapi jika sejak awal lagi empat Exco itu bersama-sama dan sehati sejiwa dengan semangat solidariti dan berpasukan dengan Exco daripada PKR dan DAP, tentunya Khalid sendiri tidak berani memecat enam Exco itu.

Apabila Khalid tidak berani memecat sesiapa daripada kalangan Exconya, bukan saja kerajaan negeri tidak runtuh, bahkan kemungkinan pilihanraya negeri juga tidak berbangkit sama-sekali.

Hanya kerana mengetahui empat Exco Pas ada bersama-samanyalah, maka enam Exco dipecat. Kiranya semua empat Exco Pas bersatu hati dengan enam Exco yang lain sejak awal lagi, pastilah juga tiada insiden pecat-memecat, bahkah mungkin sudah lama Khalid "belayar malam."

Oleh itu, empat Exco Pas berkenaan bukanlah penyelamat dalam ertikata sebenarnya. Apatah lagi, ketika kemelut sedang berlangsung, wujud pula pelbagai usaha mengenai pembentukan kerajaan campuran dengan UMNO + Pas + Khalid Ibrahim. Ketika itu bukan saja Azmin dikatakan ditawarkan oleh Haji Hadi untuk menyertai kerajaan campuran ini dengan ditawarkan jawatan Menteri Besar, malah dalam mesyuarat AJK Pas sendiri berlaku pertikaman lidah yang hangat antara beberapa pemimpin profesional Pas dengan Haji Had mengenainya.

Yang benar-benar menyelamatkan kerajaan PR ialah dua Adun Pas yang bertindak berani serta mempunyai semangat kerjasama yang tinggi atas nama setiakawan dan janji iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail. Hanya setelah tindakan mereka berdua inilah dan terbukti Khalid sudah kehilangan majoriti, barulah beliau mulai kendur dan akhirnya setuju meletakkan jawatan.

Sekali lagi, Shaari dan Hasnul bukan saja membuktikan sokongan majoriti Adun masih berpihak kepada PR tetapi juga memberi laluan kepada cepatnya Khalid sedar siapa dirinya yang sebenar.

Tetapi apakah sumbangan empat Exco Pas yang dikata penyelamat itu? Apakah dalam mendakwa sebagai penyelamat tetapi dalam masa yang sama cuba pula "menyelam" untuk berbaik-baik dengan UMNO, masih boleh dianggap penyelamat?

Dalam keadaan sekarang ini, apakah wajar pula Pas terus diberikan empat kerusi Exco?

Atas semangat kerjasama dan berpasukan dalam PR, PKR dan DAP memang masih ada hak untuk masing-masing terus diberikan tiga kerusi Exco sebagaimana sebelum ini. Semangat bersatu hati dan teguh pendirian mereka dalam berpolitik wajar dipuji. Sama ada calon lama dikekalkan atau diganti baru, terserahlah kepada PKR dan DAP memutuskannya tetapi ia langsung tiada pertikaian daripada sesiapa.

Namun, berdasarkan apa yang telah berlaku, mengikut logiknya Pas tidak layak lagi mendapat empat kerusi Exco. Selain jumlah Adun yang bersama dengan parti itu juga sudah berkurangan daripada 15 kepada 13, semangat berpasukannya juga ternyata rendah. Pas mungkin hanya perlu diberikan dua saja kerusi Exco dengan dua tempat lagi sewajarnya diberikan kepada Shaari dan Hasnul atas keberanian dan pengorban yang telah dilakukannya.

Orang yang berani berkorban memang berhak diberikan ganjaran.

Bagaimanapun, jika Azmin masih ada simpati dan timbangrasa, beliau bolehlah juga memperuntukkan tiga saja kerusi Exco kepada Pas dengan satu lagi perlu diberikan sama ada kepada Shaari atau Hasnul.

Tetapi atas apa yang telah berlaku, termasuk empat Exco Pas ini turut meluluskan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, terus memberikan kouta yang lama adalah tidak wajar dan keterlaluan sama-sekali.

Kouta 4-3-3 perlu ditukar kepada 3-3-2-2 atau 3-3-3-1 - SH 24/09/2014.

Tuesday 23 September 2014

Paslah Yang Sebenarnya Pecat Anwar!!


Sebelum mengakhiri tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor semalam, Khalid Ibrahim masih sempat lagi membuat keputusan yang menggambarkan dendam di penghujung kariernya sebagai ketua kerajaan negeri iaitu menamatkan tugas Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi.

Menurut pengumuman yang dibuat oleh Faekah Husin, CEO MBI, mesyuarat Exco terakhir yang dipengerusikan Khalid juga membuat keputusan menutup pejabat berkenaan dengan serta-merta bagi menjimatkan kos.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sumbangan Anwar selama ini, Faekah juga mengatakan adalah wajar pejabat berkenaan ditutup supaya peranannya tidak bertindih dengan tugas dan tanggungjawab pegawai kerajaan negeri yang dikhususkan menjaga ekonomi dan pelaburan kerajaan negeri.

Dengan keputusan itu, tidak syak lagi ramai yang beranggapan bahawa Khalid memang berdendam dan marah kepada Anwar. Beliau bukan setakat menamatkan khidmat, malah menutup terus pejabat bekas bossnya itu.

Jika Khalid hanya terpaksa menamatkan tugasnya sebagai Menteri Besar, seiring dengannya Anwar pula ditamatkan tugas dan ditutup terus pejabatnya. Dengan tindakan ini, Khalid nampaknya berjaya menjimatkan wang kerajaan negeri sebanyak RM1 sebulan untuk bayaran gaji Anwar itu.

Ada juga yang beranggapan Khalid seperti budak-budak kerana tindakannya menamatkan khidmat Anwar itu. Hanya kerana marah, terus dipecatnya Anwar. Walaupun jika mahu, Menteri Besar baru, Azmin Ali boleh melantik Anwar semula ke jawatan itu tetapi tentulah ia juga memerlukan proses tertentu, termasuk dibawa ke mesyuarat Exco semula.

Memang diakui Khalid ada sedikit dendam dan marah kepada Anwar tetapi yang sebenarnya menjayakan dendam dan marah itu dilangsaikan ialah empat orang Exco Pas yang ada bersama Khalid sekarang. Persetujuan empat Exco Pas inilah yang menyebabkan Anwar dipecat dan pejabatnya ditutup.

Oleh kerana hanya empat Exco Pas saja lagi yang tinggal bersama Khalid, jika mereka tidak bersetuju dengan penamatan itu, pastilah ia tidak akan berlaku. Kenapakah empat Exco Pas juga setuju Anwar dipecat?

Ini menunjukkan selain Khalid yang marah dan berdendam dengan Anwar, empat Exco Pas juga seperti turut "sakit hati" dengan Ketua Umum PKR itu.

Nampaknya, kemarahan Pas, terutamanya golongan yang setia dan wala' kepada Haji Hadi Awang terhadap Anwar Ibrahim yang dianggap mencetuskan kemelut ini sepertimana yang ditunjukkan dalam muktamar baru-baru ini, masih lagi berterusan.

Walaupun Pas pernah mencalonkan Azmin bersama-sama Dr Wan Azizah untuk menggantikan Khalid pada mesyuaratnya 17 Ogos lalu, pencalonan itu sebenarnya sudah pun terbatal apabila pada 3 September, Haji Hadi mengemukakan tiga nama lain iaitu Dr Idris Ahmad, Yaakob Sapari dan Iskandar Abdul Samad kepada Sultan Selangor.

Dengan Azmin yang turut dianggap rapat dan paling setia kepada Anwar menggantikan Khalid, Pas jelas tidak mahu kelibat beliau terus membayangi dan memainkan peranannya lagi selepas ini.

Walaupun Khalid yang mencadangkan penamatan khidmat Anwar ini, ia tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa persetujuan empat Exco Pas itu. Malah jika tiga orang tidak setuju pun, keputusan majoriti tidak dapat dicapai.

Maka, Pas juga turut memecat Anwar sebenarnya. - SH 23/09/2014.

Monday 22 September 2014

Walaupun Kemelut Berakhir, Pas Tetap Rugi


Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali akhirnya sah menjadi Menteri Besar yang baru bagi negeri Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Beliau telah pun menerima surat perlantikannya dari Istana Selangor petang tadi dan akan mengangkat sumpah jam 10.30 pagi esok.

Perlantikan Azmin juga akhirnya diterima sebulat suara oleh PKR yang bermesyuarat petang tadi dan Majlis Pimpinan PR yang bermesyuarat malam ini juga menerima perlantikan itu, seiring dengan pengumuman Dr Wan Azizah untuk menarik diri daripada pencalonan. Ini bermakna sokongan 30 Adun juga turut berpindah kepada Azmin.

Dengan ini, berakhirnya kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu. Penerimaan PR terhadap perlantikan yang dibuat oleh Sultan Selangor ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu agar mereka selepas ini boleh terus melangkah ke hadapan menunaikan janji-janji yang masih banyak tertunggak dan juga memajukan lagi negeri itu.

Walaupun Azmin bukanlah calon pilihan PR yang utama, tetapi dari segi kebolehan dan kemampuan menggerakkan lagi jentera parti serta pentadbiran negeri ke arah yang lebih mantap, beliau sebenarnya tidak perlu diragui. Pengalamannya dalam kerajaan sebelum ini dan kesetiaan dalam gerakan reformasi sejak 1998 adalah bekalan terpentingnya untuk terus melangkah ke hadapan selepas ini.

