Thursday 30 May 2013

Mungkinkah Daim, Zam Memulakan Perubahan Dalam UMNO?


Selepas bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin mengkritik kegagalan Najib mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihanraya lalu dan menyarankan supaya penasihat-penasihat Perdana Menteri dipecat ekoran kegagalan itu, seorang lagi bekas menteri iaitu Zainuddin Maidin atau Zam juga mula mengkritik cara kempen Najib sepanjang pilihanraya lalu. Beliau menyifatkan kempen Najib penuh pura-pura dan palsu.

Jika diimbas kembali sejak pilihanraya 5 Mei lalu, walaupun BN masih mengekalkan kuasa, hampir tidak ada pujian yang diterima Najib. Mahathir secara terbuka tidak menyangka keputusan yang lebih buruk daripada pencapaian Pak Lah yang mampu dicapai oleh Najib tetapi menyalahkan sikap pengundi Cina yang tidak memihak kepada kerajaan sebagai puncanya.

Pemimpin UMNO yang lain pula, walaupun mungkin gembira dengan pengekalan kuasa oleh BN tetapi masih terasa malu untuk menghamburkan pujian kerana menyedari kemenangan 133 kerusi yang dicapai oleh BN sebenarnya masih tidak berbaloi dengan kos dan belanja yang dikeluarkan untuk memenangi pilihanraya kali ini. Semua orang tahu bahawa kos besar BN bukan saja untuk pelbagai kelancaran jentera semasa kempen tetapi juga meliputi kos iklan, banner, billboard, iklan radio, tv, intenet dan pelbagai propaganda lainnya yang dianggarkan menelan belanja yang sangat besar jumlahnya.

Di sepanjang lebuhraya dan jalan-jalan utama seluruh negara pula, hampir setiap setengah kilometer kita akan terjumpa gambar Najib dalam pelbagai rupa kempen pilihanraya, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sebab itu, ramai yang terasa malu untuk memberi pujian kepada Najib sedangkan Pak Lah yang dikata banyak tidur pun masih mampu mencapai kemenangan 140 kerusi Parlimen. Lantaran itu, hanya yang tidak terasa malu dan mungkin kerana kepentingan yang terlalu besar saja yang sanggup memuji Najib dengan pencapaian 133 kerusi itu.

Dengan Daim dan Zam mula mengkritik Najib, apakah ini mempunyai kaitan dengan pemilihan UMNO yang bakal berlangsung hujung tahun ini. Sebelum pilihanraya lalu, Mahathir dan Daim pernah membayangkan bahawa kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri mungkin berada dalam bahaya jika gagal mencapai keputusan yang lebih baik daripada 2008.

Kini dengan ternyata pencapaian yang lebih baik gagal dicapai oleh Najib, semua orang tertunggu-tunggu bilakah angin perubahan itu mula bertiup. Walaupun di kalangan rakyat biasa dan dalam UMNO sendiri, persoalan mengenai angin perubahan ini menjadi perbualan yang kerap, tetapi semua orang masih menunggu siapakah yang mahu memulakannya dulu.

Semua orang nampaknya masih takut-takut dan ada perasaan was-was kerana bimbang jika mereka yang memulakan dulu, takut pula angin perubahan itu akan memakan diri sendiri. Kerana itu, di kalangan pemimpin yang masih berjawatan tidak ada yang berani mengkritik Najib atau memintanya berundur.

Mahathir pula, yang baru-baru ini merasakan Najib akan terus kekal kerana tiada pemimpin lain yang berwibawa disifatkan oleh banyak pihak pihak sebagai tikus yang sudah jatuh ke tong beras kerana anaknya Mukhriz sudah pun menjadi Menteri Besar Kedah manakala dengan terus kekalnya BN pula menjadikan kepentingan anak-anaknya yang lain dalam perniagaan akan juga kekal terpelihara.

Apakah Daim dan Zam yang sudah tidak berjawatan ini sedang cuba meniupkan angin perubahan dalam UMNO? Kritikan terbuka terhadap Najib sudah tentu akan membuka ruang kepada pelbagai andaian dan spekulasi dan mungkin akhirnya akan mencetuskan gelombang perubahan yang lebih besar lagi. ( SH 30/05/2103)

Monday 27 May 2013

Siapa Bakal Setpol PM Mula Jadi Bualan?


Sebaik reda dengan perlantikan anggota kabinet selepas BN berjaya menggenggam kuasa mentadbir negara untuk tempoh lima tahun lagi, perbualan dalam UMNO kini tertumpu kepada perlantikan pegawai-pegawai kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga menteri-menteri kabinet. Yang paling menjadi tumpuan ialah jawatan Setiausaha Politik kerana jawatan tersebut dianggap berkait rapat dengan kejayaan atau kegagalan seseorang pemimpin, selain jawatan Setpol juga selalunya dianggap batu loncatan untuk mendaki tangga dalam hireaki UMNO dan kerajaan.

Diantara semua jawatan tersebut, jawatan Setpol PM yang paling banyak diperbual dan diperkatakan kerana dalam pilihanraya umum lalu, semua Setpolnya telah diberikan sijil "winnable candidate" oleh Najib dan seterusnya dijadikan calon pilihanraya. Malangnya semua mereka telah kalah di kawasan masing-masing.

Fatmi Che Salleh kalah di Kota Bharu, Sahlan Ismail kalah di Pokok Sena, Shafei Abdullah kalah di Wangsa Maju dan Suffian Awang pula kalah di Kuantan. Seorang lagi pegawai khas Najib, Latt Shahriman pula kalah di DUN Kubang Rotan, Kedah.

Lebih seminggu selepas mengangkat sumpah sebagai PM dan kabinet juga sudah dibentuk, Najib nampaknya masih belum mempunyai Setpol untuk membantu melicinkan tugas-tugasnya. Sementara difahamkan ramai yang memohon dan melobi jawatan tersebut, bekas-bekas Setpolnya yang kalah bertanding juga dikatakan sedang melobi untuk mengisi semula jawatan tersebut. Setelah kalah dan tidak mempunyai kerja, sebahagian bekas Setpol ini mahu kembali ke jawatan lama mereka dan ingin menjadi orang penting kepada PM semula.

Sejak bertahun-tahun lamanya, isu Setpol Najib ini paling banyak menjadi rungutan di kalangan ahli-ahli UMNO kerana kebanyakan mereka dianggap tidak mesra rakyat, memilih kawan, bersikap eksklusif dan tidak seperti Setpol-Setpol PM sebelum ini yang rajin bercampul gaul serta bergelak ketawa dengan orang ramai.

Setpol Najib pula hanya muncul dalam majlis-majlis tertentu saja, bahkan sesetengahnya hanya kelihatan menampakkan wajah di majlis-majlis yang dihadiri Najib saja. Selebihnya mereka bergelumang entah ke mana.

Sikap dan perlakuan mereka itu dikaitkan bukan saja dengan kekalahan mereka bertanding di kawasan masing-masing tetapi juga dipercayai antara punca kemerosotan sokongan yang diterima oleh Najib dan BN dalam pilihanraya yang lalu.

Sebaik kedengaran ada bekas Setpol ini yang sedang melobi untuk kembali menjadi orang penting Najib, rungutan mula kedengaran di pelbagai peringkat dalam UMNO iaitu pemimpin peringkat bahagian, ahli biasa, aktivis dan pencacai yang mengecam perbuatan itu. Mereka menyifatkan Setpol terbabit sebagai tamak, tidak sedar diri dan sebagainya. Sudah kalah bertanding, carilah kerja lain, demikian antara kata-kata yang sering kedengaran.

Terdapat juga di kalangan mereka yang secara terbuka memberi peringatan kepada Najib agar tidak menerima semula Setpol lamanya bekerja semula dengannya. Najib dituntut untuk melakukan pembaharuan dan transformasi dalam kepimpinannya dengan membentuk wajah baru di kalangan pegawai kanan dan kirinya kali ini.

Ada yang berhujah, disebalik Najib menjanjikan sekian banyak perubahan dan transformasi daripada dalam UMNO dan kerajaan sendiri, jika transformasi perlantikan Setpol ini pun masih terbelenggu dengan wajah-wajah lama yang kelam dan usang, bermakna perubahan dalam bentuk yang lain lebih sukar untuk dipercayai oleh rakyat.

Ada juga yang seakan mengugut Najib bahawa sekiranya seorang sahaja pun daripada bekas Setpolnya itu yang dilantik semula, mereka tidak mahu lagi menyokong kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Sementara pelbagai pihak mula melobi dan memohon jawatan tersebut, pelbagai cadangan juga turut muncul yang secara praktikalnya mahukan Najib lebih berhati-hati dalam perlantikan itu dan tidak memilih mereka yang rakus dan mementingkan diri, sebaliknya mengutamakan seorang yang mengutamakan parti, kerajaan dan PM sendiri sebagai majikan mereka.

Diharapkan Najib tidak lagi salah pilih kali ini. ( SH 27/05/2013)



Saturday 25 May 2013

BN Sebagai Parti Tunggal Jauh Lebih Baik, Syabas Muhyiddin!


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan menyambut baik syor mahu menjadikan BN sebagai parti tunggal pelbagai kaum, tidak lagi seperti sekarang di mana BN hanyalah merupakan gabungan parti-parti yang kebanyakannya berasaskan kaum seperti UMNO dengan Melayunya, MCA dengan Cinanya, MIC dengan Indianya manakala lain-lain parti pula dengan kepentingan perjuangan masing-masing.

Menurut Muhyiddin, syor itu walaupun baik tetapi perlu kajian mendalam dan sikap berlapang dada semua parti-parti dalam komponen BN. Maknanya, walaupun ia disedari baiknya tetapi tidak mudah diterima oleh semua orang.

Sekali imbas, sikap Muhyiddin ini menggambarkan kesedaran beliau bahawa parti politik berasaskan kaum semakin tidak diterima rakyat dan mungkin pupus akhirnya. Sikap masyarakat yang semakin terbuka dan berpendidikan menyebabkan semakin ramai yang merasakan perjuangan berasaskan kaum adalah perjuangan yang sempit dan tidak membantu keharmonian negara yang berbilang kaum seperti Malaysia ini.

Selain itu, dengan masing-masing parti berjuang hanya untuk kaum masing-masing lebih mudah menyebabkan timbulnya ketegangan kaum.

Untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, kewujudan BN sebagai parti tunggal berbilang kaum seharusnya diterima baik. Ia lebih membantu ke arah pembinaan negara yang stabil dan harmoni. Tetapi sebagai negara yang majoritinya Melayu dan Bumiputera, keutamaan dan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu seharusnyalah dikekalkan, sejajar dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Negara sendiri.

Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Muhyiddin apabila beliau meminta semua parti berlapang dada menerima syor ini. Janganlah nanti, masing-masing menuntut hak sama rata pula tetapi yang pentingnya dengan menjadikan BN sebagai parti tunggal ini akan menjadikan segala perbincangan dan tuntutan mengenai kaum dapat dilakukan secara terbuka dan telus, tidak lagi seperti sekarang di mana dalam mesyuarat UMNO, banyak serangan seperti nak berperang ditujukan terhadap kaum Cina, India dan sebagainya dan begitulah juga sebaliknya.

Dalam isu parti pelbagai kaum ini, saya telah menulis dalam buku Najib Perdana Menteri Terakhir, kira-kira dua tahun lalu bahawa parti berasaskan kaum akan ditolak lama-kelamaannya oleh rakyat. Sikap rakyat yang lebih terbuka sekarang menyebabkan mereka lebih menerima Pas yang berjuang atas nama Islam, PKR atas keadilan rakyat, DAP berasaskan amalan demokratik dan sebagainya.

Lagi pula rakyat semakin luas percampurannya. Mereka bukan saja mencari rezeki bersama, duduk semeja sewaktu makan dan berhibur, malah sudah semakin ramai Melayu, Cina dan India yang tinggal serumah. Yang jatuh cinta dan kahwin campur pun semakin meningkat jumlahnya. Ini bermakna batasan kaum semakin dipinggirkan.

PAS, walaupun berasaskan Islam tetapi ia juga menerima kaum-kaum lain menyertainya. Begitu juga PKR, walaupun lebih condong ke Melayu, ia juga terbuka kepada pelbagai kaum. Begitu juga DAP, walaupun diketuai Cina tetapi realitinya ia adalah pelbagai kaum dan boleh disertai oleh sesiapa saja.

Tuntutan menghapuskan parti berasaskan kaum dan bangsa ini juga sesuai dengan tuntutan zaman. Hampir tidak ada negara du dunia ini lagi yang masih mengamalkan perjuangan berasaskan kaum sepertimana di Malaysia. Ia tidak ada di Amerika, tidak ada di China dan India, tidak ada di Indonesia dan tidak ada juga di pelbagai tempat lainnya.

Semua parti-parti politik di negara berkenaan biasanya berteraskan prinsip dan halatuju yang ingin dicapai dalam perjuangan yang boleh diterima oleh semua kaum dan bangsa. Tidak ada hanya untuk kaum-kaum tertentu sahaja.

Muhyiddin nampaknya sedang mengorak langkah mambawa BN jauh ke hadapan. Berdasarkan keputusan PRU 13, tidak diragukan lagi jika perjuangan berasaskan kaum ini diteruskan, kalau pun tidak dalam PRU 14, lama-kelamaan ia pasti menemui titik nokhtahnya juga. Rakyat telah menunjukkan penolakan kepada perjuangan berasaskan kaum ini.

Lagi pula, sementara kita senantiasa diajak bersatu padu dan menjalin hubungan dengan kaum-kaum lagi, dalam masa yang sama kita juga melakukan kontradiksi dengan mengagung serta mengutamakan kaum masing-masing apabila berpolitik. Memang tiada salahnya mengutamakan kaum sendiri tetapi dengan kewujudan UMNO, MCA dan MIC, perjuangan dan tuntutan mengenai kaum itu lebih mudah menjadi sesuatu yang melampau dan menyinggung hati kaum lain.

