Tuesday 30 April 2013

Tengku Adnan Menang Poster, Husam Pula Menang Undi


Bagi sesiapa yang pergi dan meronda-ronda sekitar Putrajaya serta melihat kebanjiran poster calon BN Tengku Adnan Tengku Mansor yang  melimpah dipasang di sepanjang jalan, di simpang-simpang dan di pelbagai tempat lainnya, tentulah menyangka beliau seolah-olah tiada saingan dan bakal menang mudah di kawasan itu.

Poster beliau dalam pelbagai bentuk dan rupa hampir memenuhi semua tempat di Putrajaya. Gambar Najib dan Muhyiddin pun tidak sebanyak gambarnya walaupun di Pusat Pentadbiran Kerajaan itu, kedua mereka adalah pemimpin tertinggi di situ.

Poster lawannya pula, Husam Musa begitu susah untuk ditemui dan hanya kelihatan di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Logo Pas dan bilik gerakan PR juga tidak sebanyak yang dimiliki oleh BN. Semua kawasan Putrajaya bagai dimonopoli dan ditakluk  oleh Ku Nan.

Dan jika berdasarkan poster juga, tentu benarlah kata Ku Nan sebelum itu bahawa Husam akan hilang deposit di Putrajaya ini.

Sebelum itu, ramai yang tertanya-tanya apa muslihat Husam mencabar dirinya bertanding di Putrajaya kerana diketahui umum kawasan itu merupakan kubu kuat BN dan pengundinya pula terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sememangnya  menjadi tanggapan umum lebih mesra dengan BN.

Tetapi sejak Husam mengumumkan bertanding di situ,  berkempen serta turun padang ke Putrajaya, tiba-tiba senario politik Putrajaya berubah sama-sekali. Mood pengundi juga berubah. Ditambah dengan kehadiran Nik Aziz dan Ustaz Azhar Idrus membantu kempen Husam yang menyaksikan 20 ribu dan 30 ribu orang hadir, Putrajaya tidak lagi dilihat kubu yang selamat bagi BN.

Ku Nan yang dulunya "cakap besar" dan memandang rendah dengan Husam, mulai berpeluh dingin sekarang ini. Tidurnya juga dikhabarkan tidak lagi selena dulu. Tanggungjawabnya untuk memastikan Parlimen Putrajaya terus kekal ditangan BN menjadi semakin berat.

Dengan jumlah pengundi sekitar 15 ribu dan melihat respon kakitangan kerajaan terhadap program ceramah Husam, orang sudah mula bercakap bahawa Ku Nan akan tumbang kali ini. Kedudukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO tidak lagi dilihat kukuh untuk mempertahankan Putrajaya.

Jika Putrajaya jatuh ke tangan Pas dan Husam berjaya menyingkirkan Ku Nan, bukan saja Ku Nan akan menanggung malunya, malah Najib, UMNO, BN dan semua pemimpin serta ahlinya juga akan turut rasa terpukul. Bayangkan Putrajaya yang menjadi kebanggaan UMNO dan BN, tiba-tiba Ahli Parlimennya daripada Pas.

Lantaran itu, sebelum nafasnya menjadi semakin sesak, Ku Nan segera mendapatkan bantuan untuk memberinya ruang nafas yang lebih selesa. Beliau bukan saja membawa Mahathir, orang yang mencetuskan idea pembinaan Putrajaya untuk membantunya, malah turut juga membawa Daim Zainuddin bagi  meyakinkan pengundi agar terus mengekalkan BN di situ.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga sudah turun dan dikhabarkan menjelang hari pengundian nanti, Najib juga akan turun mempunyai acara kempen khusus di Putrajaya.

Ternampak kini semua pimpinan UMNO mulai bimbang akan kekalahan Ku Nan dan kehadiran tokoh-tokoh besar itu mengiyakan hakikat Putrajaya sedang kritikal. Ku Nan dengan jentera UMNO Putrajaya saja, tidak mungkin mampu lagi mempertahankannya.

Meskipun dari segi poster, kelihatan Ku Nan jauh mendahului tetapi jika kita rajin bertemu dan berbual dengan kakitangan kerajaan di sana, memang ternampak keinginan kepada perubahan  dan memilih Husam.

Selain faktor anak-anak Kelantan yang dikatakan  ramai menjadi pengundi di Putrajaya, kakitangan kerajaan juga sudah mempunyai pemikiran dan pengetahuan yang lebih terbuka berbanding dahulu berikutan pelbagai maklumat begitu mudah mereka perolehi sekarang ini.

Mereka juga merupakan kelompok yang sentiasa berada di zon selesa, siapa pun berkuasa, mereka tetap juga pegawai kerajaan. Tidak bermakna jika hari ini mereka kakitangan kerajaan dan selepas pilihanraya nanti Parlimen Putrajaya dimenangi oleh Husam, mereka boleh dibuang kerja. Siapa pun Ahli Parlimen Putrajaya dan siapa juga yang memenangi pilihanraya akan datang, baik BN ataupun PR, kakitangan kerajaan tetap kakitangan kerajaan.

Sambutan kepada Husam juga kerana beliau disifatkan sebagai pemimpin muda, sesuai dengan kebanyakan kakitangan kerajaan dan pengundi Putrajaya yang merupakan pengundi muda dan suka kepada pemimpin muda.

Selain itu, arus kebangkitan rakyat yang berlaku di mana-mana juga turut mempengaruhi kakitangan kerajaan untuk berubah sama.

Secara keseluruhannya, cabaran Ku Nan memang tidak lagi mudah. Beliau kini terpaksa menelan kata-katanya sendiri bahawa Husam akan hilang deposit. Memang Ku Nan mempunyai jentera yang kuat, sumber kewangan yang kukuh dan pelbagai kelebihan berada dipihaknya. Namun Husam tidak mungkin hilang deposit. Ku Nan mungkin menang dari segi poster, tetapi Husam mampu memenangi undinya.

Apa yang perlu dilakukan Husam ialah mengekalkan momentum kebangkitan pengundi di Putrajaya dengan menjemput tokoh-tokoh besar PR lagi Putrajaya seperti Hadi Awang dan Anwar Ibrahim pula, selain gerak kerja kempen yang biasa.

Ku Nan pula, dengan bantuan kempen oleh  Mahathir, Daim, Muhyiddin,, Najib serta kekuatan jentera dan sumber kewangan yang kukuh, kelebihan nampak berpihak kepadanya. Namun jika Tuhan telah mentakdirkan nasib tidak baik kepadanya, maka terimalah seadanya keputusan  pada 5 Mei nanti. (SH 30/04/2013)

Musa Hassan Menambah Lagi Semangat Rakyat Untuk Berubah


Perkataan ubah yang kini semakin kuat gemanya, ternyata semakin ditakuti oleh Najib dan BN. Najib berkata, perkataan ubah hanyalah sekadar gimik politik semata-mata dan beliau  tidak mahu rakyat terpedaya dengannya. Malah Najib berkata, perubahan juga boleh dilakukan melalui BN dan kerajaan yang ada sekarang.

Muhyiddin, Ahmad Maslan dan lain-lain pemimpin UMNO juga menolak perubahan. Perkataan ubah juga ditakuti mereka.  Mereka bukan saja menempelak semangat rakyat yang mahukan perubahan, bahkan cuba meyakinkan dengan pelbagai teori kemenangan kini sedang berpihak kepada BN.

Malah Rais Yatim yang tidak lagi diperlukan Najib juga cuba berhujah bahawa perubahan tidak mungkin menjadi kenyataan kerana kononnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat sentiasa berbalah dan berlainan ideologi.

Semakin dekat hari mengundi, perkataan ubah atau hijrah semakin diperkatakan di mana-mana. Di kelompok Melayu, Cina dan India, terlihat bahawa semangat ke arah itu makin membara. Di kalangan kakitangan kerajaan, swasta dan golongan profesional juga tergambar mood yang sama.

Sementara ceramah dan program-program anjuran Pakatan Rakyat terus mendapat sambutan, walaupun diakui ia tidak semestinya menterjemahkan undi, hakikat yang jelas ialah kebimbangan sudah mulai dirasai oleh BN sendiri.

Tidak saja Najib dan Muhyiddin yang semakin sibuk memenuhi pelbagai jadual kempen, Mahathir yang dikesan sebagai orang paling takut jika BN kalah, turut mempunyai jadual yang makin  padat setiap hari. Daim yang kononnya berpengaruh dan mempunyai banyak wang juga mulai ditampilkan sejak beberapa hari lalu untuk membantu BN.

Di dalam UMNO dan BN, bukan saja yang sedang berkuasa takut dengan kehilangan kuasa, malah yang bakal pencen serta yang sudah lama pencen juga mempunyai ketakutan yang hampir serupa.

Semua ini menggambarkan kebimbangan yang semakin   meningkat terhadap perubahan yang cuba dibawa oleh Pakatan Rakyat dan telah dimula disambut serta difahami kebaikan serta manfaatnya.

Dalam usaha untuk mengajak rakyat berubah dan menubuhkan kerajaan baru, PR juga telah menubuhkan Majlis Keselamatan yang berperanan untuk mempermudah peralihan kuasa serta bagi memastikan proses pilihanraya berjalan dengan aman dan tanpa sebarang kekacauan. Majlis ini dianggotai oleh beberapa bekas pemimpin tertinggi polis dan tentera yang kini menyertai pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat.

Majlis ini juga menunjukkan keseriusan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan dan menubuhkan kerajaan baru selepas 5 Mei ini. Dengan penubuhan majlis ini dan dianggotai oleh tokoh-tokoh yang ternama dan pakar mengenai keselamatan, tidak dapat tidak ia menambahkan lagi keyakinan rakyat tentang matlamat perubahan yang mahu dicapai itu.

Terbaru, dengan kesediaan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan menjadi penasihat majlis itu, tentunya menambahkan lagi  keyakinan rakyat terhadap perubahan itu. Jika UMNO, BN dan semua pemimpinnya cuba mengelakkan perubahan, penyertaan Musa Hassan ini sudah tentu memberi implikasi yang sebaliknya.

Tambahan lagi, Musa Hassan juga adalah bekas pegawai penyiasat ketika  Anwar dibicarakan pada tahun 1998 dahulu sebaik saja dipecat dari UMNO dan kerajaan oleh Mahathir.  Dengan penyertaan beliau menjadi penasihat majlis itu, tentunya juga membentuk persepsi bahawa beliau kini sudah turut bersama dengan perjuangan Anwar sekarang ini.

Walaupun kes itu sudah lama berlalu dan Anwar juga sudah pun menjalani hukuman tetapi sejak dulu sehinggalah sekarang Anwar tetap konsisten mengatakan ianya adalah konspirasi UMNO dan Mahathir untuk menyingkirkannya. Apabila kini Musa bersama pula dengan Pakatan Rakyat, walaupun atas alasan  kebimbangan mengenai keganasan politik yang semakin menjadi-jadi, gambarannya ialah seolah-olah Anwar kini bukan saja mendapat simpati rakyat tetapi juga simpati daripada Musa Hassan sendiri.

Dan konspirasi yang diperkatakan oleh Anwar sengaja ditujukan kepadanya  itu semakin menampakkan
hakikat yang sebenarnya. Walaupun ada beberapa pihak yang sejak dulu meragui keikhlasan Musa Hassan ini tetapi jika menjelang hari pengundian nanti, Anwar dan Musa Hassan dapat tampil bersama atau duduk semeja dalam suatu majlis yang memperkatakan tentang keselamatan atau apa saja, pembentukan persepsi ke arah perubahan pastinya menjadi bertambah kukuh lagi.

Setelah pelbagai tokoh kerajan menyeberang menyertai Anwar dan Pakatan Rakyat, Musa Hassan nyata memperkukuh lagi semangat rakyat ke arah itu. Tentunya juga perkataan ubah akan terus menghantui hari-hari yang makin kelam buat Najib dan BN. (SH 30/04/2013)

Monday 29 April 2013

Najib Lebih Percaya Kajian Ahmad Maslan Berbanding Kajian Universiti


Najib dilaporkan begitu tersinggung dengan kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya atau UMCEDEL yang mendapati Anwar lebih popular dan dikehendaki pengundi untuk menjadi Perdana Menteri berbanding dirinya. Kajian UMCEDEL itu mendapati Anwar mendapat keyakinan 43 peratus berbanding Najib  hanya 39 peratus.

Sambil menolak kajian itu dan menyifatkannya sebagai karut, Najib juga berkata, pihaknya juga melakukan kajian sendiri dan mendapati beliau lebih mendahului berbanding Anwar.

Najib sebenarnya memang wajar tidak bersetuju dengan kajian itu kerana jika beliau bersetuju, sebaiknya beliau meletak jawatan saja dengan segera. Namun dalam pada tidak bersetuju itu, Najib sepatutnya memperlihatkan jiwa besarnya sebagai Perdana Menteri dengan tidak menyifatkannya sebagai karut dan sebagainya.

Ini kerana pihak UMCEDEL melakukan kajian itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan tanpa sebarang kepentingan untuk diri mereka. Ia hanyalah kajian ilmiah untuk melihat kecenderungan pengundi, sesuai dengan kehangatan bahang kempen pilihanraya yang sedang berjalan sekarang.

Kajian pihak universiti itu seharusnya disambut baik dan lapang dada oleh Najib dan beliau harus menjadikannya sebagai rangsangan untuk memperbaiki lagi kelemahan diri dan kerajaan BN yang sedang dipimpinnya. Dengan mengetahui ramai yang menolaknya, sekurang-kurangnya Najib boleh memperkuat jentera kempen dan memperbaiki apa-apa yang kurang sebelum tarikh pengundian 5 Mei depan.

Namun sebaliknya Najib menolak peluang untuk menunjukkan sifat terpujinya dengan menolak bulat-bulat hasil kajian itu. Bagi Najib beliau tetap lebih popular berbanding Anwar. Memanglah jika Najib sekadar hanya membaca Utusan dan menonton TV3 dan mendapat laporan atau hasil kajian daripada Ketua Penerangan Ahmad Maslan saja, semuanya baik-baik dan indah belaka.

Walaupun kebangkitan rakyat kini dapat dilihat di mana-mana dan mood rakyat dalam perbualan seharian dengan pelbagai kelompok  juga memperlihatkan mereka semakin ghairah ke arah perubahan, tetapi Ahmad Maslan tetap mendendangkan lagu-lagu kemenangan buat Najib. Beliau juga  sentiasa meyakinkan bahawa Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan menyifatkan semua orang lain tidak layak, bahkan  memberitahu kemenangan yang boleh dicapai ialah sekurang-kurangnya 160 kerusi Parlimen. Pendek kata, dua pertiga sudah dalam tangan.

