Monday 30 June 2014

Apa Muslihat Muhyiddin Pecat Pengarah Umcedel?


Tindakan Kementerian Pendidikan memberi tekanan kepada Pengarah Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya atau Umcedel, Prof Dr Mohamad Redzuan Othman agar meletakkan jawatan hanya kerana kebanyakan kajian yang dijalankannya tidak memihak kepada UMNO dan kerajaan, mengejutkan banyak pihak dan memberi tamparan baru kepada kerajaan pimpinan Najib Razak.

Dalam masa yang sama, khidmat beliau sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial turut tidak diperbaharui dan ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan amat memandang serius mengenai kajian Umcedel selama ini.

Di sebalik UMNO dan kerajaan dikritik kerana tindakan itu, Najib sebagai Perdana Menteri juga turut tidak terlepas daripada tempias sasaran kritikan ramai. Apatah lagi, perletakan jawatan secara paksaan atau pemecatan itu mengundang solidariti daripada bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saiffuddin Abdullah yang turut meletakkan jawatan dengan segera sebagai Felo Penyelidik Kanan di Universiti Malaya.

Keadaan ini segera menenggelamkan semua janji keterbukaan, sedia menerima teguran, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, berubah sebelum rebah dan segala macam retorik lainnya yang pernah disuarakan oleh Najib sebelum ini. Ternyata bahawa semua ungkapan manis itu hanyalah untuk mengabui mata rakyat, sedangkan hakikatnya sebagai anak bangsawan, Najib tetap tidak lari daripada sukakan pujian dan sanjungan.

Itulah antara kritikan yang banyak kedengaran sekarang ini.

Namun sebelum semua kritikan kepada Najib itu mahu diambil kira, kita haruslah melihat bahawa ini merupakan tindakan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin. Ia mungkin mendapat restu UMNO dan Najib dan mungkin juga diluar pengetahuan Perdana Menteri.

Kiranya semua tindakan Muhyiddin membenarkan tekanan kepada Dr Mohamad Redzuan mendapat restu daripada Najib dan UMNO, memang ini merupakan malapetaka kepada negara kerana kerajaan nampaknya tidak suka dikritik, tidak suka dikata tidak popular dan tidak suka kebebasan akademik, sebaliknya hanya mahukan pujian serta sanjungan sahaja.

Jika itu hakikatnya, maka benarlah segala kata-kata keterbukaan dan kebebasan yang dilafazkan Najib selama ini hanyalah palsu belaka sedangkan beliau lebih kembang hatinya jika dihamburkan kata-kata manis yang bersalutkan pujian dan sanjungan.

Namun, jika tindakan terhadap Dr Mohamad Redzuan itu hanyalah keputusan persendirian Kementerian Pendidikan, sikap Muhyiddin haruslah diragui iaitu apakah muslihat beliau berbuat demikian? Apakah beliau juga ingin mengampu dan membodek Najib setelah baru-baru ini dihebohkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kedudukannya tidak lagi diperlukan oleh Najib?

Meskipun khidmatnya disambung lagi dan tiada rombakan kabinet melibatkannya atau mana-mana pemimpin UMNO, apakah Muhyiddin masih tidak yakin dengan masa depannya dalam kerajaan sehingga perlu juga mengampu dan membodek bagi meneruskan kelangsungan masa depan politiknya?

Atau mungkinkah tindakan Muhyiddin ini bertujuan untuk memalukan Najib dan kerajaan kerana apa-apa pun kesan daripada pemecatan Pengarah Umcedel itu, yang paling menanggung bebannya ialah Perdana Menteri dan kerajaan juga? Tidak dapat dinafikan, bahkan sekarang ini pun, kesalahan lebih diletakkan kepada Najib, UMNO dan kerajaan berbanding Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan.

Bila UMNO dan kerajaan yang dikecam dan persalahkan, tentulah Najib yang disasarkan kerana beliau ketuanya sedangkan Muhyiddin mungkin sedang tersenyum saja.

Walaupun tindakan pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini tidak boleh diterima dalam konteks kebebasan akademik dan merangsang pemikiran kritis, tetapi tidak mustahil ia juga dijadikan medan untuk diambil kesempatan bagi mencapai tujuan yang lain daripada yang sebenarnya.

Sebelum UMNO dan kerajaan memberi reaksinya, adalah perlu Muhyiddin terlebih dahulu memberikan jawapan terhadap pemecatan Dr Mohamad Redzuan ini untuk mengetahui kejujuran atau muslihat di sebaliknya. (SH 30/06/2014)

Saturday 28 June 2014

Zahid Hamidi, Contoh Menteri Menghabiskan Beras!!!


Baru semalam Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin menyindir mengenai kabinet Najib Razak yang disifatkannya bersaiz XXL yang membuatkan rakyat berhak berharapan besar juga tetapi dibimbangi hanya menghabiskan beras saja.

Dalam penutup tulisan di blognya, beliau menulis, "Oleh kerana Perdana Menteri suka besar, maka kita berhak berharapan besar juga. Jadi harapan XXL kita adalah kabinet XXL Mohd Najib ini akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata.

"Rugilah kita kalau kabinet XXL itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja."

Malangnya hari ini, seorang menteri kanan dalam pentadbiran Najib sudah pun menunjukkan kedudukannya sekadar menghabiskan beras saja. Seluruh rakyat, pengundi Bagan Datoh, ahli UMNO, pengundi bukan ahli UMNO, pengundi tidak berparti, malah budak-budak sekolah patut malu dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi berhubung insiden kepala lembu yang didapati dilemparkan di hadapan rumah ADUN DAP RSN Rayer.

Jauh dari menunjukkan sikap yang sewjarnya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, Zahid sebaliknya menyifatkan kejadian itu adalah harga yang perlu dibayar kerana kecelurapan RSN Rayer sendiri sebelum ini.

RSN Rayer sebelum ini mengundang kemarahan ramai pemimpin dah ahli UMNO berhubung ungkapan "UMNO Celaka" yang dilakukan dalam sidang DUN Pulau Pinang, baru-baru ini.

Meskipun ungkapan Rayer itu tidak seharusnya disokong atau dialu-alukan, tetapi membalasnya dengan melemparkan kepala lembu yang dianggap suci kepada penganut agama Hindu, memanglah agak keterlaluan. Ungkapan kesat dan meyakitkan hati, kalau pun mahu dilawan, seharusnya dibalas dengan ungkapan yang bermaksud serupa juga. Itulah politik.

UMNO dah para peminpinnya juga pernah melemparkan tuduhan dan kata-kata tidak wajar kepada pembangkang seperti DAP komunis, PAS parti syaitan, Pas parti sesat dan sebagainya. Pemimpin pembangkang pula kemudian membalasnya dengan perkataan lain yang juga pedih maksudnya dalam ceramah-ceramah.

Meskipun tidak diketahui siapa yang melakukan lemparan kepala lembu itu, tetapi lebih tidak wajar dan keterlaluan ialah sikap yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi, sebagai pemimpin kanan dalam dalam UMNO dan kerajaan ketika memberi reaksi. Menyifatkan kejadian kejadian meletakkan kepala lembu itu sebagai harga yang perlu dibayar atas keceluparan Rayer, tidak menunjukkan jiwa besarnya sebagai pemimpin dalam kerajaan. Malah ia seperti menyokong dan menyetujui perbuatan melemparkan kepala lembu itu.

Zahid seharusnya sedar beliau adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, bukannya ketua cawangan, macai UMNO atau ahli JKKK tetapi komennya menunjukkan beliau tidak lebih dari itu standardnya.

Memandangkan kepala lembu berkaitan dengan kepercayaan agama lain, sikap "menghabiskan beras" yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi tidak mustahil mengundang serangan balas daripada penganut agama Hindu kepada orang Islam pula. Jika ia berlaku atau berterusan berlaku, tentulah mengundang ketidakharmonian dalam negara yang berbilang kaum dan agama ini.

Nampaknya belum pun lama kebimbangan ramai bahawa saiz kabinet yang besar yang dilakukan oleh Najib ini bukan saja tidak wajar, sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras saja, ia mula terserlah satu demi satu.

Setelah sekian banyak penonjolan watak menteri yang menghabiskan beras yang sudah pun diketahui dan dibualkan umum sebelum ini, Zahid Hamidi kini merupakan menteri dan pemimpin kanan UMNO yang terbaru menunjukkan perwatakan seperti itu. (SH 28/06/2014)

Friday 27 June 2014

Wan Azizah Semakin Hampir Ganti Khalid Ibrahim


Kekalahan Khalid Ibrahim dalam pemilihan Ketua Cabang Kuala Selangor dua hari lalu seperti turut menunjukkan tempoh hayatnya sebagai Menteri Besar Selangor juga bakal berakhir. Setelah dikritik oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat Selangor mengenai isu air, rampasan Bible dan lebuhraya Kidex kerana mengamalkan cara pentadbiran solo, Khalid kini menerima nasib yang lebih malang apabila ditolak oleh ahli di cabangnya sendiri.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR pula, beliau masih lagi ketinggalan di belakang Azmin Ali. Bagaimanapun kekalahan di peringkat cabang ini lebih memalu dan menjatuhkan saham politiknya kerana ia menunjukkan beliau sudah tiada lagi asas sokongan daripada akar umbi.

Meskipun kekalahan itu turut dikaitkan insiden lampa terpadam yang turut dispekulasikan dengan kemungkinan adanya unsur-unsur sabotaj dan silap mata, Jawatankuasa Pemilihan Parti atau JPP yang diketahui oleh Johari Abdul sebaliknya menolak kemungkinan sabotaj dan hampir pasti memuktamadkan keputusan pemilihan tersebut.

Jika seorang Menteri Besar boleh kalah dalam pemilihan Ketua Cabangnya sendiri, ia seperti memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Khalid selama ini. Stail kepimpinannya yang tidak mesra dengan ahli dan lebih mirip memimpin sebuah entiti perniagaan yang selama ini menjadi bualan, lebih mudah dipercayai dan lebih mungkin ada kebenarannya.

Ketika dalam UMNO dulu pun, walaupun Khalid adalah nama besar dalam dunia korporat tetapi beliau tidak pernah menang sebarang percubaan dalam pertandingan di Bahagian Kuala Selangor.

Jika dulu ramai yang hairan bagaimana beliau boleh ditolak dalam semua pemilihan UMNO di Kuala Selangor, kini setelah menjadi Menteri Besar Selangor dah kalah pula dalam pemilihan PKR, ramai yang sudah mendapat jawapan atas perkara itu.

Khalid sebenarnya lebih merupakan pemimpin korporat dan bukannya pemimpin politik.

Susulan kekalahan Khalid di Kuala Selangor, di samping kritikan yang berterusan mengenai kepimpinannya daripada Pas, DAP dan PKR sendiri, isu pertukaran Menteri Besar Selangor lantas bergema kembali. Lebih ramai yang mahukan beliau meletakkan jawatan atau diundurkan daripada jawatannya berbanding mahukannya terus kekal di jawatan itu.

Jika beberapa hari lalu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar secara terbuka menyatakan pertukaran jawatan Menteri Beaar Selangor sudah dipersetujui oleh pimpinan PR dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk dilaksanakan, semalam pula Rafizi Ramli memperkukuhkan lagi hakikat itu dengan menjelaskan pula bahawa Langkah Kajang yang dirancang beberapa bulan lalu, masih lagi berjalan.

Hari ini, seorang lagi ADUN Selangor, Suhaimi Shafie pula menyatakan Khalid Ibrahim seharusnya segera meletakkan jawatan berikutan parti yang dianggotainya sendiri tidak lagi gembira dengan kepimpinannya.

Pertukaran Khalid juga turut dikaitkan dengan usaha untuk memastikan PR Selangor terus memenangi pilihanraya umum akan datang kerana beliau bukan saja tidak lagi dinamik, terapi juga lantaran semakin kurang mendapat sokongan berikutan kegagalannya menangani beberapa isu kebelakangan ini.

Walaupun gagal menempatkan Anwar sebagai Menteri Besar melalui Langkah Kajang, tetapi Khalid tetap mahu disingkirkan, tetapi siapakah yang layak menggantikan Khalid?

Sebagaimana pelan asal Langkah Kajang dirangka untuk menggantikan Khalid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim, tetapi halangan yang dihadapi Anwar membuatkan Wan Azizah ditonjolkan sebagai gantinya, kali ini sekali lagi tuah nampaknya akan menyebelahi Presiden PKR itu.

Beliau dilihat satu-satunya pemimpin PKR yang boleh diterima oleh semua pihak bagi menggantikan Khalid Ibrahim, bukan saja oleh PKR tetapi juga parti-parti lain dalam PR. Dengan Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, banyak isu berbangkit di negeri itu dapat diselesaikan sehingga tibanya pilihanraya umum akan datang.

Selepas pilihahraya umum nanti, jika PKR menguasai lebih kerusi, besar kemungkinan barulah jawatan Menteri Beaar Selangor akan diambil alih oleh Azmin Ali pula. Namun jika Pas memperolehi lebih kerusi, tidak mustahil ia berpindah tangan kepada parti itu pula.

Apa pun, perkembangan akhir-akhir ini di Selangor sudah boleh membuatkan Khalid Ibrahim mula mengemas secara perlahan-lahan barang-barang peribadinya di pejabat Menteri Besar Selangor kerana semakin tiada alasan lagi untuk mengekalkannya di jawatan itu. (SH 27/06/2014)

Thursday 26 June 2014

Beranikah Najib Pecat Ceo Petronas?


Ramai benar yang marah dengan kenyataan Ceo Petronas, Shamsul Azhar Abbas yang disiarkan dalam sebuah akhbar perniagaan The Edge yang disifatkan menggambarkan dirinya seorang yang lberal, tidak berjiwa Melayu dan tidak suka dengan campurtangan orang politik dalam tugasnya.

Tidak saja kecaman dan serangan bertubi-tubi ditujukan kepadanya, malah beliau turut diminta meletakkan jawatan jika isu Bumiputera dan bukan Bumiputera serta canpurtangah politik menjadi masalah kepadanya. Antara yang mahu beliau meletakkan jawatan ialah Perkasa yang disuarakan oleh Presidennya, Ibrahim Ali.

