Friday 30 November 2012

PAU 2012 Akhirnya Jadi Pentas Lobi Jadi Calon...


Perhimpunan Agung UMNO tahun ini bukan saja menjadi pentas menyerang pembangkang dan menghentam beberapa individu seperti Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Khalid Ibrahim dan lain-lainnya tetapi juga menyaksikan keghairahan banyak pihak menjadikannya sebagai pentas akhir untuk melobi sebagai calon piliharaya akan datang.

Meskipun kedudukan UMNO masih terumbang-ambing, entah kan menang entah kan tumbang, namun keinginan untuk menjadi calon pilihanraya di kalangan pemimpin UMNO tidak pernah pudar.

Mereka masih berlumba-lumba menonjolkan diri sebagai calon, mungkin kerana merasakan piliharaya kali ini merupakan peluang terakhir dapat bertanding atas naungan parti yang masih memegang tampuk kuasa sebagai kerajaan.

Mereka yang ghairah melobi ini termasuk kalangan yang dirasakan hampir pasti akan kalah jika bertanding. Yang dirasakan akan menang dan mempunyai harapan 50-50 tentulah lebih tinggi lagi keghairahannya.

Yang difikirkan ialah bagaimana untuk menjadi calon, bukannya bagaimana untuk memastikan kemenangan parti dalam pilihanraya nanti.

Di luar Dewan Merdeka, di ruang terbuka Restoran Riverside, Hotel Seri Pacific, Hotel Legend mahu pun di ruang legar The Mall, perbualan tentang calon- calon pilihanraya tidak ada titik noktahnya. Pelbagai nama disebut, ditonjolkan dan dirasakan layak untuk menjadi calon. Tidak kurang pula pelbagai nama lain yang dikutuk, dikatakan tidak membuat kerja dan sepatutnya ditukar dengan calon lain.

Pemimpin yang sengaja menonjolkan diri juga tidak kurang ramainya.

Ternampak bahawa majoriti pemimpin, perwakilan dan pemerhati yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini lebih memikirkan soal calon pilihanraya berbanding nasib dan masa depan UMNO itu sendiri.

Soal UMNO yang masih berada di persimpangan, kedudukannya yang makin mereput terutama di kalangan pengundi muda, bagaimana mahu memperbaiki perjuangan Melayunya dan pelbagai lagi, hampir tidak diperbincangkan.

Dalam usaha melobi menjadi calon ini, nama Alies Nor bekas Setiausaha Politik Najib yang kini dipertanggungjawabkan mengetuai "War Room" UMNO bagi menghadapi piliharaya akan datang turut menjadi sebutan dan menjadi individu yang paling dicari untuk ditemui.

Sebagaimana yang ditulis dalam blog ini beberapa minggu lalu, Alies Nor telah diberi mandat oleh Najib untuk menapis calon-calon UMNO untuk piliharaya akan datang. Walaupun sebahagiannya telah bertemu dengan Alies Nor sebelum ini tetapi masih ramai yang merasakan jika dapat menonjolkan diri sekali semasa UMNO bersidang ini boleh memberi markah tambahan kepada mereka.

Beberapa bakal calon sibuk menanyakan tentang Alies Nor dan bagaimana boleh menemuinya. Tetapi sehingga ini Alies Nor tidak pula kelihatan berada di sekitar PWTC ini, namun namanya tetap antara nama yang paling kerap disebut dan ingin ditemui oleh pemimpin UMNO yang berhasrat menjadi calon, selain daripada Najib sendiri.

Jika di luar Dewan Merdeka, perbualan dan lobi-melobi serta usaha menonjolkan diri untuk menjadi calon berlaku silih berganti, di dalam Dewan Merdeka, keadaan yang sama juga berlaku.

Ramai perwakilan yang berucap menggunakan peluang berucap untuk menonjolkan diri memastikan sama ada dipilih atau dikekalkan sebagai calon dengan cara memuji-muji pemimpin tertentu dan dalam masa yang sama mempamerkan kehebatan menyerang pembangkang.

Ramai yang merasakan oleh kerana Najib sendiri telah memberi penekanan bahawa perhimpunan kali ini mesti digunakan untuk mendedahkan keburukan pembangkang sebagai persediaan menghadapi pilihanraya, maka keupayaan memburukkan pembangkang dan menggelar pemimpinnya dengan pelbagai gelaran baru yang buruk-buruk pasti memberi kelebihan dan mampu memahat nama dalam memori Najib.

Maka ramai yang mendengar beberapa perwakilan berucap dapat merasakan bahawa niat mereka itu tidak lebih untuk membodek dan mengampu Najib bagi membolehkan nama terpilih sebagai calon sahaja.

Selebihnya tidak banyak perwakilan yang berucap membawa nada perjuangan Melayu dan Islam, bagaimana memperkuat kedudukan Melayu, memberi cadangan dan dan idea untuk melonjak kedudukan bangsa sendiri dan pelbagai isu Melayu yang tidak pernah selesai sejak dulu.

Keghairahan untuk melobi menjadi calon dan masing-masing merasakan perhimpunan tahun ini merupakan pentas akhir untuk mencapai cita-cita bergelar YB menyebabkan hampir semuanya terlupa hakikat perjuangan sebenar.

Akhirnya perjuangan peribadi tetap mengatasi kepentingan parti ( SH 30/11/2012)

Thursday 29 November 2012

Lagi Kuat Najib Menjerit, Lagi Sumbang Penampilannya


Tidak ramai yang memperkatakan intipati ucapan Najib di perasmian Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Semuanya sudah dijangka. Serangannya kepada pembangkang, kecamannya terhadap Anwar Ibrahim, keyakinannya UMNO sudah pulih dan keghairahannya mahu mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun bukanlah sesuatu yang pelik.

Ia sudah banyak kali diperkatakan Najib sebelum ini. Penegasannya kali ini hanyalah merupakan ulangan skrip lama yang dikitar semula.

Apa yang lebih banyak diperkatakan ialah kenapa Najib terlalu banyak terjerit dan terlolong di atas pentas kali ini. Tidak seperti sebelumnya, kali ini bermula di awal ucapannya lagi beliau beliau sudah menjerit-jerit dan meninggikan suaranya seolah-olah sistem pembesar suara di Bangunan UMNO itu tidak cukup canggih untuk melantunkan suaranya.

Baik di dalam Dewan Merdeka mahu pun di persekitaran PWTC, perwakilan dan pemerhati rata-ratanya kehairanan serta tidak henti-henti memperkatakan kenapakah Najib terlalu banyak menjerit-jerit kali ini. Apakah isu Scorpene dan pengakuan Deepak yang mengaitkannya dengan rasuah telah menjadikan kepalanya terlalu semak sehingga menjadi mamai dan tidak sedar atas perlakuannya yang terlihat "over" itu.

Rakyat yang menonton ucapannya melalui tv juga ramai yang meluahkan kehairanan yang sama seolah-olah ada hantu dan polong yang telah merasuk pemikirannya di perhimpunan ini.

Jika ada sistem pemberian markah dan komen juri seperti Akademi Fantasia, ucapan Najib kali ini tentunya menerima kritikan paling tajam serta markah paling kurang.

Sebagai Perdana Menteri, ramai yang merasakan Najib harus membawa perwatakan dirinya yang sebenar ketika berada di atas pentas. Dia tidak perlu meniru gaya Anwar Ibrahim yang hebat aura dan getar suaranya yang bergema ketika menjerit di atas pentas. Anwar memang semulajadi begitu, mempunyai kelebihan yang dianugerahkan Tuhan dalam berpidato.

Jika Najib cuba meniru gaya Anwar dalam berucap meskipun dalam masa yang sama mengecam dan menghentam Ketua Pembangkang itu, ia adalah suatu kesilapan besar yang telah dilakukan Najib. Ini kerana sudah pasti beliau tewas jika ingin berlawan kehebatan berpidato dan menjerit dengan Anwar.

Anwar jika menjerit dan meninggikan suara ketika berucap, auranya terserlah dan intonasi serta getar suaranya penuh meyakinkan. Ia berbeza dengan Najib, jeritannya sumbang dan tidak sedap didengar. Jeritan suara Najib tidak menaikkan semangat, sebaliknya ada yang gelihati dan kesian dengannya.

Najib seharusnya mencontohi Mahathir, Pak Lah dan Muhyiddin yang tampil diatas pentas dengan gaya sendiri dan tidak meniru-niru gaya orang lain ketika berucap. Mahathir dari dulu sampai sekarang kekal dengan gayanya yang sama ketika berucap. Begitu juga Pak Lah dan Muhyiddin. Ini menjadikan gaya dan stail mereka itu tidak pernah dipertikai dan diperkatakan kerana sejak dulu itulah gaya mereka ketika berucap di atas pentas.

Keghairahan Najib untuk meniru dan berlawan berpidato dengan Anwar bukan saja perbuatan sia-sia tetapi juga menggambarkan ketakutannya yang melampau terhadap Anwar. Najib seolah-olah beranggapan hanya dengan kemampuan menjerit lebih kuat daripada Anwar, Pakatan Rakyat dapat ditewaskan dan hasrat Anwar menggapai Putrajaya dapat digagalkan.

Jika itu tanggapannya, Najib ternyata silap perkiraan sekali lagi.

Kalau pun beliau ingin berlawan suara siapa yang paling kuat dan jeritan siapa yang paling bergema, beliau sepatutnya menunjukkan keberanian untuk menyahut cabaran Anwar untuk berdebat terlebih dahulu.

Sikap Najib yang terlalu banyak menjerit-jerit juga menyebabkan fokus perwakilan dan pemerhati terhadap intipati ucapannya tenggelam sama-sekali. Ramai yang tidak mengambil hirau apa yang diucapkannya.

Sehingga malam ini, lebih banyak yang bercakap tentang gayanya yang menjerit itu berbanding kandungan ucapannya.

Sudahlah nada ucapannya sambil menjerit-jerit itu tidak sedap didengar, penampilannya pula jelas kelihatan sumbang dan tidak meyakinkan. Nampaknya aura Anwar telah menghantui Najib sejak beliau mula mengambil alih jawatan Ketua Pemuda pada tahun 1986 sehinggalah sekarang.

Sejak 1986, sebaik mengambil alih jawatan Ketua Pemuda daripada Anwar, Najib sudah mula mahu meniru gaya Anwar berucap tetapi nampaknya sampai menjadi Perdana Menteri pun usahanya itu tidak pernah menjadi.

Harap selepas ini Najib kembali kepada jati dirinya yang sebenar dan tidak menjerit-jerit lagi ketika di atas pentas. Lagi kuat jeritannya, lagi sumbang jadinya. (SH 29/11/2012)

Wednesday 28 November 2012

Ucapan Perasmian Najib Pagi Esok Sudah Tidak Bermakna Lagi


Esok pagi khamis, Najib selaku Presiden UMNO akan menyampaikan ucapan dasar dan seterusnya merasmikan perhimpunan agung UMNO kali ke 66. Semalan ucapannya di majlis taklimat tertutup kepada para perwakilan UMNO, Najib sudah pun menekankan tentang perlunya mengukuhkan perpaduan, mengelakkan sabotaj serta menyokong sesiapa saja calon yang dipilih dalam pilihanraya umum nanti.

Pada sebelah malamnya pula, Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO dalam ucapan ketika merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri, lebih banyak menyerang pembangkang sebagai isyarat menaikkan semangat ahli-ahli sayap itu untuk menghadapi pilihanraya yang dijangka paling getir bagi UMNO.

Dan apabila Wanita, Pemuda dan Puteri selesai mengadakan persidangannya hari ini, semua pihak dalam sayap-sayap UMNO bagaikan sudah berada dalam keadaan yang cukup bersedia untuk bertarung dan beradu tenaga dengan pihak pembangkang.

Hanya menunggu ucapan perasmian Najib esok pagi sahaja lagi bagi melengkapkan semangat dan persediaan rohani seluruh ahli-ahli UMNO untuk menghadapi pilihanraya kali ini.

Ucapan Najib esok pagi amat ditunggu-tunggu, apakah amanat dan bekalan keramat yang akan dilaungkannnya. Selain meminta mengekalkan perpaduan, patuh kepada parti, jangan sabotaj dan pelbagai kata-kata nasihat, Najib juga tentunya akan menggunakan pentas perasmian perhimpunan agung UMNO itu nanti untuk menyerang pembangkang khususnya PAS, PKR dan DAP serta menghentam batang tubuh Anwar, Haji Hadi serta Lim Kit Siang.

Najib tentunya akan menjerit-jerit dengan suaranya yang lemak merdu itu (patutnya dengan suara garau dan keras) untuk memburuk-burukkan pembangkang serta menghentam peribadi pemimpin mereka.

