Saturday 29 December 2012

Biar Betul...Mahasiswa Nak Letak Calon Lawan Najib di Pekan?


Hubungan mahasiswa dengan dunia politik sangat akrab sebenarnya. Sejak dulu lagi sudah sekian kerap dituntut agar mahasiswa dibenarkan berpolitik, tidak saja di dalam kampus tetapi juga di luar kampus, sesuai dengan kedudukan mahasiswa itu sendiri sebagai pemimpin pelapis generasi akan datang.

Sejarah pula telah membuktikan meski dihantui pelbagai halangan, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai peristiwa politik tidak pernah kunjung menyurut. Daripada zaman Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali dalam isu kemiskinan di Baling, Ahmad Lutfi Othman dengan isu purdah dan penglibatan Adam Adli serta sekumpulan yang lain dalam pelbagai isu politik semasa sejak kebelakangan ini, adalah bukti jelas bahawa mahasiswa sentiasa segar dengan idealisme dan obor perjuangan.

Kerajaan sendiri menyedari kepentingan mahasiswa dalam dunia politik. Mahasiswa seharusnya juga dididik untuk peka dengan persekitaran dan tidak semestinya sepanjang masa hanya diulit dengan buku dan kuliah sahaja.

Lantaran itu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa mahasiswa dibenarkan terlibat dalam dunia politik termasuk menjadi calon pilihanraya. Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin ketika mengumumkannya berkata, kebenaran itu sesuai dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.

Menurutnya lagi, kebenaran itu juga menandakan kerajaan mengiktiraf fungsi, sumbangan serta kematangan daya fikiran mahasiswa.

Meski kerajaan dilihat cuba berlembut dan seakan tunduk dengan tuntutan mahasiswa sejak sekian lama, dalam beberapa isu misalnya, mahasiswa tetap rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Sebagai anak muda yang sarat idealisme, golongan mahasiswa juga mudah terpanggil dengan beberapa isu semasa yang melibatkan wujudnya unsur ketidakadilan serta kekangan daripada pihak kerajaan.

Sudah banyak penglibatan mahasiswa dalam isu seperti itu. Terbaru ini luahan rasa itu juga dizahirkan dalam kes penahanan seorang mahasiswa bernama Umar yang didakwa terlibat dalam demonstasi di Dataran Merdeka sehingga mereka sanggup berkampung di depan Penjara Kajang, malah protes juga pernah dibuat ketika Rosmah Mansor menghadiri program di sebuah universiti tidak lama dulu sebagai bantahan terhadap pelbagai isu yang melibatkan isteri Perdana Menteri itu.

Sesuai dengan kebenaran yang diberi kerajaan baru-baru ini, kini terdapat gerakan di kalangan mahasiswa yang ingin meletakkan calon mereka bertanding dalam pilihanraya umum akan datang ini. Dan selaras dengan luahan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan itu, kerusi pilihan mereka ialah Pekan, Pahang yang sekarang ini diwakili oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Mereka bertanding adalah untuk membawa agenda mahasiwa dan memudahkan suara mereka didengari. Kalah atau menang adalah perkara kedua tetapi dengan bertanding di Pekan, ruang kempen yang terbuka itu akan digunakan sepenuhnya untuk meluahkan segala rasa tidak puas hati dan persoalan yang selama ini membelenggu mereka.

Beberapa perbincangan dan perjumpaan ke arah itu sudah pun bermula sejak beberapa minggu lalu. Mereka kini sedang mengintai beberapa kemungkinan di sebalik penyertaan dalam pilihanraya itu, termasuk pemilihan calon mahasiswa yang sesuai, kewangan dan kemungkinan bergabung dengan pihak pembangkang.

Sehingga ini kerusi yang menjadi tumpuan hanyalah Pekan tetapi jika respon yang diterima agak meluas dan menggalakkan, tidak mustahil suara agenda mahasiswa ini turut juga melebar ke beberapa kerusi yang lain. Penyertaan di Pekan hampir pasti.

Jika perkhabaran ini menjadi kenyataan, ia tentunya satu lagi cabaran bagi Najib dan UMNO kerana dengan penyertaan mahasiwa bertanding melawan Najib sendiri di Pekan, ia tentunya memberi gambaran wujudnya penolakan secara langsung daripada golongan mahasiswa terhadap kepimpinan Najib.

Penyertaan mahasiswa dalam pilihanraya kali ini juga dipercayai mampu mewujudkan gelombang anak muda yang lebih besar kerana ia juga berkait dengan pelbagai isu generasi muda seperti peluang pekerjaan, beban sara hidup, perumahan, pengangkutan, isu sejumlah bakal guru lepasan Institut Latihan Perguruan yang belum menerima penempatan dan sebagainya lagi.

Sesuatu yang makin menghambat Najib tetapi nampaknya PRU 13 makin menarik untuk ditunggu detik ketibaannya.(SH 29/12/12)













Thursday 27 December 2012

Konsep 1Malaysia Gagal, Najib Mahu Rebut Semula Undi Melayu


Perjalanan politik UMNO kebelakangan ini memperlihatkan bahawa Najib seakan-akan sudah putus asa dengan pengundi bukan Melayu. Sejak tsunami 2008 yang antara sebabnya ialah beralih arahnya pengundi bukan Melayu kepada pembangkang, Najib cuba berhempas pulas mahu menawan semula undi mereka melalui beberapa pendekatan yang dilakukannya.

Antaranya memperkenalkan 1Malaysia, memberi lebih banyak bantuan kepada sekolah Cina dan India, kerap turun melawat Petaling Street dan Little India, sanggup merayakan Thaipusam di Batu Caves, cuba hadir sebanyak mungkin program masyarakat Cina dan India serta pelbagai pendekatan ad hoc lagi cuba dilakukan ke arah itu.

Malangnya, masyarakat Cina, India dan pengundi bukan Melayu pada hakikatnya tetap menolak Najib dan BN. Keputusan beberapa pilihanraya kecil, pola pilihanraya negeri Sarawak, penglibatan kaum Cina dan India yang jelas dalam Himpunan Bersih serta respon yang diberikan terhadap program Pakatan Rakyat, menjelaskan hakikat itu.

Pengundi bukan Melayu pada umumnya sudah sepakat untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya akan datang ini. Kalau pun BN menang, mereka tidak akan memberikan kemenangan yang selesa. Dua pertiga yang menjadi impian Najib hampir mustahil tanpa sokongan bukan Melayu.

Dalam masa yang sama UMNO juga menyedari MCA, MIC dan Gerakan akan terus kehilangan banyak kerusi. Jumlah kerusi yang ada sekarang dipercayai akan menurun lagi.

1Malaysia yang suatu ketika kerap diperkatakan, kini semakin sayup kedengaran. 1Malaysia lebih kerap diperkatakan sebagai jenama bisnes semata-mata untuk orang Melayu berbanding sebagai tiket merapatkan hubungan BN dengan bukan Melayu. Kedai runcit 1Malaysia, kedai kain 1Malaysia, rumah rakyat 1Malaysia, menu 1Malaysia dan seumpamnya lagi ternampak lebih ditumpukan kepada orang Melayu berbanding bukan Melayu.

Setelah hampir empat tahun berusaha, Najib pada hakikatnya gagal menambat hati pengundi bukan Melayu. Jumlah yang meraguinya makin melebar berbanding mereka yang meyakininya.

Meskipun pelbagai bantuan dan habuan cuba dicurahkan untuk bukan Melayu, impaknya tidak cukup ketara. Gelombang perubahan lebih menggamit hati bukan Melayu.

Jika dulu Najib, dalam beberapa ucapannya begitu mengharapkan undi dan sokongan bukan Melayu tetapi kini bagaikan sudah putus harapan. Apa pun percubaannya, undi bukan Melayu tidak hadir seperti yang diharapkannya.

Kini laungan 1Malaysia juga makin jarang diucapkan kepada kelompok bukan Melayu. 1Malaysia umpama bisnes yang tidak mendatangkan untung bagi Najib. Berbanding 1Malaysia yang dijaja Najib, teriakan Anwar yang kerap menyebut bahawa negara ini milik bersama antara Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dusun, ternyata jauh lebih menarik dan diyakini.

Dalam perbualan dengan beberapa rakan bukan Melayu, mereka meragui 1Malaysia yang dijaja Najib kerana beliau dilihat dalam masa yang sama dikepung rapat oleh kelompok ekstrem Melayu seperti Perkasa, Jati dan sebagainya. Lebih dari itu, UMNO sendiri dalam beberapa keadaan atau isu, kelihatan terlalu fanatik dengan Melayunya dan seolah-olah tidak mahu berkongsi dengan kaum lain.

Dalam perebutan kerusi dengan MCA dan MIC misalnya, terdapat kelompok dalam UMNO yang begitu keras dan hanya memikirkan soal UMNO saja. Ada yang mahu merampas kouta bukan Melayu tanpa memikirkan bahawa kemenangan tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan sama daripada bukan Melayu. Kelompok dalam UMNO yang terlalu memikirkan kepentingan UMNO melebihi keutamaan memenangkan BN secara keseluruhan amat merisaukan pengundi bukan Melayu.

Dalam keadaan seperti itu, Najib lantas lebih mudah diragui. Najib dilihat hanya boleh berkata tetapi amat sukar untuk melaksanakan apa yang diucapkannya.

Jika ditanya ramai pengundi bukan Melayu, mereka kini tidak sabar lagi ingin menghukum UMNO dan BN. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan dalam hal ini.

Menyedari hakikat itu, Najib kini ingin meraih semula undi Melayu yang agak dilupakannya sebelum ini. Mainan semula isu amanat Haji Hadi, serangan terhadap Nik Aziz yang pernah mengaitkan UMNO sebagai golongan murtad serta mungkar dan mainan semula isu nama Allah untuk bukan Islam adalah percubaan Najib dan BN untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan Melayu semula.

Amanat Haji Hadi yang dikitar semula oleh Mufti Perak, Harussani Zakaria yang meminta Presiden PAS menarik semula amanat itu, manakala Ahmad Maslan pula mendesak Nik Aziz menarik balik fatwa murtad dan mungkar terhadap UMNO, adalah antara percubaan awal ke arah itu.

Isu ini yang dimainkan secara besar-besaran oleh media kerajaan dan TV dengan semua pihak yang berkepentingan dengan UMNO mula bercakap mengenainya, ia tidak lain bertujuan untuk menjadikan pengundi Melayu atas pagar kembali semula menyokong UMNO dan BN.

Isu kalimah Allah juga cuba dimainkan untuk menjadikan orang Melayu kembali ke jalan yang sama.

BN ingin menampung kehilangan banyak kerusi MCA, MIC dan Gerakan dengan cuba memenangi sebanyak mungkin kerusi yang majoritinya pengundinya terdiri daripada Melayu pula.

Jentera-jentera UMNO difahamkan sudah dikerah untuk memainkan isu ini semaksima mungkin dan menjadikan pembangkang, terutamanya PAS kelihatan hilang arah. Jika isu mengembalikan sokongan pengundi Melayu ini mendatangkan kesan yang diharapkan, barulah dipercayai Najib akan membubarkan Parlimen.

Walaupun difahamkan BN menyedari pengundi Melayu juga berpecah kepada UMNO, PAS dan PKR tetapi pengundi Melayu atas pagar yang tidak totok dengan mana-mana parti dipercayai agak besar jumlahnya. Kelompok ini biasanya amat sensitif dengan isu agama, akidah dan nama Allah. Golongan inilah yang diharapkan termakan umpan dan mata kail yang dipasang itu dengan bantuan akhbar dan TV yang akan memainkan isu tersebut secara besar-besaran dan berulang-ulang.

Meskipun UMNO juga dibelenggu dengan pelbagai isu semasa yang merimaskan, di samping undi bukan Melayu yang sudah tidak boleh diharapkan, tautan UMNO dengan kuasa kini hanya semata-mata bergantung kepada keupayaannya mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu secara majoriti.

Harapan untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu sudah berakhir bagi BN memandangkan tempoh untuk mengadakan pilihanraya hanya tinggal empat bulan sahaja lagi.