Akhirnya ketegangan kaum juga lebih mudah meletus.

Cadangan Muhyiddin ini walaupun mungkin bakal menghadapi tentangan daripada kelompok tertentu yang oppurtunis dan ekstrem tetapi ia mesti diteruskan jika BN ingin terus kekal berkuasa. Ia adalah hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak.

Syabas Muhyiddin...nampaknya macam dah dekat nak jadi Pengerusi BN dan Perdana Menteri! (SH 25/05/2013

Friday 24 May 2013

Jika Benar Mahu Membendung Hasutan, Ambillah Tindakan Menyeluruh


Semalam negara dihebohkan dengan penangkapan tiga orang individu yang dikaitkan dengan PR iaitu Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim dibawah Akta Hasutan berkaitan ucapan mereka yang  didakwa mengandungi unsur-unsur menggalakkan demonstrasi jalanan dan keinginan menumbangkan kerajaan melalui kekerasan. Sebelum itu, Adam Adli, aktivis mahasiswa juga sudah didakwa dibawah akta yang sama.

Ketiga-tiga mereka dijangka dijangka dibawa ke hadapan majistret untuk tahanan reman pagi ini dan malam tadi mereka terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur. Sebagaimana semasa penahanan Adam Adli, ribuan orang berkumpul di depan balai polis itu bagi menunjukkan bantahan, malam tadi juga dilaporkan episod yang sama terus berlaku. Mereka berkumpul lagi menunjukkan bantahan.

Ramai yang tidak bersetuju dengan penahanan itu bukan kerana mereka membantah tugas polis tetapi mahukan keadilan dipihak yang menjaga keamanan dan keselamatan negara ini. Keadilan  ini lebih penting ditegakkan kerana Menteri Dalam Negeri yang baru ini, Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama dan datang dari keluarga yang baik-baik, yang sudah tentu sentiasa meletakkan keadilan sebagai asas utamanya.

Walaupun Zahid menafikan penahanan mereka ini merupakan arahannya, sebaliknya menyatakan ia adalah urusan polis sepenuhnya tetapi penerimaan rakyat nampaknya berbelah bagi. Mereka tidak percaya Menteri Dalam Negeri tiada kuasa. Mereka juga tidak percaya beliau sebagai menteri, tidak dimaklumkan atau diminta pandangan terlebih dahulu sebelum penangkapan itu dibuat.

Apa pun alasannya, kesan penahanan ini membawa imej yang tidak baik kepada UMNO dan kerajaan. Orang akan membuat tuduhan yang berbagai-bagai mengenai kerajaan dan pemimpinnya. Di luar negara pula, penahanan ini tentunya dilaporkan secara besar-besaran, yang sekaligus memberi gambaran tidak baik juga kepada negara.

Sebelum ini, dalam usaha menaikkan imejnya di mata rakyat, Najib pernah menjanjikan mahu menghapuskan Akta Hasutan ini. Walaupun sementara kajian penuh dilakukan dan akta itu masih sah, tetapi wujud kepelikan mengapa ia masih juga digunakan dengan meluasnya sekarang ini. Apakah ini bermakna janji Najib sebelum ini hanya retorik dan janji palsu saja?

Dan bagaimana pula selepas ini, apakah ia bakal dihapuskan atau akan terus dikekalkan?

Rakyat secara umumnya tidak membantah penggunaan Akta Hasutan ini untuk tujuan keamanan dan keselamatan negara. Jika polis merasakan ia perlu digunakan, gunakanlah sebaliknya.  Cuma rakyat mahu ia dilaksanakan secara adil dan menyeluruh, bukan kerana kepentingan sebelah pihak sahaja.

Sejak dua tiga tahun lalu, menjelang pilihanraya dan selepas keputusan pilihanraya pada 5 Mei, jika ingin dikuatkuasakan Akta Hasutan ini secara adil dan menyeluruh, banyak pihak yang sepatutnya diambil tindakan yang sama. Utusan dan TV3 hampir setiap masa menyiarkan berita yang berunsur hasutan serta memprovokasi eleman perkauman dalam laporannya. Berita fitnah dan tidak benar jangan cerita lagilah, hampir setiap masa menjadi mainan mereka.

Sebaik saja  Najib yang turut terseret dengan unsur perkauman apabila mengatakan keputusan pilihanraya lalu  adalah kerana tsunami Cina, Utusan sentiasa membakar semangat orang Melayu untuk memusuhi orang Cina. Macam-macam kecaman terhadap kecenderungan undi mereka diperkatakan sehingga ke peringkat yang tidak wajar untuk dibangkitkan sebenarnya.  Ambillah tindakan terhadap akhbar itu?

Pemimpin UMNO, aktivis UMNO, pembodek UMNO, pencacai serta pengamal media baru yang pro UMNO juga tidak henti-henti meniupkan api perkauman yang sama. Malah terdapat diantara mereka yang menyarankan supaya dibunuh orang-orang Cina, hanya kerana mereka tidak mengundi BN. Bukankah itu juga hasutan dan patut diambil tindakan?

Seorang hakim pencen, ketika memperkatakan tentang masa depan Melayu pasca PRU 13 turut meledakkan semangat yang sama dengan membuat andaian bahawa orang Cina mahu merampas kuasa politik pula di negara ini. Tidakkah itu juga merupakan hasutan dan patut diambil tindakan yang sama?

Jika dikorek dan dicari, banyak lagi kenyataan atau ucapan yang berunsur perkauman dan menggugat keamanan negara telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Malangnya tiada satu pun yang diambil tindakan walaupun banyak desakan ke arah itu. Sebaliknya Tian Chua, Tamrin dan Haris pula yang kena?

Jika benar polis dan Zahid ingin mewujudkan keamanan dan membendung elemen hasutan, lakukanlah secara menyeluruh dan tanpa pilih bulu. Sesiapa saja, tak kira pro UMNO atau pro PR, mereka harus diambil tindakan yang bersesuaian.

Melakukan tindakan kepada sebelah pihak manakala sebelah pihak lagi seolah-olah diberi lesen untuk terus menghasut tidak akan mewujudkan keamanan yang sebenar-benarnya. malah akan menyebabkan UMNO dan kerajaan terus terseret ke kancah yang lebih dibenci rakyat. Ingatlah bahawa rakyat kini semakin cerdik dan mereka juga sudah memperolehi maklumat yang pelbagai, jadi tidaklah semudah dulu untuk terus menutup perkara yang sepatutnya diambil tindakan.

Hanya setelah Zahid dan polis bertindak adil dan menyeluruh, barulah semua rakyat akan menyanjung mereka. Jika tidak, bukan saja mereka yang dibenci dan ditohmah, malah UMNO dan kerajaanlah yang paling terbeban menerima kesannya. (SH 24/05/2013)

Thursday 23 May 2013

Yang Hilang Jawatan Menteri Pun Angkuh Dan Sombong Juga


Bekas Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Noh Omar menuruti jejak langkah Zahid Hamidi, sebagai pemimpin kedua dalam UMNO yang masih mengekalkan sifat sombong dan angkuh dalam menangani kehendak dan rasa tidak puas hati yang wujud di kalangan sesetengah rakyat.

Jika Zahid yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri menyarankan mereka yang tidak setuju dengan sistem pilihanraya negara ini berpindah ke negara lain, Noh Omar pula menyarankan mereka ini supaya tinggal di dalam hutan.

Mereka yang tidak suka dengan sistem pilihanraya negara ini sewajarnya tinggal di dalam hutan, katanya yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.

Sebagaimana kenyataan Zahid yang membangkitkan kecaman umum, termasuk Khairy Jamaluddin yang baru dilantik sebagai Menteri Belia Dan Sukan seakan tidak bersetuju dengan pandangan separa matang itu dan menganggapnya hanyalah pandangan peribadi, kenyataan Noh Omar ini tentunya juga mencetuskan naluri yang sama.

Sesiapa pun yang normal tidak akan bersetuju seorang pemimpin bercakap seperti itu kerana ia menyerlahkan keangkuhan dan kesombongan sebagai pemimpin, suatu sikap yang amat tidak wajar dimiliki oleh mana-mana pemimpin sekali pun.

Yang lebih parah, dengan sikap sedemikian.  UMNO akan dilihat oleh rakyat sebagai tidak mahu berubah dan pemimpinnya kekal dengan sikap sombong, angkuh dan enggan memahami perasaan rakyat.

Andai ramai yang boleh memahami kenapa Zahid mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang mungkin disebabkan keghairahan terlampau kerana dilantik mengepalai kementerian baru, tetapi ramai yang tidak faham dengan sikap Noh Omar ini. Setelah hilang jawatan menteri dan tidak dipercayai oleh pucuk pimpinan pun tetapi masih juga mengekalkan ego sombong serta angkuhnya.

Biasanya seseorang yang hilang jawatan secara mengejut, tambahan pula misinya untuk menawan Selangor juga gagal yang sekaligus mencerminkan kegagalannya sebagai pemimpin,  akan terduduk menginsafi kesilapan dan keterlanjuran selama ini sambil berusaha menjadi lebih berhemah, lebih baik dan memahami rakyat  tetapi Noh Omar seperti tidak memiliki sifat muhasabah diri itu.

Ketika menjadi menteri pun sombong dan angkuh, setelah hilang jawatan juga kekal seperti itu.

Seharusnya dalam keadaan sekarang, beliau bukan saja harus bermusabah kenapa Selangor gagal ditawan kembali dan rakyat secara majoritinya lebih meyakini PR di negeri itu tetapi sekurang-kurangnya juga memahami perasaan rakyat yang sedang bergelora dihatinya dan membantah keputusan pilihanraya lalu.

Sebagaimana Zahid, Noh juga menempelak rakyat yang didakwanya mempertikaikan sistem pilihanraya sedangkan apa yang dipertikaikan rakyat ialah proses pengendalian pilihanraya oleh SPR yang mereka yakini ada kecacatan dan kelemahan, berat sebelah dan perlu diperbaiki.

Beliau sepatutnya memahami isu yang dibangkitkan dan menyemak fakta-faktanya terlebih dahulu. Dalam isu dakwat kekal yang dipertikaikan misalnya, semua orang tahu ia tidak sekekal sebagaimana yang dipropakan oleh SPR, malah akhirnya SPR juga bersetuju untuk menubuhkan panel penyiasat bagi menyiasat isu yang paling banyak diperkatakan itu.

Maknanya, SPR juga mengakui ada kelemahan dan kesilapan.

Dalam memahami hati dan perasaan rakyat, Noh Omar harus membuang jauh-jauh sifat sombong dan angkuhnya. Fahamilah bahawa rakyat makin menolak UMNO dan BN. Kekuatan parti itu hanya tinggal di kampung-kampung dan desa pedalaman saja sedangkan penduduk bandar, separa bandar, golongan muda dan profesional semakin menjauhkan diri.

Daripada menang 140 kerusi pada 2008, pada pilihanraya lalu makin berkurangan kepada 133 kerusi saja dan lima tahun lagi belum tentu  apakah nasib UMNO dan BN lagi.

Sementara baru ditolak sebagai menteri oleh Najib, eloklah beliau memikirkan memperbaiki apa-apa yang patut sebelum ditolak oleh rakyat pula. (SH 23/05/2013)

Wednesday 22 May 2013

Najib Makin Mengecilkan MCA


Faktor penting yang menyebabkan BN hanya mampu menang 133 kerusi berbanding 140 pada pilihanraya 2008 adalah disebabkan penolakan pengundi Cina terhadap BN. Akibat daripada penolakan itu, MCA hanya mampu menang 7 kerusi Parlimen berbanding 37 yang ditandinginya manakala Gerakan pula hanya mampu menang satu kerusi Parlimen sahaja.

MCA, sebagaimana yang diputuskan dalam resolusinya pada 2011 bahawa mereka menolak sebarang jawatan dalam kabinet dan kerajaan jika kerusi Parlimen yang dimenangi kurang daripada 15, iaitu jumlah yang dimenangi pada pilihanraya 2008. Kini dengan hanya menang 7 kerusi Parlimen saja, MCA terpaksa akur kepada resolusi itu.

Buat pertama kali kabinet yang diumumkan Najib tidak dianggotai oleh MCA. Najib bagaimanapun masih mengharap MCA akan kembali menyertai kabinet dalam masa yang sesuai nanti. Najib mengatakan bahawa MCA menolak menyertai kabinet kerana masih berpegang kepada resolusi itu dan penyertaan mereka dalam kabinet hanya boleh dilakukan jika resolusi itu dibatalkan terlebih dahulu.

Ia akan ditentukan dalam persidangan agung MCA penghujung tahun ini, sama ada perwakilan parti itu mahu mengekal atau membatalkannya.

Dalam masa yang sama, sesuai dengan pengharapan Najib agar MCA kembali menganggotai kabinet, beliau turut menyimpan satu jawatan menteri untuk parti itu iaitu menteri pengangkutan yang sekarang ini dipangku oleh Hishammuddin yang memegang Menteri Pertahanan dalam waktu yang sama. Difahamkan juga melalui sidang akhbar Najib selepas pembentukan kabinetnya minggu lalu, beliau turut memberitahu bahawa satu jawatan timbalan menteri yang akan ditentukan potfolionya kemudian juga turut disimpan untuk MCA.

Ini bermakna jika MCA mahu kembali menyertai kabinet, jawatan yang diperuntukkan Najib untuk parti itu hanyalah satu menteri dan satu timbalan menteri, suatu keadaan yang bukan saja berkurangan berbanding sebelumnya tetapi juga tentunya lebih kecil berbanding MIC yang sudah memegang dua jawatan menteri dan tiga timbalan menteri. Dalam komponen BN, MCA dikenali sebagai parti kedua terbesar selepas UMNO manakala MIC menduduki tempat ketiga.