Setelah semua pihak menerima perlantikan Azmin ini, PR juga tentunya akan bersatu kembali selepas ini. PKR dan DAP memang tiada masalah kerana mereka sejak awal lagi bersatu hati dan konsisten dalam isu ini.

Namun yang paling rugi sekali ialah Pas. Walaupun mereka juga menerima perlantikan Azmin ini dan seolah-olah kembali bersatu tetapi kesannya tidaklah begitu. Bukan saja imej Pas terjejas dengan teruk di mata umum berikutan pendiriannya yang tidak konsisten, malah perpecahan sesama sendiri juga akan memakan masa untuk dipulihkan.

Puak "taliban" dan "erdogan" dalam parti itu semakin terserlah permusuhannya dek isu Menteri Besar Selangor ini. Disebabkan kemelut yang sama juga, Pas turut "kehilangan" dua Adunnya sendiri di Selangor iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang sanggup bersikap lebih wala' kepada pihak lain berbanding parti sendiri.

Tetapi mereka terpaksa mengambil tindakan berani itu kerana letih dengan sikap dolak-dalik dan lambatnya Pas dalam membuat keputusan untuk menyelamatkan keadaan. Berjayanya Azmin menjadi Menteri Besar mulai esok sebahagiannya adalah kerana pengorbanan kedua-dua Adun berkenaan, bersama Adun-Adun daripada PKR dan DAP.

13 lagi Adun Pas boleh dikatakan tiada saham dalam perlantikan Azmin ini. Tanpa keberanian Shaari dan Hasnul, mungkin Khalid masih kekal bersilat sekarang ini atau suatu bentuk kerajaan campuran telah pun berjaya diwujudkan di Selangor.

Lebih malang bagi Pas ialah isu Menteri Besar ini telah menjadikan Haji Hadi Awang sebagai bahan cemuhan dan kritikan banyak pihak. Bukan saja masyarakat umum dapat melihat wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang selama ini dihormati kerana ilmu agamanya, malah dalam mesyuarat Pas sendiri beliau turut dikritik dan disanggah. Kuasa dan haknya sebagai presiden juga sudah mula menjadi bahan jajaan dan perbualan.

Secara umumnya Haji Hadi tidak lagi dihormati seperti dulu. Kebolehan ulama dalam berpolitik dan mentadbir negara juga turut diragui.

Berbanding dengan PKR yang mendapat kembali kerusi Menteri Besar dan DAP yang tidak rugi apa-apa, Pas ternyata lebih banyak rugi dari untungnya. Bagi PKR, walaupun bukan Dr Wan Azizah yang menjadi Menteri Besar tetapi kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden yang menjadi gantinya, ia tidak mendatangkan banyak perbezaan bagi mereka.

Tetapi selain Pas belum tentu dapat apa-apa, kerugian yang nyata telah pun ada. Di samping perpecahan dalamannya makin ketara, penerimaan umum terhadapnya dan pimpinan ulamanya tidak lagi sama seperti dulu. Pengundi bukan Melayu juga mungkin terpaksa diyakinkan semula untuk terus menyokongnya.

Pepatah biduk lalu, kiambang bertaut seperti memakan masa atau tidak mungkin berlaku terus dalam Pas selepas ini.

Jika tewas di Pengkalan Kubor pada 25 September nanti, lagilah berat beban Pas selepas ini. SH 22/09/2014.

Sunday 21 September 2014

Haji Hadi Wajib Sahut Cabaran Shaari


Sesiapa pun yang melihat wajah Presiden Pas, Haji Hadi Awang ketika menggulung Muktamar Pas semalam, tentunya dapat merasakan api kemarahan yang sedang marak dan meluap-luap dalam dadanya. Wajah, mata, air muka dan gerak tangannya ketika menyampaikan ucapan jelas menggambarkan beliau sedang marah dan panas hati ketika itu.

Malangnya, kemarahan itu tidak ditujukan kepada UMNO dan para pemimpinnya yang memang menjadi musuh Pas selama ini. Bahkan dalam muktamar kali ini, UMNO paling beruntung kerana tidak menjadi serangan dan belasahan Pas sepertimana selalunya.

Dalam muktamar kali ini, tiada sentuhan yang pedih dan menyakitkan hati daripada Pas terhadap UMNO. Daripada perasmian, perbahasan oleh perwakilan sehinggalah kepada ucapan penutup, UMNO terkecuali daripada sasaran kecaman. Sasaran lebih ditumpukan kepada rakan-rakan sendiri dalam PR, terutamanya PKR, golongan profesional termasuk Mohamad Sabu dan tidak terkecuali dua Adun dari Selangor, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin.

Dalam ucapan penggulungan yang penuh kemarahan itu, Haji Hadi juga turut membuat dakwaan bahawa kedua-dua Adun berkenaan dibeli untuk memberi sokongan dan manandatangai akaun bersumpah menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Dalam tindakannya yang disifatkannya sebagai "mencuri" itu, beliau juga menuduh ada yang menjadi "broker" dan "barua" kepada kedua-dua Adun berkenaan.

Bagaimanpun hari ini, salah seorang daripada dua Adun berkenaan iaitu Shaari Sungib bingkas mencabar Haji Hadi agar mengemukakan bukti atas dakwaan yang dibuatnya itu.

Tindakan Shaari sebagai Adun Pas mencabar Presiden partinya sendiri mengenai sesuatu dakwaan memang dianggap luar biasa dan jarang-jarang berlaku, lebih-lebih lagi memandangkan Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Tetapi di sudut yang lain, ia menyerlahkan kewajaran Haji Hadi untuk menyahut cabaran tersebut, jika beliau benar-benar mempunyai bukti. Apatah lagi dakwaan bahawa Shaari dibeli itu merupakan tuduhan yang berat yang melibatkan wibawa dan intergritinya.

Membuat dakwaan yang berunsur rasuah tetapi tanpa bukti adalah tidak wajar sama-sekali dan menjejaskan wibawa seseorang yang bertaraf Tuan Guru atau Presiden parti. Dakwaan tanpa bukti biasanya hanya dilakukan oleh pencacai atau macai politik yang banyak berkeliaran di lobi hotel dan kedai-kedai kopi tengah malam saja.

Namun Haji Hadi bukanlah pencacai atau macai. Tarafnya dalam masyarakat begitu tinggi. Beliau adalah ketua parti yang bertaraf ulama. Apabila beliau membuat dakwaan bahawa dua Adun berkenaan dibeli, tentunya anggapan ramai beliau mempunyai bukti mengenainya berasaskan bahawa seorang yang alim dan warak tidak mungkin membuat tuduhan tanpa bukti.

Oleh itu, apabila Shaari sudah melakukan cabaran, menjadi tanggungjawab Haji Hadi untuk menyahutnya. Beliau perlu kemukakan bukti-bukti yang beliau ada, bukan saja untuk mengesahkan dakwaannya tetapu juga memastikan Shaari dan Hasnul dikenakan tindakan oleh Pas. Seterusnya bukti itu boleh pula dibawa kepada SPRM agar tindakan sewajarnya dari segi undang-undang dapat diambil.

Ini kerana jika benar Shaari dan Hasnul telah dibeli, tiada sesiapa pun merestui dan menghalalkan permainan politik seumpama itu.

Dalam hal ini, Haji Hadi tidak perlu berlengah dengan masa untuk segera mengemukakan bukti mengenai wujudnya pembelian dan unsur rasuah itu. Semuanya kini terletak di tangan Haji Hadi untuk melonjakkan kembali imej dan reputasinya jika benar apa yang diperkatakannya itu adalah benar dan ada buktinya sekali.

Dalam masa yang sama, dakwaan Haji Hadi mengenai hal ini juga pantas mengingatkan orangramai kepada tuduhannya berkaitan pil kuda dan fahaman komunis terhadap calon PKR di Terengganu dan Selangor sebelum pilihanraya lalu yang sehingga ini masih gagal dibuktikannya.

Kedua-dua tuduhan berkaitan pil kuda dan fahaman komunis itu ialah untuk mewajarkan Pas ketika itu meletakkan calon bertindih daripada partinya, walaupun sudah ada persetujuan ia ditandingi oleh parti rakannya sendiri iaitu PKR.

Dalam isu pil kuda, Haji Hadi telah pun disaman dan perbicaraan awal telah dimenangi oleh calon PKR itu dan kini masih lagi dalam proses rayuan lagi. Mengenai dakwaan calon PKR berfahaman komunis pula, ia senyap begitu saja.

Apakah mungkin dakwaan wujudnya pembelian terhadap Shaari dan Hasnul juga bakal senyap sama? Atau mungkinkah setelah Shaari mencabar ini dan jika masih tiada bukti dikemukakan, beliau juga akan turut mengemukakan saman malu bernilai jutaan ringgit kepada Haji Hadi?

Apa pun alasannya, oleh kerana Haji Hadi membuat dakwaan itu di atas pentas rasmi parti, beliau secara moralnya wajib menyahut cabaran Shaari itu? Noktah. Berdiam diri atau memberi pelbagai alasan lain bukan lagi pilihan.

Tetapi jika beliau hanya mendengar desas-desus, khabar angin atau cakap-cakap orang saja mengenainya, amatlah memalukan sekali tindakan itu dilakukannya ketika ucapan penggulungan itu. Tidak wajar seorang presiden parti yang bertaraf ulama berbuat demikian.