Selain isu amanat Haji Hadi, fatwa Nik Aziz dan isu kalimah Allah, apa saja isu yang melibatkan Melayu dan Islam yang muncul selepas ini, ia pasti akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi kepentingan memenangi pilihanraya. Dan buat sementara juga, slogan 1Malaysia akan semakin kurang diucapkan oleh Najib dan UMNO. (SH 27/12/12)






Tuesday 25 December 2012

Pengundi Cina Tolak Setpol Najib...



Ekoran posting di blog ini beberapa hari lalu yang bertajuk "Setpol Najib Dilarang Jadi Calon Pilihanraya", beberapa respon telah diperolehi berikutan daripada artikel tersebut. Selain ramai yang bersetuju bahawa Setpol dan Pegawai Khas kepada Najib tidak perlu turut sama sibuk untuk melobi menjadi calon, ada juga ahli dan pemimpin UMNO sendiri merasakan mereka perlu lebih menumpukan perhatian membantu Najib, UMNO dan BN daripada mengejar kepentingan peribadi.

Ini kerana apalah yang perlu dikejar sangat untuk menjadi wakil rakyat dan bergelar YB sedangkan UMNO dan BN sendiri belum tentu kekal mendakap kuasa yang ada selepas PRU 13 nanti.

Meskipun Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO melahirkan keyakinan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang dengan kemampuan mengekalkan 140 kerusi sedia ada serta merampas 20 kerusi lagi dariada 82 kerusi yang dimenangi pembangkang, ramai yang menganggap ianya sebagai lawak serta nyanyian waktu rembang petang untuk membuatkan Najib terbuai lena semata-mata.

Najib sendiri sebenarnya masih tercungap-cungap untuk mengekalkan kuasa yang ada, jika ada yakin menang pasti sudah lama Najib membubarkan Parlimen.

Mahathir sendiri sebelum ini meramalkan pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya paling sukar bagi BN, sementara Muhyiddin pula menyifatkan PRU 13 adalah ibu segala pilihanraya.

Beberapa pensyarah sains politik yang membuat kajian tentang pilihanraya juga meramalkan jika pun BN menang, hanya kemenangan paling tipis yang mampu dicapai. Kemenangan lebih daripada 140 kerusi yang dicapai dalam pilihanraya 2008 hampir mustahil.

Jika antara menang tipis dan hilang kuasa sahaja pilihan yang ada bagi UMNO dan BN, tentulah peranan Setpol dan Pegawai Khas Najib ini lebih berat lagi. Kepentingan UMNO dan BN harus lebih diutamakan berbanding ghairah mengejar glamour bergelar YB.

Antara sekian banyak Setpol dan Pegawai Khas Najib, Setiausaha Politik beliau yang turut ghairah berusaha menjadi calon pilihanraya ialah Shafie Abdullah. Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, kini sedang mengumpul segala kekuatan dan senjata yang ada bagi mencapai impian itu dengan cara "merampas" kerusi Wangsa Maju yang sejak 2004 lalu menjadi milik MCA.

Sebelum 2004 kerusi Wangsa Maju adalah milik UMNO tetapi sejak 2004 ia diberikan kepada MCA dan dalam pilihanraya lalu, calon MCA Yew Teong Look telah tewas kepada Wee Choo Keong daripada PKR dengan kekurangan 150 undi. Wee bagaimanapun kemudiannnya mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra BN.

Kekalahan calon MCA itu merupakan hujah terbaik UMNO untuk merampas semula kerusi tersebut tetapi dalam masa yang sama MCA berkeyakinan dapat memperbaiki prestasinya.

Keghairahan Shafie menonjolkan dirinya menjadi calon telah mengundang sakit hati Yew Teong Look dan MCA, lebih-lebih lagi Shafie merasakan kedudukannya sebagai Setpol Najib adalah "lesen besar" untuk mengambil alih kawasan itu daripada MCA.

Sehingga ini belum ada ketentuan siapa sebenarnya akan menjadi calon BN di Wangsa Maju. Tetapi perang poster antara Shafie dan Yew Teong Look sudah agak hebat dengan poster masing-masing bertebaran di kebanyakan simpang-simpang jalan di sekitar Wangsa Maju.

Poster Wee Choo Keong juga turut kelihatan mencelah di antara poster Shafie dan Yew Teong Look dan ini menggambarkan beliau juga turut menaruh harapan dipilih sebagai calon BN sebagai ganjaran berikutan kesediaannya meninggalkan PKR dan menyokong Najib.

UMNO Wangsa Maju memang sebulat suara mahukan Shafie sebagai calon, walaupun didapati jumlah Ketua UMNO Cawangan yang mengasingkan diri daripada UMNO Bahagian makin melebar jumlahnya. Selain Melayu berpecah kepada UMNO, PAS dan PKR, Melayu dalam UMNO Wangsa Maju sendiri turut berpecah.

Dalam pada itu, permusuhan dan saling bermasam muka antara Shafie dengan Yew Teong Look juga memungkinkan undi Cina melalui MCA tidak tumpah kepadanya, jika ditakdirkan beliau menjadi calon.

Berdasarkan komposisi pengundi Wangsa Maju yang berjumlah 65 ribu orang, hanya 53.20 peratus Melayu, Cina pula berjumlah 36.27 peratus manakala India berjumlah 8.68 peratus.

Ini bermakna, undi Cina adalah penting di Wangsa Maju. Tambahan pula calon PKR akan datang juga adalah Cina iaitu Dr Tan Kee Keong. Jika Shafie yang bertanding, dan beliau kekal suka bermusuh dengan MCA dan Yew Teong Look, cabaran untuk menang tentunya lebih besar.

Shafie tentunya sedar hakikat ini. Pada Jumaat lalu, beliau telah mengadakan program Walkabout Dan Sarapan Pagi di Taman Setapak Indah Jaya sebagai salah satu pendekatannya untuk mendekati pengundi Cina dengan menghantar jemputan kepada semua persatuan penduduk berbangsa Cina dalam kawasan Wangsa Maju.

Malangnya, tiada wakil penduduk Cina yang sudi hadir. Program itu gagal. Shafie dan Pejabat BN Wangsa Maju kemudiannya dimaklumkan bahawa wakil persatuan penduduk dan pengundi Cina tidak akan menghadiri program anjuran beliau kecuali jika mendapat kebenaran daripada Ywe Teong Look.

Isyaratnya jelas, pengundi Cina akan menolak BN jika Shafie yang menjadi calonnya. Kedudukan beliau sebagai Setpol Najib langsung tidak memberi merit pada pandangan pengundi Cina Wangsa Maju. Pengundi Cina dan MCA nampaknya mahukan status qou dikekalkan.

Dari sudut yang lebih luas, tindakan penasihat-penasihat Najib yang menyarankan agar semua Setpol dan Pegawai Khasnya dilarang daripada menjadi calon mula menunjukkan kebenarannya di Wangsa Maju.

Meletakkan Shafie sebagai calon lebih memungkinkan kekalahan daripada kemenangan, dan dengannya juga akan menyebabkan lagu nyanyian Ahmad Maslan kononnya BN boleh menang dengan majoriti dua pertiga dan menawan 20 kerusi pembangkang, kedengaran lebih sumbang di telinga Najib. (SH 25/12/12)






Monday 24 December 2012

Sampai Bila Najib Nak Berdiam Diri?


Sejak Deepak Jaikishan, seorang peniaga karpet yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri, mendedahkan penglibatan Najib dalam akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Bala, pelbagai rentetan mengenainya sudah terdedah ke pengetahuan umum. Daripada bagaimana Rosmah memintanya mencari P Bala, penglibatan adik Najib, Nazim Razak membayar wang kepada penyiasat persendirian itu, kaitan seorang peguam bergelar Tan Sri merangka akaun bersumpah dan sebagainya, semuanya memperlihatkan kedudukan Najib mula terjejas di mata umum.

Deepak sendiri sejak muncul beberapa minggu lalu, memberi bayangan bahawa beliau tidak akan berhenti setakat ini saja. Beliau pasti akan muncul dengan banyak pendedahan lagi.

Isu yang dibangkitkan Deepak adalah isu yang berlarutan sejak sekian lama. Walaupun rakan karib Najib, Razak Baginda telah dibebaskan dalam kes pembunuhan Altantuya tetapi kesan daripada peristiwa itu terus menyelubungi rakyat kerana begitu banyak misteri yang tidak terungkai disebaliknya.

Selagi rakyat bercakap mengenainya, selagi itulah Najib bagai dikejar bayangan hantu Altantuya itu. Ini berikutan misteri yang pada mulanya tidak terjawab itu seperti mula menunjukkan kebenarannya. Munculnya pendedahan Deepak merupakan salah satu buktinya.

Dengan pendedahan terbaru Deepak mengenai penglibatan Najib meminta P Bala membuat akaun bersumpah kedua dan menafikan akaun bersumpah pertama kerana bimbang kehilangan peluang untuk menjadi Perdana Menteri dan sejumlah wang dibayar kepada penyiasat persendirian itu, membayangkan seperti ada sesuatu yang disembunyikan disebalik pembunuhan Altantuya.

Berikutan pendedahan Deepak dan nama seorang peguam terkenal bergelar Tan Sri turut dikaitkan, tekanan kini cuba dipertingkatkan untuk memaksa beberapa pihak seperti SPRM dan Peguam Negara, agar mengkaji semua kes tersebut.

Pihak pembangkang terus menekan Najib agar berani bersuara atau setidak-tidaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak, jika dakwaannya itu sebagai liar dan tidak benar. Mahfuz Omar secara terbuka telah pun mencabar Najib mengambil tindakan saman itu.

Angkatan Muda Keadilan pula telah mencetak 50 ribu poskad #Tanya Rosmah untuk diedarkan kepada rakyat dan kemudian akan dihantar ke peti surat kediaman Perdana Menteri, bagi tujuan sama iaitu meningkatkan tekanan agar Najib dan Rosmah berani bersuara terhadap pendedahan yang dibangkitkan oleh Deepak itu.


Ceramah dan program-program pembangkang pula sejak kebelakangan ini tidak pernah sunyi daripada memperkatakan isu Najib, Scorpene, Razak Baginda, P Bala dan Altantuya.

Media alternatif pula digunakan sepenuhnya untuk membangkitkan isu tersebut. Hakikatnya, sejak Deepak bersuara, isu Najib dan Altantuya ini sudah disebarluaskan hingga menerobos seluruh pelusuk kampung dan desa pedalaman serta diperbualkan di kedai-kedai kopi di merata tempat.

Cara bagaimana isu ini dimainkan membayangkan bahawa selagi Najib berdiam diri dan tidak bersuara, selagi itulah ia akan dibangkitkan serta dijadikan isu. Dan selagi Najib tidak bersuara juga, selagi itulah rakyat menganggap ada sesuatu yang tidak kena dan cuba disembunyikan dalam hal ini.

Penduduk bandar, kalangan profesional dan masyarakat pertengahan ke atas sudah agak lama sangsi terhadap Najib dalam isu ini. Rentetan isu yang mereka ketahui melalui pelbagai sumber, termasuk internet, seperti meyakinkan mereka bahawa ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pembunuhan model dan penterjemah dari Mongolia itu.

Generasi muda dan mereka yang lebih terdedah kepada maklumat tanpa sempadan juga dilihat mempunyai pendirian yang sama.

Deepak kini nampaknya benar-benar menjadikan kedudukan Najib tampak sukar kerana melalui pendedahannya, semakin ramai rakyat mulai faham dengan isu itu. Hari ini isu yang dibangkitkan Deepak sudah menjadi topik perbualan di mana-mana - pejabat kerajaan, syarikat swasta, pelajar universiti, suri rumah, lobi hotel, kedai kopi, laman-laman sosial dan di mana saja tempat orang boleh berkomunikasi.

Dan selagi Najib berdiam diri, memilih menjadi pemimpin yang "pekak" dan "bisu" terhadap suara-suara yang menjadi percakapan berkaitan isu yang dibangkitkan Deepak ini, selagi itulah rating serta sokongan rakyat kepadanya akan terus merudum.

Bagi rakyat terbanyak, falsafah mereka cukup mudah - berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau benar, bersuaralah. Jika terus diam dan tidak berani menafikannya, maknanya salahlah. Ini prinsip moral mudah yang diajar sejak kecil lagi.

