Friday 20 January 2012

Adun BN Paksa Najib Pecat SDO Selangor?

Kedudukan Pengarah SDO Selangor atau Selangor State Development Office terus dalam keadaan tidak menentu berikutan terdapat segelntir Adun BN Selangor yang mahu beliau ditukar dari negeri itu kerana dikatakan tidak berpuas hati terhadap pengagihan projek-projek pembangunan yang diuruskannya.

Perkara ini bermula bilamana seorang Adun yang memegang jawatan kanan dalam Badan Perhubungan Umno Selangor tidak berpuas hati kerana syarikat yang disokongnya tidak memperolehi suatu projek yang tendernya dikeluarkan oleh SDO Selangor itu.

Akibat rasa tidak puas hati, Adun berkenaan telah membuat memorandum kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan meminta semua Adun BN yang lain supaya turut menandatangani memorandum itu. Desakannya ialah meminta Pengarah SDO itu ditukar dan dikeluarkan dari negeri Selangor.

Difahamkan tidak semua Adun bersetuju dengan tindakan itu tetapi terpaksa menandatanganinya kerana malu alah memandangkan Adun yang meminta mereka menurunkan tandatangan itu berjawatan kanan dalam Umno Selangor dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Pejabat Perdana Menteri.

Berikutan memorandum itu, Pengarah SDO itu telah dipanggil oeh salah seorang pegawai Najib dan telah pun memberi penjelasan berkenaan punca rasa tidak puas hati segelintir Adun terhadapnya.

Sehingga ini difahamkan pegawai Najib berpuas hati dengan penjelasan beliau, malahan Najib sendiri dikatakan memberi jaminan bahawa kedudukannya kekal di negeri Selangor.

Pentadbiran Najib sehigga ini tidak mengambil apa-apa tindakan berikutan memorandum itu kerana secara umumnya mengetahui bahawa pembahagian projek melalui SDO agak menyeluruh dan semua pihak memperolehinya. Hanya Adun berkenaan yang tidak berpuas hati kerana gagal memperolehi projek yang dihajatinya sedangkan syarikat yang disokongnya untuk tender itu tidak pun memenuhi kelayakan teknikal yang sewajarnya.

Pejabat Perdana Menteri turut dimaklumkan sebab-sebab syarikat yang disokong oleh Adun itu tidak layak memenangi tender tersebut.

Meskipun begitu, cakap-cakap di belakang yang mempertikai tugas dan tanggungjawab Pengarah SDO itu terus kedengaran dan Adun berkenaan juga dikatakan masih terus dengan rasa tidak puas hatinya itu. Dan tidak mustahil beliau terus menyimpan dendam atau mencuba helah lain untuk menyingkirkannya.

Sebenarnya inilah sikap sebahagian pemimpin Umno di Selangor yang perjuangan mereka hanya untuk memperolehi projek, kekayaan dan kesenangan semata-mata dan meletakkan perjuangan membangunkan kehidupan rakyat, bangsa dan negara di tempat yang ketiga belas.

Walaupun nasib sudah berubah daripada pemerintah kepada pembangkang tetapi sikap dan perangai mereka tidak pernah berubah. Hanya kerana tidak dapat projek sanggup menghantar memorandum dan mengumpul tandatangan untuk menyingkirkan pihak yang cuba menjalankan tugas dengan jujur dan amanah.

Sikap segelintir Adun ini bukan sahaja mengecewakan rakyat dan kakitangan kerajaan di Selangor tetapi pastinya juga membuatkan pengundi berfikir "kalau macam ini lebih baiklah Pakatan Rakyat terus mentadbir Selangor ini".

1 comment:

  1. Tahniah kerana telah melahirkan blog. Diharap blog ini akan membongkar segala keburukan dan kejelekkan tak kira pihak mana. Istiqamah dalam memblog menjamin blog ini akan mendapat sambutan dan tanah lama. Terima kasih dan selamat maju jaya. Mso.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...