Sebelumnya juga MCA biasanya diberikan tiga jawatan menteri dan antara 7 atau 8 jawatan timbalan menteri. Jawatan menteri yang biasa dipegang oleh wakil MCA ialah menteri pengangkutan, menteri kesihatan serta menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Tetapi dalam susunan kabinet yang dibuat oleh Najib, hanya menteri pengangkutan yang diperuntukkan kepada MCA manakala jawatan menteri kesihatan sudah diambil alih oleh MIC melalui S Subramaniam manakala jawatan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan pula diambil alih oleh wakil UMNO, Rahman Dahlan.

Tidak syak lagi, tempat MCA sebagai parti kedua penting dalam agihan kabinet sudah diambil alih oleh MIC. Soalnya, mungkinkan MCA sedia membatalkan resolusinya dan kembali menyertai kabinet sedangkan peranan mereka makin mengecil?

Sesuai dengan kedudukan pengundi Cina yang merupakan kedua terbesar dalam negara ini, tindakan Najib ini dianggap kurang wajar dan makin menjauhkan komuniti daripada kerajaan. Jika MCA sudah mengugut pengundi Cina melalui resolusinya dan ia tidak juga berjaya menjadikan mereka kembali menyokong BN, bermakna tindakan Najib menghukum komuniti itu dengan menjadikan mereka kelompok yang makin mengecil dalam pentadbiran kerajaan, ia pastinya juga membuahkan hasil yang sama.

Tindakan Najib ini bukan saja menjadikan mereka semakin menjauhkan diri daripada BN dan kerajaan, bahkan merasakan tiada gunanya lagi kembali menganggotai kabinet dan kerajaan. Sudahlah kalah banyak kerusi, kedudukan dalam kerajaan juga bagai dipinggirkan.

Cabaran MCA dalam menghadapi PRU 14 dalam keadaan seperti ini bukan saja lebih getir, sama ada mereka kekal tidak menyertai kabinet atau kembali menyertainya, tetapi juga akan menyebabkan hasrat Najib dan BN untuk mencapai keputusan yang lebih baik daripada kemenangan 133 kerusi Parlimen turut bertambah sukar. (SH 22/05/2013)

Tuesday 21 May 2013

Zahid Hamidi Dilanda Kecelaruan Akut


Di antara menteri kabinet yang dilantik Najib Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi yang dilihat paling menonjol. Hampir semua orang bercakap mengenainya dirinya. Sebaik diumumkan bertukar jawatan dengan Hishammuddin dan kemudian menyarankan agar rakyat yang tidak setuju dengan sistem politik negara ini dan lebih menggemari sistem undi popular agar berpindah ke negara yang mengamalkan sistem tersebut, namanya mula meniti dari bibir ke bibir kebanyakan rakyat.

Apabila kemudiannya beliau membidas Anwar dengan mengatakan negara ini bukan bapa Anwar yang punya sebagai jawapan balas kepada kenyataan Anwar terdahulunya yang mengatakan negara ini bukan bapa Zahid yang punya sehingga dia boleh berkata sesuka hati mengenai hak demokrasi yang diamalkan rakyat, nama Zahid makin menjadi sebutan.

Kemudian apabila seorang reformis pelajar, Adam Adli ditahan dibawah Akta Hasutan, ia juga dikaitkan dengan pendekatan Zahid yang mahu membawa era ketegasan dalam bertindak dalam memimpin kementerian barunya. Sebelum itu juga beliau ada memberi amaran kepada mereka yang cuba menghuru-harakan negara ini bahawa tindakan yang bersesuaian akan diambil segera.

Zahid kemudian memberi amaran portal berita Malaysiakini yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya dengan ketegasan, jangan main api dengan saya. Dari seorang yang mesra media sebelum ini, Zahid seolah-olah ingin bergaduh dengan media secara tiba-tiba.

Zahid juga bertegas dengan Lim Guan Eng yang mahu beliau meninta maaf berikutan kenyataannya yang dilihat angkuh dan sombong dengan menyarankan rakyat negara ini berpindah ke negara lain dengan mengatakan Lim Guan Eng yang sepatutnya meminta maaf kepadanya.

Terdapat juga laporan yang menyebut Zahid meminta golongan yang mahu menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa dan demonstasi jalanan supaya tidak lupa bahawa tindakan itu tidak demokratik dan mereka perlu menerima keputusan pilihanraya lalu seadanya kerana dakwanya Ketua Menteri Pulau Pinang itu salah tafsir terhadap kenyataannya.

Dalam beberapa isu yang berlaku sehari dua ini, Zahid juga turut bercakap, mengulas dan memberi amaran. Gambar wajahnya yang garang dan sedang marah sambil mengangkat tangan seolah-olah memberi amaran, menghiasai kebanyakan portal berita, blog dan laman sosial. Ada yang memuji dan banyak pula yang mempertikaikannya.

Tidak dinafikan lagi bahawa Zahid paling banyak bercakap dengan media berbanding menteri-menteri lainnya. Malah melebihi keaktifan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga nampaknya. Jika dikira penahanan Adam Adli kerana adanya arahan beliau sebagai menteri, Zahid juga dikira menteri yang paling cekap bertindak.

Bagi golongan pro UMNO yang kecewa dengan menteri terdahulu, mereka memuji Zahid dengan ketegasan ini. Bagi golongan pro pembangkang pula, Zahid dilihat terlalu keras yang sekaligus dikatakan melambangkan keangkuhan serta kesombongannya dengan kuasa sedangkan beliau juga sepatutnya menunjukkan nilai toleransi dan berhemah dalam tindakannya terhadap rakyat.

Apa yang cuba ditonjolkan Zahid ini, tidak diragukan lagi bahawa beliau sedang dalam kecelaruan sebaik memegang kementerian baru ini. Beliau menyedari ada tekanan dan harapan yang mahukan beliau lebih banyak bertindak dan tidak sekadar memberi amaran. Jika memberi amaran, ia mesti dipastikan disusuli dengan tindakan.

Beban yang ditinggalkan menteri sebelumnya, Hishammuddin sehingga digelar Menteri Amaran Dalam Negeri, dilihat amat mengganggu Zahid. Beliau cuba keluar daripada persepsi itu dan mahu disanjung dalam masa yang sama. Tambahan pula sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, Zahid juga dilihat tidak berbuat apa-apa yang boleh dianggap baru dan menggembirakan rakyat. Penekanannya hanya kepada askar wataniah dan meneruskan kejayaan Pameran Lima di Langkawi sahaja.

Kerana itu, selain banyak isu yang sedang berlaku, jawatan baru yang diberikan Najib ini dilihat sesuai untuknya memenuhi semua perkara itu. Tetapi tindakan Zahid dilihat amat berlebih-lebihan. Beliau lebih lajak dari laju. Hanya dalam masa beberapa hari saja beliau sudah mengundang banyak polemik berikutan pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya.

Memang tugas beliau menjaga keamanan dan keselamatan negara melalui kementerian yang diterajuinya. Selain keamanan politik, keamanan dan keselamatan negara dari dari segi jenayah juga harus diambil kira. Ia lebih melibatkan rakyat terbanyak, bahkan kes jenayah yang dilaporkan di media amat menakutkan rakyat seolah-olah penjenayah dan orang jahat ini ada di mana-mana saja.

Zahid harus lebih memberi penekanan kepada aspek ini jika ingin rakyat gembira dengannya. Tetapi Zahid lebih nampak keamanan politik saja.

Keghairahan Zahid dalam memberi kenyataan dalam pelbagai perkara sebenarnya juga terlalu awal. Belum pun sampai seminggu beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri dan sudah tentu beliau juga belum diberi taklimat sepenuhnya tentang pelbagai agensi yang ada di bawah KDN itu. Pegawai tinggi di kementerian dan ketua di setiap agensi juga belum dikenalinya lagi. Setakat ini mungkin hanya Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara saja yang baru dikenalinya.

Sebelum mahu mengeluarkan taring sebenar sebagai Menteri Dalam Negeri, Zahid sepatutnya mendengar taklimat penuh mengenai kementerian itu terlebih dahulu. Kenal dan fahami tugas serta peranan setiap agensi dibawah kementeriannya terlebih dahulu. Berbual dan jalin hubungan yang erat dengan setiap pemimpin agensi di bawah kementeriannya juga.

Ini tidak, belum pun faham sedalamnya kementerian itu dan mengenali orang-orang penting di sekelilingnya, Zahid sudah bertindak lebih dari sepatutnya. Pastinya beliau juga belum lagi berpeluang mempengerusikan mesyuarat pasca kabinetnya.

Zahid jangan terlalu gopoh mahu menonjolkan diri dan mempamerkan dirinya lebih hebat daripada Hishammuddin. Memang rakyat mahu beliau bertegas dan berani tetapi haruslah ada kebijaksanaan serta berhemah tinggi. Harus juga mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika tidak, beliau lebih dilihat sedang mengalami kecelaruan yang serius, kronik atau akut dalam tugasnya.

Akhirnya mungkin beliau lebih mengecewekan berbanding Hishammuddin. (SH 21/05/2013)

Monday 20 May 2013

Pas Lebih Dihormati Jika Tidak Bergabung Dengan UMNO


Meskipun Presiden Pas, Haji Hadi Awang telah menegaskan bahawa parti itu tidak sekali-kali akan bergabung dengan UMNO, tetapi masih ada suara-suara kecil yang mahu kedua-dua parti itu bergabung. Pelbagai alasan diberikan untuk menjustifikasikan penggabungan itu, antaranya untuk kepentingan Melayu, memertabatkan Islam dan bagi yang ekstremis pula melihat hanya dengan penggabungan itu saja dapat menghantar karier politik Anwar Ibrahim ke titik kematian.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berulangkali mahukan orang Melayu dan Islam di negara ini menjadikan matlamat penyatuan Pas dengan UMNO sebagai usaha yang berterusan demi kepentingan umat dan Islam. Dr Hassan Ali yang sudah dipecat dari Pas juga mahu penyatuan itu menjadi realiti suatu hari nanti.

Dalam UMNO juga ramai yang melihat keperluan kepada penyatuan itu. Berbagai hujah dan alasan turut diberikan. Alasan yang paling banyak ialah demi kepentingan Islam dan Melayu dan agar bangsa lain tidak sewenang-wenangnya berbuat sesuatu di negara ini.

Bagi yang melihat Anwar sebagai ancaman kepada UMNO pula merasakan hanya dengan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat sajalah karier politik Ketua Pembangkang yang masih gigih memburu Putrajaya itu dapat dititiknoktahkan.

Sementara Pas makin didesak agar menerima huluran tangan penyatuan itu, pemimpin Pas pula kekal dengan pendirian bahawa tiada keperluan ke arah itu. Haji Hadi mengatakan UMNO dalam keadaan hampir lemas dan sekiranya Pas mendekati mereka, dibimbangi Pas juga akan turut ditarik tengelam sama.

Mursyidul Am Pas, Nik Aziz pula sejak dulu kekal dengan pendiriannya bahawa penyatuan hanya munasabah dilakukan jika UMNO bersedia meninggalkan perjuangan kebangsaannya dan menerima Islam sebagai arah tujunya yang baru. Pemimpin yang lainnya juga berpendirian hampir sama walaupun sebelum pilihanraya lalu terdapat kecenderungan sesetengah pemimpinnya terhadap idea penyatuan itu.

Ada juga yang berhujah bahawa dengan BN memiliki 133 kerusi Parlimen dan sekiranya Pas yang mempunyai 21 kerusi bergabung dengan BN ia akan menjadikan BN memiliki 154 kerusi, sekaligus melompat daripada majoriti mudah kepada kedudukan majoriti dua pertiga. Kononnya dengan kedudukan itu, maruah Islam dan Melayu akan meningkat serta sentiasa dapat dipertahankan.

Benarkah hakikat itu?

Dalam sejarahnya, usaha penyatuan ini seringkali kedengaran hanya di ketika UMNO lemah. Di ketika UMNO kuat, bukan saja penyatuan itu ditolak, bahkan Pas sentiasa diperlekeh dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan yang bertujuan menghakis kepercayaan umum terhadap parti itu.

Sebelum pilihanraya yang lalu lagi, suara ke arah penyatuan ini sudah kedengaran. Sebabnya amat jelas iaitu UNNO sedang dalam kedudukan 50-50 ketika itu. Selepas pilihanraya, dengan keputusan yang menyaksikan BN tidak berupaya menambah baik kedudukannya berbanding 2008, suara perpaduan dan penyatuan ini sekali lagi didendangkan.

Sebabnya juga jelas iaitu bukan saja kerana UMNO dan BN terus di kedudukannya yang lemah tetapi juga untuk menonjolkan kepada umum seolah-olah UMNO itu cintakan perpaduan.

Dalam situasi politik pasca pilihanraya ini, tidak diragui lagi bahawa idea penyatuan Pas dengan UMNO hanyalah untuk menguntungkan UMNO dan BN semata-mata. Ia tidak memberi keuuntungan kepada Pas, jauh sekali untuk mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

Dengan bergabung bersama UMNO, Pas terpaksa akur dengan kuasa dan keangkuhan pemimpin-pemimpin UMNO. Pas hanya akan menjadi pak turut kepada pelbagai dasar dan pendekatan baru yang cuba diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan parti itu menggenggam kuasanya.

Sebaliknya melalui majoriti mudah yang ada sekarang, para pemimpin UMNO dan kerajaan terpaksa melipatgandakan usaha menunaikan kehendak rakyat. Mereka terpaksa menjadi rajin turun padang berbanding sebelumnya. Penyatuan Pas dengan UMNO hanya akan menyebabkan BN mempunyai kuasa dua pertiga dan ini menyebabkan berlakunya kecenderungan membuli rakyat.

