Monday 9 June 2014

LPHJ - Idea Khaled Atau Kehendak Sultan?


Isu campurtangan Sultan atau Raja kembali menjadi perbualan berikutan hasrat Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu membentangkan rang undang-undang penubuhan Lmebaga Perumahan dan Hartanah Johor atau LPHJ. Ia dijangka dibentangkan hari ini di DUN Johor tetapi ramai pihak mahukan ia ditangguhkan dan diteliti semula kerana jelas memperlihatkan campurtangan Sultan didalamnya.

Walaupun Menteri Besar masih diletakkan sebagai Ketua Eksekutif lembaga itu manakala Exco Perumahan sebagai timbalannya, pertuntukan rang undang-undang itu yang memberi kuasa kuasa kepada Sultan dalam beberapa aspek, meskipun atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri, tetapi ia tetap menimbulkem kebimbangan ramai.

Kebimbangan ramai ialah kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang, kuasa eksekutif dalam mana-mana pentadbiran adalah dipegang oleh Menteri Besar di peringkat negeri dan Perdana Menteri di peringkat pusat, kecuali hal-hal berkaitan agama yang diletakkan dibawah Sultan atau Yang Dipertuan Agong.

Sebelum ini, laporan awal yang didedahkan menyebut bahawa LPHJ itu memberi kuasa penuh kepada Sultan Johor untuk melantik ahli lembaganya, memantau akaun dan membubarkannya. Malah difahamkan Sultan juga diberi kuasa menentukan ganjaran dan perlantikan ahli lembaga pengarah serta menentukan anggaran perbelanjaan setiap tahun sebelum mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Selain Pas dan DAP yang membantah pembentangan rang undang-undang baru itu yang disifatkan bertentangan dengan amalan Raja Berperlembagaan dan mungkin akhirnya mencemarkan kedudukan Raja, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Johor, Ali Hashim juga menyatakan kebimbangannya. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam juga turut melahirkan kebimbangan dan mahukan penerangan yang lebih kepada orangramai diberikan.

Akhbar Utusan pula menjadi suara paling lantang mengkritik rang undang-undang baru itu. Namun demikian Perdana Menteri, Najib Razak seakan bersetuju dengan penubuhannya dan menyatakan ia selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang.

Najib juga dilaporkan sudah diberikan penerangan oleh Khaled mengenai penubuhan LPHJ yang akan merancakkan lagi pembinaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor.

Bagaimanapun Khalid juga dilaporkan sudah meminda peruntukan dalam rang undang-undang itu dengan memasukkan perkataan atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri berikutan sanggahan bertali arus daripada banyak pihak sejak beberapa hari lalu mengenai rancangan penubuhan LPHJ itu.

Selain ramai melahirkan kebimbangan mengenai Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak yang menjadi sistem negara ini, memberi kuasa kepada Sultan juga mendedahkan kepada pelbagai elemen yang akhirnya mencemarkan kedudukan Raja itu sendiri. Jika LPHJ itu dipertikai dan dikecam, akhirnya kedudukan Raja juga terlibat sama.

Dalam pada itu, yang menjadi persoalan juga ialah kenapapah LPHJ ini mahu ditubuhkan dan siapa punya idea mengenainya? Adakah ia idea Khaled selaku Menteri Besar, kehendak Sultan Johor atau idea daripada kalangan yang rapat dengan Istana Johor?

Dan jika ianya idea daripada Khaled sendiri, apakah LPHJ ini benar-benar perlu dalam memastikan pembinaan rumah kos rendah dah rumah mampu milik dapat dibina? Adakah kedudukan Khaled sendiri sebagai Menteri Besar, adanya Exco perumahan, pelbagai jabatan dan agensi lainnya masih tidak cukup untuk membina rumah bagi kepentingan rakyat Johor?

Atau adakah ia menunjukkan kepimpinan Khaled yang begitu lemah sehingga memerlukan sebuah lembaga yang ada peranan dan penglibatan Sultan Johor sendiri dalam menggerakkannya mentadbir negeri itu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan yang bermain di kepala rakyat mengenai LPHJ ini tetapi yang paling dibimbangi ialah kedudukan Raja akhirnya akan tercemar dan terdedah kepada pelbagai kritikan serta kemungkinan adanya campurtangan pihak lain dalam pentadbiran negeri yang menggunakan kedudukan Raja itu sendiri.