Ini bermakna selagi Najib tidak berani bersuara menafikan segala dakwaan Deepak atau menjelaskan kedudukan sebenarnya, selagi itulah beliau akan terus berada dalam kedudukan yang sukar dari segi sokongan rakyat.

Buatlah seribu satu macam transformasi, berilah berapa banyak gula-gula politik sekalipun tetapi jika ada asas moral yang diragui rakyat, maka selama itulah ia akan menjadi beban kepada Najib sendiri.

Dalam isu yang dibangkitkan Deepak, Najib tidak ada pilihan selain bersuara. Beliau boleh memilih untuk menafikannya berserta hujah dan bukti atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak jika dakwaan itu tidak benar.

Percayalah, lagi lama berdiam diri, lagi melebar kepercayaan rakyat bahawa beliau berada di pihak yang salah manakala keberanian Deepak dilihat sebagai bukti beliau berada di pihak yang benar.

Najib, bersuaralah!!(SH 24/12/12)

Friday 21 December 2012

Setiausaha Politik Najib Dilarang Jadi Calon...


Harapan serta impian Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Najib untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang bakal menjadi "angan-angan tak sudah" kerana mereka mungkin tidak dibenarkan bertanding oleh Najib sendiri, sebaliknya akan diminta menumpukan perhatian kepada kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya.

Semua mereka ini dipercayai akan diberitahu sendiri oleh Najib mengenai perkara itu.

Dari Bangunan Perdana Putra dan Seri Perdana, di mana tempat berpusatnya kuasa, berhembus khabar bahawa Najib telah dinasihatkan oleh penasihat-penasihatnya agar melarang semua setpol dan pegawai khas daripada menjadi calon pilihanraya bagi mengelakkan petaka lebih buruk menimpa Najib, UMNO dan BN.

Sebaliknya, semua setpol dan pegawai khas Najib akan dikerah memastikan kemenangan selesa Najib di Pekan, merampas semula Selangor, memberi lebih tumpuan kepada Johor, Sabah serta Sarawak dan memastikan kemenangan yang lebih baik bagi BN di peringkat Pusat.

Para penasihat itu berpendapat adalah tidak wajar setpol dan pegawai khas turut sama menjadi calon kerana mereka sepatutnya membantu Najib, UMNO dan BN memperolehi kemenangan, lebih-lebih lagi lagi PRU 13 ini adalah cabaran paling getir dan bukannya sama sibuk menonjolkan diri masing-masing untuk menjadi wakil rakyat dan megah dipanggil YB.

Sebelum ini, heboh diperkatakan bagaimana sebahagian besar setpol dan pegawai khas Najib dikesan sedang berusaha menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya akan datang. Sebahagian mereka yang ghairah itu baru saja memegang jawatan-jawatan utama di peringkat UMNO bahagian setelah Najib menjadi PM manakala selebihnya tidak pun memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, sebaliknya hanya menggunakan pengaruh sebagai orang yang dekat dengan Perdana Menteri.

Antara setpol dan pegawai khas Najib yang heboh diperkatakan bakal menjadi calon ialah Fatmi Che Salleh di Kota Bharu, Kelantan, Shafie Abdullah di Wangsa Maju, Sahlan Ismal di Pokok Sena, Kedah, Jailani Ngah di Terengganu, Ghazali Ibrahim juga di Kedah, Latt Shariman di Kuala Kedah dan Farid Ridzuan dilaporkan mungkin bertanding di Perak.

Sebahagian mereka ini dilaporkan begitu giat turun padang dan melobi untuk menjadi calon, sehingga kadangkala tindakan mereka dilihat begitu berlebih-lebihan di mana terdapat seorang setpol Najib yang telah menumbangkan lebih 40 ekor lembu ketika Raya Korban, baru-baru ini.

Bagaimanapun dilaporkan juga bahawa disebalik larangan itu, hanya Fatmi yang diberi lampu hijau untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu kerana beliau dikatakan tidak mempunyai konflik di dalam UMNO Kota Bharu yang diterajuinya, selain harapan UMNO untuk menang di situ juga agak tipis.

Manakala di bahagian lain, misalnya Shafie di Wangsa Maju, Latt Shariman di Kuala Kedah dan Sahlan Ismail di Pokok Sena, ketiga-tiga mereka dilaporkan menghadapi konflik yang agak serius di bahagian masing-masing yang memungkinkan kekalahan lebih pasti berbanding kemenangan jika mereka dipilih sebagai calon.

Meletakkan Sahlan sebagai calon di Pokok Sena dan Latt Shariman di Kuala Kedah lebih mendedahkan kepada rasa tidak puas hati akar umbi dan ini memungkinkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya nanti. Shafie pula selain menghadapi kemungkinan sabotaj daripada kelompok UMNO sendiri, pemilihannya sebagai calon juga menipiskan lagi peluang untuk mendapat undi Cina yang berjumlah lebih 38 peratus kerana beliau masih bermasam muka dengan Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look.

Ghazali Ibrahim pula sudah pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini dan beliau akan dinasihatkan untuk fokus membantu jentera UMNO di Kedah manakala Jailani dan Farid Ridzuan pula dilaporkan belum sampai ketikanya untuk menjadi calon pilihanraya dan diminta menumpukan kepada tugas sedia ada.

Najib sendiri dikatakan tiada halangan jika dari sekian banyak setpol dan pegawai khasnya yang sedang ghairah dan bercita-cita tinggi itu, hanya Fatmi seorang yang dibenarkan bertanding kerana beliau sendiri semakin terhimpit dengan pelbagai kemelut politik yang merimaskan sejak akhir-akhir ini.

Najib tentunya memerlukan para pegawainya lebih fokus dan mendampinyai selalu.

Di ketika Najib begitu mengharapkan kemenangan dan tidak mahu kehilangan walau satu kerusi pun yang dalam jangkaan boleh menang, jalan terbaik yang dilihat ketika ini ialah dengan melarang semua setpol dan pegawai khas itu daripada menjadi calon pilihanraya.

Para penasihat itu juga menekankan kepada Najib bahawa jika terlalu ramai setpol dan pegawai khas yang dilihat ingin mengambil kesempatan menonjolkan diri sebagai calon, ia juga membuka ruang yang lebih terbuka kepada serangan pembangkang, selain mengundang persepsi tidak enak di kalangan pengundi.

Namun, hujah yang lebih lembut untuk mewajarkan mereka itu tidak dipilih sebagai calon ialah kerana sebagai setpol dan pegawai khas, mereka sepatutnya menjadi "tangan tambahan" kepada Najib yang kini sedang berhempas pulas untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN.

Para penasihat itu menekankan bahawa walaupun sebahagian setpol dan pegawai khas Najib itu menjadi Ketua UMNO Bahagian, mereka seharusnya meletakkan jawatan sebagai setpol dan pegawai khas jika benar ingin menjadi calon dan bergelar YB supaya tugas membantu Najib dapat dilakukan oleh individu lain yang tidak terlalu mempunyai kepentingan peribadi.(SH 21/12/12)







Wednesday 19 December 2012

Kesian Zainuddin Maidin....


Ketika Zainudin Maidin atau Zam menulis dan melabelkan bekas Presiden Indonesa, BJ Habibie sebagai pengkhianat sejurus kesudiannya hadir di pentas Unisel bersama Anwar Ibrahim, tentunya dengan niat meracuni pemikiran rakyat agar Anwar juga dianggap sama pengkhianat kepada negara.

Zam yang yang tidak sampai dua tahun menjadi Penerangan dan kemudian kalah dalam piliharaya 2008 di Merbok, seperti tidak boleh menerima hakikat bagaimana Anwar bukan saja terus disanjung rakyat tetapi juga dihormati oleh pemimpin luar.

Lantas kedatangan Habibie yang duduk sepentas dan memberi syarahan bersama Anwar yang dinilai Zam mampu memberi nilai tambah kepada Anwar, setidak-tidaknya menjelang pilihanraya akan datang, membuatnya seperti seorang yang hilang pertimbangan dalam meluahkan fikiran serta idea.

Sebagai seorang yang pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia dan kemudian menjadi Menteri Penerangan, tulisan beliau yang menuduh Habibie sebagai pengkhianat dan "dog of imperialism", sebenarnya amat tidak wajar dengan status dirinya.

Tulisan Zam itu mungkin boleh dimaafkan jika beliau sekadar wartawan junior atau pengendali blog yang tidak ada didikan serta latar belakang kewartawanan.

Sebaik tulisan Zam itu tersiar, ramai yang menggeleng kepala setelah membacanya kerana Zam nampaknya masih terperangkap dengan cara pemikiran lama. Beliau kelihatan jauh ditinggalkan zaman.

Ketika kritikan datang bertalu-talu menghentamnya, bukan saja dari dalam negara tetapi juga dari Inonesia, Zam masih cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan beliau tidak mempunyai pengaruh untuk merenggangkan hubungan Malaysia dan Indonesia melalui tulisannya itu.

Zam dilaporkan memberitahu niatnya ikhlas dan tidak sekali-kali bermaksud jahat terhadap bekas Presiden Indonesia itu, apatah lagi mencampuri urusan dua negara yang selama ini bersandarkan perasaan saling hormat dan percaya mempercayai.

Sehinggalah semalam apabila Presiden Indonesia, Susilo Bambagang Yudiyono yang dalam rangka lawatan ke Malaysia juga menyifatkan tulisan Zam itu tidak wajar dan boleh mengeruhkan hubungan dua hala, reputasi Zam nampaknya makin jatuh merudum.

Hari ini pula, Menteri Penerangan Rais Yatim mahukan Zam memohon maaf kepada Habibie dan rakyat Indonesia sebagai penyelesaian wujudnya masalah berikutan tulisan beliau yang tidak sewajarnya itu.

Meskipun Habibie tidak marah atau mengemukakan saman terhadap tulisan menghina oleh Zam itu, tetapi kini kedudukan Zam sama taraf dengan wartawan dan akhbar Utusan yang kerap memohon maaf atau kalah bicara di mahkamah.

Sejak kalah pilihanraya dan hilang jawatan menteri, Zam seperti tidak dipedulikan oleh UMNO dan kerajaan. Tidak seperti kebanyakan bekas menteri lain yang diberikan jawatan duta atau pengerusi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan selepas tidak menjadi menteri, Zam sebaliknya tidak diberikan apa-apa.

Tidak juga seperti kebanyakan bekas ketua pengarang akhbar lain yang masih digunapakai dan mempunyai bisnes sendiri, Zam diketahui tidak mempunyai tugasan khusus selepas bersara. Johan Jaffar misalnya kini mengetuai Kumpulan Media Prima, Khalid Mohd pula sebagai perunding media kepada Perdana Menteri dan Kadir Jasin mengetuai Berita Publishing.

Sama ada kerajaan terlepas pandang atau merasakan Zam tidak layak, hanya Najib yang ada jawapannya.

Tetapi Zam sering memunculkan diri dan mebuat orang merasakan dirinya masih wujud, bernyawa serta boleh berfikir, melalui tulisannya yang kadang-kadang kontroversi dan menyingkap sejarah lama.

Tulisan Zam mengenai Habibie dan Anwar, meskipun sebahagian daripada lampiasan rasa tidak bersetujunya terhadap Anwar sejak sekian lama, ia juga disedari agar Najib dan kerajaan menyedari kewujudannya yang masih boleh menyumbang sesuatu kepada negara.

Di samping mengkritik Anwar dengan caranya menyamakannya dengan Habibie, Zam sebenarnya ingin membodek Najib. Najib yang kini masih tidak menentu kedudukannya dan masih tercari-cari tarikh pilihanraya, cuba dibodek oleh Zam dengan cara menghentam dan merendah-rendahkan wibawanya.

Malangnya bodeknya kali ini tidak menjadi. Beliau bukan saja menjadi kecaman rakyat tetapi juga menjadi sasaran kemarahan rakyat Indonesia. Kerajaan pula, selepas Bambang sendiri meluahkan rasa tidak puas hati dengan tulisan itu, turut merasa terganggu kesan daripada artikel itu. Utusan sendiri, sebaik menyedari banyaknya komen negatif telah menarik balik pautan artikel itu.