Dalam interbiu itu, dua isu pokok yang menjadi perhatian ialah berkenaan hak milik minyak dan gas serta campurtangan orang politik. Shamsul Azhar bertegas menyatakan bahawa minyak dan gas bukanlah hak milik Melayu dan Bumiputera semata-mata, tetapi adalah milik semua rakyat negara ini.

Katanya, Akta Pembangunan Petroleum dengan jelas menyebut bahawa minyak dan gas adalah hak milik rakyat Malaysia dan ia boleh jadi milik kerajaan, milik pembangkang atau sesiapa saja sementara Petronas hanyalah sebagai penjaganya sahaja.

Kenyataan ini dilihat oleh banyak pihak yang pro UMNO dan Melayu sebagai menunjukkan dirinya yang liberal dan tidak kuat jiwa Melayunya. Ramai yang melihat bahawa beliau tidak perlu pun menyebut hak milik siapa minyak dan gas di negara ini kerana semua orang sudah mengetahui dan memahaminya, cumanya sebagai seorang Melayu yang duduk di kerusi yang mempunyai peluang memajukan bangsanya sendiri, beliau harus mempunyai tekad, azam dan semangat ke arah itu.

Penegasan beliau secara terbuka itu dikatakan lebih bertujuan menggembirakan hati bukan Melayu dan menghalalkan tindakannya selama ini membawa masuk ramai bukan Melayu ke dalam syarikat minyak itu.

Mengenai campurtangan orang politik pula, Shamsul Azhar berkata, setakat ini bossnya (Najib Razak) tidak banyak mencampuri urusan Petronas, tetapi orang di sekeliling beliau yang campurtangan.

Dalam hal ini, beliau nampaknya tidak risau dengan campurtangan Najib kerana ianya tidak banyak, bukannya setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan. Beliau secara jelas mengakui ada campurtangan Najib, cuma tidak banyak dan mungkin hanya sesekali sahaja. Walaupun tidak banyak dan subjektif, beliau masih boleh menerima lagi canpurtangan itu.

Namun, dengan mengatakan orang di sekeliling Najib yang campurtangan, Shamsul memperlihatkan beliau rimas dengannya serta menganggapnya sebagai suatu gangguan kepada tugasnya. Mungkin Shamsu Azhar hanya mahu Najib yang campurtangan dan berurusan dengannya, tetapi bukan orang-orang keliling Perdana Menteri.

Dalam hal ini, Shamsul juga dikecam kerana seolah-olah lupa bahawa Petronas sendiri ditubuhkan melalui iltizam politik yang tinggi ketika era Tun Razak dengan mengarahkan Tengku Razaleigh Hamzah merangka Akta Pembangunan Petroleum itu. Ada juga yang mengatakan campurtangan politik memang tidak dapat dielakkan kerana akhirnya apabila timbul isu berbangkit mengenai Petronas di Parlimen atau di kalangan sesetengah kelompok rakyat, ahli politiklah yang bertanggungjawab untuk tampil ke depan memberi penjelasan dan jawapan.

Oleh itu, kata sesetengah pihak, campurtangan politik tidak boleh dinafikan seratus-peratus. Tambahan pula, jika Petronas bebas terus dari campurtangan politik, mungkin bahaya atau bala lain pula yang menimpa syarikat milik kerajaan paling kaya itu.

Berikutan keceluparan Shamsul Azhar itu yang sekaligus memperlihatkan warna dirinya yang sebenar, selain ramai yang memintanya meletakkan jawatan, ada juga yang mengusulkan agar Najib segera memecatnya.

Tetapi, oleh kerana Shamsul Azhar dijangka akan terus bertahan dengan hujah selagi Najib dan kerajaan mempercayainya, tidak sebab untuknya perlu meletakkan, maka jalan pintas paling mujarab yang disyorkan oleh banyak pihak pihak ialah agar Najib segera menggunakan kuasanya memecat Ceo Petronas itu.

Cumanya, mungkinkah Najib akan memecat Ceo Petronas itu?

Jika diimbas kembali, sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau juga dilihat cuba bersikap lebih liberal daripada yang sewajarnya. Melalui dasar 1Malaysia, ucapan, kenyataan, bantuan dan apa saja yang dilakukan atas kapasiti Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi BN jelas memperlihatkan sikapnya yang lunak kepada bukan Melayu berbanding bangsanya sendiri.

Kalau ada pun tergambar sikit-sikit jiwa Melayu Najib hanyalah ketika ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO setahun sekali.

Lagi bukan Melayu tidak menyokongnya, lagi terhegeh-hegeh beliau menawarkan bantuan dan habuan kepada mereka.

Jika Shamsul Azhar cuba bersikap liberal dan memperlihatkan jiwa Melayunya yang tidak kukuh, hati dan jiwa beliau sebenarnya adalah fotokopi kepada hati dan jiwa Najib juga. Shamsul Azhar adalah sehati sejiwa dengan Najib, orang yang dianggap bos oleh Ceo Petronas itu.

Dengan demikian, jangan mimpilah Najib nak pecat Shamsul Azhar walau sekian banyak desakan ke arah itu. Takkan orang liberal nak buang orang liberal. Sebab itu Pemuda UMNO yang juga liberal, diam saja. (SH 26/06/2014)

Wednesday 25 June 2014

Susunan Kabinet Membuktikan Najib Pemimpin Hebat Lagi Luar Biasa!!


Barangkali disebabkan kecaman dan serangan awal terhadap rombakan kabinet terutama yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya spekulasi juga tersebar mengatakan ia akan dijadikan landasan untuk menaikkan pangkat sepupunya, Hishammuddin Hussein, telah menyebabkan Perdana Menteri, Najib Razak tidak melakukan apa yang dinamakan rombakan dalam kabinetnya kali ini, sebaliknya hanya melakukan penambahan anggota saja.

Anggota yang ditambah pula hanyalah melibatkan kemasukan pemimpin MCA dan Gerakan saja. Presiden MCA, Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan, Mah Siew Keong, masing-masing dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga Naib Presiden MCA, Lee Chee Leong, Chua Tee Yong dan Chew Mei Fun pula dilantik sebagai timbalan menteri di MITI, Kewangan serta Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penambahan dua lagi anggota kabinet kali ini bukan saja menjadikan barisan kabinet Najib menjadi yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan mungkin juga terbesar dalam dunia iaitu seramai 35 orang. Bagi Malaysia yang baru mencapai jumlah penduduk 30 juta orang, Najib dianggap cemerlang kerana memberi pekerjaan dan ganjaran kepada 35 orang sebagai menteri dan 28 orang lagi sebagai timbalan menteri.

Dalam sususan kabinet kali ini, tambah cemerlang lagi ialah dengan perlantikan Wee Ka Siong dan Mah Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bermakna jumlahnya meningkat kepada 10 orang. Lapan menteri sedia ada di JPM ialah Jamil Khir Baharon, Wahid Omar, Shahidan Kassim, Idris Jala, Joseph Kurup, Nancy Shukri, Joseph Entulu dan Paul Low.

Jika dikira dengan Najib sebagai ketua dan Muhyiddin sebagai orang nombor dua di JPM, jumlahnya meningkat lagi kepada 12 orang, suatu angka yang menakjubkan pencapaiannya bagi negara seperti Malaysia.

Mempunyai menteri di JPM seramai 10 orang tidak pernah berlaku sebelum ini, baik di era Mahathir mahupun Pak Lah. Inilah hebat dan luar biasanya Najib.

Ramai yang berkata, jumlah itu terlalu besar dan lebih merupakan pembaziran. Berapa wang rakyat bakal dihabiskan untuk membayar gaji dan elaun mereka saja sedangkan dengan jumlah menteri yang ramai itu, tentulah skop kerja dan bidang tugas menjadi semakin sedikit.

Sekali lagi, inilah hebatnya Najib.

Sebelum beliau memperolehi banyak wang melalui cukai GST yang akan dikuatkuasakan pada April tahun depan, beliau sudah pun mempunyai perancangan ke mana wang itu mahu dibelanjakan. Inilah pemimpin yang memandang ke hadapan dengan gaya pemikiran di luar kotak.

Bagi Najib, jika beliau boleh membazirkan wang dengan penggunaan jet yang berjuta-juta, bil air lebih sejuta, bil air hampir RM300 ribu, jamuan mewah yang mahal, percutian dan segala-galanya yang mahal dan super mewah selama ini, apalah sangat dengan penggunaan wang rakyat untuk memiliki 35 menteri dan 10 menteri di JPM saja.

Semua itu masih dikira relatif kecil dalam pertimbangan Najib sebagai anak bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri, lagi pula majoriti pemimpin UMNO dan orang-orang Melayu di kampung masih lagi memberikan sokongan padu kepadanya.

Sebagai bangsawan juga dan hidup mewah sejak lahir, memanglah menjadi lambang kehebatan bila mempunyai jemaah menteri dan pekerja yang ramai bilangannya.

Jadi, apalah salahnya bermewah dan menunjuk hebat sikit-sikit.

Lagi pula, dengan memiliki kabinet yang besar dan menteri di JPM yang paling ramai dalam sejarah Malaysia, bukankah Najib sudah banyak kali menjanjikan kejayaan, kemakmuran dan pendapatan yang tinggi untuk rakyat Malaysia? Untuk mencapai semua impian itu, ia mestilah dimulakan dengan tenaga kerja dan pasukan yang ramai.

Sebab itu, tidak hairanlah Najib bukan saja mempunyai anggota kabinet yang besar dan menteri di JPM paling ramai untuk memberi nasihat dan menyumbang idea kepadanya, malah pasukan penasihat, perunding media, pegawai dan bermacam jenis setiauasa yang berada di sekelilingnya juga adalah paling ramai dalam sejarah Malaysia.

Meskipun selama ini Najib dikira sebagai Perdana Menteri paling lemah, lambat bertindak dan perlahan dalam memberi respon mengenai berbagai isu yang berlaku, semua itu hanyalah sementara saja. Impiannya menjadi pemimpin yang luar biasa, hebat, cemerlang dan mungkin lima kali lebih hebat daripada Mahathir, lebih mudah menjadi kenyataan dengan bantuan jumlah menteri yang besar dan orang kelilingnya yang ramai.

Rakyat Malaysia perlu faham tentang ini.

Tetapi semua itu mesti memerlukan belanja terlebih dahulu. Sebab itu cukai GST dilaksanakan dan wang cukai itu sebahagiannya adalah untuk menampung kos gaji dan elaun para menteri, penasihat, perunding, pegawai dan setiausahanya. Pedulikanlah sama ada penyertaan MCA dan Gerakan dapat menarik sokongan pengundi Cina atau sebaliknya, yang lebih penting lagi ialah memunculkan dirinya menjadi pemimpin luar biasa bagi Malaysia.

Hanya pemimpin luar biasa, walaupun di ketika hutang bertambah, ekonomi perlahan, politik serabut dan pembaziran menjadi isu, tetapi Najib dengan berani membazirkan lagi wang rakyat untuk merekodkan dirinya dalam catatan sejarah kerana mempunyai jumlah anggota kabinet paling besar dan menteri di JPM paling ramai.

Yang menyokong Najib, teruskanlah menyokong. (SH 25/06/2014)

Tuesday 24 June 2014

Apa Lagi, Penggallah... Sebab Kerajaan Sendiri Benarkan Gereja Guna Kalimah Allah


Tidak lama selepas beberapa NGO dan banyak pejuang-pejuang Islam meraikan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang secara jelasnya mengekalkan keputusan tidak membenarkan majalah Herald menggunakan kalimah Allah dalam terbitannya, kerajaan mengeluarkan kenyataan ringkas bagi memperjelaskan lagi keputusan mahkamah itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu menyebut bahawa keputusan itu hanya terpakai untuk majalah Herald saja, tetapi penganut agama Kristian masih boleh menggunakan kalimah Allah di gereja-gereja. Diulang, penganut agama Kristian masih boleh menggunakan kalimah Allah di gereja-gereja.

Menurut kenyataan itu, kerajaan menghormati keputusan mahkamah itu dan meminta semua pihak mematuhinya, namun penghakiman itu hanya terpakai untuk majalah Herald saja.

Lihat betapa lemah-lembut, toleransi dan talam dua mukanya kerajaan. Dalam sejak sekian lama mengatakan kalimah Allah hanya eksklusif untuk Islam dan meminta NGO serta banyak pihak lain menjerit dan bersama dengannya mempertahankan kalimah Allah, sekelip mata saja pendirian kerajaan boleh berubah.

Kenyataan itu hanya menyebut ianya sebagai pendirian kerajaan atau Putrajaya, tetapi tidak pula mengaitkan dengan mana-mana pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri dan sebagainya. Namun demikian, oleh kerana ia disebut mewakili kerajaan atau Putrajaya, sudah tentulah kenyataan yang memperjelaskan bahawa keputsan mahkamah hanya berkaitan dengan majalah Herald dan penganut Kristian masih boleh menggunakan kalimah Allah tanpa halangan, turut mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri.

Tidak mungkin ia dikeluarkan tanpa mendapat restu atau lampu hijau daripada Najib selaku Perdana Menteri.

Kenyataan yang dilihat amat melukakan hati NGO dan pejuang-pejuang Islam seperti Perkasa, Isma dan lain-lain ini bagaimanapun hanya mendapat tempat di portal berita dalam talian saja, namun tidak disiarkan dalam akhbar-akhbar arus perdana. Dengan demikian, pendirian "double standard", talam dua muka dan secara jelas membenarkan kalimah Allah digunakan di gereja, tidak diketahui oleh orang-orang Melayu di kampung atau makcik-makcik di tanah rancangan Felda di seluruh negara.