Jika beliau sekadar mendengar desas-desus atau khabar angin mengenainya, beliau sepatutnya hanya menyebarkannya kepada pencacai atau macai untuk dijadikan tajuk perbualan di warung-warung kopi saja, bukannya diluahkan di muktamar parti. - SH 21/09/2014.

Saturday 20 September 2014

Setelah Dua Adunnya Ditemubual Sultan, Pas Makin Stim Dibuatnya


Sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh pihak Istana Selangor dan menunggu ketibaan detik 10 pagi, 23 September di mana majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baru bakal berlangsung, PKR dan Pas terus kelam-kabut dan kalut dibuatnya.

PKR kelam-kabut dan kalut kerana calon pilihannya iaitu Dr Wan Azizah dikhabarkan bukan pilihan Sultan walaupun telah mempersembahkan bukti sokongan 30 Adun yang memihak kepadanya.

Sultan difahamkan lebih mungkin memilih Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan dikatakan sudah pun menemubualnya bagi tujuan itu. Turut ditemubual oleh pihak Istana ialah Iskandar Abdul Samad, Adun Cempaka yang juga Pesuruhjaya Pas negeri dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dengan kemungkinan Azmin menjadi pilihan untuk menggantikan Khalid Ibrahim, timbul desakan agar beliau menyatakan pendirian menolaknya jika dipilih oleh Sultan. Desakan yang lebih ekstrem iaitu agar beliau dipecat daripada PKR jika menerimanya sudah pun mula kedengarakan ketika ini.

Hujahnya ialah jika Khalid dipecat kerana engkar arahan parti yang mahukannya berundur dan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah, Azmin juga jika menerima perlantikan Sultan turut dianggap engkar dan menghalang Presiden PKR itu daripada menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Walaupun sehingga ini PKR tetap bertegas dan berkeras dengan pencalonan tunggal Dr Wan Azizah, ada juga laporan yang menyebut bahawa Azmin sudah pun mencapai kompromi dengan Anwar Ibrahim mengenai kedudukannya jika dilantik oleh Sultan.

Adalah dipercayai kompromi Anwar dan Azmin itu termasuk beberapa hal dalam pentadbiran negeri seperti perlantikan Exco, pembahagian tugas, pemilihan pegawai di pejabat Menteri Besar serta pengukuhan lagi peranan parti dalam keputusan-keputusan penting, namun yang jauh lebih penting tentulah untuk segera mengakhiri kemelut yang sudah lama berpanjangan itu.

Hanya dengan Anwar berjaya meyakinkan PKR, DAP dan 30 Adun yang memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk mengalih sokongan kepada Azmin pula, barulah isu ini menampakkan jalan penyelesaiannya.

Namun Pas tetap bernasib malang. Parti itu terus kelam-kabut dan kalut meskipun belum pasti salah seorang Adunnya dilantik sebagai Menteri Besar. Jika sebelum ini, parti itu gagal membuat keputusan jitu dan muktamad sama ada mahu menerima atau menolaknya jika dilantik oleh Sultan, setelah tersebar perkhabaran bahawa dua Adunnya, Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus turut ditemubual oleh pihak Istana, keadaannya bertambah parah lagi.

Tidak saja peringkat pemimpin yang berbeza pendapat, malah dalam muktamar Pas di Johor yang berakhir hari ini, perdebatan mengenainya masih panas dan bercelaru. Lebih membingungkan ialah kumpulan profesional yang berpegang kepada ikrar dan janji bahawa jawatan itu adalah milik PKR mahukan Pas menolaknya manakala kelompok ulama pula mahukan Pas menerimanya dengan alasan "tidak mahu bergaduh dengan Istana."

Sehingga ini jelas belum ada kata putus yang jitu dan muktamad mengenainya. Tetapi isu ini telah menjadikan muktamar bagaikan terbelah dua dengan aksi jerit-menjerit, boo dan jurang yang semakin menjarak antara kumpulan ulama dan profesional dalam parti itu.

Apa yang menghairankan ialah di ketika Pas mengatakan kerusi Menteri Besar itu milik PKR dan berikrar untuk terus kekal dalam PR, tetapi keinginan, keghairahan dan dambaan terhadap jawatan yang sudah dipersetujui bukan milik mereka, tetap berterusan.

Setelah dua Adunnya ditemubual oleh Sultan Selangor pula, stimnya golongan ulama kepada jawatan Menteri Besar makin menjadi-jadi sedangkan belum pasti pun lagi akan dilantik. Baru temubual saja tapi kelompok inilah yang paling nyaring bersuara mahukan Pas menerima saja perlantikan itu nanti.

Ada pula yang beranggapan oleh kerana dua Adun Pas ditemubual oleh Sultan berbanding PKR hanya Azmin seorang, maka peluang Pas untuk menjadi pilihan juga tentulah lebih cerah.

Tetapi berbanding Azmin dan PKR yang sudah ke depan dengan menggerakkan kompromi, Pas nampaknya tidak melakukan persiapan apa-apa jika benar wakilnya nanti dipilih oleh Sultan. Pas, terutama golongan ulama hanya riuh mahukan jawatan itu tetapi bagaimana untuk menukar sokongan minoriti kepada majoriti serta mengelakkan jadi kerajaan sementara saja, masih kabur lagi. - SH 20/09/2014.

Friday 19 September 2014

Muhyiddin Sudah Mula Senada Dengan Mahathir


Gerakan menekan kepimpinan Najib Razak nampaknya makin hari makin ketara. Setelah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menarik balik sokongannya dan diikuti dengan luahan kebimbangannya bahawa BN akan tewas dalam pilihanraya umum akan datang, kini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula meluahkan kebimbangan yang hampir sama.

Dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO di pejabatnya beberapa hari lalu, Mahathir secara berterus-terang menyatakan kebimbangan UMNO dan BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang jika terus dipimpin oleh Najib. Ini berikutan menurut beliau, tiada perubahan dalam kepimpinan negara sekarang ini meskipun menerima keputusan paling buruk dalam pilihanraya umum lalu.

Jika sebelum ini, beberapa teguran Mahathir ada yang cuba disanggah dan ada pula yang dibiarkan berlalu begitu saja, tetapi kini kebimbangan bekas Perdana Menteri selama 22 itu mulai mendapat sambutan daripada Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri.

Kalau Mahathir bimbang dengan kekalahan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin oleh Najib, Muhyiddin pula ketika merasmikan merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Putrajaya semalam, melahirkan kegusarannya mengenai kemungkinan undi popular yang diterima BN akan terus merosot dah sekaligus membuatkan BN gagal terus memerintah negara ini.

Sambil mengambil contoh kekalahan BN di Selangor yang tidak diduga serta penambahan jumlah kerusi pembangkang di Johor, Muhyiddin juga membangkitkan mengenai undi popular BN yang hanya 48 peratus walaupun memenangi 133 kerusi berbanding pembangkang yang memperolehi 52 peratus melalui 89 kerusi.

Apa yang menarik, hujah undi popular ini adalah hujah PR untuk meyakinkan sokongan yang mereka terima, manakala UMNO tidak mengiktirafnya berikutan sistem pilihanraya kita adalah berdasarkan undi majoriti melalui kerusi-kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Mengapakah tiba-tiba saja Muhyiddin menggunakan hujah undi popular itu? Adakah ia semata-mata untuk menunjukkan kepimpinan Najib yang semakin merosot dari segi sokongan rakyat?

Tidak dinafikan bahawa jika diperhalusi kedua-kedua kenyataan Mahathir dan Muhyiddin itu menjurus kepada sasaran yang sama iaitu kepimpinan Najib yang dianggap lemah, tiada perubahan serta memungkinkan UMNO dan BN tewas dalam PRU 14 nanti.

Apakah ini merupakan petanda awal bermulanya gerakan untuk menjatuhkan Najib sebagaimana yang pernah berlaku kepada Abdullah Badawi sebelum ini? Dan kebimbangan mengenai kalahnya UMNO dan BN dalam PRU 14 nampaknya telah dijadikan umpan untuk menarik lebih perhatian dalam UMNO sendiri terhadap usaha itu.

Mahathir pula hari ini meneruskan lagi tekadnya untuk kekal memberi teguran dengan alasan bahawa kerajaan wajar dkritik sekiranya dasar yang diamalkannya tidak memberi manfaat kepada negara.

Mahathir juga mengakui bahawa beliau adakalanya boleh bertindak "jahat" tetapi kerapkali tindakan itu akan menghasilkan sesuatu yang baik akhirnya.

Tidak lain ini menunjukkan satu signal bahawa teguran dan kritikannya yang dianggap sebagai perbuatan tidak baik atau jahat oleh sesetengah pihak daripada seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri sebelum ini adalah semata-mata untuk membawa kebaikan kepada negara?

Melihat kepada usaha berterusan Mahathir mengkritik dan menegur kerajaan serta sudah mula pula mendapat sambutan daripada Muhyiddin, adalah dipercayai gerakan ini akan berterusan dan meningkat daripada semasa ke semasa. Beberapa pemimpin dan kelompok yang ada kaitan ddngan UMNO dan kerajaan juga diyakini akan turut serta tidak lama lagi.

Percayalah, sekarang ini kedudukan Najib tidak lagi seselesa dulu. Jika dulu hanya pembangkang dan NGO pro PR saja mengasaknya tetapi mulai sekarang asakan daripada dalam UMNO dan kerajaan juga akan turut meningkat seiring dengan perjalanan masa.