Semua pihak memahami Raja ialah Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak serta mahu kedudukan itu dikekallan sampai bila-bila. Memberi kuasa kepada Raja campurtangan melalui LPHJ ini juga memungkinkan di lain masa wujud pelbagai lembaga lain dalam kepentingan yang lain pula atau dituruti oleh negeri lain.

Jika itu berlaku dan bangkit kemarahan rakyat, siapakah yang mahu dipersalahkan. Mahathir sebelum ini pernah mengingatkah bahawa meskipun orang Melayu taat dan sayang kepada Raja tetapi sejarah juga memperlihatkan mereka tidak teragak-agak menentang seperti mana dalam sejarah Sultah Mahmud mangkat dijulang.

Oleh itu, dengan Khaled tetap juga bertekad mahu membentangkan rang undang-undang itu dan suara UMNO pula hampir tenggelam dalam isu ini, tidak disangsikan lagi bahawa LPHJ ini akan menjadi kenyataan akhirnya. Namun tiada sesiapa yang dapat memberi jaminan bahawa melalui lembaga itu kedudukan Raja sentiasa terpelihara, tidak terdedah kepada cecehan umum dah pelbagai dakwaan yang tidak baik.

Tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak baik dan kedudukan Raja tercemar ddi masa hadapan, tentulah Najib, Khaled dan UMNO yang gagal berperanan sewajarnya akan memikul tanggungjawabnya. Sejarah akan menghukum mereka selagi ada bulan dan bintang. (SH 09/06/2014)

7 comments:

  1. Dalam isu RUU LPHJ ni, saya rasa MB Khaled Nordin spt menghadapi suatu tekanan dari atas...ramai rakyat Johor tidak mengetahui keadaan MONOPOLI PERNIAGAAN melalui KUASA yg sedang hebat melanda Johor semenjak kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar. Cuba risik2...dah berapa ramai pegawai2 kanan JCS (Pegawai Tadbir Negeri Johor) terkena 'badi' dlm mereka menghadapi kerenah KUASA utk MEMONOPOLI PERNIAGAN di Johor..

    Rakyat yg sekampung dengan Istana Bukit Serene dan Istana Pasir Pelangi telah maklum pasal isu ini dan telah menjadi topik perbualan di surau2, kedai2 mamak, majlis2 rewang dsbnya.

    So, utk kita meletakkan kesalahan pada MB, adalah tidak adil...kita perlu tahu juga cerita sebenar disebalik kewujudan isu ini...

    ReplyDelete
  2. Yg pasti sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup, baginda sangat mengawal pihak istana dari terlibat dalam perniagaan..semuanya dipantau dan perlukan keizinan dari banginda..tapi ibarat anak ayam terlepas ibu, segalanya berubah selepas kemangkatan baginda..pihak-pihak istana termasuk segala kerabatnya seolah-olah berebut-rebut mengejar dan membahagi-bahagikan kek yang terhidang..ini bukan rahsia lagi bagi warga Johor dan Malaysia amnya..

    ReplyDelete
  3. Lawer Kamal, Uncleseeker dan Ghani Osman punya jawapan dan pengalaman yg cukup bagus untuk dikongsi..mereka dimaki, diugut dan diasingkan kerana meluahkan bukti-bukti dan kurang bersetuju dengan arahan yg kurang berintegeriti..

    ReplyDelete
  4. Bukan lagi rahsia bahawa byk kekalutan tercetus yang membabitkan pihak istana Johor sejak dulu sampai skrg. Kekalutan ini tdk hanya melibatkan kerabat dengan rakyat malah sesama kerabat istana negeri lain. Tulisan buku seorang penulis terkenal berasal Johor ada mendedahkan sesuatu yang tidak menyenangjan tentang kelurga bangsawan ini malah kes di mahkamah syariah berkait dgn keluarga bangsawan Johor ini menserlahkan lagi sisi negatif mereka.

    Selaku anak Johor tulin, ramai yang tidak senang dengan penampilan dan gaya hidup para kerabat ini dan berharap onar yang sering dimulai ole kumpulan ini boleh diakhiri segera. Bbrp kes buruan yang melibatkan seorang lawyer malah tangkapan keatas anak seorang penulis yang vokal terhadap keluarga kerabat ini adalah bukti bukti bahawa keluarga ini tidak wajar diberikan kuasa istimewa dalam LPHJ.

