Friday 13 September 2013

Walaupun Masih Jadi Teka-Teki, Kempen Ku Li Sedang Berjalan Sebenarnya


Ketika ini, kedudukan sama ada Tengku Razaleigh Hamzah akan bertanding atau tidak jawatan Presiden UMNO masih lagi samar dan tiada kepastian. Ahli Parlimen Gua Musang itu juga dalam sidang akhbarnya minggu lalu meminta orangramai menunggu sehingga 28 September depan iaitu hari pendaftaran untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai dirinya.

Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah, demikian lebih kurang jawapan ringkas Tengku Razaleigh atau Ku Li kepada pemberita yang meminta kepastian daripadanya.

Jawapan Ku Li terus mengundang tanda-tanya kepada orangramai dan ahli-ahli UMNO sendiri. Lebih-lebih lagi kepada 150 ribu perwakilan yang pertama kali akan menentukan pucuk pimpinan UMNO melalui sistem baru yang diperkenalkan ini, sama ada jawatan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, turut mengundang debaran.

Ku Li pula, selepas saja sidang akhbarnya pada Jumaat lepas, telah pun berlepas ke Eropah untuk bercuti bersama keluarganya. Beliau hanya akan kembali ke tanahair pada 25 September, tiga hari sebelum hari pendaftaran yang ditetapkan oleh Ibu Pejabat UMNO.

Pemergianya bercuti dan pulang ke tanahair pada 25 September, menambahkan lagi spekulasi dan teka-teki itu.

Untuk sesiapa yang ingin bertanding bagi jawatan dalam UMNO kali ini, mereka hanya perlu mendaftarkan nama sahaja. Bagi jawatan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri, hari pendaftaran telah ditetapkan pada 21 September manakala bagi Majlis Tertinggi pula pada 28 September.

Pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan Pusat akan diadakan secara serentak di seluruh negara di mana Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 12 Oktober manakala Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Sementara kedudukan Ku Li masih menjadi tanda-tanya, orangramai pula sibuk membuat pelbagai spekulasi sama ada beliau bertanding atau sebaliknya. Beberapa pemimpin UMNO juga telah tampil memberi pandangan agar Ku Li tidak perlu mencabar Najib, malah akhbar Utusan melalui kolum Awang Selamat juga turut memberi pandangan dengan nada yang serupa.

Beberapa Badan Perhubungan UMNO Negeri pula telah membuat usul dan ketetapan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, walaupun Najib sendiri secara terbuka menyatakan beliau sedia dicabar.

Ternampak semacam ada kebimbangan di kalangan sesetengah pemimpin UMNO jika Ku Li bertanding mencabar Najib, meskipun di ketika yang sama berbuih mulut masing-masing bercakap soal demokrasi, transformasi dan hak asasi dalam parti.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan pula melahirkan keyakinan bahawa Ku Li tidak akan mencabar Najib. Katanya, dakwaan bahawa Ku Li akan mencabar Najib hanyalah sekadar "cerita-cerita" saja.

Bagaimanapun bagi ahli UMNO yang inginkan perubahan dan tidak mahu Najib tersasar lebih jauh daripada landasan yang sewajarnya, mereka merasakan jawatan Presiden UMNO patut dipertandingkan supaya Najib sekurang-kurangnya tahu sejauh mana ahli UMNO menyokong dan bersama-sama dengannnya di sebalik pelbagai isu dan kemelut yang melanda parti dan negara sejak beliau mengambil alih kepimpinan daripada Pak Lah pada 2009 lalu.

Dengan kepimpinan Najib yang ditafsir lemah, mudah mengalah dan terlalu kompromi dengan kaum lain, kebimbangan sebahagian besar ahli UMNO ialah bukan saja menngenai kemungkinan Najib tersasar lebih jauh jika sokongan terhadapnya tidak diuji, malah ada yang terang-terang menyatakan UMNO dan BN akan ditimpa musibah lebih buruk dalam PRU 14 nanti andainya Najib dikekalkan lagi.