Selepas ini satu demi satu pemimpin, bekas pemimpin atau kumpulan tertentu yang ada kaitan dengan UMNO dan kerajaan akan muncul bukan saja untuk menyokong Mahathir tetapi juga mengkritik Najib.

Semuanya kerana Najib didapati tidak berubah dan terus degil tidak mahu berubah. - SH 19/09/2014.

Thursday 18 September 2014

Siapa Angkat Sumpah Selasa ini - Azizah, Azmin Atau Adun Pas?


Kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor sudah hampir sampai ke penghujungnya. Sebagaimana yang dilaporkan oleh media hari ini, Istana Selangor akan mengadakan majlis angkat sumpah jawatan ketua kerajaan negeri itu pada pagi Selasa, 23 September jam 10 pagi. Kad jemputan kepada wakil-wakil rakyat, pemimpin politik, orang kenamaan dan sebagainya sudah pun mula diedarkan.

Serentak itu, teka-teki mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu bagi menggantikan Khalid Ibrahim turut menjadi perbualan ketika ini. Di media sosial pula ketika ini sarat dengan pelbagai jangkaan dan tekaan mengenai siapa yang bakal dipilih oleh Sultan Selangor untuk mengetuai kerajaan negeri itu.

Ada yang tetap memilih Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pilihan dan ada pula yang merasakan Azmin Ali akan dilantik. Tidak kurang juga yang meramalkan Sultan akan melantik Adun Pas sebagai Menteri Besar kali ini setelah tiada kesepakatan yang jitu mengenainya di kalangan ketiga-tiga parti dalam PR.

Adakah pilihan Sultan Selangor nanti ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sudah mendapat sokongan majoriti 30 Adun? Atau mungkinkah Azmin Ali atau lain-lain Adun daripada PKR?

Mungkinkah juga Sultan Selangor akan melantik mana-mana Adun Pas, terutamanya Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad yang dicalonkan oleh Haji Hadi Awang sebelum ini?

Dalam masa yang sama, oleh kerana seiring dengan pengumuman tarikh majlis angkat sumpah ini terdapat pula teguran daripada Istana Selangor terhadap Anwar Ibrahim mengenai pencalonan hanya satu nama yang dianggap tidak tepat dan mengelirukan, ramai pula beranggapan ianya sebagai signal bahawa Dr Wan Azizah bukanlah pilihan untuk mengangkat sumpah Selasa ini.

Teguran terhadap Anwar itu adalah tanda Sultan Selangor tidak memberi perkenan terhadap pencalonan Dr Wan Azizah, demikian tafsiran ramai pemerhati politik sama ada yang gemar melayan sembang di coffee house hotel, di kedai-kedai mamak mahupun sekadar di alam maya Facebook dan Twitter.

Jika benar Dr Wan Azizah bukan pilihan Sultan, nama yang paling hampir tentulah Azmin Ali. Ini kerana Dr Wan Azizah Presiden PKR, Azmin pula timbalannya. Walaupun beliau sebelum ini menolak pencalonan untuk jawatan itu, tetapi jika Sultan memilihnya, tentulah mustahil Azmin akan menolak. Apa yang ditolaknya selama ini hanyalah pencalonan parti, bukannya pemilihan oleh Istana Selangor.

Bersama Azmin, nama lain yang turut disebut sebagai pengganti Khalid ialah Dr Idris Ahmad, Nik Nazmi dan Yaakob Sapari.

Selain wakil daripada PKR, nama Adun daripada Pas juga turut disebut-sebut akan dilantik tetapi kebarangkaliannya lebih tinggi jawatan ini kekal diserahkan kepada PKR. Istana juga tentunya sedia maklum bahawa semua parti dalam PR telah pun menyatakan secara jelas bahawa jawatan Menteri Besar adalah milik PKR.

Melantik Adun Pas yang hanya mempunyai sokongan 13 Adun lebih memungkinkan berlakunya kemelut yang berpanjangan, bahkan tidak mustahil berlarutan sehingga berlakunya undi tidak percaya dalam DUN nanti. PKR dan DAP yang telah jelas mempunyai blok 30 Adun mustahil akan berdiam diri.

Lagi pula, jika Adun PKR juga yang dilantik sebagai Menteri Besar, kemelut yang sudah lama berlarutan ini lebih mudah didamaikan. Dr Wan Azizah yang tidak dipilih lebih mudah untuk dipujuk dan disejukkan hatinya jika yang dipilih itu daripada PKR juga, tak kiralah sama ada Azmin, Dr Idris atau sesiapa saja.

Namun demikian, tidak mustahil juga sebenarnya Sultan Selangor akan bertindak memilih Dr Wan Azizah yang sudah mempunyai sokongan majoriti itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Jika ini dilakukan, ia pastilah lebih bertepatan dengan kehendak undang-undang dan perlembagaan yang mengatakan sokongan majoriti sebagai asasnya.

Mungkin juga teguran Istana Selangor terhadap Anwar itu sekadar peringatan semata-mata dan tidak menjejaskan kedudukan Dr Wan Azizah yang sudah ada sokongan majoriti. Lagi pun, Anwar juga sudah meminta maaf sekali lagi kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya itu. Jika itu yang berlaku, suatu sejarah baru akan tercipta iaitu buat pertama kalinya seorang wanita dilantik sebagai ketua kerajaan negeri Selangor.

Apa pun, bersabarlah menunggu detik yang ditunggu ini dan Adun-Adun yang disebut-sebut namanya ini janganlah ssmpai ada yang tak lena tidur dan hilang selera makan menanti ketibaan Selasa ini. - SH 18/09/2014.

Wednesday 17 September 2014

Mahathir, Pak Lah Bertembung Semula?


Ketika menyerahkan tampuk kuasanya kepada Najib Razak pada 2009, apabila ditanya perancangannya selepas bersara, Abdullah Badawi atau Pak Lah sambil ketawa ada menyebut, "yang pasti saya tidak akan membuka blog." Jawapannya pada waktu itu jelas menyindir Mahathir Mohamad yang aktif menulis di blog untuk memberi pandangan mengkritik mengenai politik negara dan isu semasa sebaik bersara.

Pak Lah pada waktu itu berpendapat apabila beliau telah bersara dan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, beliau tidak mahu lagi mencampuri urusan pentadbiran parti dan juga kerajaan.

Namun janji Pak Lah untuk tidak membuka blog nyata tidak bertahan lama apabila mula 16 September 2014, sempena sambutan Hari Malaysia, bekas Perdana Menteri itu mengumumkan beliau kini sudah mempunyai blog sendiri "Pak Lah" dengan artikel pertamnya bertajuk "Erti Kemerdekaan dan Perpaduan".

Janjinya untuk tidak membuka blog hanya bertahan tidak sampai enam tahun.

Apa yang menariknya ialah kemunculan blog Pak Lah ini hanya tidak sampai sebulan selepas Mahathir mengumumkan beliau kini menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri, Najib Razak serta diikuti dengan tindakan menegur apa-apa yang dirasakannya tidak betul mengenai pengurusan negara.

Mahathir berpendapat, tindakannya menegur bukanlah kerana tidak sayangkan pemimpin tetapi kerana lebih sayangkan bangsa dan negara serta merasakan pemimpin tidak akan menyedari kesalahan yang dilakukannya melainkan ada teguran dilakukan.

Artikel pertama dalam tulisan Pak Lah itu, walaupun berkenaan kemerdekaan dan perpaduan tetapi beliau seperti cuba membakar api persengketaan semula dengan Mahathir apabila turut membetulkan budaya menegur terhadap pemimpin. Bagi Pak Lah, mana-mana pemimpin yang melakukan kesalahan wajar ditegur secara berhemah dan bukannya sehingga menjejaskan keseluruhan pentadbirannya.

"Kalau ada kesilapan, berilah teguran dan nasihat jika perlu, tetapi amalan membakar kampung kerana marah kepada penghulu bukanlah satu perbuatan yang membawa menfaat. Kalau pun ada rasa kurang puas hati, luahkanlah secara aman dan berhemah mengikut amalan demokrasi dan adat resam orang timur," kata Pak Lah lagi dalam tulisannya itu.

Adalah jelas bahawa intipati tulisan Pak Lah mengenai budaya menegur ditujukan secara langsung tulisan blog Chedet yang bertajuk "Menegur" yang ditulis pada 18 Ogos lalu yang menjadikan Najib pula mangsanya serangannya melalui pelbagai teguran yang mula bertali arus sejak kebelakangan ini.

Sebagai pemimpin yang pernah dimangsakan oleh Mahathir sehingga BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 dan kemudian terpaksa berundur pada 2009, Pak Lah sekarang ini secara tidak langsung menunjukkan kecenderungan untuk menjadi penyokong dan pendokong kepimpinnan Najib dan tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil Mahathir.

Jika ketika mengatakan tidak mahu membuka blog dulu, Pak Lah cuba menyindir Mahathir tetapi setelah mempunya blog sendiri, tulisan pertamanya juga sekali lagi menyindir bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini.

Mungkinkah ini petanda awal penarikan balik sokongan Mahathir kepada Najib akan melibatkan juga tercetusnya persengketaan semula beliau dengan Pak Lah?

Apakah tindakan Pak Lah berubah pendirian dengan mempunyai blog sendiri ini bukan sekadar untuk menunjukkan sokongannya kepada Najib tetapi juga untuk mengambil alih tempat Mahathir yang sebelum ini merupakan penyokong paling kuat Perdana Menteri?

Sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, Mahathir telah memunculkan dirinya sebagai penyokong paling utama. Di hari pertama Najib bergelar Perdana Menteri, Mahathir telah berkunjung ke kediaman Najib untuk menyerahkan borang kemasukannya semula ke dalam UMNO setelah meninggalkannya kira-kira setahun sebelum itu untuk memberi lebih tekanan kepada kepimpinan Pak Lah.

Malah dalam pilihanraya umum 2013 lalu, Mahathir juga kuat berkempen untuk Najib dan BN. Meskipun BN masih menang dengan kelebihan 23 kerusi Parlimen berbanding PR, pendapat umum juga menyatakan jika tanpa sokongan dan kerja kuat Mahathir dan beberapa bekas menteri seperti Daim Zainuddin dan sebagainya, BN mungkin akan menerima keputusan lebih buruk atau mungkin sudah kehilangan kuasanya.

Selepas berdiam diri selama hampir enam tahun, kemunculan Pak Lah dengan blognya sendiri setelah tidak berapa lama Mahathir tidak lagi menyokong Najib dan serentak dengannya juga menyelitkan unsur-unsur sindiran kepada Mahathir, adalah jelas bekas Perdana Menteri daripada tahun 2003 hingga 2009 itu ingin menempatkan dirinya sebagai pendamping Najib paling rapat kepada Najib jika serangan dan teguran daripada Mahathir terus bertambah hebat selepas ini.

Dalam masa yang sama, pastinya juga tindakan terbaru Pak Lah ini bertujuan mengukuhkan lagi kedudukan menantunya, Khairy Jamaluddin disisi Najib. - SH 17/09/2014)

Tuesday 16 September 2014

Dua Presiden Bernasib Sama


Presiden UMNO, Najib Razak dan Presiden Pas, Haji Hadi Awang sedang meniti detik-detik yang mencemaskan ketika ini. Kedua-duanya ingin diundurkan kerana dianggap tidak relevan lagi meneruskan perjuangan masa depan. Jika sikap liberal dan toleransi Najib seperti dalam isu ISA, Ordinan Darurat dan Akta Hasutan menjadi antara punca penolakannya, sikap tiada pendirian Haji Hadi pula menjadi asas kepimpinannya tidak lagi diperlukan.

Najib Razak yang kini kian terbelenggu dengan isu Akta Hasutan yang membuatnya terperangkap antara menunaikan janji dengan rakyat dengan kehendak majoriti dalam UMNO yang mahu akta itu dikekalkan, sedang diasak oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Sejak mengumumkan penarikan balik sokongannya terhadap Najib dan berjanji akan terus memberikan teguran biar pun akhirnya tinggal keseorangan, Mahathir terlihat benar-benar mengotakan kata-katanya.

Beliau kini semakin agresif menyuarakan pandangan, lebih kerap muncul di tempat awam dan mulai rajin menemui pihak-pihak tertentu seperti NGO dan seumpamanya.

Biarpun dalam setiap tegurannya, Mahathir menafikan ianya berupa tindakan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, tetapi sasaran ke arah itu nampaknya semakin jelas kelihatan. Selain semakin kerap menyebut perkataan perletakan jawatan Najib, Mahathir sudah mulai terbuka menyatakan kebimbangannya mengenai kemungkinan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang jika Najib terus kekal di singgahsana Seri Perdana.

Dalam pertemuan dengan sekumpulan NGO semalam, Mahathir dikhabarkan memberitahu secara terus-terang mengenai kemungkinan BN akan kalah jika parti dan kerajaan terus dipimpin oleh Najib yang dililiti dengan pelbagai kelemahan, kesilapan, isu serta masalah yang kian berlarutan.

Di ketika Mahathir mengatakan penarikan balik sokongannya bukan bertujuan memaksa Najib meletakkan jawatan dan kemudian menyatakan pula kebimbangannya mengenai kekalahan BN kepada sekumpulan NGO, sudah tentu matlamatnya ialah penggantian Najib. Mahathir kini bukan lagi mahukan Najib berubah dan hanya menunggu masa saja berterus-terang untuk menyingkir dan mengganti Najib.

Bagaimana beliau bercakap mengenai kekalahan BN dan kekerapan menemui NGO ini, ia tidak ubah seperti apa yang dilakukannya terhadap Abdullah Badawi selepas pilihanraya 2008 dulu. Mahathir kini dipercayai bukan saja akan terus bercakap mengenai kelemahan Najib dan kekalahan BN secara terbuka, tetapi dengan cara menemui sebanyak mungkin NGO, kumpulan atau individu yang berpengaruh dalam masyarakat.

Dengan cara demikian, suara hatinya akan lebih tersebar luas dan mudah dipercayai. Langkah Mahathir kini sudah bermula, ia akan terus memuncak dan hanya akan berakhir setelah Najib benar-benar disingkirkan. Percayalah...

Presiden Pas, Haji Hadi Awang juga menerima nasib yang hampir sama berikutan kemelut Menteri Besar Selangor yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu. Kemelut itu yang pada mulanya hanya berkisar tentang pendirian Pas yang sering berubah-ubah, kini sudah semakin jelas berubah kepada perlunya Haji Hadi diganti pula.

Pendedahan terbuka beberapa AJK Pas mengenai pendirian parti dan apa yang berlaku dalam mesyuarat, penubuhan PasMa, serangan terhadap ulama, saranan Timbalan Presiden Pas sendiri, Mohamad Sabu agar golongan itu menaik taraf diri bagi dilihat relevan dengan perjuangan semasa Pas, tidak lain adalah tanda-tanda awal perlunya teraju parti diganti baru.

Serentak dengan pendedahan AJK Pas, Nasharuddin Tantawi mengenai suara-suara dalam PasMa yang mahu menyingkirkan Haji Hadi, Pas di dua negeri pula sudah pun menghalang ahlinya terlibat dalam apa juga perkara berkaitan PasMa yang jelas memperlihatkan kebimbangan ke arah itu.

Pendedahan dan larangan itu menunjukkan sudah adanya perpecahan dan kebimbangan terhadap usaha-usaha menyingkirkan Haji Hadi. Di sebalik kelemahan Haji Hadi kian didedahkan dan kepimpinan ulama dipertikaikan, Pas sekarang seolah-olah sudah terbelah dua antara puak Taliban dan Erdogan. Sementara golongan yang mahu mempertahankan Haji Hadi mula bersuara, kebimbangan mengenai tingkah laku Haji yang seolah-olah tidak sukakan kemenangan PR dalam pilihanraya akan datang sebenarnya sudah pun lama berkembang dalam Pas.

Sikap dan pendirian Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor dan membiarkan masalah calon bertindih di beberapa kawasan dan disusuli dengan kenyataan mengenai pil kuda sebelum pilihanraya lalu, adalah antara perkara-perkara yang dibimbangi akan diulanginya semula menjelang pilihanraya akan datang.

Jika itu berlaku lagi, sebagaimana tindak-tanduk Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor, bukan saja Pas bergelora tetapi juga menyebabkan PR retak dan seterusnya membantutnya harapan untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya. Bagi memastikan Pas bersatu hati dan kekal dengan PR, satu-satunya jalan yang dianggap munasabah ialah menyingkirkan Haji Hadi.

Jika Najib ingin disingkirkan kerana bimbang BN kepimpinannya akan membawa kekalahan, Haji Haji pula ingin dikeluarkan kerana beliau dianggap penghalang kepada kemenangan. Dalam kedua-dua parti, walaupun UMNO dan Pas saling berebut kuasa, namun kedua-dua penerajunya menjadi semakin tidak diperlukan lagi. (SH 16/09/2014)

Saturday 13 September 2014

Walaupun Perletakan Jawatan Sudah Diterima Sultan, Haji Hadi Masih Mahu Khalid Sebagai MB Selangor


Presiden Pas, Haji Hadi Awang terus bertindak membingungkan rakan-rakan dalam PR berhubung kemelut Menteri Besar Selangor apabila menyatakan mahu Khalid Ibrahim terus dikekallan di jawatan itu sebagai jalan keluar terbaik bagi isu yang sudah lama berlarutan ini.

Kenyataan yang dilafazkanya kepada pemimpin muda PR yang mengunjunginya itu turut menyebut bahawa Haji Hadi bersedia untuk memantau tugas Khalid selepas ini.

Ketua AMK PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang hadir dalam pertemuan dengan Haji Hadi bersama Ketua DAPSY, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat, jelas resah dengan pendirian terbaru Presiden Pas itu kerana ia sekali lagi bertentangan dengan pendirian rasmi PR berhubung isu Menteri Besar Selangor ini.

Pendirian rasmi PR ialah bersetuju Khalid digantikan dan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan secara rasmi pula sudah pun membuktikan sokongan majoriti 30 Adun yang dimilikinya.

Sebenarnya, pendirian terbaru Haji Haji ini bukan saja bertentangan dengan PR, tetapi juga jelas tunggang-terbalik dengan pendirian Pas sendiri sebelum ini. Pendirian mahu Khalid kekal ini adalah pendirian awal Haji Haji yang dinyatakannya sebelum Hari Raya lalu, tetapi apabila Khalid kemudiannya dipecat daripada PKR, Pas telah setuju menolak Khalid serta mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai penggantinya. Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pas pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun apabila pendirian mencalonkan dua nama ini tidak dipersetujui oleh PR, Pas dalam mesyuaratnya pada 25 Ogos membuat pendirian menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Sultan Selangor untuk memilih pengganti Khalid.