Dengan Rais sendiri meminta agar Zam meminta maaf secara terbuka, niat Zam mahu membodek Najib kini menjadi malapetaka bagi dirinya. Najib sendiri tentunya menyedari tulisan Zam lebih menyusahkan, berbanding membantunya. Sudahlah Najib menghadapi pelbagai masalah dalam negara, tulsan Zam menambahkan lagi kebencian rakyat terhadapnya kerana Zam dilihat sebagai suara UMNO dan kerajaan.

Tidak cukup membebankan di dalam negara, tulisan Zam itu juga mengundang petaka di luar negara. Najib tentunya merah muka bila membaca komen Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudiyono mengenai artikel Zam itu. Jika perkara itu dibangkitkan pula dalam pertemuannya dengan Najib, tentunya sekali lagi muka dan telinga Najib menjadi merah kerananya.

Walaupun Zam mengaku bahawa beliau tidak pernah merasa gembira ketika menjadi orang politik tetapi pengakuan itu masih menimbulkan persoalan kerana ia hanya dilafazkan selepas kalah pilihanraya dan hilang jawatan menteri. Jika sedar tidak gembira, Zam patutnya menolak untuk berkubang di gelanggang politik sejak peringkat awal lagi.

Sebenarnya Zam tidak gembira sebab Najib tidak memberinya apa-apa sejak kehilangan jawatan pada 2008 lalu.

Tetapi Zam dipercayai akan terus tidak gembira kerana selepas ini tidak mungkin Najib mahu memberinya apa-apa lagi. (SH 19/12/12)



Monday 17 December 2012

War Room UMNO Nyanyikan Kemenangan 154 Kerusi Untuk Najib


Ketika ini semua pihak sibuk membuat ramalan, andaian serta kajian tentang siapakah antara BN dan PR yang dijangka akan memenangi pilihanraya umum akan datang ini dan seterusnya berjaya menubuhkan kerajaan. Pusat-pusat kajian, universiti dan kalangan pensyarah pula turut tampil dengan pelbagai teori dan pandangan mengenai siapa yang dijangka kalah dan siapa yang dijangka menang.

Merdeka Center dalam kajian terbarunya menunjukkan populariti Najib hanya meningkat 1 peratus kepada 65 peratus selepas pembentangan Belanjawan 2012 yang dianggap banyak pihak sebagai belanjawan paling pemurah dengan taburan gula-gula dan pemberian wang saku secara langsung kepada rakyat.

Namun demikian, tahap populariti 65 peratus itu masih dianggap belum memadai untuk menjelmakan kemenangan yang selesa buat BN. Jika pun menang, BN hanya dijangka menang dengan tipis saja tetapi jika berlaku sesuatu perubahan yang mendadak, benteng populariti Najib yang sekadar 65 peratus itu dianggap belum cukup ampuh untuk menahan kekalahan daripada berlaku.

Jika dilihat populariti Pak Lah sebelum pilihanraya 2008 adalah 72 peratus tetapi ianya telah menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga dengan sekadar kemenangan 140 kerusi saja ketika itu.

Beberapa pensyarah universiti juga turut membuat ramalan. Antaranya Prof Dr Samsul Amri Baharudin yang menjangkakan BN hanya mampu menang 120 kerusi, Dr Agus Yusof dengan kajian bahawa kerusi yang selesa bagi BN hanya 96 kerusi manakala Prof Mohamad Abu Bakar dari UM juga meramalkan kemenangan yang tipis saja mampu dicapai oleh BN dalam pilihanraya akan datang ini berdasarkan pelbagai isu dan kekuatan BN serta PR yang dilihat agak seimbang.

Pimpinan UMNO pula terutamanya Najib dilihat masih lagi bergelut untuk meraih kemenangan serta amat mengimpikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga untuk mengelak menerima nasib seperti Pak Lah. Bagaimanapun sehingga ini tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani meramalkan berapakah jumlah kerusi yang bakal dimenangi, terutamanya melihatkan pelbagai isu-isu baru yang muncul kebelakangan ini seperti isu Deepak, Musa Hassan, dana RM40 juta untuk UMNO Sabah dan sebagainya.

Rata-rata pemimpin UMNO dan BN merasakan hanya kemenangan yang tipis mampu dicapai kali ini.

Anwar dan PR pula, walaupun amat yakin dapat menawan Putrajaya dalam pilihanraya kali ini tetapi masih tidak berani memberikan angka kemenangan yang tepat. PR kini terlihat memberi fokos kepada tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Johor untuk mengukuhkan lagi kemenangan, selain keyakinan mempertahankan kubu sedia ada terutama 82 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya 2008 lalu.

Hanya Lim Kit Siang baru-baru ini yang meramalkan kemampuan PR untuk memenangi sebanyak 125 kerusi dengan PAS dan DAP dijangkanya akan memenangi masing-masing 40 kerusi manakala PKR diramalkan akan memenangi 45 kerusi.

Rakyat pelbagai lapisan dan peringkat juga merasakan demikian. Jika ada yang beranggapan BN akan menang, mereka menduga hanya kemenangan dengan kelebihan beberapa kerusi sahaja mampu dicapai. Begitu juga jika ada yang beranggapan PR akan menawan Putrajaya, jangkaan mereka hanya kemenangan tipis juga yang mampu dicapainya.

Pendek kata, mereka yang rasional dan melihat pelbagai masalah serta isu yang sedang berlaku sekarang ini dan kesannya kepada pola pemikiran rakyat yang terdedah kepada pelbagai maklumat, hampir mustahil untuk meyakini kemenangan cemerlang mampu dicapai oleh mana-mana pihak kali ini.

Tetapi berbeza dengan dapatan yang dilakukan oleh War Room UMNO yang diketuai oleh Alies Nor, bekas Setiausaha Politik Najib sendiri. War Room UMNO ini ditubuhkan oleh Najib untuk kerja-kerja pilihanraya umum akan datang dengan fokus kepada pemilihan calon, menangani isu, menyelaras kempen dan sebagainya.

Dengan fungsinya yang begitu besar, War Room ini menjadi begitu berpengaruh menjelang pilihanraya akan datang dan Alies Nor pula merupakan individu yang palng dicari untuk didekati oleh mereka yang berhajat untuk menjadi calon.

Alies Nor bukan sahaja berpengaruh untuk menentukan calon-calon yang dianggap boleh menang tetapi juga sedang memantau kerusi-kerusi Parlimen yang diyakini memihak kepada BN.

Beliau kini mempunyai pasukan pemantaunya sendiri sama ada di peringkat bahagian dan negeri yang berfungsi menyediakan laporan terkini tentang kedudukan kerusi-kerusi yang boleh dimenangi oleh BN.

Bagaimanapun apa yang memeranjatkan, sebalik semua pihak meramalkan BN hanya mampu menang tipis, War Room ini mempunyai dapatan yang sebaliknya. Dikhabarkan bahawa pihak War Room ini telah mempersembahkan angka yang membuatkan Najib teruja baru-baru ini.

Dikatakan melalui gerak kerja dan pemilihan calon yang ditapis dengan ketat oleh War Room ini, selain populariti Najib yang dikhabarkan sentiasa mendapat sambutan daripada rakyat, Najib diyakinkan bahawa jumlah kerusi yang mampu dimenanginya ialah antara 148 hingga 154 kerusi.

148 adalah jumlah kerusi minimum yang diperlukan untuk memperolehi kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

Namun demikian, hasil kajian War Room UMNO ini ditolak mentah-mentah oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri yang merasakan ianya adalah hasil dapatan yang tidak masuk akal dan lebih bertujuan untuk mengampu Najib semata-mata. Mereka menyifatkan angka 148 hingga 154 itu tidak lebih dendangan lagu merdu yang boleh membuatkan Najib terbuai, terlena dan akhirnya jatuh ke tanah.

Tetapi sehingga ini tidak ada yang berani menyanggah angka tersebut secara berdepan dengan Najib kerana sedar kedudukan War Room dan Alies Nor yang begitu rapat dan seolah-olah begitu dipercayai oleh Najib sendiri. Menyanggah hasil kerja War Room umpama menyanggah Najib, oleh itu ramai yang bercakap dan membuat ulasan di belakang mengenainya.

Beberapa pemimpin dan pihak dalam UMNO yang rasional dan mengetahui mengenai hasil kajian oleh War Room itu mengakui angka kemenangan yang tidak masuk akal itu boleh membahayakan kedudukan UMNO dan BN jika Najib terlalu mempercayainya dan tidak mempunyai pendapat kedua.

Apa yang nyata Najib kini didapati begitu terbuai dengan angka yang diberi oleh War Room itu sehingga beliau didapati tidak dapat membaca isyarat sebenar yang ingin disampaikan oleh rakyat apabila mereka bertemu dengannya.

Misalnya apabila ramai yang bertanya kepadanya bilakah tarikh pilihanraya, Najib mengandaikan ianya sebagai bukti bahawa rakyat tidak sabar-sabar untuk memberi mandat yang lebih besar kepada BN sedangkan hakikat sebenarnya ia juga bermaksud rakyat tidak sabar lagi menunggu detik untuk menghukum UMNO dan BN atas pelbagai masalah dan isu yang berlaku sejak beliau menjadi PM.

Selain itu Najib juga sering disajikan dengan sokongan palsu daripada rakyat di setiap program yang dihadirinya di mana majoriti yang hadir adalah pegawai kerajaan, guru dan murid sekolah yang diwajibkan hadir, penuntut IPTA dan IPTS yang disediakan bas, t shirt dan belanja makan serta belia dan penduduk kampung yang turut disediakan kemudahan pengangkutan dan elaun wang saku.

Oleh kerana terlalu terbuai dan terlena dengan nyanyian lagu merdu oleh War Room dan Alies Nor yang menjanjikan kemenangan cemerlang kepadanya, Najib dilihat semakin tidak sensitif kepada segala isu dan kecaman yang berkaitan diri dan keluarganya. Beliau langsung tidak mahu menjawab semua isu yang timbul kebelakangan ini.

Lalu dimanakah sebenarnya jiwa rakyat yang sering diucapkannya, sudah kusamkah falsafah kami sentiasa mendengar yang kerap dilaungkannya dan sudah dibakulsampahkah slogan bahawa era kerajaan dan pemimpin betul segala-galanya sudah berakhir? (SH 17/12/12)





Friday 14 December 2012

Bila Hantu Altantuya Mula Mengilai, Senyum Muhyiddin-Zahid Tentu Makin Melebar


Hari-hari kebelakangan ini, Deepak Jaikishan yang dulunya merupakan rakan karib keluarga Najib dan menganggap Rosmah Mansor seperti kakak angkatnya, tidak henti-henti bersuara mengenai keluarga Perdana Menteri itu.

Bermula dengan dakwaannya bahawa beliau ditipu dalam satu urusniaga tanah yang melibatkan seorang Exco Wanita UMNO yang diberikan projek kerajaan oleh Najib, tindakan Najib tidak membantunya meskipun mendakwa sudah memberi sejumlah wang kepada Najib, Deepak terus bersuara lagi. Tetapi kebelakangan ini beliau tidak lagi merintih dan mengeluh tentang nasib dirinya yang bagai dianiaya dan dipermainkan itu.

Deepak kini melangkah lebih jauh lagi. Kali ini beliau mendedahkan pula penglibatan dirinya dalam isu akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian. Daripada menceritakan secara detail penglibatan beliau sepenuhnya dalam isu itu, Deepak juga mula menyebut nama-nama yang didakwa terlibat sehingga P Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua yang sekaligus membersihkan nama Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Jika semalam beliau menyebut adik Najib iaitu Nazim Razak yang heboh dikatakan sudah bercerai dengan isterinya, Norjuma Habib sebagai individu yang membayar wang kepada P Bala untuk membuat akaun bersumpah kedua, hari ini Deepak secara terus-terang menyebut bahawa Najib adalah orang yang terlibat memainkan peranan sehingga P. Bala bersetuju membuat akaun bersumpah kedua itu.

Menurut Deepak, Najib bertindak demikian untuk memastikan jawatan Perdana Menteri menjadi miliknya kerana ketika itu ada usaha untuk menghalang Najib daripada menduduki kerusi tersebut.