Walaupun ucapan beliau akan disiarkan secara langsung melalui radio dan tv serta akan diberikan liputan yang meluas oleh media pada esoknya, sayang sekali ucapan perasmian Najib kali ini sudah tidak bemakna apa-apa lagi kepada rakyat dan pengundi atas pagar.

Meski sekuat mana pun beliau menjerit, berhujah dan memberi pelbagai analogi dalam ucapannya itu nanti, hakikatnya rakyat akan melihat beliau sebagai sosok yang dilumuri dengan pelbagai persepsi buruk yang tidak boleh dipulihkan lagi.

Detik berlangsungnya perhimpunan agung UMNO kali menjadikan Najib dihimpit oleh pengakuan seorang ahli perniagaan yang pernah dikenali oleh beliau dan keluarganya, Deepak yang secara terbuka mengaku beliau pernah "menyumbang banyak" kepada keluarga Najib dalam suatu urusan tanah.

Pengakuaan Deepak kepada media selama dua hari berturut-turut dengan menceritakan pelbagai kecurangan, salahlaku, kawan makan kawan dan unsur rasuah yang melibatkan Najib, keluarganya serta kaitan dengan isu penyiasat persendirian P. Bala dan pembunuhan Altantuya telah meletakkan Najib dalam perhimpunan UMNO kali ini umpama mayat hidup - lesu, tidak bermaya serta tidak bernilai apa-apa lagi di sisi rakyat.

Rakyat tidak akan mempedulikan lagi intipati ucapan Najib di perasmian itu nanti, sebaliknya rakyat lebih berminat untuk melihat sejauh mana air mukanya masih berseri atau tidak, suatu hakikat yang menunjukkan sejauh mana keupayaannya untuk berpura-pura dan menunjuk rasa tidak bersalah di depan rakyat.

Selain isu pengakuaan Deepak, Najib juga dihimpit oleh kedatangan dua peguam Perancis ke Singapura (setelah tidak dibenarkan datang ke Malaysia) untuk memberi taklimat mengenai kes rasuah yang melibatkan pembelian kapal selam Scorpene yang kini sudah pun menjadi isu serta perbualan di peringkat antarabangsa.

Isu Deepak dan Scorpene ini telah menghimpit Najib dan menjadikan beliau tidak bernilai lagi di sisi rakyat. Beliau kelihatan semakin kotor dan kusam di mata rakyat.

Selain Najib terhimpit oleh kedua isu itu, UMNO juga di perhimpunan agungnya kali ke 66 ini turut menerima nasib yang sama. Selain isu Nazri, Musa Aman dan Michael Chia yang turut menjejaskan nama baik UMNO di persada rakyat, wajah kelam UMNO dikelabukan lagi dengan pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan tentang campurtangan Hishammuddin, sepupu Najib dalam urusan polis.

Hishammuddin, menurut pengakuan Musa, pernah memberi arahan secara terus kepada pegawai polis junior dan seorang ketus polis daerah tanpa pengetahuannya dan perbuatan itu bertentangan dengan Seksyen 4(1) Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa arahan dan kawalan pihak polis adakah oleh Ketua Polis Negara dan bukannya menteri.

Pengakuan Musa Hassan ini menyebabkan Najib diselubungi dengan andaian bahawa menteri-menterinya terdiri daripada mereka yang rakus, melanggar undang-undang dan tidak tahu bidang kuasa sebagai menteri.

Isu Nazri, Musa Aman dan Scopene telah pun meletus sebelum berlangsungnya perhimpunan agung UMNO lagi tetapi nampaknya Deepak dan Musa Hassan sama-sama mempunyai beban yang tidak tertanggung selama ini sehingga kedua-duanya sedia mengadakan sidang akhbar sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan agung UMNO untuk memburukkan secara langsung Najib dan Hishammuddin.

Mesejnya cukup jelas, menjadikan Najib terduduk serta mahukan UMNO ditolak atau sekurang-kurangnya Najib perlu diganti selepas pilihanraya akan datang ini.

Selain rakyat yang mula bercakap tentang kedudukan Najib sebagai beban kepada UMNO, di persekitaran PWTC, tempat berlangsungnya perhimpunan agung UMNO juga sudah mulai kedengaran cakap-cakap dan rungutan yang senada dengannya.

Sebagaimana yang disebut tadi, yang ditunggu esok bukannya intipati atau amanat daripada seorang Presiden UMNO tetapi bagaimanakah air muka dan seri wajah di sebalik semua dakwaan yang tidak berani dinafikan itu.

Ini menjadikan mesej yang cuba disampaikan oleh Deepak dan Musa Hassan melalui pengakuan mereka yang melibatkan Najib, Hishammuddin dan UMNO bukan saja menjejaskan lagi keyakinan rakyat, bahkan juga mulai menggegar keyakinan dalaman UMNO itu sendiri.

Mesej ini pula berjaya disampaikan kepada rakyat sebelum pun Najib sempat menyampaikan amanatnya esok pagi. Ini sekaligus menjadikan amanat Najib esok pagi sudah tidak bermakna apa-apa lagi. (SH 28/11/2012)

Tuesday 27 November 2012

Ahli UMNO Sedang Keletihan Dan Najib Dipersalahkan


Minggu ini UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya lagi. Ini merupakan perhimpunan UMNO kali ke 4 dibawah kepimpinan Najib. Lantas ia dikatakan perhimpunan agung yang terakhir sebelum pilihanraya umum diadakan. Tetapi ramai juga yang mengatakan ia mungkin perhimpunan terakhir UMNO sebagai kerajaan.

Tanda-tanda UMNO bakal hilang kuasa semakin jelas. Rakyat juga seperti mahukan demikian. Najib dan Mahathir nyata semakin gelabah. Sambil merayu kepada pengundi, melaga-lagakan pembangkang dan cuba menakut-nakutkan rakyat dalam pelbagai isu kaum dan agama, tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya nyata masih tak kunjung tiba.

Di sebalik pelbagai ramalan dan kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai keputusan pilihanraya akan datang ini, ada yang memihak BN dan tidak kurang yang merimaskan Najib, penantian yang terlalu lama mengenai tarikh pilihanraya adalah bukti jelas bahawa Najib masih tidak yakin sepenuhnya untuk mencapai kemenangan dan memastikannya terus kekal menghuni Seri Perdana.

Menjelang perhimpunan agung ini pula, ia dikatakan akan memfokus kepada pilihanraya saja. Selain mahu membongkar kelemahan dan keburukan pembangkang, UMNO juga mahu menjadikan perhimpunan kali ini sebagai pembakar semangat kepada ahli-ahlinya.

Lantaran itu, kecaman sesama sendiri dan serangan terhadap pemimpin tertentu tidak lagi dibenarkan. Zahid Hamidi minggu lalu telah mengeluarkan amaran agar perhimpunan kali ini digunakan sepenuhnya untuk menaikkan semangat bagi menghadapi pilihanraya. Beliau juga mahu permasalahan peribadi diketepikan seketika.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan juga mengeluarkan nada amaran yang hampir serupa. Rais Yatim pula mahu perwakilan yang berucap mengurangkan lawak jenaka dan ucapan yang tidak menjurus kepada kepentingan pilihanraya. Malahan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden akan menemui semua pembentang dan pembahas usul sebelum perhimpunan agung untuk memberi garis panduan tentang apa yang boleh dan apa tidak boleh diucapkan ketika berucap nanti.

Semua ini menggambarkan ketakutan dan rasa gundah gulana UMNO. Tidak pernah ketakutan seperti ini dialami sebelum ini. Najib takut dan Mahathir lebih takut lagi. Mahathir malahan menawarkan diri untuk berkempen secara aktif kali ini kononnya untuk membalas jasa UMNO yang telah menjadikannya Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini.

Kenapa hanya pilihanraya kali ini Mahathir baru teringat terhadap jasa-jasa UMNO terhadap dirinya? Kenapa ketika beliau menyerang dan mahu menjatuhkan Pak Lah, kemudian keluar UMNO sebelum pilihanraya 2008 dulu, beliau tidak pernah teringat tentang jasa-jasa UMNO yang banyak terhadap diri, keluarga, anak-anak, kawan-kawan dan kroninya?

Sementara Najib dan Mahathir begitu aktif bergerak ke sana-sini serta mengeluarkan pelbagai kenyataan, apa yang berlaku di peringkat bawahan adalah sebaliknya. Ramai ahli dan pimpinan peringkat bahagian kini mengeluh bahawa mereka telah keletihan menunggu tarikh pilihanraya yang tak kunjung-kunjung menjelma.

Lebih setahun sebelum ini Najib dan semua pimpinan UMNO bergerak begitu aktif ke semua negeri dan mengumumkan pelbagai peruntukan kepada rakyat, seolah-olah pilihanraya sudah begitu dekat. Pimpinan bahagian dan cawangan serta ahli juga dikerah menghadiri dan meramaikan semua majlis itu untuk menunjukkan seolah-olah UMNO sudah pulih dan menerima sokongan rakyat. Jentera pilihanraya pula dikerap bersiap sedia.

Dalam masa yang sama UMNO peringkat bahagian dan cawangan juga dikerahkan mengadakan pelbagai program. Maka seluruh masa dan tenaga dimanfaatkan, semua biro UMNO juga berebut-rebut mengadakan program. Pemimpin UMNO pusat dan negeri juga tidak menang tangan memenuhi pelbagai jemputan merasmikan pelbagai program yang dianjurkan itu.

Pemuda, wanita dan puteri juga bergerak sama. Mereka turut mengadakan pelbagai program di peringkat bahagian masing-masing.

Malangnya setelah lebih setahun UMNO bahagian dan cawangan seluruh negara meriah dengan pelbagai program, Najib tidak juga mengumumkan pembubaran Parlimen. Tetapi untuk terus mengadakan program dan bersengkang mata setiap malam sudah cukup meletihkan. Mereka tidak tahu bila sebenarnya tarikh pilihanraya.

Pemimpin dan ahli UMNO bukan saja sudah keletihan kerana kekurangan tenaga, tetapi mereka juga keletihan dari segi wang ringgit untuk terus bergerak ke sana dan ke sini dan mengadakan program.

Bagi yang ada jawatan dalam kerajaan dan perniagaan besar serta boleh berpaut dengan pemimpin atasan, mungkin boleh terus bernafas dengan selesa. Tetapi ianya cukup meletihkan bagi pemumpin yang tiada jawatan dalam kerajaan, terutamanya pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian serta cawangan yang selalunya mengadakan
program atas sebahagian bantuan dan ihsan bahagian atau melalui sumbangan pemimpin tertentu di peringkat negeri dan Pusat.

Ramai antara mereka ini yang mengeluh keletihan dan kehabisan modal. Ketika diminta mengadakan pelbagai program dan sentiasa aktif, ia seolah-olah pilihanraya akan diadakan tiga bulan selepas itu. Namun setelah lebih setahun dan hampir dua tahun, tiada juga pilihanraya diumumkan oleh Najib, ia benar-benar meletihkan mereka.

Untuk terus bergerak, mengadakan program dan bersengkang mata, keadaannya sudah cukup meletihkan. Sebelum ini pun sudah banyak kerja seharian dan urusan peribadi yang tergendala. Meminta bantuan dan ihsan kewangan pula seperti memalukan.

Pemimpin dan ahli UMNO kini sudah anti-klimaks. Mereka sudah pancit sebelum waktunya. Lihatlah tiga empat bulan kebelakangan ini, bukan saja UMNO bahagian dan cawangan yang sepi daripada sebarang program, keaktifan menteri dan timbalan menteri juga tidak seperti dulu lagi. Kebanyakannya hanya aktif di twitter dan facebook saja.

Sebab itu, memang tidak menghairankan bila Mahathir menyatakan sekarang ini hanya Najib saja yang aktif manakala pemimpin lain banyak berdiam diri. Selain keletihan, sebahagian mereka juga menunggu sama ada terus dicalonkan atau pun tidak. Jika dicalonkan barulah mereka akan aktif, jika tidak, lebih baik tutup kedai saja.

Sebagaimana sudah terbiasa sejak dulu dan menjadi amalan majoriti pemimpinnya, mereka memang meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti.

Dalam suasana keletihan ini, ramai pemimpin dan ahli UMNO menyalahkan Najib. Menurut mereka, tindakan Najib menangguhkan pengumuman tarikh pilihanraya yang terlalu lama menjadi puncanya. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini menangguhkan tarikh pilihanraya terlalu lama sehingga pemimpin dan ahlinya seolah-olah dipaksa berlari secara marathon.

Ramai yang mengeluh keletihan ini. Jika mereka tidak diarang dan dibenarkan berucap, ramai yang ingin meluahkan perasaan tentang keletihan ini dalam perhimpunan agung kali ini. Mereka mahu pemimpin atasan mendengar dan lebih bertimbangrasa terhadap pemimpin serta ahli bawahan, bukan sekadar mengerah dan mengarah untuk mencipta kemenangan.