Dengan Perkasa, Isma dan lain-lainnya meraikan keputusan mahkamah semalam seolah-olah suatu kejayaan kepada Islam dan kemudian berhimpun pula di Istana Kayangan, Shah Alam menuntut agar Bible bahasa Melayu yang dirampas Jais sebelum ini tidak dipulangkan, pengundi Melayu yang tiada kemudahan internet tentulah menyangka bahawa kerajaan pimpinan Najib juga benar-benar mempertahahkan kalimah Allah itu.

Lebih menggerunkan lagi apabila seorang pemimpin Perkasa juga memberi amaran mahu memenggal kepala mana-mana pihak yang enggan menghormati Islam di negara ini.

Malangnya, Islam akhirnya dikhianati oleh mereka yang sering melaungkan mahu mempertahankan Islam itu sendiri.

Nah, sekarang siapa yang mengkhianati kedaulatan Islam? Bukankah kerajaan, Putrajaya, anggota kabinet pimpinan najib sendiri yang menjadi pengkhianatnya? Apa lagi, penggallah....

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam jelas menyebut gereja-gereja boleh menggunakan kalimah Allah tanpa halangan. Ia nampaknya tidak hanya untuk Sabah dan Sarawak, bahkan kenyataan terbaru ini memberi gambaran bahawa semua gereja di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah.

Terbukti bahawa keputusan mahkamah itu hanya menampakkan lagi wajah talam dua muka kerajaan mengenai Islam. Kepada pengundi Melayu dan Islam, mereka menonjolkan wajah Islam tetapi dalam masa yang sama berwajah lain semata-mata kerana bimbangan kehilangan sokongan serta undi daripada penganut agama lain.

Yang sedihnya, selain orang Melayu di kampung, makcik dan pakcik peneroka Felda dijual hidup-hidup oleh sikap talam dua muka UMNO dan kerajaan ini, beberapa NGO Islam seperti Perkasa, Isma juga turut terpedaya. Malah, ramai juga pemimpin UMNO sendiri yang turut terpedaya dengan lakonan UMNO dan kerajaan ini di mana mereka juga turut menyambut dan meraikan seolah-olah suatu kejayaan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Hakikatnya, tiada kejayaan apa pun kepada Islam daripada keputusan mahkamah itu, kecualilah jika Perkasa segera berubah fikiran dan menunaikan ikrar mahu memenggal kepala seperti yang dilafazkannya dengan garang sebelum ini. Jika tidak, semua ini poyo belaka...(SH 24/06/2014)

Apa Muhyiddin Buat Di Jakarta?


Setelah Perdana Menteri, Najib Razak memberikan kenyataan bahawa desas-desus perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hanyalah rekaan politik pihak-pihak tertentu saja dan diikuti pula dengan perasaan lega pengundi serta ahli-ahli UMNO Pagoh menerima perkhabaran itu, hakikat yang berlaku mungkin adalah sebaliknya.

Sebagaimana yang selalu terjadi, penafian tidak lagi bermaksud sesuatu itu tidak akan berlaku, malah lebih merupakan petunjuk bahawa khabar angin semakin hampir menjadi kenyataan.

Ini berikutan tidak berapa lama selepas Najib menafikan ada sebarang pertukaran orang nombor duanya, dikhabarkan pula bahawa Muhyiddin telah pun berlepas ke Jakarta dengan diikuti oleh beberapa orang pengikut serta rakan karibnya dalam dunia politik.

Beberapa nama telah disebutkan sebagai antara yang pergi menemani Muhyiddin ke Jakarta itu dan antaranya memang diketahui sebagai penyokong setia dan mereka yang selalu jatuh bangun bersama-sama dengannya.

Sumber yang dekat dengan Muhyiddin memberitahu, pemergian itu ada kaitan untuk membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai dirinya serta hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi bualan ramai ketika ini.

Difahamkan, hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan. Namun tidak mustahil juga beliau dinasihati terus kekal dan bersabar sehingga pilihanraya umum akan datang.

Sebelum tersebar berita mengenai perletakan jawatan Muhyiddin yang dihebohkan melalui media sosial, sudah lama sebenarnya kedengaran mengenai hubungan dinginnya dengan Najib Razak kerana beliau difahamkan tidak bersetuju dalam beberapa perkara tetapi tidak mampu bertindak berikutan pemusatan kuasa yang terlalu tertumpu kepada Najib dan Seri Perdana.

Blog ini turut mendedahkan kesengsaraan yang dialami oleh Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua yang seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. Berbanding ramai pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa dengan Najib, Muhyiddin mungkin merupakan orang yang paling sengsara dan terseksa jiwanya.

Kemudian dari itu, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam dalam blognya juga menulis bahawa Muhyiddin memang diketahui telah memberitahu beberapa rakannya mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan dan walaupun alasan yang diberi ialah umur tetapi dikatakan juga menyimpan perasaan kecewa yang mendalam tentang beberapa hal.

Najib pula, disebalik menafikan desas-desus mengenai Muhyiddin tetapi masih lagi menangguhkan rancangannya untuk merombak kabinet, meskipun wakil daripada MCA dan Gerakan yang sebelumnya dipelawa dan dijanjikan jawatan dalam kabinet sudah tidak sabar-sabar mahu berada dalam kerajaan.

Rombakan kali ini, selain bertujuan memasukkan wakil MCA dan Gerakan, dipercayai juga untuk menaikkan pangkat sepupunya, Hishammuddin daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Kewangan. Langkah itu pastinya akan membuatkan Muhyiddin tersinggung kerana ia menunjukkan seolah-olah Najib sedang mempersiapkan Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya.

Penafian Najib sambil mengatakan ia hanyalah rekaan politik tetapi dalam masa yang sama masih menangguhkan rombakan kabinet, lebih membuktikan bahawa beliau memang ada rancangan untuk menaikkan pangkat Hishammuddin sambil menyisihkan Muhyiddin secara perlahan-lahan.

Jika rombakan kabinet sekadar untuk memasukkan wakil MCA dan Gerakan atau menukar portfolio beberapa menteri UMNO yang tidak menjejaskan masa depan Muhyiddin, tiada sebab Najib masih menangguhkannya sehingga sekarang.

Namun, oleh kerana isu ini sudah menjadi perbualan ramai, kemungkinan besar ianya ditukar atau ditangguhkan dahulu sehingga keadaan reda. Tetapi Muhyiddin dikatakan semakin memahami permainan politik Najib dan nasib yang bakal menimpa dirinya.

Dalam masa yang terdekat ini nampaknya ada dua perkara yang menjadi penantian - rombakan kabinet dan pengumuman Muhyiddin mengenai masa depannya hasil perbincangan dengan rakan-rakannya di Jakarta itu. (SH 24/06/2014)

Monday 23 June 2014

Janganlah Berlebih-Lebih Meraikan Keputusan Mahkamah Mengenai Kalimah Allah


NGO Perkasa nampaknya paling gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Gereja Katolik Malaysia mengenai rayuan mereka terhadap larangan penggunaan kalimah Allah dalam majalah terbitannya, The Herald. Dengan keputussn 4-3 oleh tujuh hakim itu, bermakna berakhirlah sudah perjuangan mereka untuk mendapatkan kebenaran menggunakan nama Allah dalam majalah tersebut.

Dengan ertikata lain juga, selepas ini majalah The Herald itu tidak boleh lagi menggunakan nama Allah dalam sebarang penerbitannya. Ruang untuk merayu juga sudah tertutup rapat.

Namun demikian, oleh kerana keputusan itu hanya melibatkan larangan dalam The Herald saja, tiada sesiapa yang boleh melarang pihak Kristian daripada menggunakan nama Allah, sama ada dalam gereja, doa harian, ketika membaca Bible bahasa Melayu, dalam penerbitan lain atau sebagainya.

Malah keputusan ini juga tidak menjejaskan apa-apa berhubung penggunaan nama Allah di Sabah dan Sarawak sepertimana yang telah diberikan kebenaran khas oleh kerajaan Pusat sendiri sebelum pilihanraya umum lalu. Mereka masih boleh menggunakannya seperti biasa.

Memang keputusan ini melegakan ramai umat Islam, tetapi malangnya Perkasa seperti berlebih-lebihan atau barangkali tidak memahami secara mendalam keputusan Mahkamah Pesekutuan itu sendiri. Berpada-padalah kerana ia hanya secebis kecil kejayaan saja.

Ahli-ahli Perkasa yang telah berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk mendengar keputusan itu sejak awal pagi memang terlihat amat gembira dan meraikannya seolah-olah memperolehi kejayaan besar. Daripada Putrajaya, mereka kemudian berhimpun pula di Istana Kayangan Shah Alam bagi memberi sokongan dan mendesak Sultan Selangor agar bertegas jangan memulangkan kitab Bible bahasa Melayu yang dirampas oleh Jais sebelum ini, walaupun diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara.

Dalam perhimpunan tersebut, Perkasa bukan saja menuntut Peguam Negara meletakkan jawatan kerana dianggap tidak sensitif terhadap Islam dan seolah-olah menyebelahi Persatuan Bible Malaysia, malah ada seorang pemimpin Perkasa iaitu Ruslan Kassim yang pernah menjadi pemimpin PKR sebelum ini, memberi amaran mahu memancung kepala mana-mana pihak yang masih enggan menghormati kedaulatan Islam serta mengkhianati kedudukan Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri.

Seorang lagi bekas pemimpin Perkasa yang juga bekas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Noordin pula berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu memperkuatkan lagi pendapat bahawa Jais dan Mais berhak menyita kitab Bible bahasa Melayu yang dirampas sebelum ini.

Ada pula pihak tertentu di laman-laman sosial yang mengatakan bahawa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna kitab Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah sudah boleh dibakar dan dihapuskan.

Apa ni? Kenapa berlebih-lebihan sangat menyambut dan mentafsirkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu?

Bukankah sudah jelas bahawa kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan itu hanya mengenai penerbitan The Herald saja dan bukannyaa meliputi semua perkara yang lain.

Apa perlunya keputusan itu dikaitkan dengan rampasan Bible oleh Jais? Bukankah dalam kes itu Sultan Selangor sudah menitahkan agar Jais merujuk kepada pendakwaraya untuk memutuskan sama ada kitab yang dirampas itu mahu dipulangkan atau dilupuskan.

Baginda juga mahu keputusan mengenai perkara itu diputuskan mengikut saluran undang-undang.

Perdana Menteri, Najib Razak juga sudah mengeluarkan kenyataan yang hampir serupa iaitu menghormati keputusan berdasarkan undang-undang, Perlembagaan serta kebebasan beragama dalam menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan sekian lama itu.

Tidak perlulah sebenarnya ada kenyataan-kenyataan melampau seperti mahu memancung kepala, membakar Bible dan mendahului atau mengajar Sultan Selangor dalam membuat keputusan mengenai Jais dan Mais. Semua ini hanya memburukkan lagi wajah Islam.

Terimalah hakikat bahawa keputusan mahkamah ini hanya melibatkan The Herald saja. Hal-hal lain tidak berkait sama sekali. Kalau mahu orang Sabah dan Sarawak jangan menggunakan kalimah Allah dalam gereja atau dalam Bible bahasa Melayu mereka, marahlah dengan Najib yang memberikan kebenaran mengenainya dan minta beliau menguatkuasakan larangannya.

Bukankah ternampak bertindih di mana sementara kalimah Allah begitu dipertahankan di Semenanjung dan kemenangan terhadap The Herald begitu diraikan, kenapa tidak berkeras dengan kebebasan penggunaannya di Borneo? Bukankah Allah itu satu di mana-mana saja dan Allah di Semenanjung adalah juga sama dengan Allah di Sabah dan Sarawak?

Dalam pada pejuang-pejuang Islam seperti Perkasa agar jangan jangan berlebih-lebihan sangat menyambut keputusan mahkamah itu, adalah juga lebih baik semua umat Islam termasuk Perkasa dan lain-lain NGO memperkuatkan amalan Islam masing-masing dan mentaati segala perintah Allah itu sendiri. Mempertahankan kalimah Allah hanyalah satu aspek iaitu bimbang ia disalahgunakan, tetapi mentaati segala suruhan Allah dan menjauhi semua larangannya itulah segala-galanya dalam kehidupan ini.

Lakukan perkara itu dalam diri, keluarga, anak-anak, masyarakat dan negara agar Islam itu akhirnya kekal mengharum dan menjadi mercu penghormatan semua. (SH 23/06/2014)

Sunday 22 June 2014

Mungkinkah PR Bakal Tumbang Di Selangor?


Kedudukan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang mula dipertikaikan oleh rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat sendiri kini mula menjurus kepada persoalan kemungkinan ia bakal kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika masalah yang kian meruncing itu tidak segera diurus dengan baik.

Bermula dengan masalah dalaman PKR yang dihadapi oleh Khalid Ibrahim, terutama penentangan daripada kelompok Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor, masalah kini bertambah rumit apabila DAP dan Pas juga mula merasakan Menteri Besar itu perlu ditukar dan sudah tidak relevan lagi.

Walaupun sejak awal lagi, Khalid memang ada stail kepimpinan sendiri ala CEO sebuah syarikat perniagaan, tetapi imejnya yang bersih, bebas dari amalan rasuah, tidak mengaut kekayaan, tiada kes menyalahgunakan kuasa dan kemampuannya meningkatkan rizab negeri kepada hampir RM3 billion telah menyebabkan beliau lebih disanjung daripada dipertikaikan.

Namun sejak ura-ura mahu menukarkannya dengan Anwar Ibrahim melalui KajangMove yang tidak menjadi kenyataan, Khalid dilihat semakin menunjukkan belangnya. Beliau makin memperlihatkan gaya kepimpinan ala CEO dengan banyak isu-isu besar hanya diuruskannya secara sendiriannya saja.

Rakan-rakan gabungan dalam PR, EXCO Kerajaan Negeri dan beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan PR tidak lagi dipedulikan suara dan kehadiran mereka. Khalid mungkin masih terbawa dah merasakan Kerajaan Selangor juga seperti PNB dan Guthrie yang pernah diketuainya dulu.