Ku Li kini dilihat satu-satunya pencabar paling mungkin untuk mencabar Najib. Tindakannya mengadakan sidang akhbar khusus minggu lalu dan bercakap mengenai pelbagai perkara - UMNO, ekonomi, rasuah dan sebagainya dilihat oleh banyak pihak sebagai petanda awal ke arah itu. Semua isu dijawab dan dihuraikannya dengan jelas, kecuali mengenai kemungkinan beliau mencabar Najib atau tidak saja yang ditinggalkannya dengan tanda soal.

Jika tidak mahu bertanding, buat apa Ku Li mengadakan sidang akhbar itu, kata seorang pemimpin UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan.

Dalam masa yang sama, di sebalik segala-galanya masih menjadi teka-teki, tukang-tukang kempen Ku Li didapati sudah berada di merata-rata tempat sekarang ini. Selain bertemu dan merapatkan diri dengan seramai mungkin pemimpin UMNO peringkat akar umbi, mereka juga sedang meninjau sejauh mana mood perubahan sedang mengalir dalam diri ahli-ahli UMNO seluruh negara sambil juga mengira-ngira peratus sokongan yang sudah dan boleh diperolehi.

Rasa muak rakyat terhadap UMNO sebagaimana yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin UMNO kebelakangan ini seperti Nur Jazlan dan Nazri Aziz, manakala Mustapa Mohamed pula mengingatkan bahawa UMNO tidak akan berkuasa sehingga kiamat turut dinilai dan dianalisa oleh tukang-tukang kempen ini serta sejauh mana ia berkait-rapat dengan mood perubahan yang ada itu.

Perubahan yang sedang berlaku di peringkat cawangan di seluruh negara di mana didapati beberapa pemimpin atau mereka yang rapat dengan pemimpin telah tewas sebagai Ketua UMNO Cawangan turut menjadi perhatian tukang-tukang kempen Ku Li sekarang ini dan melihatnya sebagai petanda yang baik ke arah perubahan dalam UMNO.

Dengan keputusan piliharaya yang lebih buruk, kelemahan Najib, perubahan yang tidak ketara, perangai pemimpin tetap sama, tekanan kaum lain, ketakutan kalah PRU 14, isu ekonomi dan lain-lainnya, memang diakui sedang merangsang kepada perubahan dalam UMNO menjelang pemilihan 19 Oktober depan.

Di mana-mana dan di segenap peringkat orang bercakap tentang Najib. Nadanya pula jelas, pesimis mengatasi optimis.

Gelombang perubahan memang sudah ada, tetapi sedikit masa lagi dan menjelang 19 Oktober, kita harap ianya akan menjadi tsunami, kata seorang tukang kempen Ku Li yang kebetulan ditemui baru-baru ini. (SH 13/09/2013)

4 comments:

  1. Saya harap sungguh ku li cabar najib. Ku li seorang anak melayu sejati smtara najib seorang melayus. Kita lihat kekuatan melayu kembali memerintah

    ReplyDelete
  2. Ku Li harus cabar najib...dan bawa najib ke muka pengadilan.

    ReplyDelete
  3. Jangan harap pemimpin dan ahli-ahli umno nakkan perubahan.Itu cerita dongeng nak tipu rakyat. Negara ini lebih baik bila umno dah tak wujud lagi.

    ReplyDelete
  4. Bagus nya parti UMNO Baru ialah apabila tiada pertandingan dalam parti sesiapa pun dianggap ahli seumur hidup. Tapi bila tiba masa pemilihan pemimpin baeu mkaka ketika itu baru diungkit sipolan yang bercita-cita nak bertanding ru bukan ahli parti.....

    Apakah Ku Li ni benar-benar ahli parti yang berdaftar ? Sila siasat ada kemungkinan Ku Li tidak bayar yuran keahlian dan dia bukan ahli UMNO Baru.

    Taktik penipu dulu kini dan selamanya....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...