Jika sekadar keletihan tenaga, ia mungkin boleh ditampung dengan meminum kopi tongkat ali atau memakan jamu penguat badan tetapi bagaimana dengan keletihan modal dan wang ringgit?

Inilah yang ingin diluahkan pemimpin marhaen ini supaya pemimpin atasan yang ada jawatan dalam kerajaan serta kuasa untuk membantu bersikap lebih bertimbangrasa, ingin membantu serta mudah ditemui. Menteri dan pemimpin yang ada jawatan tidak harus hanya mengutamakan kroni, kelompok sendiri serta syarikat anak isteri sahaja.

Jika ingin keputusan yang lebih baik, sebelum meminta ahli UMNO berubah, pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan haruslah terlebih dahulu berubah.

Jika tidak berubah dan UMNO peringkat bawahan terus keletihan, anti-klimaks dan tiada rangsangan untuk terus menggerakkan jentera menghadapi pilihanraya, keputusan pilihanraya ini mungkin lebih buruk daripada jangkaan. (SH 27/11/2012)


Sunday 25 November 2012

Anwar Dan Muhyiddin Sudah Boleh Tempah Baju Melayu Hitam...


Jangkaan bahawa PRU 13 ini merupakan perjuangan antara hidup dan mati bagi UMNO dan BN sudah pun diketahui dan diperbualkan oleh ramai orang. Sejak PRU 2008 dan kemudian berlaku peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib lagi, meskipun Najib melakukan pelbagai usaha, sokongan rakyat terhadap BN tampaknya masih lagi samar.

Selain Najib dan keluarganya sendiri diselubungi dengan pelbagai isu, ditambah perangai sebahagian menteri dan pemimpin UMNO yang tidak mahu berubah serta kehendak rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan, telah menyebabkan pilihanraya akan datang ini menjadi perbualan dan penantian yang mendebarkan.

Sementara Anwar dan PR begitu yakin dengan perubahan rakyat, Najib dan BN nampaknya masih ragu-ragu dan keliru. Sekejap yakin dan sekejap yang lain seperti putus harapan. Tetapi penundaan sehingga habis tempoh edah untuk mengadakan pilihanraya adalah hakikat nyata bahawa Najib masih lagi tidak yakin sepenuhnya terhadap kemenangan yang bakal diraihnya.

Dalam UMNO sendiri berbelah bagi. Ada yang yakin sekadar menang tipis dan ramai pula yang meramalkan BN akan tumbang kali ini. Yang yakin dengan ikhlas BN akan menang dengan selesa tanpa ada niat mengampu atau membodek Najib, mungkin bilangannya hanya boleh dibilang dengan jari saja.

Tetapi ramalan Dr Shamsul Amri Baharudin daripada UKM semalam yang meramalkan BN hanya mampu menang 120 kerusi sahaja dalam PRU 13 ini jelas adalah pandangan yang ikhlas dan tidak mengampu. Pandangan beliau adalah pandangan yang senada dengan ramai orang, baik daripada kalangan ahli dan pemimpin UMNO sendiri, mahupun daripada rakyat biasa.

Dalam pilihanraya lalu, BN menang 140 kerusi daripada 222 kerusi. Dengan hanya mampu menang 120 kerusi, prestasi Najib, UMNO dan BN terbukti merudum lagi.

Dengan ramalan 120 kerusi itu, bermakna PR akan memenangi 102 kerusi. BN akan kekal sebagai kerajaan, namun dengan majoriti yang sangat tipis. Tetapi ramalan hari ini mungkin berubah minggu depan, bulan depan atau tiga bulan lagi.

Ramalan Dr Shamsul Amri itu juga menunjukkan PR turut mempunyai potensi yang mencipta kemenangan kali ini.

Dengan beberapa isu besar yang sedang cuba dihidangkan kepada rakyat seperti isu rasuah melibatkan Nazri Aziz, Musa Aman dan Mchael Chia sehingga rombongan PKR sudah pun berkunjung ke ICAC agar membuka semula kes tersebut serta juga isu Jingga 13 yang sedang berusaha menemui pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat kes Rais Yatim dengan bekas pembantu rumahnya, sokongan rakyat mungkin beralih lagi jika benar kes-kes itu berjaya diketengahkan.

Seperti isu Shahrizat dan NFC yang telah menyebabkan imej UMNO dan kerajaan terjejas dengan teruk, isu Nazri dan Rais Yatim juga boleh memberi kesan yang serupa kepada UMNO dan BN.

Kedua-dua isu itu serta beberapa isu lainnya yang menjadi modal kempen PR selama ini, ditambah dengan gaya kempen agresif PR yang menggunakan lori dan bas serta keunggulan dalam penguasaan media baru, perubahan 10 hingga 15 daripada jangkaan kemenangan BN adalah sesuatu yang sukar dinafikan.

Selain itu, kedudukan pengundi bukan Melayu yang seperti sudah muktamad memihak kepada PR dan mahukan perubahan, turut merisaukan BN. MCA, Gerakan dan MIC dijangka oleh semua orang akan mengalami kesukaran dan kehilangan kerusi yang banyak dalam pilihanraya ke 13 ini.

Katalah dengan semua isu-isu itu menyebabkan BN kehilangan 10 kerusi lagi, ini akan menjadikan jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh BN dalam pilihanraya akan datang ini hanyalah 110 sahaja berbanding 120 ramalan sebelum ini. Tidak cukup pun untuk menubuhkan kerajaan kerana jumlah minima yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan ialah 112 kerusi Parlimen.

Ini bermakna jika BN kehilangan sekurang-kurangnya 10 kerusi lagi daripada 120 kerusi yang diramalkan oleh Dr Shamsul Amri itu, tentulah Anwar Ibrahim yang akan menjadi PM selepas itu.

Bagaimanapun jika daripada 120 kerusi yang diramalkan oleh Dr Shamsul Amri itu, ia statik disitu atau sekadar mampu menambah 10 kerusi lagi menjadi kepada 130 kerusi misalnya, ia tetap tidak selamat kepada Najib. Kedudukan itu hanya memastikan UMNO dan BN saja selamat.

UMNO dan BN sudah dipahatkan dengan pemikiran bahawa kejayaan seorang PM ialah kemampuan mencapai kemenangan dua pertiga. Pak Lah diundurkan kerana gagal mencapai dua pertiga. Mahathir terus kekal selama 22 tahun dan tiada siapa yang berani memaksanya berundur adalah kerana setiap kali pilihanraya beliau tetap mencipta kemenangan dua pertiga.

Najib tentunya akan dipaksa undur sebagaimana Pak Lah dipaksa dengan peralihan kuasa pada 2009 dulu. Jika 140 kerusi yang mampu dimenangi oleh Pak Lah pun menyebabkan beliau dipaksa undur, tentulah tidak relevan untuk mengekalkan Najib terus sebagai PM hanya dengan berbekalkan 130 kerusi sahaja.

Di sini Muhyiddin tentunya tidak sabar lagi untuk melangkah dari Seri Satria ke Seri Perdana pula.

Ramalan atau jangkaan Dr Shamsul Amri sebenarnya adalah ramalan yang selari dengan kehendak majoriti rakyat sekarang ini yang tidak mahu lagi memberi kemenangan besar kepada mana-mana parti, baik BN mahupun PR.

Rakyat merasakan pilihanraya kali ini adalah permulaan kepada usaha untuk mendaulatkan hak rakyat dengan tidak memberikan kemenangan yang terlalu selesa kepada mana-mana pihak supaya akhirnya menyebabkan mereka yang diamanahkan dengan kuasa benar-benar menggunakan kuasa itu untuk menjaga rakyat dan bukannya mentadbir kuasa seperti menjaga harta yang ditinggalkan oleh ibu bapa.

Baik BN mahupun PR, jika mereka menang pun, jumlah kerusi yang mampu dimenangi adalah dalam lingkungan 120 hingga 130 kerusi sahaja.

Sama ada BN kekal lagi atau tumbang, kedudukan Najib tetap tidak diperlukan lagi selepas itu.

Ini bermakna, sama ada pilihanraya diadakan pada Disember tahun ini mahupun Februari tahun depan sebagaimana yang diramalkan oleh banyak pihak, Anwar dan Muhyiddin sudah boleh mulai meninjau-ninjau kedai jahit yang sesuai untuk menempah baju Melayu Melayu bagi majlis angkat sumpah sebagai PM baru di Istana Negara. (SH 25/11/2012)




Thursday 22 November 2012

Mahathir Layak Dinobatkan Batu Ronson Negara


Komen terbaru Mahathir mengenai siapa yang layak menjadi PM jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya akan datang mengesahkan lagi kedudukan Mahathir sebagai batu api dalam politik negara atau "batu ronson" dalam istilah orang kebanyakan. Beliau nampaknya bekerja siang malam memikirkan bagaimana untuk melaga-lagakan penyokong Pas, PKR dan DAP serta rakyat seluruhnya sebelum Najib membubarkan Parlimen.

Hari ini bekas PM itu berkata, Haji Hadi lebih layak menjadi PM berbanding Anwar jika PR menang pilihanraya akan datang kerana menurutnya Presiden Pas itu tiada bebanan sejarah berbanding Anwar.

Sehari sebelum itu, dalam isu yang sama beliau berkata, PR sepatutnya memilih Karpal Singh menjadi PM jika pakatan pembangkang itu memenangi piliharaya kerana katanya, Pengerusi DAP itu sudah lama berjuang dan sudah sewajarnya diberikan jawatan itu.

Hanya dalam dua hari, pandangannya tidak konsisten. Kalau esok ada yang bertanya lagi tentang isu yang sama, mungkin jawapannya berbeza lagi. Mungkin Mahfuz, Mat Sabu atau Lim Guan Eng pula yang disebutnya lebih layak menjadi PM.

Dengan menyebut dua nama berbeza yang layak untuk menjadi PM mewakili pembangkang, selain Anwar yang sudah dipersetujui secara konsensus oleh PR, ini secara jelas menggambarkan Mahathir juga seperti majoriti rakyat lain tidak lagi menaruh harapan PM akan datang datangnya daripada UMNO.

Dalam masa yang sama juga, meskipun Mahathir diketahui mahukan UMNO menang pilihanraya akan datang ini, tetapi beliau tidak pula pernah menyebut Najib perlu terus dikekalkan sebagai PM.

Walaupun difahami bahawa tujuan Mahathir menyebut Karpal dan Haji Hadi sebagai bakal PM berbanding Anwar bagi mewakili PR adalah bertujuan menyakitkan hati Anwar serta melaga-lagakan penyokong pembangkang serta menimbulkan kesangsian kepada pengundi atas pagar terhadap PR, hakikatnya isu ini difahami dengan jelas oleh sesiapa juga yang berakal waras.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung Pas, Mustapha Ali bahawa isu Haji Hadi sebagai bakal PM hanyalah saranan perwakilan Pas saja dan bukannya usul, maka ianya tidak perlu dijadikan bahan lagaan yang berlebih-lebihan.

Dalam perhimpunan UMNO juga, bermacam-macam saranan, gesaan dan pandangan pernah dilahirkan mengenai pemimpin yang patut diberikan jawatan, dinaikkan pangkat dan digugurkan tetapi akhirnya semua memahami ianya hanyalah saranan seronok perwakilan ketika berpeluang mendapat mikrofon saja.

Dalam PR, walaupun Anwar diketahui dan sudah dipersetujui sebagai bakal PM jika PR memenangi pilihanraya, namun sebenarnya apa yang rakyat mahukan juga ialah perubahan. Anwar atau sesiapa saja hanyalah alat, yang penting perubahan mesti berlaku.

Dengan menyebut nama selain daripada Anwar, Mahathir juga menyerlahkan kebimbangannya jika bekas timbalannya itu akhirnya berjaya juga menjadi PM suatu hari nanti.

Setelah memecat dan memenjarakan Anwar, Mahathir mungkin merasakan beliau dapat bersara dengan aman apabila mengumumkan perletakan jawatan pada 2003 lalu. Apa yang berlaku selepas itu di mana Anwar dibebaskan, beliau bermusuh dengan Pak Lah, BN hilang majoriti dua pertiga dan kebangkitan rakyat makin membara, jelas merupakan sesuatu yang diluar jangkaan Mahathir sendiri.

Hari ini dengan kedudukan BN makin goyah manakala rakyat pula semakin dahagakan perubahan, Mahathir terpaksa memilih untuk menjadi "batu ronson". Bukan saja komennya mengenai bakal PM daripada PR ini yang bertujuan melaga dan menghasut rakyat tetapi jika diimbas kembali kebanyakan komen serta pandangannya dalam banyak perkara sebelum ini pun adalah bertujuan menimbulkan kesangsian serta curiga antara satu sama lain.