Berbanding ketika UMNO dan BN memperolehi majoriti dua pertiga dengan keadaannya selepas 2008, terbukti bahawa dengan majoriti mudah menyebabkan mereka lebih prihatin, rajin turun padang serta pemurah kepada rakyat. Program bantuan dan kemudahan untuk rakyat didapati lebih banyak berbanding sebelumnya.

Kedudukan Pas kekal bersama Pakatan Rakyat sebenarnya jauh lebih bermanfaat, bukan saja untuk parti itu tetapi juga untuk kemaslahatan umum dan kepentingan rakyat, berbanding jika memilih jalan penyatuan dengan UMNO. Peranan check and balance juga dapat dilakukan dengan lebih berkesan melalui kedudukannya yang ada sekarang yang akhirnya rakyat juga menikmati manfaatnya.

Pas kini sudah menguasai Kelantan dan menjadi majoriti dalam kerajaan negeri Selangor. Ini menunjukkan penerimaan rakyat luar bandar dan bandar terhadap Pas menjadi semakin baik. Apa yang perlu dilakukan Pas hanyalah memperbaiki beberapa kelemahan tertentu dalam organisasinya dan kekal menjadi pesaing kepada UMNO. Kedudukannya sebagai alternatif kepada UMNO harus dikekalkan. Bersatu dengan UMNO hanya akan menyebabkannya tenggelam.

Sama ada dapat menggenggam kuasa dan menawan Putrajaya, ia harus dijadikan pilihan kedua. Jika berjaya, Alhamdulillah tetapi jika tidak berjaya, peranannya sebagai pengimbang serta tukang check and balance kepada sang penguasa tetap ada.

Dan ia jauh lebih berwibawa daripada memilih jalan penyatuan dengan UMNO. (SH 20/05/2013)

Sunday 19 May 2013

Kimma, Mahu Apa Lagi?


Barisan kabinet yang diumumkan Najib baru-baru ini betul-betul menepati kata pepatah, "rumah siap pahat berbunyi". Rungutan, sungutan, rasa tidak puas hati dan tuntutan wujud di sana-sini satu demi satu. Ia berikutan keputusan Najib melantik Presiden Transperancy International, Paul Low sebagai menteri dan pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy sebagai timbalan menteri.

Perlantikan mereka bukan saja diragui, malah ada pihak yang merasakan mereka juga layak menganggotai kabinet kali ini berikutan masing-masing kononnya mendakwa telah memberi sumbangan kepada kemenangan BN.

Selain beberapa parti dalam BN seperti PRS dan SPDP yang meluahkan secara terbuka rasa tidak puas hati sama ada atas jawatan yang diberi atau kerana dipinggirkan sama-sekali, beberapa pihak yang diluar BN pula tidak segan-segan mahukan mereka turut diberikan jawatan dalam kabinet.

Antaranya ialah Kimma dan IPF. Kimma melalui cawangan Pulau Pinang secara terbuka meminta kepada Najib agar wakil mereka diberikan jawatan sekurang-kurangnya timbalan menteri atas dakwaan parti itu turut memberi sumbangan dalam kemenangan BN dalam pilihanraya lalu.

IPF pula, setelah dijolok oleh MIC yang merasakan wakil parti itu lebih layak dilantik sebagai timbalan menteri berbanding wakil Hindraf, walaupun berharap sesuatu tetapi masih lagi beralas dalam tuntutannya. Presidennya berkata, pihaknya penuh yakin akan diberikan sesuatu oleh Najib berikutan sumbangan yang telah mereka berikan dalam menyokong BN selama ini.

Ini berbeza dengan Kimma yang secara terbuka menuntut jawatan timbalan menteri untuk parti itu.

Nampaknya, selain bergolak di dalam BN yang ditimbulkan oleh parti-parti komponennya seperti PRS dan SPDP serta wujudnya juga rungutan di kalangan pemimpin UMNO sendiri terhadap perlantikan kabinet kali ini, Najib juga sedang berdepan dengan karenah yang ditimbulkan oleh rakan-rakan yang rapat dengan BN sendiri.

Mujur juga NGO lain yang turut rapat dengan Najib seperti Perkasa, Jati, Tibai dan sebagainya, tidak turut sama menuntut jawatan menteri dan timbalan menteri. Jika tidak, rambut Najib bukan saja lebih memutih, malah lebih banyak gugurnya berbanding biasa.

Berhubung tuntutan Kimma, seorang pemimpin UMNO menyifatkan Kimma sebagai keterlaluan dan berlebih-lebih dalam tuntutannya itu. Ini kerana kata pemimpin itu UMNO itu, Najib sebelum ini sudah pun menyatakan kepada Kimma bahawa mereka sepatutnya bersyukur kerana Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa yang dilantiknya memegang jawatan paling tinggi dalam pentadbiran kerajaan itu adalah mewakili mereka iaitu berketurunan India Muslim.

Dalam masa yang sama jika dilihat dalam konteks yang lebih luas, sama ada yang dilantik sebagai Menteri Besar dan Ahli Parlimen juga sebenarnya ramai yang mewakili kelompok keturunan India Muslim iaitu antaranya Zambry Kadir sebagai MB Perak, Azeez Rahim sebagai Ahli Parlimen Baling dan Reezal Merican sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.

Yang memegang jawatan sebagai ADUN dan pemimpin pelbagai peringkat dalam UMNO juga sebenarnya ramai yang boleh dikategorikan sebagai mewakili Kimma walaupun mereka memilih UMNO sebagai wadah perjuangan.

Sebelum ini pula, salah seorang menteri kabinet, Nor Mohamed Yakcop juga merupakan keturunan India Muslim dan dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan komuniti itu.

Sehubungan itu, berbanding pihak lain, Kimma boleh dikatakan paling beruntung dan mendapat manfaat paling banyak berikutan wakil mereka sudah pun berada di kedudukan yang penting dalam pelbagai jawatan dalam kerajaan.

Jadi pemimpin UMNO itu melontarkan persoalan kepada Kimma, apa lagi kamu mahu? (SH 19/05/2013)

Friday 17 May 2013

Kabinet Najib Bakal Tersungkur?


Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat terus memperhebatkan tekanan menolak keputusan piliharaya lalu dengan siri perhimpunan aman diteruskan lagi ke beberapa negeri, kabinet yang dibentuk Najib turut mulai bergelora. Bermula dengan Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak atau PRS menolak perlantikannya sebagai timbalan menteri, majlis tertinggi parti itu juga membuat keputusan terbaru iaitu menolak sebarang jawatan yang ditawarkan Najib.

Ini bermakna, seorang lagi Ahli Parlimen PRS, Joseph Entulu yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, turut dianggap menolak perlantikan itu berasaskan keputusan yang dibuat oleh PRS itu.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today, Presiden PRS James Masing berkata, majoriti pimpinan tertinggi parti menolak perlantikan yang dibuat oleh Najib kerana berasa dianaktirikan dari segi pembahagian kerusi kabinet berasaskan sumbangan enam kerusi Parlimen yang disumbangkan daripada 133 yang dimenangi oleh BN.

Berbanding MIC misalnya yang menang empat kerusi Parlimen tetapi diberikan dua jawatan menteri dan tiga timbalan menteri, pimpinan PRS merasakan pembahagian yang dilakukan oleh Najib sebagai tidak adil dan mereka berhak mendapat lebih daripada satu menteri dan satu timbalan menteri sepertimana yang diberikan oleh Najib.

Hanya bermula dengan tindakan Joseph Salang Gandum yang tidak puas hati kerana hanya diberikan jawatan timbalan sedangkan beliau mengharapkan diberi jawatan menteri, tindakan PRS ini bakal menimbulkan gelora yang lebih besar kepada Najib dan BN.

Walaupun bakal mengemukakan permintaan kepada Najib supaya diberikan keadilan, James Masing masih enggan memberitahu tindakan yang bakal diambil oleh PRS jika permintaan mereka gagal dipenuhi oleh Najib. Hakikatnya PRS sudah mula mengemukakan ugutan kepada Najib dan pilihan yang boleh diambilnya selepas itu tidaklah sukar difahami.

Dengan enam kerusi Parlimen yang dimilikinya, kuasa tawar-menawar yang dimiliki PRS bolehlah dikira bernilai tinggi.

Dalam masa yang sama sebuah lagi parti di Sarawak iaitu Parti Progresif Demokratik Sarawak atau SPDP turut meluahkan rasa tidak puas hati dalam pengagihan kerusi kabinet kali ini. Parti itu yang menang empat kerusi Parlimen dalam pilihanraya lalu, langsung tidak diberikan apa-apa jawatan oleh Najib.

Sumbangan empat kerusi Parlimen seolah-olah langsung tidak dihargai oleh Najib dan kini sudah timbul desakan agar parti itu menimbangkan kedudukannya dalam BN. Ia diakui oleh Setiausaha Agung parti itu sendiri. Ini kerana parti itu sebelum ini menjangkakan mereka sekurang-kurangnya akan ditawarkan satu jawatan menteri dan satu timbalan menteri atau dua jawatan timbalan menteri, lebih-lebih lagi salah seorang Ahli Parlimennya dari Bintulu, Tiong King Sing adalah juga Pengerusi BNBBC dan tokoh yang agak dikenali umum.

Sehingga ini dua parti dari Sarawak iaitu PRS dan SPDP dengan jumlah 10 kerusi Parlimen sudah secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Najib berikutan perlantikan jawatan kabinet yang baru berusia tiga hari. Apakah selepas ini ada pihak-pihak lain lagi yang meluahkan perasaan yang sama? Atau mungkinkah kedudukan kabinet Najib terus bergoncang lagi?

Di Semenanjung pula, rasa tidak puas hati daripada kalangan UMNO terhadap kabinet Najib memang banyak kedengaran di mana-mana. Selain Kedah yang menyumbang 10 kerusi Parlimen tetapi hanya diberikan satu jawatan menteri dan dua timbalan menteri, di Selangor juga kedengaran nada yang sama berikutan ketiadaan langsung menteri daripada negeri itu, sebaliknya hanya seorang timbalan menteri saja iaitu Noriah Kasnon.

Beberapa perlantikan menteri dan timbalan menteri turut menjadi persoalan di kalangan rakyat dan ahli UMNO sendiri berikutan terdapat perlantikan yang dibuat Najib dilihat bukan berasaskan merit dan mahu melakukan peremajaan dalam parti sebaliknya lebih berasaskan balas budi semata-mata.

Perlantikan Shahidan Kassim dan Idris Jusoh sebagai menteri nyata menghalang proses peremajaan dan hasrat ingin memberi peluang kepada tokoh-tokoh muda kerana keduanya dianggap sebagai pemimpin kitar semula dan sudah berusia. Begitu juga Tajuddin Rahman sebagai timbalan menteri turut tidak memberi makna kepada peremajaan parti kerana jawatan itu sewajarnya diperuntukkan kepada tokoh-tokoh lain yang lebih muda.

Paul Low dari Transperancy International Malaysia pula dilantik sebagai menteri semata-mata kerana balas budi berikutan tindakannya membawa Najib menandatangi Ikrar Intergriti dipercayai telah melonjakkan keyakinan rakyat dan memberi kelebihan kepada Najib memenangi pilihanraya. Kerana beliau dianggap berbudi, maka ia dibalas dengan jawatan menteri walaupun seharusnya Najib membawa tokoh korporat atau profesional Cina yang lebih muda jika ingin memenangi hati pengundi Cina.

Begitu juga dengan perlantikan pemimpin Hindraf P Waythamoorthy, sebuah NGO mirip Perkasa, sebagai timbalan menteri adalah juga kerana membalas budi berikutan sokongan terbukanya kepada BN menjelang pilihanraya lalu sambil menandatangi perjanjian bersama Najib mengenai kepentingan kaum India yang seharusnya mendapat pembelaan daripada kerajaan. Kerana Najib percaya sokongan Hindraf itu membukan laluan kepada sokongan pengundi India yang lebih ramai, maka beliau diberikan ganjaran timbalan menteri.

Perlantikan pemimpin Hindraf itu bukan saja mendapat bantahan daripada Pemuda MIC yang merasakan IPF lebih baik jika ingin diberikan jawatan itu, malah ia juga menyebabkan imej Najib dengan dasar 1Malaysianya telah ditenggelamkan oleh perbuatannya sendiri.

Belum pun seminggu usia kabinet yang dibentuk Najib, unsur-unsur penolakan sudah pun mula kelihatan. Bermula dengan PRS dan SPDP yang merangkumi 10 kerusi Parlimen, jika ia gagal ditangani dan ditambah pula dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO sendiri yang jelas rasa tidak puas hatinya di sana-sini, andai ia juga gagal dibendung, kebarangkalian untuk BN terus goyah dan tersungkur, tidak boleh dipandang mudah.

Jika ada diantara mereka ini memulakan langkah meninggalkan BN, yang lain hanya menunggu masa saja menuruti langkah yang sama.

Dengan PR mempunyai 89 kerusi Parlimen dan hanya kekurangan 23 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan baru, mereka yang tidak berpuas hati ini barangkali hanya menunggu lamaran dan jika hantarannya bersesuaian, mengapa tidak! Lagi pula, politik adalah seni yang serba mungkin. ( SH 17/05/2013).






Menteri Dalam Negeri Yang Baru Ni Terlebih Garang Pulak...


Tugas pertama Ahmad Zahid Hamidi sebaik mengangkat sumpah sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru bagi menggantikan menteri sebelumnya, Hishammuddin yang hanya gemar memberi amaran ialah dengan menyarankan golongan yang enggan menerima sistem pilihanraya negara ini agar berpindah ke negara yang menjalankan sistem pilihanraya yang mereka gemari.

Katanya, sistem pilihanraya negara ini adalah berdasarkan majoriti mudah dan bukannya berasaskan undi popular yang banyak digunapakai di beberapa negara republik, lantaran itu mereka harus menerima apa saja keputusan daripadanya dan bukannya membantah dengan mengadakan perarakan seperti Black 505 sambil memakai baju hitam seperti yang diadakan sekarang.