Dengan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, beliau nampaknya tidak akan berhenti bersuara selagi Najib berada di tempatnya sekarang. Penegasannya bahawa Malaysia mempunyai 28 juta penduduk dan tidak seharus segala-galanya di negara ini ditentukan oleh sepasang suami isteri sahaja, membuktikan kesungguhannya untuk terus bersuara.

Sebagai orang yang pernah dekat dan bebas keluar masuk rumah keluarga Najib, Deepak mungkin mengetahui banyak perkara bukan saja berkaitan P Bala tetapi juga mungkin mengenai Razak Baginda dan Altantuya.

Jika beliau tahu mengenai Nazim yang membayar wang kepada P. Bala dan tidak takut mengaitkan Najib dalam isu akaun bersumpah itu, ini bermakna Deepak mungkin mengetahui banyak perkara lagi yang melibatkan Najib, Razak Baginda dan Altantuya.

Andainya Deepak terus bersuara dan mengaitkan pelbagai perkara lagi mengenai Najib dan kaitannya dengan kes pembunuhan Altantuya, ia tentunya merupakan bahana besar kepada Najib yang sedang mencari-cari tarikh sesuai untuk memanggil pilihanraya umum ke 13.

Tindakan Deepak tidak henti-henti menyebut nama Altantuya dan mengaitkannya dengan Najib juga boleh menyebabkan "hantu" Altantuya bangun dan mengilai kembali. Atau sekurang-kurangnya menghantui kehidupan seharian Najib dan keluarganya.

Tidak cukup dengan itu, Deepak juga dilaporkan mahu menerbitkan dua buah buku mengenai Rosmah dan kaitan isteri PM itu dalam kes pembunuhan Altantuya, bekas model yang pada mulanya dilantik sebagai penterjemah oleh Razak Baginda ketika urusniaga Scorpene tetapi kemudian ditemui mati dengan dibom menggunakan C4.

Meskipun Najib sebelum ini pernah bersumpah laknat tidak pernah bertemu dan mengenali Altantuya, tetapi rentetan pendedahan demi pendedahan oleh Deepak ini, rakyat nampaknya mula ragu-ragu dengan sumpah Najib itu.

Bahkan sudah ada yang berkata, pendedahan demi pendedahan oleh Deepak bagaikan Najib sudah dimakan sumpahnya sendiri.

Apa pun keadaannya, kehadiran Deepak dengan siri pendedahannya sekarang ini jelas merupakan bala kepada Najib, UMNO dan BN. Keyakinan rakyat untuk memberi sokongan dan undi kepada UMNO dan BN menjadi kelam kerana rakyat jelas telah keliru dan ragu-ragu.

Laungan kata-kata semangat yang dilafazkan Najib semasa Perhimpunan UMNO 2012 lalu yang antaranya meminta rakyat memberikannya kemenangan dua pertiga, turut mulai luntur dihakis oleh semburan asid Deepak.

Tambahan pula, Najib sehingga ini masih membisu seribu bahasa terhadap pelbagai dakwaan Deepak itu meskipun pelbagai pihak menuntut supaya Najib menjawab atau mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga karpet itu jika dakwaannya tidak benar. Pimpinan UMNO juga tidak ada yang berani bersuara. Najib kini hanya dipertahankan oleh blogger-blogger pro UMNO dengan menyerang semula Deepak dan mengaitkannya dengan PR, namun tiada hujah kemas atau bukti kukuh dikemukakan untuk menangkis segala dakwaan itu.

Hakikatnya pelbagai dakwaan yang dibangkitkan Deepak tidak mampu dijawab oleh Najib serta UMNO dan ia bagaikan senjata yang kekal tertanam dalam pemikiran rakyat.

Secara umumnya kedudukan Najib kini umpama berada diatas bara api. Sama ada UMNO menang atau kalah bukan lagi menjadi persoalan bagi rakyat tetapi persoalan utama ialah apakah Najib masih mampu kekal sebagai PM atau sebaliknya selepas pilihanraya umum nanti?

Jika PR sedang giat menghimpit UMNO dan BN dan mahu mengalih kedudukan Najib daripada Perdana Menteri kepada Ketua Pembangkang, hidupnya semula "hantu" Altantuya setelah nyawanya dihidupkan oleh Deepak, keadaan dalam UMNO sendiri menjadi berpecah-belah. Semakin ramai ahli UMNO yang sependapat dengan rakyat untuk menolak kepimpinan Najib sendiri.

Muhyiddin yang kini merupakan orang nombor dua dalam parti dan kerajaan mula disebut-sebut sebagai tokoh yang dianggap perlu mengambil alih tempat Najib selepas pilihanraya nanti. Semakin kuat Deepak bersuara dan semakin kuat "hantu" Altantuya mengilai, semakin tipis harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN memperolehi kemenangan dua pertiga.

Sebagaimana Pak Lah yang disingkir kerana gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib juga bakal menerima nasib yang sama kerana "benchmark" atau penanda aras kejayaan Perdana Menteri UMNO ialah kemenangan majoriti dua pertiga. Kurang daripada itu akan dianggap gagal dan mesti berundur.

Jika Muhyiddin akhirnya menjadi kenyataan akan ditonjolkan untuk mengganti Najib selepas pilihanraya umum nanti, peluang terbuka sebagai timbalan pula terbuka luas hanya untuk Zahid Hamidi dan Shafie Afdal. Oleh kerana seorang lagi Naib Presiden UMNO, Hishammuddin juga berasal dari Johor, sama negeri dengan Muhyiddin, peluang beliau bergandingan dengan Muhyiddin boleh dikatakan sudah tertutup kerana mustahil UMNO mahu meletakkan dua pimpinan utamanya dari negeri yang sama.

Antara Zahid dan Shafie, Zahid dari Perak diakui mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi orang nombor dua dalam parti dan kerajaan berbanding Shafie yang berasal dari Sabah.

Sebagaimana Muhyiddin dan Zahid yang sama-sama lebih berusia daripada Najib, prestasi buruk atau gagalnya UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum akan datang boleh juga dianggap rahmat kepada karier masa depan masing-masing. Ia memberi ruang yang lebih terbuka untuk menaik setakuk lagi dalam pendakian karier politik berbanding jika Najib berjaya mencipta kemenangan cemerlang, Muhyiddin dan Zahid mungkin hanya statik ditempatnya sekarang.

Ini bermakna selagi Deepak terus bersuara dan dalam masa yang sama "hantu" Altantuya semakin kuat mengilai menghantui persepsi rakyat, selama itulah masa depan Najib menjadi tidak ketentuan. Tetapi ketidaktentuan itu mampu merangsang urat senyum Muhyiddin dan Zahid menjadi semakin melebar dalam diam. (14/12/12)


Wednesday 12 December 2012

UMNO Akhirnya Akur Rosmah Adalah Liabiliti Bagi Najib


Akhirnya sebuah buku biografi mengenai isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor akan diterbitkan dan muncul di pasaran pada pertengahan Januari depan yang antara lainnya dikatakan akan menyediakan satu bab khusus untuk menjawab pelbagai tohmahan mengenai dirinya.

Penasihat penerbitan buku itu, Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pelbagai tohmahan dan cakap-cakap yang berlegar di pasaran politik mengenai isteri Najib itu akan dijawab melalui wawancara khas dengan Rosmah yang akan dimuatkan dalam satu bab khusus buku tersebut.

Buku tersebut hanya dijangka siap pada pertengahan Januari 2013 tetapi majlis pra pelancarannya sudah pun dilakukan baru-baru ini oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Dengan terbitnya buku ini sekurang-kurangnya membuktikan dua perkara. Pertama, UMNO dan Najib mengakui bahawa watak dan perilaku Rosmah selama ini adalah beban kepada UMNO dan BN serta disedari menjadi antara halangan utama untuk memenangi pilihanraya umum akan datang.

Melalui penerbitan buku itu, UMNO berharap wajah Rosmah dapat disolek cantik dan dilihat molek oleh rakyat, sekaligus memadam segala rupa buruk yang telah terserlah selama ini.

Yang kedua, penerbitan buku ini juga menandakan bahawa pilihanraya umum akan diadakan pada bulan Mac tahun depan. Oleh kerana buku ini hanya siap pada pertengahan Januari depan, Ahmad Maslan tentulah selepas itu akan berusaha mengedarkannya secara percuma kepada pelbagai pihak di seluruh negara, termasuk UMNO Bahagian, jabatan kerajaan, sekolah dan sebagainya melalui tajaan daripada beberapa pihak.

Selain dijual di pasaran dan diberi percuma, buku itu tentunya perlu memakan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk diedarkan secara meluas. Hanya selepas buku itu diedar dan yakin rakyat memahami mengapa Rosmah selalu menonjolkan diri, selalu bergaya mewah, selalu membeli perhiasan yang mahal-mahal, maka barulah selepad itu Najib membubarkan Parlimen.

Sudah tentu tarikh yang munasabah untuk Najib mengadakan piliharaya ialah Mac 2013.

Rupa-rupanya kenapa Najib sering menangguh-nangguh tarikh pilihanraya walaupun sudah berkempen dan turun padang bertemu rakyat sejak lebih setahun yang lalu adalah kerana beliau akhirnya menyedari masalah besar yang menghalang kemenangan UMNO dan BN ialah berkenaan karenah isterinya.

Meskipun sudah dicatatkan dalam sejarah beberapa negara dunia bagaimana banyak kerajaan tumbang kerana karenah isteri yang tak terkawal seperti di Filipina, Mesir dan Tunisia sebelum ini tetapi nampaknya tidak ramai pemimpin yang mahu belajar daripadanya.

Serentak dengan usaha membersihkan minda rakyat agar menerima watak isteri PM itu seada dan seredhanya, Tun Mahathir juga turut diheret untuk menyokong bahawa apa yang dilakukan oleh Rosmah selama ini adalah sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan sebarang norma masyarakat.

Tidak ada peraturan standard untuk isteri PM dan beliau berhak menonjolkan diri, begitulah lebih kurang ungkapan sokongan yang dilafazkan oleh Mahathir.

Tetapi masalah Rosmah sebenarnya bukan sekadar menonjolkan diri, masalah beliau juga ialah berkaitan suka bermewah, membeli perhiasan dan beg tangan yang mahal-mahal, pakaian yang gemerlapan, menggunakan kemudahan kerajaan untuk keluar negara, penglibatan dalam perniagaan dan kontrak kerajaan sebagaimana yang didedahkan oleh bekas adik angkatnya Deepak serta pelbagai hal lain lagi yang telah muncul satu demi satu sejak Najib menjadi PM pada 2009 lalu.

Semua dakwaan itu pula bukan cakap-cakap kosong. Sebahagiannya disahihkan dengan bukti bergambar seperti pemilikan beberapa barangan mewah dan perhiasan mahal yang dimilikinya sebagaimana yang tersebar dalam media baru.

Sebahagian perlakuan Rosmah yang menjadi percakapan dan kebencian rakyat itu sebenarnya bukanlah fitnah dan tohmahan. Ia adalah kebenaran yang nyata.

Sejauh mana cakap-cakap dan kebencian rakyat dapat dibersihkan melalui buku biografi setebal 164 mukasurat itu hanya masa yang menentukannya. Tetapi secara umumnya rakyat sekarang bukan lagi seperti rakyat tahun 60an atau 70an yang menerima bulat-bulat apa saja yang dihidangkan kepada mereka.

Kebijaksanaan rakyat dengan bantuan langit terbuka berlaku di semua pelusuk dunia. Isteri bekas Presiden Tunisia, Laila Ali juga mempunyai watak dan perangai yang hampir sama dengan Rosmah. Dia suka glamour, menonjol diri, bergaya mewah dan membeli perhiasan yang mahal-mahal di luar negara.

Ketika berlakunya era kebangkiran rakyat Tunisia dan perangai isterinya menjadi perbualan rakyat, sebuah buku biografi mengenai dirinya turut diterbitkan untuk membersihkan namanya dan menangkis persepsi yang sudah berakar umbi di kalangan rakyat.