Beliau dilaporkan memberitahu media, tentunya perkara yang sama juga diberitahunya kepada Najib, walaupun BN boleh merampas lebih banyak lagi kerusi terutama yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu tetapi cuma berhasrat menambah 20 saja lagi berbanding 140 yang dimenangi pada 2008. Hebat sungguh Ahmad Maslan ini!

Tidak itu saja, Ahmad Maslan turut melaporkan beberapa kerusi yang dilaporkan kritikal seperti Gelang Patah, Pulai dan beberapa kerusi lainnya pun akan dapat dimenangi oleh BN kali ini. Tidak mustahil juga beliau menggelikan lagi  telinga Najib dengan menyatakan Permatang Pauh, Marang dan Bukit Bintang pun akan berjaya dimenangi kali ini.

Dalam keghairahan mahu mengekalkan jawatan dan dibisikkan pula dengan lagu-lagu indah oleh Ahmad Maslan, ditambah lagi dengan laporan yang disiarkan oleh Utusan dan TV3, memanglah boleh terpesona Najib dibuatnya.

Tanpa menilai bahawa yang melapor dan membuat kajian itu mempunyai kepentingan atau sebaliknya, sudah tentulah laporan yang menggembirakan itu lebih diterimanya berbanding kajian UMCEDEL itu, walaupun ia  dibuat dengan ikhlas dan akademik.

Meskipun setelah disifatkan karut oleh Najib, UMCEDEL tetap mempertahankan kajiannya itu. Jika ditanya sesiapa pun, antara kajian universiti dengan kajian orang politik, lebih-lebih lagi yang sarat dengan kepentingan peribadi, tentunya majoriti mengatakan kajian universiti lebih dipercayai.

Tetapi adalah hak Najib untuk tidak mempercayai dan menolaknya. Biarlah sehingga malam 5 Mei nanti, kajian Ahmad Maslan itu lebih diyakini dan dipercayainya manakala semua kajian atau laporan lain sebagai karut dan palsu belaka.

Setelah keputusan diketahui nanti, kita akan mengetahui juga siapa yang ikhlas dan siapa yang mengampu, siapa yang karut dan siapa yang benar. (SH 29/04/2013)

Eloklah Lembaga Disiplin UMNO Tutup Kedai Saja!


Kedatangan Mahathir ke Pasir Mas bukan saja untuk membantu Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon Bebas tetapi juga untuk membela calon BN yang telah menarik diri dan membakulsampahkan watikah yang ditandatangai oleh Pengerusi BN, Najib Razak iaitu Johan Che Pa.  Secara logiknya Johan wajib diambil tindakan kerana mencemar dan menghina Najib.

Tetapi belum pun Johan mahu diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO, Mahathir sudah memberi amaran bahawa jika Johan diambil tindakan, beliau akan bertindak sebagai pembelanya. Mahathir nampaknya mulai mahu menunjukkan kuasanya dan membuktikan beliau lebih berkuasa daripada Najib dalam UMNO.

Sementera semua orang diingatkan supaya patuh kepada hanya seorang ketua dan sering diingatkan mengelak amalan dua nakhoda dalam satu kapal, malah Mahathir sendiri kerap memberi peringatan yang sama, kini bukan saja kata-kata itu cuba dinodai malah cuba memberi gambaran bahawa mengingkari arahan ketua juga merupakan seuatu yang terpuji.

Mahathir melalui apa yang dilakukannya dalam isu Pasir Mas ini membuktikan bahawa selagi beliau bernyawa, cakap dan suaranya mesti didengari oleh sesiapa saja dalam UMNO. Beberapa tindakannya sejak bersara pada 2003 dan bagaimana beliau mencincang Pak Lah yang dilihat cuba mengenepikannya,  membuktikan hakikat itu.

Sebelum ini Mahathir begitu mahukan Ibrahim Ali dipilih sebagai calon mewakili BN walaupun beliau bukannya ahli UMNO, malah pernah melakukan penghinaan dan caci-maki terhadap UMNO dan pemimpinnya ketika berada di luar UMNO.  Najib mungkin membuat keputusan tidak mencalonkan Ibrahim Ali kerana memikirkan kesalahan masa lalu Ibrahim Ali terlalu besar dan beliau berasa malu terhadap ahli-ahli UMNO jika berbuat demikian.

Mungkin juga tindakannya itu untuk menyekat pengaruh Mahathir secara halus. Namun Mahathir yang terkenal dengan sikap pantang mengalah, tetap juga berusaha dan campurtangan sehingga akhirnya membuatkan Johan Che Pa menarik diri dan memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan Pas.

Jika Johan enggan menjadi calon kerana terlalu sayangkan Ibrahim, beliau sepatutnya menyerah balik watikah yang diterimanya kepada Najib sebelum hari penamaan calon sebagaimana yang dilakukan oleh calon di Johol< Negeri Sembilan dan Seri Setia,  Selangor dan bukannya memalukan Najib serta seluruh ahli UMNO dengan tindakannya tidak menyerahkan borang pencalonan.

Walaupun diberitakan tindakannya itu kerana ada campurtangan Mahathir dan Daim, Johan tetap telah menconteng arang ke muka Najib. Najib seolah-olah tidak dihormati dan cakap Mahathir lebih dipatuhinya. Mahathir seakan lebih berkuasa daripada Presiden UMNO dan Pengerusi BN sendiri.

Kini belum pun Lembaga Disiplin mahu bertindak kepada Johan, Mahathir sudah pun memberi amaran. Kenyataannya mahu bertindak sebagai peguam jika Johan diambil tindakan lebih berupa amaran kepada Najib dan Lembaga Disiplin.

Mahathir kini sedang mencabar dan mahu membuktikan beliau lebih berkuasa dari semua pemimpin UMNO yang ada.  Lembaga Disiplin pun tidak mungkin berani bertindak apa-apa berikutan amaran Mahathir itu. Di sudut yang lain, jika Lembaga Disiplin gagal bertindak dalam hal yang mudah seperti kes Johan ini, eloklah ia dibubarkan dan tutup kedai saja.

UMNO kini menjadi caca-marba dan banyak melakukan "double standard"  kerana terlalu banyak kepentingan dan campurtangan.  Jika orang lain bertanding Bebas akan  dipecat dan dikecam, di masa yang sama ada pula calon Bebas yang disanjung dan dipuja.

Jika orang lain melanggar arahan parti dan tidak menghormati ketua akan diambil tindakan tetapi jika mendapat restu Mahathir, ianya dianggap hero dan wira.

Dengan membiarkan Mahathir bertindak sesuka hati dan mengikut seleranya, selagi itulah sesiapa pun yang memimpin UMNO akan menghadapi masalah. Sejak dulu juga sebahagian besar masalah dalam UMNO berpunca daripada Mahathir.

UMNO akan lebih aman jika tanpa Mahathir. (SH 29/04/2013)

Sunday 28 April 2013

Chua Soi Lek Sebenarnya Menghina Islam Dan Institusi Perdana Menteri


Presiden MCA, Chua Soi Lek membuat sensasi lagi. Kali ini beliau menyatakan jika Anwar menjadi Perdana Menteri, maka kerajaan yang dipimpinnya akan menyerupai pentadbiran Pak Lah yang hanya asyik bercakap mengenai Islam dan doa sahaja.

Menurut beliau lagi, ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, setiap hari beliau bercakap mengenai Islam Hadhari dan bukannya mengenai ekonomi, Anwar juga akan jadi seperti itu kerana mereka mempunyai latar belakang Islam dan bukannya ekonomi, mereka hanya bercakap mengenai doa.

Walaupun dapat difahami bahawa kenyataan ini merupakan serangan kepada Anwar dan percubaannya untuk  menakut-nakutkan pengundi Cina supaya tidak mengundi calon-calon Pakatan Rakyat dan mengelakkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, tetapi perbuatan Soi Lek ini jelas menghina Islam.

Beliau memperlekeh amalan doa dalam Islam yang merupakan senjata penting dalam kehidupan setiap umat Islam. Setiap hari kita digalakkan berdoa, selepas solat juga kita digalakkan berdoa, bahkan doa juga satu-satunya senjata yang boleh mengubah Qada dan Qadar.

Doa juga merupakan suatu bentuk pengabdian kita kepada Tuhan Yang Esa dan orang yang berdoa setelah berusaha dan berikhtiar, akan lebih memperolehi ketenangan jiwa kerana mereka percaya semuanya yang berlaku di dunia ini adalah atas izin Allah.

Dalam Islam juga ada disebutkan bahawa bahawa mereka yang tidak berdoa sebagai orang yang sombong kepada Allah. Doa adalah penting dalam kehidupan muslim dan sebahagian daripada Islam.

Maka, bolehkah Soi Lek semudah itu menghina amalan berdoa dalam Islam?

Dalam hal ini, amat menghairankan juga mengapa pemimpin-pemimpinn UMNO yang selama ini melaungkan Islam hanya berdiam diri saja dengan penghinaan Soi Lek itu. Di mana juga NGO Jati dan Dr Hassan Ali yang kononnya berjuang kerana Islam dan tidak sanggup melihat Islam dihina di negara ini.

Sebelum ini, Soi Lek juga menghina hukum hudud dengan pelbagai kenyataan dan andaian mengikut seleranya saja. Pemimpin UMNO  dan Hassan Ali juga diam. Kali ini dia menghina lagi, mereka juga diam. Di dalam BN ini nampaknya Soi Lek boleh berkata dan menghina apa saja untuk menghina Islam dan beliau  seolah-olah diberikan lesen besar untuk berbuat demikian.

Pak Lah mungkin ada kelemahan dan kekurangan tertentu ketika menjadi Perdana Menteri  tetapi perbuatan Soi Lek yang mengatakan beliau hanya tahu berdoa saja jelas menyerlahkan lagi kebiadapannya dalam berpolitik dan telah melanggar garis sempadan yang sepatutnya.

Penghinaannya kepada batang tubuh Pak Lah sabagai insan politik mungkin boleh diterima dalam konteks persaingan politik dan mencari pengaruh tetapi apa yang dilakukan Soi Lek ini turut juga menghina institusi Perdana Menteri yang berkait rapat dengan maruah dan harga diri bangsa Melayu.

Lagi pula ketika itu beliau menjadi anggota kabinet Pak Lah, kenapa hanya sekarang baru berani bersuara?

Jika beliau boleh menghina Islam dan  Perdana Menteri terdahulu serta bakal Perdana Menteri akan datang kerana  dibimbanginya akan membawa imej Islam yang tidak dipersetujuinya, maknanya beliau juga boleh menghina sesiapa saja. Sekarang mungkin beliau menyimpan perasaannya untuk menghina Perdana Menteri kerana Najib sedang berkuasa tetapi jika Najib kehilangan kuasa nanti, Soi Leklah orang pertama membelasahnya.

Penghinaan Soi Lek dan MCA terhadap Islam dan institusi Perdana Menteri ini tidak harus dibiarkan dan menjadi amalannya. Beliau mesti dihentikan dan diberi pengajaran. Jika pemimpin UMNO takut menegur dan mengajarnya, ahli UMNO dan pengundi yang beragama Islam harus berani mengambil alih tanggungjawab itu.

Kebiadapan dan sikap kurang ajar Soi Lek dan MCA harus diajar dengan cara  semua calon-calonnya yang bertanding dalam pilihanraya kali  ini ditewas dan ditumbangkan supaya mereka akhirnya sedar orang Melayu dan Islam tidak boleh menerima penghinaan seperti itu dan akan bangkit bersatu jika perbualan sedemikian dilakukan.

Bersatulah Melayu dan Islam "menjahit"  mulut Soi Lek ini. (SH 28/04/2013)

Saturday 27 April 2013

Zahid Hamidi Dan Hishamuddin, Dua Menteri Yang Wajib Ditumbangkan!


Jika sekarang ini rakyat hanya memikirkan untuk menumbangkan BN dan mengakhiri era pemerintahannya yang sudah menjangkau usia 56 tahun, sebenarnya terdapat juga beberapa menteri yang seharusnya ditunjukkan jalan keluar yang keluar yang sama seperti yang mahu dilakukan kepada BN itu.

Sehingga ini sekurang-kurangnya dua menteri yang tidak bertanggungjawab yang  hanya memikirkan manfaat politik di sebalik keselamatan dan kedaulatan negara serta kehilangan nyawa orang lain iaitu, Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan dan Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri, dilihat wajar diberi pengajaran oleh pengundi di kawasan masing-masing dalam pilihanraya ini.

Sebagai rakyat dan pembayar cukai, ramai yang kecewa dengan kenyataan mereka sehari dua ini yang seolah-olah tidak dapat membezakan tugas antara pemimpin politik dengan menteri yang bertanggungjawab terhadap kedaulatan serta keselamatan negara serta rakyat seluruhnya.

Dan cara terbaik untuk mengelakkan mereka ini tiada lagi di persada politik negara ialah dengan pengundi Bagan Datoh dan Semberong menolak mereka dalam pilihanraya ini.

Zahid bukan saja mengeluarkan kenyataan mengenai kematian 35 penceroboh Sulu yang kononnya ditembak mati oleh tentera Filipina tetapi juga mengeluarkan kenyataan mengenai 3 pemimpin pembangkang Malaysia yang didakwanya menjadi dalang dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

Mengenai kematian 35 penceroboh itu, ia bukan saja tidak dapat disahkan oleh tentera Filipina tetapi jika benar pun kejadian itu betul sebagaimana yang didakwa Zahid diperolehinya melalui maklumat risikan, biarlah pihak Filipina atau Menteri Pertahanan Filipina yang mengeluarkan kenyataan mengenainya, bukannya beliau.

Zahid juga mendakwa 35 yang ditembak mati itu kerana mahu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya di negara ini. Soalnya, sejauh mana tepatnya maklumat ini dan bolehkah dipercayai dengan jumlah 35 orang itu mampu menimbulkan kekacauan dalam pilihanraya Malaysia?

Ternampak bahawa Zahid cuba menjadikan isu keselamatan dan kedaulatan negara sebagai modal politik untuk kepentingan UMNO dan BN. Sebagai menteri pertahanan, tindakan ini amat tidak matang dan diluar  perilaku yang berwibawa sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab mengenai pertahanan dan kedaulatan negara.