Beliau sering melaga-lagakan Islam sesama Islam, Islam dengan bukan Islam, Melayu dengan bukan Melayu dan sebagainya lagi. Pelbagai logik dan helah akal digunakan untuk mewajarkan apa yang dikatakannya.

Perbuatannya melaga-lagakan Pas dengan DAP, Pas dengan PKR dan PKR dengan DAP, lagilah tak terhitung banyaknya.

Sebagai bekas PM yang masih ada ada pengaruh, beliau tahu pandangannya tetap akan diterima oleh kelompok-kelompok tertentu dan "batu ronsonnya" akan tetap memercikkan api. Cuma sebesar mana percikan api yang mampu dinyalakannya yang menjadi persoalan.

Ketika memempgang jawatan PM juga, Mahathir terkenal dengan amalan laga-melaga dan pecah perintah dalan politik hariannya. Di awal menjadi PM, beliau melaga-lagakan Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh. Kedua-duanya akhirnya berebut pengaruh dan jawatan, tetapi hasilnya Mahathir tetap kekal sebagai PM.

Selepas itu, beliau melaga-lagakan pula Tun Ghafar dengan Anwar dengan memberi komen seolah-olah Tun Ghafar tidak diperlukan lagi apabila kebangkitan Anwar pada 1993 tidak mampu ditahannya. Tun Ghafar merajuk dan berkecil hati ketika itu dan sumbangannya terhadap Mahathir dan UMNO selepas pertandingan 1987 bagai tidak dihargai.

Di zaman Pak Lah pula, Mahathir melaga-lagakan ahli UMNO supaya menolak kepimpinan Pak Lah yang tidak disukainya. Beliau berhujah bahawa kemenangan terlalu cemerlang pada 2004 adalah tidak baik bagi rakyat kerana tiada "check and balance". Disebabkan ahli UMNO terpedaya dan rakyat termakan hasutannya, selepas pilihanraya 2008 Pak Lah tersingkir akhirnya.

Menjadi "batu ronson" nampaknya sudah sebati dengan Mahathir sejak dulu lagi.

Kini dengan PR semakin hampir menawan Putrajaya, Mahathir terus tiada hentinya menjadi "batu ronson" dan melaga-lagakan rakyat supaya PR gagal berkuasa dan Anwar tidak menjadi PM.

Selalunya orang yang suka menjadi "batu ronson" ini mengharapkan sesuatu habuan daripada perbuatannya itu, mungkin dalam bentuk wang ringgit, makan minum percuma, anugerah jawatan, pangkat dan sebagainya. Dalam masyarakat seharian, watak "batu ronson" ini ada di mana-mana dan boleh ditemui di mana saja.

Jika "batu ronson" tahap pencacai, habuan yang menunggu hanyalah sekadar makan percuma, wang ringgit dan seumpamanya tetapi "batu ronson" tahap nasional ini tentulah habuannya lebih berganda.

Dengan UMNO dan BN terus kekal berkuasa, habuan yang mennunggu Mahathir ialah legasi beliau akan terus kekal dan kepentingan anak-anak serta keluarganya dalam politik dan perniagaan yang bernilai berbilion ringgit juga akan kekal sama.

Itulah yang dipertahakan Mahathir dan ini memungkinkan beliau akan menjadi "batu ronson" sampai ke akhir hayatnya. (SH 22/11/2012)

Wednesday 21 November 2012

Kiranya Diwajibkan Isytihar Harta, UMNO Akan Kalah Sebelum Bertanding


Sebagai langkah untuk menunjuk sikap amanah, jujur dan ikhlas dalam perjuangan, PAS telah mengambil langkah proaktif dengan meminta semua calonnya mengisytiharkan dalam pilihanraya akan datang ini.

Semua pimpinan Pas menyambur baik dan bersetuju dengan langkah itu. Haji Hadi dalam ucapan penggulungan di Muktamar Agung Pas, baru-baru ini menyatakan bahawa beliau orang pertama bersetuju dengan langkah pengisytiharan harta itu.

Ketua Pemuda Pas, Nasharudin Tantawi malahan secara terbuka telah mengisytiharkan harta dan jumlah pendapatannya di Muktamar Pemuda. Tanpa rasa rendah diri, beliau juga mengumumkan jumlah simpanannya di bank hanya berjumlah RM9,000,00 sahaja.

Adalah dipercayai semua calon Pas akan diminta mengisytiharkan harta masing-masing sebaik saja nama mereka diumumkan nanti. Ia bagi memperlihatkan sikap telus dan terbuka terhadap rakyat tentang apa yang mereka miliki dan dengan itu rakyat boleh menilai sama ada harta pemimpin akan bertambah atau sebaliknya selepas bergelar YB dan memegang jawatan dalam kerajaan.

Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah pun membuat pendekatan agar semua Exco diwajibkan mengisytiharkan harta kepada umum. Langkah tersebut bukan saja membuktikan sikap telus sebagai pemimpin tetapi juga menunjukkan keseriusan untuk berjuang membela nasib rakyat.

Sementara itu bagi UMNO dan kerajaan BN pula, amalan yang digunakan hanyalah menghendaki pemimpinnya mengistiharkan harta kepada Perdana Menteri sahaja, bukannya kepada umum atau rakyat. Ini bermakna hanya PM yang tahu berapa jumlah harta pemimpin dibawahnya.

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini pernah berkata, masalah utama yang dihadapi oleh UMNO ialah untuk membetulkan persepsi yang berlegar mengatakan pemimpin parti itu terlibat rasuah dan mengumpul kekayaan berikutan gaya hidup yang diamalkan, meskipun tidak semua kekayaan itu datang dari sumber yang meragukan.

Lantas, beliau menyalahkan pembangkang yang dikatakan berperanan meniup khabar serta pertuduhan tidak benar itu sehingga menyebabkan rakyat memandang sinis terhadap UMNO serta para pemimpinnya.

Meskipun ada yang mengatakan dakwaan bahawa pemimpin UMNO gemar mengumpul kekayaan dan terlibat dengan rasuah bukan sekadar persepsi tetapi realiti yang nyata berikutan beberapa kes pemimpinnya yang dibawa ke mahkamah atas pertuduhan rasuah serta terdedahnya gaya hidup keluarga, anak dan isteri mereka yang didapati penuh kemewahan, hakikatnya UMNO terus diselubungi awan hitam dalam isu ini.

Umum tetap beranggapan kekayaan yang diperolehi oleh kebanyakan pemimpin itu dari sumber yang meragukan, lebih-lebh lagi jika pemimpin itu sebelum menjadi wakil rakyat atau memegang jawatan dalam kerajaan hanyalah dikenali dari kelompok sepak kertas sahaja.

Namun jika UMNO serius mahu membetulkan persepsi itu, mereka sewajarnya menyambut baik langkah pengistiharan harta kepada semua calon-calonnya dalam pilihanraya ini. Zaman ini adalah zaman rakyat mahukan ketelusan dan UMNO tidak boleh lari daripada hakikat itu.

Melarikan diri dari kehendak rakyat umpama menempah maut layaknya. Apa juga persepsi atau tanggapan yang mungkin timbul selepas keberanian mengisytiharkan harta itu haruslah dihadapi dengan tabah dan penuh keberanian tetapi sekurang-kurangnya UMNO bergerak selari dengan kehendak rakyat.

Jika Nazri Aziz sebelum ini mengatakan langkah mengisytiharkan harta pemimpin dan keluarga merupakan tindakan merbahaya kerana mendedahkan kepada bahaya rompakan atau penculikan tetapi tanpa mengisytiharkan harta pula menyebabkan anak dan isteri pemimpin sendiri gemar menunjuk kepada umum harta dan kekayaan mereka melalui pemilikan kereta mewah yang silih berganti serta kehidupan yang berfoya-foya.

Sama ada harta diisytiharkan atau tidak, perompak dan penyamun sebenarnya tetap tahu harta dan kekayaan seseorang pemimpin selagi mereka gagal mendidik keluarga dengan sebaiknya.

Namun sikap Nazri yang seakan dipersetujui juga oleh Najib itu hanya menyerlahkan ketidaksediaan UMNO sendiri untuk bersikap telus dengan rakyat. Mereka ingin menyembunyikan harta dan kekayaan tetapi dalam masa yang sama membiarkan anak dan isteri bermewah di depan rakyat.

Dalam konteks ini, seorang bekas pemimpin UMNO juga menyelar sikap pemimpin UMNO di tahun-tahun kebelakangan ini yang terlalu gemar mengumpul kekayaan peribadi secara berlebih-lebihan sehingga mengundang prasangka buruk daripada rakyat.

Beliau berkata, langkah mengisytiharkan harta adalah langkah terbaik untuk membersihkan nama baik UMNO.

Melalui pengisytiharan harta itu, tambahnya, rakyat dapat mengetahui harta dan kekayaan Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin dan semua menteri-menteri, menteri besar serta pemimpin-pemimpinnya lainnya. Rakyat kemudiannya akan menilai kekayaan itu serta membandingkannya dengan harta dan kekayaan pemimpin pembangkang pula.

Selepas itu biarlah rakyat menentukan pemimpin mana yang dirasakan layak, terbaik serta boleh diharapkan untuk membela nasib mereka.

Ia sudah tentu suatu ketelusan yang baik walaupun ia mungkin menyebabkan kebanyakan pemimpin UMNO akan kalah sebelum bertanding lagi, tambah pemimpin itu lagi. (SH 21/11/2012)

Monday 19 November 2012

Jika Ikut Ajaran Allah, Kenapa Takut Dengan Doa Pas?


Doa yang dibaca oleh adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat dan diaminkan oleh puluhan ribu penyokong Pas selepas solat hajat sempena Muktamar Agungnya di Stadium Sultan Muhammad IV Kelantan, baru-baru ini mengundang isu baru yang diperkatakan oleh hanpir setiap orang.

Doa itu, selain meminta dimudahkan perjalanan Pas dan PR untuk menawan Purtajaya dalam pilihanraya akan datang, ia juga meminta kepada Allah supaya dihancurkan UMNO dalam pilihanraya ini sebagaimana hancurnya Firaun, Qarun, Namrud dan Abu Lahab.

Sementara Pas dan puak pembangkang mempertahankan doa itu atas alasan UMNO telah melakukan pelbagai penindasan, penganiayaan, menghina hukum Allah, menolak hudud, tidak memberi royalti minyak dan pelbagai deretan kesalahan lainnya, UMNO sebaliknya telah menggunakan isu doa itu untuk mengecam Pas sebagai parti yang tidak Islamik sehingga dikatakan sanggup mendoakan kehancuran orang yang sebangsa dan seagama dengannya.

Sehingga kini UMNO ternampak rimas dengan doa ini dan cuba menunjuk baik dengan mengatakan biarlah Pas berbuat demikian tetapi bertegas bahawa UMNO tidak sekali-kali akan mendoakan kehancuran untuk Pas.

Najib sendiri turut menggunakan isu doa ini untuk mengaitkan Pas sebagai tidak Islamik kerana menurut PM, doa biasanya hanyalah untuk meminta panjang umur, murah rezeki dan diberikan kesejahteraan sahaja dan bukannya meminta dimusnahkan pihak lain.

Sebagaimana yang semua umat Islam ketahui serta yakini, doa adalah senjata akhir yang paling berkuasa dan mampu mengubah Qada dan Qadar. Dengan berdoa dan kemudian jika dimakbulkan Allah, sesuatu perkara yang luar biasa dan di luar jangkaan boleh berlaku.

Namun doa mestilah dilakukan setelah berusaha dan bertawakkal kepada Allah.

Itulah kepercayaan seseorang yang menganut Islam. Bahkan dalam Islam juga disebut bahawa doa orang yang dizalimi akan terus sampai kepada Allah tanpa hijab atau tanpa sebarang halangan. Sebab itu doa memang amat digalakkan dalam Islam sebagai usaha akhir memohon sesuatu kejayaan.

Dalam konteks doa Pas yang meminta dihancurkan UMNO dalam pilihanraya akan datang, perlulah diingat bahawa doa adalah hak sesiapa juga yang meyakini kekuasaan Allah serta merasakan ianya dizalimi atau dianiaya untuk berbuat demikian.

UMNO juga boleh berdoa untuk kehancuran Pas jika mereka merasakan Pas menzalimi mereka. Soal sama ada doa itu akan dimakbulkan atau tidak, itu adalah ketentuan Allah.

Sebagai parti Islam yang didokong oleh ramai ulama serta pencinta agama, Pas tidak mungkin berdoa untuk kehancuran atau kekalahan UMNO dalam pilihanraya jika persaingan yang diterima selama ini masih dalam lingkungan serta batas-batas yang dibenarkan oleh Islam.

Pas tentulah ada alasan serta hujah tersendiri dengan berdoa demikian kerana hanya mereka yang mengalaminya. Orang yang yakin kepada Allah, berdoa dan menyerahkan segala-galanya kepada Sang Pecipta adalah nikmat yang tak terhingga rasanya.