Namun akhirnya buku itu gagal menghalang kebangkitan rakyat. Presiden Ben Ali akhirnya disingkirkan rakyat dan perangai serta perilaku isterinya yang boros dan suka bermewah itu adalah antara sebab yang dikesan sebagai punca kejatuhannya.

Isteri bekas Presiden Perancis, Carla Bruni juga menerbitkan sebuah buku biografi untuk membentuk persepsi baik mengenai dirinya kepada rakyat negara itu. Carla yang merupakan bekas model, ratu seks dan mempunyai sisi gelap yang tak terhitung memilih untuk menerbitkan buku biografi sebagai kaedah untuk menjawab pelbagai tohmahan mengenai dirinya serta membantu karier politik suaminya.

Buku itu laku di pasaran dan beredar ke seluruh dunia. Tetapi akhirnya dalam pilihanraya selepas itu, Presiden Sarkozy tewas kepada lawannya Francois Hollande.

Sebagaimana Laila, watak Carla Bruni juga dikesan sebagai antara punca kekalahan Sarkozy kepada lawannya.

Buku biografi Rosmah ini juga diterbitkan kerana UMNO akhirnya menyedari bahawa karenah dan perlakuan beliau sebelum ini merupakan liabiliti kepada Najib. Ia sama seperti matlamat buku mengenai Laila dan Carla Bruni diterbitkan.

Sama ada buku biografi mengenai Rosmah ini mampu membantu UMNO dan Najib atau sebaliknya biarlah rakyat yang menentukannya dalam pilihanraya nanti. Tetapi dengan UMNO akhirnya menyedari bahawa Rosmah adalah liabiliti bagi UMNO dan Najib sehingga sebuah buku mahal perlu diterbitkan mengenainya, Rosmah juga sebenarnya sedang dipersiapkan untuk dipersalahkan jika keputusan buruk yang menimpa UMNO dan BN nanti.

Sejarah Laila Ali dan Carla Bruni akan berulang lagi. (SH 12/12/12)






Monday 10 December 2012

Untuk Terus Kekal Sebagai PM, Najib Wajib Cantas Orang Muhyiddin


Di ketika Najib begitu bersungguh-sungguh menyeru ahli UMNO agar bersatu, tidak melakukan sabotaj dan memberikan kemenangan dua pertiga kepadanya, beberapa pihak lain pula terus membuat ramalan dan kajian tentang keputusan pilihanraya akan datang ini.

Keputusan pilihanraya akan datang ini bukan saja menarik perhatian rakyat yang sedang berdebar-debar ingin mengetahui sama ada UMNO dan Najib akan terus kekal menguasai Putrajaya atau terpaksa menyerah kalah Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, tetapi juga turut menarik perhatian beberapa golongan cendekiawan dan pensyarah universiti.

Selepas beberapa pihak meramalkan kekuatan BN dan PR agak seimbang dan strategi di saat-saat terakhir mungkin mempengaruhi keputusan dan menenntukan siapa menang dan siapa kalah, mutakhir ini beberapa pensyarah universiti tampil dengan hasil kajian dan ramalan masing-masing.

Terbaru ialah Prof. Muhammad Abu Bakar daripada UM yang diketahui mempunyai pandangan kritis mengenai politik negara, secara terbuka meramalkan UMNO dan BN hanya mampu menang tipis saja dalam pilihanraya akan datang ini.

Beliau yang kerapkali diundang memberikan syarahan tentang politik dan kemasyarakatan serta pernah menjadi moderator wacana Sinar Harian juga berpandangan bahawa empat negeri yang sekarang dikuasai oleh PR akan terus kekal di bawah penguasaan pembangkang.

Tanpa menyebut secara tepat jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh BN, gambaran tipis yang dimaksudkan beliau secara logiknya tentunya tidak melepasi garisan dua pertiga dan jumlah 140 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya 2008 lalu.

Sebelum itu, Prof Dr. Samsul Amri Baharuddin dari UKM turut meramalkan bahawa berdasarkan kajiannya menunjukkan BN hanya mampu menang sebanyak 120 kerusi Parlimen sahaja.

Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan kerusi minimum yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan ialah 112 kerusi.

Sementara itu, Dr Agus Yusof daripada UKM pula meramalkan UMMO dan BN akan menghadapi kemungkinan yang lebih buruk di mana beliau mendapati kerusi yang cukup selesa bagi BN hanyalah 96 sahaja.

Dalam masa yang sama, beberapa bulan lalu juga Merdeka Center turut membuat kajian tentang populariti Najib dan mendapati kedudukan PM hanya berada di kedudukan 69 peratus sahaja.

Jika kajian Merdeka Canter ini dikaitkan ramalannya ketika pilihanraya 2008 lalu yang mana ketika itu populariti Pak Lah berada di kedudukan 72 peratus dan hanya mampu menang sebanyak 140 kerusi, ramalan dan kajian tentang kemungkinan keputusan pilihanraya akan datang memberi keputusan lebh buruk sebagaimana hasil dapatan beberapa pensyarah dan cendekiawan itu jelas ada kebenarannya.

Bukan saja hasil kajian pensyarah-pensyarah itu, malahan keyakinan sebahagian besar rakyat juga mendapati jumlah kerusi yang munasabah mampu dimenangi oleh BN juga hanyalah dalam lingkungan 115 hingga 120 kerusi saja. Begitu juga jika UMNO dan BN kalah kerana terlalu banyak isu yang tidak selesai serta rakyat mahukan perubahan, mereka juga hanya kekurangan kurang daripada 10 kerusi.

Secara jelasnya, baik BN atau PR, jika mereka menang jumlah kerusi yang mampu dimenangi amatlah tipis dan hanya mempunyai kelebihan beberapa kerusi sahaja.

Dalam masa yang sama, melalui pengusaan media, kawalan terhadap jentera kerajaan dan keupayaan dari segi kemampuan wang ringgit, potensi untuk UMNO dan BN kekal sebagai kerajaan adalah lebih baik berbanding PR.

Najib, UMNO dan BN dipercayai akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada itu bagi mengelakkan mereka kalah dan kehilangan kuasa dalam genggaman.

Namun demikian, meskipun BN dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kuasa berbanding PR, tetapi kedudukan Najib tetap tidak selamat.

Dengan hampir semua pihak meramalkan BN hanya mampu menang dengan tipis dan kelebihan kerusi yang kecil sahaja, Najib sebenarnya masih belum boleh tersenyum lagi.

Dengan hanya menang sekitar 115 atau 120 kerusi, kedudukan Najib tetap ibarat telur di hujung tanduk. Najib hanya selamat dan tidak dipaksa turun daripada kerusi PM jika beliau berjaya melepasi garisan dua pertiga atau sekurang-kurangnya berjaya menang lebih daripada 140 kerusi, iaitu jumlah kerusi yang dimenangi pada 2008 yang akhirnya menyebabkan Pak Lah terpelanting keluar dari Seri Perdana.

Cabaran Najib di dalam UMNO ialah Muhyiddin, timbalannya sekarang serta para penyokongnya. Jika Najib sekadar menang tipis, orang-orang Muhyiddin pasti menjerit meminta Najib berundur untuk digantikan dengan boss mereka pula.

Ini memang suasana yang normal dalam perebutan kuasa, lebih-lebih lagi dalam parti seperti UMNO yang sudah berakar dengan amalan kronisme. Jika selama ini kroni Muhyiddin agak berdiam diri serta mengalah kepada kroni Najib tetapi jika Najib goyah, tibalah giliran mereka pula untuk memanjat pokok kelapa dan mengutip habuan yang ada.

Dalam hal ini, selain menyeru ahli-ahli UMNO supaya kekal bersatu dan memberikan kemenangan dua pertiga kepadanya, Najib juga perlu bersiap sedia dengan Pelan B iaitu menyingkirkan seramai mungkin orang-orang Muhyiddin atau orang yang mungkin condong kepada Muhyiddin sebagai calon pilihanraya akan datang.

Najib tidak ada pilihan lain, beliau perlu memilih hanya orang-orang yang setia kepadanya saja sebagai calon pilihanraya nanti. Pengaruh Muhyiddin harus disekat dengan mengetepikan seramai mungkin orang-orangnya sebagai calon pilihanraya.

Sementara Najib perlu bersiap sedia dan menggunakan segala upaya yang ada untuk menghalang kemaraan Anwar dan PR, beliau juga perlu bersiap sedia menghadapi tentangan daripada dalam UMNO sendiri.

Kalau boleh jangan biarkan keluar suara-suara yang memintanya berundur jika UMNO dan BN sekadar menang tipis saja. Suara menyokongnya harus lebih kuat lagi ketika itu.

Kalah pilihanraya dan hilang jawatan PM memang pengalaman menyedihkan bagi Najib tetapi jika hilang jawatan PM di ketika menang pilihanraya tentulah jauh lebih memedihkan. (SH 10/12/2012)





Sunday 9 December 2012

13 Mei Bukan Lagi Senjata Yang Tajam Untuk Menakutkan Rakyat


Menjelang pilihanraya umum akan datang, salah satu senjata yang digunakan oleh UMNO untuk mengekalkan kuasa ialah menakut-nakutkan rakyat. Selain ditakutkan dengan isu agama dan kaum, rakyat juga ditakutkan dengan kemungkinanan kononnya negara akan huru-hara jika UMNO tidak lagi berkuasa.

Bayangan tragedi 13 Mei 1969 kerapkali didendangkan untuk memperingatkan rakyat tentang perkara itu. Dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini, Shahrizat Jalil yang kehilangan jawatan menteri kerana ditanduk lembu NFC, secara terang-terangan menyebut tentang kemungkinan 13 Mei akan berulang jika UMNO kehilangan kuasanya.

Kononnya rakyat akan memberontak kerana tidak sanggup melihat UMNO hilang kuasanya.

Sebelum itu, dalam nada yang berbeza, Mahathir juga pernah membayangkan bahawa jika PR kalah dalam pilihanraya akan datang itu, mereka juga kemungkinan akan mencetuskan huru-hara dalam negara ini.

Logik Mahathir ialah rentetan demonstasi yang dianjurkan pembangkang sejak kebelakangan ini adalah usaha tersusun ke arah itu walaupun sebenarnya demonstasi itu digerakkan adalah kerana adanya isu-isu yang spesifik dalam negara dan tidak sama-sekali berunsur keganasan kecuali jika ada provokasi daripada pihak lain.

Beberapa pemimpin UMNO lainnya termasuk Najib, Muhyiddin dan lain-lain juga pernah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan negara ini tidak lagi stabil jika UMNO hilang kuasa. Bagi mereka ini hanya UMNO yang mampu menganugerahkan kestabilan kepada Malaysia.

Rata-rata pemimpin UMNO sekarang ini juga cuba menakutkan rakyat bahawa negara ini tidak akan aman, keadaan akan jadi huru-hara dan peristiwa 13 Mei akan berulang melainkan jika UMNO kekal berkuasa.

Negara juga digambarkan seolah-olah akan aman seaman-amannya jika UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga.

Dengan membawa cerita huru-hara dan kemungkinan 13 Mei berulang tidak lain membuktikan bahawa UMNO berada dalam suasana ketakutan nyata yang tidak mampu diselindungkan lagi.

Bagi pihak pembangkang, kekalahan adalah perkara biasa dan sepanjang 12 kali pilihanraya sebelum ini, mereka dapat menerimanya dengan reda. Yang mungkin tidak dapat menerima kekalahan ialah UMNO dan BN kerana belum pernah hilang kuasa di peringkat Pusat.

Jika kalah, lihatlah bagaimana cara Perak dirampas kembali. Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang mana UMNO kalah pula tidak habis-habis ditekan.

Peristiwa 13 Mei sendiri berlaku kerana adanya unsur-unsur UMNO yang tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihanraya 1969 itu.

Tetapi menjelang pilihanraya akan datang, rata-rata rakyat sudah matang dan dapat menerima perubahan dengan bijaksana. Memainkan terus lagu 13 Mei bukanlah sesuatu yang menguntungkan UMNO dan BN.

Selain rata-rata pengundi muda adalah mereka yang lahir pasca 13 Mei, rakyat biasa pula tentunya tidak mahu lagi peristiwa itu berulang. Dengan beberapa peristiwa keganasan politik sebelum ini dan yang terbaru berlaku di Gombak, Selangor, penilaian rakyat tentang kemungkinan UMNO akan menggunakan sentimen menakut-nakutkan rakyat amatlah jelas.