Zahid juga kemudiannya mendedahkan tiga orang pemimpin pembangkang negara ini yang didakwanya terlibat sebagai dalang dalam isu pencerobohan di Lahad Datu tetapi berkata hanya akan mendedahkan dan mengambil tindakan selepas pilihanraya untuk mengelakkan dituduh sebagai bermain politik.

Hello! Menteri Pertahanan, sekali lagi soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak harus dikaitkan dengan politik dan pilihanraya dan jika benar cukup bukti mereka yang terlibat, tindakan harus diambil tidak kira sebelum atau selepas pilihanraya.

Dengan membuat tuduhan 3 pemimpin pembangkang menjadi dalang dan membayang tindakan hanya akan diambil selepas pilihanraya, jelas Zahid cuba bermain politik dan mahu rakyat menolak pembangkang dalam pilihanraya 5 Mei depan ini.

Sambil berkata tidak mahu dituduh bermain politik, Zahidlah yang sedang bermain politik sebenarnya.

Hishammuddin pula, ketika mengulas pelbagai kejadian jenayah yang sedang berlaku sekarang dan yang terbaru melibatkan kejadian seorang timbalan pengarah kastam ditembak mati, berkata  lebih banyak usaha akan dilakukan oleh kerajaan untuk memerangi jenayah jika BN terus diberi mandat dalam pilihanraya ini.

Nampaknya sama seperti Zahid,  Hishamuddin juga cuba bermain dan mengaut keuntungan politik disebalik isu keselamatan dan  kehilangan nyawa orang lain. Soal keselamatan dan membanteras jenayah tiada kena-mengenai dengan pilihanraya dan mandat baru kerana ia sepatutnya merupakan usaha berterusan yang harus dilakukan oleh belkau sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai perkara itu.

Lagi pula, bukankah rakyat sudah memberi mandat selama 56 tahun kepada BN dan apakah relevannya kaitan mandat baru dengan peningkatan kadar jenayah. Apakah hanya setelah menang pilihanraya, baru usaha mencegah jenayah mahu dilakukan?

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin juga nampaknya keliru antara tugasnya sebagai menteri dan pemimpin UMNO. Jawatan menteri inginkan diUMNOkannya dan  UMNO pula ingin dimenterikannya.

Hishamuddin juga dipertikaikan banyak pihak dalam beberapa isu keselamatan sebelum ini dan dilihat sebagai menteri yang kurang berwibawa serta lebih gemar memberi amaran saja. Beliau tidak saja dipertikaikan rakyat, malah pemimpin UMNO sendiri tidak segan-segan melabelnya dengan pelbagai gelaran yang tidak baik.

Kedua-dua menteri ini terlihat tidak cukup wibawa menguruskan soal keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara, sebaliknya hanya ingin mempolitikkan semua perkara.

Jika sebelum ini ramai yang gembira bila Rais Yatim digugurkan sebagai calon dan bakal mengakhiri tugas menterinya tidak lama lagi, rakyat juga pastinya gembira jika tidak lagi mempunyai menteri seperti Zahid Hamidi dan Hishamuddin selepas ini. Kedua mereka ini sering memperlekeh jawatan menteri yang disandang yang seharusnya untuk manfaat seluruh rakyat, sebaliknya lebih ghairah mencari laba politik disebaliknya.

Sebagaimana era BN harus diakhiri untuk digantikan dengan kerajaan baru yang lebih diyakini, kedua-dua menteri ini juga tidak seharusnya dipanjangkan lagi nyawa politiknya. Seperti BN yang perlu diakhiri dengan menewaskannya di peti undi pada 5 Mei ini, kedua mereka ini juga perlu ditumbangkan di kawasan masing-masing iaitu Bagan Datoh dan Semberong..

Zahid dengan kemenangan hanya 2000 lebih undi dalam pilihanraya lalu, manakala Hishamuddin pula lebih 11,000 undi tetapi dalam suasana penolakan rakyat sekarang, menumbangkan mereka bukanlah sesuatu yang mustahil. Jika BN pun diusahakan untuk ditumbangkan, apalah sangat dua pemimpin itu. Tambahan pula dengan kegagalan sebagai menteri yang sedangkan disandang sekarang, menewaskan mereka ini merupakan sumbangan yang tidak ternilai kepada negara. Dan mudah-mudahan juga ada pahala. (SH27/04/2013)

Friday 26 April 2013

Muhyiddin Pun Mulai Percaya BN Akan Tumbang


Hanya tinggal beberapa hari lagi  menjelang hari penentuan pada 5 Mei depan, beberapa pemimpin BN kini mulai percaya bahawa BN bakal tumbang dan PR akan memenangi pilihanraya akan datang ini. Kuasa yang sedang digenggam seperti makin hampir akan terlepas.  TPM Muhyiddin Yassin  hari ini seakan tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangannya bahawa BN akan tumbang dan  sebuah kerajaan baru Pakatan Rakyat akan mengambil alih pula.

Setelah menjelalah ke beberapa negeri, barangkali beliau telah dapat menyaksikan sendiri kebangkitan rakyat di seluruh pelusuk negara  yang mahukan penghijrahan dari sebuah kerajaan yang sudah lebih 56 tahun mentadbir negara kepada sebuah kerajaan baru yang lebih menjanjikan harapan dan  kegemilangan.

Ketika berucap di Negeri Sembilan, resah dihatinya terpancar apabila beliau berkata, Pas akhirnya akan keluar daripada Pakatan kerana pertembungan ideologi yang serius berlaku dalam Pakatan Rakyat sekarang ini terutamanya dengan DAP.

Katanya, jika PR  menerajui negara ini dan pertembungan ideologi itu masih berlaku, maka politik negara akan goyah kerana kerajaan yang dibentuk menjadi terumbang-ambing dan ini akan memberi kesan buruk kepada negara.

Dengan membayangkan kemungkinan itu, jelas  Muhyiddin mulai percaya bahawa Pakatan Rakyat lebih diterima rakyat berbanding BN.  Kenapa beliau membayangkan PR yang akan memerintah negara dan bukannya BN? Dan kini satu-satunya cara yang dilihat boleh dilakukan untuk menggagalkan kemaraan PR ialah dengan melaga-laga serta mengadu-domba antara Pas dengan DAP supaya rakyat hilang keyakinan terhadapnya.

Dan berdasarkan sebuah kajian pula, Muhyiddin berada di tangga nombor satu di kalangan pemimpin BN yang paling banyak menyerang PR iaitu sebanyak 24.7 peratus, mengalahkan Najib di tempat kedua dan Mahathir di tempat ketiga.

Berdasarkan hujahnya yang terbaru untuk menyerang PR ini, Muhyiddin  nampaknya juga sudah menjadi "batu ronson nombor satu"  atau batu api dengan harapan kesepakatan dalam PR akan goyah atau setidak-tidaknya rakyat akan mempercayai cakapnya itu.

Pertembungan ideologi sebagaimana yang dihujahkan oleh Muhyiddin tidak menjadi masalah kepada rakyat yang mahukan perubahan, Ia juga tidak menjadi masalah kepada PR yang menjanjikan perubahan. Ia hanya memberi masalah kepada BN. Perbezaan itu boleh diselesaikan melalui rundingan dan kesepakatan tetapi yang lebih penting ialah kerana rakyat lebih meyakini manifesto yang dibentangkan oleh PR berbanding manifesto BN.

Selain membentang manifesto yang asli serta praktikal berbanding BN yang banyak meniru dan menciplak,  keupayaan pentadbiran beberapa negeri yang ditadbir PR juga meyakinkan rakyat bahawa jika ada perubahan kepimpinan, lebih banyak nikmat dan laba yang bakal diperolehi berbanding membiarkan BN mentadbir negara tanpa berrukar ganti.

Lagi pula, jika perbezaan ideologi yang menjadi serabut dalam kepada Muhyddin, parti-parti dalam BN juga tidak mempunyai ideologi politik yang sama. UMNO dengan kebangsaan Melayunya, MCA dengan kepentingan Cinanya, MIC dengan kepentingan Indianya, Gerakan dengan ideologi yang caca-marba manakala lain-lain parti juga berbeza fahamannya.

Sementara itu MB Negeri Sembilan, Mohamad Hassan  yang turut berucap di majlis yang sama dengan Muhyidin pula meramalkan, Pas akan menjadi parti yang pertama keluar daripada PR setelah mereka berjaya mentadbir negara kerana perbezaan ideologi itu.

Sama seperti Muhyiddin, beliau juga nampaknya sudah dapat merasakan kebangkitan rakyat dan kemungkinan BN akan tumbang pada 5 Mei depan. Atau setidak-tidaknya beliau bukan lagi Menteri Besar selepas 5 Mei nanti.

Presiden MCA Chua Soi Lek pula cuba menakutkan pengundi Cina dengan menyatakan bahawa jika Anwar menjadi Perdana Menteri, keadaan negara seperti di era pentadbiran Pak Lah yang lebih banyak bercakap soal Islam berbanding ekonomi akan berulang kembali. Tambahan pula katanya, sama seperti Pak Lah, Anwar juga tidak berlatarbelakangkan pendidikan  ekonomi.

Lantaran itu, katanya, apa yang dilakukan oleh Najin sekarang adalah sesuatu yang betul.

Sementara pemimpin-pemimpin PR semakin yakin kemaraan mereka semakin dekat dengan Putrajaya manakala rakyat pula memberi sambutan yang luar biasa terhadap program-program anjurannya, terutama di Putrajaya yang dianggap di luar jangkaan, para pemimpin BN pula semakin bimbang dengan keadaan itu.

Setelah dapat merasakan waktu kejatuhan makin dekat, satu-satunya cara yang mampu dilakukan sekarang ialah dengan menjadi "batu ronson"  dan menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai cerita buruk serta jangkaan yang sebenarnya hanyalah khayalan mereka sahaja.

Menjelang semakin hampir hari pengundian nanti, batu-batu ronson ini akan lebih banyak memerciknya apinya lagi. (SH 26/04/2013)

Apa Lagi...Jadikanlah Ia Kenyataan!!


Sebuah kajian terbaru mengenai pertembungan BN dengan PR dan persaingan  Anwar dengan Najib menjelang tarikh penentuan 5 Mei depan, yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya, Universiti Malaya (Umcedel), menghasilkan keputusan yang tidak mengejutkan banyak pihak sebenarnya.

Ia hanya membuatkan Najib terkejut kerana seolah-olah pelbagai program dan pendekatan yang dilakukannya selama ini  tidak diterima rakyat. Sepertimana yang diduga,  itulah sebenarnya mood perubahan yang dikehendaki oleh rakyat.

Kajian itu yang dilakukan Umcedel sebaik hari penamaan calon 20 April lalu, menatijahkan bahawa keyakinan pengundi terhadap manifesto PR ialah sebanyak 42 peratus berbanding 36 peratus yang diperolehi oleh BN.

Bagi siapa yang layak menjadi Perdana Menteri pula, rumusannya menunjukkan 43 peratus mahukan Anwar berbanding hanya 39 peratus yang mahukan Najib. Di kalangan pengundi Melayu pula, keyakinan terhadap kepimpinan Anwar mencanak sehingga 54 peratus manakala kelompok yang sama yang mahukan Najib hanya 34 peratus sahaja.

Di kalangan pengundi Cina pula peratusan yang meyakini manifesto PR lebih tinggi iaitu 61 peratus.

Walaupun dapatan ini hanya merupakan hasil kajian melalui beberapa ribu pengundi yang ditemubual tetapi ia sekurang-kurangnya memperlihatkan gambaran  keyakinan rakyat terhadap perubahan dan percaya  perubahan akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik untuk mereka.

Jika dilihat secara umum, mood rakyat memang jelas ke arah itu. Bukan saja program ceramah PR dan kehadiran Anwar  dan lain-lain pemimpinnya di mana-mana program sentiasa mendapat sambutan yang melimpah, bahkan rakyat pelbagai lapisan juga memperkatakan tentang perubahan.

Dari petani, nelayan, orang kampung, orang bandar, generasi muda, golongan korporat, profesional dan sebagainya, keinginan mereka juga ialah perubahan. Perubahan atau hijrah ini, bagi semua lapisan rakyat tetap ada kelebihan dan kebaikannya berbanding  menjadi statik, kaku dan beku.

Di dalam UMNO juga, meskipun masih ramai yang mahukan BN kekal memerintah, sebahagian yang lain juga mahukan perubahan. Pendek kata, perubahan sudah menjadi kegilaan semua orang sekarang ini.

Petunjuk kepada perubahan sudah jelas di depan mata sekarang. Marilah kita menjadikan ia suatu kenyataan 5 Mei nanti. (SH 26/04/2013)

Mahathir, Daim Kembali Menguasai UMNO?


Mahathir akhirnya bersuara mempertahankan tindakan BN mencalonkan pemimpin Perkasa mewakilinya dalam pilihanraya ini atas alasan NGO itu menyokong UMNO meskipun tindakan itu mengundang risiko berkurangnya sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Walaupun Mahathir hanya menyebut mengenai Zulkifli Nordin secara langsung dalam isu ini tetapi adalah dipercayai ianya juga melibatkan Ibrahim Ali yang bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas.

Tindakan Mahathir mempertahankan calon dari Perkasa ini mengesahkan andaian banyak pihak bahawa adanya campurtangan beliau sehingga membuatkan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya dan seterusnya memberi laluan kepada Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas untuk berhadapan satu lawan satu dengan Pas dan mendapat sokongan daripada UMNO.

Apabila namanya tidak disebut sebagai calon mewakili BN di Pasir Mas, Ibrahim Ali dikatakan telah menghubungi Mahathir yang ketika itu berada di London kerana menghadiri majlis pengkebumian bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcer.

Ibrahim telah meluahkan rasa kecewanya kepada Mahathir sambil menganggap Najib telah mungkir janji terhadapnya kerana pernah memberi jaminan bahawa beliau akan diberi peluang bertanding mewakili BN di Pasir Mas.

Adalah difahamkan, Mahathir kemudiannya telah menghubungi Daim Zainuddin supaya segera bertemu dengan Najib dan menyampaikan mesejnya yang mahukan Ibrahim dijadikan calon, Setelah Daim bertemu dengan Najib dan memaklumkan hasil pertemuannya dengan Mahathir, bekas Perdana Menteri itu sendiri telah menghubungi Ibrahim dan mengatakan semuanya telah diselesaikan.