Jika mereka enggan menerima sistem yang ada, lebih baik mereka berpindah ke negara lain, demikian lebih kurang saranan Zahid yang sebenarnya berupa separuh amaran juga.

Amboi, garangnya!!

Nampaknya sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru, beliau juga seperti terjangkit penyakit Hishammuddin yang amat gemar memberi amaran dalam banyak isu. Bagaimanapun saranan Zahid ini seperti untuk menunjukkan kepada umum beliau merupakan seorang Menteri Dalam Negeri yang garang dan tidak boleh dibuat main-main.

Beliau mahu orang takut kepadanya, walaupun beliau sebenarnya lebih kerap senyum daripada marah.

Tidak salah untuk Zahid menjadi garang atau terlebih garang sekali pun, lebih-lebih lagi dalam menghadapi pelbagai cabaran di kementerian barunya itu tetapi biarlah garangnya itu bertempat. Berteriak garang dengan meminta mereka yang mempertikaikan keputusan pilihanraya supaya berpindah ke negara lain jelas merupakan hujah yang terkeluar daripada topik yang sepatutnya.

Pakatan Rakyat dan golongan muda yang tertarik mengadakan demonstasi bantahan terhadap keputusan pilihanraya hanya mempertikaikan pengendalian pilihanraya yang mereka percayai adanya unsur-unsur penipuan. Mereka tidak mempertikaikan sistem, mereka hanya mempertikai keputusan dan pengendalian oleh SPR.

Tindakan mereka mengangkat undi popular sebagai dalil kemenangan sebenarnya hanyalah hujah politik semata-mata. Ia tidak bermaksud mempertikaikan sistem. Dalam menghadapi hujah politk seperti itu, Zahid sepatutnya menggunakan hujah politik juga. Menggunakan hujah supaya mereka berpindah ke negara lain hanya menampakkan lagak sombong dan angkuh seorang pemimpin yang baru memperolehi kuasa.

Lagak seperti itu tidak akan memadamkan api, bahkan menyemarakkan lagi api kemarahan mereka. Sepatutnya hujah undi popular itu tidak perlu dilayan sangat kerana semua orang memahami sistem politik dan pilihanraya yang didiamalkan di negara ini. Ia sekadar penyedap kata-kata sahaja.

Bagaimanapun sebagai menteri yang baru di mana sejak empat tahun lalu rakyat begitu kecewa dengan menteri yang brtanggungjawab mengenai keamanan dan keselamatan, Zahid harus menggunakan kebijaksanaannya dalam menangani situasi yang ada. Rakyat mahukan nafas baru dalam diri seorang Menteri Dalam Nageri.

Kalau boleh kurangkan bercakap dan ghairah memberi amaran. Apa yang rakyat mahukan ialah undang-undang dilaksanakan tanpa kompromi dan pilih bulu. Biarlah kurang kurang bercakap asalkan kesan tindakan sebagai orang menteri dapat dirasakan oleh rakyat. Tidak guna bercakap banyak memberi amaran, memantau dan sebagainya tetapi hasilnya kosong.

Jika tidak, pertukaran jawatan beliau dengan Hishammuddin tidak ada beza sama-sekali. (SH 17/05/2013)

Thursday 16 May 2013

Menunggu Reaksi Mahathir Mengenai Kabinet Baru Najib


Kabinet baru yang diumumkan Najib semalam menerima reaksi yang berbagai daripada masyarakat umum. Ada yang memuji dan tidak kurang yang mengeji. Ada yang gembira dan ada pula yang tidak berapa suka dengan kabinet baru itu. Yang mempertikaikan kerana Najib masih mengekalkan sebahagian besar wajah-wajah lama dan terdapat juga yang menyifatkan saiz kabinet ini masih lagi berskala besar, tidak sepadan dengan jumlah penduduk negara yang hanya berjumlah 28 juta orang.

Selain itu terdapat juga beberapa perlantikan yang mendapat pujian umum seperti CEO Maybank, Wahid Omar sebagai Menteri di JPM dan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kedua mereka ini bukan saja mendapat pujian dan kata-kata penghargaan daripada rakyat biasa, malah juga daripada beberapa pemimpin parti pembangkang.

KJ terutamanya, mendapat fokus utama kali ini. Setelah tercicir selama empat tahun sedangkan pesaing yang ditewaskannya dalam perebutan Ketua Pemuda UMNO pada 2008, Mukhriz Mahathir diberi jawatan timbalan menteri, begitu juga naibnya, Razali Ibrahim yang turut dijadikan timbalan menteri, dengan perlantikan sebagai menteri kali ini umpama ganjaran berkat kesabarannya selama empat tahun itu.

Sementara banyak orang menerima perlantikan KJ, Kelab Chedet secara terbuka menolak perlantikan KJ ini atas alasan yang dikatakannya sudah difahami oleh semua orang dan tidak perlu diperjelaskan lagi kepada umum. Adalah dipercayai penolakan itu kerana dalam pemilihan 2008 KJ telah didapati terlibat dalam unsur-unsur politik wang semasa pertandingan oleh Lembaga Disiplin UMNO. Bagaimanapun beliau hanya diberikan amaran dan dibenarkan bertanding.

Kaitan lain mungkin mengenai penglibatannya dalam apa yang dipanggil budak-budak tingkat 4 yang menguasai kepimpinan Pak Lah ketika itu sehingga membuatkan Mahathir menjadikan campurtangan serta penguasaan mereka dalam kepimpinan negara sebagai asas utamanya menyerang dan berusaha menjatuhkan Pak Lah ketika itu.

Kelab Chedet adalah merupakan kelab yang ditubuhkan untuk menyokong idea-idea Mahathir. Ia dianggotai oleh golongan muda yang menyanjung perjuangan dan jasa bekas Perdana Menteri itu. Walaupun ia tidak dikaitkan secara langsung dengan Mahathir tetapi kelab ini didapati aktif menganjurkan pelbagai program berkaitan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Selain itu, kelab ini juga aktif dalam dunia internet dan laman sosial bagi menyokong apa juga pendapat atau saranan yang dikemukakan oleh Mahathir dalam pelbagai isu yang melibatkan UMNO dan negara.

Dalam konteks penolakan oleh Kelab Chedet ini terhadap perlantikan KJ, adalah dipercayai ia juga senada dengan pendirian Mahathir. Cumanya Mahathir belum lagi bersuara sehingga ini. Tetapi umum rata-ratanya menunggu reaksi beliau terhadap perlantikan KJ ini.

Ramai yang menantikan reaksi Mahathir, bukan saja dalam soal perlantikan KJ tetapi juga berikutan Najib dilihat mula memberi ruang kepada orang-orang Pak Lah menganggotai kabinetnya ini. Selain KJ yang merupakan menantu Pak Lah, Mahathir Khalid yang dijadikan timbalan menteri adalah juga bekas Setiausaha Politik Pak Lah sebelum dijadikan Menteri Besar Kedah sehingga pilihanraya 2008.

Mahathir Khalid juga merupakan orang yang memainkan peranan penting bersama Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Johari Baharom untuk menidakkan percubaan Mahathir bertanding sebagai perwakilan UMNO bahagian itu pada 2006. Walaupun Mahathir Khalid ada meminta maaf kepada Mahathir baru-baru ini tetapi kedudukannya sebagai orang Pak Lah tidak pernah terusik.

Selain itu, Abdul Rahman Dahlan dari Sabah yang dijadikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga dikenali sebagai orang KJ dalam UMNO.

Ini bermakna, berbanding ketika Najib mula mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, beliau kali ini dilihat memberi lebih banyak ruang untuk orang-orang Pak Lah dalam kabinetnya.

Dan sebagaimana yang diketahui umum bahawa Mahathir masih mendendami Pak Lah berikutan komennya yang kerapkali sinis dan menyindir era kepimpinan Pak Lah sehinggalah sekarang, perlantikan beberapa orang Pak Lah ini, terutamanya KJ pasti mengundang rasa kurang senangnya terhadap Najib.

Apakah penolakan oleh Kelab Chedet itu merupakan petanda awal bermulanya reaksi negatif Mahathir terhadap kepimpinan Najib?

Dalam masa yang sama, perlantikan beberapa orang yang pernah dikaitkan dengan rasuah politik dalam UMNO seperti Tajuddin Abdul Rahman sebagai timbalan menteri juga dijangka akan mengundang komen yang keras daripada Mahathir, tambahan pula sebaik keputusan pilihanraya 5 Mei lalu, Mahathir juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak menyangka keputusan yang mampu dicapai oleh Najib lebih buruk daripada Pak Lah pada 2008.

Jadi, komen Mahathir yang seterusnya adalah paling ditunggu-tunggu. (SH 16/05/2013)

Wednesday 15 May 2013

Yang Mengecewakan Dan Yang Menggembirakan Dalam Kabinet Najib


Sepertimana yang diduga, tidak ada lantikan yang begitu memeranjatkan dalam susunan kabinet baru yang diumumkan Najib hari ini. Selain masih mengekalkan orang-orang lama dalam kabinetnya, perlantikan baru yang dibuatnya seperti Shahidan Kassim, Tengku Adnan Tengku Mansor, Idris Jusoh dan Wahid Omar juga tidaklah begitu mengejutkan banyak pihak.

Namun terdapat beberapa perkara yang mengecewakan dan menggembirakan dalam perlantikan yant diumumkan Najib kali ini.

Sebelum ini ramai yang mengharapkan, lebih-lagi dengan keputusan piliharaya yang tidak begitu memberangsangkan, Najib hanya menumpukan kepada jawatan Perdana Menteri saja dan tidak memegang jawatan menteri dalam masa yang sama. Dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Najib diharapkan memberi tumpuan memantau keberkesanan menteri-menterinya saja. Daim Zainuddin juga turut pernah memberi pandangan yang sama, atas alasan tugas sebagai Perdana Menteri sudah cukup berat buat Najib.

Malangnya Najib nampaknya tidak menghiraukan semua pandangan tersebut dengan terus mengekalkan dirinya sebagai Menteri Kewangan.

Sebelum ini juga, ramai yang kecewa dengan prestasi Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang dianggap tidak menunjukkan pretasi membanggakan dalam mengendalikan kementerian masing-masing, terutama apabila berdepan dengan aspek keselamatan dan pertahanan negara. Ramai yang mengharapkan kedua-dua menteri itu ditukarkan ke kementerian lain yang sesuai dengan watak keduanya yang suka tersenyum dan kuat ketawa itu.

Malangnya, Najib hanya menukarkan kerusi antara kedua menteri itu. Zahid bertukar ke Kementerian Dalam Negeri manakala Hishammuddin ke Kementerian Pertahanan. Ini benar-benar mengecewakan ramai orang.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mana keharmonian dan perpaduan sentiasa menjadi teras penting, kabinet Najib kali ini agak mengecewakan kerana tidak terdapatnya wakil MCA dan Gerakan, sesuai dengan permintaan kedua-dua parti itu yang malu untuk menerima jawatan kabinet sedangkan tidak disokong oleh kaum Cina. Keputusan ini seakan menghukum masyarakat Cina berikutan sokongan hampir 90 peratus pengundinya kepada calon-calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu.

Sampai bila keadaan ini akan berlarutan, tentunya menarik untuk terus diperhatian dan apakah ketiadaan wakil Cina dalam kabinet ini akan menjadikan MCA dan Gerakan mendapat sokongan semula daripada pengundi Cina atau sebaliknya akan menjadikan MCA dan Gerakan terus lumpuh dalam PRU 14 nanti?

Rakyat dan UMNO Selangor juga tentunya kecewa kerana tiada wakil mereka dalam kabinet kali ini. Satu-satunya menterinya, Noh Omar turut digugurkan sebagai Menteri Pertanian dan Asas Tani. Terlihat di sini bahawa Najib begitu kecewa dengan prestasi UMNO Selangor, bukan saja gagal menawan semula negeri itu bahkan juga menambah kerusi Parlimennya, lalu Najib seakan menghukum UMNO Selangor dan Noh Omar kali ini.

Yang agak menggembirakan, Najib nampaknya memberi pengiktirafan kepada golongan muda. Selain KJ dijadikan Menteri Belia dan Sukan dan Naibnya, Razali Ibrahim dikekalkan sebagai timbalan menteri, Ketua Puteri, Rosnah Abdul Sirin juga turut dikekalkan sebagai timbalan menteri.

Perlantikan paling disambut baik oleh semua golongan, bukan saja atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda UMNO tetapi juga kerana wibawa, ketokohan dan keberaniannya sebagai pemimpin. Ramai orang bercakap mengenai perlantikannya dan begitu juga yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Dalam masa yang sama, seorang lagi tokoh muda, Abdul Rahman Dahlan turut dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut dilihat sebagai usaha untuk menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan orang-orang muda, terutamanya generasi muda di bandar.

Orang Sabah dan Sarawak juga tentunya gembira dengan kabinet kali ini kerana banyak wakil daripada kedua negeri itu berbanding sebelumnya. Ini bukan saja sesuai dengan Sabah dan Sarawak yang menyumbang 47 kerusi daripada 133 kerusi yang dimenangi BN tetapi penambahan ini tentunya bermaksud untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya episod 16 September dan kejadian lompat parti.

Dengan ramai menteri dan timbalan menteri dari Borneo ini, harapan untuk melihat kemungkinan wakilnya yang kecewa lalu melompat parti bagi menyokong Pakatan Rakyat menggulingkan BN, hampir pasti tidak akan berlaku.

Bagi Kedah,pagi tadi ramai yang kecewa apabila mendapati nama Ahmad Bashah tidak tersenarai sebagai EXCO negeri itu dan merasakan seolah-olah perjuangannya menawan kembali negeri itu tidak dihargai tetapi dengan perlantikannya sebagai timbalan menteri mewakili Kedah bersama Mahathir Khalid, sekurang-kurangnya ia merupakan berita yang menggembirakan juga. Kekecewaan tidak dapat jadi Menteri Besar Kedah juga sudah terubat rasanya.