Bermula dengan tindakan menandatangani persetujuan secara tergesa-gesa dan tidak memaklumkan kepada EXCO mahupun rakan-rakan dalam PR mengenai isu air dengan Kerajaan Pusat, Khalid kemudiannya semakin berani dan terbuka menyokong pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara atau Kidex walaupun sebahagian penduduk yang terlibat dengannya membantah pembinaan lebuhraya itu.

Lebih dari itu, sokongan Khalid terhadap projek itu juga dianggap memalukan PR kerana diketahui umum pemegang konsesi lebuhraya itu ialah bekas peguam UMNO yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi bersama peguam UMNO sekarang, Hafarizam Harun.

Sokongan Khalid dianggap menyokong projek BN dan menyokong amalan kronisme UMNO walaupun Zaki Tun Azmi dan Hafarizam sentiasa bermusuh dengan PR.

Kelemahan Khalid juga agak ketara dalam isu rampasan Bible yang sudah diarahkan oleh Peguam Negara agar Jabatan Agama Islam Selangor segera memulangkan kitab itu berikutan tiada sebarang pendakwaan akan diambil terhadap Persatuan Bible Malaysia.

Dalam isu ini Khalid dilihat tidak cukup tegas dan "play safe" meskipun arahan daripada Peguam Negara sudah cukup jelas mengenainya. Beliau lebih banyak berdolak-dalik dan bermain dengan masa.

Deretan kelemahan Khalid yang semakin ketara dalam beberapa isu besar kebelangan ini telah meruntun jiwa parti-parti dalam PR mahu menukarkannya dengan segera. Mereka bukan saja pening dengan stail Khalid yang lebih mirip BN, bahkan tindakannya tidak mahu mendengar keluhan penduduk seperti dalam isu pembinaan lebuhraya Kidex, turut menyebabkan timbulnya kebimbangan tentang hayat kuasa PR di negeri paling itu sendiri.

Rekod pencapaian Khalid sejak 2008 mungkin boleh dibanggakan tetapi pujangga selalu menyebut, "yang penting bukan di mana kita bermula tetapi bagaimana kita berakhir". Dalam hal ini Khalid nampak cemerlang di permulaannya tetapi di akhir-akhir ini semakin tidak menentu dan banyak dipertikaikan.

Khalid kini bukan saja mula dipertikaikan oleh partinya sendiri iaitu PKR, tetapi DAP dan Pas juga mulai lantang mahu menukarnya. Mereka seolah-olah sepakat bahawa selagi Khalid terus dikekalkan, PR di Selangor akan berdepan lebih banyak masalah dan merumitkan lagi usaha mengekalkan kuasa dalam pilihanraya akan datang.

PR tiada pilihan lain selain menukarkan Khalid jika ingin terus menang dan berkuasa di Selangor. PR kena belajar daripada kemelut di Kedah yang melibatkan Azizan Razak sebelum pilihanraya 2013 yang dibiarkan tanpa penyelesaikan telah menyebabkan akhirnya Pas kehilangan kuasa di negeri itu.

Pedulikanlah jika Presiden Pas , Haji Hadi Awang ada kepentingan dengan Khalid kerana anak menantunya bekerja dengan sebuah GLC negeri serta mungkin ada beberapa kenalannya yang lain sedang bergayut di pinggang kuasa kerajaan negeri Selangor. Keutamaan PR bukanlah mempertahankan kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi memastikan parti itu terus berkuasa lagi.

Selain isu melibatkan Khalid, berlakunya pergaduhan dan pertumpahan darah dalam pemilihan PKR di bebarap cabang di Selangor yang entah bila akan berakhirnya, sebenarnya turut menambah derita PR untuk mengekalkan kuasanya. Apa yang berlaku dan dipaparkan secara meluas di media boleh menyebabkan rakyat Selangor menjadi bosan dengan kemelut pemilihan yang tidak berkesudahan.

Masalah dalam pemilihan parti, ditambah dengan kebosanan yang mula berakar mengenai kepimpinan Khalid, sebenarnya boleh menggugat pegangan kuasa PR dan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, meskipun pimpinan parti lawan itu masih belum menunjukkan prestasi yang menggembirakan rakyat.

Tempoh pilihanraya akan datang secara relatifnya masih panjang lagi dan PR punya banyak masa untuk segera memangkas segala masalah yang sedang berlaku. Selain imej parti perlu segera dipulihkan daripada persepsi buruk rakyat dan pengundi, pertikaian yang paling perlu diselesaikan ialah mengenai kedudukan Khalid sendiri.

Kalau pun kedudukan Khalid tidak dapat diubah dalam waktu yang terdekat ini kerana wujudnya halangan-halangan tertentu seperti Istana Selangor yang mempunyai hubungan rapat dengannya serta faktor Haji Hadi yang mungkin mahukan Khalid terus dikekalkan, PR sekurang-kurangnya mestilah menunjukkan tanda positif bahawa beliau bukan lagi Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya nanti.

Khalid yang dengan wataknya berubah 180 darjah kebelakangan ini adalah liabiti kepada PR dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengelakkan kebosanan pengundi bertambah parah.

Jika tidak, pengundi Selangor mungkin lebih rela berketuakan Noh Omar untuk memberi pengajaran kepada PR. (SH 22/06/2014)

Friday 20 June 2014

Siapa Yang Buat Rekaan Politik Muhyiddin Mahu Berhenti?


Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya bersuara berhubung kedudukan timbalannya, Muhyiddin Yassin di dalam kabinet dengan menyatakan laporan media sosial mengenai perkara itu hanyalah rekaan politik politik pihak-pihak tertentu saja.

Najib berkata lagi, beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan timbalannya itu, bahkan Muhyiddin juga sentiasa mendukung dan menjayakan segala dasar pembangunan nasional terutama yang berkait dengan transformasi negara.

Apabila Najib berkata, isu perletakan jawatan Muhyiddin itu semata-mata rekaan politik pihak-pihak tertentu, apa yang menjadi perhatian sekarang ialah, siapakah pihak tertentu itu?

Adakah ia dalam pengetahuan Najib dan beliau memandang serius mengenainya? Atau beliau tidak langsung mengambil berat mengenainya?

Apakah pihak tertentu yang dimaksudkan Najib itu adalah kumpulan yang mahu menggugat kepimpinannya yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah sekarang ini?

Adakah juga mungkin pihak tertentu itu dari kumpulan Muhyiddin sendiri yang bertujuan untuk menguji sejauh mana Perdana Menteri benar-benar memerlukan Muhyiddin sebagai timbalannya?

Mungkinkah juga penyebaran berita itu sengaja direka oleh salah seorang Naib Presiden UMNO yang ada sekarang yang sudah tidak sabar lagi mahu mengambil alih tempat Muhyiddin itu? Jika ia benar, siapakah di antara tiga Naib Presiden UNNO yang ada sekarang yang paling mungkin menyebarkan cerita rekaan itu?

Apakah ianya daripada orang-orang Zahid Hamidi yang merasakan Menteri Dalam Negeri itu paling layak untuk menggantikan Muhyiddin berikutan sudah dua kali mendapat undi tertinggi dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO?

Adakah ini mungkin kerja kumpulan Shafie Apdal yang menyebarkan cerita rekaan itu untuk disesuaikan dengan adanya sekarang ini desakan perlunya Timbalan Perdana Menteri dilantik daripada Borneo untuk menanangi pelbagai isu ketidakpuasan hati penduduk kedua negeri itu terhadap Putrajaya?

Tidak mustahilkah cerita rekaan ini dilakukan oleh orang-orang Hishammuddin dengan maksud melalui ketiadaan Muhyiddin nanti, peluangnya juga menjadi terbuka untuk menjadi pemimpin nombor dua dalam negara?

Dalam pada itu, mungkinkah isu Muhyiddin ini sengaja direka oleh orang-orang Najib sendiri dengan tujuan memberi tekanan agar Timbalan Perdana Menteri itu segera mengundurkan diri. Ini kerana Muhyiddin dilihat lebih sebagai pesaing berbanding pengikut kepada Najib, selain kedua-dua mereka juga mempunyai perbezaan stail dan gaya.

Walaupun sehingga ini Muhyiddin tidak pernah bersetuju dengan desakan agar beliau menentang Najib, tetapi kedudukan Najib belum lagi seratus peratus selamat memandangkan satu demi satu isu yang timbul sentiasa membuatkan kerusi Perdana Menteri yang didudukinya berada dalam kedudukan yang bergoyang atau mudah digoyang.

Lantaran itu, jika berlaku sesuatu yang menggugat Najib, orang yang paling mudah ditonjolkan ialah Muhyiddin. Jika Muhyiddin tiada lagi dalam kabinet, Najib boleh dikatakan tidak tergugat langsung biar bagaimana besar sekali pun gugatan yang diterimanya.

Atau mungkinkah cerita rekaan ini disebarkan oleh kumpulan Mahathir dan Daim yang hari demi hari semakin banyak rasa tidak puas hatinya terhadap kepimpinan Najib?

Secara mudahnya, jika benar kata Najib bahawa spekulasi mengenai Muhyiddin ini hanyalah rekaan politik pihak-pihak tertentu, tentulah ia direka oleh mereka yang sudah dapat membaca apa keuntungan daripadanya. Tentulah tidak mungkin ia direka oleh pihak-pihak yang tiada kepentingan atau sekadar suka-suka saja.

Dalam semua orang yang diandaikan berkemungkinan menyebarkan cerita rekaan itu, siapakah yang paling besar untungnya?

Mungkinkah Najib sebenarnya tahu siapa pereka cerita ini atau mungkinkah Najib sengaja berkata begitu untuk menutup perancangan lain yang sedang difikirkannya?

Bukanlah asing dalam politik, perkara yang dinafikan itu akhirnya menjadi sessuatu yang benar akhirnya. Di era kepimpinan Mahathir selama 22 tahun, banyak sekali perkara yang bermula dengan khabar angin, kemudian dinafikan tetapi akhirnya betul-betul menjadi kenyataan.

Perletakan jawatan Musa Hitam dan pemecatan Anwar Ibrahim misalnya, kedua-duanya dinafikan pada awalnya oleh Mahathir tetapi akhirnya tetap menjadi kenyataan.

Di era Najib pula, tidak sampai seminggu selepas beliau menafikan Ahmad Said akan ditukar sebagai Menteri Besar Terengganu, namun akhirnya hayat politiknya dipancung hanya beberapa hari sebelum kenduri kahwin anak perempuannya.

Sementara ramai mula menelah siapakah yang dimaksudkan Najib pihak tertentu yang cuba menyebar cerita rekaan politik mengenai kedudukan Muhyiddin ini, dan sebelum itu Muhyiddin juga sudah menafikan beliau akan berundur, apa pun yang di luar jangkaan atau sudah dinafikan, tetap tidak mustahil akan berlaku. (SH 20/06/2014)

Thursday 19 June 2014

Walau Terus Kekal, Muhyiddin Mungkin Sedang Sengsara...


Rombakan kabinet yang mula kedengaran sebaik berakhir pilihanraya kecil Teluk Intan kini ditunggu oleh semua orang. Daripada rombakan yang hanya bertujuan memasukkan wakil MCA dan Gerakan dalam kabinet, ia kemudian berlegar menjadi spekulasi kemungkinan beberapa menteri turut bertukar portfolio. Semalam pula spekulasi jadi meliar dengan dakwaan Muhyiddin Yassin akan bercuti panjang sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tempatnya akan dipangku oleh sepupu Najib iaitu Hishammuddin Hussein.

Sebelum ini, menteri UMNO yang dijangka bertukar portfolio ialah Hishammuddin akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan, Zahid Hamidi dikembalikan ke Kementerian Pertahanan manakala Najib akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Jika pertukaran itu menjadi kenyataan, ia tidak syak lagi hanyalah bertujuan memprojekkan Hishammuddin sebagai bakal pengganti Najib suatu hari nanti. Hal ini segera menimbulkan rasa tidak senang majoriti ahli UMNO kerana Hishammuddin terbukti adalah watak yang lemah serta hampir ditolak oleh perwakilan UMNO dalam pemilihan Naib Presiden UMNO tahun lalu.

Setelah Najib sendiri sarat dengan pelbagai kelemahan, ahli UMNO bagaikan tidak sedia lagi menerima pemimpin yang juga lemah, malah kadangkala lebih lemah sebagai Perdana Menteri.

Apabila dispekulasikan pula Muhyiddin akan bercuti panjang dan jawatannya akan dipangku oleh Hishammuddin, tentulah lebih gempar ahli UMNO dibuatnya. Kalau mahu dijadikan Menteri Kewangan saja pun sudah ramai yang membantah, apatah lagi jika terus dinaikkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tidak mungkin Najib sebegitu bodoh mahu berbuat begitu. Menaikkan pangkat Hishammuddin, apatah lagi memberi keistimewaan kepada sepupunya itu adalah umpama menggali lubang kubur buat UMNO kerana ia akan membuatkan ahli UMNO berasa tidak dihargai dan diperlekehkan.

Najib pasti akan lebih mudah dihukum jika tidak berfikir dengan lebih panjang mahu menyerahkan kerusi Perdana Menteri untuk diwarisi oleh sepupunya itu.

Berita mengenai Muhyiddin akan meletakkan jawatan pula, walaupun diperkatakan oleh ramai orang, amat sukar untuk dipercayai. Ini kerana Muhyiddin bukanlah sewatak dengan Musa Hitam yang mudah merajuk, jauh hati dan mengundur diri. Kenyataan Muhyiddin bahawa beliau akan terus kekal selagi diperlukan mengesahkan kenyataan itu.

Dalam sejarah politiknya sendiri memperlihatkan beliau pernah turun dan pernah naik. Beliau pernah kalah dalam pemilihan UMNO beberapa kali, dipinggirkan, ketiadaan penyokong dan hampir keseorangan tetapi terus juga kekal dalam kabinet.

Bukan saja tiada keperluan dan tidak pernah berlaku seorang Timbalan Perdana Menteri meletakkan jawatan untuk mengukuhkan parti, bahkan seorang Timbalan Presiden UMNO tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri lebih sukar untuk melakukan usaha mengukuhkan UMNO. Beliau akan jadi lebih tidak dihargai dan diketepikan.