Apabila akhirnya Johan Che Pa menarik diri dan memberi ruang kepada Ibrahim berlawan satu lawan satu dengan Pas, peranan dan campurtangan Mahathir segera diperkatakan sebagai puncanya. Mahathir bukan saja mempunyai hubungan rapat dengan Perkasa dan beberapa kali menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh NGO itu, bahkan juga pernah mencadangkan kepada Najib agar Ibrahim dipilih sebagai calon.

Lebih dari itu, Mahathir juga berjanji akan turun berkempen membantu Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Kini bukan saja Mahathir berjaya mengotakan kota-katanya itu, malah secara tidak langsung memperlihatkan kecenderungannya untuk menguasai semula UMNO yang kini dipimpin oleh Najib. Setelah berkuasa selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri dengan Daim menjadi panglima paling kanannya, gandingan itu seakan muncul kembali menunjukkan taringnya.

Dalam kempen yang sedang berjalan sekarang, Mahathir dilihat sama sibuk dengan Najib berkempen untuk UMNO dan BN. Walaupun sudah beberapa kali beliau menyatakan bahawa tindakannya hanyalah untuk membalas jasa UMNO, namun kecenderungan untuk menguasai UMNO terlihat bergerak seiring dengannya.

Yang paling ingin dimenangkannya, selain BN di peringkat Pusat, ialah BN di peringkat negeri Kedah kerana ianya akan memberi laluan kepada anaknya, Mukhriz menjadi Menteri Besar di negeri jelapang padi itu.

Mahathir memang diketahui aktif menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu manakala Daim pula muncul beberapa bulan kebelakangan ini dengan tindakan yang sama. Walaupun keduanya seakan mempertahankan Najib dan menyarang Anwar, sasaran yang sebenarnya ialah penguasaan terhadap UMNO.

Dengan adanya calon-calon dari Perkasa yang  diketengahkan dan Mukhriz yang cuba dimenangkan, selain masih ada pemimpin UMNO sendiri yang berkiblatkannya, Mahathir dan Daim dipercayai akan memainkan peranan yang lebih besar dalam UMNO selepas pilihanraya nanti. (SH 26/04/2013)

Thursday 25 April 2013

Mat Taib Mencari Syurga, Juanda Pula Berlari-lari Mengejar Dunia


Siapalah menyangka Mat Taib yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor, menteri kabinet dan Naib Presiden UMNO serta menghabiskan sebahagian besar hidupnya bersama UMNO, akhirnya boleh  memilih Pas sebagai wadah perjuangannya yang baru. Walaupun ada kesalahan-kesalahan kecil yang pernah  dilakukannya, secara umumnya beliau bukanlah orang yang kecewa. Dia bahagia dan disukai ketika berada dalam UMNO.

Sebab itu tidak dapat dinafikan penyertaannya ke dalam Pas, salah satu matlamatnya ialah mencari syurga walau apa pun tafsiran umum mengenainya. Beliau meyakini Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam, bergerak di atas landasan Islam dan lebih mendekati surau serta masjid berbanding tempat-tempat lain.

Sebagai orang lama yang dan sudah berada di penghujung usia pula, pencariannya kepada syurga adalah sesuatu yang terpuji berbanding mereka yang di  usia senja tetapi masih galak memuji dunia, menabur fitnah dan hanya mengunjungi masjid seminggu sekali saja.

Keinginan Mat Taib terhadap Islam tidak seharusnya diragui, walaupun terdapat suara-suara di dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah meragui niatnya. Secara logiknya, Mat Taib tidak memerlukan apa-apa lagi di dunia ini. Beliau sudah ada segala-galanya. Pencariannya hanyalah syurga dan keredaan Allah.

Beliau juga ingin melihat Islam mencapai kemenangan di bumi Malaysia ini. Tidak lama selepas penyertaannya ke dalam Pas, beliau mula menjalankan tanggungjawab yang diyakininya itu. Walaupun ramai pemimpin UMNO yang memandang remeh penyertaan Mat Taib itu, sambutan yang diterimanya tidak boleh dipandang enteng.

Dalam sekian ramai pemimpin UMNO yang mengulas mengenai Mat Taib, hanya Khir Toyo yang nampak ikhlas dan berpijak di alam realiti. Beliau berkata, dengan penyertaan Mat Taib, usaha BN menawan Selangor menjadi bertambah sukar dan dalam masa yang sama memberi ruang yang lebih terbuka untuk Pas menembusi kawasan-kawasan Melayu yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO.

Hanya orang yang syok sendiri dan berada di alam khayalan saja yang sanggup mengatakan penyertaan Mat Taib tidak memberi kesan apa-apa kepada BN. Tetapi siapalah Khir Toyo sekarang ini untuk suara dan pandangannya didengari oleh UMNO.

Mat Taib  kini mempunyai jadual yang padat berceramah setiap malam, bukan saja di Selangor tetapi juga di seluruh negara. Sambutan rakyat terhadapnya juga amat menggalakkan dan orang ingin mendengar kenapa beliau memilih perjuangan Islam sekarang ini.

Harapannya kini  ialah Pas yang memperjuangkan Islam dan lebih mengajak rakyat mendekati surau dan masjid diberi peluang memerintah negara ini bersama Pakatan Rakyat yang dipercayainya mampu memberi kebaikan yang lebih berganda kepada rakyat.

Sementara Mat Taib mahu mencari syurga dan memenangkan Islam, Mufti Perlis, Dr Juanda pula bertindak sebaliknya. Beliau yang sebelum ini diura-urakan akan bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Kangar tetapi kerana beberapa masalah dan tidak menjadi kenyataan, tiba-tiba muncul di pentas BN bersama Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

Walaupun tidak mengaku galau dan kecewa dihatinya, tetapi pengakuannya bahawa beliau selama ini memang pengundi BN dan akan terus mengundi BN, lebih menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar meski berjawatan mufti dan pandangannya sebelum ini dilihat bebas dan berani.

Kenapa setelah tidak terpilih sebagai calon, baru mengaku sebagai pengundi BN?

Di peringkat awalnya,  ramai yang kecewa beliau tidak dipilih sebagai calon mewakili PKR tetapi kini mereka bersyukur kerana jika beliau menang dalam pilihanraya ini, ada kemungkinan beliau akan mengikut tidur sekelambu dengan Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin.

Sebagai ilmuan agama dan mufti, tindakan Juanda mahu menyokong mana-mana pihak tidaklah menjadi kesalahan. Itu pilihannya sama seperti Harussani, Mufti Perak yang lebih UMNO daripada pemimpin UMNO sendiri. Tetapi Harussani  tidak pula  pernah mengaku beliau pengundi BN dan akan mengundi BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Tindakan Juanda itu hanya menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar. Hanya setelah gagal memetik anggur, barulah dikatanya anggur itu masam.

Berbanding Mat Taib yang mahu mencari syurga, Juanda pula yang didadanya penuh ilmu dan jiwa Islam, nampaknya masih berlari-lari mengejar dunia yang tidak pasti akan menjadi miliknya.(SH 25/04/2013)

Wednesday 24 April 2013

Najib Tidak Harus Double Standard Dalam Isu Pasir Mas


Semalam UMNO telah memecat 61 orang ahlinya kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kali ini. Antara mereka termasuk Naib Ketua Wanita UMNO, Kamilia Ibrahim, bekas Timbalan Menteri, Sharif Omar, bekas Exco Kedah, Fadzil Hanafi, Ketua Pemuda Sepang, Suhaimi Ghazali dan penyanyi Herman Tino. Yang lainnya merupakan AJK UMNO bahagian, pemimpin peringkat cawangan dan juga ahli UMNO biasa.

Dalam masa yang UMNO juga dilaporkan akan memanggil pencadang dan penyokong kepada 61 calon Bebas ini dan besar kemungkinan mereka juga akan dipecat keahliannya.

Ini bermakna UMNO bakal kehilangan hampir 200 ahlinya dan dalam pilihanraya 5 Mei ini juga BN akan kehilangan sekurang-sekurangnya 200 undi daripada mereka yang menjadi calon Bebas, penyokong dan pencadang itu.

Jika diandaikan setiap seorang daripada mereka itu mampu menarik sekurang-sekurangnya 10 ahli UMNO yang terdiri daripada kawan baik, kenalan rapat, geng minum teh tarik, adik-beradik dan saudara-mara supata tidak mengundi BN, jumlahnya sudah menjadi 2000 orang. Bermakna BN juga kehilangan 2000 undi.

Andainya ia berkembang lagi kepada jiran, orang yang simpati dan pelbagai kaitan lainnya, melalui 61 ahli UMNO yang dipecat ini akan menyebabkan BN kehilangan banyak undi dan sokongan dalam pilihanraya kali ini.

Tindakan UMNO memecat keahlian mereka yang bertanding Bebas, menjadi penyokong dan pencadangnya sememangnya merupakan tindakan yang wajar kerana memang itulah peraturan dan perlembagaan parti. Mereka ini dianggap mengkhianati parti.

Tetapi sementara UMNO mengambil tindakan keatas mereka ini, UMNO dalam masa yang sama tidak seharusnya juga mengagungkan orang yang melakukan kesalahan yang sama beberapa tahun lalu iaitu Ibrahim Ali, calon Bebas yang bertanding di Pasir Mas, Kelantan.

Ibrahim juga dipecat daripada UMNO kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 2006. Kemudian beliau bertanding sebagai calon Pas pada 2008.

Berbanding 61 orang yang bertanding Bebas dan sudah dipecat semalam,  Ibrahim sebenarnya lebih dulu dipecat dan sudah dua kali mengkhianati UMNO. Sekali bertanding Bebas dan sekali lagi bertanding atas tiket Pas.

Namun sekarang ini, kerana Ibrahim Ali yang licik dan punya kabel besar, seorang calon yang sudah diberikan watikah, Johan Che Pa terpaksa menarik diri daripada bertanding dengan tidak mengemukakan kertas pencalonannya ketika hari penamaan calon, 20 April lalu.

Mengikut logiknya, Johan juga wajar dipecat keahlian UMNOnya tetapi sekarang beliau seperti dilindungi. Najib pula, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN seperti sudah kehilangan kata-kata untuk mengulas mengenai isu ini walaupun dalam berbagai isu lainnya, beliau begitu banyak bercakap dan kuat menjerit.

Dengan Ibrahim sebagai calon Bebas yang bakal berhadapan dengan Pas di Pasir Mas, terlihat ada kecenderungan untuk meminta ahli dan penyokong UMNO di situ menyokong Ibrahim Ali. Johan Che Pa sendiri menyatakan tindakannya menarik diri kerana tidak mahu kerusi Pasir Mas jatuh ke tangan Pas dan berharap Ibrahim Ali diberikan sokongan ke arah itu.

Jika dari segi moralnya, 61 calon Bebas itu merupakan pengkhianat parti dan mereka yang menyokongnya juga dianggap pengkhianat sama, apa pula kategori yang wajar diberikan kepada ahli UMNO Pasir Mas yang menyokong dan mengundi Ibrahim Ali kali ini?

Ibrahim Ali hakikatnya masih lagi dianggap pengkhianat kepada UMNO atas tindakan masa lalunya dan beliau belum diampunkan lagi oleh MT UMNO. Lebih dari itu, Ibrahim Ali juga tidak pernah meminta ampun kepada UMNO atas tindakannya itu. Maknanya beliau tidak berbeza dengan Kumpulan 61 ini.

Jika Mahathir menunaikan janjinya untuk turun berkempen membantu Ibrahim Ali, apa pula label yang mahu diberikan kepadanya?

UMNO terlihat menjadi caca-marba dalam isu Ibrahim Ali dan Pasir Mas ini. Ramai yang keliru dan pening kepala.  Suatu ketika ahli UMNO diminta berpegang kepada "akujanji" sebagai ahli UMNO tetapi di ketika yang lain, ada pula kecenderungan  pemimpin mengamalkan "akusuka"  dalam kepimpinannya sehingga membelakangkan peraturan serta perlembagaan.

Kecelaruan dan caca-marba ini akhirnya menjadikan kepimpinan Najib dilihat lemah serta buruk di mata ahli UMNO sendiri dan juga  di sisi rakyat keseluruhannya. (SH 24/04/2013)







Tuesday 23 April 2013

Pemimpin UMNO Johor Mula Simpati Dengan Nasib Ghani


Masuk hari ketiga kempen pilihanraya berjalan sejak penamaan calon pada 20 April lalu, antara kerusi Parlimen yang menarik untuk diperhatikan ialah Gelang Patah, Johor.  Kedudukan bekas Menteri Besar Johor, Ghani Othman yang dipertaruhkan oleh BN untuk menentang Lim Kit Siang di Gelang Patah, masih lagi menampakkan kesukaran yang nyata. Bukan  saja program kempen dan ceramah oleh PR yang menampakkan sambutan hangat, malah respon pengundi terhadap Ghani kekal di tahap suam-suam kuku.

Sehingga kini Lim Kit Siang mendapat respon yang sangat baik daripada kalangan 54 peratus pengundi Cina di kawasan itu dan mereka mengalu-alukan kehadirannya. Ceramah dan program kunjung mesranya bertemu pengundi sentiasa mendapat sambutan yang baik.

Ghani pula dilihat tetap sukar diterima oleh mereka, walaupun beliau cuba mengapi-apikan sentimen perkauman dengan mengatakan jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah, ia bakal menyebabkan parti itu bersetuju menerima Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan Ghani yang lebih bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina itu sehingga ini dilihat gagal meninggalkan kesan kerana mereka secara umumnya menyedari isu hanya semata-mata adu-domba BN sahaja.

Sebagai menunjukkan mereka tidak takut jika perkara itu berlaku, di Gelang Patah  kini terdapat sekumpulan pengundi Cina yang sentiasa memakai t shirt berlogo Pas dan sekumpulan pengundi Melayu pula memakai t shirt berlogo DAP. Dan hari ke hari, jumlah golongan ini semakin bertambah jumlahnya.

Di kalangan pengundi Melayu pula yang merangkumi jumlah sekitar 34 peratus yang menjadi sandaran utama Ghani, harapan Ghani dan BN untuk mendapat sepenuhnya undi dari kelompok itu juga dilihat sukar kerana adanya Sallahuddin Ayub yang bertanding di Nusajaya, salah satu DUN dalam kawasan Gelang Patah.