Apa pun, di sebalik semua perlantikan ini, baik sebagai menteri atau timbalan menteri, harapan rakyat berikutan keputusan PRU 13, tetap tinggi agar semua mereka ini lebih mengutamakan kepentingan negara berbanding keutamaan-keutamaan lain. (SH 15/05/2013)

Persatuan Pengguna Islam Pun Dah Jadi Macam Perkasa!!


Agak memeranjatkan tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang mengajak orang Melayu memboikot barangan keluaran lima syarikat milik orang Cina yang didakwa mereka mendanai perjuangan Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu. Menurut persatuan itu, tindakan syarikat Cina itu telah menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat.

Tidak diragui lagi bahawa tindakan persatuan ini menunjukkan mereka separuh matang dan kebudak-budakkan dalam tindakannya. Soal sokongan mana-mana pihak kepada sesiapa dalam pilihanraya bukanlah hal yang salah di sisi undang-undang dan bukan juga suatu jenayah, jadi tidak perlu mereka bertindak sehingga ke tahap itu.

Lagi pula soal siapa menyokong siapa dan siapa tidak menyokong siapa, adalah urusan politik dan biarlah orang politik atau parti politik menyelesaikannya. Kalau suadah berdaftar atas nama persatuan pengguna, bergeraklah mengenai hal-hal kepenggunaan sahaja.

Sebelum ini diketahui bahawa Persatuan Pengguna Islam ini agak aktif dalam hal-hal kepenggunaan yang melibatkan halal haram atau sihat tidak sihat sesuatu barangan itu kepada pengguna. Tetapi dengan tindakan terbaru meminta orang Melayu memboikot barangan keluaran syarikat Cina atas faktor politik menunjukkan mereka sudah terkeluar daripada landasan perjuangan yang sebenarnya.

Mereka ini menjadi tidak ubah seperti Perkasa yang memperjuangkan hak istimewa dan kepentingan Melayu. Tetapi Perkasa memang jelas asas penubuhannya sejak awal lagi, manakala Persatuan Pengguna Islam ini pula hanya berbuat demikian selepas berakhirnya pilihanraya ini saja.

Apakah disebabkan dua calon Perkasa, Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin kalah dalam pilihanraya dan merasakan Perkasa tidak relevan lagi, maka Persatuan Pengguna Islam merasakan kini sudah tiba masanya mereka mengambil alih tempat Perkasa pula?

Atau mungkinkah orang kuat Persatuan Pengguna Islam, Nadzim Johan mempunyai hasrat terpendam ingin menjadi calon BN dalam piliharaya akan datang dengan memulakan langkah menyerang Anwar dan menjadi hero baru kepada orang Melayu mulai sekarang sebagaimana yang dilakukan Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin sebelum ini?

Isu halal haram dan barangan pengguna yang diragui pun masih banyak yang boleh diperjuangkan oleh persatuan ini daripada turut sibuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan politik. Selesaikanlah itu dahulu.

Kenapa dikatakan tindakan boikot ini tidak matang dan tidak mungkin berjaya ialah kerana produk Islam tidak cukup untuk menampung keperluan orang Islam sendiri. Malah dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana orang Cina lebih menguasai perniagaan dan pengeluaran produk pengguna, setiap langkah kita tidak mungkin dapat dielakkan daripada mengguna barangan keluaran bukan Islam.

Perstuan Pengguna Islam dan beberapa NGO yang bersamanya juga tentunya sedar hakikat itu?

Boikot ini tidak lebih langkah populis untuk menonjolkan diri tetapi hasilnya tidak akan ke mana. Lihatlah dulu bagaimana dengan kempen boikot barangan Amerika, Israel, Britain dan sebagainya. Apa jadi dengan semua kempen itu sekarang? Bukan saja kita masih mengguna dan mengagungkan barangan keluaran Amerika dan Britain, mungkin termasuk Nadzim dan pemimpin NGO terbabit juga barangkali turut mengguna produk Amerika dan Britain, malah beberapa syarikat kita didapti terus menjalinkan perdagangan dengan Israel.

Sebabnya tidak lain ialah kerana produk kita tidak cukup dari segi jenis, jumlah dan kualiti untuk kita hidup dalam dunia yang serba terbuka ini tanpa mengguna barangan dari negara-negara terbabit.

Begitu juga dengan boikot barangan yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam ini, ia juga akan menemui kegagalan dan tidak akan mendapat sambutan kerana sebab yang sama - produk keluaran Islam tidak cukup jenis, jumlah dan kualiti untuk kita meneruskan hidup tanpa bergantung kepada keluaran syarikat-syarikat Cina.

Lagi pula sesuai sebagai namanya Persatuan Pengguna Islam, eloklah mereka menumpukan kepada hal-hal kepenggunaan saja. Urusan politik dan selain daripada itu biarlah orang lain yang melakukannya. Banyak lagi urusan berkaitan kepentingan pengguna yang boleh mereka perjuangkan.

Tambahan pula terlanjur Persatuan Pengguna Islam itu menyatakan tindakan syarikat Cina terbabit mendanai perjuangan Anwar dan PR sebagai memecah-belahkan perpaduan, tindakan boikot yang yang mereka lakukan lebih memberi kesan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ia akan menyebabkan jurang yang dalam antara Islam dengan bukan Islam, Melayu dengan bukan Melayu.

Nama saja Persatuan Pengguna Islam, selain sumbangan dalam hal ehwal kepenggunaan Islam tidak dilakukan sepenuhnya, malah seperti mereka juga ghairah mahu menjaja nama Islam untuk kepentingan peribadi dan terlebih duaniwi. (SH 15/05/2013)

Monday 13 May 2013

Susunan Kabinet - Kedudukan Hishammuddin Paling Jadi Perhatian


Perdana Menteri, Najib Razak dijangka mengumumkan susunan kabinetnya barunya minggu ini. Ada laporan mengatakan pengumuman akan dibuat esok dan majlis angkat sumpah akan diadakan pada Rabu di Istana Negara.

Antara isu utama yang menjadi perhatian ialah sama ada kabinet kali ini melibatkan wakil Cina atau tidak. Ini berikutan MCA dan Gerakan telah mengumumkan penolakan sebarang jawatan dalam kabinet susulan prestasi buruk masing-masing dalam pilihanraya 5 Mei lalu.

Apakah MCA dan Gerakan kekal dengan pendirian itu sehingga ke sudah atau berubah fikiran di saat-saat akhir?

Atau jika MCA dan Gerakan kekal tidak mahu menyertai kabinet, kelompok Cina mana pula yang menjadi pilihan Najib untuk menganggotai kabinet. Apakah mereka yang dipilih nanti mewakili mana-mana NGO, golongan profesional atau mana-mana tokoh masyarakat Cina yang dirasakan sesuai oleh Najib.

Atau mungkinkah buat kali pertama susunan kabinet kali ini tidak diwakili oleh menteri dari orang Cina?

Semuanya menjadi perhatian dan perbualan sekarang ini sehinggalah ia akan terjawab dengan sendirinya apabila pengumuman dibuat nanti.

Selain kemungkinan siapa yang bakal dilantik, siapa bakal bertukar kementerian dan siapa bakal digugurkan, kedudukan yang paling menjadi perhatian ialah mengenai Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri sekarang yang juga merupakan sepupu kepada Najib.

Berbanding lain-lain menteri yang sedia ada, Hishammuddinlah yang paling diperhatikan dan menjadi bualan, tidak saja oleh rakyat biasa tetapi juga oleh ahli UMNO sendiri.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dengan pelbagai isu keselamatan, jenayah yang meningkat, isu himpunan Bersih, Lahad Datu, politik dan sebagainya, kedudukan Menteri Dalam Negeri paling banyak diperkatakan, lebih-lebih lagi pendapat umum hampir sepakat bahawa Hishammuddin terlalu lembik untuk memegang jawatan tersebut.

Dalam banyak isu yang berlaku, beliau dilihat hanya banyak memberi amaran, tetapi apabila amarannya tidak diendahkan, beliau sebaliknya gagal bertindak sehingga wibawa beliau sering menjadi momokan ramai. Malah ada yang menggelarnya Menteri Amaran Dalam Negeri saja. Ramai juga yang membandingkannya dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri sebelum ini dan hasilnya ramai yang kecewa dengan prestasi beliau.

Bukan saja rakyat biasa dan orang tidak berparti mempertikaikannya, bahkan ahli dan pemimpin UMNO sendiri ramai yang kecewa dengan prestasinya di Kementerian Dalam Negeri.

Dalam susunan kabinet ini, ramai yang mengharapkan Hishammuddin ditukarkan ke kementerian lain dan tempatnya digantikan dengan pemimpin lain yang lebih tegas dan tinggi wibawanya. Sudah ada juga laman inernet yang mengadakan undian awam untuk meminta pendapat orangramai sama ada beliau wajar dikekalkan di Kementerian Dalam Negeri atau ditukarkan ke kementerian lain.

Dan seperti yang diduga undian yang mahukan beliau ditukarkan sangat tinggi berbanding yang mahukannya kekal pula sangat sedikit.

Selain itu terdapat blog-blog pro UMNO yang menulis secara terbuka meminta Najib agar menukarkan sepupunya itu ke kementerian lain. Kata mereka, tukarlah ke kementerian lain yang tidak memerlukan menterinya seorang yang tegas dan berani seperti Kementerian Pelancongan, Luar Bandar, Pertanian atau Kebudayaan. Yang penting asalkan bukan di Kementerian Dalam Negeri.

Tetapi sebagai Naib Presiden UMNO, Najib juga tidak boleh memberi kementerian yang tidak penting kepada sepupunya itu. Segala-galanya terserah kepada Najib sebagai Perdana Menteri untuk memutuskannya, namun jika Najib mengekalkan juga Hishammuddin di Kementerian Dalam Negeri, ia adalah kekecewaan rakyat dan ahli UMNO yang paling besar terhadap Najib dalam tempoh terdekat ini. ( SH 13/05/2013)

Di Sebalik 1Malaysia, Najib Juga Membakar Sentimen Perkauman


Hari ini 13 Mei 2013, bermakna sudah 44 tahun peristiwa 13 Mei 1969 telah berlalu. Sepatutnya dalam tempoh 44 tahun ini kita semua sudah melupakan peristiwa berdarah itu dan sama-sama bergerak, tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa, ke arah suatu matlamat memajukan negara dan menjadikan negara ini lebih aman.

Tetapi malangnya, hari ini, sentimen perkauman terus dibakar dan rasa kecurigaan antara kaum bagai mahu dihasut semula. Semuanya kerana kepentingan politik kepartian dan kebetulan pilihanraya baru saja berlaku, maka keputusan pilihanraya kali ini telah dijadikan alasan untuk membangkitkan semula sentimen perkauman itu untuk menafikan kesilapan dan kelemahan sendiri.

Bermula ketika kempen pilihanraya lagi di mana Mahathir telah menuduh Lim Kit Siang sebagai rasis dan menggambarkan tindakannya bertanding di Gelang Patah sebagai usaha menebalkan lagi semangat itu, ia kemudian merebak dalam suasana kempen dengan semakin ramai orang cuba membangkitkan semangat yang sama.

Sebaik keputusan diumumkan pula, Najib juga terseret dengan sentimen perkauman yang sama walaupun sebelumnya mengasaskan gagasan 1Malaysia yang dilihat sebagai usaha merapatkan hubungan antara kaum di negara ini. Komen awal Najib bahawa keputusan pilihanraya kali ini merupakan kesan daripasa tsunami Cina sebenarnya mengecewakan banyak pihak yang cintakan perpaduan dan ingin melihat ikatan hubungan antara kaum menjadi lebih erat lagi.

Hanya semata-mata kerana calon-calon MCA dan Gerakan ramai yang kecundang, Najib segera menyalahkan pengundi Cina dalam hal itu dan menganggapnya sebagai penolakan terhadap Melayu. Mahathir pula dengan nada yang lebih keras menyifatkan pengundi Cina telah menolak huluran tangan persabahatan daripada Melayu.

Kedua pemimpin inilah yang mula-mula merobek persefahaman kaum dan membakar sentimen itu untuk menafikan hakikatnya bahawa BN semakin ditolak oleh rakyat. Penolakan pengundi Cina sebenarnya hanyalah kepada BN, bukannya kepada Melayu. Kit Siang menang di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14 ribu bukan semata-mata kerana sokongan pengundi Cina tetapi juga daripada pengundi Melayu. Rafizi menang besar di Pandan, Arif Sabri di Raub dan beberapa calon Melayu PR di kawasan pengundi Cina membuktikan pengundi Cina tidak menolak pemimpin Melayu dan persahabatan dengan Melayu. Mereka hanya menolak BN walaupun calon BN itu Cina.

Sementara PR tidak pernah membangkitkan isu perkauman dalam kempennya tetapi lebih banyak membangkitkan isu rasuah, kenaikan harga barang, tata kelola kerajaan yang lemah dan sebagainya, UMNO dan BN tidak mahu menerima hakikat bahawa mereka ditolak bukan kerana kaitannya dengan Melayu atau kaum tetapi kerana isu-isu lain yang berkaitan kerajaan dan dan kepimpinan yang dipertikaikan rakyat.

Untuk meredakan ketegangan, Najib yang banyak berdiam selepas menuduh tsunami Cina, ketika ulangtahun UMNO baru-baru ini berkata pula bahawa UMNO bukanlah parti rasis dan telah bertindak adil terhadap kaum-kaum lain juga. Malangnya kenyataan beliau itu gagal meredakan api yang telah dibakarnya.