Dengan melakukan kacau-ganggu terhadap program pihak lain dan kemudian tercetusnya huru-hara, UMNO seolah-olah ingin memberi isyarat bahawa kejadian yang lebih ganas akan berlaku jika mereka kalah pilihanraya nanti.

Bacaan politik UMNO ialah dengan demikian rakyat akan menjadi lebih takut, lantas tanpa teragak-agak terus mengekalkan kuasa dalam pelukan UMNO dan BN.

Tetapi adakah realitinya demikian?

Dengan lebih 40 paratus pengundi PRU 13 terdiri daripada pengundi muda yang merupakan generasi pasca 13 Mei dan sebahagian lagi adalah pasca merdeka, memainkan terus sentimen keganasan dan huru-hara mencerminkan UMNO tidak bergerak selati dengan kehendak rakyat yang mahukan pemimpin dan kerajaan lebih memikirkan masa depan daripada mendendangkan lagu masa lalu yang pahit untuk dikenang.

Bagi generasi yang terlibat dengan 13 Mei, pedihnya peristiwa itu mungkin masih terrasa tetapi bagi generasi selepasnya, apa yang diutamakan mereka ialah masa depan. Parti yang lebih menjanjikan masa depan lebih menarik perhatian dan menjadi pilihan mereka.

Setelah lebih 40 tahun peristiwa 13 Mei berlaku, tetapi UMNO masih memainkan sentimen itu untuk menang pilihanraya. Ini menunjukkan UMNO dan pemimpinnya masih mempunyai kematangan yang terhad dan seolah-olah tidak ada tawaran lain yang mampu dilakukan untuk memenangi pilihanraya.

Menyebut-nyebut selalu peristiwa 13 Mei sebenarnya hanya menjadikan rakyat terutama generasi muda semakin jauh dengan UMNO dan BN. Pengundi Cina dan bukan Melayu tentulah menjadi semakin menjauh lagi.

Ia juga mungkin merangsang rakyat untuk memberi kemenangan yang lebih besar kepada perubahan kerana jika perubahan itu terlalu besar, kemungkinan berlaku huru-hara dan keganasan dapat diminimakan. Keganasan hanya lebih mudah tercetus jika kedua-dua pihak mempunyai kekuatan seimbang dan kedudukan sama-sama kuat.

Semakin lama peristiwa 13 Mei berlalu, ia semakin ingin dilupakan oleh rakyat. Ia juga mulai menjadi senjata yang semakin tumpul jika mahu digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Semua rakyat ingin bergerak ke hadapan. Jika UMNO terus terkepung dengan nostalgia, mereka akhirnya pasti lemas dan tenggelam dengan gelombang kebangkitan rakyat. (SH 09/12/12)





Thursday 6 December 2012

Selepas Deepak Dan Musa Hasan, Mungkinkah Mumtaz Selepas Ini?


Minggu-minggu kebelakangan ini kedudukan Najib terus dicalar dan dirobek oleh pelbagai pendedahan yang dilakukan oleh ahli perniagaan karpet, Deepak yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah Mansor dan juga bekas IGP, Musa Hassan.

Deepak yang kini sudah bertalak tiga dengan keluarga Najib mendedahkan pelbagai perkara termasuk dakwaan memberi sejumlah wang kepada Najib, bagaimana beliau dikhianati dan juga dakwaan bahawa isteri PM itu mengumpul projek berjumlah RM26 bilion sejak Najib mengambil alih kuasa pada 2009 lalu.

Walaupun Deepak dipercayai akan terus membuat pendedahan demi pendedahan mengenai Najib, Rosmah dan keluarga PM itu, sehingga ini pasangan Najib-Rosmah masih mengunci mulut dan enggan menjawab dakwaan yang ditimbulkan.

Ini sekaligus menjadikan sekali lagi persepsi rakyat memihak kepada Anwar dan PR serta menjadi mimpi yang amat buruk kepada Najib di ketika beliau sedang memikir-mikir tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13.

Musa Hasan pula mula muncul menghangatkan atmosfera politik negara dengan pendedahan bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein sering canpurtangan dalam urusan dan mengetepikan kedudukannya sebagai IGP. Beliau mendakwa Hishammuddin sering memberi arahan langsung melalui pegawai polis junior dan ketua polis daerah.

Sehingga ini Musa Hassan menjadi individu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang atas keyakinan behawa beliau akan mendedahkan lebih banyak lagi mengenai kepincangan dalam PDRM serta campurtangan orang politik dalam tugas seharian polis.

Tiada siapa menyangka Musa Hassan yang mula melonjak namanya selepas Anwar dipecat pada 1998 di mana beliau ketika itu diberi peranan mengetuai pasukan penyiasat dalam kes liwat yang membabitkan Anwar dan Azizan Abu Bakar, boleh melawan arus dengan kerajaan sekarang ini.

Walaupun Musa tidak secara terbuka menyokong Anwar dan PR tetapi pelbagai pendedahannya mengenai campurtangan orang politik dalam tugas polis, jelas menguntungkan perjalanan politik Anwar yang kini bersaing hebat dengan Najib untuk menguasai Putrajaya.

Lebih-lebih lagi serangan terbuka Musa kepada Hishammuddin adalah ibarat "pukul anak sindir menantu" kerana Hishammuddin adalah sepupu dan antara orang kepercayaan Najib.

Gambaran yang terbentang sekarang menunjukkan bahawa Musa tidak akan berhenti bercakap. Selepas Rais Yatim menjawab bagi pihak Hishammuddin mengenai peranan Menteri Dalam Negeri dalam urusan polis, Musa tidak menunggu lama untuk bingkas balik menangkis jawapan Rais itu.

Dalam masa yang sama, Musa juga bersetuju untuk menjadi ahli panel wacana politik semasa mengenai budaya politik samseng yang dianjurkan akhbar Sinar Harian pada Khamis, 6 Disember ini. Sudah tentu ada lagi lahar panas yang akan terus terpacul dari mulut beliau dalam wacana itu nanti.

Siapalah menyangka Musa Hasan boleh menjadi seperti sekarang ini. Daripada mengetuai pasukan penyiasat kes liwat Anwar, diberi peluang kenaikan pangkat sehingga menduduki kerusi IGP, menjadi pendokong kuat kerajaan beberapa lama dan menjadi musuh utama pembangkang selama ini, tiba-tiba boleh membuat pusingan 360 darjah.

Inilah yang selalu diperingatkan kepada kita dalam mengatur perjalanan hidup di dunia ini, "Manusia merancang, Tuhan merancang tetapi ingatlah bahawa perancangan Tuhan sentiasa menang"

Pendek kata, dengan Deepak dan Musa Hassan terus bersuara, mereka akan terus menyusahkan kedudukan Najib.

Jika Musa Hassan selama ini pendokong kuat kerajaan, Deepak pula adalah antara deretan kawan rapat dan kroni Najib dan Rosmah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beberapa nama yang lain turut menjadi sebutan umum yang diketahui sebagai mempunyai hubungan rapat dan memperolehi nikmat kekayaan melalui hubungan itu. Antaranya ialah bekas pelari pecut negara, Mumtaz Jaafar yang sebelum ini sering dilihat bersama dan mengiringi di mana saja Rosmah berada.

Keintiman dan tidak mahu berenggangnya dengan Rosmah menyebabkan kadangkala beliau digelar kembar siam kepada isteri Perdana Menteri. Dan manfaat yang diperolehi Mumtaz daripada hubungan yang rapat itu juga menjadi bualan umum dan diperkatakan di mana-mana.

Sebagaimana Deepak, difahamkan hubungan Mumtaz dengan Rosmah juga sudah berakhir. Mereka kini menjadi kembar siam yang sudah dipisahkan.

Apabila Deepak mula bersuara mendedahkan pelbagai kepincangan mengenai Najib dan Rosmah, khabar angin juga mulai bertiup di bursa politik Malaysia mengenai kedudukan Mumtaz. Jika selama ini beliau hanya diam dan memencilkan diri, mungkinkah beliau juga akan menuruti jejak langkah Deepak selepas ini?

Mumtaz yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah dan keluarga Najib dalam tempoh beberapa tahun serta sering bersidai dan keluar masuk rumah Najib tentunya turut menjadi buruan media jika beliau beliau turut membuka mulut seperti Deepak dan Musa Hassan.

Tentunya bermacam-macam cerita yang menarik serta sensasi akan keluar dan terdedah dari mulutnya mengenai Najib dan Rosmah. Bak kata iklan Astro "macam-macam ada" dalam pengetahuan Mumtaz. (SH 06/12/12)


Tuesday 4 December 2012

Najib Lebih Takut Gagal Mencapai Dua Pertiga Berbanding Kalah Pilihanraya


Ucapan Najib di perhimpunan UMNO baru-baru ini, baik dalam ucapan dasar mahupun ucapan penggulungan jelas menggambarkan ketakutan beliau menghadapi pilihanraya akan datang. Intipati ucapan, riak wajah dan bahasa tubuhnya jelas menggambarkan hakikat itu.

Meski beliau cuba melawak, tersenyum dan mempamerkan wajah gembira tetapi garis-garis ketakutan itu boleh dilihat dan difahami oleh sesiapa saja yang mendengar ucapannya yang banyak aksi meneran dan menjerit itu.

Walaupun Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungan cuba "melambung" beliau dengan mendedahkan suatu hasil kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah UiTM kononnya sokongan kepada Najib dan kerajaan kini sudah mencapai lebih 70 peratus dan pengundi atas pagar hanya 17 peratus, namun Najib kelihatan tidak gembira mendengar puji-pujian itu.

Beliau hanya selamba dan seolah-olah tidak terasa apa-apa dengan gambaran yang diucapkan Zahid itu. Jika orang lain, mungkin sudah cukup gembira dan kepala menjadi besar dengan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu. Tetapi tidak dengan Najib kerana ada ketakutan lain sedang bersarang di kepalanya.

Malahan ketika berucap kemudiannya, Najib seperti memperlekehkan hasil kajian yang diumumkan Zahid itu dengan mengatakan sepatutnya sesuatu kajian harus melontarkan soalan cepumas yang berbunyi "Jika tidak dicalonkan, apakah akan terus menyokong parti?"

Najib juga kemudiannya memanggil ketiga-tiga Naib Presiden itu dengan gelaran "tiga ekor Naib Presiden" iaitu suatu gambaran bahawa Najib sebenarnya tidak cukup gembira dengan prestasi mereka dan panggilan ekor itu menggambarkan gelaran untuk seseorang yang belum cukup matang atau masih kebudak-budakkan.

Walaupun Najib kemudiannya cuba mengendurkan keadaan dengan menyebut "tiga ekor yang akur", hakikatnya Najib tidak gembira dengan prestasi dan mutu ucapan penggulungan ketiga-tiga Naib Presiden itu yang disifatkan oleh banyak pihak masih dibawah paras yang sepatutnya bagi seseorang pemimpin yang menduduki kerusi Naib Presiden UMNO.

Ramai juga memberi pandangan mutu ucapan ketiga-tiga Naib Presiden kali ini menggambarkan bahawa UMNO sebenarnya sudah ketandusan pemimpin yang berkualiti dan berwibawa. Mutu ucapan Zahid, Hishammuddin dan Shafie tidak berupaya menambahkan keyakinan rakyat, pengundi atas pagar dan generasi muda bahawa UMNO ini boleh bergerak dengan lebih cemerlang di masa hadapan.

Dengan Najib melontarkan soalan cepumas itu kepada semua ahli pemimpin UMNO, ia menggambarkan ketakutan Najib ialah sabotaj di kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Walaupun mungkin sabotaj itu boleh menyebabkan UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya akan datang tetapi Najib jelas lebih takut sabotaj yang sama menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Najib sebenarnya lebih takut gagal mencapai majoriti dua pertiga berbanding UMNO dan BN kalah terus dalam pilihanraya.

Bermula dengan ucapan dasar dan kemudian disimpulkan dalam ucapan penggulungan, penekanan terhadap pencapaian majoriti dua pertiga itu nampaknya begitu ditekankan. Ia disebut berulang kali, melebihi penekanan tentang peri mustahaknya UMNO dan BN terus dikekalkan sebagai kerajaan.