    PM seharusnya bijak mengekang cubaan melebarkan kuasa kerabat ini. Kita yakin MB Johor dalam kedudukan yang sukar dan terhimpit. Jika UMNO BN gagal selesaikan isu ini dengan cara yang wajar, UMNO BN mengundang lagi kebencian rakyat terhadap parti ini. Adakah UMNO Johor sendiri lebih rela menjadi pelindung kerabat yang sentiasa mahu kerabat kepala rakyat atau mahu menjadi pembela rakyat marhaen yang serba serbi dalam kekurangan untuk teruskan kehidupan?.

    Prinsip Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Wajar DiSanggah patut menjadi pegangan. Jangan menjadi Tuah yang taat membabi buta tetapi jadilah Jebat yang memberontak demi keadilan.

    ReplyDelete
  5. Rang undang-undang itu telah dibentangkan oleh exco Datuk Abd Latiff Bandi dari parti UMNO Baru, dan sebelum itu ahli UMNO Baru juga yang menghasut dengan alasan agar pembentangan rang undang-undang baharu itu tangguhkan atas alasan isu tersebut akan dieks¬ploitasi dan dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Dalam masa yang sama mereka mahu MB Johor perlu mengkaji dan meneliti atau menyemak semula rang undang-undang berkenaan, supaya segala kekeliruan dapat diperbetulkan.

    Awang Selamat dari Utuan Malaysia yang dulu nya dipandang sebagai orang melayu berdarah Hang Tuah dalam menjaga institusi raja tapi tiba-tiba berubah berperangai menderhaka ikut jejak langkah Hang Jebat menentang raja dengan sindiran kononnya ramai pihak gusar terhadap enakmen itu sehingga Khaled terpaksa mewujudkan LPHJ dengan penglibatan Sultan?

    Ada banyak lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh orang yang pro UMNO Baru berkaitan dengan enakmen itu tapi bantahan mereka tidak jelas maksudnya malah bercelaru diantara menjaga kepentingan, keperluan ataupun melibatkan peraturan dan undang-undang. Marah mereka seperti ada maksud yang tersirat.

    Idea siapa sehingga Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 10hb. June 2014 bukan lagi pekara penting. Tapi yang harus dipersoalkan, apakah ada kebaikan untuk rakyat negeri itu sehingga kerajaan negeri beriya-iya melibatkan peranan sultan atas nasihat menteri besar dalam lembaga tersebut ?

    Apa yang dapat kita lihat ketika ini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor menyediakan satu bentuk perundangan berkaitan pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri itu tidak melibatkan kehidupan rakyat secara khusus tapi lebih mengutamakan pembangunan dan keuntungan.

    Adalah lebih baik rakyat negeri Johor dan rakyat Malaysia keseluruhannya tidak turut campur dalam hal mereka. Biarkan mereka bertekak, terjerit terlolong sesama mereka. Mengapa kita perlu bersusah payah tunjuk setia yang tidak bertempat sedangkan yang akan menikmati kesenangan dan kemewahan yang sibuk diperkatakan sekarang adalah mereka ?

    Tanya pada mereka.... cukai GST patut diteruskan atau dibatalkan ?

    ReplyDelete
  6. Ini semua kerja gila. Tak ada ribut, petir dan hujan tiba2 saja meletup. Ini mesti ada tangan ghaib yang cuba nak test power. Boleh ke kita bodoh2kan melayu ni. Tengok muka MB pun kita tahu mesti menikus punya. Silap perhitungan jawatan terbang. Demi menjaga keadilan kita berharap sangat tidakk ada agenda tersendiri pihak2 terlibat. Bimbang nanti jadi alat untuk mengaut keuntungan. Salam

    ReplyDelete
  7. Sultan johor ada $5 Billion ringgit hasil dari jual tanah melayu kepada Negara Cina??....siapa pun boleh diblei dengan $25 million ringgit....siapa rugi?? melayu juga yang rugi.........ini semua korrupsi UMNO-BN yang ingin miskinkan penyokong kuat mereka....rakyat bising bagi 2 beg beras...berani keluar bantah...kena belasah dengan senjata dan Polis sultan UMNO....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...