Najib memang akan merombak kabinetnya bagi memenuhi janji dan membawa pembaharuan. Beliau mungkin akan memasukkan wakil MCA dan Gerakan dalam kabinet dan mungkin juga menukar portfolio beberapa menteri UMNO. Muhyiddin pula tidak mungkin meletakkan jawatan atau mengundur diri sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum akan datang kerana Najib lebih memerlukan timbalannya untuk pilihanraya akan datang ini.

Di ketika ini, Muhyiddin dilaporkan memang menghadapi beberapa masalah. Selain isterinya, Norainee Abdul Rahman yang sedang sakit dan tidak berapa sihat sekembalinya daripada percutian luar negara beberapa minggu lalu, Muhyiddin juga turut sengsara dengan apa yang berlaku dalam UMNO dan kerajaan sekarang ini.

Seorang bekas Ahli Parlimen UMNO berkata, sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, kesengsaraan Muhyiddin dapat dilihat kerana beliau tidak boleh berbuat banyak untuk membetulkan kerosakan yang sedang berlaku berikutan pemusatan kuasa terlalu tertumpu kepada Najib dan Seri Perdana.

Bukan saja semua yang dilakukannya perlu mendapat restu daripara Seri Perdana, malahan sepanjang masa pula beliau kena menjaga hati agar tidak menimbulkan rasa tidak senang atau dilihat berlebih-lebihan berbanding Seri Perdana.

Menurut bekas Ahli Parlimen itu lagi, kalau ahli dan pemimpin lain dalam UMNO berasa kecewa, serabut, marah dan mungkin hairan dalam beberapa tindakan Najib dalam mengurus isu yang melibatkan parti dan negara, Muhyiddin sebenarnya lebih tertekan kerana sebagai orang nombor dua pun beliau tidak upaya berbuat apa-apa.

Tetapi, katanya, di sebalik kesengsaraan itu dan ditambah dengan masalah isterinya yang sedang memerlukan rawatan, Muhyiddin tidak mungkin akan berundur atau meletakkan jawatan. Muhyiddin akan terus kekal dengan jawatannya sekarang sehingga pilihanraya umum akan datang, sementara dalam masa yang sama Najib akan memikirkan cara yang paling sesuai untuk menonjolkan Hishammuddin sebagai bakal penggantinya.

Dalam usianya yang sudah 67 tahun, Muhyiddin akan menunggu sehingga pilihanraya umum akan datang dan ketika itu di mana usianya sudah mencecah 70 tahun adalah detik paling sesuai untuk mengundurkan diri.

Sesuai dengan keinginan itu, bermakna Muhyiddin akan mula memperlahankan aktivitinya dan alasan perlu menemani atau meluangkan lebih banyak masa bersama isterinya akan menjadi hujah terbaik bagi maksud tersebut.

Tetapi kurangnya aktiviti beliau itu mungkin juga akan disusuli dengan cuti yang perlu diambil sekali-sekala jika keadaan kesihatan isterinya tidak menunjukkan banyak perubahan. (SH 19/06/2014)

Wednesday 18 June 2014

Najib Juga Tidak Setuju Dengan MAIS


Setelah beberapa hari berlakunya polemik mengenai kitab Bible yang enggan dipulangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais meskipun diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara, Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya mengeluarkan kenyataannya petang semalam dengan harapan kemelut itu dapat diakhiri dengan baik.

Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia yang didapati memiliki Bible bahasa Melayu serta terdapat kalimah Allah didalamnya dan mengarahkan kitab itu dipulangkan semula kepada persatuan terbabit.

Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Selangor atau Mais yang menaungi Jais enggan mematuhi arahan Peguam Negara itu dengan alasan mereka di pihak yang betul serta mendakwa rampasan Bible itu mematuhi peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam).

Najib mengeluarkan kenyataan ini kerana di sebalik Jais atau Mais diminta mematuhi arahan Peguam Negara itu, semakin keras pula pendirian tidak mahu memulangkannya. Ini seolah-olah mengundang ketegangan yang berpanjangan.

Dalam kenyataannya, Perdana Menteri menggesa Mais berunding dengan Peguam Negara jika ia berpendapat Peguam Negara perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jais.

Apa maksudnya? Jelas bahawa Najib mahukan Mais berunding dengan Peguam Negara dan bukannya terus membuat keputusan tidak mahu memulangkan Bible itu sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini.

Maknanya, Najib tidak setuju dengan pendirian Mais yang yang tidak menggunakan kaedah rundingan dengan Peguam Negara, sebaliknya terus menyatakan tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara serta enggan pula mematuhi arahan yang diberikannya.

Perdana Menteri menambah lagi, penyelesaian isu rampasan kitab Bible milik Perstuan Bible Malaysia itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan serta Undang-undang Negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.

Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mesti menghormati keputusan yant dibuat, demikian kata kenyataan oleh Najib itu lagi.

Apakah pula maksudnya? Ia tidak lain meminta Mais menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang menetapkan kuasa pendakwaan adalah terletak di tangan Peguam Negara. Jika Peguam Negara mengatakan tiada kes, keputusan itu hendaklah dihormati kerana itulah semangat memahami undang-undang dan Perlembagaan.

Namun demikian, sekiranya tidak berpuas hati, ia boleh dirayu atau dibincangkan kemudian dengan baik, tetapi bukannya dengan membantah secara terbuka. Membantah secara terbuka samalah dengan tidak menghormati Perlembagaan dan Undang-undang Negara.

Dalam kenyataan seterusnya, Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, Mais dan Jais yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbirah hal ehwal Islam di Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan kitab Bible tersebut atau sebaliknya.

"Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.

"Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan juga kerajaan negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam," kata Najib dalam kenyataannya itu lagi.

Sangat jelas bahawa Najib ingin mengatakan bahawa walaupun Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan, dengan syarat tiada sebarang percubaan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

Dalam konteks kitab Bible yang dirampas, ia dirampas di pejabat Persatuan Bible Malaysia dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak yang sememangnya kerajaan telah membenarkan penggunaan kitab Bible berbahasa Melayu di kedua-dua negeri tersebut.

Dalam masa yang sama, kitab Bible itu juga difahamkan diletakkan di tempat terbuka ketika rampasan dilakukan. Ini bermakna tiada kebarangkalian ia digunakan secara sembunyi atau cuba diedarkan secara sulit kepada umat Islam di Semenanjung.

Bukan saja tiada bukti Bible itu sebagai alat menyebarkan doktrin agama lain kepada umat Islam, bahkan kitab itu juga diletakkan di premis yang jelas kaitannya dengan agama Kristian.

Walaupun Najib menyerahkan kepada kerajaan Selangor, Mais dan Jais membuat keputusan akhir, tetapi adalah jelas beliau mahukan keputusan itu sentiasa dalam ruang lingkup menghormati Perlembagaan dan Undang-undang serta memahami kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Najib ini, tidak terselindung juga niat dan kemahuannya agar keputusan Peguam Negara itu dihormati oleh Mais. Kerajaan sendiri Selangor sudah pun akur dengan keputusan Peguam Negara itu, hanya Mais saja yang berkeras ketika ini.

Dengan penjelasan Najib agar menghormati Undang-undang dan Perlembagaan, mengadakan rundingan jika tidak setuju dan memahami kebebasan beragama yang diamalkan, adalah diharapkan Mais dapat memahami bahawa bersikap keras, langsung tiada toleransi dan tidak menghormati Undang-undang dan Perlembagaan, lebih mencemarkan Islam itu sendiri di mata bukan Islam. (SH 18/06/2014)

Monday 16 June 2014

Adakah Ini Untuk Memalukan Wan Azizah?


Belum pun habis PKR dibelenggu dengan pemilihan parti yang menimbulkan pelbagai masalah dan keributan, parti itu terus ditimpa musibah bila semua 10 soalan daripada Presiden PKR yang juga ADUN Kajang, Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam DUN Selangor ditolak oleh Speaker, Hannah Yeoh.

Alasan penolakan itu pula terlihat sangat remeh dan tidak munasabah iaitu kerana semua soalan yang dikemukakan itu melebihi 40 patah perkataan sebagaimana yang ditetapkan.

Tidakkah ini sesuatu yang memalukan?

Persoalannya, apakah sebagai ADUN baru, Wan Azizah tidak dimaklumkan mengenai syarat 40 patah perkataan itu?

Di sisi yang lain pula, dengan rekod Wan Azizah sebagai Presiden PKR, pernah menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang sebelum ini, apakah beliau tidak mengetahui semua syarat-syarat itu?

Dan jika pun Wan Azizah tidak mengetahuinya, apakah pegawai-pegawai beliau tidak membuat semakan terlebih dahulu sebelum menghantar soalan tersebut?

Kalau ianya suatu kesilapan, apakah pejabat Speaker langsung tiada toleransi dengan meminta soalan itu ditulis semula dengan ayat yang lebih pendek dan bukannya menolak terus daripada dikemukakan dalam sidang DUN Selangor?

Sebenarnya banyak sekali persoalan bagaimana dan kenapa keadaan ini berlaku, tetapi yang pastinya ianya amat memalukan bagi Wan Azizah yang baru saja memenangi DUN Kajang dengan cemerlang sebelum ini.

Dengan penolakan soalan itu, sebahagian daripada tugas beliau sebagai ADUN sudah pun terhalang sebenarnya. Walaupun soalan yang sama mungkin boleh dikemukakan dalam sidang DUN yang akan datang pula, tetapi tentunya ia sudah terlambat dan mungkin sebahagian soalan itu sudah menjadi tidak relevan lagi.

Dalam zaman serba pantas dan perhubungan hanya dihujung jari sekarang ini, kegagalan sama ada di pejabat Speaker mahupun di pihak Wan Azizah, memaklumkan serta memahami syarat dan prosedur yang betul dalam mengemukan soalan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Walaupun ini bukan kesilapan Wan Azizah sepenuhnya, mungkin kegagalan pejabat Speaker memaluklumkan syarat tersebut atau kelalaian pegawai ADUN Kajang itu sendiri yang tidak teliti dalam membuat semakan, tetapi yang pastinya bebannya terpaksalah ditanggung oleh isteri Anwar Ibrahim itu.

Ini setidak-tidaknya menambahkan lagi serangan dan kecaman terhadap Presiden PKR itu dalam menguruskan sesuatu yang berkaitan dengan tugasnya, sementara beliau juga banyak dipersalahkan dalam kemelut pemilihan yang agak berkecamuk dengan adanya kejadian pergaduhan, baling kerusi, pemecatan, digantung keahlian dan sebagainya.

Dalam pemilihan PKR yang belum berakhir lagi sekarang, bagi jawatan Timbalan Presiden ia menyaksikan persaingan antara penyandang jawatan, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dan Saifuddin Nasution. Dalam pemilihan itu, walaupun Wan Azizah sebagai presiden parti yang menang tanpa bertanding tetapi suaminya, Anwar Ibrahim paling paling banyak dipertikaikan atas pelbagai dakwaan campurtangan dalam pemilihan dengan menyokong secara senyap calon tertentu.

JPP atau jawatankuasa pemilihan parti yang banyak kelemahan dalam menguruskan pemilihan kali ini turut diserang dengan pelbagai dakwaan, termasuk beberapa kali demonstrasi tidak puas hati di depan pejabat PKR sendiri.

Yang nyatanya, penolakan soalan daripada Wan Azizah itu menambahkan lagi tompok-tompok hitam dalam parti itu.

Mungkinkah ianya sesuatu yang sengaja dirancang untuk memalukan Wan Azizah, Anwar dan PKR secara serentak? (SH 16/06/2014)

Sunday 15 June 2014

Siapakah Yang Berkuasa Di Negara Ini?


Dua isu yang sedang meresahkan masyarakat sekarang, malah menjarakkan perpaduan dan hubungan antara Islam dengan bukan Islam ialah rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais yang telah diputuskan oleh Peguam Negara sebagai tiada kes dan isu berkaitan penjagaan anak oleh ibu bapa yang berlainan agama.

Dalam kes rampasan Bible bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah oleh Jais tidak berapa lama dulu, Peguam Negara telah memutuskan tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan dan kitab itu diarah dipulangkan kepada pemiliknya, Persatuan Bible Malaysia.

Masalah yang timbul ialah apabila Jais dan Mais atau Majlis Agama Islam Selangor, enggan mematuhi arahan Peguam Negara itu dengan alasan tindakan merampas dulu adalah sesuatu yang betul dan mengikut peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam), meskipun Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mahukan ketetapan Peguam Negara itu dipatuhi.

Dalam perkembangan terbaru, Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid turut bertegas bahawa kitab Bible itu tidak akan dipulangkan kerana ia mengandungi bukti yang mengandungi kalimah Allah didalamnya.

Dalam masa yang sama, Peguam Negara, Gani Patail sekali lagi bertegas bahawa tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia berkaitan rampasan Bible itu, malah menyatakan tiada huraian lanjut akan diberikan berkenaan dengannya selepas ini.

Dalam erti kata lain, kes ini sudah ditutup dan tiada kes akan dibawa ke mana-man mahkamah.

Jika Peguam Negara enggan melakukan pendakwaan, apakah pula mustahaknya Jais dan Mais mahu menyimpan kitab Bible itu? Lebih tidak logik juga apakah perlunya bukti kalimah Allah yang terkandung dalam Bible itu mahu disimpan lagi kalau Gani Patail tetap tidak mahu mengubah pendiriannya?

Sementara isu ini terus berlarutan dan berbalas kenyataan juga makin panas, hakikat yang nyata ialah perkara ini semakin merenggangkan hubungan antara Islam dengan Kristian di negara. Perasaan syak wasangka dan curiga mencurigai tentunya makin tebal akibat perkara ini.

Timbulnya isu ini tidak lain ialah berpunca daripada perjanjian 10 perkara yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Najib Razak dengan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak sebelum pilihanraya lalu yang antara lainnya membenarkan Bible bahasa Melayu serta penggunaan kalimah Allah di kedua-dua negeri itu.