Bagi UMNO pula, reaksi yang keterlaluan terhadap doa itu hanya memperlihatkan nereka berada di pihak yang salah dan seolah-olah takut doa itu akan dimakbulkan Allah. Jika UMNO dan para pemimpinnya sentiasa berasa di jalan yang lurus, sentiasa menegakkan hukum Allah, memerintah dengan adil dan amanah, tidak rasuah,tidak makan harta rakyat, tidak menindas, tidak menganiaya, tidak melakukan fitnah dan sebagainya, tidak ada apa yang ditakutkan dengan doa itu.

Hanya orang salah saja yang takut dengan doa kehancuran itu.

Dalam sejarah Islam sendiri, sebagaimana yang disebut oleh bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, ada meriwayatkan beberapa peristiwa bagaimana orang berdoa kepada Allah kerana merasa dizalimi serta minta diberi pembalasan dan akhirnya doa itu dimakbulkan oleh Allah.

Doa Pas meminta Allah menghancurkan UMNO sebagaimana hancurnya Firaun, Qarun, Namrud dan Abu Lahab adalah jelas bahawa doa itu dipohon sekiranya tahap kerosakan, penganiayaan, kemungkaran serta penolakan terhadap hukum-hukum Allah yang dilakukan UMNO sudah sampai ke tahap yang pernah dilakukan oleh musuh-musuh Islam itu.

Makanya, tiada salah dan cacatnya doa itu.

Yang pentingnya Allah tidak akan menganiaya hamba-hambanya. Allah maha mengetahui. Tidak peru risau, takut atau mengelabah dengan doa Pas itu jika UMNO dan pemimpinnya berada di landasan yang betul dan lurus selama ini.

Tetapi jika UMNO dan pemimpinnya memberi reaksi yang berlebih-lebih dan ketakutan yang melampau ditunjukkan terhadap doa itu, ia hanya menunjukkan doa Pas telah pun dimakbulkan lebih awal dari yang sepatutnya.(SH 18/11/2012)



Saturday 17 November 2012

Pemimpin UMNO: Tolong Melayu Atau Tipu Melayu?


Hubungan UMNO dengan Melayu dan sejauh mana pemimpin UMNO menolong bangsanya sendiri menjadi perdebatan dan perbincangan di mana-mana sekarang ini. Di ketika kuasa yang dipegang selama lebih 50 tahun ini hampir terlepas bila-bila masa, semua pihak dalam UMNO mula bercakap soal Melayu dengan lebih kerap sekarang ini.

Mereka melaung dan menjerit seolah-olah hanya UMNOlah yang memperjuang dan menolong Melayu. Orang Melayu semakin kerap diingatkan agar jangan terlalu mudah melupakan jasa-jasa UMNO, diminta menyedari hanya UMNOlah kononnya pejuang Melayu sambil diminta mengekalkan teraju kuasa terus dipegang oleh UMNO.

Tanpa UMNO, Melayu dilihat akan susah, kelaparan dan papa kedana semula.

Dalam masa yang sama jika ada orang Melayu yang dilihat terlalu kuat mahukan perubahan dan menyokong Pakatan Rakyat, kecaman segera muncul, apakah mereka ini tidak sayang Melayu?

Momokan kononnya hanya UMNO yang boleh memperjuangkan kepentingan Melayu kini boleh didengari di mana-mana.

Soalnya benarkah UMNO dan pemimpinnya menolong orang-orang Melayu dalam perjuangannya?

UMNO sudah berkuasa sejak sebelum merdeka dan perjuangannya yang paling asas ialah meningkatkan taraf ekonomi orang-orang Melayu ke tahap penguasaan sekurang-kurangnya 30 peratus kek ekonomi, sesuai dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru namun hakikatnya penguasaan yang mampu dicapai setakat ini tidak sampai pun 20 peratus.

Orang Melayu masih bergelut dengan kelemahan yang ketara dalam penguasaan ekonomi meskipun majoriti menteri adalah Melayu dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri selama ini juga adalah Melayu belaka. Kerajaan yang dipimpin UMNO juga meletakkan majoriti Ketua-Ketua Setiausaha Kementerisn adalah Melayu, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta EXCO Kerajaan Negeri majoritinya Melayu, pemimpin syarikat milik kerajaan atau GLC juga Melayu tetapi hakikatnya kedudukan Melayu masih ditakuk yang sama.

Sementara UMNO dan pemimpinnya paling lantang meneriakkan perjuangan Melayu, hakikat yang terbentang di depan mata ialah pertolongan yang diberikan oleh hampir semua pemimpin Melayu terhadap bangsanya sendiri tidaklah sekuat teriakan mereka melaungkan Hidup Melayu atau kekerapan bercakap tentang ketuanan Melayu.

Di sebalik pemimpin UMNO kerap bercakap soal ketuanan Melayu, menjerit Hidup Melayu dan kerap tampil dengan persalinan lengkap bersampin dan berbaju Melayu, naluri dan nafsu mereka sebenarnya lebih terarah kepada tauke-tauke Cina berbanding usahawan daripada bangsanya sendiri.

Bukan menjadi rahsia lagi hubungan akrab antara pemimpin UMNO dengan tauke-tauke Cina menjadi bualan di mana-mana sejak dahulu lagi.

Kalangan ahli dan pemimpin UMNO pelbagai peringkat juga menyedari hakikat ini dan telah menimbulkannya dalam banyak forum serta perbincangan manakala rakyat biasa pula sudah lama menaruh curiga dengan sikap sedemikian itu.

Jika sekarang ini hubungan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dengan Michael Chia dan Menteri Besar Johor dengan Lim Kang Ho menjadi mainan di media-media dengan pelbagai pendedahan, yang sebenarnya jika disemak semua pemimpin UMNO ada mempunyai hubungan yang rapat dengan tauke-tauke Cina.

Lagi besar jawatan pemimpin itu dalam kerajaan, lagi besar tauke Cina yang mendampinginya.

Najib dan Rosmah dikaitkan dengan beberapa nama tauke Cina, antaranya Datin Cindy, Jho Low, pemilik Geogge Kent yang baru-baru ini dianugerahkan kontrak LRT Ampang yang menjadi pertikaian dan ramai lagi. Semua mereka ini dihebohkan mendapat pelbagai nikmat dan peluang menambah kekayaan melalui hubungan yang akrab itu.

Tindakan Muhyiddin memberikan kontrak memasang Wifi kepada 1000 sekolah dalam projek BestariNet juga mengundang cemuhan kerana yang diberikan kontrak itu ialah tauke Cina daripada YTL sehingga usahawan Melayu langsung diketepikan.

Dalam zaman Mahathir dan Pak Lah juga, beberapa nama tauke Cina dan bukan Melayu yang dianggap rapat dan memperolehi banyak kontrak kerajaan turut menjadi sebutan, antaranya Vincent Tan, Francis Yeoh, Ting Peik Khing, Patrick Lim, Ananda Krishnan, Arumugam dan ramai lagi.

Di kalangan menteri-menteri juga, ramai yang sebenarnya membiarkan diri mereka didampingi oleh tauke-tauke Cina sehingga mereka itu memperolehi pelbagai kontrak daripada kerajaan dan mengenepikan peluang usahawan Melayu untuk memperolehi peluang yang serupa.

Tauke-tauke Cina ini bukan saja mempunyai hubungan yant rapat dan istimewa dengan menteri-menteri, isteri, keluarga dan anak-anak mereka bahkan sesetengahnya boleh masuk sehingga ke dapur rumah pemimpin UMNO itu sendiri.

Dengan hubungan yang sedemikian akrab dan intim, meskipun sering bersampin dan berbaju Melayu serta uangkapan Hidup Melayu jarang lekang dari mainan bibir, hakikatnya pertolongan kepada Melayu semakin dilupakan.

Jika ada pun pemimpin UMNO yang diketahui tidak berapa rapat dengan tauke-tauke Cina, biasanya mereka ini pula mengamalkan nepostisme tahap kronik sehingga sebahagian besar projek, peluang perniagaan,tanah, saham dan sebagainya hanya dicurahkan kepada kaum keluarga, anak isteri, adik-beradik dan sepupu-sepapat. Contoh yang nyata ialah dalam kes Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud.

Maka, tidaklah hairankan setelah lebih 50 tahun berkuasa, DEB masih gagal dicapai dan penguasaan kek ekonomi Melayu masih tidak sampai 20 peratus.

Kegagalan semua itu tidak lain adalah kerana sikap pemimpin UMNO sendiri. Semuanya mementingkan diri sendiri dan lebih suka menolong bangsa lain daripada bangsanya sendiri. Dengan menjadi pemimpin UMNO, mereka ini sering memandang rendah kepada usahawan Melayu dan menolong mereka dianggap menambahkan masalah manakala tauke Cina pula lebih dilihat dalam konteks peluang melaksanakan hukum menang-menang serta menambahkan kekayaan peribadi.

Menjelang piliharaya yang hampir tiba, sementara laungan Hidup Melayu semakin kuat gemanya, sikap pemimpin UMNO nampaknya masih tidak berubah. Keakraban, hubungan intim serta curahan peluang kepada tauke-tauke Cina tidak menampakkan tanda akan berubah meskipun umpan untuk menolong Melayu demi mengekalkan kuasa yang ada hampir setiap masa kedengaran di mana-mana.

Di sebalik ucapan untuk menolong Melayu, mereka sebenarnya menipu Melayu!

Dan jika dulu sering kedengaran ungkapan di sebalik kejayaan seseorang menteri, mesti ada peranan isteri di belakang tabir yang dianggap sebagai pendorong dan rahsia kejayaan itu tetapi kini ungkapan yang lebih popular ialah di sebalik kekayaan seseorang menteri, mesti ada tauke Cina di belakangnya.(SH 17/11/2012)

Wednesday 14 November 2012

Perangai Buruk Pemimpin UMNO Seperti Penyakit Yang Tiada Ubatnya


Ekoran tulisan saya sebelum ini mengenai isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang masih bersikap gila glamour dan dipercayai akan terus menjadi beban kepada UMNO dan Najib untuk mengharungi PRU 13, saya telah dihubungi oleh seorang pemimpin kanan UMNO peringkat bahagian yang menyatakan selain isu Rosmah, sebenarnya perangai buruk pemimpin dan menteri-menteri UMNO turut menjadi halangan besar kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya kali ini.

Katanya, jika isu Rosmah mungkin lebih berbekas dan meninggalkan kesan kepada rakyat biasa yang tidak bersetuju serta meluat dengan sikap dan lagak yang ditunjukkannya tetapi perangai buruk menteri-menteri UMNO ini lebih memberi kesan kepada ahli UMNO sendiri di mana disebabkan mereka ini masih menunjukkan perangai lama yang sombong, susah ditemui dan mementingkan diri sendiri akan menyebabkan berlakunya protes senyap terhadap UMNO dalam pilihanraya nanti.

Beliau berkata, jika sebelum kehilangan majoriti dua pertiga, perangai buruk itu begitu berakar umbi dan menjadi amalan biasa tetapi setelah berlakunya tsunami 2008, dan seruan untuk berubah sudah banyak kali dilaungkan oleh Najib, namun nampaknya ia masih tidak mengalami apa-apa perubahan.

Menurut pemimpin itu lagi, pemimpin dan menteri UMNO masih berperangai lama iaitu susah ditemui, sombong, mementingkan diri sendiri dan dipercayai memiliki sejumlah kroni sendiri dalam pemberian kontrak kementerian masing-masing sehingga menyebabkan kelompok lain dalam UMNO masih terpinggir dan tidak dipedulikan.

Kalah di beberapa negeri, hilang majoriti dua pertiga dan kedudukan yang masih tidak menentu dalam PRU 13 ini tampaknya tidak memberi apa-apa keinsafan kepada pemimpin UMNO, tegas pemimpin bergelar Datuk itu.

Tanpa ragu-ragu, beliau melahirkan keyakinan bahawa pemimpin UMNO hanya akan berubah dan sedar langit tidak lagi selalu cerah apabila kuasa yang masih bersisa ini terlepas daripada genggaman.

Tambahnya lagi, beliau menerima rungutan yang banyak daripada rakan-rakannya dalam UMNO sendiri betapa mereka tidak dipedulikan dan kadangkala seperti peminta sedekah untuk mendapatkan bantuan bagi menggerakkan aktiviti parti di bahagian masing-masing.

Menteri dan pemimpin UMNO, menurut beliau hanya memberi muka kepada mereka yang berjawatan Ketua UMNO Bahagian sahaja dalam banyak urusan manakala yang berjawatan lain daripada itu masih menjadi golongan terpinggir dan gelandangan dalam parti kecuali yang sudah bergelar wakil rakyat.