Selain Sallahuddin sentiasa berganding rapat dengan Lim Kit Siang untuk berkempen bersama, Sallahuddin juga mempunyai peranan menjernihkan jika ada sebarang kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh BN mengenai hubungan Pas dengan DAP dan juga  kekeliruan berkaitan Islam dan bukan Islam.

Semua keadaan ini sekaligus menyukarkan lagi kedudukan Ghani dan BN di Gelang Patah. Sebagai bekas Menteri Besar yang dipertaruhkan sandaran untuk menguburkan karier politik Lim Kit Siang, harapan Najib dan BN terhadap beliau sememangnya tinggi tetapi pengundi Cina tampak lebih memihak kepada DAP manakala pengundi Melayu pula berpecah-pecah dan tidak solid terhadap BN.

Isu-isu berkaitan tanah dan kecenderungan Ghani dengan beberapa tauke Cina yang melibatkan projek-projek utama di Johor  turut menjadi isu yang digunakan untuk menghakis sokongan pengundi Melayu terhadap beliau.

Bagi pemimpin dan ahli UMNO Johor pula, ramai yang turun ke Gelang Patah dengan hasrat ingin membantu Ghani atas kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi negeri itu. Mereka ingin melihat Ghani menang dan maruah politiknya sebagai pemimpin tertinggi negeri terpelihara. Kekalahan Ghani bererti maruah UMNO Johor telah tercemar.

Tetapi setelah tiga hari kempen berjalan, ramai di antara mereka yang mula simpati dengan nasib yang bakal menimpa Ghani. Mereka melihat harapan untuk menang terlalu tipis. Ia bukan sangat disebabkan oleh penolakan terhadap batang tubuh bekas Menteri Besar itu tetapi lebih kepada arus perubahan dan sentimen penolakan yang semakin kuat terhadap BN sekarang ini.

Bagi kebanyakan pemimpoin dan ahli UMNO Johor, tindakan mempertaruhkan Ghani bertanding di Gelang Patah adalah suatu kesilapan yang dilakukan Najib, melainkan jika memang niatnya mahu menguburkan karier politik bekas Menteri Besar itu.

Mereka beranggapan, sebagai bekas menteri  kabinet dan MB Johor selama empat penggal,  tidak sepatutnya Ghani diletakkan bertanding di situ dan berhadapan pula dengan Lim Kit Siang kerana langkah itu lebih memungkinkannya kecundang dan karier politiknya berakhir dengan cara yang mengaibkan.

Ada pula pemimpin UMNO Johor yang berkata, jika pun Najib mahu membersarakan Ghani, beliau sepatutnya hanya perlu memaklumkannya secara baik atau menggugurkannya daripada senarai calon sebagaimana yang dilakukannya terhadap Isa Sabu, bekas Menteri Besar Perlis.

Apa yang berlaku di Gelang Patah sekarang, kata mereka, lebih memungkinkan Ghani dan UMNO Johor mendapat malu daripada menerima sanjungan. (SH 23/04/2013)

Monday 22 April 2013

Najib Minta Nyawa Untuk Kekal Sebagai Perdana Menteri


Diantara sekian banyak poster yang memaparkan gambar Najib yang kini mula dipasang bertebaran di seluruh negara, poster yang agak pelik  ialah memaparkan gambar beliau beserta tulisan besar diatasnya Undi Perdana Menteri! dengan gambar undi dacing pula di bahagian bawahnya.

Di sekitar jalan strategik di Kuala Lunpur dan Selangor, poster Najib bertulis Undi Perdana Menteri! ini yang kelihatan paling menonjol berbanding gambar-gambar Najib lainnya. Ia juga dipasang agak banyak berbanding posternya yang lain, selain  bendera-bendera dacing  turut kelihatan  banyak di pasang di kiri kanan jalan-jalan  utama.

Sebagai Pengerusi BN, sebenarnya adalah biasa gambar-gambar Najib dipasang di seluruh negara sebagai membuktikan pengiktirafan BN terhadap beliau sebagai pemimpin utamanya. Di zaman Mahathir dan Pak Lah juga, gamnbar-gambar mereka turut dipasang di seluruh negara beserta poster-poster lainnya.

Selain itu, gambar-gambar itu juga bertujuan untuk menaikkan semangat ahli dan penyokong BN semasa tempoh kempen ini.  Tetapi meletakkan tulisan Undi Perdana Menteri! beserta gambar Pengerusi BN untuk dijadikan poster merupakan perbuatan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana Pengerusi BN sebelum ini.

Selalunya poster dalam pilihanraya hanya ditulis perkataan yang menunjukkan arah perjuangan dan bentuk negara yang ingin dibawa serta tidak melibatkan kepentingan jawatan atau peribadi. Slogan dalam poster biasanya lebih untuk masa depan negara seperti "Untuk Malaysia Yang Lebih Baik", "Harapan Rakyat" dan yang senada dengannya. Di zaman Pak Lah misalnya, posternya hanya ditulis perkataan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" dan lain-lain slogan yang menjadi intipati perjuangannya ketika itu.

Di zaman Mahathir juga, walaupun beliau terlihat ghairah terhadap kuasa tetapi beliau tidak tergamak menulis posternya dengan tulisan Undi Perdana Menteri!. Mahathir pun tahu menyimpan niat sebenar dalam hatinya.

Tindakan Najib berbuat demikian tidak lain membuktikan kerakusan dan keghairahannnya terhadap jawatan Perdana Menteri itu sendiri. Memanglah semua orang tahu jika BN menang, beliaulah yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi pemimpin lain tidak pernah menunjukkkan keghairahan itu secara melampau dan terbuka.

Sementara beliau kerap menuduh Anwar Ibrahim sebagai gila kuasa dan semata-mata ingin menjadi Perdana Menteri, Najib akhirnya telah mendedahkan hakikat perjuangan dirinya yang sebenar. Mengejar dan mengekalkan jawatan Perdana Menteri adalah matlamat utama beliau yang sebenarnya.

Dalam masa yang sama, tergamaknya Najib membuat poster sedemikian rupa dan memasangnya di seluruh negara juga membuktikan beliau amat takut kehilangan jawatan itu. Beliau bukan saja takut kehilangan jawatan itu kepada Anwar jika Pakatan Rakyat mampu menguasai lebih daripada 112 kerusi Parlimen tetapi Najib juga terlihat takut kepada pesaingnya dalam UMNO sendiri.

Dalam pilihanraya yang paling getir ini, di ketika beliau sedang bertungkus-lumus memastikan kemenangan BN, suara-suara juga sudah mula kedengaran bahawa Najib seharusnya juga dengan rela hati berundur jika beliau gagal mencapai majoriti dua pertiga. Jika Pak Lah disingkirkan kerana hanya mampu menang 140 kerusi pada 2008, Najib juga harus berbuat demikian jika jumlah kerusi yang mampu dicapainya kali ini kurang daripada itu.

Dengan meletakkan matlamat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya kali ini, Najib juga jelas dilihat amat terdesak kali ini. Cabarannya bukan saja daripada Pakatan Rakyat dan rakyat yang menolaknya tetapi juga  daripada penyokong UMNO sendiri yang turut menolaknya.

Tuhan kini sudah mula menunjukkan siapa Najib yang sebenarnya. Dalam dia ghaiarah menuduh orang lain semata-mata ingin menjadi Perdana Menteri, hakikat yang ada dalam dirinya tersembul akhirnya. Dengan keghaiaran Najib hanya semata-mata untuk mengekalkan jawatan Perdana Menterinya, perjuangan dan matlamat BN terhadap rakyat nampaknya mulai tidak penting lagi.

BN dalam fasa akhir menjelang rakyat membuat penentuan 5 Mei ini hanyalah  alat untuk Najib meminta nyawa daripada pengundi supaya beliau terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri.  Kerusi Perdana Menteri adalah matlamat utamanya.

Di sebalik tindakan Najib selama empat tahun ini memperguna baanyak  keistimewaan jawatan Perdana Menteri itu untuk kepentingan keluarga, anak-anak dan kroninya sehingga menjadi perbualan  rakyat, tindakan beliau secara terus-terang meminta nyawa kali ini menjadikan lebih ramai yang berbelah bahagi terhadapnya. Ini kalilah!! (SH 22/04/2013)








Saturday 20 April 2013

Setiausaha Politik Najib Kena Boikot Di Hari Penamaan Calon




Di Wilayah Persekutuan, antara kerusi yang menarik perhatian ramai  ialah Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini menjadi rebutan antara UMNO dan MCA. Bahkan sebaik Najib mengumumkan kerusi itu ditandingi oleh UMNO, MCA Wangsa Maju bingkas memprotes dan menyifatkan ianya tindakan yang membelakangkan perjuangan mereka selama ini.

Serentak dengan itu, MCA Wangsa Maju juga menyatakan akan memboikot calon BN Wangsa Maju, Shafie Abdullah dan akan memberi sokongan kepada calon PKR, Tan Kee Kwong. Tindakan MCA Wangsa Maju itu juga dikatakan akan disertai oleh 120 NGO dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju yang selama ini sering bekerja rapat dengan MCA.

Calon MCA 2008 Yew Teong Look yang turut kecewa dengan keputusan Najib itu, tambahan pula kerana sudah berhabis RM2.5 juta sejak empat tahun lalu berkata, siapa yang menjadi pilihan penyokong-penyokongnya selepas ini bukan lagi di dalam kawalannya.

Dengan pendirian MCA itu, jelas bahawa jalan yang bakal dilalui oleh Shafie penuh onak dan berliku. Ini kerana pengundi Cina di Wangsa Maju meliputi kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi. Tanpa sokongan yang sewajarnya daripada pengundi Cina, Shafie pasti akan kalah.

Sementara trend pengundi Cina memang memihak kepada PR, tindakan boikot yang dilakukan oleh MCA Wangsa Maju ini tentunya menambahkan lagi penolakan mereka terhadap BN.

Di hari penamaan calon hari ini, MCA Wangsa Maju telah membuktikan kata-katanya untuk memboikot calon BN, Shafie Abdullah. Tidak ada seorang pun wakil MCA yang hadir mengiringi beliau ke pusat penamaan calon, bahkan bilangan orang Cina yang hadir juga boleh dibilang dengan jari.

Agak mengejutkan juga, Shafie yang selama ini mendakwa mendapat sokongan majoriti orang Melayu Wangsa Maju, turut gagal menampilkan hakikat tersebut di hari penamaan calon ini, Beliau hanya diiringi oleh kira-kira 1500 penyokongnya sahaja.

Husam Musa, orang Kelantan yang bertanding di Putrajaya pun diiringi oleh 3000 penyokongnya ke pusat penamaan calon.

Sebagai Setiausaha Politik kepada Najib pula, kegagalannya beliau menarik jumlah penyokong yang lebih ramai di hari penamaan calon ini,  biasanya antara 3000 hingga 5000 orang, memberi gambaran bahawa orang Melayu Wangsa Maju  tidaklah bulat terhadapnya sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini.

Lebih-lebih lagi, Shafie yang membawa imej Perdana Menteri di Wangsa Maju dilihat seolah-olah gagal menampilkan auranya bukan saja untuk membuatkan pengundi menyokongnya tetapi juga menyokong BN yang kini diterajui oleh Najib.

Dengan hanya 1500 yang hadir pada hari penamaan calon yang memberi gambaran pengundi Melayu tidak cukup tertarik dengannya, UMNO Wangsa Maju pula berpecah-pecah dan MCA serta pengundi Cina kekal dengan pemboikotannya, bayang-bayang kemenangan pada 5 Mei ini masih jauh daripada gapaian BN Wangsa Maju.(SH 20/04/2013)











Disisi Najib, Menjadi Ibrahim Ali Dan Zul Nordin Lebih Dihargai Berbanding Kamilia


Diantara semua calon Bebas yang mengemukakan kertas pencalonan hari ini, Kamilia Ibrahim yang paling menonjol kerana kedudukannya sebagai Naib Ketua Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau yang sebelum ini melahirkan kekecewaan kerana tidak dipilih sebagai calon dan menyifatkan ianya sebagai penghinaan kepada Wanita UMNO, akhirnya memutuskan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar sebagai jalan keluar kepada sengsara yang ditanggungnya.

Sebaik mengesahkan bertanding, Kamilia bukan saja mengumumkan beliau keluar daripada UMNO dan melepaskan semua jawatannya, tetapi tentunya menjadikan jiwanya bertambah tenang selepas ini.

Jika beliau terus kekal di dalam UMNO, batinnya pasti lebih menderita lagi.

Keberanian beliau menunjukkan taringnya yang selama ini disembunyikan dengan bertanding Bebas, sekurang-kurangnya haruslah diberi pujian, lebih-lebih lagi di ketika yang sama UMNO dan BN memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada orang yang lain yang pernah menghina, menentang dan mempersenda UMNO.

Sebelum ini, Zulkifli Nordin yang melompat daripada PKR, diberi penghormatan oleh Najib bertanding atas tiket BN di Shah Alam kerana beliau dianggap rakan mesra kepada BN. Pemilihan beliau, walaupun tidak berapa mengejutkan melihat kepada tindakannya yang kerap membodek dan mengampu Najib serta aktif menyerang Anwar Ibrahim sejak keluar PKR, turut juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti protes dan tutup bilik gerakan di Shah Alam yang ditandinginya itu.

Tetapi oleh kerana Najib begitu menyanjung dan menghargainya, malah Muhyiddin pula menyifatkan Zul Nordin sebagai calon yang "winnable", segala protes itu dibiarkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja. Zul kekal bertakhta di hati Najib walaupun rekod lamanya menyerang dan mencerca UMNO begitu dahsyat sekali, termasuk tindakannya mengubahsuai lagu UMNO untuk mempersenda UMNO dan Mahathir.

Ramai ahli UMNO marah dan menganggap tindakan Zul Nordin mempersenda lagu UMNO itu perbuatan yang yang biadap dan kurang ajar, malangnya disisi Najib beliau tetap dianggap mulia. Berbanding dengan Kamilia yang mencurahkan khidmat dan pengorbanan sejak puluhan tahun lalu dengan penuh setia dan jujur bersama UMNO, beliau tidak dianggap mulia dihati Najib berbanding Zul Nordin.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang bertanding Bebas di Pasir Mas. Semua orang tahu rekod dan kelakuannya selama ini. Beliau telah melompat beberapa kali dan tindakannya keluar masuk UMNO umpama pergi ke tandas saja. Ketika di luar UMNO pula, serangan dan hentamannya terhadap UMNO bukan kepalang lagi. Bukan saja UMNO, semua pemimpin UMNO juga diserang dan dicaci-makinya.