Apabila Sultan Selangor meminta setiap parti mengemukakan lebih daripada dua nama, sementara PKR dan DAP kekal dengan pencalonan tunggal Dr Wan Azizah, Pas sekali lagi memhuat keputusan berbeza. Pada 2 September, melalui pencalonan yang diputuskan secara sendirian oleh Haji Haji, Pas telah menghantar tiga nama daripad kalangan Adunnya sendiri untuk mengganti Khalid iaitu Iskandar Samad, Salehan Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Kemudian sebelum tarikh tutup 3 September yang diminta oleh Sultan Selangor untuk mengemukakan nama kepada baginda, Pas sskali lagi menghantar nama iaitu senarai kedua yang mengandungi nama Dr Idris Ahmad dan Yaakob Sapari dari PKR serta Iskandar daripada Pas.

Setelah berpusing-pusing dan berbolak-balik pendiriannya, Haji Hadi nampaknya sekali lagi membuat keputusan yang berbeza. Pendiriannya mahukan Khalid kekal yang dinyatakan dalam pertemuan dengan para pemimpin muda PR sebenarnya adalah pendirian awalnya sebelum ini tetapi ianya sudah pun ditolak pada mesyuarat ahli jawatankuasa Pas pada 17 Ogos dengan alasan Menteri Besar itu sudah pun dipecat daripada PKR.

Tetapi kini, nampaknya Haji Hadi bersikap "wal hasil balik asal" dengan kembali kepada keputusan asal yang mahukan Khalid terus dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Tindakan Haji Hadi ini bukan saja terus menunjukkan Pas berbeza pendirian setiap kali membuka mulut, bahkan juga sesuatu yang jauh daripada mendatangkan hasil. Ini kerana jika diimblas kembali, Khalid sudah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai Menteri Besar serta sudah pun diperkenankan oleh Sultan Selangor, cuma ditangguhkan saja buat sementara waktu sehingga pengganti yang baru dilantik.

Apakah Haji Hadi sedar mengenai perkara ini dan kerana Sultan sudah menerima perletakan jawatan Khalidlah, maka baginda meminta dikemukakan nama atau ini bermaksud beliau mahukan Sultan Selangor menarik balik perkenan menerima perletakan jawatan Khalid pula?

Tambah menghairankan lagi, dengan mahukan Khalid dikekalkan ini, adakah ini bermakna pencalonan melalui dua senarai yang selama ini dipertahankan ssbagai haknya selaku Presiden parti itu, termasuk mencalonkan Adun Pas sendiri hanyalah main-main saja?

Lebih dari itu, mencadangkan Khalid dikekalkan juga bagaikan menyongsang arus kerana beliau adalah Adun Bebas yang hanya bersendirian serta jauh daripada memiliki majoriti sokongan.

Dalam mahu mengekalkan Khalid ini, apabila Haji Hadi menawarkan mahu memantau tugas-tugas Menteri Besar selepas ini, tentunya ramai yang bersikap sinis mengenai kelayakan dan kemampuan beliau dalam hal itu. Apakah pengetahuan ekonomi, pengurusan korporat, pentadbiran dan lain-lain yang dimilikinya sudah cukup berwibawa untuk memantau tugas Khalid pula?

Tentunya juga ada yang bertanya, bagaimanakah Haji Hadi yang hanya bertahan selama sepenggal sebagai Menteri Besar Terengganu, mampu untuk memantau dan mengawal selia pentadbiran di Selagor yang jauh lebih kompleks dan sukar?

Itu belum dikira lagi kegagalannya menyelesailan pertelingkahan di Kedah sehingga akhirnya kerajaan Pas dapat ditumbangkan oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya 2013 lalu.

Tetapi yang nyatanya, melalui pendirian terbaru ini, Haji Hadi masih jauh daripada bersikap mahu bersama-sama dengan PR menyelesaikan masalah yang pun sedia berbelit-belit ini. Setelah berpusing-pusing beberapa kali dengan pendirian dan keputusan yang berbeza-beza, tiba-tiba mahukan Khalid pula dikekalkan sedangkan tuan punya tubuh sudah menyerahkan perletakan jawatan dan diperkenankan oleh Sultan Selangor, persoalan yang bermain-main di fikiran ramai orang ialah apakah sebenarnya yang dimahukan oleh Haji Hadi dalam isu ini?

Itu salah, ini salah dan semua orang orang serba salah.

Hanya Haji Hadi dan mungkin orang-orang yang rapat dengannya saja yang tahu apa isi hatinya. (SH 13/09/2014)

Friday 12 September 2014

Lagi Kerap Mahathir Nafi, Lagi Bahaya Kedudukan Najib


Sejak Mahathir Mohamad mengumumkan beliau menarik balik sokongannya terhadap Najib Razak, sehingga ini sudah dua kali beliau menyebut mengenai perletakan jawatan Perdana Menteri tetapi kemudian menafikan tindakannya mempunyai maksud sedemikian.

Kali pertama, sehari selepas menulis di blognya mengenai pendirian terbarunya itu, Mahathir mengulas bahawa tindakannya itu bukanlah bertujuan memaksa Najib meletakkan jawatan, tetapi hanya sebagai teguran dan tidak setuju dengan beberapa polisi yang diamalkan oleh kerajaan sekarang.

Dua hari lalu pula, ketika ditanya apa yang akan dilakukannya jika masih menjadi Perdana Menteri ketika ini, Mahathir secara sinis berkata, beliau akan meletakkan jawatannya.

Berikutan jawapan spontan itu menimhulkan pelbagai spekulasi dan tafsiran, Mahathir semalam sekali lagi membuat penjelasan bahawa beliau tidak pernah meminta Perdana Menteri meletakkan jawatannya.

Sebaliknya, menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau hanya memberi contoh dirinya bahawa beliau akan meletakkan jawatan jika dilantik sekali lagi memegang jawatan itu.

"Jika mereka melantik saya semula sebagai Perdana Menteri, saya akan letak jawatan kerana saya sudah melepasi masa...saya dah tua," tambahnya lagi.

Kenapakah dalam beliau mahu menegur dan menalik balik sokongannya terhadap Najib itu, Mahathir suka menyebut perkataan "perletakan jawatan" yang dikaitkan dengan Perdana Menteri? Walaupun dalam bentuk penafian, mengapakah hanya dalam tempoh tidak sampai sebulan, sampai dua kali ianya disebut?

Dalam jawapan spontan mengenai apa yang akan dilakukannya jika masih menjadi Perdana Menteri, Mahathir misalnya masih boleh memberi jawapan lain seperti mengembalikan ISA, mengekalkan Akta Hasutan dan sebagainya tetapi hairannnya perkataan "meletakkan jawatan" juga yang dipilihnya.

Apakah semua itu mempunyai makna yang tersirat?

Jika diimbas ketika Mahathir berkrisis dengan Musa Hitam dahulu, beliau juga beberapa kali menafikan hubungan mereka renggang dan mempunyai masalah. Dalam suatu majlis yang diadakan di Johor pula, kedua-duanya berpelukan sebagai tanda hubungan yang sentiasa akrab dan tiada masalah.

Namun akhirnya krisis dan masalah antara mereka terbukti apabila Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan berlarutan sehingga berlakunya pertandingan dalam UMNO pada tahun 1987 yang membawa kepada pengharaman UMNO pada 1988.

Begitu juga ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan setiap kali khabar angin mengenai perletakan jawatan orang nombor dua dalam parti dan kerajaan itu menjadi bualan, Mahathir dengan pantas akan menafikannya.

Selama beberapa tahun, entah berapa kali penafian mengenainya telah dibuat, bahkan sehari sebelum Anwar dipecat pada 2 September 1998, Mahathir masih lagi menafikan desas-desus mengenai pengunduran itu.

Tetapi akhirnya, Anwar bukan saja dipaksa mengundurkan diri, malah kerana keengganannya berbuat demikian, beliau terus dipecat daripada kerajaan dan juga parti.

Oleh itu, perkara yang kerapkali dinafikan oleh Mahathir, lebih mungkin menjadi kenyataan sebenarnya. Penafian hanyalah bertujuan melekakan orang lain dan memudahkannya menyusun strategi. Lebih-lebih lagi jika beliau kerap mengulang-ulang perkara tersebut.

Dalam kes yang melibatkan perletakan jawatan Perdana Menteri yang sudah dua kali disebut dan kemudian dinafikan oleh Mahathir, Najib sebenarnya belum boleh berasa lega lagi. Walaupun keadaan Mahathir kini berbeza dengan ketika beliau bermasalah dengan Musa Hitam dan Anwar Ibrahim dahulu, hakikat yang harus disedari ialah beliau masih lagi berpengaruh dalam UMNO dan juga di kalangan rakyat.

Ketika tanpa kuasa, Mahathir telah membuktikan beliau berjaya menyingkirkan Abdullah Badawi daripada takhta kuasanya.

Sementara lebih separuh sentimen ahli UMNO masih memihak kepadanya, majoriti rakyat pula tetap menyanjung ketegasan dan keupayaannya membangunkan negara ini. Tambahan pula kedua-dua pengganti selepasnya iaitu Abdullah Badawi dan Najib yang dikira masih jauh dibandingkan dengannya, lantas menjadikan Mahathir terus disanjung dan dirindui.

Dengan mengekalkan sikap tidak menyokong lagi Najib, Mahathir juga tidak mungkin sekadar berdiam diri dan membiarkan segala-galanya dalam negara ini berjalan seperti biasa. Mahathir juga mustahil membiarkan saja Najib bertindak sesuka hati selepas sebahagian sejarah pembangunan negara ini dicetuskan melalui idea dan pemikirannya.