Akibat daripada persetujuan yang bermotifkan memenangi hati pengundi Sabah dan Sarawak itu, maka timbullah isu kalimah Allah di kalangan penganut agama Kristian menjadi perdebatan dan difahamkan juga kitab Bible yang dirampas itu pun adalah untuk tujuan edaran di kedua-dua negeri itu.

Malangnya, apabila isu Bible ini berlarutan sehingga kini, di mana suara Najib?

Isu kedua yang turut meresahkan masyarakat sekarang ialah berkaitan hak penjagaan anak yang melibatkan pasangan berlainan agama yang sudah berpisah. Dalam sekurang-kurangnya dua kes yang sudah berlarutan sehingga kini, Mahkamah Syariah membuat keputusan yang memihak kepada bapa yang beragama Islam manakala Mahkamah Sivil pula membuat ketetapan memihak kepada ibunya yang bukan beragama Islam.

Pihak polis pula, demi kepentingan menjaga akidah kanak-kanak tersebut bersikap enggan mematuhi ketetapan mahkamah itu, sebaliknya cuba mencari jalan tengah dengan mencadangkan kanak-kanak yang terlibat diletakkan di sebuah pusat perlindungan yang boleh dilawati oleh kedua-dua ibu dan bapanya pada bila-bila masa.

Pendirian Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar itu menyebabkan banyak NGO dan peguam bukan Islam melahirkan rasa marah terhadapnya kerana enggan mematuhi keputusan mahkamah itu, malah banyak laporan polis juga sudah dibuat terhadapnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga mengambil jalan tengah dengan mencadangkan agar kes perebutan anak seumpama ini biarlah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan yang menurutnya lebih bijaksana membuat keputusan.

Kenyataan Najib ini tidak lain memperlihatkan beliau cuba lepas tangan daripada membuat pendirian yang memihak dan seterusnya meletakkan beban itu kepada hakim-hakim di Mahkamah Persekutuan pula membuat keputusan, di sebalik kedua-dua belah pihak mempertikaikan pendirian "main selamatnya" itu.

Namun demikian, jika dilihat dalam keputusan yang sudah dibuat oleh mahkamah sebelum ini, baik mahkamah sivil mahu pun mahkamah syariah, tiada pihak yang membuat rayuan. Jadi, bagaimana mahu kes itu di bawa ke mahkamah yang lebih tinggi lagi?

Sekali lagi menunjukkan Najib seorang pemimpin yang tidak tahu apa-apa sebelum membuat kenyataan.

Dalam kedua-dua kes, iaitu isu rampasan Bible dan hak penjagaan anak ini, apa yang pasti ia akan terus menjadi polemik yang berterusan dan merenggangkan hubungan sesama kita dalam sebuah negara yang seharusnya kita hidup aman, harmoni dan tanpa gangguan biar apa pun agama dan kepercayaan yang dianuti.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa ketetapan Peguam Negara tidak dipatuhi oleh Jais dan Mais dan kenapa keputusan mahkamah tidak dipedulikan oleh pihak polis?

Pokok daripada semua persoalan ini ialah kerana pimpinan negara tidak lagi dihormati kerana tidak ada ketegasan dalam banyak perkara sebelum ini. Pimpinan politik seolah-olah sudah hilang kuasa dan menjadikan banyak pihak lain cuba menunjuk kuasa.

Oleh kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang takut untuk membuat keputusan dan tidak tegas, beliau seolah-olah tidak berkuasa lagi di negara ini. Sesiapa saja boleh menunjuk kuasa dan negara ini seolah-olah berjalan secara sendirinya tanpa seorang peneraju berwibawa yang boleh diharapkan oleh semua rakyat.

Dalam isu seperti ini, Perdana Menteri bukan saja tidak boleh berdiam diri atau menyimpan suaranya dan kalau bersuara pula cuba meletakkan beban kepada pihak lain untuk menyelesaikannya, malah ketika inilah seorang Perdana Menteri seharusnya tampil menunjukkan ketegasan dah kewibawaannya. Seorang Perdana Menteri mestilah menunjukkan dirinya sebagai seorang tegas, mematuhi undang-undang dan penyelesai masalah.

Di ketika isu ini sedang panas, Najib bukan saja berdiam diri dan menuding kepada pihak lain memberi penyelesaian, bahkan lebih ghairah memberi respon kepada isu lain yang tidak penting seperti membalas gurauan KJ mengenai MC dan bolasepak.

Jika Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri atau jika isu ini berlaku di era pentadbirannya, pastilah kedua-dua isu ini tidak berlarutan sehingga begini kalut seperti sekarang ini. (SH 15/06/2014)

Friday 13 June 2014

KJ Anak Emas Najib?


Kejohanan Bolasepak Piala Dunia tahun ini bukan saja dijadikan kesempatan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai medan mendekati golongan muda melalui program Feista Samba Brazil 2014 yang diadakan di seluruh negara, tetapi juga sebagai medan menunjukkan hubungannya yang boleh bergurau senda dengan Perdana Menteri, Najib Razak.

Sempena Piala Dunia tahun ini, Khairy Jamaluddin atau KJ melalui melalui kementerian yang diterajuinya telah menganjurkan program Fiesta Samba Brazil 2014 dengan memilih 14 tempat di seluruh negara sebagai tempat untuk peminat bolasepak menonton semua perlawanan secara langsung melalui skrin besar yang disediakan.

Pada malam perlawanan pertama, KJ telah berada di Dataran Merdeka menonton bolasepak bersama ribuan wargakota dan turut juga mengadakan pertandingan menjaringkan gol di mana beliau menjadi penjaga gawangnya. Sesiapa yang berjaya menjaringkan gol juga akan diberikan hadiah misteri.

Setelah berjaga sehingga subuh memeriahkan program di Dataran Merdeka itu, KJ cuba bergurau dengan menulis di twitternya yang ditujukan kepada Perdana Menteri -@NajibRazak Boss, saya demam panas, badan sakit tak boleh bangun sejak semalam. Maaf tak dapat kerja hari ni, esok hantar slip MC #CubaNasib.

Najib kemudiannya membalas tulisan KJ itu dengan tulisan - @Khairykj Glad you felt well enough to coma for Cabinet Meeting #MCDitolak.

Setelah mendapat balasan daripada Najib itu, KJ kemudiannya menulis lagi bahawa ini adalah sebagai pengajaran kepada sesiapa yang cuba kelentong boss masing-masing sempena Piala Dunia ini.

Gurau senda antara KJ dengan Najib ini menjadi viral dan bualan di media sosial di mana ribuan pengguna laman sosial telah meretweet atau memasukkannya ke laman sosial Facebook. Sementara ada yang memuji, mengeji dan menyindir KJ serta Najib kerana gurau senda itu, satu perkara yang nyata ialah ialah KJ telah berjaya menunjukkan kepada umum hubungannnya yang rapat dan boleh bergurau senda dengan Perdana Menteri.

Tidak seperti menteri atau pemimpin UMNO dan kerajaan lain yang hanya berkomunikasi secara formal atau memaklumkan program serta aktiviti masing-masing kepada Najib melalui laman mikro Twitter, KJ sebaliknya telah memanfaatkan bahawa beliau jauh lebih ke depan berbanding yang lain dalam penggunaan media sosial ini.

Dengan gurau sendanya mendapat respon yang menghiburkan daripada Najib, KJ juga menjadi satu-satunya menteri yang setakat ini boleh berbuat demikian dengan seorang Perdana Menteri.

KJ juga tentunya gembira kerana hubungannya yang boleh bergurau senda itu telah diketahui oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Ini sekaligus menyerlahkan hubungan yang rapat antara Najib dengan KJ walaupun daripada tahun 2009 hingga 2013 lalu beliau diketepikan oleh Najib daripada menduduki sebarang jawatan dalam kerajaan. Hanya dalam penyusunan kabinet selepas PRU 13 barulah KJ dimasukkan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Keadaan ini juga menyerlahkan bahawa Najib mungkin sudah melupakan kejadian di mana KJ pernah pergi ke rumah Anwar Ibrahim sebaik beliau dibebaskan daripada penjara untuk menguruskan passportnya bagi menjalani pembedahan tulang belakang di Jerman.

Peristiwa yang berlaku ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri itu telah menimbulkan spekulasi kemungkinan Anwar turut dibawa kembali menyertai UMNO. Najib sendiri serta ramai kalangan dalam UMNO dilaporkan tidak senang dengan perkembangan itu dan ketika itu KJ dikatakan terpaksa menemui Najib untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan rasional pemergiannya ke rumah Anwar itu.

Namun kini nampaknya semua kesangsian itu telah berakhir.

Hubungan mesra Najib dengan KJ ini juga dikatakan sebagai membalas budi kesediaan Pak Lah mengundurkan diri dan menyerahkah jawatan Perdana Menteri kepadanya.

Dengan kejayaan KJ menunjukkan hubungannnya yang mesra, intim dan boleh bergurau senda dengan Najib itu, tidak diragui bukan saja menghapuskan kesangsian dalam UMNO sendiri terhadap karier masa depannya, bahkan bakal menyerlahkan lagi masa depannya yang semakin cerah selagi Najib menjadi Perdana Menteri.

Najib juga dilaporkan amat menyenangi prestasi dan keupayaan KJ sehinggakan ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat Malaysia baru-baru ini pun beliau telah memilih menantu Pak Lah itu sebagai menteri pengiring.

Jika ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, KJ dilabel sebagai "budak nakal" dan "ketua budak-budak tingkat 4" yang dikatakan mempengaruhi pentadbiran ketika itu sehingga menimbulkan rasa tidak senang bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, perjalanan masa nampaknya telah mentransformasi beliau menjadi "anak emas" kepada Najib Razak pula.

Jika pun tidak dalam rombakan kabinet yang terdekat ini, dalam rombakan yang seterusnya nanti pasti menyaksikan KJ turut mengalami kenaikan pangkat dalam kerajaan. Tindakan saling berbalas gurauan yang ditunjukkan ini mungkin salah satu petunjuk ke arah itu dan menunjukkan turut menyenangi antara satu sama lain yang jarang ditunjukkan oleh Najib terhadap menteri yang lain. (SH 13/06/2014)

Thursday 12 June 2014

MCA Mahu 3 Wakil, Najib Dijangka Catat Rekod Lantik Menteri Paling Ramai


Walaupun Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak tahu mengenai ura-ura rombakan kabinet yang heboh diperkatakan ketika ini, hakikatnya perkara itu memang tidak dapat dielakkan lagi.

Pertama, kerana memenuhi janji untuk melantik Presiden Gerakan, Mah Siew Keong yang menang dalam pilihanraya kecil Teluk Intan, baru-baru ini dan keduanya pula, sebagai memenuhi kehendak perwakilan MCA yang sudah membuat resolusi untuk kembali semula memegang jawatan dalam kerajaan.

Najib mungkin benar-benar tidak tahu atau tidak berniat merombak kabinetnya kalaulah beliau sudah lupa akan janjinya kepada Mah Siew Keong dan juga pengundi Teluk Intan. Begitu juga, beliau mungkin tidak merombak kabinetnya jika beliau juga lupa pelawaannya kepada MCA baru-baru ini agar parti itu kembali bersama-sama menguatkan kerajaan dan terlupa jufa parti itu sudah mengubah resolusi sedia kembali dalam kerajaan.

Namun jika beliau berpegang kepada janjinya, rombakan kabinet terutama untuk membawa wakil daripada MCA dan Gerakan menyertai kabinet adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Mengikut laporan media sejak seminggu lalu, Najib dijangka merombak kabinetnya sebelum puasa atau selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Jika rombakan itu hanya melibatkan kemasukan wakil daripada MCA dan Gerakan saja, mungkin ia akan dilakukan sebelum puasa ini tetapi tidak mustahil juga dilakukan selepas sambutan Hari Raya bagi membolehkan Najib mempunyai lebih masa untuk melakukan penyusunan dan pengubahsuaian yang harmoni.

Dalam penyusunan kabinet selepas pilihanraya umum lalu, Najib telah mengosongkan satu jawatan menteri dan tiga timbalan menteri untuk MCA apabila parti itu sedia mengubah semula resolusi tidak mahu menduduki jawatan dalam kerajaan sebagai tindakbalas terhadap penolakan pengundi Cina terhadap parti itu. Kerusi menteri yang dikosongkan untuk wakil MCA ialah menteri pengangkutan yang kini dipangku oleh sepupu Najib, Hishammuddin Hussein.

Apabila kepimpinan MCA berubah daripada Chua Soi Lek kepada Liow Tiong Lai, parti itu bukan saja mengubah resolusi itu, bahkan pimpinan muda yang menerajui MCA sekarang nampaknya lebih ghairah untuk berada dalam kabinet berbanding pendirian lama berada di luar kerajaan.

Di peringkat negeri, wakil MCA sudah pun menduduki tempat dalam EXCO kerajaan dan juga PBT. Wakil MCA hanya belum berada dalam kabinet saja lagi, walaupun resolusi enggan berada dalam kabinet itu sudah lama dibatalkan.

Dengan kemenangan BN di Teluk Intan melalui calonnya iaitu Presiden Gerakan yang dijanjikan jawatan menteri, rombakan kabinet untuk membawa Mah Siew Keong menyertai kabinet adalah sesuai disekalikan dengan memasukkan wakil MCA yang mungkin sudah lama sengsara jiwa berada di luar kerajaan.

Namun sumber tertinggi MCA memaklumkan Najib mungkin sedikit pening dengan rombakan kali ini, terutama untuk meletakkan wakil daripada MCA dalam kabinet kerana MCA mahukan lebih daripada satu kerusi sebagaimana yang telah disediakan oleh Najib.

MCA dikatakan mahu tiga jawatan menteri dan empat timbalan menteri daripada Najib dan ini bermakna semua tujuh Ahli Parlimen MCA yang menang dalam pilihanraya lalu akan berada dalam kerajaan selepas ini. Hujah MCA ialah mereka menolak satu jawatan menteri kerana Gerakan yang ada satu kerusi Parlimen iaitu Mah Siew Keong juga memperolehi satu jawatan dalam kabinet.