Ibrahim walaupun tidak dipilih bertanding menggunakan tiket BN tetapi tindakan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa yang tidak mengemukakan borang penamaan calon untuk memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan Pas, jelas membuktikan calon BN itu memang diarahkan berbuat demikian.

Sejak seminggu lalu bila Ibrahim tidak dinamakan sebagai calon BN, sudah bertebaran SMS dan khabar angin yang mengatakan akan berlaku wayang kulit di Pasir Mas pada hari penamaan calon nanti iaitu dengan sebab-sebab tertentu calon BN dikatakan akan hilang kelayakan bertanding dan akhirnya Ibrahim akan menjadi calon Bebas yang disokong oleh BN. Alasannya wayang kulit sedemikian terpaksa direka kerana kononnya Najib tidak mahu dilihat BN dikaitkan secara langsung dengan Ibrahim yang juga merupakan Presiden Perkasa demi menjaga hati pengundi Cina di seluruh negara.

Dengan terbukti wayang kulit itu menjadi kenyataan dan kekecewaan Ibrahim tidak dipilih sebagai calon BN hanyalah sandiwara saja, sekali lagi disisi Najib, watak seperti Ibrahim ini lebih bernilai dan menyentuh hatinya berbanding kesetiaan Kamilia terhadap UMNO selama ini.

Walaupun UMNO Kelantan dilaporkan kecewa dengan tindakan Johan Che Pa itu tetapi jika tiada arahan daripada Najib, mustahil beliau berani berbuat demikian. Tidak syak lagi Najib memberi arahan kepada Johan supaya jangan menyerahkan borang pencalonan demi untuk memberi laluan karpet merah kepada Ibrahim Ali.

Di mata kasar, tindakan Kamilia bertanding Bebas tidak menguntungkan dirinya. Meskipun sudah mengumumkan keluar UMNO, beliau pasti akan dipecat sekali lagi, selain kehilangan ramai kawan-kawan dan jika ada kontrak atau perniagaan dengan kerajaan, ia juga mungkin terjejas.

Untuk menang sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar juga tampak sukar tetapi dengan rekod 2008 di mana BN hanya menang dengan 1400 undi, perjuangan calon BN di kawasan itu menjadi lebih sukar lagi. Dengan penyertaan Kamilia sebagai calon Bebas, BN hampir pasti akan kehilangan kerusi Kuala Kangsar itu pada kali ini.

Namun sisi yang lain, tindakannya Kamilia ini memberi mesej yang jelas kepada pengundi, bukan saja di Kuala Kangsar tetapi juga di seluruh Malaysia tentang hodohnya wajah UMNO dan tidak beretikanya Najib dalam mengemudi UMNO dan BN. Kesetiaan dan kepatuhan kepada pemimpin dan parti tidak akan mampu mengatasi kehebatan membodek, mengampu dan mencium tangan pemimpin. Mesej ini jika mudah difahami akan memberi kesan penolakan yang besar kepada BN dalam pilihanraya kali ini.

Kamilia mungkin pemimpin kerdil dan tidak ternama tetapi sejarah di Tunisia telah membuktikan bahawa punca utama yang merangsang kebangkitan rakyatnya sehingga kerajaan Ben Ali tumbang ialah bila seorang penjual buah-buahan yang terasa dianiaya oleh kerajaan telah membakar dirinya sebagai tanda protes. Kematian pemuda yang tidak dikenali itulah akhirnya yang menyebabkan rakyat bangkit dan menolak kerajaan Ben Ali.

Kamilia juga sedang membakar dirinya sekarang, dan marilah kita sebagai pengundi yang akan membuat penentuan pada 5 Mei ini, sama-sama bangun menyambut keberanian beliau itu. (SH 20/042013)

Friday 19 April 2013

ROS Akhirnya Jadi Senjata Makan Tuan Kepada BN


Hanya dua hari sebelum penamaan calon, ROS atau Pendaftar Pertubuhan tiba-tiba menghantar surat kepada DAP memberitahu bahawa ahli jawatankuasa pusatnya yang dipilih dalam pemilihan lalu tidak diiktiraf dan mahu diadakan pemilihan semula. Tindakan ROS itu jelas berniat politik dan untuk mengelakkan DAP bertanding menggunakan logo roketnya dalam pilihanraya ini.

Walaupun ROS dan SPR kemudiannya ada juga memaklumkan bahawa DAP masih boleh bertanding menggunakan logonya, isu yang timbul ialah kemungkinan pencalonan calon-calon DAP akan ditolak oleh SPR kerana pemegang jawatan DAP yang menandatangani watikah calon tetap juga tidak diiktiraf oleh ROS. Isu teknikal ini, jika DAP tetap juga menggunakan logonya, akan dijadikan senjata untuk membatalkan semua calon-calon DAP dan menjadikan mereka tidak layak bertanding. Akhirnya buta-buta calon BN yang berlawan dengan DAP akan menang tanpa bertanding.

Itulah sebenarnya muslihat ROS menghantar surat kepada DAP di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon ini.

Muslihat lain yang diharapkan oleh Najib dengan menggunakan ROS menghantar surat itu ialah ia akan menyebabkan calon-calon DAP yang bertanding akan menyertai pilihanraya atas tiket Bebas dan masing-masing menggunakan logo yang berbeza-beza. Ini diharapkan akan mengelirukan pengundi serta memudahkan BN memutarbelitkan pelbagai fakta.

Siapa pun yang melihat tindakan ROS tergadap DAP di saat-saat akhir ini dapat merasakan ia bermotifkan politik dan untuk kepentingan Najib dan BN. Isu bantahan terhadap pemilihan DAP ini sebenarnya sudah lama berlalu dan surat penjelasan kepada ROS juga sudah dihantar beberapa bulan lalu, kenapa baru sekarang hendak memaklumkan ROS tidak mengiktirafnya?

Budak-budak sekolah pun dapat memahami maksud politik ROS itu?

Setelah mendapati kedudukan pengundi Cina masih tidak berubah dan tetap mahukan perubahan, Najib seolah-olah hilang punca untuk memikirkan apakah tindakan selanjutnya untuk menjadikan mereka berpecah. Sudah berbagai usaha dilakukannya, dari bantuan BR1M bernilai RM500 hinggalah bantuan berjuta kepada sekolah Cina, menghadiri pelbagai majlis keramaian masyarakat Cina, memakai pakaian kebudayaan Cina dan sebegainya, hakikatnya pengundi Cina tetap menolak BN.

Sementara DAP dan PKR makin menggelembung dengan sokongan pengundi Cina, MCA dan Gerakan pula makin lama makin ditolak dan diketepikan.

Najib sedar jika undi Cina tidak dipecahkan, masa depan BN akan terus kelam. Tindakan terbaru ROS terhadap DAP adalah dipercayai ke arah itu dan bagi memastikan BN terus berkuasa. Sudahlah pendaftaran Pakatan Rakyat yang menaungi PAS, DAP dan PKR untuk menyaingi BN bagi menjadikan sistem pilihanraya negara ini bergerak ke arah sistem dua parti, sehingga sekarang masih tidak ketahuan dan terperap di pejabat ROS, nawaitu ROS sebenarnya makin terserlah dengan tindakannya yang terbaru terhadap DAP ini.

Meskipun semalam DAP memberi tempoh sehingga jam 3 petang ini untuk ROS membatalkan suratnya yang terdahulu yang tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan dalam parti itu, sehingga ke malam ini, ROS masih tiada jawapan.

DAP akhirnya memutuskan calon-calonnya akan bertanding menggunakan logo Pas di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pula akan menggunakan logo PKR. Dalam hal mendesak seperti ini, ROS seharusnya bertindak pantas mengikut kepentingan semasa, sebaliknya telah gagal berbuat demikian dan seolah-olah tidak berani bertindak tanpa mendapat kelulusan daripada orang atasannya.

Tidak syak lagi, dalam beberapa tindakan ROS kebelakangan ini, termasuk melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat dan yang terbaru menghantar surat tidak mengiktiraf pemegang jawatan DAP hanya dua hari sebelum hari penamaan calon, mengesahkan ROS merupakan alat politik Najib dan umpama anggota terbaru komponen BN.

Niat dan gerak kerjanya lebih ke arah memastikan BN menang pilihanraya dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri.

Dalam berharapan dengan PR dalam pilihanraya ini, Najib nampaknya tidak sedia untuk berhadapan dengan lawannya di padang yang sama luas dan sama rata. Sampai ke saat akhir, beliau masih cuba menekan parti-parti dalam PR dengan harapan kemenangan akan berpihak kepadanya.

Tetapi dengan tindakan DAP menggunakan logo Pas, banyak rahmat dan kelebihan akhirnya memihak kepada PR. Selain BN dan Najib tiada isu lagi untuk mengadu-domba serta melaga-lagakan antara Pas dan DAP, ia juga akan menjadikan penyatuan hati dan jiwa yang lebih erat antara penyokong kedua-dua parti itu. Jika selama ini mereka mudah dipecahkan, kini sudah tiada isu lagi.

Penyokong Pas dan pengundi atas pagar yang beragama Islam tidak akan ragu-ragu lagi mengundi Pas kerana berpendapat orang bukan Islam pun sudah boleh menerima Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula tidak melihat ianya sebagai masalah kerana yang bertanding tetap sebangsa dengan mereka walaupun logo Pas yang digunakan. DAP tidak memilih menggunakan logo PKR kerana antara kedua parti itu tidak ada masalah dan tidak menjadi sasaran adu-domba oleh BN.

Dalam hal ini, harus diakui tindakan DAP menggunakan logo Pas adalah langkah bijak disaat-saat mereka ditekan oleh Najib melalui ROS. Tindakan Najib mahu menggunakan ROS bagi menekan DAP dan menjadikannya senjata untuk meraih keuntungan politik, nampaknya gagal lagi, malah menikam dirinya sendiri.

Dengan hanya logo Pas dan PKR yang menyertai pilihanraya kali ini untuk menentang BN manakala DAP berada di alam halimunan buat sementara tetapi calon-calonnya yang bertanding atas tiket Pas yang akan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan, gelombang kebangkitan rakyat pasti lebih menyerlah dan membuak-buak bagi mengakhiri era BN dan Najib pada 5 Mei nanti. (SH 19/04/2013)

Thursday 18 April 2013

Najib Memberi Jalan Mati Untuk Ghani Dan Mukhriz


Diantara percaturan menarik yang dilakukan oleh Najib dalam pilihanraya kali ini ialah memindahkan Ghani Othman bertanding di Parlimen Gelang Patah untuk berhadapan dengan Lim Kit Siang dan meletakkan Mukhriz Mahathir bertanding di DUN Ayer Hitam serta dijanjikan kerusi Menteri Besar Kedah jika BN dapat menawan negeri itu.

Sekali imbas, tindakan meletakkan Ghani bertanding di Gelang Patah dilihat seperti keputuan yang berani dan menunjukkan pemikiran di luar kotak sebagai jalan terbaik untuk "membunuh" karier politik Lim Kit Siang tetapi ia juga boleh "membunuh" karier politik Ghani yang sudah empat penggal menjadi Menteri Besar Johor.

Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, calon MCA menang di Gelang Patah dengan majoriti 8851 undi tetapi dengan 54 peratus pengundi kawasan itu terdiri daripada pengundi Cina, laluan Ghani tidaklah seperti melalui karpet merah, tambahan lagi dengan perkembangan semasa yang menunjukkan pengundi Cina memang menolak BN dan mahukan perubahan.

Harapan Ghani untuk menang hanyalah bergantung kepada undi Melayu dan gahnya jawatan Menteri Besar yang disandangnya. Mungkin juga melalui beberapa perbelanjaan pembangunan dan lain-lain bantuan kewangan. Sebagaimana Lim Kit Siang, Ghani juga bukanlah orang tempatan Gelang Patah, jadi kesukaran sebagai orang luar agak seimbang. Kalau ada pun hubungannya dengan penduduk Gelang Patah, hanyalah atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Johor saja.

Diatas kertas, laluan Ghani memang nampak sukar. Tetapi laluan Lim Kit Siang juga tidaklah mudah. Ghani harus berusaha mengaut sebanyak mungkin undi Melayu dan menampung selebihnya dengan undi bukan Melayu. Namun kelebihan yang ada pada Penasihat DAP itu ialah jumlah pengundi Cina yang ramai dan kali ini pula mereka memang menolak BN dan mahukan perubahan. Jika Lim Kit Siang boleh memastikan majoriti undi Cina memihak kepadanya dan undi Melayu pula diperolehi melalui bantuan Pas dan PKR, harapannya untuk menang lebih cerah.

Jika Ghani menang dan BN pula kekal menguasai Putrajaya, Ghani mungkin akan diberikan jawatan menteri yang kanan, sesuai dengan jasanya menumbangkan tokoh besar DAP itu. Tetapi jika tewas, beliau akan terbiar begitu saja. Beliau akan dilupakan dan jasa-jasanya tidak akan disebut lagi. Kegagalannya lebih menjadi sebutan dan perbualan. Beliau akan dikenali sebagai Menteri Besar yang gagal.

Dan sebagai pemimpin yang pernah menjadi menteri pusat dan Menteri Besar Johor selama empat penggal, meletakkan beliau untuk berhadapan dengan lim Kit Siang tidak lebih seperti memberi jalan mati yang mempunyai gaung di hadapannya. Kemungkinan beliau untuk tewas dan "mati" adalah lebih besar daripada kemampuan untuk terus hidup dan bernyawa.

Persoalannya apakah bagi Najib membunuh karier politik Lim Kit Siang itu sangat penting sehingga Ghani dijadikan pertaruhan? Apakah juga jika BN tewas di Gelang Patah, bermakna Putrajaya akan terlepas sehingga menyebabkan kawasan itu begitu ingin dimenangi?

Bagi Mukhriz pula, tindakan Najib meletakkannya bertanding di Ayer Hitam serta dijanjikan jawatan Menteri Besar Kedah juga mengundang risiko yang tinggi dan sama seperti Ghani, beliau juga umpama diberikan jalan mati oleh Najib dalam pilihanraya kali ini.