Sebenarnya rungutan daripada pemimpin kecil dalam UMNO terhadap pemimpin besar dan menteri-menteri UMNO ini sudah lama kedengaran dan hampir menjadi topik perbualan wajib setiap kali mereka bertemu sesama sendiri.

Mereka sering bertukar-tukar pengalaman dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap menteri-menteri yang pernah atau cuba ditemui. Kebanyakannya adalah pengalaman pahit yang kadangkala sukar dipercayai.

Bagi kelompok ini, kesukaran mereka untuk bertemu dan mengadu pelbagai masalah rakyat dengan menteri-menteri UMNO masih tiada bezanya dengan dahulu sedangkan sepatutnya di waktu ini mereka seharusnya lebih berwajah manis dan membuka pintu pejabat dengan lebih luas kepada pemimpin-pemimpin kecil di peringkat bahagian kerana mereka inilah yang menggerakkan sebahagian besar jentera parti ketika pilihanraya.

Dengan masih terdengarnya rungutan terhadap menteri-menteri UMNO itu dan mungkin berlakunya protes senyap terhadap sikap dan perangai buruk mereka itu, UMNO dan BN akan terus menghadapi kesukaran untuk memenangi pilihanraya akan datang ini.

Jika dulu perangai menteri UMNO yang sombong, susah ditemui, tidak membantu dan hanya mengutamakan kroni sendiri boleh dimaafkan kerana tiada alternatif lain yang dirasakan layak mentadbir negara selain UMNO tetapi kini dengan adanya alternatif di samping kesedaran rakyat yang semakin tinggi, terus berlakunya keadaan itu pastinya mengundang mimpi buruk buat UMNO.

Sehingga kini pun sudah kedengaran, bukan sahaja di kalangan pemimpin kecil malahan banyak suara daripada dalam UMNO sendiri yang merasakan UMNO ini patut diberikan pengajaran dengan cara direhatkan pegangannya terhadap kuasa buat seketika.

Mereka percaya kiranya sebahagian besar pemimpin yang ada sekarang dikekalkan, ia tidak akan menjamin suatu perubahan yang bermakna, bukan saja kepada ahli UMNO peringkat bawahan tetapi juga kepada rakyat keseluruhannya.

Bagi mereka, hanya dengan rakyat menarik balik kuasa yang diberikan kepada UMNO saja yang mampu membetulkan penampilan dan wajah UMNO kerana pemimpin baru yang meneruskan perjuangan nanti sudah pasti akan lebih berhati-hati, prihatin terhadap rakyat serta tidak sombong agar kuasa yang terlepas itu dapat digenggam semula.

Dan jika UMNO dapat merangkul semula kuasa selepas itu, penampilannya tentu berbeza. Inilah keyakinan mereka.

Dalam hal ini, halangan Najib dalam menghadapi PRU 13 ini sebenarnya bukan saja membetulkan sikap dan perangai hodoh sebahagian besar menteri-menterinya yang ada sekarang tetapi juga sejauh mana beliau masih mahu mengekalkan mereka sebagai calon dalam pilihanraya nanti.

Jika sebahagian besar daripada mereka terus dikekalkan, protes dan penolakan melalui peti undi mungkin merupakan sesuatu yang mengejutkan Najib sendiri.

Cerita-cerita buruk mengenai pemimpin UMNO ini, baik yang berjawatan menteri, timbalan menteri mahupun menteri besar lebih dirasai oleh kalangan dalam UMNO sendiri kerana merekalah yang selalu berurusan sama ada berkaitan hal UMNO, perniagaan, peribadi, urusan rakyat dan sebagainya.

Jika ahli dan pemimpin kecil dalam UMNO sendiri tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, tentulah tiada jaminan bagi rakyat biasa untuk mendapat perhatian yang sama.

Bagi rakyat biasa pula, mereka lebih melihat menteri UMNO ini sebagai kelompok yang terpalit dengan rasuah, tidak amanah serta lebih mengutamakan tauke-tauke kaya dalam urusan seharian dan ini dapat dilihat melalui pameran kemewahan yang ditonjolkan dalam gaya hidup isteri dan anak-anak serta rumah bak mahligai yang dapat dibina dalam tempoh sekejapan saja selepas menduduki kerusi empuk di sesebuah kementerian.

Isteri-isteri menteri dilihat lebih mengutamakan penampilan mewah, glamour dan penuh gemerlapan manakala anak-anak mereka pula dilihat lebih gemar berfoya-foya, berpesta dan melakukan perkara-perkara sumbang yang bertentangan dengan norma masyarakat.

Hakikatnya, sudahlah sebahagian besar menteri-menteri UMNO ini mempamerkan perangai hodoh yang tidak disukai rakyat, penampilan isteri dan anak-anak mereka turut menambahburukkan lagi keadaan.

Rakyat, pengundi, ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin kecil ini hanya menunggu masa saja untuk menghukum mereka kerana janji perubahan yang sudah kerap dilaungkan sudah tidak dipercayai lagi. (SH 14/11/2012)



Monday 12 November 2012

Rosmah Masih Jadi Beban Berat Kepada UMNO


Isu Rosmah Mansor yang dianggap gila glamour muncul kembali. Kali ini ketika beliau hadir di majlis persandingan pemain badminton, Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo menjadi percakapan ramai. Dalam majlis persandingan itu, Rosmah duduk di tengah-tengah antara kedua mempelai, suatu perbuatan yang amat luar biasa dan lari dari kebiasaan.

Biasanya, ketika majlis persandingan tetamu VIP lelaki akan duduk di sebelah pengantin lelaki manakala tetamu VIP perempuan akan duduk di sebelah pengantin perempuan. Namanya pun raja sehari, maka pengantinlah menjadi raja ketika itu.

Namun dengan Rosmah duduk di tengah-tengah antara kedua mempelai, Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo tidak lagi menjadi raja sehari. Sebaliknya Rosmah yang menjadi raja di majlis itu.

Ketika majlis resepsi pertama Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo yang turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet serta tetamu VIP yang lain sehari sebelum itu, Rosmah telah mengambil keputusan untuk tidak hadir menemani Najib.

Najib hadir seorang diri walaupun Yang Dipertuan Agong hadir bersama Raja Permaisuri Agong. Jemputan untuk majlis itu juga sudah dimaklumkan lebih awal dan tidak diketahui sebab sebenarnya ketidakhadiran Rosmah di majlis resepsi pertama itu.

Ada dakwaan mengatakan Rosmah sengaja memilih tidak hadir di majlis resepsi pertama dan memilih untuk hadir di majlis resepsi kedua adalah kerana tidak mahu kehadirannya dibayangi oleh penampilan baru Raja Permaisuri Agong yang bertudung litup sebaik kembali dari menunaikan haji.

Sebelum itu, penampian baru Raja Permaisuri Agong sebaik kembali dari menunaikan haji tersebar luar di pelbagai media dan mendapat pujian daripada semua pihak. Baginda benar-benar dilihat sebagai "First Lady" yang menawan hati dan menjadi kebanggaan rakyat.

Dengan memilih hadir di majlis resepsi kedua dan hanya beliau tetamu VIP, duduk pula di tengah-tengah antara kedua mempelai, fokus dan tumpuan ramai tentunya hanya kepada beliau seorang sahaja.

Dalam hal ini, ternyata Rosmah memang gila glamour.

Sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, isu Rosmah yang suka tampil dengan gaya mewah serta menonjol seolah-olah sama berkuasa dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh suaminya, sering menjadi bahan tatapan di media dalam negara dan antarabangsa.

Beliau cuba tampil dengan watak yang begitu berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang begitu setia menjadi pendamping dan teman rapat kepada kejayaan suami mentadbir negara. Rosmah sebaliknya ingin dilihat sama-sama menyingsing lengan turun ke lapangan melakukan aktiviti yang disukainya.

Beliau tidak sahaja aktif melalui aktiviti Permata tetapi juga sibuk berkempen dalam beberapa pilihanraya kecil. Beliau juga mempromosi gelaran "First Lady" untuk dirinya dengan mengadakan persidangan antarabangsa mengenainya serta mengadakan lawatan ke luar negara atas secara sendirian ditemani beberapa isteri menteri dengan pembiayaan wang negara.

Di media-media pula, penampilan beliau hampir setiap hari sehingga kadangkala menenggelamkan aktiviti Timbalan Perdana Menteri atau menteri-menteri yang lain.

Di dalam politik Malaysia dan adab Melayu, perwatakan Rosmah adalah sesuatu yang sukar diterima. Rakyat tidak dapat menerima isteri yang mahu menunjuk kuasa dan berlagak atas kuasa yang diberikan kepada suaminya.

Jika isteri seorang Ketua UMNO cawangan atau isteri ketua pejabat pun yang cuba berlagak dan menunjuk kuasa tidak disukai ramai dan menjadi cemuhan, apatah lagi jika isteri Perdana Menteri yang mempunyai pelbagai kuasa berbuat demikian.

Isu Rosmah yang tak sudah-sudah gila glamour ini sebenarnya sudah lama menjadi percakapan umum, baik di dalam UMNO mahupun di kalangan rakyat biasa. Secara umumnya, tiada siapa yang dapat menerima perwatakan yang beliau tonjolkan itu.

Tidak menjadi rahsia lagi bahawa kerisauan utama UMNO sendiri dalam pilihanraya ini ialah Rosmah sendiri. Beliau dilihat masih menjadi beban kepada UMNO dan BN di samping beban lain seperti isu rasuah di kalangan pemimpin, isu hudud yang melibatkan Chua Soi Lek dan sebagainya.

Sementara Najib dan pimpinan UMNO lain berhempas pulas menarik sokongan rakyat dan memastikan kemenangan UMNO dalam pilihanraya, penampilan Rosmah sebaliknya seakan meruntuhkan apa yang cuba dibina oleh Najib dan lain-lain pemimpin UMNO sejak lebih tiga tahun lalu.

Segala macam transformasi, pemberian tunai serta janji-janji Najib dan UMNO selama ini dengan mudah ditenggelamkan oleh isu-isu yang muncul berkaitan Rosmah.

Dengan Rosmah terus menampakkan keghairahan terhadap kuasa dan glamour, kebimbangan rakyat ialah apa akan jadi selepas pilihanraya nanti jika Najib dan UMNO terus diberikan kuasa. Sudah tentu tahap keghairahan dan gila glamour Rosmah mencanak lebih tinggi lagi.

Dalam masa yang sama watak Rosmah yang sentiasa keletah terhadap kuasa dan glamour juga mengggambarkan kegagalan Najib mengawal dan menasihati isterinya itu. Rakyat tentunya menilai ianya sebagai kelemahan paling asas bagi Najib.

Dengan pilihanraya umum semakin hampir, dan keletah Rosmah sebelum ini dengan pelbagai laporan yang didedahkan sudah cukup menjejaskan sokongan rakyat terhadap Najib dan UMNO, apa yang ditonjolkan Rosmah dalam majlis perkahwinan Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo baru-baru ini tentunya menambahkan-parahkan beban yang ditanggung oleh Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Jika Najib sering melaungkan slogan berubah sebelum rebah, ternyata orang paling dekat dengannya iaitu isterinya juga tidak pernah ambil peduli dengan slogan itu.

Rosmah masih mengejar kuasa, perhatian dan glamour. Satu demi satu cerita mengenainya muncul menjadi tatapan rakyat. Meskipun pernah reda seketika, tetapi kemudian didapati galaknya tidak pernah berbeza. Cerita mengenainya seakan episod sinetron yang tiada titik penamatnya.

Dengan Najib dan UMNO tiada keberanian menegur dan menghentikan gelenyar Rosmah ini, kini nampakna hanya rakyat yang boleh meletakkan titik penamat kepada keletah dan gila glamour Rosmah ini. (SH 12/11/2012).

Saturday 10 November 2012

Nazri Patut Belajar Dari Kejatuhan Pemimpin Negara Arab


Perilaku kesombongan dan keangkuhan yang ditunjukkan oleh Nazri Aziz, menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada undang-undang, Parlimen dan SPRM terus menjadi bualan rakyat. Di dalam dan di luar UMNO, ia terus menjadi topik perbualan yang menggambarkan bahawa UMNO masih memiliki sisi hodoh yang sukar untuk dikikis.

Ketika timbul isu anaknya menggunakan kereta mewah Hummer yang didapati menjadi milik Micahel Chia yang sebelum itu namanya dibersihkan oleh Nazri melalui jawapan di Parlimen berhubung penahanannya kerana membawa wang tunai RM40 juta yang didakwa milik Ketua Menteri Sabah, Musa Amab, beliau dengan sombong mengatakan bahawa ia adakah urusan antara anaknya dengan usahawan balak itu.

Anak saya sudah dewasa, saya tidak tidur dengannya dan dia tidak perlu memberitahu apa yang dilakukannya. Dia bukan isteri saya, begitulah lebih kurang jawapan sombong Nazri.