Lebih dari itu, sumber itu memberitahu, sekiranya MCA bersetuju menerima hanya satu jawatan menteri, bermakna ia menjadi lebih kecil berbanding MIC yang mempunyai dua wakil dalam kabinet, sedangkan MCA adalah parti kedua terbesar selepas UMNO dalam BN.

Oleh itu, sesuai dengan kedudukannya sebagai parti kedua terbesar dan mempunyai tujuh Ahli Parlimen manakala MIC pula hanya mempunyai lima Ahli Parlimen, kedudukan yang dirasakan paling wajar ialah diberikan tiga jawatan menteri dan empat timbalan menteri.

Bagi Presiden Gerakan, Mah Siew Keong, Najib mungkin tidak mempunyai masalah kerana beliau boleh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi di mana mahu diletak wakil MCA itu sedangkan kekosongan yang disediakan hanya satu iaitu Kementerian Pengangkutan?

Lebih memeningkan Najib, sumber MCA itu memaklumkan bahawa MCA juga menuntut jawatan lamanya dalam kerajaan sebelum ini daripada Najib iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang kini disandang oleh wakil MIC, S Subramanian dan wakil UMNO Sabah, Abdul Rahman Dahlan.

Ada kemungkinan besar Najib akan memenuhi tuntutan itu, sesuai dengan kehendak beliau yang amat memerlukan sokongan pengundi Cina dan ini bakal menyaksikan Subramanian dan Abdul Rahman bakal dipindahkan. Terdapat kemungkinan sekurang-kurangnya satu kementerian baru akan diwujudkan untuk Subramanian manakala Abdul Rahman yang tidak begitu bagus pretasinya tetapi diperlukan kerana beliau mewakili Sabah akan diletakkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga, sama seperti Mah Siew Keong.

Dengan jumlah anggota kabinet yang kini seranai 32 orang, rombakan kali ini akan menambahkan lagi jumlah anggotanya. Jika Presiden Gerakan, Mah Siew Keong menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden MCA mengisi semula jawatan Menteri Pengangkutan yang kini dipangku oleh Hishammuddin, jumlah menteri kabinet akan menjadi seramai 33 orang.

Dan andainya Najib akur dengan permintaan MCA yang mahukan tiga jawatan dalam kabinet pula, anggota kabinet negara kita mungkin menjadi yang paling ramai dalam dunia iaitu seramai 35 orang. Jika diwujudkan lagi kementerian baru, bermakna bertambah lagi kementerian di era kepimpinan Najib ini.

Dalam masa yang sama, walaupun ada ura-ura beberapa menteri daripada UMNO akan digugurkan tetapi kebarangkaliannya adalah tipis kerana jika jumlah menteri UMNO dikurangkan mungkin pula menjejaskan sokongan akar umbi terhadap masa depan Najib sendiri. Menteri daripada UMNO mungkin hanya mengalami pertukaran portfolio sahaja, sesuai dengan kemenangan besar UMNO dalam pilihanraya lalu berbanding parti-parti komponen yang lain, meskipun ada laporan beberapa menteri UMNO seperti Hasan Malek, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Jamil Khir Baharom bakal digugurkan. (SH 12/06/2014)

Wednesday 11 June 2014

Untung Jadi Deepak, Di Parlimen Pun Ahmad Maslan Turut Membelanya...


Isu penyelesaian baki pinjaman tanpa faedah sebanyak RM32 juta yang melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Deepak Jaikishan terus menjadi perbualan. Ketika banyak persoalan dibangkitkan mengenai kewajaran memberi keistimewaan kepada ahli perniagaan itu, dari ruang bicara kaki lima hinggalah ke sidang Parlimen, pihak kerajaan nampaknya lebih selesa terus membela Deepak.

Walaupun sudah dijelaskan oleh bekas Pengerusi Bank Rakyat, Sabbaruddin Chik mengenai keengganan Lembaga Pengarah bank meluluskan pinjaman itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek malah pernah diugut untuk dipecat jika tidak menuruti kehendaknya, keinginan untuk melakukan siasatan juga tidak kelihatan.

Sabbaruddin juga bertegas bahawa penyambungan kontraknya yang telah dipersetujui oleh Bank Negara tidak diteruskan oleh menteri terbabit berikutan keengganan Lembaga Pengarah itu. Tetapi Hassan Malek enggan memberi sebarang kenyataan, sebaliknya hanya berkata beliau sedia disiasat.

Sebelum itu, beliau melarikan diri daripada buruan media dan enggan memberi sebarang komen.

Jika Hasan dipihak yang benar, kenapa mengelak untuk memberi penjelasan yang detail dan panjang sebagaimana yang didakwa oleh Sabbaruddin. Mengatakan dirinya sedia disiasat tidak menggambarkan beliau dipihak yang benar.

Sementara Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor yang turut dikaitkan dengan keistimewaan yang diterima Deepak masih enggan memberi sebarang reaksi sehingga ini, paling awal bertindak ialah SPRM yang mengatakan tiada elemen rasuah dalam kontroversi itu. SPRM dalam siasatan awalnya mendapati apa yang berlaku hanyalah berkaitan salah urus saja.

Soalnya sudahkah SPRM melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat daripada Sabbaruddin sendiri? Adakah SPRM pernah melihat surat daripada Hasan Malek kepada Sabbaruddin yang mengarahkannya meluluskan permintaannya itu?

Kenapa SPRM terlalu awal mahu membersihkan Deepak dan Hasan Malek?

Hari ini Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan yang pernah berbangga dengan pointer 3.85 yang dimilikinya juga tampil menjelaskan di Parlimen bahawa tiada campurtangan menteri kabinet dalam meluluskan pinjaman kepada Deepak itu.

Kata Ahmad Maslan lagi, pihaknya juga dimaklumkan bahawa Sabbaruddin juga mengakui kenyataannya mengenai isu itu telah diputar belit oleh media alternatif.

Persoalan yang sama juga ditanyakan kepada Ahmad Maslan, adakah beliau tahu dan melihat surat Hasan kepada Sabbaruddin yang mengarahkannya meluluskan penyelesaian tanpa faedah melalui 120 keping cek post dated? Tahukah juga beliau bahawa Hasan pernah mengugut mahu memecat Sabbaruddin dalam suatu perjumpaan?

Jika beliau tidak tahu semua itu dan tidak pernah berusaha mahu mendapatkan maklumat daripada Sabbaruddin, janganlah begitu mudah bercakap urusan Deepak itu tidak ada campurtangan menteri kabinet. Janganlah memalukan diri sendiri dengan pointer 3.85 itu.

Blog ini pada 20 May lalu adalah yang paling awal mendedahkan mengenai isu keistimewaan yang diterima Deepak setelah berbual panjang dan minum petang dengan Sabbaruddin. Hanya setelah itu barulah ianya dipetik oleh beberapa blog serta portal berita, manakala ada pula portal berita yang menemui sendiri Sabbaruddin kemudiannya.

Dalam pertemuan dengan Sabbaruddin itu, beliau telah menunjukkan beberapa dokumen yang antaranya adalah surat daripada Hasan yang mengarahkannya meluluskan penyelesaian melalui pembayaran 120 cek post dated itu serta memaklumkan juga perbincangan di pejabat menteri telah bersetuju dan ia didapati telah diadakan sejak Januari 2013 lagi.

Adakah ini bukan campurtangan menteri kabinet namanya wahai Ahmad Maslan?

Kalau Ahmad Maslan tidak pernah tahu adanya surat Hasan kepada Sabbaruddin itu, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab itu. Sebelum bercakap, terutamanya di Parlimen, dapatkanlah maklumat menyeluruh terlebih dahulu dan bukannya maklumat sepihak sahaja. Setidak-tidaknya berjumpalah dengan Sabbaruddin juga.

Ahmad Maslan juga berkata, Sabbaruddin mengakui bahawa kenyataannya mengenai isu pinjaman Deepak itu telah diputarbelit oleh media alternatif. Sekali lagi Ahmad Maslan keliru. Sabbaruddin tidak pernah menyatakan kenyataannya mengenai pinjaman Deepak diputarbelit, yang beliau kata diputarbelit itu ialah kenyataannya mengenai kemungkinan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang sekiranya tiada sokongan golongan muda dan tiada perubahan dalam kepimpinan Najib.

Hanya ini yang Sabbaruddin kata diputarbelit, bukannya mengenai pinjaman Deepak dan beliau bertegas mengatakan ianya adalah dua isu yang berbeza. Sabbaruddin malah tidak pernah membetulkan kenyataannya mengenai Deepak dan penglibatan Hasan didalam memberi keistimewaan kepada Deepak.

Adakah Ahmad Maslan tahu dan faham pendirian Sabbaruddin itu?

Dalam isu ini, di mana kerajaan nampaknya begitu bersungguh mahu membela tiada unsur rasuah dan tiada campurtangan menteri kabinet, siapakah yang mereka ingin bela? Bank Rakyat yang menjadi naungan ribuan koperasi atau Deepak yang begitu mudah berurusan dengan seorang menteri demi kepentingan peribadinya?

Kenapakah Deepak begitu ingin dipertahankan oleh pemimpin dan pihak berkuasa sekarang? Meski tanpa hujah konkrit, hanya dengan alasan kosong dan siasatan pula tidak pernah dilakukan, Deepak terus cuba dibela dan dipertahankan.

Berbanding peniaga Melayu, usahawan kecil-kecilan dan Sabbaruddin yang cuba mempertahankan Bank Rakyat, sebaliknya Deepak jauh lebih beruntung dan suci di mata para pemimpin kita. (SH 11/06/2014)

Tuesday 10 June 2014

Jadikanlah Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri Sampai Mati...


Satu-satunya perkara yang membuatkan orangramai jadi menyampah dan meluat setiap kali BN menang dalam mana-mana pilihanraya kecil ialah apabila para pemimpinnya berebut-rebut mendabik dada membangga diri sambil mengaku gerak kerja yang mereka dilakukan atau oleh kumpulan merekalah yang menyumbang kepada kemenangan itu.

Dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang sudah berlalu hampir dua minggu lalu di mana BN berjaya menewaskan DAP dengan kelebihan 238 undi, jelas dapat dilihat sikap "masuk bakul angkat sendiri" dan amalan membangga diri itu seolah-olah kemenangan itu telah menjamin BN untuk terus berkuasa selama 50 tahun lagi.

Dapat dilihat satu demi satu pemimpin UMNO dan kerajaan membanggakan kemenangan dan menjustifikasikan kejayaan itu adalah dicapai melalui sumbangan masing-masing. Biro penerangan bangga kerja penerangannya, pemuda dengan gerak kerja pemudanya, wanita dengan lawatan rumah ke rumah dan begitu juga dengan puteri dengan sumbangan yang kononnya telah mereka mainkan sepanjang kempen pilihanraya itu.

Pemimpin UMNO negeri dengan hujah penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besarnya, malah MCA yang sebelum itu tidak berani meletakkan calonnya di Bukit Gelugor, turut tidak mahu ketinggalan dan tanpa ada perasaan malu membuat kenyataan bahawa kemenangan BN di Teluk Intan membuktikan penerimaan kembali pengundi Cina terhadap BN.

Sementara Najib dan Muhyiddin hanya menyatakan rasa syukur atas kemenangan itu, para pemimpin lain sebaliknya berlumba-lumba mahu menunjukkan kepada pucuk pimpinan bahawa gerak kerja merekalah yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sambil melahirkan keyakinan bahawa kejayaan yang lebih besar diyakini dicapai dalam pilihanraya seterusnya.

Pemimpin UMNO terbaru yang mahu menunjukkan bahawa sumbangan beliaulah menjadi penyumbang kepada kemenangan BN di Teluk Intan ialah Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Dalam Negeri yang menyatakan amaran beliau kepada kumpulan kongsi gelap agar jangan masuk campur dalam kempen dan kegiatan mengugut telah menjadi penyumbang kepada kemenangan itu.

Menurut pemimpin kanan UMNO, disebabnya amarannya itu, kongsi gelap di Teluk Intan tidak berani masuk campur dalam kempen pilihanraya itu dari segi mengugut, mengarah dan memberi amaran kepada pengundi. Dalam erti kata lain, amaran Zahid itu bagai membuatkan semua kongsi gelap jadi kecut perut dan tidak berbuat apa-apa kerana terlalu gementar dengan amaran yang telah diberikannya sebelum itu.

Barangkali wajah Zahid yang bengis dan sentiasa masam itu telah mendatangkan ketakutan yang amat sangat kepada kongsi gelap!

Mereka menjangkakan majoriti di Teluk Intan daripada 12,000 turun kepada 6,000, kemudian turun lagi kepada 2,000 tapi Alhamdulillah kita menang 238 undi, kata Zahid yang semasa kempen pilihanraya itu turut menggelarkan pengundi Cina sebagai golongan yang tidak bersyukur kepada kerajaan.

Kenyataan Zahid ini tidak syak lagi menunjukkan percubaan menonjolkan keupayaannya yang luar biasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam membantu BN mencapai kemenangan, walaupun mungkin ramai yang tersengih sinis dengannya. Zahid dilihat bukan saja cuba menunjukkan sumbangannya yang besar, malah juga tahap keupayaannya sebagai pemimpin yang tidak ada pada mana-mana pemimpin lain.

Ini kerana tidak pernah ada mana-mana Menteri Dalam Negeri sebelum ini yang mengakui ditakuti oleh kongsi gelap. Zahid adalah satu-satunya di negara ini.

Jika benar kerana amarannya itu telah menjadi penyumbang kepada kemenangan BN, maka ada baiknya Perdana Menteri mengekalkan saja Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri sehingga beliau mati. Ini kerana dalam mana-mana pilihanraya pastinya akan melibatkan campurtangan kumpulan kongsi gelap dan amaran beliau saja sudah mampu membuatkan mereka tidak melibatkan diri atau campurtangan.