Walaupun Mukhriz menang di Jerlun dalam pilihanraya 2008 lalu tetapi perjuangannya di DUN Ayer Hitam kali ini tidaklah semudah yang dijangka, tambahan pula kawasan itu dimenangi oleh calon Pas, Ghani Ahmad dengan majoriti 506 undi dengan menewaskan calon BN, Othman Aziz.

Mungkin dengan kerja kuat dan bantuan kempen oleh bapanya Mahathir, beliau boleh memenang di kawasan itu. Tetapi persoalan lain ialah bolehkah Kedah dimenangi oleh BN? Untuk mencapai hasrat meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Kedah, dua perjuangan harus diharungi iaitu menang di DUN Ayer Hitam dan kerajaan PR yang ada sekarang mesti ditumbangkan.

Dengan beberapa pergolakan di Kedah sebaik nama-nama calon BN diumumkan, ada bantahan dan protes di beberapa kawasan, ternampak usaha BN mahu menawan Kedah tidaklah semudah yang dijangka. Tambahan pula isu siapa bakal Menteri Besar Kedah pilihan Najib masih menjadi misteri walaupun Mukhriz lebih menjadi pilihan. Ini kerana Pengerusi UMNO Kedah, Ahmad Bashah yang bertanding di DUN Bakar Bata, turut mengidam jawatan yang sama.

Jika Mukhriz hanya menang di Ayer Hitam dan Kedah kekal ditangan PR, anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu akhirnya hanya akan menjadi ADUN biasa saja. Paling tidak pun menjadi Ketua Pembangkang di DUN Kedah.

Dalam kedua-dua kes, Ghani Othman di Gelang Patah dan Mukhriz Mahathir di Ayer Hitam, walaupun harapan Najib dan BN terhadap mereka sangat tinggi tetapi kemungkinan mereka kecundang juga sama tingginya. Mempertaruhkan keduanya di kerusi sukar seperti Najib sedang menyediakan laluan mati untuk mereka.

Jika mereka menang, mungkin ia suatu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh Najib dan BN tetapi jika tewas, Ghani akan dilupakan dan boleh memilih untuk bersara terus. Mukhriz pula, jika tewas dan cita-cita menjadi Menteri Besar tidak kesampaian akan menjadikan laluan politiknya tidak menentu tetapi yang paling nyata, ia mungkin paling mendatangkan kekecewaan kepada Mahathir yang sentiasa mengharapkan laluan mudah untuk anak-anaknya. (SH 18/04/2013)

Wednesday 17 April 2013

Najib Dan Transformasi Rojak


Senarai calon-calon BN yang diputuskan Najib dan diumumkan sepenuhnya di semua negeri semalam, secara umumnya adalah bersandarkan formula transformasi dan "winnable" sebagaimana yang sering diucapkannya sejak empat tahun lalu. Malah perkataan transformsi dan "winnable" juga menjadi perkataan jarang terlepas dari bibirnya sejak empat tahun lalu untuk menunjukkan beliau juga seorang yang mahukan pembaharuan serta pragmatik sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat.

Dengan barisan calon yang disusunnya itu, Najib seolah-olah memberi bayangan bahawa inilah pasukan yang akan bersama-sama dengannya melaksanakan pelbagai transformasi dalam negara jika BN terus diberi kepercayaan mentadbir negara ini untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Malangnya, sebaik saja nama-nama calon diumumkan, harapan untuk melihat mereka yang terpilih itu memberi imej dan persepsi yang baik sebagaiimana yang sering dilaung-laungkannya tampak berkecai. Bayangan transformasi kelihatan jauh dari kenyataan. Ini kerana yang terpilih itu ada yang terpalit dengan skandal, dilumuri isu moral, calon kitar semula dan tidak mendapat restu UMNO bahagian. Ada juga yang bukan "winnable" tetapi lebih kepada "win cable" iaitu yang mempunyai hubungan tertentu dengan orang diatas yang dipilih sebagai calon.

Diatas semua itu, transformasi politik yang ingin dibawa Najib menjadi caca-marba dan bercelaru. Orang utara kata, transformasi rojak jadinya.

Sementara Najib berkata calon-calon baru kali ini meliputi 33 peratus di peringkat Parlimen dan 54 peratus di peringkat DUN, hakikat yang paling menonjol ialah di kalangan menteri kabinet hanya tiga orang saja yang digugurkan iaitu Rais Yatim, Nor Yakcop dan Ng Yen Yen. Ini tentunya memberi gambaran jika BN terus berkuasa, menteri-menteri yang ada akan terus kekal sedangkan mereka inilah yang menjadi fokus perubahan yang diinginkan oleh rakyat.

Kegagalan ini akan memberi impak tidak baik dan melebarkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Najib dan BN. Rakyat akan melihat tiada perubahan yang nyata kerana perubahan calon Ahli Parlimen seharusnya seiring dengan pengguguran lebih ramai menteri kabinet daripada terus bertanding.

Yang lebih menyedihkan juga, walaupun keputusan menggugurkan tiga menteri itu harus dipuji terutamanya Rais Yatim yang sudah lama menjadi dinosaur dalam era politik hujah dan fakta ketika ini, di masa yang sama Najib juga mengekalkan beberapa pemimpin usang dan memberi nyawa semula kepada mereka yang sudah dianggap mati untuk dikitar semula sebagai calon pilihanraya.

Pemilihan semula calon tua seperti Yap Pian Hon di Serdang, Othman Abdul di Pendang, Mansor Salleh di Tumpat dan menaikkan taraf Shahidan Kassim daripada bertanding di DUN ke Parlimen mengecewakan banyak pihak dan membuatkan mereka tertanya-tanya, transformasi apa sebenarnya yang cuba diterapkan Najib sekarang ini. Ini juga merencatkan proses peremajaan dalam parti yang seharusnya senantiasa berlaku bagi mengekalkan parti terus segar dan diterima rakyat.

Apakah pemilihan semula Yap, Othman dan Mansor itu termasuk dalam kategori 33 peratus calon baru yang Najib maksudkan?

Begitu juga dengan masih memberi peluang kepada bekas menteri yang kalah atau digugurkan Najib sendiri sebaik mengambil alih pentadbiran pada 2009 lalu seperti Azalina Othman di Pengerang dan Annuar Musa di Ketereh seperti menggambarkan UMNO sudah ketandusan pemimpin muda yang berwibawa yang lain untuk diketengahkan. Di peringkat DUN juga masih ramai calon-calon lama yang masih dikekalkan sedangkan sudah sepatutnya digugurkan.

Lebih-lebih lagi, kesemua orang lama dan tua itu bukan pula calon yang boleh dianggap "winnable". Jika Tengku Razaleigh dan Shahrir Samad terus dikekalkan, mungkin ia boleh difahami kerana kedua mereka adalah pemimpin yang sentiasa "winnable" dan menukar kepada calon lain dalam keadaan genting seperti sekarang boleh menyebabkan kehilangan mudah kerusi Gua Musang dan Johor Bahru kepada pihak lawan.

Apakah istimewa dan masih "winnablekah" Yap Pian Hon untuk berhadapan dengan Teo Nii Ching dari DAP, Othman Abdul berhadapan dengan Mat Sabu dan Mansor Salleh untuk berdepan dengan Kamaruddin Jaafar, yang kedua-duanya merupakan tokoh penting Pas?

Transformasi calon yang cuba diketengahkan Najib juga menjadi celaru apabila beliau meletakkan Zulkifli Nordin bertanding di Shah Alam untuk berhadapan dengan Khalid Samad. Selain imejnya sebagai pelompat, penyebaran video mengenai komennya yang menghina agama lain sekaligus memburukkan imej BN dalam masa yang sama. UMNO dan pengundi Shah Alam sendiri rata-rata menolak pencalonan Zulkifli, bukan saja kerana imej dan keceluparannya tetapi juga kerana tahap kematangan politiknya yang dianggap terlalu rendah dan tidak sepadan dengan taraf penduduk ibu negeri Selangor itu sendiri.

Transformasi Najib juga menjadi kacai-bilau apabila beliau memilih semua Dr Rozaidah Talib dan Dr Rahman Ismail sebagai calon di Ampang dan Gombak sedangkan mereka sudah digugurkan sebagai calon pada pilihanraya 2008 lalu. Sama seperti Othman Abdul, Mansor Salleh dan Yap Pian Hon, kedua mereka ini juga dikategorikan sebagai calon kitar semula.

Memburukkan lagi keadaan, Rozaidah dan Rahman juga pernah terlibat dengan isu isu moral dan skandal dalam beberapa tahun lalu. Jika Najib mengatakan pemilihan calon kali ini setelah melalui beberapa tapisan, bagaimana Rozaidah dan Rahman boleh terlepas daripada tapisan itu?

Dengan pemilihan mereka itu, kini bertebaran semula cerita dan gambar-gambar berkaitan isu moral dan skandal yang pernah dikaitkan dengan mereka. Selain itu, berlaku juga protes dalam UMNO sendiri terhadap pemilhan mereka sebagai calon. Semua ini akhirnya akan menyebabkan BN tewas dengan mudah di kedua-dua kerusi itu.

Bantahan mengenai calon tidak saja berlaku di Ampang, Gombak dan Shah Alam tetapi juga turut dilaporkan berlaku di Sekijang dan Tasek Gelugor. Bahkan bekas timbalan menteri, Sharif Omar sudah pun mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Tasek Gelugur.

Walaupun bantahan dan protes ini boleh dianggap sebagai proses biasa dalam mana-mana pilihanraya tetapi ia tidak seharusnya begitu ketara berlakunya kerana Najib sering menjanjikan transformasinya akan dilaksanakan dengan saksama dan penuh teliti.

Belum pun penamaan calon dan hari pengundian yang mungkin bakal menyaksikan banyak lagi kejadian-kejadian merugikan BN, hakikatnya semua ini berlaku kerana transformasi yang dilakukan Najib tidak seiring dengan janji yang pernah dilafazkannya. Calon "win cable" pula lebih diutamakan berbanding "winnable" dalam ertikata sebenarnya.

Baru kecelaruan calon, belum lagi berlaku pelbagai kecelaruan lain, harapan Najib untuk membawa BN terus kekal berkuasa nampaknya sudah menampakkan tanda-tanda kesukarannya. (SH 17/07/2013)

Tuesday 16 April 2013

Di Mata Najib, Zulkifli Nordin Lebih Bernilai Daripada Ibrahim Ali, Adik Ku Nan Bakal MB Selangor?


Berbanding pengguguran beberapa nama besar sebagai calon BN seperti Rais Yatim, Nor Mohamed Yakcop, Ng Yen Yen dan nama-nama lainnya serta kesediaan Ghani bertanding di Gelang Patah untuk berhadapan dengan Lim Kit Siang dalam pilihanraya kali ini, tentunya berita yang paling mengejutkan sebaik nama-nama calon diumumkan ialah ketiadaan nama Ibrahim Ali sebagai calon BN di Pasir Mas.

Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas dalam pilihanraya 1008 lalu tetapi kemudian melompat mendakap BN dan Najib sebaik bergelar YB sudah diketahui umum amat mengharapkan agar namanya disenaraikan sebagai calon BN di Pasir Mas. Beliau sudah bersedia ke arah itu sejak beberapa tahun lalu, dan baru-baru ini turut menggunakan khidmat Mahathir untuk melobi namanya kepada Najib. Malah Mahathir juga mengatakan akan turun berkempen membantunya jika beliau dipilih oleh Najib.

Melihat kepada beberapa tindakan Ibrahim Ali dan Perkasa yang diterajuinya dalam mempertahankan Najib dan menyerang Anwar serta Pas sejak 2009 lalu, sukar untuk mempercayai Ibrahim Ali akan diketepikan begitu saja. Dalam hal ini Najib akan dilihat sebagai pemimpin yang tidak mengenang budi dan berhati mulia kepada Ibrahim Ali.

Lebih memilukan hati Ibrahim Ali ialah tentunya kerana Najib memilih pula Zulkifli Nordin, yang lebih kemudian melompat daripadanya untuk memeluk Najib, bertanding mewakili BN di Shah Alam. Dalam Perkasa pula, Zulkifli hanyalah Naib Presiden manakala Ibrahim adalah Presidennya.

Ternampak bukan sahaja Zulkifli lebih bernilai dan dihargai disisi Najib berbanding Ibrahim Ali, bahkan senario ini juga memperlihatkan bahawa Najib tidak memerlukkan lagi khidmat Ibrahim Ali lagi selepas ini. Jika alasan Najib tidak memilih Ibrahim kerana ingin menjauhi Perkasa dan mahu mendapatkan undi bukan Melayu, Zulkifli juga dari Perkasa, bahkan baru-baru ini disebarkan videonya yang menghina agama Hindu.

Dengan namanya diketepikan ini, Ibrahim Ali tidak ada pilihan selain bertanding atas tiket Bebas saja dan harapannya untuk terus membawa suaranya ke Parlimen kelihatan amat sukar kerana di Kelantan pertarungan sengit hanya berlaku antara PAS dan UMNO sahaja. Dan Mahathir yang dulunya berjanji berkempen untuknya juga mustahil akan menjenguknya.

Dan berbanding pemimpin lain yang digugurkan dan tidak disenaraikan namanya, Ibrahim juga mungkin menjadi manusia paling sedih di Malaysia ketika ini. Beliau umpama jejaka malang yang cintanya tidak berbalas setelah mencurahkan segunung intan dan sepenuh jiwa raga kepada sang kekasih hatinya.

Tetapi sebagaimana beliau pernah berkata, membujur lalu melintang patah, inilah masanya untuk beliau membuktikan kata-katanya itu.

Pengumuman nama-nama calon di negeri-negeri lain pula tidak banyak yang mengejutkan dan sebahagiannya sudah boleh dijangkakan, kecuali di Selangor yang menjadi sandaran Najib untuk ditawannya semula. Selain Noh Omar dan Zin Mohamed terus kekal bertanding di peringkat Parlimen, ketidaan nama FD Iskandar bertanding di mana-mana kerusi DUN agak mengejutkan juga.

Ini kerana melihat senarai mereka yang bertanding kerusi DUN di Selangor, terlihat tiada tokoh yang menonjol untuk dilantik sebagai MB Selangor jika BN menguasai negeri itu. Persaingan tampaknya masih terbuka antara Nawawi M Zain, Subahan Kamal dan Johan Abdul Aziz.

