Wednesday 14 May 2014

Najib Mesti Jadi 'Jantan' Untuk Selesai Krisis Di Terengganu


Walaupun ADUN Bukit Besi, Roslee Daud sudah membuat pusingan U dengan kembali kepada UMNO, hanya setelah beberapa jam mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas, kedudukan kerajaan negeri masih lagi tidak stabil dan kekal terumbang-ambing.

Dengan Ahmad Said dan Ghazali Taib sehingga ini kekal sebagai ADUN Bebas, komposisi dalam DUN Terengganu sekarang ialah BN 15, PR 15 dan Bebas 2.

Sehingga ini penasihat undang-undang UMNO, penasihat kerajaan negeri dan Menteri Besar baru Terengganu, Ahmad Razif sendiri seolah-olah ingin kerajaan negeri terus berjalan seperti biasa dengan menggunakan kelebihan satu lagi undi daripada Speaker.

Melalui "undi betina" daripada Speaker yang bukan merupakan ADUN itu, UMNO dan BN beranggapan dan berkhayal kedudukan dalam DUN Terengganu sebenarnya kalah 16-15-2 dan seolah-olah selamat.

Tetapi logiknya, kedudukan itu pun masih tidak selamat bagi BN. Apa kata jika tiba-tiba Ahmad Said dan Ghazali Taib memihak kepada PR?

Sebagai ADUN Bebas, Ahmad Said yang sudah terluka hatinya dengan Najib, manakala Ghazali Taib pula mempunyai pertalian saudara dengannya, bila-bila masa saja boleh melakukan tindakan yang diluar jangkaan.

Mereka mungkin menolak untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan akta atau undang-undang oleh kerajaan negeri. Kedua mereka juga boleh bersikap "gila" dengan menolak untuk meluluskan perbelanjaan yang memerlukan kelulusan DUN. Bahkan jika PR yang mempunyai 15 undi mahu membawa usul menukar Speaker dan membawa undi tidak percaya kepada Menteri Besar baru, bagaimana jika kedua-dua mereka memihak kepada usul tersebut?

Meskipun Pas sehingga ini menolak sebarang usaha untuk membawa Ahmad Said dan Ghazali Taib memihak kepada mereka, tetapi haruslah diingat bahawa bekas Menteri Besar itu sudah terluka dan berdarah hatinya. Apa-apa saja tindakan yang boleh memuaskan hati dan melunaskan dendamnya, tidak mustahil menjadi pilihannya.

Lagi pula, alang-alang sudah berani mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas tiada ruginya jika beliau mengambil beberapa langkah lain sebagai membalas dendam dan ingin memberi pengajaran kepada Najib yang seolah-olah tidak bertimbang rasa untuk menangguhkan pertukarannya sehingga majlis perkahwinan anaknya selesai pada 17 Mei ini.

Dengan pengetahuan umum bahawa Najib juga mengadakan majlis pertunangan anaknya di Seri Perdana, tindakan Perdana Menteri enggan menangguhkan penggugurannya sehingga perkahwinan anaknya itu tentulah begitu mengecewakan dan seolah-olah Najib ingin bersikap tegas dengan tidak membenarkan majlis itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar. Dalam masa yang sama, Najib juga bagaikan merenggut kemeriahan majlis perkahwinan anaknya itu.

Dalam keadaan ini, bagaimana Najib dan UMNO mahu menguruskan kedudukan dua ADUN Bebas ini adalah merupakan suatu persoalan yang rumit, lebih-lebih lagi tempoh pilihanraya umum seterusnya masih panjang lagi.

Sebagai parti yang berkuasa dan mempunyai banyak sumber, UMNO mungkin boleh memujuk dan menjinakkan kedua-dua mereka itu. Tetapi sebagai bekas Menteri Besar, kos memujuk dan menjinakkan Ahmad Said tentulah juga tinggi. Lagi pula berbaloikah ianya dilakukan?

Apa sebenarnya pilihan yang terbaik bagi Najib?

Apa yang berlaku di Terengganu ini hampir sama dengan apa yang belaku di Perak pada 2009 dahulu. Bezanya cumalah kerajaan negeri tidak bertukar tangan kerana Ahmad Said dan Ghazali tidak mengisytiharkan kedudukannya sebagai wakil Bebas yang menyokong PR. Maknanya, untuk kerajaan negeri bertukar daripada BN kepada PR hanyalah memerlukan pengisytiharan itu saja.

Walaupun ada yang berhujah bahawa Ahmad Said tidak mungkin memihak kepada PR dan Pas kecualilah jika beliau dijadikan Menteri Besar semula dan ia juga sesuatu yang amat sukar diterima oleh Pas, tetapi untuk kedua-dua pihak ini bekerjasama dan saling bantu-membantu dalam perkara yang lain, tentulah bukan mustahil.

Jalan selamat bagi UMNO untuk mengelakkan ketidakstabilan dan ketidaktentuan di Terengganu hanyalah dengan segera mengadakan pilihanraya negeri. Biarlah rakyat yang akan menentukan sama ada mereka mahukan kerajaan BN atau PR yang memerintah negeri itu.

Jika ketika krisis di Perak dulu yang turut diketuai oleh Najib yang diarahkan oleh Pak Lah mengetuainya, proses mengadakan pilihanraya negeri semula begitu ditolak sehingga menggunakan proses mahkamah kerana bimbangkan keputusan yang lebih buruk, kini sebagai Perdana Menteri, Najib perlulah menunjukkan kejantanannya yang sebenar.

Selagi tidak diserahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan, pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku bila-bila masa saja. Oleh itu, lebih baiklah diadakan pilihanraya negeri semula dan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Jika BN terus dipilih oleh rakyat, ia akan membuktikan wibawa Najib dan UMNO dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Jika ditakdirkan BN kalah pula, sekurang-kurangnya Najib dapat membuktikan kejantanannya dan kalah pula secara jantan.

Namun yang pentingnya, dengan mengadakan pilihanraya negeri, gangguan daripada pengaruh Ahmad Said yang sudah menjadi "hantu raya tak bertuan" dapat dilenyapkan. Ia lebih memberi kebaikan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.(SH 14/05/2014)

6 comments:

  1. Padan muka si najib yang bodoh dan bahalol tu...!

    ReplyDelete
  2. Padan muka si najib yang bodoh dan bahalol tu...!

    ReplyDelete
  3. Nampaknya speaker kena angkat tangan bersama adun masa pengundian sebarang usul. celaru dah ni . boleh ke. hehehe.

    ReplyDelete
  4. Kita maki hamon bukan budaya islam tetapi beri pandangan yg positif. Tuan shah beri pandangan yg baik inila dia penanalisa politik meningkat membantu raayat berfikiran positif

    ReplyDelete
  5. Dalam kemelut Teranganu yang menonjol ialah sifat saorang pemimpin , yang apabila hilang kedudokan , hilang jugalah prinsip perjuangan dan keperchayaan kapada perjuangan yang selama ini ditonjolkan dan didodoikan .
    Layakkah sikap sebagini diangkat jadi pemimpin ?.
    Beginilah rupa pemimpin Melayu masa kini , hilang kedudokan, gadaikan segala-galanya termasok negeri dan rakyat yang memberi keperchayaan .

    Melayu kena hati-hati memilih pemimpin.

    ReplyDelete
  6. Ahmad Said u-turn jugak nampaknya!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...