Najib mungkin berasa lega setiap kali Mahathir menafikan apa yang dilakukannya bertujuan memaksanya meletakkan jawatan, tetapi sejarah politiknya membuktikan lagi banyak penafian, lagi hampir ia menuju kenyataan. (SH 12/09/2014)

Thursday 11 September 2014

Talkin Untuk Najib


Di sebalik kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor yang masih berlarutan sehingga kini, ramai yang merasakan bahawa Perdana Menteri, Najib Razak agak sedikit terselamat daripada sebarang kritikan, kecaman dan serangan. Untuk beberapa ketika, memang terlihat Najib agak kurang menjadi sasaran kerana tumpuan kritikan lebih terarah kepada Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, PKR dan Pas.

Anwar dijadikan bahan kritikan kerana dianggap mula-mula mencetuskan pertukaran Khalid Ibrahim yang kemudian disusuli dengan ketegasan untuk mencalonkan satu nama saja iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail, berbalah dengan Pas dan sehinggalah kepada terzahirkan perasaan dukacita Sultan Selangor kepada keengganan mematuhi titah baginda.

Haji Hadi pula menjadi sasaran kritikan berikutan pendirian Pas yang berubah-ubah setiap kali bermesyuarat untuk memutuskan siapa yang harus dicalonkan oleh parti itu bagi menggantikan Khalid, sehinggalah akhirnya Presiden Pas itu mencalonkan nama pengganti Khalid mengikut kehendaknya sendiri sahaja.

Berpanjangannya isu Menteri Besar ini secara tidak langsung menjadikan Najib agak kurang menjadi sasaran kerana isu Anwar dan Haji Hadi lebih mempunyai nilai berita dan mahu diketahui oleh orangramai berbanding hal-hal melibatkan Perdana Menteri, isteri atau kemewahannya.

Sebab itu, apabila Najib tetap bertahan untuk memansuhkan Akta Hasutan meskipun ditentang oleh majoriti ahli UMNO dan UMNO bahagian-bahagian sehingga Muhyiddin Yassin kemudiannya mengatakan pendirian kerajaan sebenarnya masih belum muktamad sama ada mahu menghapus atau mengekalkan akta itu, ia tidak menjadi ombak tsunami dalam politik UMNO walaupun jelas kelihatan wujudnya pertentangan antara kedua pemimpin itu.

Isu Rosmah yang setiap hari menghiasi dada akhbar dan menerima pengikhtirafan di kampung asalnya di Minangkabau juga tidak lagi menarik perhatian seperti dulu.

Semuanya adalah kerana isu berkaitan Menteri Besar Selangor, Anwar dan Haji Hadi lebih besar lagi nilai beritanya.

Tetapi bagi bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang barangkali sudah lama menyimpan perasaan tidak puas hati dan "geram" terhadap Najib, di ketika inilah juga beliau cuba menyelit untuk "membelasah" Perdana Menteri. Bermula dengan tulisan di blognya yang mengkritik beberapa dasar Najib seperti penghapusan ISA, Ordinan Darurat, pemberian tunai dan sebagainya serta mengumumkan menarik balik sokongannya, Mahathir nampaknya bukan sekadar acah-acah dalam tindakannya ini.

Meskipun sebelum ini beliau menyatakan teguran dan penarikan sokongan itu bukan bertujuan untuk memaksa Najib meletakkan jawatan, sebaliknya menjurus ke arah menuntut perubahan dalam banyak tindakan dan keputusannya sebagai Perdana Menteri, tetapi kini sindirin ke arah perletakan jawatan Najib sudah mulai kedengaran.

Dalam satu majlis semalam, apabila ditanya apakah yang akan dilakukannya sekarang jika beliau masih Perdana Menteri, secara spontan tetapi penuh makna Mahathir menjawab, "saya akan meletakkan jawatan."

Walaupun jawapan itu tidak menujukan secara langsung meminta Najib meletakkan jawatan, tetapi dalam budaya Melayu yang terkenal dengan kiasan, sindiran dan ungkapan "pukul anak sindir menantu", adalah jelas bahawa ia adalah bunga-bunga ke arah perletakan jawatan Najib. Semua orang Melayu juga memahami bahawa ungkapan Mahathir ditujukan secara khusus kepada Najib dan mahukannya berundur dengan segera.

Apatah lagi selepas itu, Mahathir juga mengkritik 1MDB, sebuah badan pelaburan yang ditubuhkan Najib sejak menjadi Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai dana untuk berlagak sebagai orang kaya sedangkan ianya menambahkan lagi hutang negara. 1MDB adalah badan pelaburan yang menjadi ikon Najib dalam menonjolkan dirinya dalam bidang ekonomi dengan melabur dalam pelbagai bidang serta membawa masuk pelaburan daripada luar, terutamanya daripada Pak Arab yang kaya-raya.

Hari ini pula, dalam tindakannya yang terus tidak senada dengan Najib dan UMNO, Mahathir seolah-olah memberi suntikan semangat kepada musuh politiknya, Anwar Ibrahim apabila menyatakan selanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengemukakan lebih daripada satu nama kepada Sultan untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar di di mana-mana negeri.

Sepanjang zaman saya, saya hanya serah satu nama saja. Saya tidak pernah bermasalah dengan mana-mana Sultan, tegas Mahathir lagi.

Kenyataan Mahathir ini terang-terang merupakan pukulan kepada UMNO yang berlumba-lumba menyerang Anwar sebelum ini dengan menuduhnya biadap kerana tetap berkeras dengan mencalonkan satu nama meskipun pihak istana meminta lebih daripara dua nama. Dalam isu ini, Najib juga turut menyerang Anwar dan PKR dengan tuduhan tidak memahami yang tersurat dan tersirat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Tetapi dalam Mahathir mula melihat Najib sebagai Perdana Menteri yang banyak melakukan kesilapan, beliau sebaliknya secara tersirat mengakui bahawa tindakan Anwar dalam kemelut di Selangor ini adalah betul dan menjadi amalan selama ini.

Dengan kritikan dan serangan yang semakin kerap dilontarkan oleh Mahathir kepada Najib, apa yang pastinya belum ternampak ada titik nokhtahnya dalam perkara ini, bahkan lebih mungkin menjadi lebih tersusun lagi selepas ini. Mahathir dipercayai akan terus bersuara, mengkritik dan menyerang Najib.

Melihat kepada sejarah masa lalu dan rekod permusuhannya dengan ramai orang, ditambah dengan keadaan kesihatannya yang semakin baik akhir-akhir ini, apa dilakukan oleh Mahathir ini tidak lain adalah bacaan talkin untuk kematian karier politik Najib.

Mahathir pula, hanya kematian yang sebenar mampu menghentikan apa yang sudah dimulakannya ini. (SH 11/09/2014)

Wednesday 10 September 2014

Dua Adun Pas Adalah HERO Sebenarnya


Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menghangatkan lagi suhu politik mengenai kemelut di Selangor yang sudah berlarutan sekian lama dengan mendakwa pengkhianat sebenar dalam isu ini ialah dua Adun Pas, Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang bertindak memberi sokongan terbuka kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, pengkhianatan kedua-dua Adun itu telah memulakan kerosakan kepada kestabilan dalam Pas.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyifatkan tindakan PKR menerima pengkhianatan dua Adun berkenaan serta mengiktiraf sokongan yang diberikan oleh kedua mereka adalah juga pengkhianatan PKR kepada semangat setiakawan dengan Pas.

Sambil menyokong tindakan dan keputusan yang dilakukan oleh Haji Hadi Awang dalam kemelut Menteri Besar Selangor ini, Nik Abduh mengatakan bahawa segala yang dilakukan oleh Presiden Pas itu adalah selepas pengkhianatan dilakukan kepada Pas terlebih dahulu.

Soalnya benarkah Shaari dan Hasnul itu pengkhianat dan apakah yang berlaku kepada politik Selangor ketika ini jika tanpa adanya keberanian kedua-dua Adun berkenaan?

Pertamanya, pendirian kedua-dua Adun berkenaan menyatakan sokongan secara terbuka dsn juga melalui akaun bersumpah kepada Dr Wan Azizah adalah kerana Pas ketika itu begitu bertangguh-tangguh dan berdolak-dalik dalam keputusannya. Tarikh mesyuarat juga ditunda-tunda seperti ada muslihat lain.

Dengan mempunyai 15 Adun dan merasakan cukup kuat untuk menjadi penentu dalam kemelut yang sedang berlaku, Pas jelas tidak mempunya komitmen yang jitu sebagai rakan gabungan dalam PR. Oleh kerana sudah mengakui kerusi Menteri Besar itu adalah milik PKR, Pas sepatutnya mengambil sikap seperti DAP.

Selain menangguh-nangguh tarikh mesyuaratnya dan Haji Hadi pula mengeluarkan kenyataan lebih awal mempertahankan Khalid Ibrahim sebalum bermesyuarat, perkara kedua ialah kemudian didapati juga Pas cuba menawarkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baru melalui pembentukan kerajaan campuran dengan UMNO.

Soal Azmin menolak tawaran itu dan bagaimana ianya terdedah sehingga menimbulkan pertikaman lidah dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Pas bukanlah isu penting tetapi yang jauh lebih penting ialah bagaimanakah Pas dalam keadaan masih bersama dalam PR begitu tergamak menawarkan jawatan itu kepada Azmin dan seolah-olah sudah ada rundingan yang lain dengan UMNO?