Bagi Nazri, urusan anak dan keluarganya adalah urusan peribadi mereka dan tidak ada kena-mengena dengan kedudukannya sebagai menteri dan pemimpin rakyat. Anaknya yang liar, bermewah dan suka berjoli sakan dianggap langsung tidak membebankan UMNO dan kerajaan.

Kemudian Nazri juga menyatakan bahawa serangan yang dilakukan terhadapnya adalah kerana orang dengki terhadapnya. Saya berharta, berkuasa dan handsome, maka orang dengki dengan saya, begitulah angkuhnya nada ungkapan dari seorang pemimpin sebuah parti iaitu UMNO yang sentiasa mendakwa memperjuangkan rakyat, mengutamakan rakyat, rakyat didahulukan dan pebagai lagi apabila salah laku anaknya cuba didedahkan kepada umum.

Ketika beliau ditegur oleh sebuah NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bahawa sikapnya itu mungkin menjadi liabiliti kepada UMNO, Nazri melenting sekali lagi sambil mencabar orang yang menegurnya itu supaya bertanding dengannya di Parlimen Padang Rengas untuk membuktikan sama ada beliau liabiliti atau sebaliknya.

Semua episod yang melibatkan Nazri sebagaimana yang terdedah dalam media tidak lebih menggambarkan beliau seorang pemimpin yang tidak boleh ditegur, seolah-olah semua perbuatannya betul belaka dan apa-apa yang melibatkan keluarganya tidak boleh diusik biar bagaimana salah dan buruk sekali pun apa yang telah terdedah kepada umum.

Jika Najib sedang berhempas pulas memulihkan imej UMNO dengan memperkenalkan pelbagai slogan, antaranya rakyat didahulukan, kami mendengar rintihan rakyat, berubah sebelum rebah, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir dan pelbagai lagi, ternyata sikap yang ditunjukkan Nazri amat berlawanan sama sekali dengan apa yang cuba dilakukan oleh Najib itu.

Beliau seolah-oleh pemimpin kerajaan diktator yang merasakan dirinya sentiasa betul, tidak boleh ditegur, kekayaan dan jawatan menteri suatu kebanggaan paling tinggi sementara rakyat adalah umpama kain basahan yang tidak bernilai sama sekali.

Sesekali sedarlah negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang meletakkan rakyat masih boleh menjatuh dan menghukum mana-mana pemimpin yang sombong dan berlagak. Sudah berapa ramai pemimpin yang sombong dan angkuh ditolak oleh rakyat pada pilihanraya.

Jika Nazri merasakan perilaku anak-anaknya tidak menjejaskan apa-apa kepada UMNO dan kerajaan, eloklah juga beliau merenung sejarah kejatuhan kebanyakan pemimpin dunia sebelum ini terutamanya di negara-negara Arab.

Kaji dan telitilah bahawa sebahagian sebab kejatuhan Saddam Hussein di Iraq, Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya adalah kerana perilaku anak masing-masing yang liar, suka bermewah, berhibur tanpa had, mempamer kekayaan sambil diapit gadis-gadis jelita dan terlalu bangga dengan kekayaan serta kuasa yang dimiliki oleh ayah mereka.

Jika mahu contoh yang dekat, lihat sahaja bagaimana kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia. Ia juga berpunca daripada sikap anak-anaknya yang begitu rupa.

Di Malaysia sendiri, kebencian rakyat yang berterusan kepada Mahathir adalah juga kerana perilaku anak-anaknya yang suka bermewah dan membolot sebahagian besar peluang perniagaan atas pengaruh bapanya.

Sebagai pemimpin, janganlah kita menganggap perbuatan anak-anak kita terasing daripada kehidupan ayahnya sebagai pemimpin. Anak Nazri tidak akan jadi seperti seperti sekarang jika ayahnya hanya seorang peguam biasa. Anak Mahathir juga bukan siapa-siapa jika Mahathir hanya doktor biasa di Alor Setar.

Sikap Nazri yang berlagak sombong dan angkuh hanya kerana beliau seorang menteri dan perilaku anak-anaknya pula tidak boleg ditegur, hanya mengambarkan bahawa semakin tidak sesuai menjadi pemimpin di era sekarang ini.

Sementara seluruh dunia mengecam amalan kronisme dan nepotisme, tindakan beliau yang bersungguh mahu mempertahankan amalan itu dengan pelbagai logik serta hujah, akhirnya hanya menyusahkan UMNO dan Najib sendiri.

Sikap yang ditunjukkannya menyebabkan rakyat biasa, pengundi atas pagar dan ahli UMNO sendiri melihat beliau sebagai beban baru kepada UMNO dan Najib. Dengan terus mengekalkan Nazri dalam pilihanraya akan datang, di samping beban lain yang sedia bertimbun, laluan UMNO untuk meraih sokongan rakyat pasti menjadi semakin sukar. ( SH 10/11/2012)

Wednesday 7 November 2012

Najib Ketepi MT UMNO, Lantik Bekas Setpol Pilih Calon Pilihanraya


Isu calon pilihanraya sentiasa menjadi isu panas dalam UMNO. Begitu ramai yang berebut dan merasakan mereka layak untuk menjadi calon dan bergelar YB. Bagi mereka yang berjuang dan menjadi pemimpin UMNO, terpilih menjadi calon pilihanraya merupakan pencapaian terbaik dalam karier perjuangan peribadi atau sesetengahnya beranggapan seperti pintu rezeki semakin terbuka dengan luas.

Dengan terpilih sebagai calon pilihanraya, kemudian menang pula, bermacam jawatan dan peluang boleh diraih selepas itu. Darjat dalam masyarakat juga meningkat dan semua itu menjanjikan peluang ke arah kemewahan.

Lantaran itu, tidak menghairankan perebutan menjadi calon pilihanraya dalam UMNO sentiasa panas dan menggelegak.

Jika sebelum ini proses pemilihan calon dibuat melalui cadangan yang dikemukakan oleh UMNO bahagian-bahagian ke ibu pejabat UMNO Malaysia dan kemudian ditapis oleh MT UMNO serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, namun sejak Najib memperkenalkan istilah "winnable candidate" ini, proses itu yang selama ini menjadi amalan turut melalui perubahan.

Meskipun menjelang PRU 13 ini, semua UMNO bahagian dilaporkan sudah mengemukakan nama-nama untuk dipertimbangkan sebagai calon sebagaimana biasa, namun peranan MT UMNO sebagai badan tertinggi untuk menapis nama-nama yang dikemukakan itu dilihat semakin diketepikan.

Ini berikutan Najib selaku Presiden UMNO yang begitu berhasrat besar untuk merealisasikan pemilihan calon berasaskan faktor "winnable" atau boleh menang dikatakan telah melantik bekas Setiausaha Politiknya, Alies Nor untuk mengetuai sebuah unit untuk menapis calon-calon pilihanraya kali ini.

Alies yang kini dilantik sebagai Pengerusi PWTC iaitu Kompleks Ibupejabat UMNO sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, dikatakan mempunyai peranan yang cukup besar dan berpengaruh dalam pemilihan calon PRU 13 ini kerana Najib meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadapnya.

Alies dikatakan akan melakukan pemantauan yang menyeluruh terhadap nama-nama yang dikemukakan oleh UMNO bahagian-bahagian dengan kerjasama Biro Tatanegara serta pihak lain yang menjadi kepercayaannya. Selain itu beberapa pemantau yang terdiri daripada ahli jawatankuasa UMNO bahagian-bahagian yang diketahui rapat dengan Najib tetapi tiada keinginan untuk menjadi calon pilihanraya telah pun dilantik dalam unit yang diketuai oleh Alies Nor itu.

Dalam masa yang sama, beberapa bekas pemimpin juga turut dilantik dalam unit yang diketuai oleh Alies Nor itu dan antaranya ialah bekas Menteri Pelancongan, Sabbaruddin Chik.

Peranan unit ini bukan saja meneliti nama serta latarbelakang calon agar memenuhi kriteria "winnable" yang menjadi penanda aras politik Najib tetapi juga difahamkan turut mengambil kira faktor kecenderungan dan kesetiaan mereka.

Ini kerana selain menghadapi tentangan daripada Anwar dan Pakatan Rakyat, Najib juga dikatakan mengambil kira faktor Muhyiddin dalam pemilihan calon pilihanraya kali ini. Beliau seboleh-bolehnya cuba meminimakan pengaruh Muhyiddin bagi mengelakkan timbulnya desakan agar beliau diminta berundur daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO jika BN hanya mampu mencapai kemenangan tipis dalam pilihanraya umum nanti.

Sehingga ini unit tanpa nama yang diketuai oleh Alies Nor ini sedang sibuk menjalankan tapisan dan siasatan keatas nama-nama calon yang difikirkan berpotensi untuk bertanding sebelum disahkan dan seterusnya dipersembahkan kepada Najib untuk kata putus.

Dengan tugas yang dimainkan oleh Alies Nor ini, peranan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan MT UMNO secara automatik semakin terpinggir dan tidak lagi penting dalam proses pemilihan calon pilihanraya kali ini.

Adalah dijangkakan bahawa Najib akan mempersetujui sepenuhnya nama-nama yang disahkan sebagai "winnable" oleh Alies Nor itu dan MT UMNO hanya sekadar menjadi "rubber stamp" sahaja.

Peranan dan pengaruh Alies Nor dalam proses penentuan calon ini bukan lagi perkara rahsia dalam UMNO dan ia semakin menjadi bualan di mana-mana sekarang ini.

Malahan terdapat beberapa pemimpin UMNO dari beberapa negeri yang merasakan diri mereka layak dipilih sebagai calon sanggup datang ke Kuala Lumpur berulangkali untuk bertemu dan melobi sendiri dengan Alies Nor.

Sesetengah daripada mereka mendapat jawapan yang sama-samar daripada Alies Nor seperti diminta bersiap sedia tetapi ramai juga yang mengaku sudah pun mendapat pengesahan atau "endorsment" yang jitu sebagai calon yang pasti dalam pilihanraya kali ini.

Merebaknya cerita dari mulut ke mulut mengenai peranan dan pengaruh Alies Nor dalam pemilihan calon di era kepimpinan Najib ini menyebabkan beliau sentiasa diserbu dan dikunjungi oleh pihak-pihak yang ghairah mahu menjadi calon pilihanraya.

Berbeza dengan amalan sebelum ini di mana mereka yang berhajat menjadi calon akan melobi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Pengerusi UMNO Negeri serta ahli MT yang dilihat rapat dengan Presiden UMNO, kali ini suasana itu hampir tidak kelihatan lagi.

Sementara tidak semua pemimpin dengan mudah dapat menemui Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri dan dalam yang sama merasakan pihak lain seperti Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta Pengerusi UMNO Negeri sudah ketiadaan pengaruh, sebaliknya kini Alies Nor yang tiada apa-apa jawatan dalam UMNO pula yang menjadi tumpuan serta perhatian. (SH 07/11/2012)





Monday 5 November 2012

Isu Nazri Aziz: Najib Perlu Bertindak Sebelum Mahathir Bersuara


Isu yang melibatkan Nazri Aziz, menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Parlimen dan SPRM dengan usahawan balak Michael Chia, terus memanaskan suhu politik negara dengan pelbagai pendedahan baru hari demi hari.

Isu ini bermulanya dengan jawapan Nazri di Parlimen berkaitan Michael yang pernah ditahan di Hong Kong kerana membawa wang tunai RM40 juta yang didakwa untuk diberikan kepada Musa Aman, Ketua Menteri Sabah. Jawapan Nazri di Parlimen yang menyebut Michael tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan kerana wang itu sebenarnya adalah untuk diberikan kepada UMNO Sabah, bukannya Musa Aman secara peribadi, akhirnya mengundang petaka yang tidak berkesudahan.

Jawapan Nazri itu, dan kemudian diikuti dengan kenyataan Najib pula bahawa tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti politik menerima sumbangan, walaupun dilihat cuba membersihkan Musa Aman dan Michael Chia namun kekotoronnya berpindah pula kepada Nazri kemudiannya.

Sebelum itu Suaram diserang dengan dakwaan menerima wang daripada Soros tetapi dengan pengesahan Najib bahawa parti politik dibolehkan menerima wang sumbangan, bahkan UMNO Sabah sudah pun menerima RM40 juta, ludahan UMNO ternyata memercik ke muka sendiri.

Kekotoran yang cuba dibersihkan daripada Michael Chia dan Musa Aman mulai berpindah kepada Nazri berikutan pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin bahawa Nazri didakwa telah menerima sejumlah wang daripada Michael Chia dan pemberian seebuah kereta mewah untuk kegunaan keluarganya.