Sudah tentu dengan adanya Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri yang ditakuti oleh kumpulan kongsi gelap, BN akan sentiasa menang dalam mana-mana pilihanraya kecil selepas ini dan begitu juga dalam pilihanraya umum nanti.

Atas sumbangannya itu, wajarlah dijadikan Kementerian Dalam Negeri milik Zahid Hamidi untuk selama-lamanya atau sehingga beliau meninggal dunia.

Tetapi tentunya orangramai juga tertanya-tanya, kenapa tiada tangkapan terhadap kongsi gelap sepanjang kempen pilihanraya itu? Kegiatan kongsi gelap bukan sekadar diberi amaran, tetapi harus dibendung sehabis-habisnya.

Jika pengakuan Zahid boleh diambil kita yang menyatakan beliau kenal semua kongsi gelap itu dan tahu di mana mereka bersembunyi, tentulah tidak sukar untuk melakukan serbuan atau tangkapan.

Namun demikian, kenyataan Zahid ini juga ada kontradiksinya apabila dua hari lalu beliau juga menyatakan sudah meninggalkan hobi menunggang motosikal besarnya buat sementara waktu kerana mematuhi nasihat polis yang bimbangkan ditembak oleh kumpulan gangster.

Kalau sudah boleh membuatkan kumpulan kongsi gelap mendengar serta patuh dengan amarannya, kenapakah beliau tidak boleh memberi amaran agar jangan menembaknya ketika menunggang motosikal besar?

Atau kenyataan ini satu lagi percubaan mahu menonjolkan dirinya yang kian disisihkan lantaran Najib sejak kebelakangan ini didapati memberi lebih keistimewaan kepada Hishammuddin Hussein berbanding dirinya? (SH 10/06/2014)

Monday 9 June 2014

LPHJ - Idea Khaled Atau Kehendak Sultan?


Isu campurtangan Sultan atau Raja kembali menjadi perbualan berikutan hasrat Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu membentangkan rang undang-undang penubuhan Lmebaga Perumahan dan Hartanah Johor atau LPHJ. Ia dijangka dibentangkan hari ini di DUN Johor tetapi ramai pihak mahukan ia ditangguhkan dan diteliti semula kerana jelas memperlihatkan campurtangan Sultan didalamnya.

Walaupun Menteri Besar masih diletakkan sebagai Ketua Eksekutif lembaga itu manakala Exco Perumahan sebagai timbalannya, pertuntukan rang undang-undang itu yang memberi kuasa kuasa kepada Sultan dalam beberapa aspek, meskipun atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri, tetapi ia tetap menimbulkem kebimbangan ramai.

Kebimbangan ramai ialah kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang, kuasa eksekutif dalam mana-mana pentadbiran adalah dipegang oleh Menteri Besar di peringkat negeri dan Perdana Menteri di peringkat pusat, kecuali hal-hal berkaitan agama yang diletakkan dibawah Sultan atau Yang Dipertuan Agong.

Sebelum ini, laporan awal yang didedahkan menyebut bahawa LPHJ itu memberi kuasa penuh kepada Sultan Johor untuk melantik ahli lembaganya, memantau akaun dan membubarkannya. Malah difahamkan Sultan juga diberi kuasa menentukan ganjaran dan perlantikan ahli lembaga pengarah serta menentukan anggaran perbelanjaan setiap tahun sebelum mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Selain Pas dan DAP yang membantah pembentangan rang undang-undang baru itu yang disifatkan bertentangan dengan amalan Raja Berperlembagaan dan mungkin akhirnya mencemarkan kedudukan Raja, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Johor, Ali Hashim juga menyatakan kebimbangannya. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam juga turut melahirkan kebimbangan dan mahukan penerangan yang lebih kepada orangramai diberikan.

Akhbar Utusan pula menjadi suara paling lantang mengkritik rang undang-undang baru itu. Namun demikian Perdana Menteri, Najib Razak seakan bersetuju dengan penubuhannya dan menyatakan ia selaras dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang.

Najib juga dilaporkan sudah diberikan penerangan oleh Khaled mengenai penubuhan LPHJ yang akan merancakkan lagi pembinaan rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor.

Bagaimanapun Khalid juga dilaporkan sudah meminda peruntukan dalam rang undang-undang itu dengan memasukkan perkataan atas nasihat Menteri Besar dan atas kuasa kerajaan negeri berikutan sanggahan bertali arus daripada banyak pihak sejak beberapa hari lalu mengenai rancangan penubuhan LPHJ itu.

Selain ramai melahirkan kebimbangan mengenai Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak yang menjadi sistem negara ini, memberi kuasa kepada Sultan juga mendedahkan kepada pelbagai elemen yang akhirnya mencemarkan kedudukan Raja itu sendiri. Jika LPHJ itu dipertikai dan dikecam, akhirnya kedudukan Raja juga terlibat sama.

Dalam pada itu, yang menjadi persoalan juga ialah kenapapah LPHJ ini mahu ditubuhkan dan siapa punya idea mengenainya? Adakah ia idea Khaled selaku Menteri Besar, kehendak Sultan Johor atau idea daripada kalangan yang rapat dengan Istana Johor?

Dan jika ianya idea daripada Khaled sendiri, apakah LPHJ ini benar-benar perlu dalam memastikan pembinaan rumah kos rendah dah rumah mampu milik dapat dibina? Adakah kedudukan Khaled sendiri sebagai Menteri Besar, adanya Exco perumahan, pelbagai jabatan dan agensi lainnya masih tidak cukup untuk membina rumah bagi kepentingan rakyat Johor?

Atau adakah ia menunjukkan kepimpinan Khaled yang begitu lemah sehingga memerlukan sebuah lembaga yang ada peranan dan penglibatan Sultan Johor sendiri dalam menggerakkannya mentadbir negeri itu?

Sebenarnya begitu banyak persoalan yang bermain di kepala rakyat mengenai LPHJ ini tetapi yang paling dibimbangi ialah kedudukan Raja akhirnya akan tercemar dan terdedah kepada pelbagai kritikan serta kemungkinan adanya campurtangan pihak lain dalam pentadbiran negeri yang menggunakan kedudukan Raja itu sendiri.

Semua pihak memahami Raja ialah Raja Berperlembagan dan bukannya Raja Mutlak serta mahu kedudukan itu dikekallan sampai bila-bila. Memberi kuasa kepada Raja campurtangan melalui LPHJ ini juga memungkinkan di lain masa wujud pelbagai lembaga lain dalam kepentingan yang lain pula atau dituruti oleh negeri lain.

Jika itu berlaku dan bangkit kemarahan rakyat, siapakah yang mahu dipersalahkan. Mahathir sebelum ini pernah mengingatkah bahawa meskipun orang Melayu taat dan sayang kepada Raja tetapi sejarah juga memperlihatkan mereka tidak teragak-agak menentang seperti mana dalam sejarah Sultah Mahmud mangkat dijulang.

Oleh itu, dengan Khaled tetap juga bertekad mahu membentangkan rang undang-undang itu dan suara UMNO pula hampir tenggelam dalam isu ini, tidak disangsikan lagi bahawa LPHJ ini akan menjadi kenyataan akhirnya. Namun tiada sesiapa yang dapat memberi jaminan bahawa melalui lembaga itu kedudukan Raja sentiasa terpelihara, tidak terdedah kepada cecehan umum dah pelbagai dakwaan yang tidak baik.

Tetapi jika berlaku sesuatu yang tidak baik dan kedudukan Raja tercemar ddi masa hadapan, tentulah Najib, Khaled dan UMNO yang gagal berperanan sewajarnya akan memikul tanggungjawabnya. Sejarah akan menghukum mereka selagi ada bulan dan bintang. (SH 09/06/2014)

Friday 6 June 2014

Najib Perlu Tangkap Segera Pemimpin ISMA...


Walaupun pernah dikritik oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad agar berdiam diri dan menyimpan saja segala pandangannya, para pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia atau Isma terus juga mengeluarkan suaranya yang ekstrem, melampau dan kadangkala tidak masuk akal mengenai isu-isu politik negara ini.

Tetapi tidak seperti Perkasa yang jelas hala tujunya untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan hak Bumiputera dan pemimpinnya juga dikenali ramai, sebaliknya Isma ini bukan saja tidak begitu dikenali latar belakang pemimpinnya, malah apa inti perjuangannya pun tidak jelas.

Jika mengikut namanya, ia seperti memperjuangkan hal-hal berkaitan Islam dan umat Islam tetapi serangannya yang keterlaluan kepada bangsa dan kaum lain secara semberono kadangkala bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Islam tentunya tidak pernah mengajar seperti apa yang dilakukan oleh Isma ini.

Dalam mereka mengkritik bangsa lain dan pemimpin pembangkang, kadangkala juga diragui jika Isma ini ditaja oleh UMNO atau Perdana Menteri kerana dalam banyak kenyataan yang dikeluarkannya jelas sekali tidak menguntungkan UMNO dan menjarakkan lagi sokongan bukan Melayu terhadap kerajaan dan juga Najib Razak.

Dan kalau pula kenyataan demi kenyataan yang kontroversi itu dikeluarkan semata-mata untuk menarik perhatian Putrajaya, memperolehi nama, beroleh imbuhan atau jawatan, namun sehingga ini tidak pula kelihatan ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang memberi layanan karpet merah kepada Isma dan para pemimpinnya.

Jadi, apa tujuan pemimpin Isma ini melalak tidak henti-henti mengenai Cina dan bukan Melayu serta menyerang secara melampau pemimpin-pemimpin parti bukan Melayu?

Di antara kenyataan Isma yang agak kontroversi sebelum ini ialah apabila membangkitkan soal kedatangan kaum Cina ke negara ini sebagai penceroboh sehingga membangkitkan kemarahan banyak pihak, malah beberapa laporan polis atas dakwaan menghasut juga turut dibuat.

Isma juga pernah menyarankan agar hukum hudud, jika mahu dilaksanakan, haruslah juga merangkumi orang Islam dan juga bukan Islam.

Selain bekas Perdana Menteri, Mahathir yang meminta Isma agar diam dan berhenti daripada membuat bising, seorang pemimpin MIC, Vell Pari pula menyifatkan Isma sebagai NGO yang menghidap penyakit kelamin dan badut yang langsung tidak menghiburkan.

Semalam pula, Isma sekali lagi mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan menuduh Lim Kit Siang mahu menghapuskan bangsa Melayu, bahasa Melayu serta kebudayaan Melayu melalui perjuangan politiknya.

Memang kenyataan itu amat kontroversi dan boleh menaikkan semangat. Jika Perdana Menteri seorang yang tidak cukup matang dan mudah terbuai, barangkali mahu saja menganugerahkan jawatan Senator kepada penuturnya dengan segera.

Tetapi, sesiapa pun yang normal lebih cenderung untuk tergelak kecil dengan salakan terbaru ini, berbanding terperanjat atau membenci Lim Kit Siang. Dalam masa yang sama, mungkin ramai pula yang bertanya, apa sebenarnya dimahukan oleh pemimpin Isma ini daripada kerajaan?

Kedudukan Melayu dan hal-hal berkaitan dengannya bukan saja dilindungi oleh perlembagaan dan dibentengi Raja-Raja Melayu, malah parti politik yang berteraskan Melayu pun masih wujud dan gagah dalam mempertahankan perkara itu. Apakah Isma fikir UMNO sudah tidak memperjuangkah Melayu lagi? Malah Pas yang memperjuangkan Islam pun tentunya juga akan bangkit dan menyingsing lengan kiranya bangsa Melayu atau bahasa Melayu mahu dihapuskan oleh Lim Kit Siang atau mana-mana pihak yang lain.

Kenyataan Isma ini bukan saja tidak masuk akal dan melampau, malah oleh kerana ia dilihat seperti mahu mempertahankan Najib dan kerajaan, serangan seumpama itu itu sebenarnya langsung tidak membantu Najib dan kerajaan untuk memupuk perpaduan dan memenangi pilihanraya akan datang. Malah ia mencemar nama Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan.

Lagi kerap Isma bercakap mengarut dan tidak logik seperti ini, lagi payah Najib dan kerajaan mahu mengharapkan sokongan komuniti bukan Melayu. Isma dengan karektor dan perangainya sekarang adalah pembawa masalah besar kepada UMNO, BN, kerajaan serta juga Najib dalam konteks untuk mendapat keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya akan datang kerana setiap kali bercakap, ianya sentiasa menjarakkan lagi hubungan kerajaan dengan bukan Melayu.

Sebagai sebuah negara merdeka yang memang sudah termaktub kewujudan Melayu, Cina dan India sebagai tiga kaum utamanya, mewujudkan persamaan dan saling memahami adalah lebih berfaedah daripada menimbulkan syak wasangka dan kebencian yang berterusan. Terimalah hakikat bahawa kewujudan tiga kaum utama ini tidak mungkin dipisahkan jika inginkan keharmonian.

Dalam hal ini, satu-satunya cara untuk membuat Isma diam dan tidak lagi mengarut ialah dengan kerajaan segera menangkap para pemimpinnya yang selama ini silih berganti mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak berfaedah kepada negara. Kenyataan demi kenyataan mereka jelas boleh disabitkan dengan kesalahan menghasut dan menjejaskan keharmonian.

Dengan menahan dan menyumbat pemimpin Isma ini ke penjara, bukan saja mulut mereka dapat ditutup, malahan dapat membuktikan bahawa Najib, UMNO dan kerajaan tiada kaitan langsung dengan NGO itu. Dengan itu, keharmonian akan dapat dicari jalannnya dan peluang untuk mendapat keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang juga turut menjadi lebih terbuka.

Berbanding dengan membiarkan Isma terus bercakap, selain merugikan UMNO dan juga kerajaan, malahan suara mereka juga lebih banyak memberi keuntungan secara tidak langsung kepada pembangkang yang diserangnya itu.

Oleh itu, Najib tidak harus berlengah lagi dalam bertindak terhadap Isma ini. Melayu pun lebih ramai benci berbanding suka dengan cara dan pendekatan NGO itu. (SH 06/06/14)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...