Walaupun isu pembentukan kerajaan campuran dengan UMNO itu dinafikan oleh pihak Haji Hadi dan meminta portal Malaysian Insider meminta maaf serta menarik balik penyiaran berita mengenainya, tetapi portal itu tetap mempertahankan laporannya.

Jika benar rundingan dengan UMNO dan tawaran kepada Azmin itu tidak wujud, sudah tentulah Haji Hadi sepatutnya menyaman Malaysian Insider sekarang ini? Tetapi kenapa selepas Malaysian Insider mempertahankan laporannya sebagai benar, enggan memohon maaf dan menarik balik, pihak Haji Hadi terus berdiam diri?

Isu kerajaan campuran UMNO + Pas + Khalid Ibrahim serta percubaan menarik seorang dua Adun PKR hanya terhenti setelah Shaari dan Hasnul menyatakan sokongan terbuka kepada Dr Wan Azizah.

Melalui tindakan Shaari dan Hasnul itu juga, Khalid Ibrahim yang sebelumnya gah dengan kuasa memecat beberapa Exco, mulai jadi kendur dan akhirnya sedia menghantar surat perletakan jawatan kepada Sultan kerana menyedari sudah kehilangan majoriti.

Bayangkan betapa berleluasanya penggunaan kuasa oleh Khalid dan berapa ramai juga bakal kena kena pecat lagi jika tiada keberanian Shaari dan Hasnul itu?

Tidak mustahil juga, jika Shaari dan Hasnul masih wala dengan pimpinan Pas, mungkin rundingan untuk membentuk kerajaan perpaduan terus berjalan, bahkan tidak mustahil ianya sudah pun terbentuk sekarang ini.

Tetapi ternyata Shaari dan Hasnul sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan masa depan dan perjuangan Pas yang sudah sekian lama diperjuangkan.

Kiranya kerajaan perpaduan Pas dan UMNO terbentuk di Selangor, ia juga adalah umpama Presiden Pas itu sudah termakan sumpah dan seranahnya sendiri terhadap UMNO selama ini. Haji Hadi selama ini begitu gigih menyerang dan mengecam UMNO serta menggelarkannya dengan pelbagai gelaran seperti kafir, taghut, assabiyah, pengamal politik suku agama suku dan sebagai lagi.

Bayangkan juga bagaimanakah untuk Pas dan Haji Hadi berhadapan dengan rakyat dan penyokongnya sendiri jika akhirnya semua kata-kata perjuangan, maki hamun dan kutipan derma melalui tin milo yang kononnya atas nama perjuangan dan memerangi kemungkaran UMNO selama ini akhirnya berkesudahan dengan percantuman kedua-dua parti itu?

Tidakkah semuanya memalukan Haji Hadi akhirnya.

Di mata Nik Abduh dan mereka yang seangkatan dengannya atau di pandangan kasar, memanglah Shaari dan Hasnul seolah-olah pengkhianat tetapi mereka berdualah yang menyelamatkan air muka Pas dan mengelakkan parti itu kekal berada di landasannya sebagaimana yang dimahukan oleh majoriti ahli dan pimpinannya di pelbagai peringkat.

Mereka berdualah juga yang menyelamatkan maruah Haji Hadi yang terkenalnya dengan amanatnya sebelum ini serta masih menjadi pegangan ahli dan penyokong parti itu di ceruk kampung dan kawasan pedalaman.

Kedua mereka adalah hero sebenarnya. Tanpa mereka Pas ketika ini barangkali sudah bergabung dengan UMNO dan mungkin sedang dicerca dan dihina oleh ahlinya sendiri. (SH 10/09/2014)

Tuesday 9 September 2014

Hadi Awang Kian Tersepit?


Kedudukan Haji Hadi Awang sebagai Presiden Pas tidak lagi seselesa dahulu. Beliau kini bukan saja mula dipertikaikan oleh penyokong dan pengundi parti yang tidak memegang apa-jawatan, malahan elemen yang sama sudah mulai datang daripada peringkat yang berjawatan juga.

Semuanya gara-gara kegagalannya memimpin hala tuju parti itu dengan cara yang betul dalam menyelesaikan kemelut Menteri Besar Selangor.

Jika dalam beberapa mesyuarat AJK Pas Pusat sebelum ini, sudah ada yang berani bertegang leher dengannya mempertikaikan tindakan yang dilakukannya, terutama mempersoalkan kecenderungan untuk berbaik-baik dengan UMNO, malam tadi dalam satu forum anjuran PasMa, seorang lagi pemimpin Pas iaitu Mujahid Yusof Rawa memberi mesej yang sama mengenai Haji Hadi.

Beliau bukan saja menyanggah keinginan Pas untuk bekerjasama dengan UMNO sebagaimana yang diketahui umum merupakan cita-cita baru kumpulan yang pro Haji Hadi dalam Pas dengan mengatakan parti itu tidak ingin terkinja-kinja dengan parti pimpinan Najib Razak itu, malah juga menyatakan bahawa Presiden Pas itu tidak maksum dan boleh dikritik serta dipertikaikan keputusannya.

Walaupun Haji Hadi belum sampai disanjung hingga ke peringkat tidak boleh diusik, tetapi konsep wala iaitu patuh kepada pemimpin dalam Pas kadangkala menghampiri trend ke arah maksum juga di mana kedudukannya sebagai ulama sering disekalikan dengan jawatannya sebagai pemimpin sebuah parti politik sehingga mempertikaikan sebarang keputusannya dalam hal-hal berkaitan politik juga dianggap seolah-olah mengecam golongan pewaris Nabi.

Dalam banyak keadaan, bukan saja keputudan dan tindakan Haji Hadi yang tidak berani ditegur, diusik dan dipertikaikan, malah pihak yang cuba menegur pula seringkali dipersalahkan serta dibandingkan dengan ketinggian ilmu agama yang dimiliki oleh beliau.

Oleh sebab itu, hampir tiada kritikan dan serangan daripada dalam parti Pas sendiri terhadap kepimpinan Haji Hadi selama ini meskipun berlaku beberapa keadaan mengecewakan seperti kemelut yang pernah berlaku di Kedah sehingga akhirnya menyebabkan UMNO berjaya merampas kembali teraju kepimpinan di negeri itu.

Selain hanya baru-baru ini keberanian mempertikai dan mengkritik itu mula wujud, ia juga nampaknya mula menunjukkan arah aliran yang semakin berkembang. Hanya kerana kegagalan Haji Hadi menunjukkan kepimpinan yang meyakinkan serta seolah-olah makin condong kepada UMNO, sebuah NGO yang dinamakan PasMa turut ditubuhkan sejak 10 Ogos lalu.

Matlamat utama PasMa tidak lain ialah untuk terus memperkukuh kedudukan Pas dalam PR serta memastikan gabungan itu kekal sebagai pesaing yang berwibawa kepada BN dan menjadi alternatif kepada rakyat membuat pilihan setiap lima tahun sekali.

PasMa yang diketuai oleh bekas Exco Kedah, Pahrolrazi Mohd Zawawi adalah berniat murni bukan saja kepada semangat ahli-ahlinya di seluruh negara tetapi juga kepada sebahagian besar rakyat yang masih dahagakan perubahan. NGO itu hanya cuba mengembalikan Pas kepada perjuangannya yang sebenar serta kepada matlamat yang sudah sekian lama diperjuangkan oleh ahlinya di pelbagai peringkat.

Oleh yang demikian, jika ahli-ahli Pas masih sayangkan perjuangan parti itu untuk menumbangkan UMNO dan BN, mereka seharusnya tidak teragak-agak untuk memberi sokongan kepada PasMa ini. Hanya dengan kukuhnya PasMa, benteng untuk mempertahahkan Pas daripada terkinja-kinja, berpeluk-pelukan dan bercium mulut dengan UMNO akan turut menjadi semakin kuat.

Selain kewujudan PasMa yang secara tidak langsung merupakan pertahanan kepada citra politik Haji Hadi mahu berbaik-baik dengan UMNO, sudah wujud juga keberanian iaitu daripada Lujnah Undang-undang dan hak asasi Pas Pusat atau Luham yang mempertikaikan tindakan Presiden Pas itu secara sendirian memutuskan calon Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Luham yang merupakan salah satu biro dalam Pas menyifatkan tindakan Haji Hadi itu sebagai melanggar perlembagaan parti kerana Presiden Pas itu didakwa tidak mempunyai kuaas pemutus yang dibenarkan dalam apa juga perkara tanpa bermesyuarat dengan AJK Pas Pusat terlebih dahulu.

Tidak dinafikan bahawa semua perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini adalah bunga-bunga penolakan yang semakin ketara terhadap kepimpinan Haji Hadi dalam Pas. Jika ditambah dengan suara-suara daripada luar lingkungan arus perdana kepimpinan parti itu, termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib yang baru menyertai Pas juga tidak teragak-agak mengkritik Haji Hadi, adalah jelas perubahan kepimpinan seolah-olah mulai mendesak menjelang pemilihan pada tahun hadapan.

Dengan semakin banyak kekecohan dan kecelaruan dalam Pas digambarkan datangnya daripada tangan Haji Hadi, nyawa politik beliau seolah-olah turut semakin pendek dan tersepit. Hanya perubahan yang dapat menyelamatkan parti itu. (SH 09/09/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...