Di ketika pengundi Cina berdiam diri dan MCA serta Gerakan juga tidak mahu membalas api perkauman yang dipercikkan itu, ramai pula pemimpin Melayu bertindak terus-terusan membakarnya. Selain Zulkifli Nordin yang kalah di Shah Alam cuba mengungkit kembali peristiwa 13 Mei, forum-forum terbuka yang membincangkan keputusan pilihanraya lalu turut terjebak ke arah aliran yang sama.

Dalam sebuah forum semalam, seorang hakim pencen, Mohd Nor Abdullah cuba lagi menyiram minyak keatas sentimen perkauman dengan menuduh keputusan pilihanraya lalu memperlihatkan kaum Cina yang ingin mengambil alih kuasa politik pula setelah menguasai ekonomi sebelumnya, sambil mengingatkan bahawa orang Melayu akan bangkit melawannya di suatu ketika nanti.

Amat menghairankan bagaimana seorang bekas hakim boleh mengeluarkan kenyataan sebodoh ini dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Apa yang dimahukankannya? Apakah beliau mahu hubungan antara kaum sentiasa tegang dan bermasam muka sepanjang masa?

Selepas ini mungkin lebih banyak lagi forum yang serupa akan dianjurkan. Maka akan tertonjol lagi tokoh-tokoh yang sebelum ini tidak pernah menyumbang apa-apa kepada keharmonian kaum, muncul di dada- dada media dengan pandangan yang rasis seolah-olah merekalah pejuang bangsa dengan mengapi-apikan semangat perkauman seolah-olah juga hubungan kaum di negara ini sudah berada di tahap yang begitu parah sedangkan di mana-mana hubungan kaum masih kelihatan erat dan tidak menjejaskan apa-apa.

Melayu dan Cina masih boleh duduk semeja, yang berjiran pula tetap bertegur sapa seperti biasa. Tidak ada pula orang Melayu yang bekerja di syarikat Cina yang dibuang kerja, malah tiada juga orang Melayu dan Cina yang bergaduh di sini-sana.

Yang kelihatan nazak akibat daripada keputusan pilihanraya lalu adalah parti-parti politik tertentu yang berasaskan kaum saja. Sebagaimana cadangan hakim pencen itu juga yang mahu sekolah vernakular dimansuhkan kerana bertentangan dengan perlembagaan, sebenarnya sudah sampai masanya juga parti-parti berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC dimansuhkan sama jika benar serius inginkan penyatuan kaum.

Amatlah malang sementara kita semua diminta bergerak ke hadapan dan mementingkan negara, dan Najib sendiri melalui dasar 1Malaysianya meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan bangsa, tiba-tiba hanya kerana keputusan piliharaya yang tidak memihak kepadanya, Najib dan UMNO telah membakulsampahkan dasar 1Malaysia itu sendiri dan seperti ingin melihat semuanya dimusnahkan melalui keegoan terhadap bangsa dan kaum masing-masing.

Malang juga sebenarnya kerana peristiwa 13 Mei yang sepatutnya menjadi batu sempadan agar kita semua tidak mengulangi kesilapan yang sama, di mana semakin ramai yang terlibat dalam peristiwa berdarah itu juga sudah tiada lagi di dunia ini, akhirnya 13 Mei hanya menjadi alat untuk menambahburukkan lagi hubungan antara kaum di negara ini.

Walaupun ada pemimpin UMNO seperti Shahrir Samad dan Saifuddin Abdullah menolak hujah tsunami Cina dan tindakan membakar semangat perkauman, hakikatnya ramai pemimpin UMNO lainnya berdiam diri mengenainya. Malah akhbar yang berada dibawah ketiak UMNO, Utusan juga tidak henti-henti memarakkan lagi api perkauman ini.

Akhirnya kita boleh menilai di mana Najib sebenarnya. (SH13/05/2013)


Sunday 12 May 2013

MCA Dan Gerakan Seperti Isteri Yang Merajuk


Keputusan MCA tidak mahu menerima jawatan dalam kabinet kerana jumlah kerusi yang dimenanginya berkurangan berbanding 2008 dan menandakan makin menipisnya sokongan kaum Cina terhadap parti itu, kini diikuti pula oleh Gerakan, sebuah lagi komponen BN. Walaupun tindakan kedua parti itu melambangkan intergriti yang tinggi dan sikap bertanggungjawab yang terpuji tetapi jika ia menjadi kenyataan akan menjadikan kabinet yang dibentuk Najib nanti menjadi tempang dan tidak melambangkan keharmonian kaum yang ada di negara ini.

Dalam pilihanraya lalu, MCA hanya menang 7 kerusi Parlimen manakala Gerakan cuma menang satu kerusi Parlimen sahaja.

Berikutan keputusan buruk itu, Presiden Gerakan Koh Tsu Koon sudah pun mengumumkan perletakan jawatan jawatannya berkuatkuasa 16 Mei ini manakala Presiden MCA, Chua Soi Lek pula mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan datang. Walaupun didesak oleh veteran MCA agar beliau mempercepatkan perletakan jawatannya, Soi Lek menolaknya dengan alasan ia akan dilakukan mengikut jadual yang telah direncanakan.

Bagaimanapun kedua parti itu kekal dengan pendirian menolak sebarang jawatan dalam kabinet dan kerajaan.

Jika Najib akur dengan permintaan kedua-dua parti itu dalam susunan kabinet yang dijangka diumumkan minggu depan, bermakna buat pertama kali tiada wakil MCA dan Gerakan dalam kerajaan. Andainya Najib mahu juga melantik orang Cina dalam kabinetnya, beliau terpaksa melantiknya daripada kalangan NGO atau profesional yang diyakininya boleh memikul tanggungjawab itu.

Tetapi jika keadaan ini berlaku, kedudukan MCA dan Gerakan akan menjadi tidak penting lagi di kalangan masyarakat Cina. Kedua parti itu mungkin akan terus dipinggirkan dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang.

Namun tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan juga sebenarnya bertujuan untuk mengugut masyarakat Cina supaya mereka merasa kesannya akibat tidak menyokong parti itu dalam pilihanraya lalu dan lebih memilih untuk memihak kepada DAP dan PKR dalam memberikan undinya.

Soalnya ialah sama ada masyarakat Cina termakan dengan ugutan itu atau sebaliknya akan menjadi lebih selesa jika tiada wakil kedua-dua parti itu dalam kerajaan?

Jika masyarakat Cina berasa kerugiannya, ada kemungkinan MCA dan Gerakan berpeluang meraih kembali sokongan dalam pilihanraya akan datang tetapi jika sebaliknya, MCA dan Gerakan boleh tutup kedai dibuatnya.

Dalam konteks yang lain, tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan termasuk tindakan beberapa MCA negeri meletakkan jawatan di peringkat kampung berikutan malu kerana tidak mendapat sokongan kaumnya sendiri, jelas merupakan ugutan halus kepada Najib sendiri untuk membuat pertimbangan dan keputusan.

Najib seperti sedang dipaksa untuk menerima hakikat sama ada MCA dan Gerakan masih penting dalam komponen BN dan dalam kerajaan atau sebaliknya.

Najib tentunya sukar menyusun barisan kabinetnya tanpa memasukkan wakil Cina, tambahan pula beliau telah menyebutkan bahawa keputusan buruk pilihanraya ini adalah disebabkan tsunami Cina yang tidak menyokong kerajaan. Jika beliau menuruti kehendak MCA dan Gerakan itu bermakna beliau juga berdendam dengan masyarakat Cina dan mahu menghukumnya.

Tindakan MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan juga mungkin bermaksud jika mereka mahu dipujuk untuk mengubah pendirian itu, mereka seharusnya diberi kedudukan yang lebih baik dan perhatian yang tinggi sesuai dengan tanggungjawab yang lebih berat untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina menjelang PRU 14 nanti.

Pengundi Cina sebenarnya menolak MCA dan Gerakan atas pelbagai faktor tetapi kini Najib cuba disusahkan sama atas berlakunya penolakan itu sedangkan sewajarnya kedua parti itu menunjukkan iltizamnya untuk berubah terlebih dahulu.

Tindakan yang rasional yang sewajarnya dilakukan oleh MCA dan Gerakan untuk masa depannya ialah dengan memperbaiki dirinya melalui penampilan baru yang melibatkan perubahan barisan kepimpinan, gerak kerja, hala tuju dan kemesraan dengan rakyat, sesuai dengan kehendak rakyat yang pelbagai ketika ini.

Ia mungkin juga memerlukan rombakan besar-besaran dalam aspek-aspek lain yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. MCA dan Gerakan haruslah berjiwa besar untuk memperbaiki lagi dirinya. Mereka tidak harus menjadi isteri yang merajuk yang mengharapkan pujukan dan hadiah besar sebaik mula mahu tersenyum.

Jawatan dalam kabinet dan kerajaan harus diterima kerana mereka komponen BN dan sebahagian daripada kerajaan, sambil itu cubalah memperbaiki diri dan wajahnya agar lebih diterima oleh pengundi Cina. Dengan bekeras menolak jawatan dalam kabinet dan lambat pula untuk berubah, MCA dan Gerakan akan lebih menyusahkan BN dalam PRU 14 nanti. (SH 12/05/2013)


Saturday 11 May 2013

Ahmad Said Mula Mahu Membalas Dendam


Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said yang baru mengangkat sumpah jawatan itu dilaporkan oleh Bernama hari ini bahawa beliau tidak akan melantik pegawai pembangunan di kawasan yang dimenangi oleh PR dan juga tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan tersebut.

Kerajaan negeri hanya akan membina rumah mampu milik di kawasan yang BN menang saja. Di kawasan yang dimenangi pembangkang juga, biarlah mereka sendiri menyelesaikan masalah rakyat dan rakyat boleh terus mengadu kepada wakil rakyat yang mereka pilih, demikian lebih kurang kata beliau dengan nada sedikit angkuh dan penuh dendam kesumat.

Dengan hanya menang 17 kerusi DUN di Terengganu manakala PR menang 15 kerusi, tindakan MB Terengganu itu jelas menunjukkan ketidakmatangannya dalam berpolitik. Sebagai MB yang gajinya dibayar dari hasil cukai rakyat, termasuk juga rakyat yang mengundi PR, tindakan beliau itu tidak boleh diterima sama sekali.

Lainlah jika selepas ini mereka yang mengundi selain BN atau rakyat yang tinggal di kawasan yang dimenangi oleh PR tidak lagi diwajibkan membayar apa- apa cukai kepada kerajaan.

Proses pilihanraya dan siapa yang dipilih oleh rakyat adalah pilihan yang dibenarkan oleh undang-undang serta perlembagaan. Mengundi Pas atau PR bukanlah suatu kesalahan yang membolehkan mereka dihukum sebegitu rupa.

Menjadi pemimpin haruslah berjiwa besar dan sedia menghadapi apa saja cabaran daripada rakyat. Tidak bolehlah menjadi pemimpin dengan mengharapkan sokongan 100 peratus. Menyokong dan menentang ada kebaikannya yang tersendiri kepada kerajaan dan pemimpin itu sendiri.

Tetapi ini nampaknya tidak begitu difahami oleh Ahmad Said walaupun beliau bukanlah baru sehari dua bergelar pemimpin.

Sebagai MB juga, Ahmad Said haruslah menyedari tindakan menghukum rakyat dengan tindakan sebegitu lebih menggambarkan kebodohan berbanding kecerdikannya. Selepas pilihanraya, dan beliau terus diberi peluang menjadi MB, bermakna beliau harus menjadi pemimpin kepada semua rakyat Terengganu, bukannya kepada satu puak saja. Soal siapa yang dipilih oleh rakyat haruslah dilupakan dengan memandang ke depan dan memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Lagi pula tanggungjawab menyediakan pembangunan dan kediaman mampu milik untuk rakyat adalah tanggungjawab kerajaan negeri kepada sesiapa yang layak tanpa mengira mereka mengundi BN atau PR. Sebagai kerajaan, haruslah bersikap adil dan tidak memihak kepada hanya sekelompok rakyat.

Mengepikan sebahagian rakyat dan menafikan pembangunan di kawasan yang tidak mengundi BN juga tidak akan menjadikan UMNO dan BN menjadi bertambah baik atau lebih diterima rakyat. Malahan melalui amalan politik kebudak-budakan dan tidak matang, ia lebih memudahkan BN tumbang dalam pilihanraya yang seterusnya.

Dengan menjadi MB dan mengekalkan kuasa hanya dengan kelebihan dua kerusi saja, tindakan Ahmad Said mahu menghukum rakyat yang tidak mengundi BN jelas menggambarkan beliau mempunyai pemikiran yang tidak melebihi daripada budak-budak yang belum mencapai akil baligh atau belum bersunat saja.

Selalunya hanya budak-budak yang suka membalas dendam seperti itu. Tetapi politik bukanlah permainan yang diatur dengan cara yang sama kerana setiap lima tahun kita perlu semula mendapatkan mandat daripada rakyat. Jika beginilah cara memimpin dan mengurus negeri yang diamalkan oleh Ahmad Said, dengan hanya kekurangan dua kerusi saja, Pas dan PR nampaknya tidak perlu terlalu bekerja keras untuk menawan negeri itu dalam pilihanraya akan datang nanti.

Ahmad Said dengan amalan politik balas dendam dan sikap tidak cerdiknya itu telah menyediakan laluan yang lebih mudah untuk Pas menawan negeri itu. (SH 11/05/2013)

Friday 10 May 2013

Najib Tidak Perlu Lagi Takut Lantik KJ Sebagai Menteri


Selepas kemenangan tipis BN dan Najib pula sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, perhatian kini tertumpu kepada barisan kabinet yang bakal dilantik pula. Siapa bakal menjadi menteri, timbalan menteri dan siapa bakal gugur atau bertukar jawatan mula menjadi perbualan di sana- sini.

Sementara Najib sedang memikir barisan kabinet barunya, tiba-tiba Khairy Jamaluddin atau KJ, Ketua Pemuda UMNO yang menang dengan undi lebih besar di Rembau, menawarkan dirinya untuk berkhidmat dalam apa saja peranan yang difikirkan sesuai oleh Perdana Menteri.