Tetapi jika melihat daripada calon-calon baru yang diketengahkan pula, nama Tengku Rethwan Tengku Mansor yang paling menonjol. Selain kedudukannya sebagai adik kepada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan, namanya juga melonjak semalam apabila sekumpulan ahli UMNO Kelana Jaya mengadakan demonstrasi di PWTC membantah agar namanya digugurkan sebagai calon BN di DUN Seri Setia.

Bagaimanapun bantahan itu nampaknya diketepikan begitu saja oleh Najib dan BN. Sudahlah Ketua UMNO Kelana Jaya, Mat Taib sudah menyertai Pas dan kini pemimpin UMNO Bahagian itu seperti Yahya Bujang dan Halim Samad yang lebih dikehendaki oleh UMNO bahagian sebagai calon pula diketepikan begitu saja. Luka di hati ahli UMNO Kelana Jaya ketika ini berganda jadinya.

Kesungguhan Najib dan BN Selangor mengetengahkan Tengku Rethwan sebagai calonnya sehingga sanggup mengenepikan suara akar umbi, dalam masa yang sama membayangkan betapa besarnya pengaruh Ku Nan terhadap Najib. Suaranya umpama wahyu.

Dan berdasarkan kedudukan calon-calon MB Selangor yang masih terbuka, tidak mustahil Tengku Rethwan adalah nama yang ada dalam perkiraan Najib untuk ditonjolkan ke jawatan tertinggi di Selangor itu sekiranya BN kembali berkuasa. (SH 16/04/2013)

MCA Sengaja Mahu BN Kalah?


Petang semalam, tiga parti komponen BN iaitu MCA, Gerakan dan PPP sudah pun mengumumkan senarai calon dan kawasan yang ditandingi oleh parti itu dalam pilihanraya 5 Mei ini sebaik menerima watikah calon daripada Najib selaku Pengerusi BN. Dalam tempoh beberapa jam lagi, UMNO pula dijangka mengumumkan senarai calonnya yang akan dibuat oleh Pengerusi UMNO Negeri-Negeri. MIC juga dijangka berbuat demikian dalam tempoh yang sama.

Berbanding MCA, tidak banyak harapan disandarkan kepada Gerakan dan PPP yang masing-masing diperuntukkan 11 dan satu kerusi Parlimen memandangkan mereka tidak memenangi walau satu kerusi pun dalam pilihanraya 2008 lalu.

Berikutan sentimen pengundi bukan Melayu yang makin ketara menolak BN dan keghairahan terhadap perubahan, Gerakan juga dijangka tidak mampu menyumbang apa-apa kerusi kepada BN kali ini, tambahan pula kebanyakan kerusi yang ditandinginya adalah di Pulau Pinang dan kawasan bandar yang memang diketahui merupakan kawasan hitam bagi BN.

Begitu juga dengan PPP yang kali ini bertanding di Kepong, kerusi tradisi DAP, juga bakal menuai angin dalam pilihanraya kali ini.

Lebih menarik, kedua-dua pemimpin utama Gerakan dan PPP iaitu Koh Tsu Koon dan M Kayeas juga memutuskan untuk tidak bertanding kali ini, yang sekaligus menggambarkan ketidakyakinan mereka terhadap kemenangan serta menjadikan moral parti itu di mata pengundi menjadi lebih merudum.

Hanya MCA yang nampaknya menjadi sandaran BN dan Najib kali ini. Tetapi Chua Soi Lek pula penuh dengan agenda politik MCAnya di sebalik keinginan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi memastikan BN kekal menggenggam kuasa. Selain Chua sendiri memutuskan untuk tidak bertanding, dua Naib Presidennya iaitu Ng Yen Yen dan Gan Ping Sieu turut tidak disenaraikan. Turut memerajatkan ialah ialah MCA juga menggugurkan bekas presidennya, Ong Tee Keat yang dianggap calon paling winnable di Pandan untuk berhadapan dengan Rafizi Ramli dari PKR.

Dengan Koh Tsu Koon, Chua Soi Lek, Kayeas dan disertai dengan Presiden SUPP, Peter Chin yang mengambil keputusan tidak bertanding dalam pilihanraya ke 13 ini, menjadikan empat pemimpin parti komponen BN telah melontarkan gambaran kepada pengundi dan masyarakat umum mengenai ketidakyakinan mereka terhadap kemenangan dan masa depan BN sendiri dan ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

MCA kali ini bertanding 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN. Dalam pilihanraya 2008 lalu, mereka bertanding 40 kerusi Parlimen dan menang 15 daripadanya.

Melihat senarai calon dan percaturan MCA kali ini, harapan Najib untuk melihat parti itu menyumbang banyak kerusi juga tampak suram. Walaupun ramai juga calon muda diketengahkan, calon "resycle" turut diketengahkan seperti Yap Pian Hon di Serdang manakala Seah Koh Fah di PJ Selatan pula diramal sangat tipis untuk menang kerana beliau juga pernah kalah dalam pilihanraya yang lalu.

Tindakan menggugurkan Ong Tee Keat di Pandan pula menampakkan Rafizi sudah berada diambang memenangi kerusi itu kerana pendapat banyak pihak menyatakan hanya bekas Presiden itu saja yang dianggap paling winnable dan sesuai berhadapan dengan Rafizi yang kini sedang melonjak namanya. Di Pandan, Ong bukan saja diterima baik oleh pengundi Cina tetapi juga sebahagian besar pengundi Melayu.

Meskipun Ong merupakan musuh politik Chua tetapi Chua sepatutnya lebih mengutamakan kemenangan untuk MCA berbanding melunaskan agenda peribadi terhadap musuh politiknya itu.

Dalam pilihanraya kali ini, MCA yang dipimpin oleh Chua juga bersikap sangat budiman dengan bersedia menyerahkan tiga kerusinya tanpa pertukaran kerusi lain dengan UMNO iaitu Gelang Patah, Kuantan dan Wangsa Maju. Ini menjadikan kerusi MCA kali ini berkurangan tiga kerusi berbanding 40 kerusi yang ditandinginya pada 2008.

Dalam posting beberapa minggu lalu, saya telah menulis mengenai agenda MCA ini di mana Chua cuba menjadikan kerusi Wangsa Maju, Gelang Patah dan Kuantan sebagai umpan kepada Najib agar senarai calon yang dikemukakannya diterima tanpa bantahan oleh Najib. MCA ternyata cuba menjadikan pilihanraya ini sebagai medan untuk melaksanakan agenda politiknya serta mengenepikan musuhnya dan ia kini terbukti benar-benar berlaku.

Dengan kehilangan tiga kerusi iaitu Gelang Patah walaupun MCA menang lebih 8 ribu undi dalam pilihanraya lalu serta Kuantan dan Wangsa Maju, Chua kini berjaya memaksa Najib menerima senarai calonnya tanpa bantahan. Yang lebih penting, hasratnya mahu mengenepikan terus Ong Tee Keat juga berjaya.

Walaupun Chua berjaya menjadikan dirinya makin kuat dalam MCA tetapi kesediaannya menyerahkan tiga kerusi secara percuma itu turut mengundang rasa tidak tidak puas pengundi Cina terhadap MCA. MCA akan dilihat tidak menjaga sepenuhnya kepentingan masyarakat Cina dan mudah tunduk kepada UMNO. Sepatutnya MCA melakukan pertukaran kerusi suka sama suka dan bukan memberi percuma jika ingin lebih memenangi hati kaumnya.

Senario ini memungkinkan lebih kuat penolakan daripada pengundi Cina terhadap parti itu. Di Wangsa Maju sendiri, MCA bahagian itu tetap konsisten menolak calon UMNO. Di Kuantan dan Gelang Patah juga, dipercayai sentimen yang sama sedang meledak. Dan jika ia merebak ke banyak kawasan lain, harapan MCA untuk memenangi lebih daripada 15 kerusi sebagaimana yang dimenanginya dalam pilihanraya 2008 lalu nampaknya sangat tipis.

Kegagalan MCA mememangi banyak kerusi kali ini sebahagian besarnya adalah disebabkan tindak-tanduk Chua selaku Presiden MCA yang lebih memikirkan dirinya berbanding BN. Kepentingannya dalam MCA sangat besar dan ia lebih besar daripada memastikan kemenangan BN itu sendiri.

Jika Gerakan dan PPP dilihat tidak mampu diharapkan apa-apa manakala MCA pula dengan tindak-tanduk Chua Soi Lek yang lebih mementingkan agenda peribadinya dan akhirnya menjadikan parti itu lebih ditolak oleh pengundi Cina sendiri dan gagal menyumbang banyak kerusi, apa lagi sandaran Najib dalam mempertahankan kuasanya?

Belum pun keluar senarai calon daripada UMNO yang mungkin menyaksikan banyak unsur sabotaj, tidak puas hati dan tutup bilik gerakan, gelagat Chua Soi Lek dan MCA dalam penentuan senarai calon dan pengagihan kerusi juga memperlihatkan beliau tidak membantu ke arah kemenangan BN.(SH 16/04/2013)

Monday 15 April 2013

Impian Najib Tawan Selangor Berkecai!!


Sementara UMNO begitu galak menyerang Pas berkaitan isu video seks yang didakwa melibatkan Mustafa Ali, parti itu mendapat rahmat besar disebaliknya dengan penyertaan bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib ke dalam Pas semalam. Beliau yang lebih dikenali dengan Mat Taib atau Mike Tyson dilaporkan sudah pun menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai Pas kepada Dr Haron Din dan suatu pengumuman rasmi dijangka akan dibuat dalam sehari dua ini.

Mat Taib sudah mendiamkan diri sejak 2009 apabila digugurkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Ketua Penerangan UMNO. Kemudiannya beliau juga melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya yang disandangnya dan menyerahkan kepada Yahya Bujang untuk memangku jawatan itu.

Sejak itu beliau mengepikan sepenuhnya aktiviti yang melibatkan politik dan banyak menghabiskan masanya dengan program-program keagamaan. Beliau bukan saja banyak menghadiri pelbagai program bercorak agama dan mengadakan pelbagai majlis di kediamannya, malah jika berbual pun topiknya banyak menjurus ke arah keagamaan.

Dengan kecenderungan terhadap agama itu, penyertaan beliau ke dalam Pas tidaklah begitu memeranjatkan meskipun UMNO tentunya agak terpukul dengan tindakan bekas MB Selangor dan Naib Presiden UMNO itu menyertai Pas di saat-saat hampirnya berlangsung pilihanraya yang paling mencabar ini.

Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya kali ini, selain mahu mengekalkan Putrajaya, matlamat Najib juga ialah mahu menawan kembali Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.

Walaupun Mat Taib berdepan dengan isu kredibiliti berikutan peristiwa lama yang melibatkan dirinya dan dianggap sudah "expired" dalam UMNO, penyertaan beliau ke dalam Pas tidak harus dipandang ringan. Kemasukannya membawa imej dan persepsi yang tidak baik mengenai UMNO dan melonjakkan moral Pas serta Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.

Ia tidak jauh bezanya dengan keputusan beberapa pegawai tinggi kerajaan, pegawai polis dan tentera yang memilih Pas dan Pkr sebaik saja bersara daripada kerajaan sebelum ini. Sebagaimana penyertaan mereka itu meningkatkan moral dan imej Pakatan Rakyat, kemasukan Mat Taib juga sebenarnya memberi impak yang serupa.

Sepanjang menjadi MB Selangor selama 11 tahun, Mat Taib dikenali sebagai pemimpin yang baik budi pekertinya dan suka menolong orang. Ramai pemimpin UMNO dan ahli perniagaan yang meriah dengan rezeki yang dilorongkan Tuhan melalui sikapnya baik hati itu. Rakyat Selangor pula banyak yang mendapat tanah untuk kediaman dan memulakan kehidupan baru. Perkampungan dan penempatan baru yang melibatkan orang Melayu banyak diwujudkan semasa kepimpinannya.

Dengan jasanya yang sedemikian itu, tentunya beliau masih dikenang oleh ramai orang di Selangor ini. Oleh itu, penyertaannya ke dalam UMNO tidak dapat dinafikan akan memberi signifikan kepada usaha Pakatan Rakyat mengekalkan pentadbiran negeri itu ditangannya.

Impian Najib dan UMNO Selangor pasti akan bertambah sukar dengan penyertaan beliau ke dalam Pas ini. Lebih-lebih lagi jika selepas hari penamaan calon nanti Mat, Taib juga turut berkempen dan meminta pengundi mengekalkan negeri itu di tangan Pakatan Rakyat yang baru menaungi perjuangan barunya.

Dengan menyertai Pas di saat berlangsungnya hari penamaan calon dan Pakatan Rakyat pula sudah siap dengan senarai calon-calonnya, Mat Taib seperti memberi isyarat bahawa beliau tidak sekali-kali berminat untuk bertanding semula. Hasratnya ialah untuk membantu perjuangan Pas dan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.

Walaupun Najib sentiasa ghairah mahu menawan Selangor, tetapi keputusan beliau yang dijangka meletakkan FD Iskandar sebagai calon MB Selangor jika BN kembali berkuasa, turut mengundang masalah dalam UMNO sendiri. Kem Noh Omar dan Zin Mohamed yang kini merupakan orang kanan dan orang kiri Najib di Selangor, ternyata kurang berpuas hati dengan pemilihan FD Iskandar itu.

Pemimpin dan ahli UMNO peringkat bahagian dan cawangan juga menunjukkan rasa kurang senang dengan pemilihan FD Iskandar berikutan beliau dilihat pemimpin yang kurang mesra dengan orang bawahan dan kedudukannya sebagai ahli perniagaan serta pemaju hartanah membimbangkan mereka kemungkinan fokusnya nanti lebih kepada membantu syarikatnya sendiri, Glomac Berhad berbanding membantu rakyat Selangor sendiri.

Menang tidak dinafikan, impian Najib menawan Selangor bukanlah mudah. Selain Pakatan Rakyat juga bekerja keras dan berjaya menampilkan imej yang lebih baik berbanding kepimpinan UMNO sebelumnya walaupun cuba dibangkitkan pelbagai isu untuk merangsang emosi rakyat, wujudnya penolakan dalaman UMNO sendiri berikutan calon MB pilihan Najib kurang dipersetujui dan kini dengan bantuan Mat Taib pula yang menyertai Pas, impian Najib hakikatnya makin bertambah sukar.

Malah ada beberapa pemimpin UMNO Selangor sendiri tanpa berselindung menyatakan, impian Najib itu sebenarnya sudah pun berkecai dan musnah sekarang ini. (SH 15/04/2013)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...