Walaupun Nazri kemudiannya menafikan dakwaan Raja Petra itu tetapi ia kembali panas apabila Rafizi kemudiannya mendedahkan maklumat bergambar berkaitan sebuah kereta mewah jenis Hummer yang didakwa kepunyaan Michael Chia tetapi digunakan oleh anak lelaki Nazri, Mohd Nedim.

Nazri kemudiannya tidak menafikan perkara itu tetapi menyifatkan ianya urusan antara anaknya dengan Micahel Chia dan perlu ditanya kepada anaknya. Dalam masa yang sama Nazri juga mengakui Michael Chia adalah kenalan rapatnya.

Dengan langkah terbaru Rafizi melaporkan kepada SPRM kaitan hubungan Nazri dan anaknya dengan Michael Chia serta isu wang RM40 juta sebelum ini, Nazri kini menjadi sasaran panas lampu sorot pembangkang menjelang pilihanraya umum akan datang ini.

Soal sama ada Nazri bersalah atau tidak bukanlah menjadi isu penting tetapi intergriti kerajaan dan pemimpin UMNO sekali lagi diragui umum. Selepas Shahrizat yang dikaitkan dengan isu lembu NFC, isu melibatkan Nazri ini sekali lagi menghenyak reputasi UMNO sekaligus menguji wibawa Najib selaku Perdana Menteri.

Jika dalam isu Shahrizat, kelambatan Najib bertindak dan membiarkan pendedahan demi pendedahan dibuat melalui media sehingga hampir menjahanamkan nama baik UMNO dan Najib sendiri, isu Nazri ini juga jika dibiarkan pasti memberi kesan buruk yang serupa.

Dalam suasana pilihanraya hampir tiba dan persepsi harus dikawal, meletusnya isu Nazri ini tidak lebih bakal menjadi beban baru kepada UMNO dan Najib jika dibiarkan menjadi perbicaraan di media.

Nazri, seorang peguam dan memang diakui petah berhujah. Logik bicara dalam setiap perkara sentiasa ada. Tetapi dengan pelbagai pendedahan yang dibuat terhadap diri dan anak lelakinya, persepsi umum terhadap beliau sudah sukar diperbaiki. Jika dibiarkan ia pastinya melarat dan memburukkan sama nama UMNO serta Najib.

Walaupun Nazri cuba bersilat dan berhujah, persepsi umum ialah tidak mungkin Michael Chia memberikan kereta mewah itu kepada Mohd Nedim jika dia bukan anak Nazri.

Jika dalam isu Shahrizat, Nazri pernah meminta Shahrizat memulangkan kembali wang RM250 juta yang menjadi isu itu, kini giliran Nazri pula membuktikan keikhlasannya sebagai pemimpin.

Beliau perlu melakukan sesuatu untuk membersihkan namanya, nama UMNO dan nama kerajaan. Mungkin beliau perlu mengambil cuti bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap diri dan keluarganya. Dan dengan Rafizi akan berlepas ke Hong Kong minggu depan untuk bersemuka dengan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang penahanan Michael Chia, adalah dijangka lebih banyak maklumat baru akan terdedah.

Dan isu yang melibatkan Nazri ini tentunya akan terus memeningkan kepada bossnya sendiri, Najib Razak. Dengan pelbagai isu sedia ada sudah cukup memeningkan Najib, isu Nazri ini tentu menyebabkannya migrain pula.

Jika Nazri tidak mahu berkorban atau mengambil cuti, Najib pastinya akan didesak untuk mengambil sesuatu tindakan pula. Wibawa Najib sekali lagi akan diuji. Pengajaran daripada isu lembu NFC yang melibatkan Shahrizat akan dijadikan asas serta hujah untuk memaksa Najib bertindak lebih pantas sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Dalam masa yang sama, umum juga tentunya menunggu komen Tun Mahathir mengenai isu Nazri ini. Sejak Mahathir bersara pada 2003, Nazri sudah menjadi musuh tidak rasmi kepada Mahathir terutama dalam kritikannya kepada Pak Lah dulu. Sebagaimana dalam isu AP yang melibatkan Rafidah Aziz dan NFC yang melibatkan Shahrizat, pandangan Mahathir dalam isu Nazri sudah boleh dijangka arah tujunya.

Dalam hal ini Najib perlu menangani isu Nazri ini sebelum Mahathir bersuara. Jika selepas Mahathir bersuara, yang sudah boleh diagak tidak akan menyebelahi Nazri, kesannya tentu terkena kepada Najib juga.

Najib sekali lagi akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah, tidak tegas dan kurang berwibawa.

Meletusnya isu Nazri Aziz ini tidak lain menunjukkan kepada umum satu lagi bukti bahawa pemimpin UMNO tidak mungkin akan berubah walaupun laungan perubahan itu diucapkan saban hari. Persepsi rakyat berikutan meletusnya isu ini hanya menambahburukkan lagi wajah UMNO dan para pemimpinnya. Harapan UMNO untuk mempertahankan kuasa dengan pemimpin yang sedia ada, tampak menjadi semakin sukar.

Sementara harapan untuk menang dengan bergaya semakin pudar berikutan pelbagai isu dan kemelut yang muncul silih berganti, tetapi wibawa dan keberanian Najib dalam menangani isu Nazri ini tetap dituntut kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan kekalahan yang lebih parah bakal diterima. ( SH 05/11/2012)


Saturday 3 November 2012

Syed Mokhtar, Raja Kroni Najib Yang Tidak Disenangi Rakyat Malaysia


Nama Syed Mokhtar Al Bukhary, orang Melayu paling kaya di Malaysia disebut lagi di Parlimen. Kali ini ia disebut oleh orang yang senama dengannya iaitu Bung Mokhtar, Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan yang memang terkenal dengan kelantangan dan ucapan yang kontroversi.

Bung Mokhtar membangkitkan tentang monopoli perniagaan yang diperolehi oleh Syed Mokhtar daripada kerajaan sejak akhir-akhir ini. Selama ini katanya, usahawan itu sudah memperolehi perniagaan di darat, laut serta udara dan tidak mustahil selepas ini di atas kubur pula.

Jika sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang sering melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Syed Mokhtar terutama berkaitan kenaikan harga gula dan penganugerahan beberapa projek mega sejak Najib menjadi PM, kini Ahli Parlimen BN juga bagaikan senada dengannya.

Memanglah diakui, sejak Najib menjadi PM pada 2009, hampir semua projek mega diberikan kepadanya. Beliau kini menguasai monopoli perniagaan gula dan beras dan dianugerahkan pula penswastaan dalam perniagaan pelabuhan, IPP, Proton, MRT, Keretapi Tanah Melayu dan banyak lagi.

Sayap perniagaan Syed Mokhtar kini melebar hampir kepada semua jenis perniagaan halal di Malaysia.

Melihat stail kepimpinan Najib, adalah dijangkakan lebih banyak lagi penganugerahan projek mega dan penswastaan akan diberikan kepada Syed Mokhtar, terutamanya jika beliau terus menerajui Malaysia selepas PRU 13 ini.

Dalam konteks perniagaan gula yang dimonopolinya, telah berlaku empat kali kenaikan sejak Najib menghuni Seri Perdana dan ini antara isu yang menimbulkan kemarahan rakyat terhadap beliau.

Syed Mokhtar, usahawan berasal dari Kedah ini mula menjadi primadona kepada kerajaan sejak era kepimpinan Tun Mahathir lagi walaupun sebenarnya beliau mula bertapak kukuh dalam dunia perniagaan di Johor ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar di penghujung tahun 80an dahulu. Di era Pak Lah juga beliau kekal mendapat perhatian yang tinggi daripada kerajaan. Tetapi pemberian kontrak kerajaan atau penswastaan paling banyak diperolehinya di era Najib ini.

Hampir semua projek besar dan mega yang diumumkan kerajaan, ia akhirnya akan jatuh ke tangan Syed Mokhtar. Malahan sebaik saja Najib mengumumkan sesuatu projek mega, wujud tanggapan rakyat atau lelucon bahawa ia pasti menjadi milik Syed Mokhtar akhirnya.

Longgokan terlampau banyak projek mega kepada Syed Mokhtar menggambarkan seolah-olah nama usahawan Melayu lain tidak pernah wujud di hati Najib. Di hati Najib hanya ada nama Syed Mokhtar saja.

Bagi rakyat biasa, lambakan terlampau banyak projek kepada Syed Mokhtar menimbulkan perasaan tidak puas hati kerana seolah-olah usahawan lain tidak layak diberikan peluang yang serupa. Lebih dari itu, ia juga dilihat menggambarkan kegagalan Najib sendiri untuk melahirkan lebih ramai usahawan Melayu yang berwibawa.

Rakyat juga sedikit marah dengan Syed Mokhtar kerana monopoli gula yang dikuasainya telah menyebabkan rakyat dibebankan dengan kenaikan sebanyak empat kali dalam tempoh tidak sampai empat tahun berbanding tiada kenaikan ketika dikuasai oleh Robert Kouk.

Bagi pihak pembangkang pula, mereka melihat isu Syed Mokhtar ini sebagai paparan kelemahan Najib dalam mengurus ekonomi dan negara. Najib dilihat seperti sudah terikat dan termakan budi dengan usahawan itu sehingga tunduk dan akur terhadap apa saja permintaannya.

Sementara itu pakar-pakar ekonomi juga tidak bersetuju dengan lambakan terlampau banyak projek kepada seseorang individu kerana ia lebih mudah memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara. Dengan Syed Mokhtar sekarang ini menguasai sebahagian besar segmen ekonomi negara, jika beliau terbersin misalnya, kesan selsemanya pasti akan dirasai oleh ramai orang.

Ahli dan pimpinan UMNO juga sebenarnya tidak berapa setuju dengan kaedah Najib yang memberikan terlampau banyak projek kerajaan kepada Syed Mokhtar, namun kebanyakannya hanya berdiam diri atau bersuara di belakang kerana akur ianya adalah pilihan dan kuasa Najib sebagai PM.

Suara yang dibawa oleh Bung Mokhtar sebenarnya adalah suara yang sudah lama terpendam di hati ahli UMNO.

Ramai ahli dan pimpinan UMNO tidak gembira dengan Syed Mokhtar kerana beliau dilihat mempunyai pasukannya yang tersendiri untuk melaksanakan semua projek yang diberikan oleh kerajaan. Dan ada pula dakwaan mengatakan semua pasukannya terdiri daripada bukan Melayu. Tidak ada setitis pun tempias atau terpercik projek yang diperolehinya akan jatuh kepada usahawan dari kalangan ahli serta pemimpin UMNO.

Lebih dari itu, Syed Mokhtar juga meletakkan dirinya terlalu eksklusif sehingga tidak mahu menjalin sebarang hubungan dengan mana-mana pihak lain dalam UMNO selain Perdana Menteri. Ini bermakna, meskipun Syed Mokhtar memperolehi banyak nikmat dari UMNO tetapi tidak ada mana-mana pihak dalam UMNO yang dilayannya untuk memperolehi sebarang sub kontrak atau bantuan perniagaan.

Syed Mokhtar juga tidak bergaul dalam majlis-majlis sosial yang melibatkan UMNO sebagaimana yang biasa dilakukan oleh usahawan lain yang memperolehi kontrak daripada kerajaan sebelum ini seperti Allahyarham Tan Sri Yahya, Halim Saad, Tajuddin Ramli, Rozali Ismail, Abu Shahid serta ramai lagi. Tiada ruang kepada sesiapa dalam UMNO menjalin kerjasama, mengemukakan cadangan, mengadu masalah atau meminta bantuan daripadanya berikutan sifat eksklusif yang diamalkannya itu.

Ruangnya hanya terbuka untuk Najib dan Seri Perdana sahaja.

Inilah antara isu yang selama ini dipendam oleh ramai ahli dan pemimpin UMNO terhadap Syed Mokhtar.

Di sebalik ada yang bangga dengan kejayaan Syed Mokhtar dalam perniagaan, tidak dapat dinafikan monopoli dan lambakan terlalu banyak projek kerajaan ditangannya turut mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian besar segmen dalam masyarakat. Tidak saja pembangkang, rakyat biasa dan pakar-pakar ekonomi, malahan ahli dan pemimpin UMNO juga turut tidak menyenangi beliau.

Digelar sebagai orang Melayu terkaya dan kini raja kroni di era kepimpinan Najib, rasa tidak puas hati yang kian tak terbendung sekarang di mana Ahli Parlimen BN sendiri mula mengkritiknya dan kesatuan sekerja kakitangan Keretapi Tanah Melayu juga melakukan demonstrasi terhadap rancangan penswastaan KTM kepadanya serta protes senyap rakyat yang sudah lama terpendam, semua penolakan itu mungkin terhambur ke peti undi yang akan memudarkan lagi peluang Najib untuk kekal di Seri Perdana. (SH 03/11/2012)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...