Meskipun kekalahan UMNO dan BN adalah sesuatu yang pahit tetapi Najib lebih risaukan kedudukan dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Jika UMNO kalah dan BN hilang kuasa sebagai kerajaan, kepahitan dan sengsara yang dialami boleh dikongsi dengan orang lain.

Najib mungkin boleh menyalahkan timbalannya, Muhyiddin yang kurang bekerja keras sebagai punca kekalahan. Beliau juga boleh menyalahkan Naib-Naib Presiden UMNO yang masih gagal meraih sokongan rakyat sewajarnya meskipun sudah diberi jawatan dalam kementerian-kementerian yang kanan. Lebih dari itu, Najib juga boleh menyalahkan pemimpin dan ahli-ahli UMNO lainnya yang tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh serta memantapkan perpaduan sebagai punca utama tewasnya UMNO.

Dalam masa yang sama, jika UMNO tumbang Najib juga boleh menyalahkan Pak Lah kerana mewariskan kerajaan yang lemah kepadanya. Beliau juga boleh menyalahkan Tun Mahathir kerana terlalu banyak bercakap sehingga membuatkan rakyat benci dan menolak UMNO serta kerajaan.

Pendeknya jika UMNO kalah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan oleh Najib. Beliau tidak akan keseorangan menanggung sengsara kekalahan itu kerana ia boleh dikongsi dengan pelbagai pihak lainnya.

Tetapi jika sekadar gagal mencapai majoriti dua pertiga, Najib seorang diri yang akan dipersalahkan dan beliau bakal menanggung sengsaranya keseorangan. Dengan gagal melepasi garisan dua pertiga, hanya Najib seorang diri yang akan dipersalahkan sebagaimana Pak Lah dipaksa dengan peralihan kuasa bila gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya 2008 lalu.

Dalam pasukan bolasepak pun, apabila sesebuah pasukan gagal mengekalkan kejuaraan biasanya hanya pengurus yang dipecat. Rombakan besar-besaran melibatkan pengurus dan pemain hanya biasa dilakukan apabila sesebuah pasukan itu kalah berpanjangan atau turun ke divisyen dua. Itulah lumrah kehidupan sebenarnya.

Dengan menekankan tentang mustahaknya mencapai kejayaan dua pertiga, Najib sebenarnya lebih memikirkan tentang nasib dirinya berbanding UMNO itu sendiri. Sebab itu beliau mahu perpaduan dikekalkan dan sabotaj parti dielakkan.

Jika boleh, beliau bukan saja mahu sabotaj dielakkan untuk memastikan BN melepasi garisan dua pertiga, malahan jika garisan itu gagal dilepasi, sabotaj yang sama tidak berlaku kepada dirinya dengan memaksanya berundur pula.

Itulah yang sangat-sangat diharapkan oleh Najib. Tetapi oleh kerana UMNO sudah meletakkan kemenangan dua pertiga sebagai penanda aras kejayaan, maka sukar untuk Najib mengelakkan dirinya menjadi "Pak Lah kedua" jika beliau juga gagal mencapai kemenangan dua pertiga.

Yang lebih ditakuti Najib ialah jika yang mula-mula memintanya berundur itu ialah Mahathir sendiri, tokoh yang dianggap sebagai mentornya kini.

Najib sekarang ini bukan saja memuji-muji Mahathir tetapi juga secara terbuka menyatakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih dipantau oleh Mahathir. Dengan meletakkan dirinya sebagai "protege" atau anak didik kepada Mahathir, Najib sekurang-kurangnya berharap bekas PM itu kekal sebagai mentornya dan tidak memaksanya berundur jika keputusan kurang daripada dua pertiga dalam pilihanraya umum nanti.

Sesuatu yang tidak disedari Najib ialah Mahathir bukan saja kaki pantau tetapi juga kaki kuntau. Rekodnya menguntau beberapa pemimpin UMNO sebelum ini menggambarkan hakikat itu. Beliau mudah percaya pada orang tetapi jika kepercayaan itu sudah hilang, kuntaunya tidak pernah ada belas kasihan.

Hanya kemenangan dua pertiga yang dapat mengelakkan Najib daripada kenapa kuntau, baik oleh Mahathir mahu pun oleh pemimpin-pemimpin UMNO lainnya yang sekarang ini seolah-olah berdiri teguh di belakangnya. Pemimpin UMNO pula memang tabiatnya mudah hilang kesetiaan bila pemimpin utamanya hampir tumbang.

Sebab itu, kegagalan mencapai kemenangan dua pertiga begitu ditakuti Najib berbanding jika UMNO dan BN kalah terus kepada Pakatan Rakyat. (SH 04/12/2012)





Sunday 2 December 2012

Beza Perhimpunan UMNO Dengan Muktamar PAS


Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang berakhir semalam diadakan hanya berselang dua minggu dengan Muktamar Agung PAS yang diadakan di Kota Bharu pertengahan bulan lalu. Kedua-duanya, UMNO dan PAS saling menyedari bahawa perhimpunan dan muktamar tahun ini adalah yang terakhir sebelum piliharaya umum diadakan.

UMNO berhimpun kali ini dalam suasana ketakutan hilang kuasa, sementara PAS pula dalam keghairahan mahu menggenggam kuasa.

Ini menjadikan suasana kedua-duanya dapat dilihat mempunyai perbezaan yang nyata.

Dalam perhimpunan UMNO kali ini, bermula daripada ucapan dasar yang disampaikan oleh Najib selaku Presiden UMNO, serangan terhadap pembangkang dan tokoh-tokohnya begitu jelas dapat didengari. Nama Anwar, Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lainnya begitu menghantui pemimpin UMNO sehingga mereka dan parti masing-masing dilabelkan dengan pelbagai gelaran oleh perwakilan dan pemimpin yang berucap di majlis penggulungan.

Meskipun ada mesej perpaduan dan ingatan supaya jangan ada sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih tetapi nada ucapan Najib menggambarkan ketakutan beliau terhadap perkara ini mungkin memberikan mimpi lebih buruk kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya nanti.

Serangan yang keterlaluan terhadap pembangkang dan para pemimpinnya yang dizahirkan oleh UMNO sepanjang pehimpunan kali ini jelas menggambarkan ketakutan yang terlalu menghantui UMNO tentang kekuatan pembangkang itu sendiri. Najib dan UMNO seolah-olah sepakat bahawa kekuatan pembangkang hanya dapat dilumpuhkan dan sokongan rakyat dapat dikembalikan melalui serangan dan kutukan yang tidak henti-henti itu.

Anehnya, sementara Najib dan semua pemimpinnya menyedari bahawa kemerosotan sokongan terhadap UMNO lebih berpunca daripada persepsi yang berjaya dilakarkan ke wajah mereka oleh pembangkang melalui pelbagai isu yang didedahkan kepada umum, tetapi UMNO tidak pula berusaha menjawab semua isu-isu tersebut.

Antara isu yang dipercayai telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap UMNO ialah berkaitan rasuah pemimpin, salah guna kuasa, Scorpene, pembolotan peluang perniagaan oleh keluarga dan kroni pemimpin UMNO, campurtangan dalam pentadbiran kerajaan dan terakhir ini isu pengakuan Deepak yang melibatkan keluarga Najib sendiri.

Semua isu yang berlegar ini tidak dijawab sepanjang perhimpunan UMNO walaupun beberapa isu itu muncul seiring dengan perhimpunan seperti isu Deepak, Scorpene dan pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan tentang campurtangan Hishammuddin dalam urusan polis.

Sementara perwakilan takut untuk membangkitkannya kerana bimbang dicop pro pembangkang dan tidak mahu nama tercicir sebagai calon pilihanraya, Najib dan kepimpinan utama UMNO pula sengaja mengelak untuk menjawab dan menangkis segala isu berkaitan perkara itu walaupun menyedari ianya amat menjadi perhatian di kalangan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang sebelumnya nampak gah dengan berjanji akan menjawab isu Deepak ketika ucapan penggulungan, sekali lagi mungkir janji dengan rakyat Malaysia apabila langsung tidak menyentuh isu itu. Beberapa bulan sebelum ini, Zahid juga tidak menunaikan janjinya untuk menjelaskan isu beliau menggunakan jet untuk menunnaikan haji ke Mekah.

Baik Najib, Muhyiddin, Naib-Naib Presiden dan lain-lain pemimpin yang berucap tidak menggunakan pentas terbaik ketika perhimpunan ini untuk menjelas dan menjawab segala isu-isu yang menjadi buah mulut rakyat. Sewajarnya UMNO membuktikan mereka sentiasa dekat di hati rakyat dengan menggunakan kesempatan kali ini untuk menjawab semua isu-isu yang bermain di fikiran rakyat.

Dengan tidak menjawab semua isu-isu yang menjejaskan imej UMNO dari sudut persepsi itu, rakyat akhirnya berandaian ianya bukan lagi sekadar persepsi, tetapi adalah realiti dan kebenaran yang hakiki.

Perhimpunan kali ini menyerlahkan bahawa UMNO lebih sibuk menjaga rumahtangga orang lain daripada memperbaiki dan mencantikkan rumahtangga sendiri. Dengan asyik menyerang rumahtangga orang lain, UMNO terlupa halaman rumahnya sendiri bersepah dan cat luar rumahnya sudah pudar.

Selain tidak menjawab isu-isu yang berlegar dalam masyarakat, UMNO juga tidak menampakkan ia sebagai parti harapan untuk masa depan. UMNO lebih menyerang peribadi parti lawan dengan gambaran-gambaran yang menakutkan tetapi mereka sendiri tidak pula memberi tawaran yang terbaik atau membalas tawaran-tawaran yang dilakukan oleh pembangkang.

Buaian dan nyanyian nostalgia masih menjadi senjata UMNO sedangkan rata-rata rakyat lebih memikirkan tentang masa depan berbanding masa lalu. Ucapan dasar Najib jelas menyerlahkan hakikat itu tanpa beliau sedari bahawa generasi muda yang menjadi penentu dalam pilihanraya adalah generasi pasca merdeka dan juga pasca 13 Mei yang menjadikan pemikiran mereka lebih tertumpu kepada masa depan daripada nostalgia masa lalu.

Berbanding dengan muktamar PAS, tumpuan ucapan dan perbahasan kelihatan lebih tertumpu untuk memperbaiki parti, memberi cadangan dan teguran kepada pemimpin serta menggariskan apa yang harus dilakukan dan apa yang sepatutnya dielakkan dalam usaha menawan Putrajaya.

Beberapa pemimpin PAS ditegur keras oleh perwakilan, media rasmi Harakah dikritik dan lontaran idea bernas untuk memperbaiki kedudukan parti di mata rakyat dilontarkan tanpa sekatan. Dalam masa yang sama walaupun dipersetujui secara konsensus dalam PR bahawa Anwar adalah bakal PM jika berjaya memenangi pilihanraya tetapi keberanian untuk mencadangkan Haji Hadi untuk jawatan yang sama dilihat menggambarkan kematangan dalam menyuarakan pendapat.

PAS melalui muktamarnya yang terakhir sebelum pilihanraya ini dilihat berjaya meneguhkan lagi keyakinan mereka untuk terus mara menawan Putrajaya melalui kerjasama dengan PKR dan DAP. Walaupun bermacam tohmahan dan "batu ronson" muncul, keyakinan mereka tidak mudah goyang dan perpaduan antara tiga parti itu kekal utuh

Berbeza dengan UMNO, perhimpunan terakhirnya ini lebih menyerlahkan ketakutan yang nyata. Selain Anwar, kemaraan pembangkang dan kematangan rakyat yang mahukan perubahan yang turut menghantui Najib dan UMNO, mereka juga mempunyai ketakutan terhadap pemimpin sendiri yang mungkin melakukan sabotaj, tidak bekerja, menutup bilik gerakan atau melompat parti jika tidak terpilih sebagai calon nanti.

Ini menjadikan sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan dua ini, Najib masih tidak terjumpa tarikh sesuai untuk diadakan pilihanraya. (SH 02/12/2012)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...