Walaupun tindakan "meng-offer" diri yang dilakukan KJ ini sesuatu boleh mengundang pelbagai cakap-cakap di belakang, tetapi hakikatnya sebagai Ketua Pemuda UMNO yang jawatannya bertaraf Naib Presiden, beliau memang sewajarnya diberikan tempat yang sesuai, yang sepatutnya lebih tinggi daripada sekadar Pengerusi PUNB.

Kalau pun tidak menteri, sekurang-kurangnya berilah beliau jawatan timbalan menteri. Apatah lagi Ketua Wanita, Shahrizat turut diberikan jawatan menteri (sebelum meletakkan jawatan kemudiaannya berikutan isu lembu NFC) dan Ketua Puteri, Rosnah pula diberikan jawatan timbalan menteri.

Najib juga memberi jawatan timbalan menteri kepada Mukhriz yang kalah dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan KJ, begitu juga Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda UMNO turut diberikan jawatan timbalan menteri.

Hanya KJ yang tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kabinet meskipun rankingnya dalam parti lebih tinggi berbanding Mukhriz dan Razali.

Sebab itu, jika kali ini KJ bertindak pantas menawarkan dirinya, ia sebenarnya sekadar mengingatkan Najib kalau-kalau Perdana Menteri terlupa mengenai dirinya.

Memang menjadi rahsia umum bahawa sebelum ini Najib agak keberatan untuk memberi apa-apa jawatan kepada KJ kerana takutkan Mahathir. Dalam serangannya kepada Pak Lah, beliau telah menjadikan KJ dan budak-budak tingkat 4 yang didakwanya mempengaruhi dan mengawal Pak Lah sebagai asas serangannya.

Apabila Najib menjadi Perdana Menteri sebaik mengambil alih jawatan itu daripada Pak Lah, beliau takut untuk melantik KJ dalam barisan kabinetnya kerana bimbangkan serangan Mahathir, selain mengharapkan bekas Perdana Menteri itu membantunya mengembalikan sokongan rakyat yang agak terhakis selepas pilihanraya 2008 lalu.

Untuk mengambil hati Mahathir juga, anaknya Mukhriz telah dijadikan timbalan menteri.

Percaturan Najib itu nampaknya menjadi, walaupun Mahathir kerap juga bersikap kritikal terhadap pentadbiran Najib tetapi serangannya sekadar cubit-cubit sayang saja. Najib terlepas daripada menerima nasib seperti Pak Lah.

Tetapi kini setelah pilihanraya berakhir dan Mukhriz juga sudah dijadikan Menteri Besar Kedah, tiada apa lagi yang dirisaukannya mengenai Mahathir. Mahathir mungkin sudah puas hati anaknya menjadi Menteri Besar Kedah dan barangkali juga tidak melenting lagi jika KJ dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Apatah lagi dengan keputusan buruk pilihanraya lalu yang sekadar mencatatkan BN menang 133 kerusi, kurang 7 kerusi berbanding 2008, Najib sebenarnya perlu menggembleng kekuatan semua pihak untuk mengembalikan masa depan yang cerah bagi UMNO dan BN.

Faktor Mahathir tidak harus dianggap terlalu penting lagi, yang penting ialah sama ada BN boleh kekal lagi lima tahun akan datang. Sikap memilih kasih, pilih bulu dan mengenepikan mereka yang seharusnya diberikan serta takutkan kepada seseorang haruslah diketepikan sama sekali.

Selain memilih barisan menteri dan timbalan menteri yang benar-benar berwibawa dan boleh diterima rakyat, KJ dengan jawatan kanannya dalam parti serta kewibawaannya sebagai pemimpin, memang seharusnya diberikan jawatan yang bersesuaian. Berterusan mengenepikan beliau hanyalah merugikan kerana KJ kini merupakan aset, bukan lagi liabiliti sepertimana tanggapan Mahathir ketika memusuhi Pak Lah dulu.

Mahathir juga barangkali tidak lagi terlalu marah kepada KJ sekarang ini dan menyedari aset kepimpinan yang ada padanya.

Lagi pula, KJ sama seperti Mukhriz adalah antara pemimpin muda yang seharusnya diasuh untuk diketengahkan bagi mewarisi kepimpinan parti dan negara di masa depan. Demi masa depan parti, Najib tak perlu lagi takut dengan Mahathir. (SH 10/05/2013)

Ramai Yang Kecewa Dengan Azmin Hari Ini...


Sidang akhbar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali begitu ditunggu-tunggu oleh semua orang hari ini. Ramai yang menyangka akan ada pengumuman mengejutkan dari beliau. Sejak ketidakhadirannya dalam perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, Rabu lalu serta tweetnya yang menimbulkan pelbagai tafsiran, kedudukan dan masa depannya mula menjadi bualan.

Hubungannya dengan PKR dan Anwar juga mula diperkatakan. Ramai yang mengandaikan beliau akan keluar PKR, tidak kurang pula mensensasikan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa.

Yang menyebarkan berita Azmin akan menyertai UMNO juga tidak kurang ramainya. Di laman sosial dan blog pula, pelbagai tafsiran mula diperkatakan mengenainya dirinya. Ada yang berkata jika beliau keluar PKR, bermakna seorang lagi anak Ali akan mewarnai politik Malaysia setelah Ibrahim Ali dan Dr Hassan Ali berbuat demikian sebelum ini.

Penjelasan Azmin dalam sidang akhbarnya sebentar tadi bahawa beliau akan terus kekal dalam PKR, tidak akan meletakkan jawatan, tidak akan meninggalkan perjuangan yang telah disertainya sejak 15 tahun lalu dan tidak akan menyertai UMNO, melegakan ramai orang yang mengharapkan beliau tidak mengecewakan perjuangan rakyat yang mahukan perubahan dan reformasi selama ini.

Dalam masa yang sama, UMNO yang mengharapkan Azmin akan berbuat sesuatu yang merugikan PKR, Pakatan Rakyat dan Anwar, turut kecewa dengan Azmin pada hari ini. Harapan mereka Anwar menjadi lemah, PKR dan Pakatan Rakyat akan kucar-kacir nampaknya tidak kesampaian. Azmin tetap bersama Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat, malah rasa hormat Azmin terhadap Anwar sebagai bekas bosnya juga tetap tinggi apabila setiap kali menyebut nama Anwar beliau menyebutnya dengan panggilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang diakui bahawa politik Malaysia banyak bergantung kepada kelemahan pihak lawan. Kelemahan dan serangan terhadap pihak lawan sering diperbesarkan untuk meraih keuntungan. UMNO terutamanya, sejak tahun-tahun kebelakangan ini kelihatan amat bergantung kepada kelemahan itu untuk terus mendapat sokongan. Sebab itu mereka yang keluar dan meninggalkan PKR akan dipergunakan semahu-mahunya untuk menarik sokaongan rakyat.

Dengan keputusan pilihanraya 2013 yang tidak begitu memberangsangkan bagi UMNO dan memperlihatkan laluannya masih sukar dalam PRU 14 nanti, UMNO tentunya amat mengharapkan akan berlaku sesuatu yang menjurus ke arah perpecahan dalam rumahtangga lawannya.

Tersebarnya berita mengenai Azmin adalah berita yang amat ditunggu- tunggu oleh UMNO. Akhbar, blog dalan laman sosial pro UMNO sejak semalam lagi seperti tidak sabar-sabar menunggu berlakunya perpecahan dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Ramai yang memainkan berita bahawa Azmin akan keluar PKR dan meninggalkan Anwar. UMNO seperti sudah menyediakan nyiru untuk menerima kehadiran Azmin. Jika Azmin berbuat berbuat seperti yang diharapkan oleh UMNO, tentunya ia merupakan pukulan paling hebat buat Anwar dan PKR.

Ia bukan saja kerana kedudukan Azmin sebagai Timbalan Presiden dan Pengerusi PKR Selangor tetapi juga kerana hubungannya yang lama dan begitu setia dengan Anwar sejak berpuluh tahun lamanya. Beliau umpama tangan kiri bagi Anwar sementara Wan Azizah adalah ibarat tangan kanannya.

Azmin mungkin ada sedikit kecewa dan ingin mengkritik sesuatu yang dirasakannya tidak betul dalam parti itu. Beliau jelas ingin maju ke hadapan dan mahu lebih fokus kepada PRU 14.

Yang pentingnya, Azmin tidak membawa perpecahan hari ini. Beliau kekal dan istiqamah dalam perjuangannya selama ini. UMNO dan musuh-musuh PKR mungkin kecewa dengan Azmin tetapi yang penting rakyat tidak kecewa dengan tindakan beliau pada hari ini. (SH 10/05/2013)

Thursday 9 May 2013

Permulaan Kebangkitan Rakyat Yang Digeruni Sudah Bermula...



Sebaik keputusan pilihanraya diumumkan dan Anwar menolak keputusan itu atas dakwaan berlakunya pelbagai unsur penipuan, manipulasi dan rencana yang didakwanya diatur SPR untuk memenangkan BN, Anwar lantas mengumumkan akan mengadakan suatu perhimpunan bantahan rakyat terhadap SPR di Stadium Kelana Jaya, Selangor.

Perhimpunan itu telah pun berlangsung malam semalam dengan kehadiran dikatakan melebihi 120,000 orang.

Anwar yang memang terkenal dengan kelebihan mengenai demonstasi dan membangkitkan semangat rakyat juga memberitahu, perhimpunan itu nanti akan menjadi permulaan kepada kebangkitan rakyat yang digeruni.

Dengan kehadiran seramai 120,000 dalam suasana hujan dan hari bekerja, bermakna sebahagian rakyat masih dalam suhu badan yang sedang mendidih dengan keputusan pilihanraya Ahad lalu dan juga terhadap SPR.

Melihat sambutan dan kehadiran rakyat yang luar biasa itu dan Anwar juga sudah mengumumkan akan mengadakan siri perhimpunan yang sama di beberapa bandar lain dengan dimulai di Pulau Pinang Sabtu ini, bermakna rakyat akan terus menyaksikan suara kebangkitan rakyat secara bersiri untuk tempoh beberapa lama lagi selepas ini.

Tentunya selepas semua bandar-bandar dibakar dengan semangat kebangkitan itu, suatu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur pula selepas itu sebagai acara kemuncaknya untuk menekan kerajaan dan SPR supaya tunduk kepada tuntutan untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih.

Mungkin juga selepas suatu perhimpunan, ia akan dituruti lagi dengan beberapa perhimpunan sehingga kerajaan tunduk dan akur dengan permintaan mereka. Tidak dinafikan, melihat kepada respon rakyat malam semalam, apa yang dikatakan Anwar bahawa perhimpunan yang benar-benar digeruni akhirnya akan menjadi kenyataan.

Ia nampaknya mirip dengan apa yang pernah berlaku di Indonesia, Thailand dan beberapa negara Arab sebelum ini.

Walapun ada rakyat yang mula muak dengan apa yang dilakukan oleh Anwar dan PR ini dan mahu mereka akur saja dengan keputusan pilihanraya yang lalu, hakikatnya sebahagian yang lain tetap bersemangat tinggi dengan perjuangan dan keyakinan mereka.

Orang yang berasa ditipu dan dianiaya tentunya akan berjuang habis-habisan menuntut hak keadilan mereka, malah ada yang sampai sanggup hingga ke hujung nyawa sekali pun. Orang yang sekadar melihat dan menyaksikan penipuan tidak sama perasaannya dengan orang yang mengalami. Inilah yang sedang berlaku.

Dalam hal ini, kerajaan dan SPR yang dituduh tidak boleh sekadar berdiam diri saja. Sesuatu harus harus dilakukan untuk meredakan masalah ini. Melawan peserta demonstasi dengan tangkapan, semburan air berwarna dan pukulan cota, mungkin tidak memberi makna lagi. Rakyat mahukan pendekatan yang lebih berhemah dalam hal ini.

Jika perlu berunding, berundinglah. Ketika ini kepentingan dan masa depan negara haruslah lebih diutamakan. Apa-apa isu yang dibangkitkan yang menjadi punca ketidakpuasan hati terhadap SPR dan perjalanan pilihanraya hendaklah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.

Ungkapan Pengerusi SPR yang meminta mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya supaya mengemukakan bantahan dalam tempoh 21 bukanlah jawapan terbaik, lagi pula perkara itu sudah difahami oleh semua orang.

Jika ada kelalaian di pihak SPR semasa perjalanan pilihanraya yang menyebabkan keputusannya diragui, mereka haruslah mengakuinya. Janganlah terus berdalih dan bersikap sombong kerana suhu badan rakyat yang sedang mendidih tidak akan menjadi sejuk dengan jawapan seperti itu. Mana-mana kawasan pilihanraya yang diragui keputusannya, haruslah diselesaikan segera.

Jika perlu diadakan semula pilihanraya di kawasan-kawasan tertentu yang dipertikaikan itu, usahakanlah kearah itu asalkan negara ini selamat daripada huru-hara.

Kerajaan haruslah segera mengajak pimpinan PR mengadakan rundingan sebelum siri-siri demonstasi ini menjadi lebih parah. Semua orang tahu hal ini memang kelebihan Anwar. Jika dibiarkan dan tidak dibendung, kelebihan memang ada padanya.

Kerajaan sehingga ini masih lagi berdiam diri. Najib juga belum memberi sebarang respon lagi. Hanya Mahathir yang sudah nampak kebimbangannya terhadap siri kebangkitan rakyat yang sedang digerakkan oleh Anwar ini. Tetapi Najib dan kerajaan tidak boleh terlalu selesa dan memandang rendah perkara ini. Sesuatu harus dilakukan untuk menanganinya sebelum suhu kebangkitan rakyat menjadi tidak terkawal lagi. (SH 09/05/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...